Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

August 3, 2026

Info X Reporters

Highland FC muncul juara Kejohanan Bola Sepak 6 Sebelah Terbuka Sabah 2026

RANAU: Highland FC dari Kundasang muncul juara Kejohanan Bola Sepak 6 Sebelah Terbuka Sabah 2026 sempena sambutan Bulan Kebangsaan selepas menewaskan pencabar-pencabar terbaik negeri ini pada kejohanan yang berlangsung di Padang Pekan Kundasang, di sini. Kejohanan dua hari anjuran Kelab Belia Pekan Kundasang (KBPK) yang bermula pada Sabtu itu berjaya menarik penyertaan 31 pasukan dari seluruh Sabah, sekali gus membuktikan sambutan memberangsangkan terhadap pembangunan bola sepak akar umbi di negeri ini. Quantum Kickers dari Kota Marudu muncul naib juara, manakala Bos Bundle dari Kota Kinabalu menduduki tempat ketiga dan Sinarut Team dari Ranau menamatkan saingan di tempat keempat. Selain persaingan sengit di atas padang, beberapa pemain turut menyerlah menerusi prestasi cemerlang sepanjang kejohanan. Pemain Highland FC, Sadam, dipilih sebagai Pemain Terbaik kejohanan, manakala rakan sepasukannya, Leopold, dinobatkan Penjaring Terbanyak selepas meledak 11 gol. Anugerah Penjaga Gol Terbaik pula menjadi milik Yusri daripada Quantum Kickers yang mempamerkan aksi konsisten sepanjang kejohanan. Pengerusi penganjur merangkap Pengerusi Kelab Belia Pekan Kundasang, Azizul Aslie, berkata kejohanan itu bukan sekadar medan pertandingan, malah menjadi platform menyatukan belia dari pelbagai daerah menerusi semangat kesukanan, perpaduan dan persaingan sihat. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, atas sumbangan hadiah wang tunai yang membantu menjayakan penganjuran kejohanan berkenaan. Katanya, penghargaan turut diberikan kepada Majlis Daerah Ranau (MDR) kerana membenarkan penggunaan Padang Pekan Kundasang, selain Puncak Homestay dan Kopisanangan Cafe yang tampil sebagai antara penyokong utama kejohanan. Azizul turut berterima kasih kepada semua pasukan bertanding, pengadil, urusetia, penaja, sukarelawan serta orang ramai yang bersama-sama memastikan kejohanan berlangsung dengan lancar. Beliau berharap kejohanan itu dapat diteruskan sebagai acara tahunan bagi mencungkil lebih ramai bakat baharu bola sepak Sabah, di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan belia. Pada masa sama, beliau berharap Padang Pekan Kundasang dapat dinaik taraf dan dibaik pulih supaya menyediakan kemudahan yang lebih selesa serta berkualiti kepada belia dan masyarakat setempat untuk menjalankan aktiviti sukan pada masa hadapan. – Info X

August 3, 2026

Info X Reporters

Gangguan tidak senonoh di gelanggang bola keranjang, polis buru suspek

KOTA KINABALU: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian gangguan tidak senonoh terhadap seorang wanita di kawasan Gelanggang Bola Keranjang, Taman Hill Top, Luyang, di sini, yang tular di media sosial. Kejadian dipercayai berlaku pada 29 Julai lalu dan satu laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Luyang untuk tindakan lanjut. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, kes kini disiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan. Beliau berkata, polis memandang serius kejadian itu dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan jenayah yang mengancam keselamatan orang awam, khususnya wanita. “Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan menerusi pelbagai tindakan siasatan termasuk menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mengesan serta merakam percakapan saksi yang berpotensi, selain mengumpul maklumat risikan bagi mengenal pasti suspek secepat mungkin. “Kita komited memastikan individu yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, sebagai langkah pencegahan, polis turut meningkatkan rondaan cegah jenayah membabitkan Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta anggota Balai Polis Luyang di sekitar Taman Hill Top dan kawasan tumpuan awam lain di bandar raya ini, terutama pada waktu malam. Katanya, langkah itu bertujuan meningkatkan kehadiran polis, mencegah kejadian jenayah serta memberi keyakinan kepada masyarakat terhadap aspek keselamatan. “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan. “Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Balai Polis Luyang di talian 088-253470, Hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-221191 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Info X

