September 2, 2026
Info X Reporters
172 PATI warga Filipina dihantar pulang
KOTA KINABALU: Seramai 172 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dipindahkan ke negara asal menerusi laluan laut dalam Program Pemindahan Tahanan Asing Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah. JIM Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan, semua tahanan berkenaan dipindahkan dari Depot Imigresen Tawau melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Filipina menggunakan feri komersial. Katanya, kumpulan itu terdiri daripada 129 lelaki dewasa, 25 wanita dewasa, lapan kanak-kanak lelaki dan 10 kanak-kanak perempuan berusia antara satu hingga 63 tahun. “Semua kanak-kanak yang menyertai program pemindahan itu diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing. “Seorang lelaki warga China turut dipindahkan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu ke Guangzhou menerusi penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), Isnin lalu,” katanya. Menurutnya, pada 27 Ogos lalu, enam lelaki warga China dari Depot Imigresen Tawau dihantar pulang menerusi penerbangan terus dari Lapangan Terbang Tawau ke Guangzhou. “Pada tarikh sama, tujuh lelaki dari Depot Imigresen Kota Kinabalu membabitkan dua warga Pakistan, dua warga India dan tiga warga Vietnam dipindahkan ke negara masing-masing menerusi LTAKK dengan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). ‘Seorang lagi lelaki warga India dari Depot Imigresen Papar turut dipindahkan ke Tiruchirappalli, India, melalui laluan penerbangan sama,” katanya. JIM Sabah berkata, sehingga kini seramai 4,947 tahanan PATI sudah dipindahkan ke negara asal masing-masing. “Jumlah itu membabitkan 3,197 warga Filipina, Indonesia (1,471), Pakistan (120), China (116), Vietnam (21) dan 22 tahanan daripada negara lain. “Semua tahanan sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang dan memiliki dokumen perjalanan sah bagi melayakkan mereka mengikuti proses pemindahan ke negara asal,” katanya. JIM Sabah turut menyeru masyarakat supaya tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI serta segera menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan warga asing melalui saluran rasmi jabatan. – Info X
September 2, 2026
Info X Reporters
SAFMA sumbang ikan kepada mangsa kebakaran Kampung Numbak
KOTA KINABALU: Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA) menyerahkan sumbangan Ikan Rakyat Sabah bagi membantu meringankan beban mangsa kebakaran di Kampung Numbak, di sini. Sumbangan itu diserahkan Pengurus Besar SAFMA, Burhan Japar, kepada PPM Karambunai, Nordin Ludah, untuk diagihkan kepada mangsa yang terjejas akibat kejadian berkenaan. Turut hadir pada majlis penyerahan bantuan itu ialah wakil Persatuan Perikanan serta pemilik kapal Pantai Barat Sabah yang bersama-sama menjayakan usaha berkenaan. Burhan berkata, sumbangan itu mencerminkan keprihatinan SAFMA dan komuniti industri perikanan terhadap nasib masyarakat yang ditimpa musibah. “Walaupun sumbangan ini tidak seberapa, kami berharap ia dapat memberi sedikit kelegaan kepada mangsa serta membantu memenuhi keperluan makanan harian mereka. “Dalam keadaan seperti ini, sokongan dan keprihatinan daripada pelbagai pihak amat penting bagi membantu mangsa meneruskan kehidupan sementara menjalani proses pemulihan,” katanya. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Perikanan dan pemilik kapal Pantai Barat Sabah atas kerjasama serta sokongan dalam menjayakan usaha menyalurkan bantuan kepada mangsa. Katanya, SAFMA akan terus menyokong usaha kebajikan dan bantuan kemasyarakatan, khususnya ketika masyarakat berdepan bencana serta musibah. – – Info X
September 2, 2026
Info X Reporters
Pusat Kawalan Operasi Bencana diaktifkan berikutan peningkatan IPU
