October 4, 2026
Info X Reporters
Cuba lari, lelaki dicekup bersama komponen motosikal dan senjata
PUTATAN: Tindakan seorang lelaki cuba melarikan diri selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan mengundang padah apabila dia ditahan polis di daerah ini, awal pagi tadi. Pemeriksaan terhadap suspek warga tempatan berusia 35 tahun itu kemudian membawa kepada penemuan beberapa komponen motosikal disyaki dicuri, selain senjata berjadual dan peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah. Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, suspek ditahan anggota Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Putatan selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika menjalankan rondaan. “Suspek dikatakan cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota polis, namun berjaya ditangkap. “Pemeriksaan lanjut menemui beberapa peralatan dan komponen motosikal yang disyaki dicuri serta senjata berjadual dan peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah,” menurut kenyataan itu. Katanya lagi, semua barangan berkenaan dirampas untuk siasatan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan. “Kes turut disiasat mengikut Seksyen 511 Kanun Keseksaan berkaitan cubaan melakukan sesuatu kesalahan,” katanya. Sementara itu, Polis turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan segera menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan. – Info X
October 4, 2026
Info X Reporters
Konsert Israel Houghton: Anifah persoal tindakan buat laporan polis
KOTA KINABALU: Tan Sri Datuk Seri Panglima Anifah Aman melahirkan rasa terkejut dengan tindakan membuat laporan polis bagi membantah cadangan penganjuran konsert penyanyi Gospel Kristian, Israel Houghton, di Kota Kinabalu. Bekas Menteri Luar itu berkata, perkara berkenaan mengejutkan kerana Sabah sejak dahulu lagi menjunjung tinggi nilai toleransi, dengan masyarakat pelbagai agama hidup bersama dalam suasana aman dan harmoni. Katanya, umat Islam, Kristian, Buddha, Hindu, Sikh serta penganut agama lain sudah sekian lama hidup secara bersama tanpa menjadikan perbezaan agama sebagai penghalang kepada keharmonian masyarakat. “Justeru, apabila laporan polis dibuat bagi membantah penganjuran sebuah konsert Kristian yang menampilkan seorang penyanyi Kristian dan ditujukan kepada penonton Kristian, perkara ini sememangnya mengejutkan,” katanya dalam kenyataan hari ini. Anifah berkata, beliau difahamkan Israel Houghton sebelum ini pernah menyuarakan sokongannya terhadap Israel menerusi media sosial. Bagaimanapun, katanya, beliau turut mengingati sebuah kumpulan muzik heavy metal yang secara terbuka menyatakan sokongan terhadap Israel pernah membuat persembahan di Stadium Bukit Jalil pada bulan lalu. “Jadi, mengapa wujud layanan yang berbeza? Adakah kerana sikap tidak bertoleransi terhadap agama kini mula menular dalam masyarakat kita?” katanya. Anifah berkata, ketika beliau menjadi Menteri Luar, Malaysia pernah menerima atlet dari pelbagai negara untuk menyertai temasya sukan seperti Sukan ASEAN dan Sukan Asia, termasuk sebahagian atlet yang merupakan penyokong Israel. Menurutnya, kerajaan ketika itu mengambil pendirian jelas bahawa atlet terbabit dibenarkan memasuki Malaysia dengan syarat mereka menghormati sensitiviti tempatan dan tidak mengibarkan bendera Israel. Sehubungan itu, beliau berpandangan sekiranya pihak berkuasa dan agensi penguatkuasaan undang-undang dapat memastikan Israel Houghton mematuhi undang-undang tempatan serta tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan atau menyinggung sensitiviti masyarakat setempat, tiada alasan untuk menghalangnya daripada membuat persembahan di Sabah. “Jika langkah-langkah munasabah dapat diambil bagi mengelakkan sebarang provokasi, saya tidak melihat