Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

July 15, 2026

Info X Reporters

JBPM siap siaga hadapi fenomena El Nino

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi fenomena El Nino yang dijangka menyebabkan cuaca panas dan kering di negeri ini. Ketua Zon Kota Kinabalu, JBPM Sabah, Penguasa Kanan Bomba 1, Johari Dzulkifli berkata, berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Sabah dijangka mengalami cuaca panas yang berlarutan sehingga penghujung September. Katanya, JBPM telah mengarahkan semua balai bomba di bawah Zon Kota Kinabalu supaya membuat persediaan rapi, khususnya dari aspek logistik, kewangan dan peralatan operasi. “Saya telah mengarahkan semua daerah dalam Zon Kota Kinabalu untuk bersiap sedia terutama dari segi logistik, kewangan dan peralatan. “Dari segi tenaga kerja, saya menyerahkan kepada budi bicara setiap Ketua Balai untuk menentukan keperluan penambahan anggota berdasarkan situasi dan risiko di kawasan masing-masing,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran, hari ini. Beliau berkata, JBPM turut bekerjasama dan menyelaras tindakan dengan agensi berkaitan termasuk MetMalaysia, Jabatan Air Sabah dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memastikan pemantauan dan tindakan awal dapat dilaksanakan secara berkesan. Dalam usaha memperkukuhkan pemantauan di peringkat komuniti, Johari turut mengumumkan pelantikan Pegawai Pemantauan Kebakaran Terbuka Komuniti bagi daerah Tuaran, Putatan, Penampang, Lintas dan Kota Kinabalu. Pelantikan itu melibatkan wakil daripada Ketua Bomba Sukarela dan Bomba Komuniti yang akan bertindak sebagai penyelaras pemantauan di kawasan masing-masing, selain menjadi penghubung antara komuniti dengan JBPM dalam menyalurkan maklumat berkaitan kebakaran terbuka. “Semua Bomba Sukarela dan Bomba Komuniti juga telah diarahkan untuk bekerjasama memantau kawasan masing-masing, khususnya lokasi yang berisiko berlaku kebakaran terbuka. “Usaha ini hanya akan berjaya sekiranya semua pihak memainkan peranan termasuk memantau sumber bekalan air dan melaporkan sebarang kejadian dengan segera kepada pihak berkuasa,” katanya. Beliau berkata, pendekatan itu diharap dapat mempercepatkan tindakan awal, mengurangkan risiko kebakaran terbuka daripada merebak serta meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat sepanjang tempoh cuaca panas akibat fenomena El Nino. – Info X

July 15, 2026

Info X Reporters

PPM, MPOB rampas isirung kelapa sawit lebih RM600,000

LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Lahad Datu merampas isirung kelapa sawit (kernel) dan beberapa aset bernilai lebih RM600,000 dalam serbuan di sebuah premis di Jalan POIC, di sini, semalam. Dalam operasi itu, beberapa pekerja dipercayai bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa, namun pihak berkuasa berjaya merampas sejumlah besar isirung kelapa sawit yang dipercayai disimpan tanpa lesen yang sah. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, serbuan dijalankan hasil kerjasama strategik antara PPM Wilayah 4 Sabah dan MPOB Lahad Datu bagi membanteras kegiatan penyimpanan serta pengendalian isirung kelapa sawit yang melanggar peruntukan undang-undang. Beliau berkata, selain isirung kelapa sawit, pihaknya turut merampas beberapa aset yang dipercayai digunakan dalam aktiviti berkenaan untuk membantu siasatan lanjut. “Kes disiasat mengikut Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582). “PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain dalam usaha membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang bagi melindungi kepentingan industri komoditi negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 11 kes di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 membabitkan nilai rampasan keseluruhan melebihi RM8.7 juta. “Sepanjang tempoh itu juga, seramai 25 individu ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kesalahan di bawah akta berkenaan,” katanya. – Info X

July 14, 2026

Info X Reporters

Inkues Zara Qairina: Kelayakan saksi pakar lantikan keluarga arwah dipertikai, mahkamah bakal buat keputusan

