June 22, 2026
Info X Reporters
Wanita ditahan, air dan daun ketum dirampas
PENAMPANG: Aktiviti memproses air ketum yang dipercayai dilakukan secara senyap di sebuah rumah di Kampung Ulu Seberang, di sini, berakhir apabila seorang wanita diberkas bersama puluhan botol minuman terbabit dalam serbuan polis. Dalam operasi kira-kira jam 1 petang pada 19 Jun lalu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menyerbu rumah berkenaan hasil maklumat dan risikan yang dijalankan. Serbuan itu membawa kepada penahanan seorang wanita tempatan berusia 43 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan memproses dan menjual air ketum. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pemeriksaan lanjut menemui 30 botol plastik berisi cecair disyaki air ketum serta satu karung plastik mengandungi daun ketum. Menurutnya, polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses air ketum. “Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM975 dan semua barang kes dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut. “Suspek turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Katanya, polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang termasuk penyalahgunaan dan pengedaran air ketum. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah atau air ketum diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah ini,” katanya. – Info X
June 22, 2026
Info X Reporters
Lima nelayan terselamat selepas bot karam dipukul ombak
SANDAKAN: Lima nelayan berdepan detik cemas apabila bot yang dinaiki karam selepas dipukul ombak besar di perairan berhampiran Pulau Nunuyan, dekat sini, petang semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, semua mangsa lelaki warga tempatan berusia antara 38 hingga 59 tahun dipercayai sedang dalam perjalanan pulang ke Jeti Nelayan Karamunting selepas keluar memancing sejak jam 6 pagi. Pengarah Maritim Malaysia Zon Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.15 petang sebelum menggerakkan aset Bot Banggi 44 dan Bot Cenderawasih 4 ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat. “Hasil tindakan pantas anggota Maritim Malaysia, kesemua mangsa berjaya ditemui dan diselamatkan. “Semua mangsa selamat dan tidak mengalami kecederaan serius, namun berada dalam keadaan keletihan serta kesejukan sebelum dibawa ke jeti Maritim untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, Maritim Malaysia sentiasa bersedia memberi bantuan kepada komuniti maritim yang berdepan sebarang kecemasan di laut. Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengguna bot supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan termasuk memastikan bot berada dalam keadaan baik, membawa peralatan keselamatan mencukupi dan memakai jaket keselamatan sepanjang berada di laut. “Pengguna bot juga disaran sentiasa memantau keadaan cuaca serta tidak membawa muatan melebihi had yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya. – Info X
June 22, 2026
Info X Reporters
The Male-Efficient dari Sabah harumkan nama negara di festival koir antarabangsa
KOTA KINABALU: Kumpulan koir lelaki dari Sabah, The Male-Efficient, mengharumkan nama negeri dan negara apabila mencatat kejayaan cemerlang pada Sarawak International Choral Festival & Symposium 2026 yang berlangsung di Kuching, Sarawak, dari 19 hingga 21 Jun lalu. Festival anjuran Kuching Choral Society itu menghimpunkan kira-kira 1,200 peserta dari lima negara iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, Filipina dan Thailand, sekali gus menjadi antara acara koir antarabangsa terbesar di rantau ini. Sepanjang festival yang diadakan di Kuching Waterfront Hotel dan Voco Hotel by IHG itu, The Male-Efficient bertanding dalam tiga kategori iaitu Equal Voices, Musica Sacra dan Folklore. Kejayaan paling membanggakan apabila kumpulan