Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

September 29, 2026

BERNAMA

KPN cadang Oktober dijadikan bulan membaca

KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mencadangkan supaya Oktober setiap tahun dijadikan bulan membaca, dengan kempen dilaksanakan secara lebih tersusun dan menyeluruh. KPN dalam kenyataan memaklumkan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, mengumumkan cadangan itu pada majlis perhimpunan bulanan kementerian berkenaan di Perpustakaan Negara (PNM), hari ini. Menurut kenyataan itu, kempen bulan membaca itu selari dengan aspirasi Dekad Membaca Kebangsaan 2020-2030, untuk menjadikan Malaysia sebagai negara membaca menjelang 2030. Aaron dalam kenyataan sama berkata PNM perlu terus mempergiat Program Galakan Membaca bagi membudayakan amalan membaca dan meningkatkan literasi. “PNM perlu meneroka pendekatan lebih kreatif seperti di luar negara, antaranya menerusi konsep kafe buku dan kelab membaca, selain kempen membaca bersama-sama pencipta kandungan serta pempengaruh media sosial,” katanya. Aaron berkata Kajian Awal Indeks Membaca Kebangsaan (IMK) 2026 melibatkan 6,649 responden yang dilaksanakan PNM sehingga 7 Sept lepas menunjukkan 95 peratus daripada mereka ialah pembaca aktif, manakala 47.8 peratus membaca setiap hari. Selain itu Aaron berkata usaha membawa pulang warisan Malaysia di luar negara membuahkan hasil, apabila misi di Belanda dan Rusia berjaya mendokumentasikan 64 entri manuskrip Melayu dengan nilai perolehan salinan digital berjumlah RM465,000. “Inisiaitif ini mencerminkan komitmen PNM untuk mengesan, mendokumentasi, menyelidik dan memperoleh semula khazanah manuskrip Melayu yang berada di dalam atau di luar negara,” katanya. Aaron turut berkongsi beberapa kejayaan transformasi digital PNM, antaranya penggunaan Sistem Perpustakaan Bersepadu (KOHA) di 506 Perpustakaan Desa PNM, migrasi sistem perpustakaan kepada polaris serta pendigitalan khazanah negara. Sementara itu, KPN memaklumkan tiga projek utama PNM juga sedang dilaksanakan bagi tempoh 2025-2026, iaitu pembangunan Ruang Pembelajaran Interaktif dan Imersif bernilai RM4.7 juta yang dijangka siap Disember ini. “Selain itu, cadangan pembinaan Perpustakaan Digital di Bagan Datuk, Perak berkeluasan 1,902 meter persegi dengan kos siling RM21.6 juta. Ia akan menjadi kemudahan ilmu dan digital yang menyokong pembangunan Bandar Baru Bagan Datuk sebagai pusat pentadbiran, perumahan serta komersial. “Seterusnya ialah Projek Pembinaan Pusat Warisan Intelek Negara (MyWIN) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dengan peruntukan RM62.91 juta, sebagai pusat penyimpanan dan pemeliharaan khazanah intelek negara. Ia dijangka siap pada November 2029 untuk menempatkan kira-kira 2.5 juta naskah koleksi negara,” menurut KPN.–BERNAMA

September 29, 2026

BERNAMA

Pencarum KWSP perlu simpanan minimum RM100,000 pada usia 55 untuk persaraan – Penyelidik

