June 18, 2026
Info X Reporters
Koperasi perlu berani buat transformasi, teroka sektor baharu – KM
KOTA KINABALU: Gerakan koperasi di Sabah perlu berani melakukan transformasi perniagaan dengan mempelbagaikan sumber pendapatan dan meneroka sektor baharu yang mampu memberi nilai tambah kepada anggota, komuniti serta ekonomi negeri. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dalam landskap ekonomi dan teknologi yang semakin kompetitif, koperasi tidak lagi boleh bergantung kepada model perniagaan tradisional semata-mata, sebaliknya perlu terus berinovasi bagi memastikan daya saing dan kelangsungan pertumbuhan. Katanya, transformasi perniagaan akan membolehkan koperasi menembusi pasaran baharu, memenuhi keperluan anggota dan pelanggan, selain memanfaatkan peluang ekonomi yang muncul selaras dengan perubahan semasa. “Kerajaan Negeri amat menggalakkan koperasi untuk terus memperkukuhkan tadbir urus, memperluaskan bidang perniagaan dan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi yang inklusif serta mampan. “Saya yakin gerakan koperasi akan terus relevan dan menjadi penyumbang penting kepada pembangunan negeri jika sentiasa bersedia berubah mengikut keperluan semasa,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Ke-49 Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) serta melancarkan akhbar komuniti Kinabalu Media di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, pada Khamis. Hajiji berkata, KOPEKS wajar dijadikan contoh kerana berani melakukan transformasi daripada hanya menjalankan perniagaan kredit kepada pelbagai sektor strategik yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi, antaranya termasuk perkhidmatan Ar-Rahnu, kesihatan, pusat dialisis, projek perumahan, import dan eksport serta penerbitan akhbar komuniti. Katanya, penerbitan Kinabalu Media membuktikan komitmen KOPEKS memperkukuhkan budaya ilmu dan menyediakan platform penyampaian maklumat yang sahih kepada masyarakat, serta satu sumbangan penting dalam memperkukuhkan industri persuratkhabaran di Sabah. “Dalam era media digital yang berkembang pesat, penerbitan bercetak masih mempunyai peranan penting menyediakan laporan yang lebih mendalam, analisis yang berkualiti dan dokumentasi pelbagai isu semasa. “Kerajaan Negeri melihat mediasebagai rakan strategik dalam usaha membangunkan negeri serta memperkukuhkan perpaduan rakyat, termasuk menjayakan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0,” katanya. Mengulas perkembangan sektor kesihatan yang diceburi KOPEKS, Hajiji berkata langkah koperasi itu mengambil alih beberapa klinik swasta membolehkan ahli menikmati kemudahan rawatan pada kadar berpatutan, sekali gus membuktikan koperasi mampu memainkan peranan lebih besar dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat. Beliau turut menyambut baik perancangan KOPEKS menubuhkan pusat dialisis memandangkan keperluan terhadap perkhidmatan itu semakin meningkat dengan jumlah pesakit buah pinggang di Sabah kini melebihi 2,000 orang. Katanya, Kerajaan Negeri sendiri telah menyumbang 100 unit mesin hemodialisis bernilai RM4.5 juta kepada 23 hospital kerajaan dan dua klinik kesihatan di seluruh Sabah pada 2024 bagi membantu meningkatkan akses rawatan kepada rakyat. “Saya berharap pusat dialisis yang bakal diwujudkan nanti menawarkan caj yang berpatutan bagi membantu meringankan beban pesakit,” katanya. Ketua Menteri berkata langkah KOPEKS meneroka bidang import dan eksport, khususnya ke Brunei Darussalam, merupakan strategi tepat bagi membuka peluang perdagangan rentas sempadan, memperluaskan pasaran produk tempatan serta memperkukuhkan jaringan kerjasama serantau. Beliau berkata, usaha berkenaan selaras dengan agenda Sabah Maju Jaya yang memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi yang inklusif, mampan dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat. – Info X
June 18, 2026
Info X Reporters
Ajal dalam perjalanan pulang ke rumah
