April 22, 2026
Info X Reporters
Jangan kelirukan rakyat isu hak 40 peratus Sabah – Madius
TAMPARULI: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau, menegaskan cadangan supaya Sabah mengutamakan penyelesaian masalah prasarana kesihatan dan pendidikan berbanding menuntut pelaksanaan Hak 40 peratus adalah tidak wajar kerana kedua-dua bidang itu sememangnya menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan. Beliau berkata, perkara berkaitan kesihatan dan pendidikan telah diperuntukkan dengan jelas di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai bidang dalam Senarai Persekutuan, termasuk isu sekolah daif, klinik, hospital serta pembangunan institusi pendidikan awam di Sabah. Menurutnya, hasil 40 peratus yang dituntut pelaksanaannya oleh Sabah seharusnya dimanfaatkan untuk memperkukuh bidang di bawah tanggungjawab kerajaan negeri seperti pemberian biasiswa, bekalan air, pelabuhan, pertanian, perkhidmatan veterinar, tenaga elektrik, jalan raya di bawah Jabatan Kerja Raya negeri dan majlis daerah, jalan pertanian, pentadbiran tanah serta pembangunan luar bandar. “Selain itu, ia turut melibatkan urus tadbir Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Mahkamah Anak Negeri serta pengurusan alam sekitar dan sumber asli negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Madius berkata, kekurangan dana sejak sekian lama menyebabkan Sabah terpaksa meminjam daripada Kerajaan Persekutuan dengan kadar empat peratus bagi melaksanakan pelbagai projek asas negeri, termasuk pembinaan loji rawatan air, naik taraf pelabuhan, sistem tenaga elektrik serta pembangunan prasarana di kawasan perindustrian seperti KKIP, POIC dan SOGIP. Katanya, dalam sektor elektrik sahaja, Sabah menanggung pinjaman hampir RM3 bilion dengan Kerajaan Persekutuan, selain lebih RM2 bilion bagi menaik taraf Pelabuhan Sepanggar serta kos pembinaan loji rawatan air dan pelaksanaan sistem penyukatan tanah PANTAS yang turut memerlukan pembiayaan tambahan. Beliau turut menjelaskan isu penyukatan tanah yang masih tertangguh di banyak kawasan berpunca daripada kekangan kewangan, termasuk keperluan menambah tenaga kerja, sehingga kerajaan negeri terpaksa mendapatkan bantuan Persekutuan melalui program berkenaan. Sehubungan itu, katanya, cadangan menggunakan hasil 40 peratus bagi menampung tanggungjawab Persekutuan hanya akan mengelirukan rakyat mengenai tujuan sebenar tuntutan berkenaan. “Hak 40 peratus ini penting bagi memastikan Sabah mempunyai keupayaan kewangan lebih kukuh untuk membangunkan bidang di bawah kuasa negeri yang sekian lama tertangguh akibat kekurangan dana,” katanya. Dalam pada itu, Madius mengingatkan rakyat Sabah supaya tidak melupakan beberapa keputusan lampau yang memberi kesan besar kepada negeri, termasuk penyerahan Labuan kepada Kerajaan Persekutuan tanpa pampasan, yang menurutnya merugikan Sabah dan rakyat Labuan. Beliau berkata, kira-kira 300,000 ekar tanah di Lahad Datu dan Tawau turut diserahkan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan semasa pentadbiran terdahulu, sekali gus memberi kesan terhadap pemilikan aset strategik negeri. Tegasnya, rakyat Sabah perlu memahami kedudukan sebenar isu berkenaan supaya masa depan negeri dapat dipertahankan berasaskan fakta tepat dan bukan kenyataan yang mengelirukan. Beliau turut menyeru rakyat Sabah agar tidak terkeliru dengan cadangan tersebut, sebaliknya bersama kerajaan negeri menuntut pelaksanaan Hak 40 peratus Sabah seperti yang diputuskan mahkamah. – Info X
April 22, 2026
Info X Reporters
RM1,500 untuk keluarga mangsa, RM300 untuk pelajar sekolah – PM