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad KUALA LUMPUR: Seorang penyelidik universiti mencadangkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM100,000 menjelang usia 55 tahun bagi membolehkan mereka menerima pendapatan persaraan secara bulanan sebanyak RM780. Pegawai Penyelidik Kanan di Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) Universiti Putra Malaysia (UPM) Chai Sen Tyng berkata jumlah itu perlu dikumpulkan dan dilaburkan sehingga pencarum mencapai usia 60 tahun sebelum diagihkan secara bulanan, dengan bayaran awal bermula pada RM780. Beliau berkata kadar pembayaran perlu ditingkatkan antara dua dan tiga peratus setiap tahun untuk mengambil kira inflasi dan peningkatan kos sara hidup. “Apabila (pencarum) mencecah usia 65 atau 70 tahun, jumlah yang diterima adalah lebih daripada RM1,000 sebulan. Apabila semakin berusia, kos sara hidup dan inflasi juga meningkat. Oleh itu, kita tidak boleh menggunakan jumlah bayaran yang sama setiap tahun. “Pendekatan memiliki simpanan RM100,000 dalam KWSP secara ‘pool’ berpotensi menampung keperluan seseorang untuk tempoh antara 18 dan 20 tahun selepas persaraan, selain memberikan perlindungan kesinambungan kewangan yang berterusan,” katanya kepada Bernama pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2026, pada Selasa. Chai berkata cadangan mewujudkan simpanan RM100,000 sebagai anuiti mempunyai persamaan dengan konsep CPF LIFE di Singapura yang membolehkan rakyat mengeluarkan simpanan pada usia 55 tahun, tetapi perlu mengekalkan baki minimum tertentu. “Melalui CPF LIFE, rakyat Singapura boleh mengeluarkan simpanan pada umur 55 tahun tetapi perlu mengekalkan baki sebanyak S$60,000. “Apabila mencapai umur persaraan 64 tahun, mereka menerima bayaran sebanyak S$570 sebulan yang dijamin oleh kerajaan sehingga akhir hayat,” katanya. Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan tahap Kecukupan Pendapatan Persaraan kepada enam daripada setiap 10 ahli KWSP untuk mencapai penanda aras Simpanan Asas sebanyak RM390,000 pada usia 60 tahun menjelang 2030. Beliau berkata pada masa ini, hampir empat daripada 10 ahli KWSP berada di landasan untuk mencapai penanda aras tersebut di bawah Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan KWSP. “Ini merupakan satu kemajuan tetapi masih terlalu ramai rakyat Malaysia yang berisiko kehabisan simpanan sepanjang tempoh persaraan yang mungkin mencapai selama 20 hingga 25 tahun,” katanya. Anwar berkata kerajaan memperuntukkan RM1.26 bilion untuk kebajikan warga emas, yang memberi manfaat kepada 180,000 rakyat Malaysia yang telah berusia selain memperluas pusat aktiviti bagi memastikan peningkatan usia tidak semestinya bermakna terasing.–BERNAMA

September 29, 2026

Info X Reporters

Warga emas maut dirempuh ketika melintas jalan

PENAMPANG: Seorang pejalan kaki warga emas maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan di Jalan Penampang – Kota Kinabalu berhampiran Penampang Baru, di sini, petang tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa lelaki warga asing berusia 81 tahun mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta dipandu lelaki tempatan berusia 66 tahun dengan mangsa yang dipercayai sedang melintas jalan. Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan. “Mayat kemudian dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.” Katanya dalam kenyataan media, hari ini. Sammy berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-809 5133 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. “Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas dan peka terhadap keadaan persekitaran bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya. – Info X

September 29, 2026

BERNAMA

Gangguan seksual: KPWKM seru murid kenali batas diri, berani bersuara

BUTTERWORTH: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyeru golongan pelajar supaya mengenali batas diri, berani berkata tidak dan tampil mendapatkan bantuan sekiranya berdepan gangguan seksual atau keganasan. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying berkata kesedaran itu penting bagi memastikan sekolah kekal sebagai persekitaran yang selamat untuk kanak-kanak dan remaja. Beliau berkata selain mangsa tampil mendapatkan bantuan, rakan-rakan dan ahli keluarga juga perlu memainkan peranan dengan memberikan sokongan sekiranya melihat perubahan tingkah laku atau keadaan yang mencurigakan dalam kalangan individu terdekat. “Kalau mereka rasa mereka tidak boleh terima, mereka mesti berani berkata tidak. Kita juga mahu beritahu apabila seseorang menghadapi gangguan seksual atau keganasan, bagaimana mereka boleh mendapatkan bantuan. “Ini bukan satu kes atau keadaan yang memalukan dan mereka mesti berani tampil serta mencari saluran bantuan,” katanya ketika ditemui selepas Program Toleransi Sifar Keganasan: Respect the Boundaries di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Ling di sini, pada Selasa. Lim berkata isu buli, gangguan seksual dan keganasan memerlukan pendekatan merentas kementerian, termasuk aspek advokasi, pencegahan, kesedaran dan kaunseling. Beliau berkata KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mempunyai kaunselor profesional yang boleh membantu pihak sekolah sekiranya diperlukan. Dalam pada itu, Lim memaklumkan sebanyak 142 aduan telah difailkan di Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) sehingga 20 Sept lepas, dengan 97 daripadanya berjaya diselesaikan. Beliau berkata TAGS yang diwujudkan di bawah Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) menyediakan saluran alternatif kepada individu yang mengalami gangguan seksual untuk mendapatkan penyelesaian secara lebih mudah, cepat dan pada kos berpatutan. Sementara itu, Lim berkata peningkatan jumlah kes gangguan seksual yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu dilihat dari sudut kesedaran dan keberanian orang ramai untuk tampil mendapatkan bantuan. Berdasarkan statistik PDRM, sebanyak 477 kes gangguan seksual direkodkan pada 2022, meningkat kepada 522 kes (2023), 788 kes (2024) dan 1,038 kes (2025) manakala 388 kes dilaporkan sehingga 31 Mei 2026, termasuk 29 kes di Pulau Pinang.–BERNAMA

