April 22, 2026
Info X Reporters
JSJN Sabah gempur dua lokasi, pengedar dicekup bersama dadah
KOTA KINABALU: Usaha berterusan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah membanteras pengedaran dadah membawa kepada penahanan tiga individu termasuk seorang remaja dalam dua operasi berasingan di Penampang dan Tuaran, malam hingga awal pagi tadi. Dalam serbuan pertama kira-kira jam 9.05 malam di lobi sebuah kondominium di Bundusan, Penampang seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, pemeriksaan lanjut menemui tiga paket plastik berisi serbuk disyaki ekstasi seberat 113.20 gram serta dua paket kecil mengandungi hablur jernih disyaki ketamin seberat 5.13 gram. “Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak kira-kira dua bulan lalu dan mengaku semua barang kes yang dirampas adalah miliknya. “Suspek juga dipercayai mendapatkan bekalan melalui kaedah “buang dan ambil” daripada seorang individu,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Sementara itu, beliau berkata dalam operasi kedua kira-kira jam 12.05 tengah malam di Taman Telipok Ria, Tuaran, dua lagi individu termasuk seorang remaja ditahan ketika berada di tepi bangunan dalam keadaan mencurigakan. “Pemeriksaan menemui dua botol berisi cecair disyaki air ketum, selain satu paket ganja seberat 0.8 gram dan satu straw mengandungi cecair disyaki THC. “Kedua-dua suspek berusia 16 dan 28 tahun itu mengaku mendapatkan bekalan daripada seorang individu di kawasan sama,” katanya. Beliau berkata, kes pertama disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala kes kedua disiasat di bawah Seksyen 6 akta sama serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. Tambahnya, pihaknya akan meneruskan risikan dan usaha mengesan pembekal bagi mengekang aktiviti pengedaran dadah di negeri ini. – Info X
April 22, 2026
Info X Reporters
Suspek kedua kes dokumen palsu RM500,000 ditahan SPRM
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang lagi suspek dipercayai terbabit dalam kes mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan kira-kira RM500,000. Lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 3.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu. Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek yang juga penjawat awam serta pengarah sebuah syarikat kontraktor disyaki bersubahat dengan seorang lagi lelaki. “Lelaki terbabit ialah pengarah syarikat pembinaan yang sudah ditahan pada Isnin lalu. “Suspek ditahan berkaitan kes yang sama iaitu mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan kontrak kerja-kerja pembersihan di sebuah pejabat polis di negeri ini bernilai kira-kira RM500,000,” katanya. Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – Info X
April 21, 2026
Info X Reporters
Sabah FC bangkit, kejayaan Piala Cabaran MFL 2026 suntik semangat baharu
KOTA KINABALU: Bekas pengurus pasukan bola sepak Sabah, Ronald Cooke, memuji kejayaan Sabah FC menjulang Piala Cabaran MFL 2026, sambil menyifatkannya sebagai kemenangan bersejarah yang amat dinanti-nantikan selepas sekian lama pasukan itu berdepan prestasi tidak menentu. Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan Sabah memiliki keupayaan untuk kembali sebagai pasukan yang digeruni, sekali gus mampu mengangkat semula maruah bola sepak negeri. “Kemenangan ini menunjukkan Sabah mempunyai segala yang diperlukan untuk berjaya. Ia juga mampu meningkatkan moral pasukan bagi meneruskan rentak kemenangan dan membanggakan rakyat Sabah,” katanya. Mengulas lanjut, Cooke berkata, kejayaan itu membawa makna lebih besar kepada pembangunan bola sepak Sabah, terutama selepas pasukan itu melalui tempoh sukar termasuk masalah kewangan, pertukaran pemain serta prestasi yang tidak konsisten. Menurutnya, kejayaan menjulang trofi berkenaan perlu dijadikan asas kukuh untuk memperkukuh struktur pengurusan pasukan, pembangunan bakat muda serta penglibatan penyokong. Dalam pada itu, beliau turut memuji kepimpinan Menteri Belia dan Sukan Sabah, Nizam Abu Bakar Titingan dan pembantunya, Datuk Fairuz Renddan yang disifatkan proaktif serta komited dalam memajukan arena sukan negeri sejak mengambil alih portfolio berkenaan. “Sejak hari pertama, mereka menunjukkan penglibatan secara langsung dalam pembangunan sukan Sabah. Saya yakin di bawah kepimpinannya, masa depan sukan negeri akan lebih cerah,” katanya. Cooke turut menggesa semua persatuan sukan di Sabah agar bekerjasama rapat dengan kementerian bagi memastikan setiap cabang sukan dapat berkembang ke tahap lebih tinggi demi kepentingan negeri dan negara. Katanya, kejayaan Sabah FC itu bukan sahaja menjadi titik perubahan kepada pasukan, malah simbol ketahanan dan kebangkitan semula sukan Sabah secara keseluruhan. – Info X
