November 17, 2026
Info X Reporters
‘Tamu’ CoBT di Suria Sabah 20-22 Nov – STB
KOTA KINABALU: Pameran Pelancongan Berasaskan Komuniti Sabah (CoBT) 2026 kembali untuk edisi kelapan dengan mengetengahkan konsep tamu tradisional bagi mempromosikan produk dan pengalaman pelancongan komuniti di negeri ini. Dianjurkan Lembaga Pelancongan Sabah (STB), pameran selama tiga hari itu berlangsung dari 20-22 November 2026 di Pusat Beli Belah Suria Sabah. Pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai, berkata konsep tamu mencerminkan tradisi masyarakat setempat yang menghimpunkan komuniti untuk menjalankan aktiviti jual beli serta memasarkan hasil keluaran mereka. Semangat itu, katanya diterapkan dalam pameran berkenaan melalui usaha menghubungkan pengusaha pelancongan berasaskan komuniti dengan pengunjung dan pemain industri. “Pameran tahun ini akan menampilkan 30 reruai pameran yang mewakili persatuan pelancongan dari pelbagai daerah, selain 12 reruai jualan yang dikendalikan ejen pelancongan berdaftar bagi mempromosi dan menawarkan pakej pelancongan berasaskan komuniti. “Pengunjung berpeluang menerokai pelbagai destinasi pelancongan, membeli kraftangan tempatan, cenderamata, makanan dan minuman, selain membuat tempahan serta membeli pakej pelancongan secara terus sepanjang pameran berlangsung. “Program ini turut merangkumi sesi perkongsian mengenai kelestarian dan agropelancongan, demonstrasi kraftangan dan penyediaan makanan tradisional, pertandingan mewarna kanak-kanak dan permainan tradisional,” katanya pada sidang media, di sini, pada Selasa. Joniston berkata, pameran itu menyokong agenda Kerajaan Negeri untuk membangunkan pelancongan di luar destinasi utama dan memperkukuh penyertaan komuniti luar bandar dalam industri pelancongan negeri secara lebih meluas. Beliau berkata, usaha turut dilaksanakan untuk menambah baik pengumpulan data pelancongan luar bandar menerusi platform Rural Tourism E Connectivity (RuTEC) yang mula dilaksanakan sebagai projek perintis di Kiulu pada Julai 2025. Katanya, projek yang dibangunkan dengan kerjasama syarikat teknologi tempatan, Datablu itu membolehkan pengusaha pelancongan merekodkan tempahan dan e-resit, selain menyediakan maklumat mengenai kecenderungan tingkah laku pengunjung. “STB kini dalam usaha memperluaskan penggunaan platform berkenaan ke kawasan lain. Data pelancongan yang lebih menyeluruh akan membantu kita memahami prestasi destinasi, minat pengunjung serta aspek yang perlu ditambah baik, sekali gus membolehkan perancangan dibuat dengan lebih berkesan bagi menyokong perkembangan pelancongan berasaskan komuniti. “Menjelang Tahun Melawat Sabah 2027, kita mahu lebih banyak destinasi komuniti mendapat pendedahan dan menarik kunjungan pelawat. “Pada masa sama, kita mahu membuka peluang kepada pengusaha tempatan untuk menambah baik produk, meluaskan pasaran serta memperoleh manfaat ekonomi daripada pertumbuhan sektor pelancongan,” katanya. Katanya, ia termasuk kempen ‘Bah, Lakastah Kitani Ke Sabah’ yang berlangsung dari 21 November – 31 Disember 2026, menawarkan tawaran istimewa kepada pasaran Brunei di samping menggalakkan pengunjung meneroka pengalaman CoBT selain aktiviti kebiasaan mereka seperti membeli-belah. Pameran CoBT tahun ini, katanya menyasarkan kehadiran kira-kira 3,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran, termasuk penduduk tempatan, keluarga, pelajar serta pelancong domestik dan antarabangsa yang berkunjung ke Sabah. – Info X
November 17, 2026
Info X Reporters
PBS cadang tambahan kerusi Parlimen di Kota Marudu, Tuaran, Keningau, Tenom dan Tawau
PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) mencadangkan tambahan kerusi Parlimen di Kota Marudu, Tuaran, Keningau, Tenom dan Tawau untuk dikemukakan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Kerusi tambahan itu dibincangkan pada Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PBS yang pertama bagi sesi 2026-2029 di Ibu Pejabat PBS, di Donggongon, di sini, pada Isnin. Selain lima kawasan berkenaan, beberapa lagi kawasan lain turut dibincangkan, sebelum kertas cadangan dimuktamadkan dan dibawa ke perbincangan GRS untuk diputuskan bersama. Sementara itu, mesyuarat yang dipengerusikan Presiden PBS, Datuk Dr Joachim Gunsalam itu turut memutuskan pelantikan tujuh ketua biro utama parti. Mereka ialah Datuk Joniston Bangkuai yang mengetuai Biro Disiplin dan Tatatertib; Datuk Lo Su Fui (Biro Sosio Ekonomi); Datuk Ruslan Muharam (Biro Kebajikan dan Bencana Alam); Datuk Julita Majungki (Biro Pembangunan Kepimpinan); Datuk Hendrus Anding (Biro Pendidikan dan Latihan Kemahiran); Datuk Dr Christopher Mandut (Biro Pembangunan Belia dan Beliawanis); dan Datuk Jonnybone Kurum (Biro Pembangunan Keusahawanan). Mengulas pelantikan itu, Dr Joachim berkata ia bertujuan memastikan setiap biro berfungsi secara aktif dan melaksanakan program berimpak yang memberi manfaat kepada ahli parti serta rakyat Sabah. “Jawatan dalam PBS bukan hadiah. Jawatan adalah amanah. Saya mahu setiap biro bekerja, turun padang dan membawa hasil yang dapat dirasai oleh ahli dan rakyat Sabah,” katanya. Dalam perkembangan sama, katanya PBS merancang mengadakan Jelajah Kepimpinan Tertinggi ke enam zon PBS bermula awal Januari 2027 bagi mendekati ahli, mendengar pandangan akar umbi dan memperkukuh perpaduan parti. “PBS komited memastikan setiap perancangan diterjemahkan kepada tindakan yang berkesan, selaras dengan aspirasi memperkukuh parti dan memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah,” katanya. – Info X
November 17, 2026
Info X Reporters
Kadar kemiskinan Sabah disasar 3 hingga 5 peratus pada 2030
KOTA KINABALU: Kadar kemiskinan mutlak di negeri ini disasar dikurangkan kepada tiga hingga lima peratus menjelang 2030, berbanding 17.7 peratus yang direkodkan ketika ini. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata usaha juga diteruskan untuk mengekalkan kadar sifar miskin tegar menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0. Katanya, sasaran itu memerlukan pelan tindakan lebih komprehensif, bersepadu dan berorientasikan keberhasilan, bukan sekadar menambah bilangan program atau bantuan kepada rakyat. Usaha itu, katanya turut memerlukan penetapan sasaran pengurangan bilangan Ketua Isi Rumah (KIR) miskin yang jelas dan boleh diukur setiap tahun menerusi Pelan Pembasmian Kemiskinan Negeri Sabah 2027-2030. “Berdasarkan laporan sistem eKasih setakat 15 Oktober 2026, Sabah masih merekodkan seramai 55,555 Ketua Isi Rumah (KIR) dalam kategori miskin. “Justeru, saya mahu angka ini dijadikan sebagai salah satu data asas bagi penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam pelan itu dengan sasaran pengurangan bilangan KIR miskin yang jelas dan boleh diukur setiap tahun,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Simposium Kesejahteraan dan Transformasi Rakyat (KESTRA) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini. Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan, kadar kemiskinan mutlak di Sabah menurun daripada 19.7 peratus pada 2022 kepada 17.7 peratus pada 2024, manakala kemiskinan tegar berkurangan daripada 1.2 peratus kepada 0.7 peratus dalam tempoh sama. Kerajaan negeri sebelum ini turut mengumumkan pencapaian angka sifar miskin tegar, namun Sabah masih mencatatkan kadar kemiskinan mutlak melebihi paras nasional dan tertinggi berbanding negeri lain. Bagi mencapai sasaran itu, Hajiji mahu setiap kementerian dan agensi yang terbabit menetapkan sasaran intervensi dan melaporkan keberhasilan sebenar dalam membantu isi rumah keluar daripada kemiskinan secara mampan. Katanya, pembangunan Dasar atau Garis Panduan Exit Policy Kemiskinan Negeri Sabah yang jelas dan bersesuaian dengan keadaan sosioekonomi rakyat negeri ini juga perlu dibangunkan. “Kita tidak boleh hanya mengukur kejayaan berdasarkan jumlah penerima yang dikeluarkan daripada senarai kemiskinan, tetapi perlu memastikan mereka benar-benar mempunyai keupayaan untuk berdikari dan tidak kembali terjerumus ke dalam kitaran kemiskinan,” katanya. Beliau berkata, indikator penilaian perlu diperhalusi dengan mengambil kira pendapatan isi rumah yang melepasi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) secara konsisten, pekerjaan atau sumber pendapatan stabil, kediaman selamat, kemampuan memenuhi keperluan asas dan pemilikan aset produktif. Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan ‘Exit Policy’ bukan bermaksud bantuan kerajaan dihentikan secara automatik apabila pendapatan penerima melepasi garis kemiskinan. “Mekanisme secara berperingkat, pemantauan berterusan dan sokongan bersesuaian perlu disediakan, khususnya kepada keluarga yang masih berisiko kembali miskin. “Semua program bantuan kerajaan termasuk Rumah Mesra SMJ, Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR), bantuan pendidikan, biasiswa, zakat, kebajikan, latihan kemahiran dan keusahawanan perlu diselaraskan dalam satu kerangka intervensi bersepadu,” katanya. Beliau berkata, setiap kementerian dan agensi perlu mempunyai tanggungjawab jelas dengan penetapan agensi peneraju, tempoh pelaksanaan, sumber pembiayaan serta KPI yang benar-benar mengukur perubahan taraf hidup dan peningkatan pendapatan rakyat. Hajiji turut menekankan kepentingan meneroka sektor ekonomi biru seperti perikanan, akuakultur dan pelancongan marin bagi menjana pendapatan rakyat. Katanya, institusi pengajian tinggi perlu melahirkan graduan berkemahiran tinggi, manakala pihak industri perlu mempergiat pelaburan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. Dalam masa sama, katanya, nasib rakyat Sabah yang merantau ke Semenanjung Malaysia untuk mencari rezeki juga perlu diberi perhatian dengan memperbanyak peluang pekerjaan di negeri ini, agar mereka tidak lagi terpaksa berhijrah ke tempat lain. Hajiji turut mengingatkan semua kementerian, jabatan dan agensi bahawa tahun 2030 bukanlah satu tempoh untuk menunggu, sebaliknya sasaran yang menuntut tindakan bermula dari sekarang. “Saya tidak mahu pelan ini sekadar menjadi satu lagi dokumen dasar yang tersimpan tanpa pelaksanaan yang berkesan. Sebaliknya, saya mahu setiap perancangan diterjemahkan kepada tindakan, setiap bantuan memberikan impak dan setiap ringgit yang dibelanjakan membawa perubahan sebenar kepada kehidupan rakyat,” katanya. – Info X
November 17, 2026
Info X Reporters
MedComm KK, Relly Rebels berentap dalam aksi persahabatan pickleball
KOTA KINABALU: Pasukan Media dan Komunikasi Kota Kinabalu (MedComm KK) meneruskan usaha mengeratkan hubungan serta memupuk semangat kesukanan menerusi perlawanan persahabatan pickleball menentang Relly Rebels di Dewan La Salle, di sini, malam tadi. Pertemuan yang berlangsung selama tiga jam itu menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi menarik dalam suasana penuh semangat dan persaingan sihat. Perlawanan membabitkan tiga kategori iaitu beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran. Setiap perlawanan menggunakan format kiraan mata rali sehingga 15 mata tanpa deuce serta sistem terbaik daripada tiga permainan. Pengerusi MedComm KK, Christopher Bernard Maskilone berkata, perlawanan persahabatan itu bukan sekadar medan menguji kemampuan pemain, malah menjadi platform mengukuhkan hubungan antara kedua-dua pasukan. Katanya, aktiviti sukan seumpama itu turut memberi peluang kepada pemain meningkatkan kemahiran, berkongsi pengalaman serta mengamalkan gaya hidup sihat. Selain itu, beliau berharap lebih banyak perlawanan persahabatan dapat dianjurkan bagi merancakkan perkembangan sukan pickleball, khususnya dalam kalangan pengamal media dan komuniti setempat. Sementara itu, Penolong Pengurus MedComm KK, Sandra Sokial turut memainkan peranan dalam menguruskan penyertaan pemain serta memastikan perjalanan perlawanan berlangsung lancar. Pasukan Relly Rebels pula diketuai pengurusnya, Irwan Iswandy yang turut memberi komitmen dalam menjayakan perlawanan persahabatan berkenaan. Pertemuan itu bukan sekadar memburu kemenangan, sebaliknya menjadi medan mengukuhkan semangat berpasukan dan hubungan persahabatan tanpa mengira keputusan perlawanan. – Info X
November 17, 2026
Info X Reporters
Pemuda Gagasan Rakyat intai peluang jadi calon
