June 16, 2026
Info X Reporters
Kebun Sekolah bakal diperluas tahun depan – Jamawi
TENOM: Selepas Kebun Dapur, program Kebun Sekolah pula bakal diperkenalkan dan diperluaskan mulai tahun depan bagi memupuk kesedaran mengenai keterjaminan makanan dan keusahawanan pertanian dalam kalangan pelajar. Mengumumkan inisiatif baharu itu, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar, berkata cadangan itu sudah dikemukakan kepada Jabatan Pendidikan Sabah untuk dilaksanakan melalui kerjasama dengan kementeriannya. Beliau berkata, beberapa sekolah yang menawarkan mata pelajaran pertanian di Tingkatan Empat juga sudah memulakan inisiatif berkenaan. “Namun begitu, ada juga sekolah-sekolah yang tidak mempunyai subjek pembelajaran pertanian. Jadi kita minta supaya PIBG bergerak aktif membantu pihak sekolah dan pihak kami akan memberikan khidmat nasihat,” katanya. Beliau berkata demikian pada sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Guru di SM St Anthony, di sini, pada Selasa. Jamawi yang juga ADUN Melalap berkata, semua pegawai pertanian dan agensi di bawah kementeriannya sudah diarahkan untuk membantu sekolah yang berminat melaksanakan projek kebun sekolah. “Saya telah mengarahkan semua pegawai pertanian dan juga pegawai agensi di bawah kementerian untuk membantu sekolah. “Sekiranya ia berjalan secara teratur dan mendapat kerjasama semua pihak, mungkin kita akan gerakkan secara besar-besaran pada tahun hadapan,” katanya. Jamawi berkata, bagi tahun ini tumpuan diberikan kepada usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pertanian dalam kalangan generasi muda. Katanya, keterjaminan makanan perlu dipupuk sejak awal supaya pelajar memahami pertanian bukan sahaja sumber makanan tetapi juga satu bidang perniagaan yang berpotensi menjana pendapatan. “Keterjaminan makanan ini harus bermula daripada peringkat awal supaya anak-anak kita memahami bahawa pertanian adalah satu perniagaan dan memberikan makanan kepada semua orang di sekeliling masyarakat kita,” katanya. Beliau turut menjelaskan pendekatan kementeriannya yang memberi penekanan kepada kerja lapangan dengan nisbah 60 peratus di lapangan dan 40 peratus di pejabat. Katanya, pendekatan itu membolehkan pegawai melihat sendiri masalah di lapangan dan menyelesaikannya dengan lebih berkesan. “Saya mahu memasyarakatkan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan kepada orang kampung kerana merekalah pengguna dan pengeluar utama hasil pertanian, perikanan serta makanan,” katanya. Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kementeriannya juga sedang bersiap sedia melancarkan platform digital kebundapur.com bagi membantu pengusaha pertanian memasarkan hasil mereka secara terus kepada pengguna. Katanya, platform itu dijangka mengurangkan peranan orang tengah sekali gus meningkatkan pulangan kepada petani, penternak dan nelayan. Sebelum ini, Jamawi memperkenalkan inisiatif Kebun Dapur sebagai galakan kepada orang ramai untuk mengusahakan kebun sendiri bagi memenuhi keperluan bahan makanan keluarga atau dijual jika hasilnya banyak. Dalam acara berasingan, Jamawi merasmikan Mural Tenom Moonsoi Onsoi yang dihasilkan sekumpulan anak muda Tenom yang aktif dalam seni lukis. – Info X
June 16, 2026
Info X Reporters
Lelaki ditemui mati selepas pintu rumah berkunci dibuka bomba
KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga ditemui mati dalam sebuah rumah berkunci di Kingfisher Park 2, Lorong Raja Udang, di sini, tengah hari tadi. Mayat Ho Sui Lo @ Ho Sui Kei, 76, ditemui selepas pintu rumah terbabit dibuka dengan bantuan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas. Ketua BBP Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.18 tengah hari untuk membantu membuka pintu rumah yang berkunci itu. “Sebaik pintu berjaya dibuka, seorang lelaki ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi. “Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, selepas memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 1.29 petang. – Info X