berkenaan dinobatkan sebagai juara bagi kategori Equal Voices selepas menampilkan persembahan yang memukau barisan juri antarabangsa. Selain itu, The Male-Efficient turut mencipta pencapaian membanggakan apabila berjaya mara ke Pusingan Akhir Grand Prix bersama tujuh kumpulan terbaik lain dari Malaysia, Indonesia dan Filipina. Di bawah bimbingan Konduktor Kenny David Yuntalla serta Pengarah Lesley George, kumpulan itu membawa pulang tiga pingat emas hasil penyertaan dalam ketiga-tiga kategori yang dipertandingkan. Bagi kategori Musica Sacra, The Male-Efficient meraih Pingat Emas A dengan markah 91.44 peratus, manakala kategori Folklore menyaksikan mereka memperoleh Pingat Emas B dengan markah 86.69 peratus. Dalam kategori Equal Voices pula, kumpulan itu merangkul Pingat Emas C dengan markah 83.88 peratus selain muncul juara kategori berkenaan. Kejayaan itu bukan sahaja membuktikan kemampuan bakat seni suara dari Sabah untuk bersaing di peringkat antarabangsa, malah memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam arena koir serantau. Pencapaian cemerlang The Male-Efficient turut dilihat sebagai satu pengiktirafan terhadap usaha berterusan kumpulan berkenaan dalam memartabatkan seni koir serta memperkenalkan bakat dan budaya Malaysia kepada masyarakat antarabangsa menerusi platform pertandingan berprestij. – Info X
June 22, 2026
Info X Reporters
96 warga asing ditahan dalam operasi JIM Sabah
KOTA KINABALU: Seramai 96 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam beberapa operasi penguatkuasaan bersepadu yang dijalankan di Kota Kinabalu dan Tawau bagi mengesan serta membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI). Dalam operasi di Kota Kinabalu, seramai 214 individu diperiksa menerusi Ops Bersepadu bersama Majlis Perbandaran Penampang (MPP), Ops Kutip dan Ops Sapu yang dilaksanakan di beberapa lokasi tumpuan. JIM Sabah dalam kenyataannya malam tadi berkata, hasil pemeriksaan, seramai 52 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan melanggar syarat pas. “Tangkapan itu membabitkan 16 lelaki dewasa, 20 wanita dewasa, 11 kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan warga Filipina. “Sementara itu di Tawau, operasi bersepadu yang dijalankan bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Tawau menerusi Ops Sapu, Ops Selera dan Ops Mahir memeriksa seramai 120 individu. “Daripada jumlah itu, 44 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk tinggal di negara ini tanpa dokumen sah dan melanggar syarat pas yang diberikan,” katanya. Katanya lagi, mereka yang ditahan terdiri daripada 33 warga Filipina iaitu 31 lelaki dan dua wanita dewasa, manakala 11 lagi adalah warga Indonesia membabitkan enam lelaki serta lima wanita dewasa. “Semua individu yang ditahan dibawa ke depot tahanan imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. “Operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan undang-undang imigresen negara terus dipatuhi,” katanya. – Info X
June 21, 2026
Info X Reporters
13 lagi rumah setinggan dirobohkan dalam operasi terbaru DBKK
KOTA KINABALU: Sebanyak 13 rumah setinggan haram di kawasan belakang Alamesra, Likas dirobohkan dalam operasi penguatkuasaan terbaru yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), 19 Jun lalu. Operasi bersepadu yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 5 petang itu dijalankan bagi menangani isu pencerobohan tanah kerajaan, pembinaan struktur haram dan pertumbuhan penempatan setinggan yang tidak terkawal di kawasan berkenaan. DBKK dalam kenyataan hari ini berkata, operasi terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan struktur setinggan yang sudah dirobohkan setakat 19 Jun lalu sebanyak 38 buah rumah. Menurutnya, kawasan koloni setinggan di belakang Alamesra dikenal pasti sebagai antara lokasi