Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

April 23, 2026

Info X Reporters

Isteri maut, suami parah dilanggar lori dari belakang

KENINGAU: Perjalanan sepasang suami isteri bertukar tragedi apabila wanita maut, manakala suaminya parah selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar sebuah lori dari belakang di Jalan Nabawan – Sepulut berhampiran Kampung Sarikan Nabawan, di sini, malam tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam itu, mangsa, Marlyana Baulun, 21, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala. Suaminya, Dendey Ampat, 27, yang juga anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Nabawan pula mengalami kecederaan serius dan kini dirawat di Unit Kecemasan Hospital Keningau. Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori 10 tan dan motosikal jenis Modenas Kriss. “Motosikal dinaiki pasangan itu dalam perjalanan dari arah Nabawan menuju ke Sepulut sebelum dilanggar dari arah belakang oleh lori berkenaan. “Akibat pelanggaran itu, pembonceng maut di tempat kejadian, manakala penunggang cedera parah dan dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, pemandu lori berusia 51 tahun tidak mengalami kecederaan, namun tidak berada di lokasi ketika polis tiba sebelum kemudian tampil ke Balai Trafik IPD Keningau. “Hasil siasatan awal mendapati pemandu lori dipercayai menjadi punca kemalangan kerana memandu secara melulu tanpa memberi perhatian kepada kenderaan di hadapan,” katanya. Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Keningau untuk bedah siasat, manakala siasatan lanjut masih dijalankan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Info X

April 23, 2026

Info X Reporters

Pengendalian kargo pelabuhan meningkat, petunjuk pertumbuhan ekonomi Sabah – Ewon

KOTA KINABALU: Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) merekodkan pengendalian kargo sebanyak 532,391 TEU pada 2025, berbanding 386,293 TEUs pada tahun sebelumnya. Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick, berkata peningkatan ketara itu menjadi petunjuk pertumbuhan ekonomi negeri. Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, pencapaian itu juga menunjukkan keperluan meningkatkan kecekapan pelabuhan dalam menyokong perdagangan, industri dan pelaburan di Sabah. “Pelabuhan bukan sekadar pusat logistik tetapi menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan industri, perdagangan dan pelaburan negeri. “Kecekapan dan daya saing pelabuhan akan menentukan sejauh mana kita mampu menarik pelabur serta meningkatkan kedudukan Sabah dalam rantaian perdagangan serantau,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 LPPS di Sutera Harbour, di sini, pada Rabu. Ewon berkata, selaras dengan aspirasi ‘Better Ports, Better Sabah’, pembangunan pelabuhan perlu terus diperkasa agar lebih moden, cekap dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan industri semasa. Katanya, projek pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar (SBCP) yang dijangka siap pada akhir tahun depan diyakini mampu meningkatkan kapasiti serta kecekapan pengendalian pelabuhan di negeri ini. “Usaha ini akan memperkukuh kedudukan Sabah sebagai hab logistik serantau serta membuka lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan,” katanya. Dalam pada itu, beliau mengakui sektor pelabuhan berdepan beberapa cabaran operasi termasuk di Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar, Pelabuhan Tawau dan Pelabuhan Sandakan. Namun katanya, kerajaan negeri mengambil pendekatan proaktif dan bersepadu bagi memastikan setiap isu ditangani secara berkesan dan berterusan. “Antaranya termasuk pelaksanaan lapan Pelan Tindakan Interim yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 Februari lalu serta sesi libat urus bersama pemain industri pada 5 Mac. “Seterusnya, saya turut mempengerusikan Task Force Memantau Pelaksanaan Inisiatif-Inisiatif Interim itu yang bersidang pada 21 April. “Saya juga turun padang ke beberapa pelabuhan bagi meninjau sendiri situasi dan memastikan isu-isu yang berbangkit ditangani dengan segera,” katanya. Ewon berkata, hasil pendekatan itu menunjukkan perkembangan positif dengan peningkatan keyakinan dalam kalangan pengguna pelabuhan terhadap usaha penambahbaikan yang dilaksanakan. – Info X

April 23, 2026

Info X Reporters

Jual air tebu siang, ‘layan’ syabu malam

KOTA KINABALU: Seorang penjual air tebu ditahan polis selepas disahkan positif syabu dalam operasi khas di Taman Telipok Ria Fasa 3, Tuaran awal pagi tadi. Dalam operasi kira-kira jam 2 pagi itu, lelaki berusia 34 tahun terbabit ditahan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di tepi bangunan kawasan berkenaan. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang bahan terlarang, namun polis mengambil tindakan lanjut apabila gerak-geri suspek menimbulkan syak. “Suspek kemudian dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tuaran untuk ujian saringan awal air kencing. “Hasil ujian mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya ketika dihubungi hari ini. Menurutnya, siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. “Hasil soal siasat, suspek mengaku mendapatkan bekalan dadah di sekitar kawasan Telipok Ria. “Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya. Sementara itu, beliau berkata, pihak polis akan mempergiat risikan dan pemantauan di lokasi terbabit bagi mengesan pembekal yang dipercayai masih aktif di kawasan berkenaan. – Info X

