Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

July 2, 2026

Info X Reporters

Lelaki maut ditikam rakan ketika mabuk

KOTA KINABALU: Pertengkaran ketika mabuk selepas minum minuman keras membawa padah apabila seorang lelaki warga asing maut ditikam empat kali oleh rakannya di sebuah tapak pembinaan di belakang bilik pameran kenderaan di Iramanis, di sini, awal pagi semalam. Dalam kejadian itu, mangsa berusia 34 tahun dipercayai sempat berjalan sebelum ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah lubang pembetung (manhole) berhampiran lokasi kejadian. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.40 pagi sebelum laporan polis dibuat pada jam 2.23 pagi. Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa dan suspek lelaki berusia 36 tahun keluar ke Penampang pada sebelah pagi untuk minum minuman keras sebelum kedua-duanya pulang ke rumah kongsi kira-kira jam 11 malam. “Siasatan mendapati berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek yang dipercayai berpunca daripada salah faham ketika mereka dalam keadaan mabuk. “Mangsa dipercayai terlebih dahulu memukul suspek menggunakan sebatang kayu di bahagian kepala sebelum suspek bertindak balas dengan menikam mangsa sebanyak empat kali menggunakan pisau pemotong sayur,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, suspek kemudian melarikan diri, manakala mangsa yang cedera parah dipercayai sempat berjalan sebelum ditemukan di dalam lubang pembetung berhampiran lokasi kejadian. Beliau berkata, pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah sudah menjalankan pemeriksaan di lokasi, manakala mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat. “Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. “Usaha mengesan dan menangkap suspek serta merampas senjata yang digunakan sedang giat dijalankan,” katanya. Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan (ASP) Syed Abdul Rahman Syed Mohsin di talian 012-310 6882 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh menjejaskan siasatan polis. – Info X

July 2, 2026

Info X Reporters

Jambatan Tamparuli dijangka dibuka semula pada Oktober 2026 – KKR

KOTA KINABALU: Kerja pembaikan Jambatan Tamparuli dijadual siap sepenuhnya pada akhir September depan dan dijangka dibuka semula kepada pengguna pada awal Oktober 2026, kata Kementerian Kerja Raya (KKR). Jaminan itu diberikan dalam satu jawapan bertulis susulan pertanyaan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau berhubung isu jambatan itu pada Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur pada Isnin. “Semakan kementerian menerusi Jabatan Kerja Raya Sabah (JKR Sabah) mendapati jambatan itu di bawah bidang kuasa JKR Sabah dan diselenggara oleh syarikat konsesi yang dilantik Kerajaan Negeri. “Penutupan fasiliti itu terpaksa dilakukan memandangkan strukturnya telah mengalami kerosakan dan menuntut kerja baik pulih yang segera. “Kementerian memberikan jaminan bahawa kerja-kerja pembaikan sedang giat dilaksanakan dan dijadualkan siap sepenuhnya menjelang penghujung bulan September 2026. “Berdasarkan jadual perancangan, jambatan tersebut dijangka akan dibuka semula untuk kemudahan pengguna pada awal bulan Oktober 2026,” katanya. Sepanjang tempoh penutupan, KKR menyarankan orang awam menggunakan laluan alternatif seperti Jalan Bontoi-Tamparuli dan Jalan Kota Kinabalu-Kudat bagi menyuraikan kesesakan lalu lintas. Dalam pada itu, KKR memaklumkan bagi pelan penyelesaian jangka panjang, jambatan Low Level Crossing itu bakal dinaik taraf kepada sebuah jambatan yang kekal. “Cadangan projek naik taraf telah berjaya mendapat kelulusan pembiayaan daripada Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Rolling Plan 5, Rancangan Malaysia Ke-12 (RP5 RMKe-12). “Di samping itu, KKR juga telah mengangkat permohonan untuk ‘Projek Menggantikan Jambatan Tamparuli (Sg Tuaran) KM35.78 Jalan Kota Kinabalu – Kudat, Tuaran’ supaya diluluskan oleh Agensi Pusat melalui Rolling Plan 2, Rancangan Malaysia Ke-13 (RP2 RMK13). “Walau bagaimanapun, nasib dan keputusan rasmi bagi permohonan projek tersebut hanya akan diputuskan serta dimaklumkan kepada umum selepas sesi pembentangan Bajet Kerajaan 2027 kelak,” katanya. Terdahulu, pada Isnin Madius menyuarakan isu kesesakan lalu lintas yang membelenggu pengguna jalan raya susulan penutupan Jambatan Tamparuli (Low Level Crossing). Beliau membangkitkan perkara itu dalam sesi Pertanyaan Lisan kepada Menteri Kerja Raya pada Persidangan Dewan Rakyat. Dalam soalannya, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli meminta KKR untuk menyatakan langkah alternatif bagi mengurangkan kesesakan jalan akibat penutupan jambatan berkenaan. “Penutupan ini telah memberi kesan yang ketara dan menyebabkan kesesakan di Jalan Telibong-Pekan Tamparuli dan laluan utama Jalan Tamparuli-Ranau,” katanya. – Info X

