September 7, 2026
BERNAMA
Jerebu: Tiada proses pengajian terjejas, KPT laksana tindakan anjal – Zambry
PUTRAJAYA: Tiada proses pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) yang terjejas susulan keadaan jerebu setakat ini, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. Beliau berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil tindakan anjal termasuk membenarkan pelaksanaan pengajian dalam talian bagi memastikan proses pembelajaran kekal dilaksana. “Kita sentiasa memantau keadaan jerebu khususnya di Sabah dan Sarawak yang dilaporkan terjejas lebih serius. “Setakat ini tiada pengajian yang terjejas kerana jika mereka tidak dapat pergi ke bilik kuliah, maka kita buat dalam talian,” katanya. Beliau berkata demikian selepas majlis serahan surat tajaan yuran pengajian kepada pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) anjuran KPT dengan kerjasama Majlis Peperiksaan Malaysia di sini hari ini. Zambry berkata KPT juga telah memaklumkan kepada semua IPT termasuk universiti, politeknik dan kolej komuniti supaya sentiasa memantau perkembangan jerebu di kawasan masing-masing. Beliau berkata sebarang tindakan berkaitan proses pembelajaran akan dilaksanakan berdasarkan arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa. “Kita mengikuti perkembangan ini dan menerima arahan daripada jabatan berkaitan serta akan memastikan setiap proses pembelajaran pelajar berteraskan kepada arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan,” katanya. Setakat 8 pagi ini, Samarahan menjadi satu-satunya kawasan di Sarawak yang merekodkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat iaitu 226. Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS), sebanyak 40 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat, 24 kawasan pada tahap sederhana dan dua kawasan pada tahap baik.– BERNAMA
September 7, 2026
Info X Reporters
Salleh terjatuh selepas pengsan ketika solat
KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak dilaporkan mengalami luka di kepala dan terpaksa menerima jahitan selepas terjatuh akibat pengsan ketika menunaikan solat, semalam. Menerusi satu kenyataan pada Isnin, Ketua Merinyu Projek Kerajaan Negeri itu, berkata akibat keadaan itu, beliau kini dinasihatkan oleh doktor supaya berehat. Bagaimanapun, katanya keadaannya ketika ini stabil, tapi masih di bawah pemantauan doktor yang merawatnya. “Saya mengalami sakit diarrhea selama tiga hari. Ketika solat semalam, saya tiba-tiba berasa pening lalu pengsan dan terjatuh. Kepala saya terkena meja di hadapan dan mengalami luka yang memerlukan jahitan. “Alhamdulillah, rawatan telah selesai dan keadaan saya kini stabil. Atas nasihat doktor, saya perlu berehat dan berada di bawah pemantauan untuk beberapa hari. Buat masa ini, kunjungan juga tidak digalakkan supaya saya dapat berehat sepenuhnya. “Terima kasih atas doa, keprihatinan dan kefahaman semua,” katanya. Sementara itu, dalam hantaran di Facebook, bekas ADUN Usukan itu memohon maaf jika ada urusan atau pertemuan yang terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu. “Terima kasih atas segala doa, keprihatinan dan ingatan daripada semua. Insya-Allah, semoga dipermudahkan dan diberi kesihatan untuk kembali seperti biasa,” katanya. – Info X
September 7, 2026
Info X Reporters
Penampang Preppies pertahan gelaran juara kejohanan renang
PENAMPANG: Penampang Preppies Swimming Club (PPSC) memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila muncul juara keseluruhan Kejohanan Renang Penampang Preppies edisi ke-16 di Kompleks Sukan Penampang yang berlangsung selama dua hari pada 4 dan 5 September lalu. Juara bertahan itu mempamerkan penguasaan hebat dengan mengumpul 31 pingat emas, 24 perak dan 34 gangsa sepanjang kejohanan berkenaan. Kejohanan itu turut mencatat penyertaan tertinggi dengan menghimpunkan 364 perenang muda daripada 14 kelab dari Sabah, Sarawak dan Labuan, manakala KupiKupi FM bertindak selaku radio rasmi kejohanan. Kelab Renang SSA Sandakan pula muncul naib juara selepas meraih 22 emas, 18 perak dan 18 gangsa, manakala Topspeed Swimming Club dari Miri menduduki tempat ketiga dengan 13 emas dan dua perak. Saingan turut menyaksikan beberapa perenang muda menyerlah dengan memperbaharui rekod kejohanan, selain dinobatkan sebagai perenang terbaik mengikut kategori umur masing-masing. Bagi kategori lelaki lapan tahun ke bawah, Finnegan Mason Felix Shymund dari Daniel & Iqa Swimming Academy muncul