KENINGAU: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas sebelum terbalik di Jalan Dabata, Tambunan, tengah malam tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, mangsa, Betus Yussof, 52, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala. Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, siasatan awal mendapati mangsa memandu sebuah Toyota Hilux dari arah Tambunan menuju ke kediamannya di Kampung Rompon, Tambunan. Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian yang merupakan jalan selekoh menaiki bukit, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas sendiri dan terbalik di bahu kiri jalan. “Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Tambunan. “Pemeriksaan di lokasi turut mendapati kenderaan terbabit mengalami kerosakan teruk termasuk tayar hadapan kiri tercabut selain kerosakan pada bahagian bonet, bampar dan fender hadapan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Keningau untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian. Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Info X
June 18, 2026
Info X Reporters
1,088 pelajar baharu Program Asasi mendaftar di UMS
KOTA KINABALU: Seramai 1,088 pelajar baharu Program Asasi Universiti Malaysia Sabah (UMS) diambil mengikuti pengajian bagi sesi akademik 2026/2027. Kemasukan pelajar terbabit bermula Isnin lalu, didahului dengan program Minggu Suai Mesra (MSM) selama dua hari hingga Selasa. Majlis penutupan MSM yang diadakan di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2 UMS disempurnakan Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor. Dalam ucapannya, Kasim menzahirkan ucapan tahniah kepada pelajar baharu yang berjaya melanjutkan pengajian ke UMS. Beliau turut mengingatkan pelajar agar memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan, termasuk penglibatan dalam aktiviti kurikulum dan kokurikulum bagi membina keyakinan diri serta jati diri sebagai mahasiswa. Sementara itu, Pengarah Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST), Prof Madya Dr Newati Wid berkata, jumlah pelajar kali ini mencerminkan komitmen UMS dalam melahirkan bakat berpotensi dari seluruh negara dalam empat program asasi iaitu Asasi Sains, Asasi Teknologi Maklumat, Asasi Agrisains dan Asasi Sains Sosial. “Program asasi berperanan sebagai fasa peralihan penting daripada alam persekolahan kepada budaya pembelajaran universiti yang menuntut pemikiran lebih matang dan kritis sebelum melangkah ke peringkat ijazah,” katanya. Sempena majlis itu, pelajar baharu turut melafaz ikrar sebagai simbol komitmen terhadap nilai integriti, disiplin dan kecemerlangan. – Info X
June 18, 2026
Info X Reporters
64 PATI ditahan, kerugian utiliti cecah RM623,450 di Lahad Datu
LAHAD DATU: Seramai 64 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dan Indonesia ditahan dalam Operasi Bersepadu Daerah Lahad Datu yang diselaraskan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) selama dua hari bermula 16 Jun lalu. Operasi yang membabitkan 262 pegawai dan anggota pelbagai agensi itu turut mengesan pelbagai pelanggaran undang-undang melibatkan sektor pekerjaan, imigresen, pelesenan perniagaan, trafik, utiliti dan perkastaman. Nilai keseluruhan penguatkuasaan, kompaun serta rampasan yang direkodkan dalam operasi berkenaan dianggarkan mencecah RM623,450. Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, operasi berkenaan dilaksanakan bagi memastikan pematuhan undang-undang di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE), selain membanteras kehadiran PATI dan aktiviti ekonomi tidak sah. Katanya, operasi ini turut bertujuan melindungi peluang pekerjaan rakyat tempatan, memastikan persaingan perniagaan yang adil serta mengelakkan ketirisan hasil kerajaan akibat aktiviti yang dijalankan tanpa mematuhi peruntukan undang-undang. “ESSCOM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan melanggar undang-undang sehingga menjejaskan keselamatan, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat di ESS Zone. “Pemeriksaan yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ke atas 247 individu di kawasan bandar, pinggir