Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

July 28, 2026

Info X Reporters

UMS, PETRONAS kaji potensi hidrokarbon di Lembangan Tawau

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama beberapa rakan strategiknya memulakan projek penyelidikan Penilaian Geologi dan Geofizik Prospektiviti Hidrokarbon dalam Batuan Sedimen Lembangan Tawau. Projek yang bermula pada 14 Julai lalu hingga 14 Januari 2029 itu dilaksanakan dengan kerjasama Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM), PETRONAS dan VIRIDIEN bagi memperkukuhkan pemahaman terhadap sistem petroleum dan prospektiviti hidrokarbon Sabah. Bagaimanapun, projek diketuai penyelidik UMS, Prof Baba Musta itu Projek itu lebih bertujuan untuk menyokong penerokaan masa depan dengan mengukuhkan asas teknikal bagi penilaian sumber dan bukan untuk mengesahkan kehadiran rizab minyak atau gas secara komersial. Menerusi satu kenyataan dikeluarkan Pusat Komunikasi Korporat UMS pada Selasa, Baba berkata kerjasama bagi projek itu akan menyatukan kepakaran pelbagai disiplin dalam geofizik, sedimentologi, stratigrafi, geokimia dan pemodelan bawah permukaan. Katanya, tiga objektif utama digariskan bagi projek itu, iaitu untuk membangunkan model struktur bawah permukaan bagi formasi yang berpotensi mengandungi hidrokarbon; menilai ciri-ciri geokimia formasi batuan sedimen terpilih dan menghasilkan peta geologi terperinci Pulau Sebatik. “Pulau Sebatik menduduki kedudukan geologi yang strategik di sepanjang sempadan Malaysia-Indonesia. Sektor Malaysia sebahagian besarnya didasari oleh Formasi Neogen Kalumpang, yang terdiri daripada batu pasir marin cetek dan jujukan syal. “Kehadiran antiklin, sesar songsang dan rembesan minyak semula jadi menunjukkan keadaan geologi yang memerlukan penilaian sistem petroleum selanjutnya, terutamanya kerana Lembangan Tawau masih kurang diterokai,” katanya. Kajian itu, katanya menggabungkan pemetaan geologi lapangan, tinjauan geofizik, analisis struktur, persampelan batuan, penyiasatan makmal dan data bawah permukaan luar pesisir yang tersedia untuk meningkatkan pemahaman mengenai kesinambungan geologi, taburan fasies, evolusi struktur, ciri-ciri takungan dan evolusi lembangan keseluruhan. Jelasnya, metodologi itu menggabungkan Pengimejan Kerintangan Elektrik (ERI) dengan sedimentologi, petrografi, biostratigrafi, mineralogi, geokimia organik dan unsur surih untuk menilai persekitaran pemendapan, kualiti takungan, potensi batuan sumber, kematangan terma dan evolusi geologi lembangan. “Hasil projek yang dijangkakan termasuk peta geologi terkini, model struktur bawah permukaan, pencirian batuan penakung dan set data geokimia organik. “Output ini akan meningkatkan pemahaman mengenai elemen sistem petroleum utama, termasuk batuan punca, takungan, batuan penutup, laluan migrasi dan perangkap, sambil mengurangkan ketidakpastian bawah permukaan. Kerjasama itu, katanya dijangka akan meningkatkan pangkalan data geosains Sabah, mengukuhkan perkongsian akademik-industri, membina keupayaan geosains tempatan dan menyediakan input saintifik yang berharga untuk menyokong penilaian sumber tenaga dan perancangan penerokaan Malaysia pada masa hadapan. – Info X