SANDAKAN: Seramai 300 keluarga mangsa kebakaran Kampung Bahagia, di sini, bakal menerima sumbangan ihsan sebanyak RM1,500 daripada kerajaan Persekutuan. Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sumbangan itu dilaksanakan Unit Penyelaras Pelaksana (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Sumbangan itu, katanya membabitkan peruntukan berjumlah RM450,000 dan akan disalurkan segera kepada keluarga yang dikenal pasti. “Kita tahu ini bukan penyelesaian dan hanya langkah sementara dan saya mahu disampaikan segera. Saya tidak mahu tertangguh sebab keluarga itu harus mendapat jaminan,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi, di sini, pada Rabu. Perdana Menteri diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapha Sakmud dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. Perdana Menteri turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM300 untuk setiap murid sekolah yang terjejas dalam kebakaran itu. Katanya, bantuan disalurkan Kementerian Pendidikan itu akan memberi manfaat kepada seramai 454 anak warganegara daripada 12 sekolah. Beliau berkata, Kementerian Pendidikan juga bersetuju untuk memberi kelonggaran kepada pelajar dan murid yang terjejas tidak menggunakan pakaian seragam sekolah buat sementara waktu. “Mulai esok, mereka harus pergi ke sekolah dan akan ada kelonggaran iaitu tidak perlu pakai uniform sekolah buat sementara waktu. “Kalau perlu beberapa bantuan dari segi kenderaan untuk ke sekolah dan sebagainya, kita nanti pastikan supaya ada bantuan tambahan supaya anak-anak ke sekolah,” katanya. Perdana Menteri turut meninjau lokasi bencana kebakaran di Kampung Bahagia yang sebelum ini menempatkab kira-kira 1,000 kediaman, sebelum musnah dijilat api pada Ahad lalu. Bencana itu menyebabkan kira-kira 9,000 orang hilang tempat tinggal. – Info X
April 22, 2026
Info X Reporters
PM, Hajiji lawat mangsa kebakaran Kampung Bahagia
SANDAKAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke lokasi kebakaran Kampung Bahagia dan melawat mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), di sini, pada Rabu. Perdana Menteri tiba di Lapangan Terbang Sandakan pada jam 3.35 petang sebelum menerima taklimat tragedi kebakaran daripada Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Datuk Walter Kenson di bilik kenamaan Lapangan Terbang Sandakan. Beliau bersama Ketua Menteri kemudian ke Kampung Bahagia untuk meninjau lokasi kejadian dan melihat sendiri tahap kemusnahan. Mereka seterusnya ke PPS Dewan PPR Taman Batu Sapi bagi meninjau keadaan mangsa, sebelum berlepas pulang kira-kira jam 5.50 petang. – Info X
April 22, 2026
Info X Reporters
Charlie, Derry ‘anggota’ baharu K9 JBPM Sabah
KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah kini menerima suntikan kekuatan baharu dengan kehadiran dua anjing pengesan K9 bagi memperkasakan operasi siasatan kebakaran di negeri ini. Kedua-dua anjing K9 dikenali sebagai Charlie dan Derry itu yang dilatih dalam disiplin Fire Investigation (penyiasatan kebakaran) tiba kira-kira jam 4 petang, hari ini. Kehadiran aset berkenaan dijangka membantu JBPM Sabah dalam mempercepatkan pengesanan punca kebakaran, selain turut digunakan bagi mengesan mangsa tertimbus, hilang atau meninggal dunia dalam operasi menyelamat. Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah berkata, pihaknya bersedia menggerakkan aset berkenaan dalam operasi siasatan di seluruh negeri. Katanya, penggunaan anjing K9 dalam siasatan kebakaran sebelum ini terbukti berkesan dalam membantu mengenal pasti bahan mudah terbakar serta mempercepatkan proses siasatan di lokasi kejadian. – Info X
April 22, 2026
Info X Reporters
Wanita asing sorok 680kg minyak masak paket, dicekup
SEMPORNA: Taktik seorang wanita warga asing menyimpan minyak masak paket di premis tidak berlesen terbongkar apabila diserbu pihak berkuasa dalam satu operasi di Kampung Batu, di sini, semalam. Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna, Satunlucy Lamioh @ Lamidah berkata, pihaknya menerima kes serahan daripada Batalion N22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak sebelum tindakan lanjut diambil. Katanya, hasil pemeriksaan di sebuah rumah tanpa nombor mendapati sebanyak 680 kilogram minyak masak paket bersamaan 40 kotak disimpan di lokasi yang tidak mendapat kelulusan Pengawal Bekalan. “Kesemua barang kawalan itu disyaki disimpan bagi tujuan yang menyalahi undang-undang dan nilai rampasan dianggarkan sekitar RM1,700. “Seorang wanita warga asing turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, susulan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi tindakan lanjut. Beliau turut memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat supaya tidak menyalahgunakan barang kawalan atau melanggar peraturan yang ditetapkan. “Mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan tegas termasuk denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan RM3 juta bagi kesalahan berikutnya bagi individu. “Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah sehingga RM2 juta dan RM5 juta bagi kesalahan seterusnya,” katanya. Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan boleh menyalurkannya melalui WhatsApp 019-848 8000, talian 1-800-886-800, e-mel atau aplikasi Ez ADU KPDN. – Info X