August 3, 2026

Info X Reporters

Suami isteri ditahan, lebih 254kg syabu dirampas di Semporna

SEMPORNA: Sepasang suami isteri ditahan selepas polis merampas 254.35 kilogram (kg) syabu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket dadah antarabangsa dalam serbuan di sebuah ladang kelapa sawit di daerah ini, pada 13 Julai lalu. Rampasan dilakukan kira-kira jam 4 pagi hasil operasi bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dan IPD Kunak selepas risikan dijalankan. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pemeriksaan ke atas sebuah van Toyota Hiace menemukan 24 beg pakaian yang mengandungi 254.35kg syabu. Katanya, susulan serbuan itu, polis menahan pasangan suami isteri terbabit, manakala seorang lagi individu sedang diburu bagi membantu siasatan. “Rampasan syabu itu dianggarkan mampu menampung sehingga 726,714 kali penggunaan dan dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket dadah antarabangsa. “Siasatan awal juga mendapati dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk ke Sabah melalui laluan sempadan Sipitang sebelum cuba diseludup ke luar negara,” katanya pada sidang media di Dewan Serbaguna IPD Semporna, hari ini. Beliau berkata, bekalan dadah itu turut dipercayai mempunyai kaitan dengan kawasan Segi Tiga Emas yang membabitkan Myanmar, Thailand dan Laos. Dalam perkembangan sama, Jauteh berkata, polis turut merampas 74.886kg dadah dalam satu lagi operasi di Jalan Tun Hamdan, Tawau, pada 12 Julai lalu. Katanya, serbuan kira-kira jam 10.30 malam itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau dan IPD Kunak. “Pemeriksaan terhadap sebuah Proton Saga menemukan empat beg berisi dadah, termasuk tiga beg sukan golf dan sebuah beg hitam. “Empat individu terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia antara 24 hingga 40 tahun turut ditahan,” katanya. Beliau berkata, dua daripada suspek adalah warga tempatan, manakala dua lagi bukan warganegara. “Hasil siasatan mendapati semua suspek bekerja sendiri atau tidak mempunyai pekerjaan, tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing mereka didapati negatif dadah,” katanya. Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan daripada kedua-dua operasi itu dianggarkan hampir RM18 juta dan dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa. Jauteh berkata, kejayaan itu adalah hasil risikan berterusan JSJN Sabah serta maklumat yang disalurkan orang awam. Beliau berkata, sejak Januari hingga 30 Julai lalu, JSJN Sabah sudah melaksanakan 12 operasi Op Bayu dengan hampir empat tan dadah berjaya dirampas. “Semua suspek bagi Op Bayu 1 hingga Op Bayu 9 sudah dituduh di mahkamah, manakala suspek yang tidak dapat didakwa dikenakan tindakan di bawah langkah pencegahan khas. “Bagi Op Bayu 10, 11 dan 12, siasatan masih dijalankan sebelum semua suspek didakwa di mahkamah,” katanya. Beliau berkata, Op Bayu 12 yang dilancarkan di Sipitang pada 30 Julai lalu turut membawa kepada rampasan tiga kilogram dadah dan penahanan tiga individu. Katanya, PDRM Sabah akan terus memperkukuh kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi mengekang kemasukan dadah ke negeri ini. – Info X