July 28, 2026

Info X Reporters

Mayat bayi tidak cukup sifat ditemukan di Penampang

PENAMPANG: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung penemuan mayat seorang bayi yang dipercayai tidak cukup sifat di Kampung Goliga Kolopis, di sini. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 11.52 pagi sebelum sepasukan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang ke lokasi bagi menjalankan siasatan. “Hasil siasatan awal mendapati mayat bayi yang dipercayai tidak cukup sifat ditemukan di kawasan berhampiran rumah pengadu. “Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah serta Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut digerakkan ke lokasi bagi membantu siasatan dan pemeriksaan tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media. Beliau berkata, mayat bayi itu kemudian dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu bagi tujuan bedah siasat dan tindakan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan jalan membuang mayat secara sulit. “Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya. Menurutnya, polis kini giat mengesan individu yang bertanggungjawab selain menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian dan membawa pihak yang terbabit ke muka pengadilan. “Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Anis Abdullah di talian 013-6365734 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. “Dalam pada itu, polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial sehingga boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan,” katanya. – Info X

July 28, 2026

Info X Reporters

Kanak-kanak perempuan dilapor hilang ditemukan selamat

KOTA KINABALU: Kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang selepas tidak hadir ke sekolah pada Isnin ditemukan selamat di kawasan Inanam, semalam. Salah seorang ahli keluarga yang enggan dikenali membuat hantaran di media sosial memaklumkan kanak-kanak terbabit sudah ditemukan dan kini berada dalam jagaan polis bagi membantu siasatan lanjut berhubung kehilangannya sebelum dibawa balik. Individu itu juga menyatakan penghargaan dan berterima kasih dengan keprihatinan pihak polis serta pengguna media sosial yang sama-sama membantu menyalurkan maklumat sehingga pelajar ini ditemukan dengan selamat. Beliau bagaimanapun belum menjelaskan punca sebenar kejadian itu. Terdahulu, laman rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu mengeluarkan kenyataan berhubung kehilangan kanak-kanak pada 27 Julai selepas dihantar ke hadapan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Likas kira-kira jam 5.55 pagi untuk ke sekolah. Bagaimanapun, semakan mendapati kanak-kanak itu tidak hadir ke sekolah sebelum laporan orang hilang dibuat oleh ahli keluarganya. Kes kehilangan itu kemudian mendapat perhatian orang ramai selepas polis mengeluarkan hebahan bagi mengesan keberadaan mangsa. Polis turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat dan membantu usaha mengesan kanak-kanak berkenaan. – Info X

July 28, 2026

Info X Reporters

Bilik guru Sekolah Agama Bukit Lalang terbakar

SEMPORNA: Bilik guru dan pejabat pentadbiran Sekolah Agama Bukit Lalang, di sini, mengalami kerosakan selepas terbakar dalam kejadian hari ini. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Mohd Zainal Sinsian berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.20 petang. Katanya, seramai 10 anggota bersama sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira enam kilometer dari balai. “Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 2.31 petang dan mendapati kebakaran membabitkan sebuah bangunan sekolah jenis separuh kekal berkeluasan kira-kira 30 x 120 kaki. “Kebakaran membabitkan bilik guru dan pejabat pentadbiran dengan anggaran kemusnahan sekitar 20 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 2.38 petang menggunakan satu aliran hos reel dengan bekalan air daripada jentera bomba serta pili bomba berhampiran. Menurutnya, tindakan pantas anggota turut berjaya menyelamatkan enam buah kelas yang terletak dalam satu deretan bangunan sama. “Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini. Punca kebakaran masih dalam siasatan. “Selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.46 petang,” katanya. – Info X