KOTA KINABALU: Sayap Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mahu wakil pemimpin muda dari parti itu turut diketengahkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan negeri (PRN) akan datang. Ketuanya, Datuk Azrul Ibrahim, berkata pihaknya akan memberikan syor dan pandangan kepada kepemimpinan tertinggi parti mengenai perkara itu. Katanya, beliau yakin kepemimpinan parti, khususnya Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor akan menimbangkan peluang untuk pemimpin muda yang berpotensi diketengahkan sebagai calon. “Pastinya sebagai sayap pemuda, kita akan memberikan syor dan pandangan kepada kepimpinan bagaimana pemuda dan pemimpin muda dapat diberikan peluang dalam sistem pilihan raya hingga menjadi calon. “Kita tidak berniat membebankan kepimpinan, syor kita akan diadakan secara matang dan berbincang dengan baik dan saya yakin dengan komitmen kepimpinan parti khususnya Presiden Gagasan Rakyat yang juga Pengerusi GRS, pemimpin muda berpotensi akan diketengahkan dan dicadangkan mewakili GRS pada PRU dan PRN akan datang,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemuda Gagasan Rakyat di SICC, di sini, pada Sabtu lalu. Azrul ditanya sama ada pemilihan calon dari kalangan pemimpin Pemuda Gagasan Rakyat sudah mula dibincang sebagai persiapan menghadapi PRU16 yang dijangka diadakan tahun depan. Beliau bagaimanapun berkata, belum ada sasaran atau peratusan calon memewakili pemuda yang dibincangkan setakat ini. “Peratusan atau target akan dibincangkan dengan kepimpinan terlebih dahulu untuk menetapkan segalanya secara tertib,” katanya. Pada PRN17 Sabah tahun lalu, bekas Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Fairuz Renddan, bertanding calon bebas apabila tidak dicalonkan semula di kerusi DUN Pintasan yang disandangnya. Walaupun hilang jawatan Ketua Pemuda dan keahlian dalam Gagasan Rakyat, Fairuz berjaya mengekalkan kerusi berkenaan setelah menewaskan pencabar terdekatnya, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang bertanding atas tiket GRS. – Info X
November 17, 2026
Info X Reporters
Hari Keluarga jambatan kukuhkan kerjasama sekolah, ibu bapa
TAMBUNAN: Program Hari Keluarga anjuran sekolah bukan sekadar acara berkumpul, bersukan dan berhibur, malah menjadi jambatan menghubungkan sekolah dengan ibu bapa dan masyarakat dalam usaha mendidik anak-anak. Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn Bhd, Datuk Victor Peter Paut, berkata, mendidik anak-anak bukan tanggungjawab guru semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama semua pihak. “Guru mendidik di sekolah, ibu bapa membimbing di rumah, manakala masyarakat menyediakan persekitaran yang baik untuk anak-anak membesar. “Apabila sekolah, keluarga dan masyarakat bersatu hati, kita bukan sahaja melahirkan anak-anak yang cemerlang dalam akademik, tetapi juga generasi yang mempunyai disiplin, nilai kemanusiaan, keyakinan diri dan rasa hormat terhadap orang lain,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Hari Keluarga Sekolah Kebangsaan (SK) Lotong Tambunan 2026, di sini, pada Isnin. Victor turut menyampaikan pesanan kepada murid-murid SK Lotong agar tidak takut mempunyai impian yang besar dan tidak merasakan mereka tidak mampu berjaya hanya kerana berasal dari kampung atau pedalaman. Katanya, kejayaan seseorang bukan ditentukan tempat dia dilahirkan, sebaliknya melalui usaha, disiplin, keberanian dan kesungguhan untuk mencapai cita-cita. “Mungkin hari ini kamu hanya seorang murid sekolah rendah di SK Lotong, tetapi suatu hari nanti, antara kamu mungkin menjadi doktor, guru, jurutera, usahawan, pemimpin masyarakat atau pemimpin negara. “Jadi, belajarlah bersungguh-sungguh, hormati ibu bapa, hargai jasa guru dan jangan mudah berputus asa. Jangan biarkan keadaan hari ini membataskan impian kamu untuk hari esok,” katanya. Dalam pada itu, Victor yang juga Penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) DUN Tambunan turut mengucapkan penghargaan kepada guru-guru, ibu bapa dan warga pendidik atas pengorbanan dan komitmen mereka dalam memastikan pendidikan anak-anak terus diberi perhatian. Sebagai pemimpin politik dan masyarakat di Tambunan, beliau menegaskan pembangunan sesebuah daerah bukan hanya bergantung kepada pembangunan jalan raya, bangunan atau kemudahan fizikal. “Pembangunan yang paling penting ialah pembangunan manusia. Kita memerlukan generasi yang berilmu, berkemahiran, mempunyai jati diri dan mampu bersaing pada masa hadapan. “Sebab itulah pendidikan harus menjadi keutamaan kita bersama, tanpa mengira latar belakang, bangsa, agama mahupun fahaman politik,” katanya. Beliau berharap hubungan baik antara pihak sekolah, PIBG, ibu bapa dan