August 2, 2026

Info X Reporters

Lelaki keluar menjala ikan ditemui meninggal dunia

PAPAR: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar menjala ikan ditemui meninggal dunia di sungai Kampung Benoni, di sini, malam ini. Mangsa, Awang Husin Awang Hasan, 61, ditemukan orang awam pada jam 9.59 malam berhampiran lokasi motosikalnya ditemui sebelum ini. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Ronny Sikawan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.09 malam. Katanya, seramai 10 anggota bersama sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Toyota Vigo kemudian dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai. “Berdasarkan maklumat adik mangsa, lelaki itu keluar menjala ikan kira-kira jam 6 pagi dan kebiasaannya pulang sekitar jam 1 tengah hari. “Bagaimanapun, mangsa tidak pulang sehingga lewat petang menyebabkan ahli keluarga bersama penduduk kampung bertindak mencarinya sebelum hanya menemui motosikal dan selipar milik mangsa di tebing Sungai Benoni. “Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan kaedah Water Surface Searching sebelum mangsa ditemukan oleh orang awam berhampiran lokasi motosikalnya,” katanya ketika dihubungi. Beliau berkata, pegawai perubatan yang berada di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Katanya, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.13 malam selepas bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian. – Info X

August 2, 2026

Info X Reporters

Lelaki keluar menjala ikan dikhuatiri lemas, motosikal dan selipar ditemui di tebing sungai

PAPAR: Seorang lelaki warga emas dikhuatiri lemas selepas gagal pulang ke rumah sebaik keluar menjala ikan di sungai Kampung Benoni, di sini, hari ini. Mangsa, Awang Husin Awang Hasan, 61, dipercayai keluar menjala ikan kira-kira jam 6 pagi dan kebiasaannya pulang sekitar jam 1 tengah hari. Namun, sehingga lewat petang, mangsa masih belum pulang, menyebabkan ahli keluarga bimbang sebelum memulakan usaha mencarinya. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Ronny Sikawan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.09 malam sebelum menggerakkan 10 anggota bersama jentera ke lokasi yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai. Beliau berkata, menurut adik mangsa, mereka bersama beberapa penduduk kampung bertindak mencari mangsa di kawasan sungai selepas bimbang dengan kehilangannya. “Hasil pencarian awal hanya menemui motosikal dan selipar dipercayai milik mangsa di tebing Sungai Benoni. “Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan kaedah Water Surface Searching bagi mengesan mangsa,” katanya dalam kenyataan media, malam ini. Beliau berkata, setakat ini mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR diteruskan dengan bantuan penduduk kampung. Katanya, operasi akan diteruskan sehingga mangsa ditemui atau terdapat perkembangan baharu. – Info X

