June 19, 2026
Info X Reporters
121 sambungan paip haram dipotong dalam Operasi Mega di Sepanggar
KOTA KINABALU: Sebanyak 121 sambungan paip air menyalahi undang-undang berjaya dipotong dalam Operasi Bersepadu berskala besar di dua kawasan setinggan sekitar Sepanggar di sini, semalam. Operasi yang berlangsung dari jam 7 pagi hingga 11 pagi itu dilaksanakan bagi membanteras sambungan paip haram serta mengekang krisis kehilangan air tidak terhasil (Non-Revenue Water, NRW) yang kritikal di Bahagian Kota Kinabalu. Pengarah Jabatan Air Sabah, Chee Chun Chieh berkata, operasi berkenaan memfokuskan kepada pengesanan, pemotongan dan penguatkuasaan undang-undang terhadap manipulasi sistem bekalan air tanpa kebenaran. Menurutnya, tindakan bersepadu itu membabitkan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan kerajaan Persekutuan dan negeri. “Sebanyak 121 sambungan paip menyalahi undang-undang berjaya dipotong sepanjang operasi dijalankan di dua lokasi setinggan sekitar Sepanggar. “Operasi ini sebahagian daripada usaha berterusan Jabatan Air Sabah bagi memastikan sistem pengagihan air kekal teratur dan hanya dinikmati pengguna yang sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, seramai 96 anggota terlibat dalam operasi berkenaan yang menggabungkan 11 kementerian, jabatan, agensi penguatkuasaan serta wakil media. Antara agensi yang mengambil bahagian ialah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu bersama Balai Polis Menggatal dan Balai Polis Inanam, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Kerja Raya dan Utiliti (KKRU) serta Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP). Turut serta Pejabat Hal Ehwal Negeri dan Penyelidikan (PHEDNP), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), Sabah Electricity, RTM Sabah, YM Media Network, TV3 dan Jabatan Air Sabah selaku penyelaras operasi. Chee berkata, sambungan paip haram bukan sahaja menyalahi undang-undang malah memberi kesan kepada kecekapan sistem bekalan air serta menyumbang kepada peningkatan kadar NRW. Katanya, kehilangan air tidak terhasil menjadi antara cabaran utama dalam pengurusan bekalan air kerana ia menjejaskan keupayaan sistem membekalkan air kepada pengguna yang berdaftar. Sehubungan itu, beliau menegaskan operasi pemantauan dan penguatkuasaan akan diteruskan di kawasan hotspot lain sekitar Bahagian Kota Kinabalu. “Langkah ini penting bagi memastikan kelangsungan bekalan air bersih kepada pengguna yang sah serta mengurangkan aktiviti penyambungan paip tanpa kebenaran,” katanya. Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti penyambungan paip haram kerana tindakan tegas boleh diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. – Info X
June 19, 2026
Info X Reporters
UPKO komited untuk kukuhkan GRS, bangunkan Sabah – Ewon
KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan menyumbang kepada pengukuhan dan pemerkasaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memimpin, mentadbir dan membangunkan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. Komitmen itu disuarakan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick ketika mengulas penerimaan UPKO sebagai parti komponen baharu GRS susulan permohonan parti itu yang dikemukakan pada Mei lalu. Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri turut mengajak rakyat Sabah untuk bersatu di bawah GRS yang menjadi satu-satunya gabungan parti tempatan di negeri ini. “Mari semua rakyat Sabah, berpadu kita dalam gabungan parti tempatan kita sendiri – GRS untuk membina wawasan Sabah First, Sabah, Sabah Prosper, Sabah Prosper, Sabah United,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat. Pada Khamis, Hajiji yang juga Pengerusi GRS mengumumkan persetujuan sebulat suara Majlis Tertinggi GRS untuk menerima UPKO sebagai parti komponen baharu gabungan itu. Ewon berkata, beliau gembira dapat membawa UPKO ke tempat yang sepatutnya, iaitu dalam gabungan parti-parti tempatan Sabah. “Saya ucap terima kasih kepada Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan semua anggota Majlis Tertinggi GRS yang