mengapa beliau perlu dihalang daripada membuat persembahan di Sabah,” katanya. Anifah berkata, konsert berkenaan juga bukan bertujuan menyebarkan agama Kristian dalam kalangan umat Islam kerana ia dinyatakan sebagai acara untuk penganut Kristian. Beliau turut menjelaskan bahawa agama Kristian mempunyai pelbagai denominasi, manakala Israel Houghton mempersembahkan muzik Gospel yang lazim dalam kalangan banyak denominasi Protestan dan Reformed yang sudah lama bertapak di Sabah. “Sebelum ini, perkara seperti ini tidak pernah menjadi masalah bagi kita. “Kita tidak seharusnya menjadikannya satu masalah sekarang,” katanya. Anifah pada masa sama mengingatkan supaya isu berkenaan tidak dijadikan ruang untuk membawa politik agama yang bersifat tidak bertoleransi ke Sabah. “Jangan bawa politik agama yang bersifat tidak bertoleransi ke Sabah,” katanya.-Info X
October 4, 2026
BERNAMA
Kelas PLF bimbing lebih 500 dewasa luar bandar, pedalaman Sabah celik huruf
Oleh Rohana Nasrah KOTA KINABALU: Golongan dewasa yang tercicir daripada pendidikan formal terus diberi peluang menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) menerusi Program Pendidikan Literasi Fungsian (PLF) anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS). Pengarah KEMAS Sabah Ahmad Fakhrul Azman Muhammad Radzi berkata lebih 500 peserta mengikuti program itu pada tahun ini menerusi 25 kelas yang dilaksanakan di kawasan pinggir bandar, luar bandar dan pedalaman Sabah membabitkan Kudat, Kota Marudu, Kota Belud, Keningau, Tenom, Nabawan, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Semporna, Tawau dan Kalabakan. Beliau berkata program itu memberikan tumpuan kepada individu berumur 15 hingga 65 tahun yang masih belum menguasai kemahiran asas 3M, selain turut terbuka kepada golongan di luar julat usia tersebut mengikut keperluan. “Program PLF adalah antara usaha membasmi buta huruf dalam kalangan masyarakat di kawasan berkenaan, terutama mereka yang tercicir pendidikan formal pada peringkat awal serta tidak dapat membaca, menulis dan mengira,” katanya kepada Bernama. Kaedah mengenal pasti peserta di sesebuah kawasan ialah melalui kerjasama dengan pemimpin masyarakat termasuk ketua kampung serta guru KEMAS di lapangan bagi mendapat maklumat tentang golongan yang masih memerlukan pendidikan literasi, katanya. Peserta akan menjalani ujian pra sebelum mengikuti kelas dalam program PLF bagi mengenal pasti tahap penguasaan awal mereka dalam kemahiran membaca, menulis dan mengira, katanya. Ujian pasca pula, katanya, akan dijalankan selepas tamat pembelajaran bagi mengukur perkembangan serta peningkatan penguasaan peserta, dengan lebih 70 peratus peserta direkodkan mencapai tahap cemerlang. Beliau berkata peserta yang masih belum menguasai kemahiran 3M sepenuhnya boleh mengikuti pengulangan pembelajaran bagi memastikan mereka mencapai tahap yang diperlukan. Berhubung tempoh pembelajaran, Ahmad Fakhrul berkata kelas PLF hakiki berlangsung selama setahun dan dikendalikan oleh pemaju masyarakat PLF yang dilantik KEMAS sebagai tenaga pengajar terlatih di kawasan sasaran. Bagi kelas yang dijalankan oleh tenaga pengajar tambahan di kawasan memerlukan pula, program itu berlangsung selama enam bulan dengan kekerapan tiga sesi seminggu, katanya. Sebagai penghargaan dan suntikan semangat kepada peserta, beliau berkata majlis graduasi mengikut kelas dan daerah akan diadakan bagi meraikan mereka yang berjaya menamatkan sesi pembelajaran. Sebanyak 375 peserta daripada 25 kelas terlibat dalam majlis tersebut pada tahun ini yang dilaksanakan mengikut kelompok serta daerah masing-masing, katanya. “Peserta yang tamat belajar akan diberi sijil sebagai penghargaan dan suntikan semangat untuk terus belajar kerana kita tidak tahu mungkin selepas ini mereka