Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

August 7, 2026

Info X Reporters

James Ligunjang bersama beberapa pemimpin di Penampang sertai Gagasan Rakyat

PENAMPANG: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk James Ligunjang bersama beberapa tokoh politik dan profesional dari kawasan Parlimen Penampang secara rasmi menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), pada Jumaat. Antara yang menyertainya ialah Datuk Edmund Doudilim, Dr Tan Jun Kwang, Wilson Chang, Datuk Aloysius Mobijin, Frederick Francis Fung, Anwar Syed Shariff Abdullah, TS Gary Chang dan Albert Doudilim. Borang permohonan keahlian mereka diserahkan kepada Pengerusi Gagasan Rakyat Bahagian Moyog, Datuk Mandela Malakun dalam satu majlis ringkas di ITCC Penampang, yang turut disaksikan Pengerusi Gagasan Rakyat Bahagian Kepayan, Datuk Steven Jimbangan. James berkata, keputusan menyertai Gagasan Rakyat adalah satu langkah untuk memperkukuhkan lagi perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang disokongnya sejak penubuhan gabungan itu. Katanya, walaupun selama ini beliau tidak menganggotai mana-mana parti komponen GRS, keyakinan terhadap hala tuju kepimpinan kerajaan negeri mendorong beliau dan rakan-rakan memilih Gagasan Rakyat sebagai wadah perjuangan. “Kami menyertai Gagasan Rakyat untuk membantu mengukuhkan kekuatan akar umbi parti dan memperkasakan GRS demi memastikan kepentingan rakyat Sabah terus terbela,” katanya. Beliau turut menyifatkan pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berjaya membawa pelbagai pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat di seluruh negeri. Katanya, pencapaian kerajaan negeri pada hari ini membuktikan kepimpinan sedia ada berada di landasan tepat dan wajar terus diberikan sokongan. Kemasukan James bersama beberapa tokoh berpengalaman itu dijangka memperkukuhkan lagi kedudukan Gagasan Rakyat di kawasan Parlimen Penampang serta memperluaskan pengaruh parti itu.- Info X

August 7, 2026

Info X Reporters

Kereta rempuh pintu masuk balai pelepasan KKIA, pemandu wanita cedera

KOTA KINABALU: Seorang pemandu wanita cedera selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh pintu masuk balai pelepasan di Aras 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, petang ini. Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, cermin di pintu masuk balai pelepasan berkecai akibat rempuhan berkenaan, manakala serpihan kaca bertaburan di kawasan laluan penumpang sehingga mencetuskan panik dalam kalangan orang awam yang berada di lokasi. Difahamkan, pemandu dipercayai tertekan pedal minyak sebelum kenderaannya merempuh masuk ke pintu masuk balai pelepasan. Bagaimanapun, kejadian itu tidak membabitkan mana-mana pengunjung atau pekerja lapangan terbang. Pemandu wanita terbabit mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. Beberapa video yang tular di media sosial turut memaparkan sebuah SUV berwarna putih mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan selepas merempuh struktur di pintu masuk terminal, selain serpihan kaca bertaburan di kawasan kejadian. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu. Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. – Info X

August 7, 2026

Info X Reporters

Operasi Todak: 10 PATI ditahan, penjaja tanpa lesen dikompaun

KOTA KINABALU: Seramai 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina ditahan dalam Operasi Todak yang dilaksanakan secara bersepadu di kawasan SAFMA, Pasar Besar Kota Kinabalu dan perairan sekitarnya, awal minggu ini. Operasi bermula jam 11 malam pada 4 Ogos lalu itu diselaraskan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sabah dan Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA). Dalam operasi itu, JIM memeriksa 521 Orang Yang Diperiksa (OYDP) sebelum menahan 10 PATI yang disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Kesemua mereka kemudian dihantar ke Depot Imigresen Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut. Di kawasan perairan pula, Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sabah dengan kerjasama APMM memeriksa empat bot dan menahan lesen asal sebuah bot selepas mendapati dokumen pengenalan pelaut warga asing di dalamnya telah tamat tempoh. Kedua-dua agensi itu turut bersiap siaga mengesan serta mengambil tindakan segera sekiranya terdapat individu yang cuba melarikan diri dengan terjun ke laut. Sementara itu, APMM menggerakkan dua aset maritim bersama 14 anggota untuk memeriksa sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT). Hasil pemeriksaan mendapati tujuh kru berada di atas vesel berkenaan sebelum mereka diserahkan kepada JIM untuk tindakan lanjut. Dalam aspek penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan, DBKK mengeluarkan kompaun terhadap dua penjaja yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sah di kawasan SAFMA dan Pasar Besar Kota Kinabalu. Turut disita dalam operasi itu ialah sebuah motosikal serta beberapa peralatan yang digunakan bagi menjalankan aktiviti perniagaan. Bagi memastikan operasi berjalan lancar dan selamat, PDRM menggerakkan 21 anggota membabitkan Balai Polis Kota Kinabalu, Team Cantas dan Pasukan Polis Marin. DBKK memaklumkan operasi penguatkuasaan bersepadu seperti itu akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan Kota Kinabalu kekal sebagai bandar raya yang bersih, selamat, teratur dan berdaya huni. – Info X