July 2, 2026

Info X Reporters

Ekonomi Sabah tumbuh 5.1 peratus pada 2025, KDNK cecah RM88.8 bilion

KOTA KINABALU: Ekonomi Sabah berkembang 5.1 peratus pada 2025, meningkat dengan ketara berbanding pertumbuhan 1.2 peratus yang direkodkan pada 2024, selaras dengan prestasi nasional. Angka itu berdasarkan data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan (DOSM) Sabah menerusi satu kenyataan media pada Khamis. DOSM berkata, seiring dengan perkembangan itu, nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah pada harga semasa meningkat kepada RM88.8 bilion, berbanding RM84.5 bilion pada tahun sebelumnya, iaitu pertambahan sebanyak RM4.3 bilion. Katanya, DOSM sudah menerbitkan data KDNK mengikut negeri bagi 2025 yang memperincikan prestasi ekonomi negeri berdasarkan perspektif sektoral serta komposisi ekonomi yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia. “Ekonomi Malaysia terus menunjukkan momentum pertumbuhan yang positif apabila berkembang 5.2 peratus pada 2025, mengekalkan kadar pertumbuhan yang sama seperti tahun sebelumnya. “Menelusuri komposisi ekonomi Negeri Sabah, sektor Perkhidmatan dan sektor Perlombongan & Pengkuarian kekal sebagai komponen terbesar kepada KDNK Sabah dengan sumbangan kumulatif 74.1 peratus, diikuti sektor Pertanian yang menyumbang 13.9 peratus. “Penyumbang seterusnya ialah sektor Pembuatan dan sektor Pembinaan yang masing-masing menyumbang 7.2 peratus dan 4.4 peratus,” katanya. DOSM menjelaskan, Sektor Perkhidmatan yang juga penyumbang utama ekonomi negeri ini berkembang 4.5 peratus (2024: 4.2 peratus) dipacu subsektor berkaitan pelancongan, iaitu Perdagangan borong & runcit, makanan & minuman dan penginapan serta subsektor Perkhidmatan Kerajaan. Sektor Perlombongan & Pengkuarian yang menjadi penyumbang kedua ekonomi Sabah, katanya melantun kepada 4.9 peratus (2024: negatif 4.9 peratus), berikutan peningkatan dalam pengeluaran minyak mentah & kondensat serta gas asli dengan sumbangan 22 peratus kepada keseluruhan ekonomi Sabah. “Sektor Pertanian pula memulih 0.9 peratus (2024: negatif 3.2 peratus) didorong oleh peningkatan dalam subsektor Tanaman, iaitu kelapa sawit. “Sektor Pembuatan turut meningkat 5.0 peratus (2024: 1.2 peratus) didorong oleh produk minyak dan lemak daripada sayuran & haiwan dan prosesan makanan. “Sektor Pembinaan di Sabah juga mengukuh kepada 28.3 peratus (2024: 21.5 peratus) didorong oleh pertumbuhan dalam semua subsektor, terutamanya subsektor Kejuruteraan awam,” katanya. DOSM berkata, dari segi prestasi KDNK perkapita, Sabah merekodkan peningkatan sebanyak RM550, iaitu daripada RM30,575 kepada RM31,125, tetapi masih jauh di bawah paras nasional (RM59,167). Secara keseluruhannya, DOSM berkata ekonomi Sabah menyumbang 5.1 peratus kepada ekonomi Malaysia dan kekal sama berbanding tahun sebelumnya dengan kedudukan kekal di tangga ketujuh sebagai kuasa ekonomi di negara. “DOSM sedang melaksanakan Banci Ekonomi 2026 (BE2026) dengan tema ‘Data Nadi Ekonomi Rakyat’. Pelaksanaan Banci Ekonomi kali keenam ini berlangsung dari 5 Januari hingga 31 Oktober 2026. “BE2026 bertujuan untuk mengumpul data yang menyeluruh dan berstruktur daripada semua pertubuhan perniagaan berdaftar dan tidak berdaftar di Malaysia bagi menilai prestasi, struktur serta ciri-ciri ekonomi negara secara komprehensif dan berasaskan bukti,” katanya. Katanya, Malaysia buat julung kali menduduki tangga pertama di peringkat global dalam laporan dwi-tahunan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 yang dikeluarkan oleh Open Data Watch (ODW), mengatasi 197 negara lain. Pencapaian itu, katanya adalah lonjakan ketara daripada kedudukan ke-67 dalam penilaian ODIN 2022/23. – Info X

