June 15, 2026
Info X Reporters
Mayat wanita ditemui terapung di tasik
TAWAU: Mayat seorang wanita dipercayai berusia lingkungan 30-an ditemukan terapung di sebuah tasik di Jalan Sin Onn, di sini, pagi tadi. Mayat berkenaan ditemui orang awam sebelum kejadian itu dilaporkan kepada pihak berkuasa pada jam 9.45 pagi. Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Timbalan Penguasa Bomba II Jemishin Ujin berkata, sepasukan enam anggota bomba yang dikejarkan ke lokasi mendapati mangsa masih berada di dalam tasik sebaik tiba. Menurutnya, pasukan bomba kemudian menjalankan operasi mengangkat mangsa ke darat untuk pemeriksaan lanjut oleh petugas kesihatan. “Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). “Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, operasi ditamat sepenuhnya pada jam 10.48 pagi. – Info X
June 15, 2026
Info X Reporters
Polis serbu ‘port’ sabung ayam
PENAMPANG: Kegiatan perjudian sabung ayam yang dipercayai dijalankan secara rahsia di sebuah rumah di Kampung Buit Hills, di sini, terbongkar selepas diserbu polis dalam operasi khas, petang semalam. Dalam serbuan kira-kira jam 3 petang itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menyerbu lokasi berkenaan hasil maklumat dan risikan yang dijalankan. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, beberapa individu yang berada di lokasi bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis. “Bagaimanapun, hasil tindakan pantas pasukan serbuan berjaya menahan tiga lelaki warga tempatan berusia antara 24 hingga 40 tahun yang disyaki terbabit dalam aktiviti perjudian berkenaan. “Turut dirampas dalam operasi itu ialah lapan ekor ayam hidup, satu gelang getah yang dipercayai digunakan sebagai gelanggang sabung ayam, beberapa peralatan berkaitan serta wang tunai RM606 yang disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti perjudian tersebut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, semua suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut. “Hasil semakan mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas mereka didapati negatif. “Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 kerana disyaki membabitkan perbuatan penganiayaan haiwan melalui aktiviti sabung ayam,” katanya. Sammy berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti perjudian haram dan perbuatan yang melibatkan penganiayaan terhadap haiwan. Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha penguatkuasaan serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara. – Info X
June 15, 2026
Info X Reporters
251 atlet muda sertai Kejohanan Karate Antara Sekolah Telupid-Tongod
TELUPID: Sebanyak 251 peserta daripada 49 sekolah membabitkan 11 daerah di Sabah menyertai Kejohanan Karate Antara Sekolah Telupid-Tongod Kali Ke-2 2026 yang berlangsung selama tiga hari di Dewan DMO, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telupid. Kejohanan yang berlangsung dari 12 hingga 14 Jun itu menghimpunkan atlet dari Telupid, Tongod, Ranau, Kinabatangan, Kiulu, Tuaran, Kota Belud, Tamparuli, Tenghilan, Sandakan dan Beluran dalam usaha mencungkil serta mengembangkan bakat sukan karate di peringkat akar umbi. Acara berkenaan dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid, Datuk Dr Jonnybone J Kurum yang turut memuji penganjuran kejohanan berkenaan kerana berjaya menjadi platform penting dalam melahirkan atlet berpotensi untuk mewakili daerah, negeri dan negara pada masa hadapan. Pada kejohanan itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Telupid muncul juara keseluruhan bagi kategori sekolah rendah, manakala SMK Telupid dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori sekolah menengah selepas mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang pertandingan. Pengerusi Kejohanan, Sensei Adrian M Alexious Angkangon berkata, sambutan yang diterima tahun ini membuktikan sukan karate semakin mendapat tempat dalam kalangan pelajar dan masyarakat setempat. Beliau berkata, Kelab Persatuan Karate-Do Sabah (SKA) Telupid sentiasa aktif dan proaktif dalam usaha melahirkan atlet berpotensi yang berjaya mencatat pelbagai pencapaian membanggakan di peringkat negeri dan kebangsaan. “Persatuan ini sentiasa komited dalam pembangunan sukan karate, khususnya di kawasan pedalaman. Ramai atlet yang dilatih berjaya mengharumkan nama daerah dan negeri dalam pelbagai kejohanan. “Sehubungan itu, kami berharap persatuan ini dapat diberikan perhatian serta sokongan yang lebih besar daripada pejabat dan kementerian berkaitan bagi memastikan pembangunan atlet dapat diteruskan secara berterusan,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan kejohanan berkenaan. Sementara itu, Datuk Dr Jonnybone dalam ucapan perasmiannya mengumumkan kelulusan peruntukan khas bagi penyediaan set tatami kepada Persatuan Karate-Do Sabah Telupid. Beliau berkata, kemudahan berkenaan penting bagi membantu melancarkan sesi latihan serta pelaksanaan program pembangunan atlet yang dianjurkan oleh persatuan itu. “Kerajaan sentiasa menyokong usaha pembangunan sukan di peringkat akar umbi kerana ia bukan sahaja melahirkan atlet berkualiti, malah membentuk disiplin, jati diri dan semangat kesukanan dalam kalangan generasi muda. “Saya berharap kemudahan yang disalurkan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh Persatuan Karate-Do Sabah Telupid dalam melahirkan lebih ramai atlet berpotensi pada masa akan datang,” katanya. Kejohanan itu dilihat berjaya mencapai matlamatnya sebagai platform pembangunan bakat muda selain mengukuhkan hubungan antara sekolah dan komuniti karate dari seluruh Sabah. – Info X
June 15, 2026
Info X Reporters
Kempen keselamatan kebakaran perkukuh kesiapsiagaan penduduk Petagas
PUTATAN: Kesedaran terhadap aspek keselamatan kebakaran dalam kalangan masyarakat terus diperkukuhkan menerusi penganjuran Kempen Keselamatan Kebakaran Bomba Komuniti DUN Petagas yang berlangsung di Kampung Petagas, di sini, semalam. Program yang dihadiri kira-kira 150 penduduk kampung itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB). Sebagai usaha meningkatkan kesiapsiagaan komuniti terhadap risiko kebakaran, sebanyak 30 unit alat pemadam api (APA) jenis serbuk kering seberat sembilan kilogram diserahkan kepada ketua-ketua isi rumah yang terpilih. Turut disediakan dua khemah dan 200 kerusi bagi memastikan kelancaran serta keselesaan peserta sepanjang program berlangsung. Antara pengisian utama program ialah pendaftaran ahli baharu Bomba Komuniti, demonstrasi penggunaan alat pemadam api serta simulasi pengendalian kebocoran gas melibatkan tong LPG. Demonstrasi berkenaan memberi pendedahan secara praktikal kepada penduduk mengenai tindakan awal yang perlu diambil ketika berdepan kebakaran atau kecemasan sebelum ketibaan pasukan penyelamat. Dalam ucapannya, Awang Ahmad Sah berkata, program seumpama itu penting dalam membentuk komuniti yang lebih peka dan bersedia menghadapi sebarang insiden kebakaran. Katanya, kesedaran masyarakat merupakan benteng pertama dalam mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan kerugian harta benda akibat kebakaran. “Program seperti ini perlu diteruskan dan diperluaskan ke seluruh daerah. Saya juga berharap konsep satu rumah satu alat pemadam api atau 1RAPI dapat dibudayakan dalam kalangan masyarakat sebagai langkah pencegahan awal yang berkesan,” katanya. Beliau berkata, DUN Petagas turut memperuntukkan lima peratus daripada peruntukan kawasan