KOTA KINABALU: Status kelayakan Dr Noor Aishah Rosli sebagai saksi pakar dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan diputuskan Mahkamah Koroner. Ia selepas saksi yang dipanggil pasukan peguam mewakili ibu Allahyarham Zara Qairina itu didapati tidak berdaftar sebagai pakar psikologi klinikal kanak-kanak di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 (Akta 774). Semakan semula status kelayakan saksi ke-76 itu, termasuk sama ada beliau boleh meneruskan keterangannya pada inkues berkenaan atau sebaliknya. Berikutan itu, Koroner Amir Shah Amir Hassan mengarahkan semua pihak berkepentingan dalam inkues berkenaan mengemukakan hujahan bertulis untuk diteliti sebelum beliau membuat keputusan mengenai perkara itu. “Saya minta semua pihak berkepentingan mengemukakan hujahan bertulis sebagai input mengenai perkara ini. Saya akan baca dan kemudian membuat keputusan sewajarnya,” katanya di akhir prosiding pada Selasa. Terdahulu, Pegawai Pengendali Inkues, Nahra Dollah membangkitkan bantahan terhadap kelayakan Noor Aishah sebagai saksi pakar kerana beliau tidak berdaftar sebagai ahli psikologi klinikal kanak-kanak di bawah Akta 774. Nahra, yang merujuk Seksyen 33(1)(c) Akta 774, berkata seseorang tidak boleh mengemukakan dirinya sebagai pakar jika tidak berdaftar mengikut akta berkenaan. Perkara itu turut dipersetujui peguam Clarice Vyonne Conrad yang mewakili bapa Zara Qairina, sambil menyatakan seksyen berkenaan jelas menetapkan bahawa seseorang pakar psikologi klinikal kanak-kanak perlu berdaftar di bawah akta terbabit. Sementara itu, peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara Qairina, berkata pihaknya sedia maklum mengenai akta berkenaan, namun percaya keputusan sama ada Noor Aishah adalah seorang pakar atau sebaliknya tertakluk kepada penentuan mahkamah. Beliau berkata, pihaknya berpandangan Noor Aishah perlu meneruskan keterangannya, manakala isu berkaitan status kelayakan beliau sebagai pakar hendaklah diputuskan mahkamah pada akhir prosiding inkues. Pada prosiding inkues hari ini, Mahkamah Koroner diberitahu bahawa Dr Noor Aishah hanya berdaftar di bawah Lembaga Kaunselor, namun mempunyai kelayakan akademik dan klinikal dalam bidang psikologi klinikal kanak-kanak yang digunakan bagi menyediakan laporan autopsi psikologi Zara Qairina. Inkues kematian Zara Qairina yang dilaksanakan sejak September 2025 dibuat bagi mencari punca kematian Allahyarham Zara Qairina selepas ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada 16 Julai 2025 dan dilaporkan meninggal dunia sehari kemudian. – Info X