July 2, 2026

Info X Reporters

Lelaki ditemui rentung dalam bilik

BELURAN: Seorang lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran di Kampung Bayu Permai, di sini, hari ini. Mangsa, Baha Sudirman, 49, yang juga warga Indonesia ditemui rentung di salah sebuah bilik dalam rumah dua tingkat yang didiami bersama ahli keluarganya. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beluran, Nur Azlan Shah Jamalludin, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kebakaran membabitkan itu pada jam 9.40 pagi. Katanya, jentera bomba menghadapi kesukaran untuk sampai ke lokasi yang terletak 18 kilometer (km) dari balai itu kerana tiada laluan akses. “Pasukan bomba yang terdiri daripada enam anggota terpaksa menjalankan operasi memadam api menggunakan pam angkut dengan sumber air daripada kolam. “Mangsa yang ditemui rentung kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi. Nur Azlan berkata, operasi memadam kebakaran tamat sepenuhnya pada jam 12.40 tengah hari. – Info X

July 2, 2026

Info X Reporters

Hormati kuasa autonomi imigresen Sabah

KOTA KINABALU: Kuasa autonomi imigresen Sabah yang termaktub dalam undang-undang perlu dihormati semua pihak, termasuk pemimpin dari Semenanjung. Menegaskan perkara itu, aktivis masyarakat, Aksyah Nasrah, berkata kefahaman itu penting bagi mengelak sebarang tafsiran atau dakwaan salah berhubung kuasa berkenaan. Justeru, katanya kritikan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim terhadap tindakan menyekat kemasukan Pengarah Eksekutif Bersih, Asraf Sharafi ke Sabah yang disifatkannya sebagai keterlaluan adalah tidak berasas. Sebaliknya, beliau berkata ia menunjukkan sikap segelintir pemimpin dari Semenanjung yang gagal memahami sejarah serta kedudukan istimewa Sabah dalam Persekutuan Malaysia. “Kuasa autonomi imigresen Sabah bukanlah sesuatu yang diwujudkan oleh kerajaan negeri hari ini, sebaliknya ia adalah hak yang diperuntukkan di bawah Akta Imigresen 1959/63 sejak pembentukan Malaysia pada 1963. “Ini bukan kuasa yang direka oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, sebaliknya hak mutlak rakyat Sabah yang dipelihara oleh undang-undang. “Justeru, sesiapa sahaja termasuk rakyat dari Semenanjung tertakluk kepada peraturan imigresen Sabah apabila ingin memasuki negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. Beliau berkata, kerajaan negeri dan pihak berkuasa mempunyai hak untuk menolak kemasukan mana-mana individu jika timbul kebimbangan terhadap kehadiran mereka yang dilihat berpotensi menjejaskan ketenteraman awam atau keselamatan negeri. Mengulas dakwaan Hassan bahawa Asraf bukan ancaman kepada Sabah, Aksyah mempersoalkan asas keyakinan Ahli Parlimen itu dalam membuat kesimpulan sedemikian. Katanya, tindakan sekatan berkenaan berlaku hanya beberapa hari sebelum penganjuran perhimpunan dikenali sebagai ‘Gempur Rasuah Sabah 3.0’, sekali gus ia wajar dilihat dalam konteks menjaga keamanan dan ketenteraman awam. “Sabah memerlukan kestabilan bagi meneruskan agenda pembangunan, bukannya budaya demonstrasi jalanan yang boleh mencetuskan ketegangan serta mengganggu keyakinan pelabur dan ekonomi negeri. “Tindakan kerajaan negeri adalah bersifat pencegahan, bukannya menunggu sehingga berlaku insiden yang boleh mengancam keselamatan awam,” katanya. Aksyah turut menolak dakwaan segelintir pihak yang melabelkan Ketua Menteri sebagai ‘diktator’ kerana menggunakan kuasa imigresen negeri. Jelasnya, pelaksanaan kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang tidak boleh disamakan dengan penyalahgunaan kuasa, sebaliknya menjadi tanggungjawab kerajaan dalam melindungi kepentingan dan keselamatan Sabah. Beliau