Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

August 24, 2026

Info X Reporters

Pemuda OKU ditemukan selamat lima kilometer dari rumah

RANAU: Seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) pertuturan yang dilaporkan hilang sejak petang semalam ditemukan selamat di kawasan tadahan air di Kampung Kirokot, di sini, pagi tadi. Mangsa berusia 25 tahun ditemukan penduduk kampung pada 7.30 pagi, kira-kira lima kilometer dari rumahnya. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Rantey Fred berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kehilangan mangsa pada 8.57 malam. “Menurut abang mangsa, kehilangan adiknya disedari selepas dia tidak pulang ke rumah sejak 3 petang. “Mangsa dipercayai berjalan tanpa tujuan di sekitar kawasan kampung,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, pasukan bomba bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR), namun mangsa gagal ditemukan. Katanya, operasi ditangguhkan pada 12.23 tengah malam sebelum disambung semula pagi tadi. “Ketika pasukan tiba di lokasi, kami dimaklumkan mangsa sudah ditemukan penduduk kampung dalam keadaan selamat. “Mangsa kemudian diserahkan kepada ahli keluarganya sebelum operasi SAR ditamatkan pada 10.25 pagi,” katanya. – Info X

August 24, 2026

Info X Reporters

Dua kapal nelayan terbakar di jeti

TUARAN: Dua kapal pukat tunda rosak teruk dalam kebakaran di Jeti Torong Akung, Kampung Serusup, di sini, pagi tadi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kurong Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.17 pagi sebelum 10 anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi. “Setibanya di lokasi pada 6.32 pagi, pasukan mendapati kebakaran membabitkan dua kapal nelayan milik persendirian. “Kapal pertama terbakar kira-kira 80 peratus manakala kapal kedua 90 peratus,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan dua pancutan air daripada jentera. Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada 8 pagi sebelum operasi ditamatkan dua jam kemudian selepas memastikan tiada lagi bahaya. “Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu,” katanya. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – Info X

August 24, 2026

Info X Reporters

Liga Super: Sabah FC mulakan kempen musim baharu dengan yakin

KOTA KINABALU: Sabah FC bersedia membuka tirai kempen Liga Super 2026/2027 dengan penuh keyakinan menerusi pertemuan dengan Star City FC di Stadium Likas, di sini, malam ini. Pengendalinya, Juan Torres Garido, menyifatkan aksi pembukaan itu sebagai peluang terbaik buat pasukannya memulakan musim dengan keputusan positif, selain mempersembahkan aksi menarik di hadapan penyokong sendiri. Katanya, persiapan pasukan berjalan baik, termasuk pengalaman mengadakan persiapan di Indonesia yang membantu meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta membentuk persefahaman antara pemain baharu dan pemain sedia ada. “Skuad Sang Badak kini bersedia untuk memulakan saingan selepas melalui tempoh pramusim yang dimanfaatkan untuk memperkemaskan corak permainan dan taktikal pasukan,” katanya mengulas aksi pertama Sabah FC dalam Liga Super musim ini. Garido turut menegaskan Sabah FC akan terus berpegang kepada identiti permainan yang diterapkan sepanjang pramusim, sambil menyifatkan pasukannya masih mempunyai banyak perkara untuk dipersembahkan kepada penyokong. Mengulas Star City FC, beliau menyifatkan lawan sebagai sebuah pasukan yang mempunyai projek bercita-cita tinggi selepas menamatkan saingan di kedudukan kelima musim lalu, selain membawa masuk beberapa pemain berpengalaman dalam saingan liga. Antaranya ialah Ramón Machado, yang bukan asing dengan bola sepak Sabah selepas pernah menyarung jersi Sabah FC pada separuh musim 2023 dan awal musim 2024-2025 ketika pasukan dibimbing Datuk Ong Kim Swee. Machado kemudian meneruskan kariernya di Liga Perdana Azerbaijan. Dalam pada itu, sokongan penyokong di Stadium Likas menjadi antara aspek penting yang diberi perhatian Garido menjelang aksi pembukaan musim. Beliau mahu lebih ramai penyokong kembali memenuhi Stadium Likas dan membantu mewujudkan suasana yang mampu memberi kelebihan kepada pasukan apabila beraksi di laman sendiri. Sabah FC, katanya perlu membina semula kekuatan di Likas dengan mempersembahkan bola sepak yang menarik serta aksi yang mampu mencetuskan keterujaan dalam kalangan penyokong. Saingan sulung Sabah FC dalam Liga Super musim ini, iaitu menentang Star City FC dijadual bermula pada jam 8.15 malam ini di Stadium Likas.-Info X