menerima keanggotaan UPKO susulan permohonan kami pada 29 Mei 2026 yang lepas. “Sebagai Presiden UPKO, saya bersukacita dapat membawa UPKO ke tempat yang sepatutnya, iaitu dalam gabungan parti-parti tempatan Sabah. “Ini mengembalikan semangat asal penubuhan negara Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), di mana parti-parti politik Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu mempunyai gabungan wilayah masing-masing dan menandatangani perjanjian menubuhkan negara ini,” katanya. ADUN Kadamaian itu berkata, hanya parti tempatan Sabah yang benar-benar memahami citra Sabah dalam membangun masa depannya melalui apa yang telah dipersetujui dalam MA63. “GRS adalah satu-satunya gabungan parti tempatan Sabah, maka sepatutnya inilah rumah sebenar parti politik dari Sabah,” katanya. GRS sebelum ini dianggotai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP), menjadikan UPKO anggota keenamnya. Selain itu, tiga parti sebelum ini meninggalkan GRS iaitu STAR, SAPP dan USNO. – Info X
June 19, 2026
Info X Reporters
89 PATI ditahan dalam operasi bersepadu di tiga daerah
KOTA KINABALU: Seramai 89 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam beberapa operasi bersepadu yang dilaksanakan di Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Sandakan. Operasi yang dijalankan bersama beberapa agensi penguat kuasa itu turut menyasarkan individu yang dipercayai melanggar undang-undang imigresen termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta menyalahgunakan pas yang dikeluarkan. JIM Sabah dalam kenyataan malam ini berkata, di Kota Kinabalu, operasi bersepadu bersama Unit Perlesenan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memeriksa seramai 234 individu sebelum menahan 15 warga asing yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen. “Daripada jumlah itu, 14 adalah warga Filipina membabitkan tujuh lelaki dan tujuh wanita dewasa, manakala seorang lagi adalah wanita warga Indonesia. “Sementara itu di Lahad Datu, operasi bersepadu bersama Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) memeriksa 141 individu dan menahan 62 warga asing. “Tangkapan membabitkan 54 warga Filipina iaitu 33 lelaki dewasa, 14 wanita dewasa, empat kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan, selain lapan warga Indonesia terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita dewasa,” katanya. Di Sandakan pula, menurutnya operasi bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa 66 individu sebelum menahan 12 warga asing. “Mereka terdiri daripada 10 warga Filipina membabitkan tiga lelaki dan tujuh wanita dewasa serta dua warga Indonesia iaitu seorang lelaki dan seorang wanita dewasa. “Semua warga asing yang ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan melanggar syarat pas,” katanya. Menurut kenyataan itu lagi, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara sentiasa terpelihara. – Info X
June 18, 2026
Info X Reporters
PRU16: GRS mungkin tanding semua 25 kerusi Parlimen
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mungkin bertanding di semua 25 kerusi Parlimen di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang dijangka tahun depan. Ia berdasarkan jawapan Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, yang menjawab ‘InsyaAllah’ apabila ditanya sama ada GRS bertanding 25 kerusi pada sidang media selepas Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Khamis. Sebelum itu, beliau mengumumkan pelantikan enam pemimpin tertinggi parti komponen GRS yang juga Timbalan Pengerusi GRS sebagai Pengerusi Zon bagi memantau jentera pilihan raya gabungan itu di semua kawasan Parlimen di Sabah. Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, pelantikan itu sebagai persediaan GRS menghadapi PRU16 dengan sasaran untuk menang besar pada pilihan raya itu nanti. “Mesyuarat hari ini kita membincangkan mengenai persiapan kita menghadapi PRU akan datang. Jadi untuk menghadapi PRU ini, kita memperkemaskan jentera parti kita di semua kawasan Parlimen di Sabah. “Untuk persiapan ini, kita juga melantik enam pengerusi zon di Sabah, tujuannya untuk melaksanakan naziran ataupun maklumat laporan persiapan bahagian mengikut zon dan banyak lagi tugas-tugas yang lain,” katanya. Beliau berkata, Zon 1 yang merangkumi Parlimen Kudat, Kota Marudu, Kota Belud dan Tuaran akan diketuainya sendiri, manakala Zon 2 yang merangkumi Parlimen Sepanggar, Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang diketuai Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Masidi Manjun. Katanya, Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman dilantik mengetuai Zon 3 yang merangkumi Parlimen Papar, Kimanis, Beaufort dan Sipitang, manakala pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam mengetuai Zon 4 yang membabitkan Parlimen Ranau, Keningau, Pensiangan dan Tenom. Sementara itu, Hajiji berkata Zon 5 yang merangkumi Parlimen Beluran, Kinabatangan, Sandakan, Batu Sapi dan Libaran diketuai Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin, manakala Zon 6 yang merangkumi Parlimen Lahad Datu, Semporna, Tawau dan Kalabakan dipengerusikan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah. “Semua presiden parti akan mengetuai enam zon ini sebagai persiapan awal untuk menghadapi Pilihan Raya Parlimen, walaupun tempoh Parlimen akan berakhir pada akhir tahun depan, tapi kita di Sabah mesti bersedia. “Kita menitikberatkan kerjasama, perpaduan di kalangan parti-parti komponen dalam GRS dan juga parti-parti rakan dalam Kerajaan Perpaduan di Sabah. Ini amat penting kerana kita mahu menang besar pada Pilihan Raya Parlimen akan datang,” katanya. – Info X
June 18, 2026
Info X Reporters
UPKO kini parti komponen GRS
KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sah diterima sebagai parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Khamis. Penerimaan permohonan parti itu diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS di SICC. Katanya, Majlis Tertinggi GRS sebulat suara bersetuju menerima permohonan UPKO sebagai parti komponen baharu gabungan berkenaan. “Kita bersetuju sebulat suara untuk menerima UPKO sebagai ahli gabungan baharu GRS, sejajar dengan perjuangan GRS iaitu Sabah United, Sabah First dan untuk memberi kekuatan kepada parti-parti gabungan tempatan serta mewujudkan kestabilan kerajaan di peringkat negeri yang sedia ada,” katanya. Keanggotaan UPKO dalam GRS, katanya berkuatkuasa serta-merta bermula pada hari ini. Hajiji berkata, selain UPKO, setakat ini tiada permohonan dari parti tempatan lain untuk menyertai GRS. Sebelum ini, Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick menyatakan hasrat parti itu menyertai GRS kepada Hajiji dan mengemukakan permohonan rasmi. UPKO adalah parti tempatan terbaharu menyertai GRS selepas tiga parti tempatan sebeluk ini meninggalkan GRS iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO). – Info X
June 18, 2026
Info X Reporters
Air ketum dalam tong ais terbongkar
RANAU: Kegiatan memproses dan menjual air ketum di sebuah kampung di daerah ini terbongkar apabila seorang lelaki tempatan diberkas bersama puluhan botol minuman berkenaan dalam serbuan, hari ini. Dalam operasi kira-kira jam 1.30 petang itu, suspek berusia 28 tahun ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau. Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, hasil pemeriksaan menemui 17 botol air mineral berkapasiti 1.5 liter dipercayai mengandungi air ketum yang disimpan di dalam sebuah bekas ais berwarna jingga. Menurutnya, polis turut merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memproses air ketum termasuk sebuah tong gas berwarna kuning, dapur memasak dan periuk. “Siasatan awal mendapati suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan memproses dan menjual air ketum di kawasan berkenaan. “Semua barang rampasan dibawa ke IPD Ranau untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana memproses dan memiliki air ketum. Katanya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali. Mursalin berkata, polis akan terus mempergiatkan operasi serta tindakan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan menyalahi undang-undang yang boleh menjejaskan kesejahteraan dan keselamatan masyarakat. “Kerjasama orang ramai amat penting dalam menyalurkan maklumat bagi membantu polis mengekang kegiatan jenayah dan penyalahgunaan bahan terlarang di daerah ini,” katanya. – Info X