September 29, 2026

Info X Reporters

Sasaran 4 juta pelancong ke Sabah tahun ini mampu dicapai – KM

KOTA BELUD: Sabah berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran empat juta pelawat tahun ini, selepas mencatat kira-kira 2.6 juta ketibaan setakat Ogos lalu. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata dengan prestasi yang lebih kukuh pada suku keempat, beliau yakin sasaran empat juta itu masih boleh dicapai. “Sabah menerima kira-kira 1.1 juta ketibaan antarabangsa dan 1.5 juta pelawat domestik setakat ini. Jadi kita yakin sasaran empat juta pelancong pada tahun ini mampu dicapai,” katanya. Beliau berkata demikian pada majlis perasmian JSK Mantanani Island Resort, di sini, pada Selasa. Hajiji berkata Kerajaan Negeri kekal komited untuk memastikan pertumbuhan sektor pelancongan yang berdaya saing, inklusif dan mampan. Beliau mengulangi Pelan Induk Pelancongan Sabah akan membantu menentukan hala tuju yang jelas, menangani cabaran seperti kesalinghubungan penerbangan, melindungi alam sekitar dan memperluas penyertaan masyarakat tempatan. “Untuk mencapai matlamat ini, kerjasama erat antara sektor awam dan swasta amat diperlukan. Sabah mempunyai kekuatan luar biasa, daripada pulau dan pantai, hutan hujan, gunung-ganang, hidupan liar, budaya hinggalah kepada sajian makanan. “Dengan perancangan yang baik, pengurusan profesional dan pemasaran yang berkesan, kita boleh berkongsi kekuatan ini dengan lebih ramai pelawat sambil melindungi alam sekitar dan menghormati kepentingan masyarakat tempatan,” katanya. Sementara itu, beliau berkata pembukaan resort seperti JSK Mantanani Island Resort yang melibatkan pelaburan RM160 juta adalah selaras dengan sasaran negeri untuk menarik lebih ramai pelawat dan menyediakan kemudahan pelancongan bertaraf tinggi. Terletak di perairan Kota Belud, resort itu mempunyai 84 vila serta kemudahan mesra alam dan berada pada kedudukan yang baik untuk menarik pelancong yang mencari pengalaman autentik. “Saya juga mengalu-alukan kerjasama resort ini dengan Wyndham Hotels & Resorts. Hubungannya dengan jenama hospitaliti yang diiktiraf di peringkat global boleh memperkenalkan Mantanani kepada pasaran yang lebih luas serta menyokong standard penginapan dan perkhidmatan yang tinggi,” katanya. Ketua Menteri berkata manfaat pembangunan pelancongan seharusnya melangkaui resort itu sendiri kerana sektor pelancongan boleh mewujudkan peluang pekerjaan, membina kemahiran serta membuka peluang kepada usahawan tempatan, pembekal, penyedia perkhidmatan pengangkutan dan perniagaan lain. “Saya berharap kejayaan resort ini akan turut dikongsi bersama masyarakat Kota Belud dan kawasan sekitarnya,” katanya. Katanya, memastikan masyarakat tempatan turut mendapat manfaat daripada pembangunan sedemikian adalah perkara utama dalam pertumbuhan pelancongan mampan, yang menjadi antara teras agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ). “Kita mesti mengalu-alukan kedatangan pelawat sambil melindungi warisan semula jadi dan budaya kita supaya generasi akan datang terus dapat menikmati Sabah,” katanya. Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri juga sedang memperhalusi strategi untuk memperkukuh daya tarikan dan daya tahan Sabah sebagai sebuah destinasi sebagai persediaan menghadapi Tahun Melawat Sabah 2027. Tahun Melawat Sabah 2027 bukan sekadar kempen pelancongan, tetapi menjadi agenda bersama untuk seluruh negeri. “Kejayaannya bergantung kepada komitmen, kerjasama dan penyertaan aktif semua pihak, termasuk kerajaan, pemain industri pelancongan, sektor swasta, masyarakat tempatan dan rakyat Sabah. “Kita semua mempunyai peranan dalam mencapai matlamat Tahun Melawat Sabah 2027. Dengan bekerjasama, kita boleh memperkukuh kedudukan Sabah sebagaindestinasi yang berdaya saing, mampan dan bertaraf dunia untuk pelawat dari dalam dan luar negara,” katanya. – Info X