bandar dan kampung sekitar Lahad Datu mendapati 64 daripadanya adalah PATI,” katanya dalam kenyataan hari ini. Menurutnya, semua individu terbabit diserahkan kepada JIM Lahad Datu untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah. Dalam operasi sama, katanya, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengeluarkan 11 kompaun dan memulakan dua tindakan pendakwaan membabitkan nilai penguatkuasaan RM133,000 atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Kerja 1955. “Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pula mengeluarkan 10 saman, sembilan notis penguatkuasaan dan tiga kompaun, manakala Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu mengeluarkan 32 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya. “Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD) turut mengeluarkan kompaun RM500 dan menyita pelbagai barangan jualan tanpa lesen bernilai RM1,150,” katanya. Sementara itu, katanya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas rokok seludup dan minuman keras tanpa lesen bernilai RM30,000. Dalam pada itu, Victor berkata, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) merampas 150 kilogram kabel sambungan haram serta 23 unit pam air yang menggunakan bekalan elektrik secara tidak sah dengan nilai rampasan RM14,800. “SESB menganggarkan kerugian hasil akibat sambungan haram berkenaan mencecah RM429,600 setahun,” katanya. Beliau berkata, kejayaan operasi itu membuktikan pendekatan penguatkuasaan bersepadu yang menggabungkan elemen keselamatan, penguatkuasaan undang-undang dan kawal selia mampu mengesan pelbagai pelanggaran yang memberi kesan kepada keselamatan, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat. “Selaras dengan hasrat ESSCOM iaitu ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’, agensi ini akan terus memperhebat operasi bersepadu bagi mengekang sebarang elemen jenayah rentas sempadan serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Sabah Timur kekal selamat dan terkawal,” katanya. – Info X
June 17, 2026
Info X Reporters
Pelancong Jerman meninggal dunia ketika snorkeling
LAHAD DATU: Kegembiraan seorang pelancong warga Jerman menikmati aktiviti snorkeling di perairan Pulau Sakar, di sini, berakhir tragedi apabila dia meninggal dunia selepas dipercayai pengsan ketika berada di laut, pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Kenneth Ray Crouse, 78, dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum rakannya bertindak memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) di lokasi kejadian. Pengarah Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, Pusat Operasi Maritim Zon Lahad Datu menerima maklumat daripada pemandu bot berhubung insiden berkenaan sebelum operasi pemindahan perubatan (MEDEVAC) segera diaktifkan. Menurutnya, susulan laporan diterima, bot Cenderawasih 02 yang sedang menjalankan operasi berhampiran lokasi diarahkan ke kawasan kejadian bagi mengambil mangsa untuk dibawa ke Jeti Perikanan Lahad Datu. “Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan lanjut. “Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan ketika menerima rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini. Katanya, Maritim Malaysia mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti rekreasi di laut, terutama melibatkan warga emas atau individu yang mempunyai masalah kesihatan. Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kecemasan atau kejadian di laut kepada Pusat Operasi Maritim Zon Lahad Datu bagi tindakan segera. – Info X
June 17, 2026
Info X Reporters
Dua anak jati Papar dinobat Tokoh Maal Hijrah 1448