April 22, 2026
Info X Reporters
Jurutera penting jayakan SMJ 2.0 – KM
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengakui sumbangan profesion kejuruteraan dalam membantu merealisasikan agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0. Sejajar dengan itu, beliau menyatakan rasa gembira melihat kesiapsiagaan dan komitmen Institusi Jurutera Malaysia Cawangan Sabah (IEM Sabah) untuk terus membantu Kerajaan Negeri dalam merealisasikan visi itu. Hajiji berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat delegasi IEM Sabah yang diketuai pengerusinya, Datuk Ir Mohd Yaakob di Menara Kinabalu pada Selasa. Dalam pertemuan itu, IEM Sabah merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas sumbangan dan sokongan terhadap program mereka, terutama Persidangan Persekutuan Organisasi Kejuruteraan ASEAN (CAFEO) yang diadakan di sini pada Oktober 2024. Mohd Yaakob secara rasmi akan menamatkan tempoh perkhidmatannya sebagai Pengerusi Cawangan IEM Sabah pada Jun depan dan akan digantikan Naib Pengerusinya, Ir Tan Kok Jyh. – Info X
April 22, 2026
Info X Reporters
Pemandu disyaki punca kemalangan maut babitkan pelajar ditahan
KENINGAU: Polis menahan seorang lelaki disyaki pemandu kenderaan pacuan empat roda yang terbabit dalam kemalangan maut membabitkan pelajar Tingkatan Empat di Jalan Keningau – Apin Apin, berhadapan SMK Keningau II, pada Isnin lalu. Penahanan itu dibuat susulan penularan satu video berdurasi 28 saat di media sosial semalam yang memaparkan sebuah kenderaan berhenti di lorong laju sebelah kanan menghala ke pekan Keningau, dipercayai berkaitan kejadian berkenaan. Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, tangkapan dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Keningau terhadap lelaki terbabit bagi membantu siasatan. Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk meneliti rakaman video yang tular serta keterangan saksi di lokasi kejadian. “Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Terdahulu, dalam kejadian 20 April lalu kira-kira jam 6.40 pagi, kemalangan membabitkan sebuah Toyota Revo dan motosikal jenis WMOTO berlaku di hadapan SMK Keningau II. Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa dari arah bulatan hospital menuju ke pekan Keningau terlanggar bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda yang tiba-tiba berhenti di lorong kanan. Mangsa mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Keningau kira-kira jam 9.30 pagi. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Info X
April 22, 2026
Info X Reporters
Pengedar ditahan, ganja lebih 600 gram dirampas
PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan dipercayai pengedar ditahan bersama ganja seberat lebih 600 gram dalam serbuan Op Tapis di Jalan Pantai Berahi, Putatan, di sini, semalam. Dalam operasi itu, suspek berusia 25 tahun ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek menemukan enam paket plastik lut sinar mengandungi ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja. “Anggaran berat keseluruhan rampasan ialah 641.82 gram dengan nilai sekitar RM1,890,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. “Jika disabitkan kesalahan, suspek berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali,” katanya. Menurutnya, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam penyalahgunaan dan pengedaran dadah. “Usaha membanteras jenayah ini akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat. “Orang ramai turut diseru menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah, khususnya pengedaran dadah, bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya. – Info X