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri dan PKOB peringkat daerah di Kota Kinabalu, Keningau dan Papar berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menghampiri bacaan 200 pada Rabu. Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata perkara itu sudah dimaklumkan kepada Ketua Menteri, Datuk Ser Hajiji Noor. “Pelan tindakan mengikut kawasan ini adalah berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Setakat jam 5 petang Selasa (1 September) bacaan IPU di Kota Kinabalu adalah 177, Tawau (153), Keningau (165), Kimanis, Papar (166) dan Politeknik Kota Kinabalu (153), semuanya pada tahap tidak sihat. Zainudin berkata Ketua Menteri juga dimaklumkan bahawa peningkatan IPU dipengaruhi oleh pergerakan angin menghala ke arah Sabah dan dijangka meningkat dengan konsisten selagi tiada hujan berlaku di Kalimantan. Beliau berkata berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, semua kawasan Kota Kinabalu, Tawau, Keningau, Kimanis dan Politeknik Kota Kinabalu adalah dikategorikan dalam tahap Amaran 1A. “Bagi tahap Amaran 1A, antara tindakan yang ditetapkan ialah menghentikan aktiviti di luar bilik darjah, menangguhkan aktiviti kokurikulum dan sukan, memberikan hebahan kepada orang awam berkaitan bacaan IPU serta langkah berjaga-jaga, meningkatkan penguatkuasaan dan mempergiatkan pemantauan terhadap industri serta tapak pelupusan sampah,” katanya. Zainudin berkata pengisytiharan darurat atau bencana jerebu akan dilaksanakan apabila bacaan IPU mencecah 500 dan ke atas. Beliau mencadangkan agar aktiviti rasmi Kerajaan Negeri dibatalkan atau ditangguhkan sekiranya bacaan IPU mencapai atau melebihi 200, manakala aktiviti di dalam bangunan masih dibenarkan. Zainudin berkata Kerajaan Negeri juga akan mengesyorkan agar sekolah-sekolah di kawasan yang mencapai bacaan atau melebihi 200 ditutup dan menjalani pembelajaran dari rumah. “Dicadangkan agar pelaksanaan solat hajat diadakan di setiap daerah bagi umat Islam sebagai salah satu usaha memohon perlindungan dan kesejahteraan. “Pada masa yang sama, rumah-rumah ibadah agama lain turut disarankan untuk melaksanakan aktiviti keagamaan yang bersesuaian mengikut kepercayaan dan amalan masing-masing,” katanya. – Info X
September 2, 2026
Info X Reporters
Kanak-kanak 11 tahun lemas ketika mandi sungai
PITAS: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun lemas ketika mandi bersama empat individu lain di Sungai Bengkoka, Kampung Pondoi, di sini, petang semalam. Dalam kejadian itu, dua kanak-kanak perempuan berusia empat dan 14 tahun hampir lemas sebelum dihantar ke hospital, manakala remaja perempuan berusia 18 tahun dan remaja lelaki berusia 14 tahun terselamat. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas, Noor Jali Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.17 petang. Katanya, enam anggota bersama jentera dan bot Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tiba di lokasi pada 5.41 petang. “Pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan kaedah pencarian di permukaan air dalam radius satu kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB). “Operasi diteruskan sehingga mangsa ditemukan penduduk kampung pada 7.36 pagi tadi, kira-kira satu kilometer dari PKB,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, pasukan bomba membawa mangsa keluar menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada polis. “Mangsa kemudian dihantar ke hospital oleh polis dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). “Operasi ditamatkan pada 8.25 pagi selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya di lokasi,” katanya. Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I Gabuh Maradan dengan bantuan empat anggota polis. – Info X
September 2, 2026
Info X Reporters
Jerebu: Lima kawasan di Sabah catat IPU tidak sihat