July 14, 2026

Info X Reporters

BUDI Diesel untuk Sabah dijangka ditambah baik

RANAU: Pelaksanaan BUDI Diesel di Sabah dijangka ditambah baik dalam dua tiga minggu lagi hasil libat urus kerajaan negeri bersama kementerian Persekutuan yang berkaitan. Menyatakan perkara itu, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar, berkata beliau yakin akan ada penambahbaikan selepas keluhan mengenai pelaksanaan BUDI Diesel dibangkitkan pada mesyuarat Kabinet negeri. Beliau berkata, perkara itu dibangkitkan selepas kementeriannya melaporkan hasil libat urus bersama Kementerian Kewangan Persekutuan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhubung kesan pelaksanaan subsidi bersasar diesel terhadap rakyat Sabah pada minggu lalu. “Saya telah melaporkan secara keseluruhannya bagaimana petani kita terjejas, bagaimana jentera ladang kita terjejas, bagaimana kenderaan pikap kita terjejas dan sebagainya, termasuk golongan belia yang memiliki kenderaan pikap dan jip untuk tujuan pekerjaan serta perniagaan. “Ketua Menteri mengambil perhatian serius perkara ini dan telah mengarahkan Kabinet negeri menjemput Kementerian Kewangan dan KPDN bagi sesi taklimat serta libat urus bersama penjawat awam dan wakil rakyat kerajaan,” katanya. Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Padang Ragut, Pelancaran Kebun Dapur dan Kempen Vaksinasi Haiwan Kesayangan di Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar Ranau, di sini, pada Selasa. Hadir sama ADUN Paginatan, Datuk Rusdin Riman; Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jumain Abdul Ghani dan Pengarah Perkhidmatan Veterinar Sabah, Dr Zul Bahar Abdul Rashid. Jamawi berkata, sesi pertama libat urus mengenai isu subsidi diesel itu membabikan ketua-ketua jabatan negeri pada Jumaat ini di Menara Kinabalu, manakala sesi kedua bersama wakil rakyat kerajaan akan diadakan pada Ahad bagi membolehkan Kerajaan Persekutuan memperoleh gambaran lebih jelas mengenai situasi sebenar di lapangan sejak pelaksanaan BUDI Diesel. Jamawi berkata, Sabah mempunyai keperluan yang berbeza berbanding Semenanjung kerana faktor geografi dan jarak perjalanan yang jauh, sekali gus memerlukan pendekatan lebih sesuai dalam pelaksanaan dasar subsidi bahan api. “Kita tidak sama seperti di Semenanjung. Kalau di sana memandu tiga jam boleh merentasi beberapa negeri, tetapi di Sabah memandu tiga jam pun mungkin belum sampai ke satu daerah. Sebab itu keperluan penggunaan diesel dan petrol di Sabah berbeza. “Kita faham isu ketirisan perlu ditangani, tetapi jangan kerana kegagalan mengawal ketirisan, beban itu dipindahkan kepada petani, nelayan, pengusaha industri makanan dan golongan muda yang berniaga. Itu tidak adil kepada mereka,” katanya. Sementara itu, pada majlis berkenaan kementeriannya menyampaikan bantuan kepada dua padang ragut di Ranau yang berupa peralatan seperti tiang dan dawai pagar, makanan ternakan serta mesin pemproses rumput bagi menghasilkan makanan ternakan yang lebih berkualiti. Jamawi berkata, kerajaan negeri kini giat memulihkan padang-padang ragut yang kurang dimanfaatkan sebelum ini sebagai sebahagian usaha memperkasa sektor penternakan ruminan dan unggas di Sabah. “Sejak enam bulan lalu saya telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar mempergiatkan program-program berkaitan serta memperkasakan penternakan ruminan, unggas dan sebagainya,” katanya. Mengenai Kebun Dapur, Jamawi berkata sambutan terhadap inisiatif itu amat menggalakkan dengan lebih 3,000 individu dan kumpulan di seluruh Sabah kini terlibat dalam aktiviti itu berdasarkan rekod Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Katanya, kerajaan menyasarkan seramai 5,000 pengusaha Kebun Dapur dalam tempoh lima tahun, namun perkembangan semasa menunjukkan sasaran itu berpotensi dicapai lebih awal. “Kita menjangkakan 1,000 pengusaha baharu setiap tahun, tetapi melihat kepada semangat rakyat Sabah hari ini, saya amat berterima kasih atas sokongan terhadap usaha kementerian,” katanya. Beliau berkata kementerian juga sedang membangunkan platform digital dikenali sebagai kebundapur.com yang dijangka dilancarkan dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi bagi membolehkan pengusaha menjual hasil pertanian, perikanan dan penternakan secara terus tanpa orang tengah. Katanya, platform itu tidak memerlukan lesen khas, namun semua produk akan dipantau oleh agensi berkaitan bagi memastikan kualiti dan keselamatan makanan terjamin sebelum dipasarkan kepada pengguna. “Kita mahu memudahkan urusan pemasaran, tetapi pada masa sama memastikan hasil yang dijual memenuhi standard yang ditetapkan melalui pemantauan pegawai-pegawai di lapangan,” katanya. – Info X