June 16, 2026
Info X Reporters
RM339.16 juta untuk program SYUKUR tahun ini
TUARAN: Kerajaan Negerimeneruskan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) pada tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM339.16 juta sebagai salah satu instrumen utama di bawah agenda pembasmian kemiskinan negeri. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata bantuan itu distruktur semula pada tahun ini kepada kadar RM200 sebulan sebagai bantuan pelengkap kepada inisiatif Kerajaan Persekutuan menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta bantuan kewangan lain yang tersedia. “Penstrukturan semula program SYUKUR ini membolehkan jumlah penerima diperluaskan daripada 100,000 penerima pada tahun lalu kepada 140,000 penerima pada tahun ini. “Ini sekali gus memastikan lebih ramai rakyat Sabah mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan ini,” katanya pada majlis pelancaran program Outreach Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) daerah Tuaran di Dewan Sri Sulaman, di sini, pada Selasa. Katanya, bayaran SYUKUR dibuat secara berfasa dengan setiap fasa dibayar secara ‘lump-sum’ bagi tempoh tiga bulan iaitu sebanyak RM600 yang akan dikreditkan ke akaun bagi yang mempunyai nombor akaun dan kepada penerima bantuan secara tunai. Pada dasarnya, beliau berkata program SYUKUR mula dibayar kepada penerima yang layak pada 11 Mac 2026 lalu bagi Fasa 1 dan pembayaran Fasa 2 secara dalam talian juga mula dikreditkan ke akaun penerima bermula pada 23 Mei 2026 yang lalu. “Saya amat berbesar hati untuk memaklumkan bahawa pembayaran SYUKUR Fasa 2 bagi agihan pertama secara tunai akan dibuka bermula 18 Jun 2026 (Khamis) sehingga 23 Jun 2026 (Selasa) kepada penerima yang layak di seluruh negeri melibatkan seramai 17,848 penerima. “Pembayaran ini melibatkan bantuan sebanyak RM600 secara sekali gus bagi tempoh April hingga Jun 2026. “Saya berharap bantuan yang diterima ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memenuhi keperluan asas keluarga, pendidikan anak-anak serta perbelanjaan harian yang semakin mencabar,” katanya. Sementara itu, beliau berkata program outreach amat penting untuk memberi ruang kepada kerajaan turun padang mendekati rakyat, memahami cabaran yang dihadapi dan memastikan segala bentuk bantuan dan inisiatif kerajaan sampai kepada golongan yang memerlukan. – Info X
June 16, 2026
Info X Reporters
Christina terima Anugerah Persekutuan Pertubuhan Kejuruteraan ASEAN
KOTA KINABALU: Bekas Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Christina Liew menerima penghargaan daripada Persekutuan Pertubuhan Kejuruteraan ASEAN (AFEO) dan Institut Jurutera Malaysia (IEM) atas sumbangan beliau sebelum ini. Penghargaan itu merangkumi komitmen dedikasi beliau dan sokongan kewangan yang tidak ternilai sepanjang Christina menerajui kementerian demi mengukuhkan kolaborasi kejuruteraan wilayah. Presiden IEM, Yau Chau Fong, berkata kolaborasi itu dicapai melalui kejayaan penganjuran Persidangan AFEO Ke-42 (CAFEO 42) oleh IEM Sabah di Kota Kinabalu pada 2024. “Penganugerahan AFEO Honorary Fellow Award (Medal dan Sijil) mencerminkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kepimpinan DSP Liew dan peranan penting bekas kementeriannya dalam mempromosi kejuruteraan wilayah menerusi persidangan antarabangsa yang berprestij ini. “Penyertaan jurutera dari sembilan negara ASEAN pada CAFEO 42 mengukuhkan lagi kerjasama dan libat urus dalam dunia kejuruteraan di wilayah ASEAN,” katanya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menyampaikan anugerah berprestij kepada Christina pada Ulang Tahun Ke-51 IEM Sabah dan Pemasyuran Pengerusi IEM Sabah yang baharu, Ir Tan Kok Jyh oleh bekas