bagi melaksanakan program berkaitan keselamatan dan pencegahan kebakaran demi kesejahteraan penduduk. Menurutnya, kempen itu diharap dapat membantu mengurangkan kes kebakaran di kawasan Petagas yang merekodkan enam kes besar sepanjang tahun lalu. Turut hadir Pegawai Daerah Putatan, Masawi Salleh; Ketua Daerah Putatan, Englebert Jikoni; Community Development Officer (CDO), Jainuddin Badaruddin; Pegawai Bomba Zon 1, PKPgB Riki Ramday; Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Putatan, PPgB Musran Jabri; Ketua Balai Polis Putatan, Inspektor Hafizul Amin serta wakil KSAFE Sdn Bhd yang diwakili Pengarah Urusannya, Khairulanwar Sairin. Sementara itu, Awang Ahmad Sah turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), kepimpinan kampung serta rakan strategik yang berganding bahu menjayakan program berkenaan. – Info X
June 14, 2026
Info X Reporters
Peminat Manchester United berpeluang menang pakej ke Old Trafford
KOTA KINABALU: Sekurang-kurangnya 10 penyokong bertuah Manchester United berpeluang memenangi pakej lawatan lengkap ke Stadium Old Trafford menerusi cabutan bertuah pada Majlis Makan Malam Tahunan United Malaysia Ke-8 yang akan berlangsung pada 27 Jun ini. Presiden United Malaysia, Batholomew Jingulam, berkata sambutan terhadap acara tahunan terbesar kelab penyokong rasmi Manchester United di negara ini amat menggalakkan apabila lebih 1,000 peserta sudah mengesahkan kehadiran setakat ini. Beliau berkata, pihak penganjur turut mengambil keputusan menambah beberapa meja bagi memenuhi permintaan tinggi daripada ahli dan penyokong yang masih ingin mendapatkan tempat pada majlis berkenaan. “Lebih 1,000 orang sudah mendaftar untuk menghadiri majlis makan malam ini dan kami telah menambah beberapa meja bagi memenuhi permintaan yang terus meningkat. “Bagaimanapun, tempat yang ditambah itu adalah terhad dan sebaik sahaja habis ditempah, tiada lagi tempat tambahan akan disediakan kerana kapasiti dewan tidak membenarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Batholomew berkata, mereka yang belum mendapatkan tiket disaran berbuat demikian dengan segera bagi mengelakkan kekecewaan selain berpeluang menyertai cabutan bertuah yang menawarkan pakej perjalanan ke Old Trafford. Katanya, majlis makan malam tahunan itu bukan sahaja memberi peluang kepada peminat untuk memenangi hadiah menarik, malah menjadi platform utama menghimpunkan penyokong Manchester United dari seluruh negara. “Jika anda ingin merebut peluang memenangi lawatan ke Old Trafford atau menjadi sebahagian daripada detik bersejarah komuniti penyokong Manchester United di Malaysia, dapatkan tiket sebelum ia habis dijual. “Majlis makan malam tahunan ini kekal sebagai perhimpunan terbesar penyokong Manchester United di Malaysia,” katanya. Majlis bertemakan “United Unite!!! The Next Chapter” itu akan diadakan di Dewan Hakka, di sini, dengan pelbagai aktiviti khas berteraskan Manchester United disediakan kepada para hadirin. Antara tarikan utama termasuk jualan barangan eksklusif, aktiviti interaktif berkaitan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu serta cabutan bertuah yang sentiasa menjadi antara acara paling dinantikan setiap tahun. Batholomew berkata, tahap keterujaan penyokong dilihat mencapai rekod baharu susulan kembalinya acara itu ke Kota Kinabalu selepas dianjurkan di Kuching dan Kuala Lumpur masing-masing pada 2024 dan 2025. Katanya, penganjuran di Kota Kinabalu sentiasa mendapat sambutan luar biasa daripada ahli serta penyokong Manchester United di seluruh negara. “Seperti kebiasaan, majlis makan malam di Kota Kinabalu sentiasa dinantikan oleh ahli dan penyokong Red Devils di Malaysia. “Dalam penganjuran sebelum ini di Kota Kinabalu, kehadiran melebihi 1,000 orang direkodkan dan kami menjangkakan jumlah yang sama atau lebih tinggi pada tahun ini ketika komuniti penyokong melangkah ke fasa baharu perjalanan mereka,” katanya. Orang ramai yang berminat mendapatkan tiket boleh menghubungi Darrell Ho di talian 016-8311062 untuk maklumat lanjut. – Info X