KOTA KINABALU: Dua anak jati dari daerah Papar dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah sempena sambutan Maal Hijrah 1448 H / 2026 Masihi di Dewan Sa’adah, Wisma MUIS, di sini, pada Rabu. Kedua-dua mereka, Datuk Ag Sharin Alimin dan Datuk Masnah Matsalleh, masing-masing dinobatkan Tokoh Maal Hijrah 1448 bagi kategori lelaki dan wanita. Anugerah disampaikan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman. Ag Sharin, 73, memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang Usuluddin dan Kemasyarakatan Islam serta Diploma Pentadbiran Kehakiman Islam selain mengikuti pengajian dan latihan dalam bidang kaunseling di dalam dan luar negara. Sepanjang perjalanan kerjayanya, beliau menyumbang secara signifikan kepada pembangunan masyarakat melalui pembinaan dan penambahbaikan kemudahan awam seperti masjid, dewan dan bilik kuliah. Di peringkat negeri, beliau dikenali sebagai seorang tokoh yang berpengalaman luas dalam pentadbiran awam, penyelarasan antara agensi serta penggubalan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat Sabah. Komitmen beliau terhadap integriti, profesionalisme dan kecemerlangan dalam perkhidmatan awam turut diiktiraf melalui penganugerahan Pingat Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) pada 2001. Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah berkhidmat di pelbagai jabatan, antaranya di Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Jabatan Ketua Menteri dan Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah. Sementara itu, Masnah, 65, memperoleh pendidikan awal di Maktab Sabah, sebelum melanjutkan pengajian di Institut Teknologi MARA (ITM), Shah Alam dan meraih Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Edith Cowan University, Australia. Sepanjang lebih tiga dekad berkhidmat dalam perkhidmatan awam Negeri Sabah, beliau memegang pelbagai jawatan penting termasuk sebagai Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah. Antara sumbangan besar beliau ialah penubuhan Unit Bantuan Guaman Hal Ehwal Wanita dan memulakan operasi Rumah Perlindungan Wanita Sabah, selain memperkasakan pembangunan modal insan dan tadbir urus pihak berkuasa tempatan di negeri ini. Ketika pandemik COVID-19, beliau turut memainkan peranan penting sebagai Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 Sabah, memastikan pelaksanaan program vaksinasi berjalan lancar di seluruh seluruh negeri. Beliau kini menyumbang di peringkat nasional sebagai Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia dalam usaha memperkukuh pengurusan dan pembangunan perkhidmatan awam negara. Beliau dikurniakan beberapa darjah kebesaran negeri, termasuk Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) pada 2019 yang membawa gelaran Datuk. – Info X
June 17, 2026
Info X Reporters
Generasi muda Islam perlu terapkan semangat hijrah – Tun Musa
KOTA KINABALU: Semangat hijrah amat penting untuk diterapkan dalam kalangan generasi muda Islam agar mereka sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan sahsiah diri. Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, berkata generasi muda juga mesti bijak memanfaatkan kemudahan digital untuk tujuan yang berfaedah seperti pembelajaran, pembangunan kemahiran dan keusahawanan. Tun Musa menekankan, gejala sosial yang merosakkan masa depan serta menjejaskan potensi diri, mesti dijauhi. “Dengan berbekalkan semangat hijrah, generasi muda mampu menjadi pemimpin yang berwibawa, berintegriti dan bertanggungjawab dalam membangunkan negara. “Mudah-mudahan dengan semangat hijrah yang dipandu oleh nilai keimanan, integriti dan ihsan, Sabah terus melakar kemajuan yang diberkati Allah SWT serta menjadi negeri yang damai, harmoni dan sejahtera,” katanya dalam perutusan sempena Sambutan Maal Hijrah 1448 peringkat negeri, pada Rabu. Tun Musa berkata, Peristiwa Hijrah juga memberikan pengajaran bahawa kejayaan bukan lahir daripada keselesaan tetapi daripada pengorbanan, kesabaran dan keyakinan terhadap pertolongan Allah SWT. Jelasnya, semangat hijrah yang dipelopori oleh Nabi Muhammad SAW sangat perlu untuk dihidupkan lebih-lebih lagi dalam mendepani cabaran dunia moden yang semakin kompleks. “Umat Islam mesti berhijrah daripada budaya menyalahkan kepada budaya menyumbang, daripada sikap mementingkan diri kepada sikap kebersamaan serta daripada kelemahan ilmu kepada kecemerlangan pengetahuan. Inilah roh hijrah yang perlu diterjemahkan dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya. Mengenai sambutan Maal Hijrah, Tun Musa berkata umat Islam melangkah ke tahun baharu 1448 Hijrah dengan penuh keinsafan dan harapan untuk melakukan perubahan yang positif dalam setiap aspek kehidupan. Katanya, langkah itu selaras dengan intipati peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah. “Hijrah yang dimaksudkan, bukan sekadar perpindahan tempat, akan tetapi merupakan satu titik perubahan besar yang membawa kepada pembentukan masyarakat Islam yang progresif, bersatu padu, berdisiplin serta berakhlak mulia. “Semangat hijrah seperti inilah yang perlu kita hayati dan dijadikan inspirasi dalam melayari bahtera kehidupan seharian,” katanya. Tegasnya, hijrah bukan sekadar catatan sejarah yang diperingati setiap kali tibanya tahun baharu Islam, sebaliknya adalah perjalanan jiwa yang mengajar manusia bahawa setiap perubahan yang besar bermula dengan keberanian meninggalkan amalan atau perbuatan yang boleh menghalang kemajuan. “Sebagai mana Rasulullah SAW meninggalkan Kota Mekah, demi mempertahankan akidah dan membina tamadun Islam yang gemilang di Madinah, demikian jugalah umat Islam hari ini, dituntut untuk berhijrah daripada kelemahan kepada kekuatan, daripada perpecahan kepada persaudaraan dan daripada kelalaian kepada ketaatan terhadap Allah SWT,” katanya. Sambutan Maal Hijrah 1448H di Dewan Saadah, Wisma MUIS itu turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. – Info X
June 17, 2026
Info X Reporters
Arwah Jasmin dalam pertimbangan naik pangkat SAC
TAWAU: Ketua Polis Daerah Tawau, Allahyarham Asisten Komisioner Polis (ACP) Jasmin Hussin yang meninggal dunia awal pagi tadi, dilaporkan berada dalam pertimbangan untuk kenaikan pangkat sebagai Senior Asisten Komisioner (SAC). Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, Allahyarham antara pegawai kanan polis yang berpotensi besar untuk terus melangkah lebih jauh dalam kerjayanya berdasarkan prestasi cemerlang, pengalaman luas serta komitmen tinggi yang ditunjukkan sepanjang perkhidmatan. Menurutnya, pemergian Allahyarham bukan sahaja dirasai keluarga dan warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, malah menjadi kehilangan besar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Kontinjen Sabah. “Arwah seorang pegawai yang amat berdedikasi dan berpotensi untuk maju lagi dalam kerjayanya. “Beliau antara pegawai yang paling senior dalam pangkat ACP di Kontinjen Sabah dan namanya memang antara yang disebut-sebut untuk memegang jawatan lebih tinggi,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham di kediaman keluarganya di Kampung Sungai Gading, Batu 17, Jalan Apas, Wakuba, di sini, hari ini. Jauteh berkata, Allahyarham turut berada dalam pertimbangan untuk kenaikan pangkat SAC sebelum pemergiannya. “Ini satu kehilangan yang amat besar kepada PDRM, khususnya Kontinjen Sabah kerana beliau antara pegawai yang boleh diketengahkan untuk memegang jawatan lebih mencabar pada masa depan. “Pemergian beliau pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada pasukan dan masyarakat yang pernah menerima khidmatnya,” katanya. Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat setempat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta warga PDRM yang tampil menghulurkan bantuan kepada keluarga Allahyarham. Katanya, keluarga Allahyarham akan menerima pelbagai bentuk bantuan kebajikan yang disediakan oleh PDRM termasuk menerusi tabung khairat dan bantuan kewangan lain. “Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bersama-sama membantu keluarga arwah pada saat sukar ini. “Saya berharap ahli keluarga Allahyarham terus tabah menghadapi ujian ini dan menerima ketentuan Ilahi dengan penuh reda,” katanya. Terdahulu, Allahyarham Jasmin, 53, meninggal dunia pada jam 2.04 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Tawau. Mengulas mengenai punca kematian, Jauteh berkata pihaknya masih menunggu laporan rasmi bedah siasat daripada pihak hospital. “Setakat ini laporan postmortem belum diterima lagi,” katanya. – Info X