berminat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya. Selain usaha memastikan celik huruf, tenaga pengajar KEMAS turut memberikan pendedahan kepada peserta tentang kemahiran hidup menerusi penghasilan produk seperti kraf tangan, keropok lekor dan rempeyek serta aspek keusahawanan berasaskan keperluan setempat, kata Ahmad Fakhrul. “Kita mahu peserta mengaplikasikan kemahiran asas 3M dalam keusahawanan secara kecil-kecilan supaya secara tidak langsung mereka dapat menjana pendapatan,” katanya. Seiring dengan kepesatan teknologi, beliau berkata peserta program PLF turut diberi pendedahan kepada kemahiran digital dalam kelas yang sama bagi membantu mereka mengikuti perkembangan semasa, sekali gus mengurangkan jurang digital. Peserta dibimbing menggunakan telefon pintar untuk urusan harian seperti membuat janji temu klinik menerusi aplikasi MySejahtera dan pembayaran bil, selain mempromosikan produk jualan secara dalam talian, katanya. “Usaha membanteras buta huruf perlu dilaksanakan secara berterusan dan mendapat sokongan semua pihak supaya tiada lagi rakyat, khususnya di Sabah tercicir daripada pendidikan,” katanya. “Kita tidak mahu mereka mudah ditipu dalam urusan seharian hanya kerana kekangan literasi, sebaliknya perlu dibantu sehingga mereka mampu berdikari dan menjalani kehidupan dengan lebih yakin,” kata Ahmad Fakhrul.–BERNAMA
October 4, 2026
Info X Reporters
Konsert gospel Kristian: Madius gesa keputusan berasaskan undang-undang
KOTA KINABALU: Cadangan penganjuran konsert gospel Kristian tidak seharusnya dianggap menyalahi undang-undang hanya berdasarkan kewujudan laporan polis atau bantahan, kata Presiden Kehormat UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau. Beliau berkata, laporan polis hanyalah maklumat yang perlu dinilai dan tidak boleh dianggap sebagai bukti bahawa sesuatu kesalahan sudah berlaku atau penganjur serta artis terbabit melakukan kesalahan. Katanya, dua laporan berhubung cadangan konsert gospel Kristian itu juga tidak dengan sendirinya membuktikan acara berkenaan menyalahi undang-undang. “Polis boleh membuka siasatan sekiranya maklumat yang diterima menunjukkan kemungkinan berlaku kesalahan atau memerlukan penelitian lanjut mengikut undang-undang. “Siasatan adalah proses mencari fakta dan bukan penentuan bahawa seseorang itu bersalah,” katanya dalam kenyataan hari ini. Madius berkata, pada 28 September lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah dilaporkan memaklumkan dua laporan diterima berhubung konsert berkenaan, namun ketika itu kertas siasatan belum dibuka. Sebaliknya, polis memantau perkara itu, merekod keterangan dan mempertimbangkan sama ada menasihatkan supaya acara berkenaan ditangguhkan atas alasan sensitiviti awam serta ketenteraman awam. Beliau berkata, penilaian keselamatan dan ketenteraman awam perlu dibezakan daripada siasatan atau tindakan penguatkuasaan kerana ia bertujuan mengenal pasti risiko yang wujud serta menentukan langkah sewajarnya untuk menguruskannya. Pada masa sama, Madius berkata, sebagai sebuah perhimpunan keagamaan, sebarang sekatan terhadap konsert gospel berkenaan juga boleh menyentuh kebebasan menganut dan mengamalkan agama seperti diperuntukkan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Bagaimanapun, katanya, hak berkenaan tidak bermaksud penganjuran konsert terbabit dikecualikan daripada undang-undang atau syarat ditetapkan pihak berkuasa. Sebaliknya, sebarang sekatan, penangguhan atau larangan perlu mempunyai asas undang-undang yang jelas serta dibuat berdasarkan pertimbangan keselamatan dan ketenteraman awam yang khusus serta boleh dipercayai. “Penganjur mesti mematuhi semua keperluan berkaitan lesen, imigresen, lokasi, keselamatan dan pengurusan orang ramai. “Sebarang keputusan untuk