July 14, 2026

Info X Reporters

Kebakaran musnahkan setor, homestay di Kundasang rosak 30 peratus

KOTA KINABALU: Sebuah setor musnah sepenuhnya manakala sebuah homestay mengalami kerosakan 30 peratus dalam kebakaran di Puteri Nabalu Lodge, Kundasang, petang tadi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Rantey Fred berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 5.22 petang. “Pasukan dari BBP Ranau yang dianggotai 10 anggota tiba di lokasi pada jam 5.56 petang selepas menempuh perjalanan sejauh 16 kilometer. “Kebakaran membabitkan sebuah setor jenis tidak kekal berukuran 20 x 25 kaki yang terbakar 100 peratus, manakala sebuah homestay terbakar 30 peratus,” katanya. Katanya, operasi pemadaman menggunakan satu aliran, dua pancutan sepanjang 200 kaki dengan sumber air daripada tangki jentera. “Operasi berjaya dikawal pada jam 6.17 petang dan tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian ini. “Punca kebakaran serta nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya. Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sabah Electricity. – Info X

July 14, 2026

Info X Reporters

Naib Ketua, AJK STAR Bingkor keluar parti

KENINGAU: Sebahagian besar Ahli Jawatankuasa Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Bahagian Bingkor mengumumkan keputusan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta pada Selasa. Keputusan itu dibuat pada satu majlis khas diketuai Naib Ketua Bahagian STAR Bingkor, Danil Palangi dan dihadiri beberapa Ahli Jawatankuasa STAR Bahagian Bingkor yang lain. Menerusi satu kenyataan, Danil berkata keputusan berkenaan dibuat secara sukarela setelah mengambil kira pelbagai pertimbangan berkaitan hala tuju perjuangan politik dan kepentingan rakyat di Bingkor. “Keputusan ini dibuat tanpa sebarang paksaan atau desakan daripada mana-mana pihak. Ia adalah keputusan bersama yang lahir daripada pertimbangan matang demi memastikan perjuangan kami terus relevan dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya. Beliau berkata, sebagai antara individu yang terbabit dalam membina dan mengembangkan STAR di Bahagian Bingkor sejak awal, mereka berpendapat parti itu tidak lagi mampu memenuhi aspirasi serta harapan diinginkan sebahagian besar kepimpinan dan akar umbi di kawasan berkenaan. “Kami sentiasa meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan politik. Oleh itu, kami merasakan sudah tiba masanya untuk membuka lembaran baharu dalam usaha memperjuangkan pembangunan, kebajikan dan masa depan masyarakat di Bingkor,” katanya. Danil turut menegaskan bahawa walaupun mereka tidak lagi bersama STAR, komitmen untuk terus mendampingi rakyat tidak akan berubah. “Kami akan terus turun padang, mendengar denyut nadi rakyat serta membantu menyelesaikan masalah masyarakat dalam kapasiti yang bersesuaian. Perjuangan untuk rakyat tidak terhenti hanya kerana perubahan platform politik,” katanya. Pada masa yang sama, beliau menyatakan sokongan berterusan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang disifatkan sebagai pemimpin berjiwa rakyat dan sentiasa mengutamakan kestabilan politik serta pembangunan negeri. “Kami melihat kepimpinan Datuk Seri Hajiji membawa pendekatan yang inklusif, sederhana dan berfokus kepada pembangunan rakyat. Justeru, kami akan terus memberikan sokongan kepada usaha-usaha yang membawa manfaat kepada rakyat dan negeri Sabah,” katanya. Beliau turut menyeru agar rakyat terus mengekalkan semangat perpaduan dan bersama-sama menyokong agenda pembangunan demi kemajuan Bingkor serta kesejahteraan seluruh rakyat Sabah. – Info X