April 21, 2026
Info X Reporters
Lelaki pukul isteri ditahan
TAWAU: Seorang wanita berusia lingkungan 40-an cedera selepas dipukul suaminya dalam kejadian di sebuah rumah di Tanjung Batu Darat, di sini, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa dilaporkan dipukul di bahagian muka dipercayai berpunca daripada salah faham sebelum mengalami luka dan kesakitan. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sebelum tindakan lanjut dijalankan. “Bertindak atas laporan kes keganasan rumah tangga, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tawau berjaya mengesan dan menahan suspek. “Suspek adalah lelaki berusia kira-kira 25 tahun, pemegang kad pengenalan pemastautin sementara dan bekerja sebagai kelindan lori,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, suspek ditahan di Jalan Aman dan dibawa ke balai polis untuksiasatan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya. – Info X
April 21, 2026
Info X Reporters
Berkhidmat demi masyarakat, meskipun dicemuh anggota bomba tetap berkorban
KEBAKARAN yang memusnahkan ribuan rumah di Kampung Bahagia, Sandakan, baru-baru ini bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada mangsa, malah membuka satu lagi sisi yang sering berulang, anggota bomba dipersalahkan. Di media sosial, pelbagai dakwaan timbul. Ada yang menuduh pasukan penyelamat lambat tiba, ada juga yang mempertikaikan kecekapan operasi. Namun, di sebalik kecaman itu, jarang yang benar-benar memahami realiti sebenar di lapangan. Hakikatnya, anggota bomba bukan sekadar “datang padam api”. Mereka berdepan risiko nyawa setiap kali melangkah ke lokasi kebakaran. Dalam kes Kampung Bahagia, struktur penempatan itu sendiri menjadi cabaran utama. Rumah atas air yang padat, dibina rapat tanpa jarak keselamatan, ditambah laluan sempit yang menyukarkan jentera berat masuk, menjadikan api mudah merebak dalam tempoh singkat. Apabila api mula marak, faktor angin dan bahan binaan mudah terbakar mempercepatkan kebakaran. Dalam keadaan itu, walaupun pasukan bomba tiba dalam tempoh munasabah, api sudah merebak luas, sesuatu yang sering disalah tafsir sebagai “lewat”. Sedangkan, setiap minit pertama kebakaran adalah kritikal. Jika struktur kawasan tidak menyokong kawalan api, kebakaran boleh menjadi tidak terkawal dalam masa singkat, walaupun respons awal pantas diberikan. Apa yang jarang disedari, anggota bomba sendiri terdedah kepada pelbagai risiko ketika operasi. Mereka berdepan kemungkinan letupan, runtuhan struktur, haba melampau, selain asap tebal yang boleh menjejaskan pernafasan. Di Sabah, sudah beberapa kali dilaporkan anggota bomba cedera ketika menjalankan operasi, sama ada akibat terjatuh, terkena serpihan atau mengalami keletihan melampau. Risiko kematian juga bukan sesuatu yang asing dalam profesion ini, walaupun tidak kerap dilaporkan secara meluas. Namun, setiap kali tragedi berlaku, fokus sering beralih kepada mencari salah dan bomba menjadi sasaran mudah. Perlu difahami, keberkesanan operasi memadam kebakaran bukan hanya bergantung kepada kepantasan respon, tetapi juga kepada faktor persekitaran. Kawasan setinggan atau penempatan padat seperti Kampung Bahagia sememangnya berisiko tinggi kerana tiada pelan susun atur yang sistematik, kekurangan sumber air tetap, dan akses terhad. Dalam situasi seperti ini, cabaran sebenar bermula sebaik sahaja pasukan tiba, bukan sekadar masa respon. Tulisan ini bukan untuk menafikan perasaan mangsa yang kehilangan tempat tinggal, tetapi sebagai peringatan bahawa menyalahkan pasukan penyelamat bukanlah penyelesaian. Sebaliknya, pendekatan lebih menyeluruh diperlukan, termasuk kesedaran keselamatan kebakaran, perancangan penempatan yang lebih teratur, serta kerjasama komuniti dalam mencegah risiko. Anggota bomba menjalankan tugas dalam keadaan yang kebanyakan orang tidak sanggup hadapi. Mereka masuk ketika orang lain keluar menyelamatkan diri. Justeru, sebelum jari menuding, mungkin wajar difikirkan, dalam keadaan sebenar di Kampung Bahagia, adakah sesiapa mampu melakukan lebih baik dalam tempoh yang sama? Kerana di sebalik asap tebal dan api marak itu, ada insan yang mempertaruhkan nyawa, bukan untuk dipuji, tetapi untuk memastikan yang lain terus hidup. – Info X
April 21, 2026
Info X Reporters
Pencarian berakhir, mangsa kedua bot karam ditemui