August 7, 2026

Info X Reporters

Bedah siasat selesai, jenazah tiga anggota polis dihantar pulang ke kampung halaman

KOTA KINABALU: Jenazah tiga anggota polis yang maut dipercayai akibat renjatan elektrik di luar Balai Polis Weston, Beaufort, petang semalam, akan dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing sebaik selesai urusan bedah siasat dan dokumentasi di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, hari ini. Proses bedah siasat yang bermula kira-kira jam 8.30 pagi tadi selesai sekitar jam 12 tengah hari sebelum diteruskan dengan urusan dokumentasi bagi membolehkan semua jenazah dibawa ke destinasi masing-masing. Jenazah Koperal Chiu Teck Siong akan dibawa ke Lapangan Terbang Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM sebelum diterbangkan ke Sarawak. Dua lagi jenazah iaitu Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee pula akan dibawa ke Masjid Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah untuk disolatkan selepas Maghrib, kira-kira jam 7.30 malam. Selesai solat jenazah, kedua-dua jenazah akan dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebelum diterbangkan ke Kelantan dan Terengganu menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Terdahulu, isteri Allahyarham Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim turut berada di Jabatan Perubatan Forensik HQE bagi menunggu selesai keseluruhan proses pengurusan jenazah. Beliau yang enggan ditemu bual turut diberikan khidmat kaunseling oleh Unit Kaunseling Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh menzahirkan penghargaan kepada Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, warga Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah serta Hospital Queen Elizabeth yang banyak membantu melancarkan urusan pengurusan jenazah. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pemimpin kawasan Klias dan Lumadan, Datuk Isnin Aliasnih serta Datuk Ruslan Muharam, selain Persatuan Pegawai Rendah Polis Kontinjen Sabah atas sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang proses pengurusan jenazah. Beliau berkata, sumbangan ikhlas daripada warga PDRM Sabah turut disampaikan kepada waris ketiga-tiga anggota terbabit sebagai tanda solidariti dan penghargaan atas pengorbanan mereka. Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang semalam, ketiga-tiga anggota yang bertugas di Balai Polis Weston disahkan meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mengait buah kelapa menggunakan galah besi berhampiran balai polis berkenaan. – Info X

August 7, 2026

Info X Reporters

Produk haiwan sejuk beku bernilai RM3.42 juta dirampas di Pelabuhan Sepanggar

KOTA KINABALU: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya membongkar cubaan membawa masuk makanan sejuk beku secara tidak sah menerusi pengikraran tidak sah. Dalam operasi Op Ribat Sepanggar siri 1/2026 itu, sebanyak 12 kontena berisi produk ayam dan babi bernilai RM3.42 juta berjaya dirampas di Pelabuhan Sepanggar. Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kejayaan itu adalah hasil operasi yang dilaksanakan sejak 19 Mei lalu menerusi kerjasama strategik antara AKPS. Katanya, antara yang terlibat adalah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS) dan Pihak Berkuasa Pelabuhan. “Hasil operasi itu, sebanyak 12 kontena telah dikenal pasti dan diperiksa di Pelabuhan Sepanggar pada 16 Julai lalu. “Pemeriksaan mendapati semua kontena berkenaan mengandungi produk haiwan berupa ayam sejuk beku dan babi sejuk beku yang dipercayai dibawa masuk ke negara ini melalui pengikraran yang tidak selaras. “Keseluruhan dagangan itu dianggarkan seberat 348,000 kilogram dengan nilai sebanyak RM3,422,000 dan dipercayai berasal dari China serta Hong Kong,” katanya dalam sidang media di Kota Kinabalu, hari ini. Menurut beliau, susulan penemuan itu, AKPS telah menyita keseluruhan dagangan berkenaan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan serta tindakan penguatkuasaan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 [Akta 235] kerana disyaki gagal membuat akuan penuh dan benar serta mengemukakan perakuan atau dokumen yang tidak benar dalam perkara material. “Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya. Sehubungan itu, Mohd Shuhaily menegaskan AKPS memandang serius sebarang cubaan membawa masuk dagangan secara tidak sah melalui pengikraran palsu atau apa-apa bentuk pelanggaran kawal selia di pintu masuk negara. Katanya, AKPS akan terus memperkukuh kawalan dan pemeriksaan di semua pintu masuk negara menerusi pendekatan penguatkuasaan bersepadu bersama agensi-agensi berkaitan. “Ia bagi memastikan keselamatan sempadan negara sentiasa terpelihara serta pematuhan terhadap undang-undang dapat diperkasakan,” katanya. – Info X