August 2, 2026

Info X Reporters

Masalah air di Tawau dijangka selesai sebelum akhir 2027

TAWAU: Masalah bekalan air yang dihadapi penduduk di daerah ini dijangka dapat diselesaikan setelah projek Skim Bekalan Air Tawau Fasa III bernilai RM450.5 juta siap sebelum akhir tahun depan. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata projek yang membabitkan pembinaan empangan untuk membekal air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata 1 dan 2 itu berjalan kini mengikut jadual. Katanya, ia satu perkembangan yang baik dalam usaha kerajaan pimpinannya untuk mengatasi masalah bekalan air yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu. “Kita nampak perkembangan projek ini begitu baik dan berjalan mengikut jadual. Walaupun ada permohonan daripada kontraktor untuk melanjutkan kerja, tapi yang penting ia dijadual siap sebelum akhir 2027. “Ini perkembangan yang baik, dapatlah kita menyelesaikan masalah air di Tawau ini. Bukan Tawau saja yang menghadapi masalah ini, tapi kebanyakan daerah lain di seluruh Sabah. “Kita warisi masalah ini, bukan masalah ini datang waktu kerajaan hari ini. Tapi sebagai kerajaan yang bertanggungjawab kita lakukan yang terbaik, kita bagi peruntukan untuk selesikan dan bagi kemudahan kepada rakyat,” katanya. Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke projek pembinaan Empangan Air Tawau dan LRA Cinta Mata 2, di sini, pada Ahad. Hadir sama Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang juga Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui; Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy. Hajiji berkata, kerajaan sedia meneliti jika ada keperluan untuk menambah peruntukan bagi melaksanakan projek berkenaan, bergantung kepada laporan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Setakat ini, katanya kerajaan berpuas hati terhadap prestasi projek itu selepas diberi taklimat mengenai pencapaian projek dan kontraktor yang diberi tanggungjawab melaksanakannya. Terdahulu, Hajiji diberi taklimat mengenai Skim Bekalan Air Tawau Fasa 3 dan Pembangunan Infrastruktur Bekalan Air Utama Daerah Tawau oleh Ketua Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Pengurus Projek Ibu Pejabat JANS, Rodney Tinggas. Selain itu, beliau turut diberi taklimat mengenai Kawasan Banjir Perbandaran Tawau dan Rancangan Projek Pencegahan Banjir Tawau oleh Jurutera Daerah JPS Tawau, Syahzarul Rizal Joddari. Berdasarkan taklimat JANS, Skim Bekalan Air Tawau Fasa III bernilai RM450.5 juta yang melibatkan pembinaan Empangan Air Tawau sudah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 74.04 peratus setakat 25 Julai lalu, manakala kemajuan kewangan mencapai 75.27 peratus berbanding sasaran 74.97 peratus. Projek berkenaan merangkumi pembinaan empangan dengan kapasiti takungan air mentah sebanyak 30 juta meter padu (MCM) serta pemasangan paip air mentah bersaiz 700 milimeter (mm) sepanjang 11.6 kilometer. Apabila siap kelak, empangan itu akan membekalkan air mentah kepada LRA Cinta Mata 1, LRA Cinta Mata 2 dan LRA Utara dengan kapasiti pengeluaran air terawat keseluruhan sebanyak 161 juta liter sehari. Taklimat itu turut memaklumkan projek berkenaan bertujuan menjamin bekalan air mentah ke LRA Cinta Mata 1 dan 2 serta LRA Utara, mengurangkan risiko kekurangan sumber air mentah semasa musim kemarau dan menyediakan sumber air mentah yang mampan. Antara manfaat projek yang dinyatakan ialah memastikan bekalan air mentah yang mencukupi untuk loji rawatan sedia ada, meningkatkan kualiti air mentah melalui takungan empangan yang terkawal serta mengurangkan risiko banjir di kawasan hiliran Tawau. Projek yang dilaksanakan oleh Citic Wijaya Construction itu dijadualkan siap pada 21 Oktober 2027. Dalam lawatan sama, Hajiji turut diberi taklimat mengenai kemajuan pembinaan LRA Cinta Mata 2 yang kini mencapai kemajuan fizikal 16.08 peratus setakat 25 Julai lalu. Projek bernilai RM299.9 juta itu melibatkan pembinaan loji rawatan air berkapasiti 30 juta liter sehari (JLH), pembinaan tangki simpanan air berkapasiti 20 JLH dan 10 JLH serta pemasangan paip air terawat sepanjang 12 kilometer bersaiz antara 150 milimeter hingga 800 milimeter. Menurut JANS, projek berkenaan bertujuan meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat, menjamin bekalan air bersih yang stabil serta menyediakan bekalan air bersih berterusan kepada pengguna. LRA Cinta Mata 2 dijadualkan siap pada 22 Julai 2028 dan akan memberi manfaat kepada kira-kira 42,000 pengguna di Tawau dan kawasan sekitarnya. Daerah Tawau kini mempunyai 58,711 akaun pengguna air berdaftar dengan rangkaian paip sepanjang 982.99 kilometer, namun pengeluaran air semasa hanya 130 JLH, berbanding permintaan sebanyak 142 JLH. JANS turut menyenaraikan beberapa isu semasa yang dihadapi sistem bekalan air Tawau termasuk kadar Air Tidak Berhasil (NRW) sebanyak 68 peratus, paip uzur, kecurian air, kekurangan tangki simpanan air, peralatan mekanikal dan elektrikal yang uzur, isu kualiti dan kuantiti air mentah, kekangan logistik serta catuan bekalan air. Ends

August 2, 2026

Info X Reporters

Pelabuhan Tawau kini dilengkapi kren dermaga baharu untuk tingkatkan kecekapan operasi