June 14, 2026
Info X Reporters
Rumah, lapan kenderaan musnah dalam kebakaran
LAHAD DATU: Sebuah rumah dua tingkat musnah dalam kebakaran yang turut merosakkan enam kereta dan empat motosikal di Kampung Bumiputra Silam, Lorong Usman Duri 3, di sini, petang tadi. Dalam kejadian itu, empat kereta dan empat motosikal musnah sepenuhnya, manakala dua lagi kereta mengalami kerosakan akibat bahang kebakaran. Tiada mangsa dilaporkan cedera atau terlibat. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.38 petang. Menurutnya, sepasukan sembilan anggota bomba bersama sebuah jentera dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian. “Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 186 meter persegi yang terbakar sepenuhnya. “Kebakaran turut melibatkan beberapa kenderaan yang berada berhampiran rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, antara kenderaan yang musnah sepenuhnya ialah Proton Saga (BLX), Proton Wira, Perodua Myvi dan Perodua Axia. Katanya, Proton Iswara dan Proton Perdana pula mengalami kerosakan kira-kira 10 peratus akibat bahang kebakaran. “Selain itu, empat motosikal pelbagai jenis turut musnah terbakar dalam kejadian berkenaan,” katanya. Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan dua pancutan menggunakan sumber air daripada tangki jentera. “Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.39 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.08 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian. “Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – Info X
June 14, 2026
Info X Reporters
Dua warga asing ditahan bersama bom ikan
SEMPORNA: Cubaan dua lelaki warga asing meloloskan diri daripada pemeriksaan pihak berkuasa gagal apabila bot yang dinaiki mereka berjaya dipintas dalam operasi khas di perairan Pulau Karindingan, semalam. Lebih membimbangkan, pemeriksaan terhadap bot berkenaan membawa kepada penemuan enam botol yang disyaki mengandungi bom ikan, dipercayai digunakan untuk aktiviti penangkapan ikan secara haram yang boleh merosakkan ekosistem marin. Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang melaksanakan operasi gabungan Ops Sejahtera, Ops Khas Cegah PATI (OCP) Covid-19 Sektor Timur dan Ops Tiris 4.0 mengesan sebuah bot pam berwarna merah putih dalam keadaan mencurigakan. Pengarah Maritim Zon Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, menyedari kehadiran pihak berkuasa, tekong bot terbabit bertindak memecut laju bagi mengelak ditahan. Menurutnya, bagaimanapun tindakan itu gagal apabila bot berkenaan berjaya dipintas pada jarak kira-kira 1.6 batu nautika di timur Pulau Karindingan. “Hasil pemeriksaan lanjut menemukan enam botol yang disyaki bom ikan. “Pemeriksaan dokumen turut mendapati kedua-dua suspek, masing-masing tekong berusia 50 tahun dan awak-awak berusia 24 tahun, tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, selain enam botol bom ikan, pihaknya turut merampas sebuah bot enjin pam tanpa nombor pendaftaran, satu unit enjin pam 20 kuasa kuda serta satu unit kompresor udara tanpa jenama yang dipercayai digunakan untuk aktiviti menyelam. Amir berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan bom ikan kerana aktiviti itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah memusnahkan terumbu karang dan khazanah marin negara. “Penggunaan bom ikan adalah satu jenayah serius yang memberi kesan besar kepada ekosistem laut serta sumber perikanan negara. “Kami akan terus memperketatkan kawalan dan rondaan di kawasan hotspot bagi memastikan aktiviti haram ini dibanteras sepenuhnya,” katanya. Beliau turut menggesa masyarakat setempat, khususnya komuniti maritim, supaya terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di laut. Kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63. – Info X