August 7, 2026

Info X Reporters

Pemergian tiga anggota polis satu kehilangan kepada masyarakat – Ruslan

BEAUFORT: Pemergian tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas terkena renjatan elektrik di Weston, di sini, lewat petang Khamis disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada keluarga, pasukan dan masyarakat. Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Ruslan Muharam, berkata jasa mereka sepanjang berkhidmat kepada masyarakat akan sentiasa dikenang. “Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa dan warga PDRM. Semoga keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi dugaan ini,” katanya dalam satu kenyataan. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan turut hadir ke Hospital Beaufort, di sini, bagi memberikan penghormatan terakhir kepada tiga anggota terbabit, malam tadi. Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih yang juga ADUN Klias. Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang Khamis, tiga anggota polis dari Balai Polis Weston disahkan meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik. Insiden bermula selepas seorang daripada mereka terkena renjatan elektrik ketika mengait buah kelapa apabila galah besi yang digunakan tersentuh kabel elektrik. Susulan itu, dua rakannya cuba membantu, namun kedua-dua mereka turut terkena renjatan elektrik sebelum tiga anggota polis terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat terkena renjatan. – Info X

August 7, 2026

Info X Reporters

Tiga jenazah anggota polis tiba di HQE untuk bedah siasat

KOTA KINABALU: Tiga kenderaan van membawa jenazah anggota polis yang maut akibat renjatan elektrik di Weston, Beaufort, tiba di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), di sini, kira-kira jam 1.10 pagi tadi. Ketibaan ketiga-tiga van jenazah itu diiringi beberapa kenderaan peronda (MPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, Papar, Penampang dan Kota Kinabalu. Jenazah dibawa dari Hospital Beaufort ke HQE I bagi menjalani proses bedah siasat serta urusan dokumentasi sebelum diserahkan kepada waris. Selepas selesai semua urusan berkenaan, jenazah akan dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing dengan diiringi pegawai polis dari IPD Beaufort. Ketiga-tiga mangsa yang bertugas di Balai Polis Weston dikenal pasti sebagai Koperal Chiu Teck Siong, 40, berasal dari Sarawak; Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, berasal dari Kelantan; dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26, berasal dari Terengganu. Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang tadi, ketiga-tiga anggota itu disahkan meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mengalihkan galah besi sepanjang 29 kaki yang digunakan untuk mengait buah kelapa di luar Balai Polis Weston berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Weston. Siasatan awal mendapati galah berkenaan terkena kabel elektrik utama sebelum arus mengalir ke galah dan merenjat ketiga-tiga mangsa. – Info X

August 7, 2026

Info X Reporters

Jenazah tiga anggota polis dihantar pulang ke kampung halaman

BEAUFORT: Jenazah tiga anggota polis yang terkorban akibat renjatan elektrik ketika mengait buah kelapa di Jalan Weston, Kampung Weston, di sini, petang tadi akan dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing sebaik selesai bedah siasat dan urusan dokumentasi. Ketiga-tiga mangsa yang bertugas di Balai Polis Weston ialah Koperal Chiu Teck Siong, 40, berasal dari Sarawak; Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, berasal dari Kelantan; dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26, berasal dari Terengganu. Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, semua jenazah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu bagi menjalani bedah siasat sebelum diserahkan kepada waris. “Semua jenazah kini dihantar ke Jabatan Forensik HQE Kota Kinabalu bagi menjalani bedah siasat dan urusan dokumentasi. “Selepas selesai semua urusan itu, jenazah akan dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing dengan diiringi pegawai daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort,” katanya dalam kenyataan media, malam ini. Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika ketiga-tiga mangsa menggunakan galah besi sepanjang 29 kaki untuk mengait buah kelapa. “Apabila selesai mengait buah kelapa dan cuba mengalihkan galah berkenaan, salah seorang mangsa dipercayai hilang keseimbangan menyebabkan galah itu terkena kabel elektrik utama Sabah Electricity. “Arus elektrik kemudian mengalir ke galah besi itu dan merenjat ketiga-tiga mangsa. Keadaan permukaan kawasan yang merupakan tanah gambut serta terdapat air bertakung dipercayai turut menyumbang kepada kejadian,” katanya. Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang tadi, ketiga-tiga anggota terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian yang terletak di luar Balai Polis Weston berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Weston. – Info X