September 29, 2026

Info X Reporters

Pemberian khas interim RM1.5 bilion bukan ganti tuntutan 40 peratus hasil Sabah

KOTA KINABALU: Pemberian Khas interim RM1.5 bilion dari kerajaan Persekutuan kepada Sabah tidak pernah dianggap sebagai pengganti kepada penyelesaian tuntutan 40 peratus negeri ini seperti didakwa sesetengah pihak. Menegaskan perkara itu, Setiausaha Akhbar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Ahmad Farid Sainuri, berkata jumlah itu adalah bayaran sementara sehingga proses menentukan nilai sebenar Pemberian Khas Sabah dimuktamadkan. “Justeru, persoalan mengenai formula, nilai sebenar dan mekanisme pelaksanaan bukanlah perkara yang diketepikan. “Itulah proses utama yang sedang dimuktamadkan di antara Kerajaan Sabah melalui Setiausaha Kerajaan Negeri, Kementerian Kewangan Sabah dan Kerajaan Persekutuan melalui Ketua Setiausaha Perbendaharaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini. Beliau merujuk kepada laporan media bertajuk ‘Kalau mahu pembayaran RM1.5 bilion interim diteruskan, kekalkan Kerajaan Madani’ yang disiarkan di beberapa portal berita tempatan sejak Ahad lalu. Ahmad Farid berkata, keutamaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berhubung penyelesaian tuntutan 40 peratus Sabah adalah jelas dan kekal. Katanya, Mustapha bertegas bahawa sebarang hal yang berkaitan dengan hak Sabah dan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu diselesaikan secara berkesan mengikut lunas perlembagaan tanpa menjejaskan perpaduan negara. “Untuk pengetahuan umum, kenyataan Mustapha sebelum ini dipetik di luar konteks sehingga menimbulkan gambaran seolah-olah hak perlembagaan Sabah dikaitkan dengan sokongan politik kepada Kerajaan MADANI. “Apa yang ingin ditegaskan beliau adalah kesungguhan pentadbiran Kerajaan MADANI memenuhi keperluan Sabah dengan meningkatkan pembayaran interim hingga mencecah jumlah yang tidak terjangkau selama ini. “Di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, jumlah itu meningkat daripada RM300 juta pada 2023 kepada RM600 juta pada 2024 dan kini RM1.5 bilion setahun,” katanya. Beliau berkata, peningkatan bayaran interim itu adalah bukti kerjasama erat antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan dalam mencari jalan penyelesaian terhadap perkara-perkara berkaitan hak serta kepentingan rakyat Sabah. “Penegasan terhadap rekod pentadbiran ini sama sekali tidak bermaksud hak Sabah diletakkan sebagai syarat kepada sokongan politik,” katanya. Ahmad Farid berkata, hak Sabah kekal sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk perkara berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah. – Info X

September 29, 2026

Info X Reporters

Kegiatan simpan isirung sawit tanpa lesen terbongkar, RM709,000 dirampas

LAHAD DATU: Aktiviti memindahkan isirung kelapa sawit dari sebuah lori treler ke premis tidak bernombor membongkar kegiatan penyimpanan komoditi itu tanpa lesen membabitkan rampasan bernilai RM709,000 di Jalan POIC, di sini, semalam. Serbuan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah itu membawa kepada penahanan dua lelaki berusia 54 dan 35 tahun, manakala beberapa individu lain melarikan diri ke kawasan semak. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, serbuan dilakukan Unit Risik Marin selepas menjalankan risikan dan pemantauan di premis berkenaan. Katanya, hasil pemeriksaan menemukan kira-kira 52 tan metrik isirung kelapa sawit yang dipercayai disimpan tanpa lesen sah. “Turut dirampas sebuah lori treler Nissan Diesel, dua jentera Caterpillar serta alat sukat bersama kelengkapannya. “Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM709,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Ahmad Amri berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 5(1)(d), Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2005 di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582). Katanya, semua barang rampasan akan diserahkan kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Cawangan Lahad Datu untuk tindakan lanjut. “Sepanjang tahun ini, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 14 kes mengikut akta berkenaan membabitkan 27 tangkapan dengan nilai keseluruhan rampasan RM9.35 juta. “PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat risikan dan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan yang melanggar undang-undang serta melindungi kepentingan ekonomi negara,” katanya. – Info X

