July 30, 2026
Info X Reporters
Lelaki warga asing disyaki rogol remaja diberkas
TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 18 tahun yang disyaki merogol seorang remaja perempuan tempatan bawah umur dalam operasi di kawasan parkir sebuah masjid di Batu 2, Jalan Apas, di sini. Penahanan suspek dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau susulan siasatan yang dijalankan selepas bapa mangsa membuat laporan polis. Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, laporan dibuat selepas bapa mangsa mendapati anak perempuannya yang dilaporkan tidak pulang ke rumah ditemui di kawasan Fajar, Tawau. “Hasil siasatan awal mendapati mangsa mengaku tinggal bersama suspek di sebuah bilik sewa di Jalan Haji Karim, Bandar Fajar sebelum berlaku hubungan intim antara mereka. “Bertindak atas maklumat itu, polis melancarkan operasi bagi mengesan suspek sebelum berjaya menahannya di kawasan parkir sebuah masjid di Batu 2, Jalan Apas,” katanya dalam kenyataan, malam tadi. Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek adalah warga asing yang berada di negara ini tanpa memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah. Katanya, semakan rekod jenayah turut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau. “Kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan rogol serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah,” katanya. – Info X
July 29, 2026
Info X Reporters
Shafie kekal Ahli Parlimen, ADUN, boleh tanding pilihan raya – Azis
KOTA KINABALU: Kedudukan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ahli Parlimen Semporna dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang tidak terjejas berikutan hukuman penjara lima minggu dikenakan terhadapnya oleh mahkamah pada Rabu. Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata bekas Ketua Menteri itu juga tidak hilang kelayakan untuk bertanding pada pilihan raya akan datang. “Ingin ditegaskan bahawa berdasarkan peruntukan undang-undang, hukuman penjara selama lima minggu dan denda RM300 yang diputuskan hari ini tidak menjejaskan kedudukan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri serta tidak menggugurkan kelayakan beliau untuk bertanding dalam pilihan raya. “Sehubungan itu, saya menyeru semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan kenyataan yang boleh disalah tafsir sebagai menghina proses mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. Beliau berkata, Warisan sentiasa menghormati institusi kehakiman dan akan terus mengikuti setiap proses perundangan dengan penuh tanggungjawab serta tertib. Katanya, Shafie juga akan menggunakan haknya untuk mengemukakan rayuan mengikut saluran yang diperuntukkan undang-undang. Azis juga yakin semua ahli dan penyokong Warisan akan terus bersikap tenang, matang serta menghormati proses rayuan yang sedang berjalan. – Info X
July 29, 2026
Info X Reporters
Sabah FC terima tajaan RM4 juta dari Emas Sri Semantan
KOTA KINABALU: Sabah FC menerima tajaan RM4 juta dari sebuah syarikat perniagaan barangan kemas bagi menyokong operasi pasukan menghadapi Liga MFL bagi musim baharu 2026/2027. Tajaan Syarikat Emas Sri Semantan Sdn Bhd itu hasil kerjasama yang dimeterai menerusi Perjanjian Persefahaman (MoU) ditandatangani kedua-duanya, di sini, pada Rabu. Pengarah Sabah FC, Datuk Alijus Sipil, berkata MoU itu adalah sebahagian perancangan Sabah FC untuk memperluas rangkaian rakan strategik dan mengisi slot penajaan bagi menghadapi musim 2026/2027. Katanya, tajaan kewangan dari syarikat itu digunakan bagi menyokong keperluan operasi Sabah FC sepanjang musim, selain membantu usaha kelab menambah baik fasiliti berkaitan pemulihan dan peningkatan prestasi pemain. Beliau berkata, pembabitan sektor swasta amat penting dalam memastikan sesebuah kelab bola sepak dapat berkembang secara mampan, terutama dalam persekitaran bola sepak moden yang memerlukan sokongan kewangan dan kerjasama komersial yang kukuh. “Kehadiran Emas Sri Semantan sebagai rakagi strategik memberi nilai tambah kepada Sabah FC, bukan sahaja daripada aspek kewangan tetapi juga dalam usaha memperluas jangkauan dan imej pasukan. “Seperti kelab-kelab lain di negara ini dan di peringkat antarabangsa, sokongan sektor swasta sama ada dalam bentuk penajaan, sumbangan atau kerjasama strategik amat penting untuk kelangsungan sesebuah kelab. “Bagi Sabah FC, kerjasama ini