June 17, 2026
Info X Reporters
Arwah Jasmin dalam pertimbangan naik pangkat SAC
TAWAU: Ketua Polis Daerah Tawau, Allahyarham Asisten Komisioner Polis (ACP) Jasmin Hussin yang meninggal dunia awal pagi tadi, dilaporkan berada dalam pertimbangan untuk kenaikan pangkat sebagai Senior Asisten Komisioner (SAC). Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, Allahyarham antara pegawai kanan polis yang berpotensi besar untuk terus melangkah lebih jauh dalam kerjayanya berdasarkan prestasi cemerlang, pengalaman luas serta komitmen tinggi yang ditunjukkan sepanjang perkhidmatan. Menurutnya, pemergian Allahyarham bukan sahaja dirasai keluarga dan warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, malah menjadi kehilangan besar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Kontinjen Sabah. “Arwah seorang pegawai yang amat berdedikasi dan berpotensi untuk maju lagi dalam kerjayanya. “Beliau antara pegawai yang paling senior dalam pangkat ACP di Kontinjen Sabah dan namanya memang antara yang disebut-sebut untuk memegang jawatan lebih tinggi,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham di kediaman keluarganya di Kampung Sungai Gading, Batu 17, Jalan Apas, Wakuba, di sini, hari ini. Jauteh berkata, Allahyarham turut berada dalam pertimbangan untuk kenaikan pangkat SAC sebelum pemergiannya. “Ini satu kehilangan yang amat besar kepada PDRM, khususnya Kontinjen Sabah kerana beliau antara pegawai yang boleh diketengahkan untuk memegang jawatan lebih mencabar pada masa depan. “Pemergian beliau pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada pasukan dan masyarakat yang pernah menerima khidmatnya,” katanya. Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat setempat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta warga PDRM yang tampil menghulurkan bantuan kepada keluarga Allahyarham. Katanya, keluarga Allahyarham akan menerima pelbagai bentuk bantuan kebajikan yang disediakan oleh PDRM termasuk menerusi tabung khairat dan bantuan kewangan lain. “Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bersama-sama membantu keluarga arwah pada saat sukar ini. “Saya berharap ahli keluarga Allahyarham terus tabah menghadapi ujian ini dan menerima ketentuan Ilahi dengan penuh reda,” katanya. Terdahulu, Allahyarham Jasmin, 53, meninggal dunia pada jam 2.04 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Tawau. Mengulas mengenai punca kematian, Jauteh berkata pihaknya masih menunggu laporan rasmi bedah siasat daripada pihak hospital. “Setakat ini laporan postmortem belum diterima lagi,” katanya. – Info X
June 17, 2026
Info X Reporters
Ketua Polis Daerah Tawau meninggal dunia
TAWAU: Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, 53, meninggal dunia pada jam 2.04 pagi tadi ketika menerima rawatan di Hospital Tawau. Pemergian Allahyarham dimaklumkan menerusi kenyataan di Facebook rasmi IPD Tawau yang turut memaklumkan urusan pengurusan jenazah akan dilaksanakan di Tawau sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 16, Jalan Apas. Jenazah Allahyarham dijangka dibawa ke Masjid As-Salam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau sejurus selesai proses bedah siasat dan pengurusan jenazah. Selepas itu, jenazah akan dibawa ke kediaman keluarga di Kampung Sungai Gading, Batu 17, Jalan Apas, Wakuba, bagi menunggu ketibaan anak Allahyarham yang dijangka tiba di Lapangan Terbang Tawau pada jam 12.30 tengah hari selepas transit di Kota Kinabalu. Jenazah kemudiannya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 16, Jalan Apas. Pemergian Allahyarham disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya warga IPD Tawau yang pernah berkhidmat bersama beliau. Orang ramai turut diajak mendoakan agar Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, melimpahkan rahmat ke atas rohnya serta menempatkan beliau dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah. – Info X
June 17, 2026
Info X Reporters
Pemergian KPD Tawau satu kehilangan besar buat PDRM Sabah: Jauteh
KOTA KINABALU: Pemergian Ketua Polis Daerah (KPD) Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Kontinjen Sabah. Allahyarham meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Tawau pada Rabu dan berita pemergiannya mengundang rasa dukacita dalam kalangan warga pasukan keselamatan serta masyarakat setempat. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun bersama isteri, Datin Nurhayatie Farhana Abdullah selaku Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Sabah serta seluruh warga PDRM Sabah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. Jauteh menerusi perkongsian di laman rasmi Facebook Polis Sabah menyatakan Allahyarham dikenali sebagai seorang pegawai yang berdedikasi, berintegriti dan sentiasa komited dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab kepada pasukan dan masyarakat. “Sepanjang perkhidmatannya sebagai Ketua Polis Daerah Tawau, Allahyarham turut dikenali kerana sifat mesra, rendah diri dan mudah didekati sehingga disenangi rakan setugas serta masyarakat. “Pemergian Allahyarham bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada warga PDRM, malah menjadi kehilangan besar kepada komuniti yang pernah menerima khidmat dan kepimpinan beliau,” katanya. Beliau memaklumkan bahawa kebajikan keluarga Allahyarham akan diberi keutamaan, selain bantuan sewajarnya disalurkan sehingga urusan pengkebumian selesai. Seluruh warga PDRM Sabah turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh. Jasa dan pengorbanan Allahyarham dalam menjaga keamanan serta kesejahteraan masyarakat akan terus dikenang sebagai legasi perkhidmatan yang cemerlang. – Info X
