Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

February 7, 2026

Info X Reporters

Tujuh vesel nelayan Filipina ditahan, ceroboh perairan Pulau Balambangan

KUDAT: Tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menggagalkan cubaan tujuh vesel nelayan asing (VNA) warga Filipina menceroboh perairan negara di sekitar Pulau Balambangan, hari ini. Pengarah APMM Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, pencerobohan itu dikesan menerusi Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah sebelum dua bot ronda digerakkan ke lokasi berhampiran Tanjung Kalutan. “Hasil operasi, semua tujuh vesel berjaya ditahan dan pemeriksaan mendapati 21 individu termasuk tekong, berusia antara 17 hingga 60 tahun, berada di atas vesel terbabit. “Semua vesel bersama kru kemudian diiring ke Pusat Tahanan Vesel, Sabah Port Kudat bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM100,000. “Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana memasuki perairan Malaysia tanpa kebenaran, selain Akta Imigresen 1959/63 selepas kesemua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya. Dalam pada itu, beliau berkata APMM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pencerobohan perairan negara dan akan terus mempertingkatkan rondaan serta penguatkuasaan, khususnya di kawasan perairan berisiko tinggi. “Orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di perairan negara ke Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau melalui talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya. – Info X

February 7, 2026

Info X Reporters

Bekalan elektrik belum stabil, kenapa naikkan tarif – Shafie

KOTA KINABALU: Parti Warisan mempersoalkan keputusan kerajaan negeri menaikkan tarif elektrik ketika bekalan utiliti itu masih tidak stabil dan kos sara hidup rakyat terus meningkat. Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam satu kenyataan, berkata, alasan kerajaan yang menyifatkan kenaikan itu sebagai tidak dapat dielakkan dan berimpak minimum tidak boleh diterima kerana perkhidmatan asas belum mencapai tahap yang memuaskan. “Apabila perkhidmatan asas gagal berfungsi dengan baik, rakyat tidak seharusnya diminta membayar lebih. “Kenaikan ini bukan sekadar melibatkan bil elektrik yang lebih tinggi bagi isi rumah dan industri. Ia akan meningkatkan kos operasi perniagaan, menaikkan harga barangan dan perkhidmatan, melemahkan perniagaan kecil serta mengurangkan kuasa perbelanjaan rakyat di seluruh Sabah,” katanya. Ahli Parlimen Semporna itu berkata, persoalan sebenar ialah sama ada kerajaan telah menangani punca utama masalah dalam sistem bekalan elektrik Sabah sebelum memindahkan beban kos kepada pengguna. Katanya, Sabah sangat bergantung kepada Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) dan banyak perjanjian bekalan tenaga dimeterai bertahun-tahun lalu yang wajar disemak semula bagi memastikan Sabah tidak menanggung kos yang lebih tinggi daripada sepatutnya. “Warisan menggesa kerajaan negeri menjelaskan secara telus asas pengiraan tarif baharu ini, menyemak perjanjian IPP serta meningkatkan kecekapan dan pengurusan dalam Sabah Electricity. “Elektrik adalah keperluan asas. Rakyat Sabah tidak seharusnya dipaksa membayar lebih selagi masalah bekalan masih berlarutan,” katanya. Sabah Electricity sebelum ini mengumumkan pelaksanaan semakan semula kadar tarif elektrik di Sabah berkuatkuasa pada 1 Februari lalu yang menyaksikan kadar purata tarif asas 34.52 sen/kWj diselaraskan kepada 39.70 sen/kWj. – Info X

February 7, 2026

Info X Reporters

Ambil pekerja warga China tanpa permit, pengurus restoran ditahan

LABUAN: Seorang wanita warga tempatan ditahan selepas dipercayai menggaji sembilan pekerja warga China tanpa permit kerja sah dalam serbuan polis di sebuah premis restoran di bandar ini, pada 5 Februari lalu. Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan. Menurutnya, ketika serbuan, wanita berkenaan didapati bekerja sebagai pengurus, manakala tujuh lelaki dan dua wanita warga asing bertugas sebagai pelayan serta tukang masak. “Hasil pemeriksaan mendapati semua pekerja warga asing berusia antara 18 hingga 53 tahun itu tidak memiliki permit kerja sah dan dipercayai bekerja di premis berkenaan sejak Julai 2025. “Polis menahan semua individu terbabit dan merampas beberapa dokumen bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. “Permohonan reman terhadap semua tangkapan dibuat di Mahkamah Majistret Wilayah Persekutuan Labuan pada 6 Februari dan dibenarkan sehingga 9 Februari ini. “Siasatan masih diteruskan dan orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah kepada pihak polis,” katanya. – Info X