juga menyifatkan usaha membangkitkan isu peribadi Asraf sebagai tidak dapat mengubah hakikat bahawa setiap individu perlu bertanggungjawab terhadap tindakan dan penglibatan masing-masing. Sehubungan itu, Aksyah menasihatkan semua pihak, khususnya pemimpin dan aktivis dari Semenanjung, supaya menghormati hak autonomi Sabah serta tidak mencampuri urusan yang berada di bawah bidang kuasa negeri. Beliau berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Hajiji kini memberi tumpuan kepada pelaksanaan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang memerlukan suasana politik stabil dan kondusif bagi memastikan agenda pembangunan serta kesejahteraan rakyat dapat diteruskan. “Rakyat Sabah mahukan keamanan, kestabilan dan pembangunan berterusan, bukannya polemik serta provokasi politik yang hanya menggugat keharmonian negeri,” katanya.- Info X

July 2, 2026

Info X Reporters

Lori terbabas, pemandu maut tersepit bawah kepala lori

KINABATANGAN: Seorang pemandu lori maut selepas tersepit di bawah bahagian kepala lori dalam kemalangan membabitkan sebuah lori lapan tan yang dipercayai terbabas sendiri di Kampung Paris 2, di sini awal pagi tadi. Mangsa berusia 48 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas berjaya dikeluarkan pasukan bomba dengan bantuan sebuah jentera jengkaut yang digunakan bagi mengangkat bahagian hadapan lori yang menghempapnya. Seorang lagi mangsa berusia 43 tahun cedera selepas berjaya dikeluarkan daripada kenderaan oleh pasukan bomba sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba Suriyadi Darwis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.16 pagi sebelum menggerakkan enam anggota ke lokasi yang terletak kira-kira 40 kilometer dari balai. Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi pada jam 5.40 pagi, pasukan bomba mendapati lori lapan tan itu dipercayai terbabas sendiri dengan kedua-dua mangsa tersepit di dalam kenderaan. “Pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang cedera terlebih dahulu sebelum menjalankan operasi menyelamat seorang lagi mangsa yang tersepit di bawah bahagian kepala lori. “Operasi mengeluarkan mangsa dijalankan menggunakan peralatan khas dengan bantuan sebuah jentera jengkaut bagi mengangkat bahagian hadapan lori. “Mangsa berjaya dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai KKM sebelum mayatnya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.30 pagi selepas keadaan di lokasi dipastikan selamat. – Info X

July 2, 2026

Info X Reporters

Lelaki maut, motosikal terbakar dalam kemalangan

PUTATAN: Seorang lelaki maut apabila motosikal ditungganginya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta sehingga terbakar di Jalan Utama berhadapan pusat jualan Perodua, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian jam 4.40 pagi itu, mangsa berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah. Komander Operasi Kanan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Riki Mohan Singh Ramday, berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan menerima panggilan kecemasan pada jam 4.45 pagi sebelum sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi. “Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah motosikal terbakar 100 peratus selepas dipercayai dirempuh sebuah kereta. “Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu mula dari jentera sebelum api berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. “Pasukan bomba turut menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi bagi memastikan tiada lagi bahaya lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.17 pagi. “Punca kemalangan masih dalam siasatan polis,” katanya. – Info X