June 18, 2026
Info X Reporters
Zainudin Setiausaha Kerajaan Negeri yang baharu
KOTA KINABALU: Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Datuk Zainudin Aman dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baharu berkuatkuasa mulai 29 Jun ini. Beliau menggantikan Datuk Seri Safar Untong yang akan tamat perkhidmatannya pada 28 Jun ini. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan harapan agar pelantikan beliau membolehkan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah terus maju dan berdaya saing dalam melaksanakan transformasi pentadbiran negeri Sabah. Transformasi itu, katanya penting ke arah kemajuan dan kecemerlangan yang berterusan, sekali gus memastikan dasar-dasar kerajaan berjalan dengan baik demi kemakmuran rakyat dan negeri ini. Beliau berkata kerajaan negeri merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Safar yang telah berkhidmat dengan penuh cemerlang, dedikasi, berhemah dan berintegriti, sejak menggalas tugas itu dari 2019. Safar juga dilantik sebagai Pengerusi Tanjung Aru Eco Development Sdn Bhd (TAED), sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Jabatan Ketua Menteri berkuatkuasa 1 Jun 2026. – Info X
June 18, 2026
Info X Reporters
Pelajar SMK Agama KK terbaik STPM 2025 kebangsaan
KOTA KINABALU: Seorang pelajar dari Sabah dipilih sebagai Pelajar Terbaik Kebangsaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2025 bagi Aliran Sains Sosial. Nama pelajar terbabit, Ahmad Mursyied Umair Darwis diumumkan Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin pada majlis pengumuman keputusan STPM 2025 bagi negeri Sabah, pada Khamis. Pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kota Kinabalu itu menerima wang tunai RM1,000, plak serta sijil dari Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM). Sementara itu, Raisin berkata tiga Pusat Tingkatan Enam di Sabah dipilih sebagai Pusat Tingkatan Enam terbaik peringkat kebangsaan STPM 2025. “Sukacita dimaklumkan bahawa dalam peperiksaan STPM 2025, tiga Pusat Tingkatan Enam telah dipilih sebagai Pusat Tingkatan Enam Terbaik Peringkat Kebangsaan STPM 2025. “Pusat atau Kolej Tingkatan Enam terbaik itu ialah SMK Kinabutan, Tawau bagi Kategori Mod 2 dan Mod 3, Lonjakan Prestasi Terbaik; Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu bagi Kategori Kolej Tingkatan Enam dan Kolej Tingkatan Enam Tawau,” katanya. Katanya, seramai 21 calon STPM 2025 mendapat A dalam semua lima mata pelajaran (5A), berbanding hanya tujuh calon pada STPM 2024. Pelajar mendapat 4A pula katanya menurun sedikit kepada 137 orang pada 2025, berbanding 139 orang pada STPM 2024. Secara keseluruhan, Raisin berkata seramai 8,296 calon mendaftar untuk menduduki STPM 2025, berbanding 8,356 calon yang mendaftar pada STPM 2024. “Daripada 8,296 calon yang mendaftar, sebanyak 91.99 peratus atau 7,632 calon telah hadir untuk menduduki peperiksaan STPM 2025 bagi negeri Sabah. Berdasarkan keputusan STPM 2025, katanya Sabah mencatat PNGK 2.78, berbanding 2.88 bagi PNGK Kebangsaan. “Seramai 158 calon atau 2.07 peratus calon mendapat PNGK 4.00, iaitu peningkatan seramai 12 calon berbanding 2024. “Dari segi pencapaian PNGK calon, secara keseluruhan didapati bilangan calon dan peratusan longgokan calon STPM 2025 pada PNGK 3.75 ialah 453 calon atau 5.93 peratus. “PNGK 3.00 pula menyaksikan seramai 2,411 calon atau 31.59 peratus; PNGK 2.75 ialah 1,120 calon atau 14.67 peratus dan PNGK 2.00 ialah 2,726 calon atau 35.71 peratus,” katanya. Katanya, peratusan calon STPM 2025 di Sabah yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran berbanding STPM 2024 meningkat, iaitu daripada 98.81 peratus kepada 98.87 peratus atau 7,546 calon pada 2025, dengan peningkatan 0.06 peratus. Beliau berkata, sebanyak 99.96 peratus atau 7,629 calon layak dianugerahkan Sijil STPM 2025 di Sabah. – Info X