August 23, 2026

Info X Reporters

Serah kad ATM kepada ‘Ahcai’, wanita ditahan

BEAUFORT: Tindakan seorang wanita menyerahkan kad mesin juruwang automatik (ATM) berserta kata laluan kepada lelaki dikenali sebagai ‘Ahcai’ membawa padah apabila akaun banknya dipercayai digunakan dalam kes penipuan jualan emas tidak wujud. Wanita terbabit ditahan polis menerusi Ops Kesan Khas 1/2026 bagi membantu siasatan kes penipuan yang dilakukan melalui Instagram. Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, suspek dipercayai pemilik akaun bank yang digunakan untuk menerima transaksi berkaitan kes berkenaan. Menurutnya, hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku pernah menyerahkan kad ATM berserta kata laluan kepada ‘Ahcai’. “Suspek mendakwa berbuat demikian selepas lelaki berkenaan memberitahu kad itu diperlukan bagi tujuan mendapatkan kelulusan pinjaman. “Dia kemudian menyedari akaun banknya sudah disekat dan mendakwa tidak mengetahui akaun berkenaan digunakan bagi tujuan penipuan,” katanya. Champin berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut sedang dijalankan pihak polis. Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyerahkan kad ATM dan kata laluan atau membenarkan akaun bank digunakan oleh individu lain atas apa juga alasan. “Tindakan itu boleh menyebabkan akaun sendiri disalahgunakan sebagai medium jenayah penipuan dalam talian,” katanya. – Info X

August 23, 2026

Info X Reporters

Tiga lelaki ditahan curi tayar kereta di Beaufort

BEAUFORT: Belum sempat polis mendapatkan semula tayar yang dicuri, tiga lelaki dipercayai terbabit dalam dua kes kecurian tayar kereta di Kampung Bingkul dan Kampung Binunuk, di sini, berjaya ditahan. Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, suspek pertama ditahan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort di kawasan tempat letak kereta Bandar Minggo selepas menerima maklumat. Menurutnya, lelaki itu disyaki terbabit dalam kejadian kehilangan tiga tayar berserta rim di Kampung Bingkul. “Siasatan awal mendapati suspek mengaku terbabit dalam kes berkenaan. “Hasil maklumat diperoleh daripadanya, polis kemudian menahan dua lagi lelaki bagi membantu siasatan kes kecurian tayar di Kampung Binunuk,” katanya. Beliau berkata, usaha mendapatkan semula barang kes masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri. Sebelum ini, IPD Beaufort memandang serius dua kes kecurian tayar yang dilaporkan berlaku di Kampung Bingkul dan tepi jalan Kampung Binunuk. Susulan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya meletakkan kenderaan di kawasan selamat serta mempunyai pencahayaan mencukupi, khususnya pada waktu malam. Champin turut menyeru anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan penduduk setempat meningkatkan rondaan serta pemantauan di kawasan kampung masing-masing. – Info X

August 23, 2026

Info X Reporters

Bomba selamatkan 70 rumah daripada terbakar

KOTA KINABALU: Tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan kira-kira 70 rumah daripada turut terbakar dalam kebakaran di Kampung Inanam Laut, Inanam, malam ini. Kebakaran itu memusnahkan dua rumah separuh kekal, tiga bilik sewa dan tiga kenderaan, manakala sebuah lagi kereta terbakar kira-kira 10 peratus. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.23 malam sebelum jentera tiba enam minit kemudian. Menurutnya, seramai 45 anggota daripada BBP Lintas, Kota Kinabalu dan Penampang terbabit dalam operasi berkenaan. “Rumah pertama berkeluasan kira-kira 335 meter persegi, manakala rumah kedua seluas kira-kira 242 meter persegi musnah sepenuhnya. “Tiga bilik sewa tidak kekal yang setiap satunya berkeluasan kira-kira 21 meter persegi turut musnah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. Beliau berkata, sebuah Perodua Kancil serta dua motosikal jenis Yamaha Y16 dan Honda EX5 turut musnah, manakala Perodua Kenari terbakar kira-kira 10 peratus. Menurutnya, seorang mangsa mengalami sesak nafas dan diberikan rawatan awal oleh Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian. “Operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran sepanjang kira-kira 91 meter dengan tiga pancutan, manakala bekalan air diperoleh daripada jentera, lori tangki dan sungai berhampiran. “Kebakaran berjaya dikawal pada 8.19 malam dan tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan kira-kira 70 rumah di kawasan berhampiran daripada turut terjejas,” katanya. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – Info X