July 28, 2026

Info X Reporters

Bayi dua bulan disyaki didera, pasangan warga asing ditahan

TAWAU: Sepasang warga asing ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes penderaan terhadap seorang bayi perempuan berusia dua bulan di Batu 8, Jalan Apas, di sini, semalam. Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, kes itu terbongkar selepas seorang doktor yang bertugas di Jabatan Kecemasan Hospital Tawau membuat laporan polis berhubung kecederaan mencurigakan dialami bayi berkenaan. Katanya, bayi itu dibawa mendapatkan rawatan oleh pasangan terbabit bersama nenek mangsa selepas mendakwa mangsa terjatuh. “Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati bayi berkenaan mengalami kesan lebam di dahi kiri, kesan gigitan pada pipi kanan serta bengkak di bahagian belakang kepala. “Doktor kemudian dimaklumkan oleh nenek mangsa bahawa kecederaan itu dipercayai berpunca daripada perbuatan kedua-dua suspek sebelum laporan polis dibuat untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, susulan laporan berkenaan, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an dan seorang wanita warga asing berusia 18 tahun. Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan di pekarangan Hospital Tawau kira-kira jam 11.45 malam bagi membantu siasatan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disyaki melakukan penganiayaan atau penderaan terhadap kanak-kanak, selain Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. Wilynton berkata, pihaknya menghargai tindakan pantas petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), khususnya pegawai perubatan Hospital Tawau yang mengesan kecederaan mangsa dan menyalurkan maklumat kepada polis. Katanya, kerjasama itu membolehkan tindakan segera diambil bagi memastikan keselamatan bayi terbabit. “Polis memandang serius sebarang bentuk penderaan terhadap kanak-kanak dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melakukan perbuatan sedemikian. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penderaan atau pengabaian kanak-kanak diminta tampil menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil,” katanya. – Info X

July 28, 2026

Info X Reporters

RM70.6 juta atasi kesesakan Jalan Lok Kawi-Kinarut

PAPAR: Projek menaik taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinarut bernilai RM70.6 juta dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan keselamatan pengguna di Koridor Lok Kawi-Pengalat-Papar yang semakin pesat membangun. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata projek itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur jalan raya di Sabah. Beliau berkata, Koridor Lok Kawi-Pengalat-Papar kini menjadi antara kawasan yang berkembang pesat dengan pertambahan kawasan perumahan, premis kerajaan, sekolah dan produk pelancongan. Perkembangan itu, katanya menyebabkan peningkatan jumlah trafik sehingga menimbulkan jesesakan terutama pada waktu puncak, sekali gus menjadi antara keluhan utama pengguna jalan raya di kawasan berkenaan. “Sebagai kerajaan, kita sentiasa berusaha merancang dan melaksanakan pembangunan yang memberi manfaat serta meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke SMK Kinarut, di WSG Kinarut Show Gallery, dekat sini, pada Selasa. Hajiji berkata, projek sepanjang 1.3 kilometer itu melibatkan penaiktarafan jalan daripada dua lorong kepada empat lorong dua hala. Kelulusan projek berkenaan, katanya membuktikan suara dan keperluan mobiliti rakyat Sabah sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan. Katanya, skop projek itu bukan sekadar melibatkan pelebaran jalan, malah turut memberi penekanan kepada aspek keselamatan pengguna. “Antara kemudahan yang disediakan ialah pembinaan jejantas pejalan kaki, laluan berbumbung ke sekolah, hentian bas serta perlindungan motosikal yang akan memberi manfaat kepada murid, pejalan kaki dan pengguna jalan raya,” katanya. Dalam pada itu, Hajiji memberi jaminan kerajaan negeri akan memberikan kerjasama penuh dalam urusan pengambilan tanah dan pengalihan utiliti bagi memastikan projek dapat dilaksanakan dengan lancar. Beliau berkata, semua jabatan dan agensi utiliti yang terbabit perlu bertindak pantas menyelesaikan sebarang isu teknikal supaya projek dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan. “Kita tidak mahu kerenah birokrasi menjadi penghalang kepada pelaksanaan projek yang amat penting ini. Kerjasama erat antara agensi Persekutuan dan negeri perlu diperkukuhkan bagi memastikan kejayaannya,” katanya. Hajiji berkata, pembangunan infrastruktur jalan raya yang cekap dan selamat adalah tunjang kepada pertumbuhan sosioekonomi, selain mampu merangsang pelaburan dan sektor pelancongan. Beliau yakin projek itu akan mengurangkan masa perjalanan, meningkatkan kesalinghubungan serta merancakkan aktiviti ekonomi di daerah Papar seiring dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Katanya, Papar kini menunjukkan perubahan ketara hasil pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur dan komersial, malah berpotensi menjadi lokasi persinggahan utama pelawat dari Brunei dan Sarawak apabila Lebuhraya Pan Borneo siap sepenuhnya kelak. Hajiji turut mengumumkan kelulusan Projek Jambatan Papar Kedua dan Kerja Kecemasan Penambakan Batu dan Tanah Di Sepanjang Tebing Sungai Intake Kogopon serta Kerja-Kerja Perlindungan Tebing Sungai yang dipohoh oleh Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali untuk kemudahan dan kepentingan rakyat Papar. Ends