akan membantu keperluan operasi pasukan bagi musim 2026/2027, selain menyokong perancangan jangka panjang termasuk penambahbaikan fasiliti untuk pemulihan pemain dan peningkatan prestasi,” katanya pada majlis mendatangani MoU di antara Sabah FC dan Emas Sri Semantan, di sini, hari ini. Hadir sama Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Awang Kadin Tang; Pengerusi Emas Sri Semantan, Hafizal Mahmood dan Pengurus Sabah FC, Mohd Arziz Afizy Rumsani. Alijus berkata, sokongan diterima Sabah FC dijadikan sandaran untuk menambah baik prestasi pasukan sepanjang musim baharu nanti setelah kedudukannya dalam carta liga jatuh pada musim lalu. “Apa yang ingin kita capai pada tahun ini, itu nanti kita akan perkemaskan dari semasa ke semasa, tapi yang sememangnya, kita akan cuba yang lebih baik daripada pencapaian kita pada tahun lalu. “Pada tahun lalu (musim 2025/2026), walaupun kedudukan kita di liga MFL agak ke bawah sedikit, tapi kita mencapai dua kejayaan yang sudah lama kita tidak capai. “Yang pertamanya, kita berjaya masuk ke pusingan akhir Piala FA, di mana kita tewas kepada JDT) dan yang kedua, kita menjuarai Piala Cabaran. Itu antara kejayaan manis bagi Sabah FC pada musim lalu,” katanya. Sementara itu, Hafizal berkata, keputusan Emas Sri Semantan menjalin kerjasama dengan Sabah FC didorong kedudukan bola sepak yang cukup dekat dengan masyarakat Sabah serta sokongan kuat rakyat negeri ini terhadap pasukan mereka. Katanya, Emas Sri Semantan ketika ini mempunyai tiga cawangan di Sabah, masing-masing di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau serta merancang membuka sebuah lagi cawangan di Tawau sebagai sebahagian daripada pengembangan operasinya. “Bola sepak mempunyai pengaruh yang besar dan dekat di hati rakyat Sabah. Kami melihat kerjasama dengan Sabah FC sebagai satu platform yang baik untuk Emas Sri Semantan mendekati masyarakat dengan lebih luas, di samping memperkukuh kehadiran jenama kami di negeri ini. “Kami juga melihat kesungguhan pengurusan Sabah FC dalam membina pasukan yang kompetitif dan meningkatkan prestasi pasukan. Ini memberikan keyakinan kepada kami untuk bersama-sama Sabah FC sebagai rakan strategik,” katanya. Katanya, kerjasama kedua-dua pihak juga tidak terhad kepada penajaan pasukan utama, sebaliknya Emas Sri Semantan merancang untuk bekerjasama dengan Sabah FC dalam beberapa inisiatif pembangunan bola sepak dan komuniti. Antara yang dirancang katanya ialah siri jelajah bersama pemain Sabah FC ke beberapa daerah, Klinik Bola Sepak bagi membantu mencungkil bakat baharu tempatan dan penajaan pertandingan Liga Daerah. Hafizal berkata, syarikat itu turut melihat potensi untuk meneruskan kerjasama dengan Sabah FC dalam jangka masa lebih panjang, sejajar rancangan Emas Sri Semantan memperluaskan operasi di seluruh Sabah termasuk pembukaan cawangan baharu dan perancangan mewujudkan kilang pemprosesan emas di negeri ini. “Kami melihat Sabah sebagai pasaran yang penting dan perniagaan kami akan terus berkembang di negeri ini. Justeru, kami memerlukan pendekatan pemasaran yang berterusan dan melihat bola sepak sebagai antara platform strategik untuk membina hubungan dengan masyarakat Sabah “Sudah tentu kami terbuka untuk melihat kerjasama ini berkembang lebih jauh bersama Sabah FC pada masa hadapan,” katanya. – Info X
July 29, 2026
Info X Reporters
‘Saya hormati keputusan mahkamah’ – Shafie
KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beliau menghormati keputusan mahkamah berhubung hukuman penjara lima minggu yang dijatuhkan ke atasnya hari ini. Ia selepas bekas Ketua Menteri itu didapati bersalah menghina mahkamah berkaitan inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir. Bagaimanapun, katanya keputusan itu tidak menjejaskan amanah dan integritinya sebagai wakil rakyat, selain menyatakan menghormati kedaulatan undang-undang. “Hari ini mahkamah telah membuat keputusan dalam prosiding penghinaan mahkamah terhadap saya. “Saya menghormati keputusan mahkamah dan telah mengarahkan peguam saya untuk memfailkan rayuan. Biarlah proses undang-undang berjalan mengikut lunasnya. “Namun begitu, amanah saya kepada rakyat tetap tidak berubah. Sejak dari awal, perkara ini bukan mengenai diri saya. Ia mengenai pemergian seorang kanak-kanak yang telah menyentuh hati seluruh negara. “Harapan saya, sejak awal lagi, hanyalah agar kebenaran dapat