masyarakat setempat akan terus diperkukuhkan, bukan hanya ketika ada program, tetapi diteruskan dalam kehidupan seharian. “Sekolah yang hebat bukan hanya kerana bangunannya, tetapi kerana guru-gurunya yang berdedikasi, ibu bapanya yang prihatin dan masyarakatnya yang sentiasa memberikan sokongan,” katanya. Beliau turut berharap Program Hari Keluarga SK Lotong Tambunan 2026 berjalan lancar, penuh kegembiraan dan meninggalkan kenangan manis kepada semua yang hadir. Majlis itu turut dihadiri PPD Daerah Tambunan, Johari Ag Damit; Guru Besar SK Lotong, Eric Intiang; barisan Penolong Kanan, guru-guru, Yang Dipertua PIBG, Jabita Joachim dan jawatankuasanya, ibu bapa, tetamu jemputan serta murid-murid sekolah berkenaan. – Info X
November 17, 2026
Info X Reporters
11 lelaki ditahan susulan pergaduhan di pasar
SANDAKAN: Polis menahan 11 lelaki termasuk seorang remaja berusia 15 tahun bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan membabitkan dua kumpulan lelaki di Pasar Bandar Ramai-Ramai, di sini, malam tadi. Semua suspek berusia antara 15 hingga 46 tahun itu terdiri daripada lima warga tempatan dan enam warga Filipina yang ditahan susulan kejadian berkenaan. Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai pergaduhan yang dipercayai membabitkan penggunaan senjata tajam menerusi talian kecemasan kira-kira jam 7.36 malam. Katanya, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan kemudian menjalankan siasatan sebelum menahan semua suspek yang dipercayai terbabit. “Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara dua kumpulan lelaki yang bermula kira-kira jam 12.30 tengah malam hari sama. “Perselisihan faham itu kemudian berlarutan sehingga mencetuskan satu lagi pergaduhan pada sebelah malam,” katanya dalam kenyataan, hari ini. George berkata, kejadian berkenaan turut dirakam dan video pergaduhan itu tular di media sosial. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata. “Polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan. “Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri dalam menyelesaikan sebarang perselisihan faham, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa. “Selain itu, masyarakat diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung video tular berkenaan kerana dikhuatiri boleh menimbulkan salah faham serta mengganggu siasatan polis,” katanya. – Info X
November 17, 2026
Info X Reporters
Guna nombor pendaftaran berbeza, lelaki warga asing ditahan bersama motosikal curi
TAWAU: Taktik seorang lelaki warga asing menggunakan nombor pendaftaran berbeza pada sebuah motosikal curi terbongkar selepas dia ditahan polis di Jalan Kausing Baru, di sini, petang semalam. Suspek berusia lingkungan 20-an itu ditahan kira-kira jam 2.30 petang ketika berada di atas motosikal jenis Yamaha 135LC di hadapan sebuah rumah. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, tangkapan dilakukan sepasukan anggota Polis Strike Team Balai Polis Tawau ketika menjalankan rondaan cegah jenayah. Katanya, pasukan polis bertindak atas maklumat sebelum mengesan suspek bersama motosikal berkenaan. “Hasil pemeriksaan dan semakan nombor casis melalui sistem Mobile Card Acceptance Device (MCAD) mendapati motosikal itu mempunyai rekod dilaporkan hilang. “Suspek kemudian ditahan bersama motosikal berkenaan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media. Rosdi berkata, siasatan mendapati motosikal terbabit dilaporkan hilang di kawasan parkir belakang Eastern Plaza, di sini, pada 14 Oktober lalu. Katanya, laporan polis dibuat seorang wanita tempatan berusia 22 tahun pada 15 Oktober selepas mendapati motosikal milik abang iparnya hilang. “Semakan lanjut turut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah. “Suspek bersama motosikal yang dirampas dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor. Katanya, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan mencuri atau memiliki kenderaan curi. “Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengambil langkah keselamatan ketika meletakkan kenderaan bagi mengelakkan kejadian kecurian. “Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah juga diminta tampil menyalurkannya kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X