February 6, 2026

Info X Reporters

Pendaki diusung turun kerana masalah kesihatan

RANAU: Seorang pendaki terpaksa diusung turun oleh Pasukan Bomba Bantuan (PBB) Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) selepas mengalami masalah kesihatan, hari ini. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Rantey Fred berkata, mangsa berusia 33 tahun dilaporkan mengalami sesak nafas dan sakit dada ketika menaiki Gunung Kinabalu. Katanya, Pasukan MOCSAR menerima panggilan kecemasan daripada malim gunung mengenai seorang pendaki yang mengalami masalah kesihatan pada 9.41 pagi. “Pasukan MOCSAR bersama Sabah Park terus bertindak membawa mangsa turun dari kilometer 1, menggunakan stretcher ke Timpohon Gate. “Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Sabah Park dan seterusnya dihantar ke Hospital menggunakan kenderaan agensi berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.14 pagi. – Info X

February 6, 2026

Info X Reporters

Edar serbuk ekstasi, ketamin lelaki dicekup JSJN Sabah

PENAMPANG: Kegiatan seorang lelaki mengedar dadah jenis serbuk ekstasi dan ketamin terbongkar apabila dia ditahan polis bersama hampir setengah kilogram dadah di sini, pada Rabu. Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan kira-kira jam 11 malam selepas sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menjalankan pemerhatian di hadapan sebuah kondominium di daerah ini sebelum menahannya di dalam kenderaan. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, pemeriksaan ke atas sebuah kereta Toyota Altis yang dinaiki suspek membawa kepada penemuan 15 paket plastik mengandungi serbuk disyaki dadah jenis ekstasi seberat 498.01 gram. “Pasukan serbuan turut menemui enam paket kecil mengandungi dadah disyaki jenis ketamin seberat 15.10 gram dalam pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan. “Turut dirampas 65 batang rokok disyaki mengandungi dadah, dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM14,450,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku semua dadah yang dirampas adalah miliknya dan dipercayai memperoleh bekalan daripada seorang individu. “Bekalan dadah jenis ekstasi dan ketamin itu dipercayai dihantar ke sebuah pusat hiburan, dengan kuantiti sekitar 15 paket ekstasi dan 25 gram ketamin. “Suspek juga dipercayai aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak Oktober 2025,” katanya. Menurutnya, siasatan masih diteruskan termasuk mengesan rangkaian pengedaran dadah yang dipercayai terbabit serta sumber bekalan dadah berkenaan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan. “Suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut dan polis tidak menolak kemungkinan tangkapan susulan akan dibuat bagi menjejaki rangkaian pengedaran dadah berkenaan. – Info X

February 6, 2026

Info X Reporters

Rumah terbuka Tahun Baharu Cina di SICC pada 17 Februari

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan mengadakan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 17 Februari ini. Menerusi satu kenyataan, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Arifin, berkata majlis itu diadakan di Dewan Kinabatangan Tingkat 2, SICC bermula jam 10 pagi hingga 2 petang. “Majlis ini akan diserikan dengan keberangkatan tetamu kehormat, Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memelihara keharmonian, perpaduan serta kepelbagaian budaya dalam kalangan masyarakat. “Penganjuran majlis ini bukan saja menjadi simbol perpaduan rakyat berbilang kaum, malah turut berperanan sebagai platform strategik untuk memperkukuh pelancongan budaya negeri. “Sambutan rumah terbuka sepertiini memberi peluang kepada pelancong domestik dan antarabangsa untuk menyelami keunikan adat dan tradisi serta warisan budaya yang menjadi identiti Sabah sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa,” katanya. Sehubungan itu, Jafry menjemput seluruh rakyat negeri ini serta orang awam untuk hadir beramai-ramai bagi memeriahkan majlis itu. Katanya, selain orang awam, sekolah-sekolah, penjawat awam Persekutuan dan Negeri, wakil-wakil agensi Persekutuan di Sabah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan-persatuan etnik serta persatuan Cina juga turut dijemput bagi memeriahkan sambutan itu dalam semangat kebersamaan dan muhibah. “Pelbagai pengisian menarik telah disusun khas untuk orang ramai termasuk persembahan kebudayaan yang memukau seperti tarian singa, paluan mercun (firecrackers) serta upacara menggaul Yee Sang di samping sajian tradisional pelbagai kaum dan hidangan istimewa untuk orang awam yang disediakan oleh 15 buah hotel lima bintang terkemuka di Sabah. “Sambutan ini turut dimeriahkan dengan kehadiran dan persembahan artis-artis terkemuka dari Sabah serta peringkat antarabangsa selain pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang mesra keluarga bagi menjanjikan pengalaman yang meriah, penuh warna-warni dan tidak dapat dilupakan,” katanya. Jafry berkata, beliau yakin penganjuran majlis itu akan menyumbang kepada pemulihan dan pertumbuhan sektor pelancongan negeri di samping merancakkan ekonomi setempat melalui penganjuran acara berimpak tinggi berasaskan kebudayaan. “Marilah kita bersama-sama memeriahkan sambutan ini dalam suasana penuh keharmonian dan saling menghormati sambil mempromosikan keunikan serta kepelbagaian budaya Sabah kepada dunia. “Gong Xi Fa Cai dan Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina,” katanya. – Info X