perenang terbaik selepas meraih dua emas dan tiga perak. Perenang SSA Sandakan, Shane Lee Xio Jian mengungguli kategori sembilan tahun dengan lapan emas dan dua perak, manakala rakan sepasukannya, Ng Man Sing, memenangi kategori 10 tahun selepas meraih dua emas, tiga perak dan lima gangsa serta mencipta rekod baharu acara 50 meter kuak dada. Edric Connor Liew Kett dari PPSC dinobatkan perenang terbaik kategori 11 tahun menerusi sembilan emas dan satu gangsa, selain mencipta rekod kejohanan dalam acara 100 meter rampaian individu. Kategori 12 tahun pula menjadi milik Skye Ye Xiang Teo dari Blue Dolphin Swim Club yang membawa pulang sembilan emas dan satu perak serta memperbaharui rekod acara 100 meter gaya bebas. Bagi kategori perempuan, Raelyn Sim Yan Xuan dari Topspeed Swimming Club muncul perenang terbaik lapan tahun ke bawah dengan empat emas dan satu perak, selain mencipta rekod baharu acara 25 meter kuak lentang. Chanelle Ezra Teo dari Persatuan Akuatik Labuan menguasai kategori sembilan tahun dengan tujuh emas dan dua perak, manakala Rachel Sim Qi Yun dari Topspeed Swimming Club meraih sembilan emas serta satu perak untuk menjuarai kategori 10 tahun. Perenang Sea Dragon Swimming Club, Esmeralda Ava Lee dinobatkan terbaik kategori 11 tahun selepas mengutip enam emas, tiga perak dan satu gangsa. Aurora Tullynau Battistessa pula melengkapkan kejayaan PPSC apabila muncul perenang terbaik kategori perempuan 12 tahun dengan dua emas dan dua perak. Jawatankuasa penganjur turut merakamkan penghargaan kepada penaja, ibu bapa dan pegawai yang menyumbang kepada kejayaan kejohanan itu dalam usaha melahirkan lebih ramai bakat renang muda dari Sabah dan negeri lain. – Info X
September 7, 2026
BERNAMA
Kerajaan teliti penempatan sementara pelajar terjejas kebakaran Numbak
KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek akan bersama-sama meneliti cadangan untuk menempatkan sementara pelajar yang terjejas akibat kebakaran di Numbak baru-baru ini di asrama sekolah yang mempunyai kekosongan. Mustapha berkata cadangan awal itu adalah antara langkah bagi memastikan proses pembelajaran pelajar terlibat tidak terganggu, khususnya bagi mereka yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta pelajar tingkatan enam. Beliau berkata Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah telah diminta mengenal pasti keperluan pelajar terbabit, termasuk pilihan penempatan di asrama sekolah lain sekiranya terdapat kekosongan. “Itu antara yang dicadangkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri. Jadi, itu yang saya kata kena teliti, cari bagaimana untuk mereka diberi keutamaan supaya proses pembelajaran mereka tidak terganggu. “Kami akan fokus untuk bantu pelajar ini supaya ada suasana yang kondusif untuk mereka meneruskan pembelajaran,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan kepada Mangsa Kebakaran di Kolej Tingkatan Enam (Prauniversiti) Kota Kinabalu hari ini. Mustapha berkata perhatian khusus perlu diberikan kepada pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan utama kerana mereka memerlukan persekitaran yang lebih kondusif untuk memberi tumpuan kepada pembelajaran. Beliau berkata berdasarkan pemerhatian awal, terdapat pelajar terjejas yang masih tinggal di khemah di lokasi kejadian serta di masjid, justeru keadaan itu perlu diberi perhatian bagi memastikan pembelajaran mereka tidak terjejas. Pada majlis berkenaan, sebanyak sembilan pelajar Kolej Tingkatan Enam dan 129 pelajar Sekolah Kebangsaan Kebagu menerima bantuan kelengkapan sekolah. Mustapha berkata berdasarkan rekod JPN Sabah, 410 pelajar daripada lapan sekolah terjejas akibat kebakaran berkenaan. Setiap pelajar terjejas akan menerima bantuan kewangan menerusi Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) Kecemasan bernilai RM300 selain beg dan alat tulis. Pada 30 Ogos lepas, kebakaran di Kampung Numbak memusnahkan kira-kira 200 rumah atas air, dengan tiga mangsa ditemukan rentung.– BERNAMA
September 7, 2026
BERNAMA
Jerebu: Ibu bapa dibenar tidak hantar anak ke sekolah jika bimbang aspek kesihatan