KOTA KINABALU: Lima kawasan di Sabah merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 8 pagi ini, susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan di negeri itu. Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), bacaan tertinggi direkodkan di Politeknik Kota Kinabalu dengan 185, diikuti Kota Kinabalu 179, Kimanis 175, Keningau 173 dan Sandakan 152. Tawau pula merekodkan bacaan IPU 123, yang turut dikategorikan sebagai tidak sihat. Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala 201 hingga 300 adalah sangat tidak sihat dan melebihi 300 berada pada tahap berbahaya. Dalam perkembangan sama, keadaan jerebu lebih serius di Sarawak apabila tiga kawasan merekodkan bacaan IPU pada tahap berbahaya. Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian mencatatkan bacaan tertinggi di negara ini iaitu 320, diikuti Kuching 318 dan Samarahan 302. Lima lagi kawasan di Sarawak turut merekodkan bacaan pada tahap sangat tidak sihat, iaitu Sibu dengan 292, Sarikei 283, Mukah 241, Bintulu 226 dan Sri Aman 214. Sementara itu, sebanyak 44 stesen di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU pada tahap sederhana, manakala tiada stesen merekodkan bacaan pada tahap baik. Keadaan jerebu di Sabah sebelum ini dikaitkan dengan pencemaran udara rentas sempadan susulan kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan yang asapnya dibawa angin merentasi wilayah Borneo. Orang ramai, khususnya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas, wanita mengandung dan individu yang mempunyai masalah pernafasan, dinasihatkan mengehadkan aktiviti luar serta mengelakkan aktiviti fizikal dan lasak ketika kualiti udara berada pada tahap tidak sihat.-Info X
September 1, 2026
BERNAMA
September kemuncak El Nino, “MEDAN pertempuran” sebenar lawan kebakaran hutan – menteri Indonesia
JAKARTA: September ini dilihat bakal menjadi “medan pertempuran” sebenar bagi Indonesia dalam menangani kebakaran hutan dan tanah apabila fenomena El Nino mencapai kemuncaknya. Hal itu susulan republik tersebut masih berdepan risiko tinggi kebakaran hutan walaupun terdapat penurunan bilangan titik panas hasil usaha pemadaman yang dipergiat sejak sebulan lepas. Menteri Perhutanan Raja Juli Antoni berkata kerajaan menjadikan fenomena El Nino yang teruk pada 2015 sebagai penanda aras, memandangkan kekuatan fenomena tahun ini adalah setara, walaupun keluasan kawasan yang terbakar sehingga Julai adalah sekitar 202,004 hektar berbanding kira-kira 600,000 hektar bagi tempoh yang sama pada 2015. “September ialah puncak El Nino. Alhamdulillah sekali lagi trennya (titik panas) menurun, harus kita pertahankan. Tetapi waspada, harus sangat waspada kerana September bagi saya ialah ‘medan pertempuran’ sebenar. “Kita belum bebas daripada ancaman EL Nino ini. Kita belum bebas sepenuhnya,” katanya dalam sidang media dalam talian pada Selasa, menambah bahawa angka kawasan terbakar pada Ogos masih dalam proses pengiraan, termasuk menerusi pemeriksaan dron bagi memastikan ketepatan. Raja Juli berkata lima langkah akan kekal menjadi tumpuan utama usaha kerajaan pada September iaitu operasi pengubahsuaian cuaca (OMC), pengeboman air, pemadaman kebakaran di darat, penguatkuasaan undang-undang dan peningkatan kesedaran orang ramai. Kerajaan Indonesia telah mengerahkan 53 aset udara untuk tujuan rondaan, OMC dan pengeboman air dengan bantuan daripada Jepun dijangka diterima, manakala pesawat dari Rusia yang disewa oleh BNPB dijadualkan untuk dikerahkan ke Sumatera Selatan dalam tempoh beberapa minggu akan datang. Berhubung aspek penguatkuasaan, Raja Juli memaklumkan bahawa pihak polis telah menamakan 89 suspek dalam kes kebakaran hutan dan tanah, sementara Kementerian Perhutanan sedang memproses 30 kes jenayah dan telah mengeluarkan amaran kepada 52 pemegang permit perniagaan penggunaan hutan (PBPH), dengan enam daripadanya telah dikenakan tindakan tegas. Beliau menegaskan Indonesia akan meneruskan usaha untuk meminimumkan kesan jerebu rentas sempadan terhadap negara-negara jiran.– BERNAMA
September 1, 2026
Info X Reporters
Tiada titik panas di Sabah, jerebu dibawa angin dari Kalimantan