July 14, 2026

Info X Reporters

Pelajar UiTM maut dirempuh pacuan empat roda ketika ke tempat praktikal

TAWAU: Seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam yang sedang menjalani latihan praktikal di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau maut dalam kemalangan membabitkan sebuah pacuan empat roda dan motosikal di Jalan Tawau-Bombalai, di sini pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa lelaki berusia 24 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah. Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan berkenaan pada jam 8.30 pagi. Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah Mitsubishi Triton yang dipandu seorang wanita tempatan berusia 32 tahun dan motosikal Yamaha 135LC yang ditunggang mangsa. “Ketika kejadian, pemandu Mitsubishi Triton yang merupakan seorang penjawat awam sedang dalam perjalanan dari Sungai Imam menuju ke Klinik Kesihatan Felda Umas. “Mangsa pula sedang dalam perjalanan dari Merotai menuju ke Pejabat Pendidikan Daerah Tawau bagi menjalani latihan praktikal,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian, pemandu Mitsubishi Triton dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan. “Akibat perlanggaran itu, Mitsubishi Triton terbabas ke bahu jalan sebelum memasuki parit dan terbalik dengan bahagian bawah kenderaan menghadap ke atas. “Mangsa bersama motosikalnya tercampak kira-kira lima meter ke bahu jalan menghala ke bandar Tawau dan ditemukan dalam keadaan terbaring di kawasan semak berhampiran lokasi kejadian,” katanya. Menurutnya, pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Katanya, pemandu Mitsubishi Triton mengalami kecederaan patah pada bahu dan tangan kanan sebelum dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian,” katanya. Sehubungan itu, Wilynton menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu secara berhemah, mematuhi had laju dan memberi tumpuan sepenuhnya ketika berada di jalan raya. “Keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain hendaklah sentiasa diutamakan bagi mengelakkan tragedi yang tidak diingini,” katanya.- Info X

July 14, 2026

Info X Reporters

Inkues Zara Qairina: Saksi mengaku bukan pakar psikologi klinikal kanak-kanak berdaftar

KOTA KINABALU: Saksi ke-76 inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengaku bukan seorang pakar psikologi klinikal kanak-kanak yang berdaftar di bawah Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia (MAHPC). Dr Noor Aishah Rosli yang memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, di sini, sejak Isnin, memberitahu mahkamah yang beliau memiliki dua kelayakan sebagai kaunselor dan pakar psikologi klinikal kanak-kanak. Saksi berkenaan membuat pengakuan itu selepas ditanya Pegawai Pengendali Inkues, Nahra Dollah mengenai kedudukan Dr Noor Aishah sebagai seorang pakar psikologi klinikal kanak-kanak yang tidak berdaftar di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016. Dr Noor Aishah berkata, beliau tidak berdaftar di bawah akta berkenaan tetapi beliau bergantung kepada pendaftaran di bawah Lembaga Kaunselor dan memiliki kepakaran dalam bidang psikologi klinikal kanak-kanak berdasarkan latar belakang akademik dan lesen latihan dari Amerika Syarikat. Beliau bersetuju bahawa bukti yang ada di Mahkamah Koroner hanya menunjukkan bahawa beliau adalah seorang kaunselor berdaftar dan bukan pakar psikologi klinikal kanak-kanak berdaftar. Saksi berumur 51 tahun itu menjelaskan bahawa di bawah Lembaga Kaunselor, ahlinya dibenarkan untuk menjadi pengamal dan keterangan serta penilaian mereka membabitkan kes kanak-kanak dan remaja boleh digunakan di mahkamah. Dr Noor Aishah turut memberitahu mahkamah bahawa beliau menggunakan nombor keahlian persatuan berbanding nombor yang diberikan kepada pakar psikologi klinikal kanak-kanak di bawah akta berkenaan. Nahra kemudian bertanya sama ada Dr Noor Aishah tahu bahawa menjadi satu kesalahan bagi seseorang doktor yang merujuk dirinya sebagai pakar psikologi klinikal kanak-kanak tanpa mendaftar di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016. Pertanyaan itu dibantah Peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara Qairina atas kepercayaan bahawa Dr Noor Aishah tidak boleh menjawab isu undang-undang yang berkaitan. Bagaimanapun, Nahra menjelaskan bahawa hal itu adalah perkara asas berkaitan aspek kredibiliti di mahkamah. Inkues kematian Zara Qairina yang dilaksanakan sejak September 2025 dibuat bagi mencari punca kematian Allahyarham Zara Qairina selepas ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada 16 Julai 2025 dan dilaporkan meninggal dunia sehari kemudian. – Info X