KUALA LUMPUR: Ibu bapa dibenar tidak menghantar anak-anak ke sekolah sekiranya bimbang mengenai aspek kesihatan anak mereka susulan situasi jerebu yang melanda negara ketika ini. Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata ibu bapa hanya perlu memaklumkan kepada pihak sekolah jika mengambil langkah sedemikian. “Saya faham kebimbangan ibu bapa melihat keadaan jerebu ketika ini. Kebimbangan ibu bapa kita dengar. Kesihatan dan keselamatan anak-anak tetap menjadi keutamaan dalam setiap tindakan yang kita ambil,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini. Fadhlina berkata kementerian akan terus memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan situasi semasa, khususnya di kawasan terjejas. Beliau menjelaskan sebarang tindakan diambil adalah berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan. “Apabila IPU melebihi 100, semua aktiviti luar bilik darjah dihentikan. Apabila IPU melebihi 200, sekolah ditutup,” katanya. Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) pagi ini, Samarahan, Sarawak menjadi satu-satunya kawasan yang merekodkan bacaan sangat tidak sihat, iaitu 226. Selain itu, sebanyak 40 kawasan di seluruh negara berada pada tahap tidak sihat manakala 24 kawasan merekodkan bacaan sederhana dan dua kawasan pada tahap baik.– BERNAMA
September 7, 2026
Info X Reporters
Remaja lemas ketika mandi bersama rakan di Sungai Tagal
TAWAU: Seorang remaja lelaki meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika mandi bersama rakan-rakannya di Sungai Tagal, Kampung Kijang, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa berusia 19 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dibawa orang awam ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan kejadian berkenaan pada jam 10.38 pagi. Katanya, seramai tujuh anggota BBP Tawau kemudian digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 33 kilometer dari balai. “Pasukan bomba bergerak ke lokasi untuk mendapatkan maklumat lanjut serta menjalankan pemantauan keadaan mangsa. “Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada jam 11.28 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini. Jemishin berkata, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut. “Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.02 tengah hari selepas keadaan di lokasi kejadian disahkan selamat,” katanya. – Info X
September 7, 2026
Info X Reporters
Remaja maut motosikal terbabas, langgar penghadang besi
BEAUFORT: Remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum melanggar penghadang besi di Jalan Kota Klias – Kampung Betandok, di sini, semalam. Dalam kejadian 5.50 petang itu, mangsa berusia 17 tahun mengalami kecederaan pada muka dan anggota badan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Beaufort. Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Kampung Betandok menuju ke Kampung Kota Klias. “Setibanya di lokasi kejadian yang melalui jalan berselekoh, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum motosikalnya terbabas ke tepi jalan dan melanggar penghadang besi,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Khairul Shazree Hashim di talian 010-2531451 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. Sementara itu, Champin turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, khususnya ketika melalui jalan berselekoh, selain memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan mematuhi peraturan lalu lintas. – Info X
September 6, 2026
Info X Reporters
Bekalan simen terganggu, dijangka pulih pertengahan September
KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) memaklumkan berlaku gangguan bekalan simen di pasaran ketika ini berikutan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kilang simen CIS di Teluk Sepangar. Pengurus Besar CIS, Sumardi Mohd Yusuf, berkata selain kerja penyelenggaraan, kelewatan ketibaan kapal yang membawa bahan mentah klinker dan simen pukal turut menyumbang kepada gangguan bekalan di pasaran. Katanya, kelewatan itu berlaku berikutan keadaan cuaca yang kurang baik di pelabuhan kilang pembekal bahan berkenaan. “Kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kilang berjaya disiapkan semalam, 4 September 2026, dan CIS kini sedang berusaha meningkatkan semula pengeluaran serta bekalan simen ke pasaran. “Bekalan simen dijangka pulih sepenuhnya pada pertengahan September ini,” katanya dalam satu kenyataan. Beliau berkata, CIS turut meningkatkan perolehan bekalan klinker dan simen pukal bagi memastikan permintaan tinggi terhadap bahan binaan itu dapat dipenuhi. Langkah berkenaan, katanya, penting bagi memastikan bekalan simen dapat disalurkan secara berterusan kepada pengguna dan pemain industri pembinaan di Sabah. CIS turut memohon kerjasama serta kefahaman semua pihak sepanjang tempoh pemulihan bekalan berkenaan. – Info X