penyandangnya, Datuk Ir Mohd Yaakob Jaafar di Magelan Sutera, Sabtu lalu. Majlis itu turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam selaku wakil Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. Sementara itu, Christina menyatakan terima kasih atas anugerah khas yang diterimanya pada majlis itu. “Memandangkan kepentingan acara besar ini dari sudut ekonomi dan perspektif promosi pelancongan, yang akan mengukuhkan kedudukan Sabah dalam peta pelancongan ASEAN, saya tidak ragu-ragu untuk menyokong CAFEO 42 dengan peruntukan daripada bekas kementerian saya yang turut menaja persembahan kebudayaan oleh kumpulan tarian Lembaga Kebudayaan Sabah. “Saya amat berbesar hati dan bersyukur kerana dianugerahkan Anugerah Felo Kehormat AFEO. Saya mendedikasikan penghormatan ini kepada persaudaraan kejuruteraan di AFEO dan IEM dalam mengiktiraf peranan dan sumbangan penting mereka kepada profesion mereka, masyarakat dan negara. “Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada AFEO dan IEM dalam program semasa dan usaha masa depan mereka,” katanya selaku tetamu istimewa pada majlis itu. Penganugerahan itu dikhaskan kepada individu terhormat yang memberikan perkhidmatan cemerlang kepada profesion kejuruteraan, institusi dan atau mana-mana negara ASEAN. Tahun lalu, IEM, di bawah presiden Prof Dr Jeffrey Chiang Choong Luin, mencalonkan DSP Liew untuk dianugerahkan Felo Kehormat Persekutuan Pertubuhan Kejuruteraan ASEAN (Hon FAFEO) sebagai menghargai sokongan besar beliau terhadap CAFEO 42. Pencalonan itu diterima oleh Lembaga Tadbir AFEO pada mesyuaratnya yang diadakan pada 8 Ogos 2025 di Vietnam. Beliau dijadualkan menghadiri majlis pengurniaan semasa Persidangan Tahunan AFEO ke-43 (CAFEO 43) pada Oktober 2025 di Pusat Konvensyen SMX di Filipina. Bagaimanapun, beliau tidak dapat hadir kerana Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17). – Info X
June 15, 2026
Info X Reporters
Penunggang motosikal maut dirempuh lori selepas keluar simpang
KOTA BELUD: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Kampung Tembilaung, di sini, petang tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa lelaki berusia 42 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya. Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati lori jenis Hino yang dipandu lelaki berusia 34 tahun itu sedang dalam perjalanan dari arah Kota Marudu menuju ke Kota Kinabalu. Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, pemandu lori dipercayai sedang memotong sebuah kenderaan di hadapannya sebelum penunggang motosikal jenis SYM terbabit keluar dari simpang Kampung Tembilaung. “Akibat jarak yang terlalu dekat, kedua-dua kenderaan gagal mengelak lalu bertembung. “Impak perlanggaran menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Kota Belud,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan. Katanya, motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan manakala lori terbabit rosak di bahagian hadapan sebelah kanan. “Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kota Belud untuk bedah siasat yang dijadualkan esok bagi mengenal pasti punca kematian. “Polis turut mengambil sampel darah daripada kedua-dua pihak yang terbabit untuk tujuan analisis toksikologi,” katanya. Menurutnya, kedua-dua kenderaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud sebelum dihantar ke PUSPAKOM untuk pemeriksaan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Info X
June 15, 2026
Info X Reporters
Lelaki ditemukan maut dipercayai terkena pokok ditebang sendiri