February 5, 2026

Info X Reporters

Sabah TLAS+ jadikan Sabah peneraju ekonomi hijau global yang dipercayai – KM

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri pada Khamis melancarkan Buku Sistem Jaminan Perundangan Kayu Sabah Plus (Sabah TLAS+) sebagai bukti kesiapsiagaan negeri untuk berdagang secara bertanggungjawab, melindungi hutan demi generasi akan datang serta kekal sebagai peneraju yang dipercayai dalam ekonomi hijau global. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata Sabah TLAS+ adalah sistem pertama seumpamanya di dunia yang menyelaraskan secara menyeluruh aspek perundangan, keperluan bebas penebangan hutan di bawah Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) dan prinsip kelestarian sukarela dalam satu rangka kerja bersepadu. “Ini meletakkan Sabah di barisan hadapan jangkaan peraturan dan pasaran global,” katanya dalam ucapan pelancaran Buku Sabah TLAS+ di Hotel Hilton, di sini, pada Khamis. Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun. Hajiji berkata Buku Sabah TLAS+ dihasilkan sebagai tindak balas terhadap perkembangan pasaran global, termasuk EUDR yang dijangka berkuat kuasa menjelang akhir 2026. Katanya, perkembangan itu menuntut produk kayu bukan saja sah dari segi undang-undang, malah bebas penebangan hutan, boleh dijejaki dan melalui penilaian risiko yang ketat. “Kerajaan Negeri, menerusi Jabatan Perhutanan Sabah mengambil langkah proaktif dengan bekerjasama bersama Fasiliti Kerjasama Kesatuan Eropah-Malaysia pada 2024 bagi menaik taraf sistem sedia ada kepada Sabah TLAS+. “Peningkatan ini memastikan rangka kerja tadbir urus kita kekal sejajar dengan piawaian antarabangsa, di samping memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan integriti di sepanjang keseluruhan rantaian bekalan,” katanya. Ketua Menteri berkata, Sabah TLAS+ mengintegrasikan elemen tadbir urus termaju, termasuk kebolehjejakan digital, geolokasi serta perlindungan sosial dan alam sekitar yang diperkukuh. “Ia memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap keperluan bebas penebangan hutan dan bebas degradasi hutan. Selain itu, ia turut merangkumi prinsip sukarela yang sejajar dengan Arahan Ketekunan Wajar Kelestarian Korporat Kesatuan Eropah (EU CS3D). “Ini sekali gus memperkasa syarikat untuk memperkukuh pengurusan risiko hak asasi manusia dan alam sekitar selaras dengan jangkaan Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) global,” katanya. Hajiji berkata, secara praktikal, pengeluar kayu Sabah kini bukan sekadar memenuhi piawaian undang-undang minimum, malah dilengkapi keupayaan untuk membuktikan pematuhan yang telus dan bersedia ESG bagi pasaran dunia. “Sabah kini terbuka untuk perniagaan lestari. Kayu-kayan kita adalah sah, boleh dijejaki, dihasilkan secara bertanggungjawab dan berdaya saing di peringkat global,” katanya. Ketua Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Kesatuan Eropah atas sokongan teknikal dan kewangan yang diberikan. “Kita menghargai kerjasama ini dan menantikan peluasan kerjasama ke bidang baharu, termasuk pendidikan dan pemuliharaan. “Saya juga memuji Jabatan Perhutanan Sabah serta pemain industri dan pihak berkepentingan kerana merealisasikan visi ini,” katanya. – Info X

February 5, 2026

Info X Reporters

Bekas Pengarah JBPM Labuan dituduh terima rasuah RM10,000

LABUAN: Bekas Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Labuan pada Khamis atas satu pertuduhan membabitkan rasuah berjumlah RM10,000 yang didakwa berlaku pada Mei 2020. Tertuduh, Ismaidi Ismail, 56, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elsie Primus. Berdasarkan kertas pertuduhan, Ismaidi sebagai seorang penjawat awam iaitu Pengarah JBPM Wilayah Persekutuan Labuan didakwa menerima suapan dalam bentuk wang tunai berjumlah RM10,000. Suapan itu didakwa diterima daripada sebuah syarikat yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi di JBPM Labuan. Kejadian didakwa berlaku sekitar Mei 2020 ketika kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih kuarters JBPM Labuan membabitkan syarikat berkenaan. Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan RM10,000 sebagai deposit dan seorang penjamin. Tertuduh turut diperintah melaporkan diri di Pejabat SPRM terdekat setiap dua bulan sekali. Mahkamah menetapkan 13 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, PPs Joe Randy Juster, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X