September 29, 2026

Info X Reporters

USIA, NGO Islam Sabah bantah program ‘Israel & New Breed’ di KK

KOTA KINABALU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) bersama badan bukan kerajaan (NGO) Islam Sabah dan Labuan menyatakan bantahan tegas terhadap penganjuran program ‘Israel & New Breed – Till The Whole World Knows Tour 2026’ di Sabah. Menerusi kenyataan bersama Unit Komunikasi USIA dan NGO Islam Sabah, program yang dijadual berlangsung di Hakka Hall, di sini, pada jam 8 malam, 22 Oktober 2026 itu dibantah atas sensitiviti masyarakat negara ini terhadap kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin. Kenyataan itu menyebut, bantahan terhadap program yang bakal dihadiri artis antarabangsa, Israel Houghton itu bukan berkaitan soal agama atau bangsa, sebaliknya mengambil kira pendirian penyanyi berkenaan terhadap Israel. “Bantahan ini bukan berkaitan soal agama atau bangsa, sebaliknya berhubung dengan pendirian terbuka individu berkenaan terhadap Israel yang boleh disemak melalui hantaran media sosial beliau sendiri. “Antaranya, terdapat hantaran yang memaparkan simbol Israel bersama kenyataan ‘I pray for the peace of Jerusalem. I stand with Israel’. “Pendirian terbuka seperti inisememangnya mempunyai implikasi dari sudut sensitiviti masyarakat, khususnya ketika dunia sedang menyaksikanpenderitaan berterusan yang dialami rakyat Palestin,” katanya. Katanya, USIA dan NGO-NGO Islam Sabah menghormati kebebasan beragama serta menolak sebarang bentuk kebencian terhadap mana-mana agama, bangsa atau komuniti. Bagaimanapun, USIA bersama rakan NGO Islam Sabah lain menegaskan kebebasan itu tidak seharusnya ditafsirkan sebagai keperluan untuk menerima atau menormalisasikan setiap pendirian politik atau sokongan terhadap pihak yang sedang menjadi pertikaian serius dalam isu kemanusiaan antarabangsa. “Kami berpandangan bahawa Sabah mempunyai identiti masyarakat yang menjunjung keamanan, keharmonian, toleransi dan nilai kemanusiaan sejagat. “Justeru, sebarang penganjuranprogram antarabangsa yang melibatkan individu dengan pendirian awam berkaitan konflik Israel-Palestin wajar dinilai dengan penuh tanggungjawab, termasuk dari aspek sensitiviti masyarakat, kepentingan awam, ketenteraman serta keharmonian rakyat Sabah,” katanya. Sehubungan itu, katanya USIA dan NGO-NGO Islam Sabah menggesa pihak berkuasa serta agensi berkaitan supaya meneliti semula segala kelulusan, permit dan aspek penganjuran program itu, termasuk kedudukan serta kenyataan awam artis yang terbabit. “Kami berharap semua pihak berkuasa menggunakan bidang kuasa yang ada bagi memastikan sebarang program yang berlangsung di Sabah tidak menimbulkan ketegangan atau mencetuskan sensitiviti yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat. “Kami akan membuat laporan polis sebagai bantahan dan meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan serta tindakan. Kami tidak menyeru kepada kebencian, kekerasan atau tindakan terhadap mana-mana individu atas dasar agama dan bangsa. “Sebaliknya, pendirian kami adalah berasaskan prinsip kemanusiaan dan keprihatinan terhadap nasib rakyat Palestin. Palestin bukan sekadar isu politik, ialah adalah isu kemanusiaan,” katanya. Atas prinsip itu, katanya USIA dan NGO Islam Sabah akan terus menyuarakan solidariti kepada rakyat Palestin serta menolak sebarang usaha yang dilihat boleh menormalisasikan sokongan terhadap penindasan dan penderitaan rakyat Palestin. “Kami menyeru masyarakat Sabah supaya mengekalkan ketenangan, tidak mengambil tindakan sendiri dan menyalurkan sebarang bantahan melalui saluran yang sah. “Kekuatan perjuangan bukan melalui kekerasan, tetapi pada prinsip, kewarasan tindakan dan kesatuan suara yang disampaikan secara aman. USIA dan NGO-NGO Islam Sabah berdiri bersama prinsip kemanusiaan, keamanan dan keadilan,” katanya. Semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun menjelaskan tiada sebarang permohonan rasmi diterima daripada penganjur bagi mengadakan program berkenaan di Sabah, tetapi dikesan menguar-uarkan penganjurannya di media sosial. Berikutan itu, katanya polis akan memberi nasihat berdasarkan maklum balas masyarakat berkaitan sensitiviti program itu di Sabah, termasuk laporan polis yang diterima berhubung bantahan terhadap penganjurannya. – Info X