June 16, 2026
Info X Reporters
Empat ditahan disyaki rogol remaja secara bergilir-gilir
LAHAD DATU: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dipercayai menjadi mangsa rogol empat lelaki termasuk seorang warga asing dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Batu 1, Jalan Segama, di sini, bulan lalu. Dalam keiadian kira-kira iam 2 pagi pada 9 Mei lalu, mangsa dikatakan sedang tidur bersendirian di dalam bilik rumah berkenaan sebelum didatangi suspek yang kemudian memaksanya melakukan hubungan seks. Lebih menyayat hati, mangsa dipercayai dirogol secara bergilir – gilir oleh semua suspek yang berusia lingkungan 20-an. Difahamkan, kejadian itu bagaimanapun hanya diketahui keluarga mangsa beberapa hari kemudian sebelum laporan polis dibuat. Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, susulan laporan diterima, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan tiga lelaki tempatan serta seorang warga asing berusia lingkungan 20-an. “Semua suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media, malam ini. Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergaulan serta rakan-rakan anak masing-masing bagi mengelakkan mereka terdedah kepada gejala sosial dan menjadi mangsa jenayah. – Info X
June 16, 2026
Info X Reporters
Penternak babi kecil-kecilan diberi bantuan makanan ternakan – Jamawi
TENOM: Kerajaan negeri akan memperkenalkan bantuan sekali beri (one-off) dalam bentuk bekalan makanan kepada penternak babi berskala kecil di negeri ini bagi membantu mengurangkan kos operasi dan meningkatkan pengeluaran ternakan. Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar, berkata bantuan itu akan disalurkan kepada penternak yang memelihara 50 ekor babi dan ke bawah. Beliau berkata, langkah berkenaan dilaksanakan selepas mendapati industri ternakan babi sebelum ini kurang mendapat perhatian berbanding sektor ternakan lain. “Sebelum ini tidak pernah kita bagi bantuan kepada penternak babi kecil-kecilan. Kita bantu lembu, kambing, ayam dan ikan, tetapi industri ini terlepas pandang,” katanya. Katanya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah sudah diarahkan untuk menyediakan peruntukan khas bagi melaksanakan bantuan itu dalam tempoh terdekat. “Kita akan cuba usahakan supaya mereka juga mendapat bantuan daripada kerajaan dalam bentuk makanan ternakan,” katanya. Beliau berkata, bantuan itu penting memandangkan harga produk berasaskan babi seperti sinalau bakas (daging salai) semakin meningkat dan membebankan pengguna. “Kita tahu sekarang ramai orang mengeluh kerana harga sinalau bakas sudah mencecah kira-kira RM47 sekilogram,” katanya. Jamawi yang juga ADUN Melalap berkata, kenaikan harga turut dipengaruhi kekurangan bekalan selepas kawalan pemburuan babi hutan dilaksanakan sejak dua tahun lalu susulan ancaman penyakit. Katanya, kerajaan negeri masih mengekalkan larangan pemburuan babi hutan bagi memastikan populasi haiwan itu kembali pulih. Dalam usaha memenuhi permintaan pasaran, beliau berkata, kerajaan membenarkan enam syarikat mengimport daging babi dari luar negara, antaranya dari Denmark dan Norway. “Setiap pengimport dibenarkan membawa masuk dua kontena dan secara keseluruhannya kira-kira 10 kontena akan masuk setiap bulan bagi memenuhi keperluan tempatan,” katanya. Bagaimanapun, beliau menegaskan Kerajaan tetap komited mempertahankan industri ternakan babi tempatan melalui pelbagai bentuk bantuan termasuk bantuan makanan kepada penternak kecil. “Mudah-mudahan apabila populasi babi hutan semakin meningkat, kita akan dapat membuka semula aktiviti pemburuan secara terkawal, manakala industri ternakan tempatan terus berkembang,” katanya. – Info X
June 16, 2026
Info X Reporters
14 inisiatif pendidikan diteruskan