KOTA BELUD: Mangsa kedua bot karam di Kampung Tamau Batu Gadung, di sini, ditemui petang ini selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) masuk hari ketiga. Mangsa, Mohammad Iqram Jumaat, 23, ditemui kira-kira jam 2.45 petang oleh pasukan SAR di perairan Bira-biraan, sekitar empat kilometer dari lokasi bot dilaporkan karam. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Elgie Bakuk berkata, mangsa kemudian dibawa ke Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) sebelum disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. “Operasi hari ketiga bermula seawal jam 8 pagi sebelum pencarian dibahagikan kepada tiga sektor iaitu di pesisir kiri dan kanan serta kawasan laut menggunakan bot. “Mangsa ditemui oleh pasukan sektor laut sebelum dibawa ke darat,” katanya dalam kenyataan hari ini. Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang pada Ahad lalu, bot dinaiki lapan lelaki untuk keluar memancing dipercayai dipukul ombak sebelum terbalik di muara sungai kampung berkenaan. Enam mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai, manakala dua lagi dilaporkan hilang dan dipercayai lemas. Terdahulu, seorang lagi mangsa, Mohammad Dzul Nazri Abdul, 18, ditemui orang awam kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Kota Belud, namun disahkan meninggal dunia. Operasi SAR yang bermula sejak hari kejadian membabitkan pelbagai agensi termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta orang awam. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.15 petang hari ini. – Info X
April 21, 2026
Info X Reporters
Lelaki tular buat kekacauan ditahan, syabu dirampas
KENINGAU: Tindakan seorang lelaki yang sebelum ini tular di media sosial kerana didakwa menimbulkan kekacauan akhirnya membawa padah apabila dia ditahan polis bersama dadah, hari ini. Dalam serbuan jam 1.39 petang itu, lelaki tempatan berusia 40 tahun ditahan di belakang bangunan UPLUS 4, Jalan Masjid Pekan Keningau. Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, tangkapan dilakukan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Keningau hasil risikan dan pemantauan di lokasi berkenaan. “Hasil pemeriksaan terhadap suspek menemukan satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu seberat kira-kira 0.15 gram dengan anggaran nilai RM30. “Suspek juga dipercayai individu yang sering tular di media sosial sebelum ini kerana dikaitkan dengan perlakuan yang menimbulkan keresahan masyarakat di sekitar daerah ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, suspek kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Beliau berkata, pihak polis khususnya BSJN Keningau akan terus mempergiat operasi dari semasa ke semasa bagi membanteras penyalahgunaan dadah. “Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya. – Info X
April 21, 2026
Info X Reporters
Kastam Labuan sita tiga kontena minuman keras bernilai RM1.29 juta
LABUAN: Helah sebuah syarikat mengimport minuman keras melebihi kuota terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyita tiga kontena dalam operasi di Pelabuhan Merdeka, di sini, 17 Mac lalu. Rampasan membabitkan tiga kontena bersaiz 20 kaki itu dianggarkan bernilai RM343,400, manakala jumlah duti dan cukai mencecah RM948,168.61, menjadikan keseluruhan nilai lebih RM1.29 juta. Pengarah Kastam Labuan, Aspalila Ag Tuah berkata, tindakan itu hasil risikan Bahagian Perkastaman sebelum Pasukan Operasi Penguatkuasaan menyerbu lokasi kira-kira jam 10 pagi. “Siasatan awal mendapati minuman keras itu diimport oleh sebuah syarikat yang memiliki lesen sah bagi tempoh 20 Mac 2025 hingga 19 Mac 2026 dengan kuota import sebanyak 250,000 liter. “Namun, siasatan lanjut mendapati syarikat berkenaan dipercayai mengimport melebihi kuota dibenarkan iaitu sebanyak 52,746.24 liter walaupun lesen masih berkuat kuasa,” katanya dalam sidang media khas di Kompleks Penguatkuasaan dan Pematuhan Kiamsam, di sini, hari ini. Beliau berkata, pengimportan minuman keras tertakluk kepada pemilikan lesen import mengikut kuota yang diluluskan serta setem cukai yang diluluskan Ketua Pengarah Kastam Malaysia selaras Peraturan 42(1), Peraturan-Peraturan Kastam 2019. Menurutnya, modus operandi digunakan adalah dengan mengimport minuman keras melalui tiga kontena dan membuat pengikraran menggunakan dua Borang Kastam No. 1. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 138 Akta Kastam 1967. Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan termasuk rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan. “Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat kastam berhampiran. Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya. – Info X