TAWAU: Kecekapan operasi Pelabuhan Tawau, di sini, dijangka dapat ditingkatkan dengan adanya infrastruktur lengkap menerusi pemerolehan dua kren dermaga bernilai RM70 juta. Penyediaan kemudahan terbaharu di pelabuhan berkenaan dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika lawatannya ke Pelabuhan Tawau, di sini, pada Ahad. Beliau menyifatkan penyediaan peralatan itu sebagai satu pelaburan strategik bagi memperkukuh infrastruktur pelabuhan di negeri ini dan menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah dalam jangka panjang. Katanya, ia mencerminkan komitmen kerajaan negeri menerusi Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB) untuk memodenkan infrastruktur kritikal bagi meningkatkan kecekapan serta daya saing pelabuhan di Sabah, khususnya di Pantai Timur. “Apabila mula beroperasi kelak, kren-kren ini dijangka meningkatkan produktiviti, kebolehpercayaan operasi dan kecekapan keseluruhan pengendalian kargo di Pelabuhan Tawau. “Ia juga akan mempercepatkan tempoh pusingan kapal, mengurangkan masa menunggu serta memperkukuh keupayaan pelabuhan untuk mengendalikan kapal yang lebih besar dan jumlah kargo yang semakin meningkat,” katanya pada Majlis Perasmian Kren Baharu di Pelabuhan Tawau, di sini, pada Ahad. Hajiji berkata, sistem pelabuhan yang cekap dan berdaya harap amat penting dalam menyokong pertumbuhan sektor utama, khususnya industri berorientasikan eksport yang menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negeri. Beliau yakin penaiktarafan Pelabuhan Tawau akan terus memperkukuh peranannya sebagai pintu masuk maritim utama di Pantai Timur Sabah, di samping meningkatkan kesalinghubungan dengan pasaran domestik dan serantau. Ketua Menteri turut memuji Sabah Ports Sdn Bhd, Suria Capital Holdings Berhad dan semua pihak yang terlibat atas komitmen berterusan mereka dalam meningkatkan infrastruktur maritim negeri demi menyokong agenda pembangunan Sabah. Sementara itu, Pengerusi Suria Capital Holdings Berhad, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, pelaburan itu mencerminkan komitmen jangka panjang Kumpulan Suria Capital terhadap pembangunan infrastruktur strategik. “Pelabuhan Tawau memainkan peranan penting dalam menyokong perdagangan, industri serta hubungan serantau di Pantai Timur Sabah. “Pelaburan RM70 juta ini mencerminkan komitmen kami untuk melengkapkan pelabuhan dengan infrastruktur dan peralatan yang diperlukan bagi memenuhi permintaan perdagangan pada masa hadapan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi Tawau dan kawasan sekitarnya,” katanya. Pengarah Urusan Kumpulan Suria Capital Holdings Berhad dan SPSB, Datuk Ahmad Rizal Dahli berkata, pemerolehan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan SPSB untuk memoden dan memperkukuh Pelabuhan Tawau. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman dan Pengerusi Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Datuk Donald Mojuntin. Ends

August 1, 2026

Info X Reporters

Tiga sekeluarga cemas kereta terjunam ke sungai ketika mengundur

BEAUFORT: Detik cemas dilalui tiga sekeluarga apabila kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai ketika sedang mengundur dalam kejadian di belakang sebuah bank di sini, malam tadi. Semua mangsa termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh orang awam yang berada berhampiran lokasi sebelum ketibaan pasukan bomba. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.42 malam sebelum menggerakkan tujuh anggota bersama jentera ke lokasi yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai. Katanya, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah Perodua Bezza terjunam ke dalam sungai selepas dipercayai mengundur sebelum terbabas. “Kejadian membabitkan tiga mangsa iaitu seorang lelaki berusia 28 tahun, seorang wanita berusia 39 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun. “Semua mangsa bagaimanapun berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya ketika dihubungi, malam ini. Menurutnya, pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan bagi memastikan keadaan semua mangsa berada dalam keadaan selamat. “Semua mangsa selepas itu diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut. “Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.45 malam selepas pasukan bomba memastikan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat,” katanya. – Info X