pencerobohan yang berkembang secara tidak terkawal di atas tanah rizab hutan bakau dan kawasan pesisir sungai. “Keadaan itu menimbulkan pelbagai risiko termasuk aspek keselamatan, kesihatan awam, pencemaran alam sekitar serta ancaman terhadap ekosistem bakau yang menjadi aset semula jadi penting bandar raya ini. “Hasil bancian mendapati sebanyak 101 rumah dibina di kawasan penempatan mangsa kebakaran Kampung Cenderamata 2, Likas, selain 150 struktur setinggan dikenal pasti di kawasan bakau belakang Alamesra yang sebahagian besarnya didiami penghuni bukan warganegara,” katanya. Menurut DBKK, notis pengosongan, pengalihan dan perobohan telah diserahkan kepada penghuni terbabit pada 13 April lalu dengan tempoh pematuhan selama 14 hari sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan. Operasi itu dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU). DBKK berkata, sebanyak 112 lagi struktur setinggan telah dikenal pasti untuk tindakan penguatkuasaan seterusnya. “Tindakan ini bukan semata-mata operasi perobohan, sebaliknya langkah strategik bagi memastikan tanah kerajaan tidak terus diceroboh, memelihara kawasan rizab alam sekitar serta mengurangkan risiko kebakaran dan jenayah. “Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang membina, menduduki atau melindungi struktur haram di atas tanah kerajaan dan tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X
June 21, 2026
Info X Reporters
Piala Dunia: 500 anak muda meriahkan program santai Belanda vs Sweden di Sandakan
SANDAKAN: Kira-kira 500 anak muda dari sekitar daerah ini memeriahkan Program Santai Menyaksikan FIFA World Cup di Bandar Utama IJM, di sini, pada awal pagi Ahad. Ia bagi perlawanan Kumpulan F, Belanda menentang Sweden bermula jam 1 pagi yang berkesudahan 5-1. Program anjuran Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu turut dihadiri pemangku Ketua Pemudanya, Datuk Azrul Ibrahim. “Suasana penuh meriah dengan semangat kesukanan jelas kelihatan apabila para pengunjung bersama-sama menyaksikan perlawanan dalam suasana santai, sekali gus mengeratkan ukhuwah serta semangat kebersamaan dalam kalangan generasi muda,” katanya. Beliau berkata, program seumpama itu membuktikan Pemuda Gagasan Rakyat terus komited menyediakan platform yang sihat dan inklusif untuk mendekati anak muda serta menyemarakkan semangat perpaduan melalui aktiviti yang diminati masyarakat. Selain di Sandakan, program berkenaan turut dirancang diadakan di beberapa lokasi lain sepanjang temasya Piala Dunia kali ini. – Info X
June 21, 2026
Info X Reporters
Jambatan konkrit Kampung Tanjung Aru berdepan hakisan teruk, berisiko runtuh bila-bila masa – Junz Wong
KOTA KINABALU: Jambatan konkrit Kampung Tanjung Aru kini dalam keadaan bahaya berikutan kerosakan tiang sokongan akibat hakisan air laut. ADUN Tanjung Aru, Datuk Junz Wong, berkata keadaan itu sangat membimbangkan keselamatan dan boleh menjejaskan laluan penduduk. “Saya amat bimbang dengan keadaan Jambatan Konkrit Kampung Tanjung Aru yang kini berada pada tahap yang sangat membahayakan. “Berdasarkan tinjauan yang saya lakukan bersama penduduk setempat, jelas kelihatan beberapa struktur utama jambatan ini mengalami kerosakan serius, termasuk hakisan pada tiang sokongan, keretakan konkrit dan pendedahan besi tetulang yang semakin teruk akibat hakisan air laut serta faktor usia. “Jambatan konkrit ini bukan sekadar sebuah kemudahan awam biasa. Ia merupakan laluan penting yang digunakan setiap hari oleh penduduk Kampung Tanjung Aru, nelayan, peniaga kecil dan pengunjung yang berkunjung ke kawasan ini. “Keadaan semasa jambatan tersebut menunjukkan bahawa risiko kegagalan struktur boleh berlaku pada bila-bila masa sekiranya tindakan segera tidak diambil,” katanya. Berikutan itu, beliau menggesa kerajaan negeri supaya tidak memandang