August 23, 2026

Info X Reporters

AWCL: Sabah FA tersingkir selepas tewas 2-0 di tangan East Bengal FC

KOTA KINABALU: Sabah FA gagal melayakkan diri ke peringkat seterusnya dalam saingan Liga Juara-Juara Wanita AFC 2026/27 apabila tewas 2-0 pada perlawanan penentuan Kumpulan A Peringkat Awal AWCL di Stadium Likas, di sini, malam ini. Perlawanan malam ini menyaksikan lawan Sabah, East Bengal FC dari India muncul pemenang bagi Kumpulan A dan layak ke peringkat seterusnya selepas berjaya mengutip mata penuh menerusi dua jaringan. East Bengal mengecewakan Sabah selepas dua pemainnya, Olivia Anokye dan Soumya Guguloth berjaya menjaringkan gol, masing-masing pada minit ke-67 dan minit ke-86. Jaringan 2-0 itu membolehkan pasukan dari India itu mendahului dengan sembilan mata setelah tanpa kalah dalam tiga perlawanan Kumpulan A, sekali gus mewakili kumpulan ke aksi seterusnya dalam saingan AWCL kali ini. Pada perlawanan ini, Sabah perlu menang untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya, sedangkan East Bengal hanya perlu keputusan seri kerana memiliki kelebihan jaringan. East Bengal sebelum ini menewaskan Rajshahi Stars FC 4-0 dari Bangladesh dan Rovers FC dari Guam 12-0. Berikutan itu, aksi Sabah FA dalam saingan AWCL 2026/2027 berakhir setakat perlawanan Kumpulan A, setelah memenangi dua perlawanan, masing-masing menewaskan Rovers FC 13-0 dan Rajshahi Stars 2-1. – Info X

August 23, 2026

Info X Reporters

Sabah atasi kutipan emas di Sarawak

SUBANG JAYA: Sabah mengatasi kutipan pingat emas SUKMA Sarawak 2024 selepas menuai lima pingat emas disamping enam perak dan lapan gangsa pada hari kedua terakhir SUKMA XXII Selangor 2026 hari ini (Ahad). Tuaian hari ini tersebut menjadikan keseluruhan pencapaian 30 emas, 26 perak dan 35 gangsa (setakat jam 7.00 malam Ahad), mengatasi kutipan 29 pingat emas di samping 36 perak dan 55 gangsa di Sarawak dua tahun lalu. Beberapa acara masih berlangsung malam ini sebelum sukan dwitahun negara itu melabuhkan tirai malam esok (Isnin). Dua daripada pingat emas hari ini dsumbangkan skuad wushu menerusi Amirah Sofea Azlan dan Fyenlly Himon di IDCC Shah Alam. Amirah mengalahkan atlet Johor, See Ke Xin 2-0 pada final sanda 45-48kg wanita manakala Fyenlly mengalahkan peserta Pulau Pinang Terris Thaw Khai Zhe 2-1 dalam kategori sama lelaki. Pasukan karate wanita yang dibarisi Nur Allyssa Audrey Anthony Tinggi, Adeola Fay Robert dan Ameera Jintha Liew serta Nur Radhiah Fathiah dan Chin Xue Yi sebagai atlet simpanan pula merangkul emas selepas menang 2-0 ke atas pasukan Johor. Hanya Nur Allyssa dan Adeola yang bertarung kerana kemenangan mereka cukup mengesahkan pingat emas milik Sabah pada pertarungan yang juga berlangsung di IDCC Shah Alam. Di Arena MBSJ, Puchong pula, skuad sepak takraw wanita Sabah melengkapkan misinya mempertahankan gelaran juara semua acara wanita selepas membuat penamat emas acara regu tiga pemain. Sebelum ini, skuad wanita sepak takraw Sabah merangkul emas acara regu dua pemain, regu empat pemain dan acara berpasukan. Di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Bangi pula menyaksi Marvell Vincent Voo terus menyinar dengan merangkul pingat emas dalam acara palang sejajar lelaki gimnastik artistik. Sebelum ini, Marvell juga telah menyumbang satu emas dan satu perak acara individu serta pingat gangsa dalam cara berpasukan. Pingat perak disumbang pasukan kumite lelaki karate (Xavier Luke, Syahmi Izzan Saharin, Khairil Iman Ahmat, Jude Joseph Johannes dan Jericho Jones Jason) dan regu tiga pemain lelaki takraw (Muhamad Sabarudin, Leo Mariandy Majurin, Irwanizan Seruji, Lye McDye Richo dan Harry Ulin). Dua pingat perak lagi dimenangi dalam acara muaythai menerusi Krystel Angel Jafili (51-54kg wanita) dan Ed Ryan Jefferon (51-54kg lelaki). Sukan tinju juga menyumbang dua perak menerusi Cliff Mijol (lightweight 57-60kg) dan Muhammad Rayyan Haykal (middleweight 71-75kg). Gangsa pula diraih Johanitasyah (tinju featherweight wanita 52-57kg), Mb Mohd Khairul Ariffin (muaythai 63.5-67kg), Kerry Dryan Jafili (muaythai 67-71kg), tiga pesilat wusyu iaitu Rylan Tan Jin Yi (52-56kg), Dione Babyline Fely (48-52kg) dan Brandon Eranel Soriano (56-60kg), pasukan ragbi wanita dan pasukan lawan pedang epee berpasukan lelaki. Dengan masih ada beberapa acara berlangsung pada hari terakhir esok (Ahad), Sabah berpeluang menambah lagi kutipan pingat.