July 2, 2026

Info X Reporters

‘Larangan masuk Pengarah Eksekutif Bersih ke Sabah bukan arahan KM’

KOTA KINABALU: Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim, menyifatkan tuduhan yang dilemparkan terhadap Datuk Seri Hajiji Noor berhubung larangan kemasukan Pengarah Eksekutif Bersih, Asraf Sharafi Mohammad Azhar ke Sabah sebagai keterlaluan dan tidak berasaskan fakta. Beliau berkata, dakwaan yang dibuat Hamdin Nordin menerusi hantaran di media sosial menuduh Hajiji mengarahkan sekatan terhadap Asraf adalah tidak wajar, lebih-lebih lagi ketika Ketua Menteri sedang menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci. “Tuduhan yang dilemparkan oleh saudara Hamdin agak keterlaluan. Ketua Menteri ketika ini sedang menunaikan ibadah umrah. Jika sekalipun ingin menjadi hero dalam isu ini, rendahkan sedikit laras bahasa dan hormatilah keadaan semasa,” katanya dalam hantaran di media sosial. Azrul berkata, sebarang keputusan berhubung pengeluaran Notis Amaran Sabah (NAS) dibuat oleh pihak berkuasa selepas mengambil kira pelbagai aspek, termasuk penilaian risiko, peruntukan undang-undang dan kepentingan keselamatan negeri. Katanya, semua pihak perlu menghormati kuasa imigresen khas yang dimiliki Sabah seperti diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan. “Dalam menentukan sama ada seseorang individu dikenakan NAS, pihak berkuasa pastinya telah menjalankan penilaian risiko dan pertimbangan sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang serta kepentingan keselamatan negeri. “Kita perlu menghormati pihak berkuasa dan mengiktiraf hak serta kuasa imigresen Sabah yang termaktub di bawah Perlembagaan serta peruntukan undang-undang berkaitan,” katanya. Pada masa sama, Azrul berkata beliau turut mengambil inisiatif menghubungi Asraf bagi mendapatkan maklumat lanjut, selain memahami keadaan keluarganya yang berada di Sabah. “Apapun, saya sedang berkomunikasi dengan individu terbabit kerana saya memahami isteri dan anak-anaknya berada di Sabah,” katanya. Sementara itu, bekas Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Negeri Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said, turut mengkritik kenyataan Hamdin yang disifatkannya sebagai melulu kerana terus menuding jari kepada Ketua Menteri tanpa mengetahui fakta sebenar. Beliau berkata, hak Sabah mengawal kemasukan individu ke negeri ini adalah kuasa khas yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dan pelaksanaannya berada di bawah bidang kuasa imigresen. “Semua pihak perlu menghormati proses undang-undang dan tidak membuat tuduhan sewenang-wenangnya terhadap Ketua Menteri. Sebarang keputusan berkaitan NAS dibuat berdasarkan penilaian pihak berkuasa, bukannya atas sentimen politik atau kepentingan individu,” katanya. Hamdin menerusi hantaran di Facebook mendakwa Asraf dihalang memasuki Sabah atas arahan Ketua Menteri, selain mengeluarkan kenyataan berbaur kesat terhadap Hajiji. Asraf sebelum ini memaklumkan beliau dihalang memasuki Sabah sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) selepas dimaklumkan namanya disenaraikan di bawah NAS. Beliau mendakwa tidak dibenarkan memasuki Sabah walaupun isterinya adalah anak jati negeri ini dan dua anak mereka menetap di Kota Kinabalu. Setakat ini, pihak berkuasa belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai sebab khusus Asraf dikenakan NAS. Bagaimanapun, Kerajaan Negeri menegaskan setiap tindakan berkaitan imigresen dilaksanakan mengikut lunas undang-undang serta mengambil kira aspek keselamatan dan kepentingan Sabah. – Info X