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyatakan komitmen berterusan untuk memperkukuh agenda pendidikan menerusi pelaksanaan pelbagai bantuan dan tajaan bagi memastikan lebih ramai anak negeri ini mendapat akses kepada pendidikan berkualiti. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan pendidikan merangkumi peringkat awal kanak-kanak sehingga ke institusi pengajian tinggi. Sehubungan itu, beliau berkata, sebanyak 14 inisiatif bantuan pendidikan yang diperkenalkan sejak 2021 hingga 2025 akan diteruskan bagi meringankan beban pelajar dan keluarga di negeri ini. “Antara bantuan yang disediakan termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA), Bantuan Yuran Peperiksaan (BAYU), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) serta Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI),” katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik (MEKAR) Ke-14 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Selasa. Teks ucapan beliau disampaikan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk James Ratib. Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri turut memperkenalkan Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS) sebagai platform bersepadu bagi menghimpunkan pelbagai badan penaja pendidikan di bawah satu sistem. Katanya, PTPS memudahkan proses permohonan tajaan pendidikan agar lebih cepat, efisien dan mesra pengguna, sekali gus memastikan lebih ramai pelajar dapat menikmati manfaat bantuan yang disediakan. Sehubungan itu, beliau menegaskan supaya maklumat berkaitan semua inisiatif pendidikan itu diperluaskan sehingga ke peringkat akar umbi bagi memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada menerima bantuan kerajaan. Pada masa sama, katanya kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan dalam memperkukuh prasarana pendidikan, memperluas pembangunan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain mempercepat agenda pendigitalan pendidikan bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dan berdaya saing. – Info X
June 16, 2026
Info X Reporters
Kerjasama negeri, Persekutuan perlu diperkukuh tangani isu pendidikan di Sabah
KOTA KINABALU: Kerjasama di antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam sektor pendidikan perlu terus diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan dasar serta pembangunan pendidikan di Sabah dapat diselaraskan dengan lebih berkesan. Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk James Ratib, berkata hubungan yang lebih erat di antara kedua-dua pihak penting bagi memastikan perkongsian maklumat berjalan lancar, sekali gus membolehkan pelbagai isu berkaitan pendidikan ditangani dengan lebih cepat dan menyeluruh. Beliau berkata, penambahbaikan kerjasama itu bukan bermakna hubungan sedia ada tidak memadai, sebaliknya bertujuan memperkukuhkan saluran komunikasi supaya kerajaan negeri sentiasa mendapat maklumat terkini mengenai perkembangan sektor pendidikan, termasuk projek sekolah yang mengalami kelewatan atau terbengkalai. “Kita mahu kolaborasi antara kerajaan negeri dan Persekutuan dipereratkan lagi supaya segala maklumat dan informasi dapat dikongsi dengan lebih baik. Dengan itu, kerajaan negeri dapat memahami isu yang berlaku dan membantu mencari penyelesaian bersama pihak berkaitan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik (MEKAR) Ke-14 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Selasa. James berkata, isu seperti projek sekolah terbengkalai memerlukan kerjasama rapat di antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan punca masalah dapat dikenal pasti serta diselesaikan dengan segera. Katanya, kerajaan negeri mempunyai peranan penting dalam membantu melancarkan pelaksanaan projek pembangunan pendidikan memandangkan beberapa aspek pentadbiran dan kawal selia masih berada di bawah bidang kuasa negeri. Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya sebarang prosedur atau peraturan yang boleh melambatkan aliran komunikasi antara pegawai di peringkat negeri dan Persekutuan diteliti semula bagi meningkatkan kecekapan penyampaian maklumat. “Apabila komunikasi lebih lancar, setiap isu yang timbul dapat dikenal pasti lebih awal dan tindakan penyelesaian dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan demi kepentingan sektor pendidikan di Sabah,” katanya. – Info X
June 16, 2026
Info X Reporters
Dua rumah musnah, satu lagi sempat diselamatkan
KOTA KINABALU: Dua rumah jenis separuh kekal di Kampung Bantayan, Inanam, di sini, dilaporkan musnah selepas terbakar, petang tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, sebuah lagi rumah hanya mengalami kerosakan di bahagian garaj selepas api kebakaran berjaya dikawal pasukan bomba. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Penguasa Bomba Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada jam 3.27 petang. Katanya, sepasukan 20 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian. “Setibanya di lokasi, kebakaran didapati melibatkan tiga rumah jenis separuh kekal dan tiada mangsa yang dilaporkan terlibat. “Pasukan Bomba terus bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran 60 meter dengan tiga pancutan dari sumber air jentera Bomba dan pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 4 petang sebelum berjaya dipadamkam sepenuhnya sejurus selepas itu. Katanya, pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula. “Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 5.09 petang,” katanya. – Info X