PENAMPANG: Seorang lelaki ditemukan maut di kawasan hutan Kampung Togudon, di sini, pagi tadi, dipercayai selepas terkena pokok yang ditebangnya sendiri ketika menjalankan aktiviti di lokasi berkenaan. Mayat mangsa, Lubin Sianong, 48, ditemui penduduk kampung dalam keadaan tertiarap di atas laluan kebun kira-kira jam 6 pagi sebelum penemuan itu dilaporkan kepada pihak polis. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati mangsa kali terakhir dilihat ahli keluarganya pada petang 10 Jun lalu sebelum masuk ke kawasan hutan berkenaan untuk memeriksa dan menjaga pukat kelawar miliknya. Menurutnya, pemeriksaan di lokasi kejadian menemukan sebuah mesin pemotong kayu (chainsaw) serta beberapa barangan peribadi milik mangsa berhampiran tempat mayat ditemui. “Berdasarkan pemerhatian awal di lokasi kejadian, mangsa dipercayai mengalami kecederaan parah selepas terkena pokok yang ditebang sendiri ketika menjalankan aktiviti di kawasan berkenaan. “Hasil pemeriksaan yang dijalankan juga tidak menemukan sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, pemeriksaan tempat kejadian dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang bersama Pasukan Forensik D10, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah. Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian. “Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat dan siasatan lanjut,” katanya. Dalam kejadian itu, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang turut membantu mengangkat mayat mangsa keluar dari kawasan hutan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Sementara itu, Sammy berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi serta tidak menyebarkan gambar atau video kejadian bagi menghormati sensitiviti keluarga dan waris mangsa. – Info X
June 15, 2026
Info X Reporters
Penagih di Sabah berkurang tahun lalu
KOTA KINABALU: Sabah menunjukkan pengurangan sebanyak 5.9 peratus jumlah penagih yang dikesan pada 2025 kepada seramai 8,665 orang berbanding 9,607 orang pada 2024. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata Sabah turut merekodkan kadar yang terbaik di seluruh negara pada tahun lalu dengan seramai 230 penagih dadah dan penyalahgunaan bahan dikesan. “Ini menunjukkan keberkesanan tindakan bersepadu semua pihak dalam membendung penawaran dan permintaan terhadap dadah dan bahan di Sabah,” katanya. Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Sabah di Menara Kinabalu, dekat sini, pada Isnin. Ketua Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) atas usaha memperkasa komuniti di pelbagai peringkat melalui pendekatan pencegahan dadah sehingga ke peringkat akar umbi. “Saya amat berterima kasih terhadap kesungguhan AADK menyantuni komuniti Pulau Banggi di Kudat baru-baru ini sempena Program Jerayawara Jelajah Aspirasi Bebas Dadah bersama Skuad Antidadah 2 Roda,” katanya. Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kontinjen Sabah atas kejayaan rampasan dadah secara besar-besaran melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah baru-baru ini. “Ini menunjukkan kesungguhan tindakan membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah di negeri ini sentiasa menjadi keutamaan PDRM selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri Sabah. “Semua pencapaian ini adalah usaha gigih yang tidak pernah mengenal erti putus asa dalam memerangi ancaman dadah yang masih menjadi musuh nombor satu negara,” katanya. Hajiji berkata Kerajaan Negeri sentiasa berdiri teguh di belakang usaha membanteras ancaman dadah secara menyeluruh, sekali gus memastikan keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat di bumi Sabah terus terpelihara. “Demi merealisasikan aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), Kerajaan Negeri Sabah sentiasa menyokong segala usaha dalam merealisasikan agenda aspirasi bebas dadah bagi mencapai Dadah Terkawal 2030,” katanya. Pada mesyuarat MTMD Sabah kali ini, antara isu yang dibincangkan adalah peluasan program tempat kerja bebas dadah sektor awam dan pemerkasaan Skuad Antidadah Negeri Sabah. – Info X
June 15, 2026
Info X Reporters
Syarikat pengangkutan darat barangan, awam perlu daftar SKDS untuk dapat subsidi diesel