mengenakan syarat, menangguhkan atau melarang konsert mestilah dibenarkan undang-undang,” katanya. Madius berkata, sensitiviti awam boleh diambil kira dalam perancangan keselamatan, namun ia tidak seharusnya menjadi alasan tunggal untuk menghalang sesuatu acara. Katanya, sebarang cadangan menangguhkan atau melarang konsert perlu dikaitkan dengan kuasa undang-undang yang sah, risiko yang dikenal pasti dan penilaian sama ada langkah kurang menyekat boleh digunakan bagi menangani risiko berkenaan. Beliau berkata, kewujudan dua laporan polis juga tidak sepatutnya secara automatik menentukan nasib sesuatu acara yang memenuhi semua keperluan undang-undang dan peraturan. “Sabah berhak mendapat satu piawaian penguatkuasaan undang-undang berasaskan bukti yang dilaksanakan secara tidak berat sebelah, tanpa layanan istimewa politik, prejudis agama atau tunduk kepada tekanan awam,” katanya.-Info X
October 4, 2026
BERNAMA
Timbalan Ketua Polis Lahad Datu Jimmy Panyau meninggal dunia malam tadi
LAHAD DATU: Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu Supt Jimmy Panyau meninggal dunia malam tadi di Kuching Life Care Society, Sarawak, selepas mengalami masalah kesihatan berkaitan hati dan saluran hempedu. Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Dzulbaharin Ismail ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata Jimmy, 53, menghembuskan nafas terakhir pada 9.30 malam. “Mendiang merupakan seorang pegawai yang berdedikasi sepanjang menjalankan tugas di Lahad Datu,” katanya. Beliau berkata mendiang yang berketurunan Iban mendapatkan rawatan di Borneo Medical Centre, Kuching pada 14 Ogos berkaitan masalah kesihatan dihadapinya dan dimasukkan ke wad untuk pemeriksaan serta rawatan lanjut sebelum dibenarkan pulang sehari kemudian dan diberikan cuti sakit hingga 23 Ogos. “Pada 20 Ogos, mendiang mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak sebelum dimasukkan ke Wad Pembedahan Lelaki bagi pemantauan dan rawatan selanjutnya,” katanya. Jimmy sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Daerah Mukah, Sarawak.–BERNAMA
October 4, 2026
Info X Reporters
Tanah runtuh, pokok tumbang halang laluan di Taviu Spring
TELUPID: Kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang dilaporkan di Taviu Spring, Kampung Taupos, di sini, malam tadi. Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Rantey Fred, berkata bilik kawalan menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.35 malam sebelum menghantar dua anggota ke lokasi kejadian. “Pasukan tiba di lokasi kira-kira sejam kemudian dan mendapati sebatang pokok tumbang sekali gus menghalang laluan akibat tanah runtuh. “Anggota kita menggunakan gergaji untuk memotong batang pokok dan mengalihkannya ke tempat sesuai,” katanya di sini, hari ini. Rantey berkata, seramai lapan termasuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kakitangan syarikat pembinaan Lebuhraya Pan Borneo turut terbabit dalam operasi itu. Katanya, operasi tamat pada jam 3.55 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi dan jalan boleh dilalui semula. – Info X
October 4, 2026
Info X Reporters
Pemandu maut, kenderaan rempuh pokok
KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pokok di Jalan Tuaran Bypass berhampiran Kedai Chan Furniture, di sini, tengah malam tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, mangsa, Lee Eman, 44, dari Kampung Tambalugu, Tuaran, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mangsa yang memandu Mitsubishi Triton bersendirian dipercayai dalam perjalanan dari arah Tebobon menuju ke pusat bandar raya Kota Kinabalu. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian. “Kenderaan berkenaan kemudian terbabas sendiri sebelum melanggar pokok di bahu kiri jalan. “Akibat kemalangan itu, pemandu tersepit dan ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, mangsa kemudian dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan pada jam 1.31 pagi. “Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat. “Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. Sementara itu, Shahrudin berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan. “Mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Brymenedren Godon di talian 010-7768802 atau mana-mana balai polis berhampiran. “Pada masa sama, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa memandu dengan cermat dan berhemah serta mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain,” katanya. – Info X
October 3, 2026
Info X Reporters
Konsert Israel Houghton wajar diteruskan jika semua syarat dipenuhi – Shafie
KOTA KINABALU: Konsert artis Kristian Amerika Syarikat, Israel Houghton dan kumpulannya, wajar dibenarkan berlangsung di Sabah tertakluk kepada kelulusan serta peraturan yang ditetapkan, kata Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Beliau berkata, Sabah sejak sekian lama membina kekuatan melalui kehidupan masyarakat berbilang kaum dan agama yang saling menghormati, termasuk kebebasan setiap komuniti mengamalkan kepercayaan masing-masing secara aman. “Sabah sentiasa mendapat kekuatan daripada rakyatnya yang hidup bersama merentasi kaum dan agama. Ini bukan sekadar slogan, tetapi cara bandar, sekolah, pasar dan keluarga kita hidup sejak beberapa generasi. “Setiap komuniti mesti mempunyai kebebasan mengamalkan agama masing-masing secara aman dengan menghormati satu sama lain,” katanya dalam kenyataan media hari ini. Shafie berkata, sokongan terhadap kebebasan penganut Kristian di Sabah untuk menghadiri perhimpunan berkenaan tidak bermakna pihaknya menyokong setiap pandangan peribadi atau politik yang dipegang artis terbabit. Katanya, pihak berkuasa perlu menguatkuasakan peraturan secara adil dan sekiranya terdapat halangan dari segi undang-undang, perkara itu perlu dinyatakan dengan jelas. “Sebarang kebimbangan keselamatan yang tulen perlu ditangani dengan sewajarnya, dengan polis mengambil langkah sesuai untuk mengekalkan keamanan serta melindungi mereka yang menghadiri acara itu,” katanya. Beliau berkata, bantahan semata-mata tidak seharusnya menjadi penentu sama ada sesuatu perhimpunan keagamaan boleh diadakan atau sebaliknya. Menurutnya, setiap pihak mempunyai hak untuk tidak bersetuju dan menyuarakan bantahan secara aman, manakala mereka yang mahu menghadiri acara berkenaan juga berhak mendapat layanan serta penghormatan yang adil. Shafie berkata, masyarakat Islam, Kristian, Buddha dan penganut agama lain sudah berkongsi kehidupan di Sabah sejak beberapa generasi. “Penghormatan terhadap kepercayaan satu sama lain termasuk kebebasan untuk berkumpul, berdoa, menyanyi dan menganjurkan program keagamaan selagi ia dilaksanakan mengikut undang-undang,” katanya. Beliau turut menggesa pihak berkuasa berkaitan memudahkan penganjuran acara itu selepas semua keperluan ditetapkan dipenuhi, selain meminta semua pihak mengamalkan sikap sederhana dan saling menghormati. “Kita mesti menjunjung undang-undang, melindungi amalan keagamaan secara aman dan memelihara keharmonian yang selama ini menjadi kekuatan Sabah,” katanya. Sebelum ini, polis Sabah memaklumkan akan menasihatkan kerajaan negeri supaya menangguhkan konsert berkenaan sekiranya permohonan rasmi dikemukakan, susulan reaksi awam dan sensitiviti masyarakat ketika ini. Polis juga memaklumkan dua laporan diterima berhubung acara itu. Media turut melaporkan beberapa pihak mengemukakan bantahan terhadap penganjuran konsert berkenaan, manakala pihak lain menyeru supaya keputusan dibuat berdasarkan pematuhan undang-undang, aspek keselamatan dan keharmonian masyarakat.-Info X