ditegakkan, keadilan dapat dilaksanakan dan keyakinan rakyat terhadap institusi negara terus diperkukuhkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. Ahli Parlimen Semporna itu berkata, memandangkan perkara itu kini berada di Mahkamah Rayuan, beliau tidak akan mengulas lanjut. “Saya akan terus melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada saya sebagai wakil rakyat dengan penuh integriti dan menghormati kedaulatan undang-undang. “Komitmen saya untuk berkhidmat kepada rakyat serta mempertahankan prinsip kebenaran, keadilan dan akauntabiliti tetap tidak berubah,” katanya. Shafie diperintah menjalani hukuman itu bermula pada tarikh keputusan dibuat, iaitu 29 Julai 2026, namun mahkamah membenarkan penangguhan hukuman sehingga selesai proses rayuan yang dibuat beliau. Beliau sebelum ini didakwa menghina mahkamah selepas mengungkit inkues kematian Zara Qairina dalam ceramah politiknya menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) tahun lalu. Sementara itu, Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua, berkata Warisan menghormati keputusan Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu dalam kes yang membabitkan presiden parti itu. “Mahkamah juga telah membenarkan penangguhan hukuman penjara lima minggu sementara menunggu rayuan. Rayuan ke atas keputusan akan dibuat dan barisan peguam yang mengendalikan kes ini akan memfailkan Notis Rayuan dengan segera,” katanya. Beliau meminta ahli Parti Warisan terus fokus kepada perjuangan parti dan berani menuntut keadilan di negara ini. – Info X
July 29, 2026
Info X Reporters
Hina mahkamah, Shafie Apdal dihukum penjara lima minggu
KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dijatuhi hukuman penjara lima minggu selepas didapati bersalah menghina mahkamah berkaitan inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir. Keputusan itu dibuat pada prosiding Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Amir Shah Amir Hassan, di sini, pada Rabu. Shafie diperintah menjalani hukuman itu bermula pada tarikh keputusan dibuat, iaitu 29 Julai 2026. Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan hukuman sehingga selesai proses rayuan yang dibuat Presiden Parti Warisan itu. Shafie sebelum ini didakwa menghina mahkamah selepas mengungkit inkues kematian Zara Qairina dalam ceramah politiknya menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) tahun lalu. Ia berkaitan ucapannya dalam satu majlis di Kinabatangan pada September tahun lalu yang mempertikai proses inkues dan mendakwa arwah Zara dibunuh. Kenyataan itu dianggap menganggu prosiding inkues bagi mencari punca kematian Zara Qairina yang dilaksanakan bermula pada September tahun lalu. – Info X
July 29, 2026
Info X Reporters
Tekong terjun laut, tinggal bot bersama 510 liter petrol
SANDAKAN: Seorang tekong dipercayai terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan pesisir pantai selepas botnya dipintas Maritim Malaysia dalam operasi penguatkuasaan di perairan Muara Sungai Mangkalinau Besar, di sini, semalam. Dalam kejadian itu, suspek turut meninggalkan bot bersama muatan sebelum melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan operasi. Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Suhairy Hussain, berkata bot berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan kira-kira 0.05 batu nautika timur Muara Sungai Mangkalinau Besar ketika rondaan menerusi Op Sejahtera, Op Cegah PATI (OCP) dan Op Tiris 4.0. Katanya, pasukan operasi kemudian menghampiri dan memintas bot berkenaan untuk pemeriksaan sebelum suspek bertindak terjun ke laut. “Sebaik pasukan operasi menghampiri bot tersebut, seorang lelaki yang dipercayai tekong bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri ke kawasan pesisir pantai bagi mengelakkan ditahan. “Suspek turut meninggalkan bot bersama muatan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Suhairy berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan menemukan 17 jerican yang disyaki mengandungi 510 liter petrol, selain sebuah enjin sangkut Yamaha berkuasa 40 kuasa kuda (HP). “Nilai keseluruhan rampasan membabitkan bot, petrol dan enjin sangkut dianggarkan RM12,500,” katanya. Menurutnya, pihak Maritim Malaysia kini giat mengesan suspek berdasarkan maklumat serta dokumen yang ditinggalkan bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki membawa barang