April 23, 2026

Info X Reporters

Raji Hussin kini teraju Batalion 15 PGA Sandakan

SANDAKAN: Superintendan Raji Hussin Suhodin kini menggalas amanah menerajui Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sandakan selepas secara rasmi mengambil alih jawatan Pegawai Pemerintah dalam satu majlis serah terima tugas, kelmarin. Dalam majlis bermula jam 8.30 pagi hingga 12 tengah hari di Ibu Pejabat Batalion 15 PGA itu, beliau terlebih dahulu menerima pemakaian lencana pangkat Superintendan sebelum mengambil alih jawatan berkenaan daripada penyandang terdahulu, Superintendan Wilynton Enchana Watt. Majlis berkenaan disempurnakan Komander Briged Sabah PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Datuk Nor Omar Sappi yang turut menyaksikan simbolik penyerahan tugas sekali gus menandakan permulaan rasmi kepimpinan baharu di batalion berkenaan. Pelantikan Raji Hussin dilihat mampu memperkukuh lagi peranan Batalion 15 PGA Sandakan dalam menjaga keselamatan serta kawalan sempadan negeri ini, khususnya di kawasan berisiko tinggi. Majlis itu turut dihadiri pegawai kanan briged, pegawai pemerintah batalion, selain anggota PGA. Sejurus selesai majlis, Datuk Nor Omar mengadakan lawatan rasmi ke ibu pejabat batalion berkenaan yang dimulakan dengan taklimat pengoperasian serta perancangan strategik bagi memperkasa kesiapsiagaan pasukan. – Info X

April 23, 2026

Info X Reporters

Tiga remaja ditahan kes rogol pelajar di Tawau

TAWAU: Polis menahan tiga remaja lelaki yang disyaki terbabit dalam kes rogol seorang pelajar perempuan di Merotai, di sini, dalam tempoh kurang 24 jam selepas menerima laporan kejadian itu, semalam. Semua suspek berusia antara 15 hingga 16 tahun ditahan kira-kira jam 6.50 petang oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai di perkarangan Pondok Polis Merotai. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata tangkapan dibuat susulan laporan yang diterima daripada ibu mangsa pada jam 4.43 petang hari sama. Katanya, kes berkenaan terbongkar selepas mangsa, pelajar tingkatan tiga, memaklumkan kejadian itu kepada guru kaunseling sebelum perkara berkenaan dimaklumkan kepada ibunya. “Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada Ahad lalu apabila mangsa dibawa seorang suspek, yang juga pelajar tingkatan lima, menaiki kereta ke sebuah rumah sebelum dirogol. “Mangsa turut mendakwa sering dimalukan serta diejek dengan kata-kata tidak senonoh oleh rakan-rakan suspek di sekolah,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, dua lagi suspek kemudian ditahan kerana dipercayai bersubahat dalam kejadian itu. “Semua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya. Jasmin menegaskan, polis memandang serius jenayah seksual dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit, termasuk mereka yang bersubahat. “Polis akan memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan tindakan tegas akan diambil terhadap pelaku,” katanya. Dalam pada itu, beliau menasihati ibu bapa supaya sentiasa memantau pergerakan serta pergaulan anak-anak, selain peka terhadap perubahan tingkah laku mereka. Katanya, kerjasama antara ibu bapa, pihak sekolah dan masyarakat amat penting dalam membendung gejala sosial dalam kalangan remaja. – Info X