July 28, 2026

Info X Reporters

Remaja maut motosikal terbabas ke dalam parit

TAWAU: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditungganginya terbabas sendiri ke dalam parit dalam kejadian di Kampung Tinagat, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi itu mangsa, Jaar Patilona, 16, warga asing maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 10.59 pagi. Katanya, sepasukan empat anggota bersama sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai sebelum tiba pada jam 11.12 pagi. “Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah motosikal yang dipercayai terbabas sendiri ke dalam parit. “Terdapat seorang mangsa lelaki di lokasi dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, pasukan bomba kemudian membantu mengangkat mangsa sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. “Selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.10 petang,” katanya. – Info X

July 28, 2026

Info X Reporters

LRA Kogopon dan loji muka sauk Kabang mula operasi pada Ogos, November

PAPAR: Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon berkapasiti 80 juta liter sehari (MLD) dan loji muka sauk Kabang yang baharu, di sini dijangka mula beroperasi masing-masing pada November dan Ogos tahun ini. Kedua-dua projek itu dijangka dapat mengatasi masalah kekurangan bekalan air di kawasan Papar, Putatan dan Kimanis. Sehubungan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) supaya memantau rapi kedua-dua projek berkenaan dan memastikan ia disiapkan tanpa sebarang kelewatan lagi. Beliau turut menggesa jabatan itu supaya lebih proaktif dalam menangani isu gangguan bekalan air dengan menghantar lori tangki air ke kawasan terjejas, bukan sahaja di daerah ini tetapi juga di seluruh negeri. “Masalah bekalan air adalah isu legasi, namun sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab kita komited untuk menyelesaikannya. “Saya sendiri menerima banyak aduan. Saya berharap jabatan akan memberi perhatian serius terhadap semua isu ini dan memastikan rakyat tidak terus berdepan masalah bekalan air,” katanya. Beliau berkata demikian ketika mendengar taklimat mengenai kedua-dua projek itu di Langkah Syabas Resort, Kinarut, dekat sini, pada Selasa. Hadir sama Timbalan Ketua Menteri selaku Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang juga Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali. Terdahulu, Pengarah JANS, Chee Chun Chieh, memaklumkan kepada Ketua Menteri bahawa LRA Kogopon bernilai RM365.9 juta dijadualkan mula membekalkan air menjelang akhir November depan. Keseluruhan projek LRA Kogopon dijangka siap sepenuhnya pada 2028, namun Chee berkata loji itu dijangka mula membekalkan air bagi memenuhi keperluan di Papar, Putatan hingga Kimanis sebelum akhir tahun ini. Mengenai loji muka sauk Kabang bernilai RM39.73 juta, Ketua Menteri dimaklumkan bahawa projek itu kini siap 90 peratus dan dijangka mula beroperasi pada September depan. Loji muka sauk baharu itu, yang dijangka meningkatkan kapasiti daripada sembilan MLDkepada 30 MLD, dibina lebih jauh di hulu Sungai Papar di kawasan Kabang bagi mengatasi masalah kemasinan air yang kerap menjejaskan operasi Loji Rawatan Air di bawah Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) serta kemudahan pengambilan air sedia ada di Limbahau.- Info X