kawalan tanpa permit atau kebenaran yang sah. “Bot berkenaan turut disyaki melakukan kesalahan mengikut Peraturan 12 Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana menyalahgunakan lesen dengan membawa barangan kargo,” katanya. Beliau berkata, semua barang rampasan dibawa ke Jeti Maritim Zon Sandakan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut. Dalam pada itu, Suhairy berkata tindakan suspek meninggalkan bot dan melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan operasi bukan sahaja membahayakan keselamatan diri, malah dipercayai antara taktik sindiket penyeludupan bagi mengelak tindakan penguatkuasaan. “Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyeludupan yang menjejaskan keselamatan negara serta mengakibatkan ketirisan barang kawalan. “Rondaan dan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras kegiatan jenayah maritim serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara terus terpelihara. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999,” katanya. – Info X
July 29, 2026
Info X Reporters
Timbalan Ketua Exco Wiramuda STAR tinggalkan parti
KOTA KINABALU: Seorang lagi pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengambil keputusan meletak jawatan dan meninggalkan parti itu berkuatkuasa serta merta. Timbalan Ketua Exco Wiramuda STAR yang juga Setiausaha STAR Bahagian Sri Tanjong, Muhammad Raiyan Fung Abdullah membuat keputusan itu pada 26 Julai lalu selepas membuat pertimbangan sewajarnya. Beliau mengumumkan peletakan jawatan yang dipegangnya dalam parti dan mengisytiharkan tidak lagi menjadi ahli parti itu. Katanya, keputusan itu dibuat selepas melalui pertimbangan sewajarnya atas sebab-sebab peribadi dan demi kepentingan masa hadapannya. “Saya membuat keputusan ini setelah melalui pertimbangan yang sewajarnya atas sebab-sebab peribadi dan demi kepentingan masa hadapan saya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. Beliau berkata, sepanjang penglibatannya bersama STAR, beliau amat menghargai segala peluang, kepercayaan dan pengalaman yang diberikan oleh parti. Raiyan turut merakamkan penghargaan kepada Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, kepimpinan parti di semua peringkat serta seluruh ahli yang telah memberikan kerjasama dan sokongan sepanjang beliau memegang kedua-dua jawatan tersebut. “Saya amat menghargai segala peluang, kepercayaan serta pengalaman yang telah diberikan sepanjang penglibatan saya bersama parti. “Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan selaku presiden parti, kepimpinan parti di semua peringkat serta seluruh ahli yang telah memberikan kerjasama dan sokongan sepanjang saya memegang amanah dalam kedua-dua jawatan tersebut,” katanya. Beliau turut mendoakan agar STAR terus maju dan berjaya dalam memperjuangkan aspirasi rakyat serta mencapai segala matlamat yang telah ditetapkan. Sebelum ini, beberapa pemimpin STAR Bahagian Bingkor dan bahagian lain turut meninggalkan parti itu. – Info X
July 28, 2026
Info X Reporters
Kes orang hilang: Pelajar ditemui selamat, akui ikut rakan
KOTA KINABALU: Seorang pelajar perempuan yang dilaporkan hilang sejak semalam ditemui dalam keadaan selamat di hadapan rumah rakannya di Lorong Seri Pelangi, Inanam, di sini, petang tadi. Pelajar berkenaan, Gwynne Mia Erbin, ditemui kira-kira jam 3 petang dalam keadaan bersendirian, sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, hasil keterangan awal mendapati pelajar terbabit memaklumkan bahawa dia mengikut seorang rakannya sejak hari sebelumnya. “Pelajar itu kemudian dibawa oleh ibunya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi membuat laporan susulan dan tindakan lanjut. “Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kejadian ini sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada orang ramai yang telah memberikan kerjasama menyalurkan maklumat serta membantu menyebarkan hebahan orang hilang ini. Terdahulu, pelajar terbabit sebelum ini dilaporkan hilang sebelum polis melancarkan usaha mengesan keberadaannya. Petang tadi, ahli keluarga mengesahkan pelajar itu ditemui dalam keadaan selamat. Mereka turut menzahirkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada pihak polis serta pengguna media sosial yang bersama-sama membantu menyalurkan maklumat dan menyebarkan hebahan sehingga pelajar terbabit berjaya ditemui dengan selamat. – Info X