April 22, 2026

Info X Reporters

USNO keluar GRS

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) mengambil tindakan keluar dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkuatkuasa pada Rabu. Tindakan itu diumumkan menerusi satu kenyataan bertajuk ‘Salam Terakhir: USNO Ucap Selamat Tinggal GRS’ yang dimuat naik di akaun Facebook parti itu. Menerusi kenyataan itu, Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dilapor menyatakan secara rasmi peletakan jawatannya sebagai Timbalan Pengerusi GRS dan semua jawatan berkaitan kerajaan ketika bertemu Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS pada Rabu, 21 April 2026. Kenyataan itu menyebut, keputusan dibuat bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat itu disahut secara sebulat suara dalam Mesyuarat Ahli Majlis Eksekutif Tertinggi (AMET) USNO pada Khamis, sekali gus keluar daripada gabungan GRS. “Antara justifikasi awal keputusan USNO ini ialah disebabkan sudah tidak wujudnya keserasian dalam aspek pentadbiran dan dasar kerajaan khususnya selepas Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU-DU) Sabah kali ke-17. “USNO juga mengambil pendirian untuk kekal sebagai parti politik yang berteraskan perjuangan pribumi lokal Sabah dan akan komited dalam proses semak dan imbang,” kata kenyataan itu. Dalam kenyataan yang sama, USNO turut mengucapkan terima kasih kepada Hajiji selaku Pengerusi GRS dan rakan komponen GRS atas kebersamaan sebelum ini. “USNO berjanji akan terus memperjuangkan aspirasi rakyat yang termarginalisasi,” katanya. USNO adalah antara parti pengasas GRS bersama-sama Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan BERSATU Sabah selepas berjaya menubuhkan kerajaan pada September 2020 menerusi kerjasama dengan Barisan Nasional (BN). BERSATU Sabah kemudian digantikan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) selepas semua pemimpinnya yang diketuai Hajiji meninggalkan BERSATU dan mengambil alih Gagasan Rakyat pada awal 2023. Setelah itu, GRS berkembang menjadi gabungan politik tempatan Sabah sepenuhnya dan turut menerima beberapa lagi parti untuk menyertainya iaitu Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), menjadikan gabungan itu dianggotai lapan parti. Bagaimanapun, menjelang PRN17 pada November tahun lalu, STAR dan SAPP keluar dari Gabungan itu kerana mahu bertanding atas logo sendiri dan kini USNO yang terbaharu mengikut langkah mereka. Berikutan itu, GRS kini hanya dianggotai lima parti iaitu Gagasan Rakyat, PBS, PCS, LDP dan PHRS. – Info X

April 22, 2026

Info X Reporters

Pekebun maut, kereta bertembung lori

KENINGAU: Seorang pekebun maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori tiga tan di Jalan Keningau – Tenom berhampiran Kampung Kitung, di sini, petang tadi. Dalam kejadian jam 4.15 petang itu, mangsa, Jinus Anang, 44, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian dada. Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, kemalangan membabitkan sebuah lori jenis Nissan dan sebuah Perodua Kenari. Menurutnya, siasatan awal mendapati lori dipandu lelaki berusia 37 tahun bersama seorang kelindan bergerak dari arah Tenom menuju ke Keningau. “Setiba di lokasi, sebuah Perodua Kenari dari arah bertentangan dipercayai masuk ke laluan lori sebelum berlaku pelanggaran depan dengan depan. “Akibat kejadian itu, pemandu Kenari disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, pemandu lori hanya mengalami kecederaan ringan dan mengadu sakit dada, manakala kelindannya tidak cedera. “Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat yang dijadualkan esok. “Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Info X

April 22, 2026

Info X Reporters

Ganti dokumen musnah secara percuma – PM

SANDAKAN: Mangsa kebakaran Kampung Bahagia, di sini, tidak dikenakan bayaran bagi mengganti dokumen pengenalan diri yang musnah dalam kebakaran berkenaan. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata penggantian dokumen pengenalan diri boleh dibuat secara percuma melalui perkhidmatan bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Katanya, penggantian percuma itu membabitkan dokumen seperti sijil kelahiran, MyKid, Mykad, sijil kematian dan sijil perkahwinan bukan Islam. Beliau turut memberi jaminan proses penggantian akan dilakukan secara teliti berdasarkan rekod sedia ada di JPN. Tegasnya, tiada kebimbangan mengenai kemungkinan mangsa bukan warganegara turut didaftarkan bagi membolehkan mereka mendapat dokumen. “Saya sudah bincang dengan Menteri Dalam Negeri pagi tadi dan wakil JPN akan ke sini untuk mendaftar. Kita ada rekod, tidak ada kebimbangan takut orang bukan warganegara mungkin didaftarkan kerana kita ada rekodnya. “Kita akan pastikan kita kembalikan sejarah kelahiran MyKid, Mykad, sejarah kematian, sejarah perkahwinan termasuk bukan Islam. Itu akan kita berikan dan kita tampung kosnya, tak perlu bayar,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bertemu mangsa kebakaran di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi, di sini, pada Rabu. Sementara itu, Perdana Menteri berkata, beliau menerima maklumat sebahagian besar mangsa kebakaran tidak mendaftar dengan pihak berwajib di lapangan kerana bimbang diambil tindakan undang-undang. Berikutan itu, beliau menjelaskan sekarang bukan masa untuk kerajaan menguatkuasakan undang-undang dan peraturan, sebaliknya menumpukan terhadap kebajikan mangsa kebakaran. “Saya ingin memberi jaminan bahawa setakat ini yang kita jaga keselamatan dan kebajikan mereka, bukanlah masa untuk kuatkuasa undang-undang. Kita nasihatkan mereka ikut proses mendaftar seperti biasa,” katanya. – Info X