KOTA KINABALU: Syarikat sektor pengangkutan darat barangan dan awam di Sabah, Sarawak dan Labuan digesa mendaftar segera dalam Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS). Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata langkah itu perlu bagi memastikan mereka menerima fleet card untuk kenderaan berdaftar bagi membeli diesel pada harga subsidi. Katanya pendaftaran melalui SKDS membolehkan syarikat yang berkelayakan terus mendapat manfaat subsidi diesel melalui mekanisme fleet card pada kadar RM2.15 seliter bagi sektor pengangkutan darat barangan dan RM1.88 seliter bagi sektor pengangkutan darat awam. “Penggunaan wajib fleet card SKDS untuk mendapat manfaat subsidi diesel bagi sektor pengangkutan darat barangan dan awam akan dikuatkuasakan pada satu masa yang akan diumumkan. “Sehubungan itu, syarikat-syarikat bagi kedua-dua sektor ini adalah digesa untuk membuat pendaftaran SKDS pada kadar segera. “Ini adalah penting untuk membolehkan kenderaan syarikat yang tersenarai di bawah 33 jenis kenderaan yang layak didaftarkan di bawah SKDS terus boleh menerima subsidi diesel,” katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Fleet Card SmartPay PETRONAS kepada syarikat pengangkutan darat barangan yang lulus pendaftaran SKDS di Kepayan, di sini, pada Isnin. Katanya, pendaftaran bagi permohonan menyertai SKDS untuk pelaksanaan penyaluran subsidi bahan api diesel bagi sektor pengangkutan darat barangan diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Labuan bermula 4 Mei lalu. Penyaluran subsidi bahan api bagi sektor pengangkutan darat awam pula, katanya sudah dibuka sejak Jun 2024. Beliau berkata, setakat 14 Jun 2026, sebanyak 14,415 kenderaan milik 3,922 syarikat sudah berdaftar dengan SKDS, manakala 14,447 kenderaan dengan 3,869 syarikat di Sarawak, diikuti 769 kenderaan membabitkan 269 syarikat di Labuan. “Senarai jenis kenderaan dan permohonan pendaftaran menyertai SKDS boleh dirujuk melalui portal MySubsidi di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my. “Peluasan SKDS adalah pendekatan untuk menangani isu ketirisan subsidi bahan api diesel melalui mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan secara digital. “Mekanisme penggunaan fleet card dalam pelaksanaan SKDS ini adalah untuk memastikan subsidi dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh kumpulan sasar. “Ini sekali gus mengekang ketirisan subsidi diesel sama ada melalui aktiviti penyeludupan, penyelewengan dan penyalahgunaan subsidi oleh warga asing dan pendatang tanpa izin,” katanya. Sementara itu, katanya bagi Sabah dan Sarawak, kerajaan membelanjakan sebanyak RM2 bilion setahun untuk subsidi diesel pada tahun lalu. Katanya, bagi 2026, subsidi diesel yang ditanggung kerajaan terus meningkat akibat krisis tenaga susulan konflik Asia Barat. “Pada dua bulan pertama 2026 iaitu sebelum tercetusnya konflik, subsidi diesel yang dibelanjakan untuk Sabah dan Sarawak ialah RM103 juta bagi Januari dan RM106 juta pada Februari. “Namun, sejak bermulanya konflik pada 28 Februari 2026, implikasi subsidi diesel bagi kedua-dua wilayah mencecah RM563 juta pada Mac dan RM647 juta bagi April. “Jumlah keseluruhan subsidi diesel untuk tempoh empat bulan pertama hingga April 2026 mencecah RM1.4 bilion,” katanya. Armizan berkata, kerajaan akan terus menanggung lonjakan bil subsidi bahan api selagi harga minyak dunia masih pada tahap yang tinggi dan krisis tenaga berlarutan. “Kerajaan komited untuk terus menyalurkan subsidi diesel kepada rakyat dan industri secara bersasar sebagai langkah intervensi dan mitigasi bagi menangani isu kenaikan kos sara hidup dan pergerakan harga barangan serta perkhidmatan. “Pada masa yang sama, penyaluran subdisi secara bersasar perlu dilaksanakan sebagai mekanisme pengurusan risiko ketirisan, selain meningkatkan ketangkasan penguatkuasaan,” katanya. – Info C