KOTA KINABALU: Tiada titik panas dikesan di Sabah berdasarkan penelitian agensi pakar cuaca terhadap imej satelit di sekitar ASEAN setakat 31 Ogos. Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah, Nor Rashidah Mohd Ghazali, berkata perkara itu dilaporkan Pusat Kepakaran Cuaca ASEAN (ASMC) yang berpusat diSingapura. Katanya penelitian melalui imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20 itu mendapati tiada sebarang titik panas dikesan di Sabah. “Laporan yang sama menunjukkan sebanyak 253 titik panas dikesan di Kalimantan dan 63 di Sumatera bagi cerapan 31 Ogos 2026,” katanya menerusi kenyataan media pada Selasa. Katanya, berdasarkan laporan JBPM Sabah dan hasil rondaan pencegahan pembakaran terbuka yang dilaksanakan pegawai JAS pada 1 September 2026 juga mendapati tiada kejadian kebakaran besar lain dikesan atau dilaporkan di sekitar Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Beaufort, Sandakan dan Tawau. Bagaimanapun, katanya di sebalik dapatan itu, Sabah tetap berdepan masalah jerebu yang menyebabkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) meningkat dan mencatat bacaan tidak sihat di lima lokasi. Beliau berkata, berdasarkan bacaanyang direkodkan di laman sesawang JAS Sabah setakat jam 5 petang Selasa, menunjukkan lima stesen mencatat bacaan tidak sihat iaitu 177 di Stesen Kota Kinabalu, 159 di Stesen Politeknik, 166 di Stesen Kimanis, 165 di Stesen Keningau dan 153 di Stesen Tawau, manakala satu kawasan lainmasih mencatat status kualiti udara pada tahap sederhana iaitu Sandakan. “Kualiti udara di negeri Sabah telah terjejas akibat jerebu rentas sempadan yang berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan. “Asap tebal daripada kebakaran tersebut dipercayai dibawa oleh tiupan angin merentasi wilayah Borneo, termasuk ke Sabah,” katanya. – Info X
September 1, 2026
Info X Reporters
Tiga ditahan susulan video tular pergaduhan di Kota Belud
KOTA BELUD: Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan pergaduhan yang tular di media sosial membabitkan beberapa individu di sebuah kedai di Kampung Pengkalan Abai, di sini, hari ini. Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang pembantu kedai warga asing berusia 23 tahun serta dua lelaki tempatan berusia 31 dan 49 tahun. Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Khairul Shah Peri berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 2.39 petang. Menurutnya, siasatan awal mendapati pergaduhan berlaku kira-kira 9.35 pagi dan membabitkan enam lelaki. “Kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham selepas pembantu kedai berkenaan menuduh kumpulan terbabit mengambil rokok dari kedai itu. “Tuduhan berkenaan mencetuskan pertengkaran sebelum keadaan menjadi tegang dan berlaku pergaduhan,” katanya ketika dihubungi. Khairul Shah berkata, ketika pergaduhan, pembantu kedai itu dipercayai memukul seorang lelaki menggunakan paip PVC, manakala dia turut dipukul dengan batang penyapu. Katanya, pembantu kedai berkenaan mengalami lebam pada tangan kiri dan belakang badan. “Lima lelaki terbabit kemudian melarikan diri dari lokasi dengan menaiki sebuah kereta. “Pembantu kedai bersama dua daripada lelaki terbabit hadir di Balai Polis Kota Belud kira-kira 2.30 petang sebelum ketiga-tiganya ditahan bagi membantu siasatan,” katanya. Menurutnya, polis turut merampas sebatang paip PVC dan sebatang penyapu yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu. Katanya, usaha sedang dijalankan bagi mengesan tiga lagi suspek yang masih bebas. “Permohonan reman terhadap semua individu yang ditahan akan dibuat esok untuk siasatan lanjut, selain ujian saringan air kencing dijalankan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya. Terdahulu, tular dua rakaman video memaparkan kekecohan membabitkan beberapa lelaki di kawasan kedai berkenaan. Rakaman itu menunjukkan beberapa individu bertelagah dan saling mengejar, termasuk ada yang memegang objek panjang, sebelum sebuah kereta meninggalkan lokasi. – Info X