ringan perkara itu demi keselamatan rakyat yang mesti menjadi keutamaan. Katanya, kerajaan perlu segera mengarahkan pemeriksaan teknikal menyeluruh dan meluluskan peruntukan kecemasan bagi kerja-kerja pembaikan serta pengukuhan struktur Jambatan Konkrit Kampung Tanjung Aru sebelum sesuatu yang tidak diingini berlaku. “Apa yang membimbangkan ialah beberapa bahagian struktur sokongan di bawah jambatan sudah menunjukkan tanda-tanda kerosakan yang ketara, termasuk hakisan konkrit dan pendedahan besi yang boleh menjejaskan kekuatan keseluruhan struktur. “Sekiranya keadaan ini terus dibiarkan, risiko keruntuhan sebahagian atau keseluruhan jambatan tidak boleh diketepikan. “Kita tidak mahu menunggu sehingga berlaku kemalangan atau kehilangan nyawa sebelum tindakan diambil. Tanggungjawab kerajaan adalah memastikan kemudahan awam berada dalam keadaan selamat untuk digunakan oleh rakyat,” katanya. Junz juga meminta pihak berkuasa berkaitan mengambil langkah keselamatan sementara dengan segera, termasuk memasang papan amaran, menjalankan pemeriksaan berkala serta mengehadkan penggunaan kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi sehingga kerja-kerja pembaikan dapat dilaksanakan. Katanya, penduduk Kampung Tanjung Aru sudah lama bergantung kepada jambatan itu sebagai kemudahan utama komuniti. Jelasnya, penduduk berhak menikmati infrastruktur yang selamat dan terpelihara. “Oleh itu, saya sekali lagi mendesak kerajaan negeri agar bertindak segera dan mengutamakan peruntukan untuk membaiki Jambatan Konkrit Kampung Tanjung Aru sebelum berlaku tragedi yang tidak dapat diputar balik,” katanya. – Info X
June 21, 2026
Info X Reporters
BN Sabah kekal sokong kepimpinan Hajiji, peranan dalam kerajaan bukan jadi parti dominan – Salleh
KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah kekal komited menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan pelaksanaan Agenda Sabah demi pembangunan negeri, kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat negeri ini. Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata sebagai sebahagian daripada Kerajaan negeri, BN Sabah akan terus memainkan peranan secara konstruktif dalam menyokong kepimpinan kerajaan yang diterajui Hajiji. Katanya, peranan BN dalam kerajaan bukan untuk menjadi parti yang dominan atau mengejar jawatan dan kedudukan, sebaliknya menyumbang ke arah kestabilan politik, menyokong agenda pembangunan kerajaan serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati rakyat termasuk ahli parti di peringkat akar umbi. “Walaupun BN bukan rakan yang setara dalam kerajaan negeri ketika ini, hakikat itu perlu diterima dengan kematangan politik. “Bagaimanapun, keadaan itu tidak menghalang BN daripada memainkan peranan secara konstruktif sebagai rakan kerajaan yang bertanggungjawab. Apa yang penting ialah Sabah terus maju, ekonomi terus berkembang dan golongan muda diberikan peluang serta masa depan yang lebih cerah,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lahad Datu yang dipimpin Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Seri Dr Anil Sandhu di Lahad Datu, pada Sabtu. Pada masa sama, Dr Salleh menggesa Pemuda UMNO Sabah meletakkan Agenda Sabah sebagai teras perjuangan politik mereka serta mengamalkan pendekatan politik yang sederhana, matang dan berorientasikan penyelesaian. Beliau berkata, pemimpin muda perlu memberi tumpuan kepada isu yang memberi kesan langsung kepada rakyat, termasuk peluang pekerjaan, pendidikan, pembangunan ekonomi, infrastruktur dan kesejahteraan rakyat Sabah, berbanding terheret dalam pertikaian politik yang tidak membawa manfaat. Katanya, generasi muda Sabah juga perlu menjadi pendukung kesederhanaan, perpaduan dan pembangunan dengan sentiasa meletakkan kepentingan Sabah mengatasi pertimbangan politik yang sempit. – Info X