June 14, 2026
Info X Reporters
Rizab Biosfera Kinabatangan dan Banjaran Crocker penting untuk Sabah
KOTA KINABALU: Pemasyhuran Rizab Biosfera Kinabatangan, yang kedua di Sabah selepas Rizab Biosfera Banjaran Crocker menjadi detik bersejarah dan pencapaian membanggakan bagi Sabah dan Malaysia. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pengiktirafan oleh UNESCO pada tahun lalu membuktikan landskap Kinabatangan yang meliputi 413,866 hektar memiliki nilai biodiversiti dan kepentingan ekologi yang luar biasa di peringkat antarabangsa. “Ini adalah satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan negeri untuk memelihara kelestarian alam sekitar dan biodiversiti di peringkat global. “Dengan status bertaraf dunia ini, Rizab Biosfera Kinabatangan dijangka menarik perhatian dunia dalam bidang penyelidikan, pendidikan, pelancongan berasaskan alam semula jadi dan peluang kerjasama global,” katanya. Beliau berkata demikian pada majlis sambutan ulang tahun ke-12 Rizab Biosfera Banjaran Crocker dan Pemasyuran Rizab Biosfera Kinabatangan di Padang Merdeka, di sini, pada Ahad. Ketua Menteri berkata nilai Rizab Biosfera Banjaran Crocker dengan luas kawasan 350,584 hektar yang diisytiharkan pada 2014 amat penting bagi Sabah. “Dianggarkan lebih daripada satu juta individu tinggal di hampir 400 kampung di 10 daerah iaitu di Tuaran, Kota Kinabalu, Penampang, Ranau, Tambunan, Keningau, Tenom, Beaufort, Papar dan Membakut dalam Rizab Biosfera Banjaran Crocker. “Pengiktirafan Rizab Biosfera Banjaran Crocker menyumbang kepada tapak UNESCO mahkota tiga serangkai atau the Triple Crown UNESCO Sites di negeri Sabah,” katanya. Justeru, Hajiji mahu semua pihak untuk terus memperkukuh usaha pemuliharaan biodiversiti, memperluas program kesedaran masyarakat serta meningkatkan kerjasama strategik bagi memastikan manfaat daripada pengiktirafan itu dapat dinikmati secara meluas dan mampan. “Ini seiring dengan komitmen kerajaan negeri yang memandang serius usaha melindungi dan memulihara alam semula jadi kerana fungsi ekosistemnya amat penting untuk kegunaan penduduk dan pembangunan sosio ekonomi. “Kewujudan kedua rizab biosfera ini juga amat berkait rapat dengan usaha murni Kerajaan Sabah untuk menjayakan Inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ). Pada tahun ini usaha konservasi ekosistem penting di Sabah diteruskan di bawah SMJ 2.0 untuk tahun 2026-2030,” katanya. Ketua Menteri berkata Sabah kini berada di barisan hadapan dalam usaha perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar. “Sabah sekian lama melindungi hutan, hidupan liar dan beberapa ekosistem paling kaya di rantau ini. Pada masa ini, hampir 30 peratus daripada kawasan daratan Sabah diwartakan sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA). “Justeru, kita bertekad untuk terus mengukuhkan peranan Sabah sebagai penyerap karbon, termasuk melalui Rizab Biosfera Banjaran Crocker dan Kinabatangan. “Pada masa ini, Sabah kekal sebagai penyerap karbon bersih yang utama, menyumbang kira-kira 36 peratus daripada jumlah pengasingan karbon Malaysia melalui hutan tropika yang luas. “Inti mesejnya ialah, rizab biosfera menyokong iklim, khususnya dengan berfungsi sebagai penyerap karbon,” katanya. Hajiji berkata kedua rizab biosfera itu ialah kawasan istimewa yang melindungi alam semulajadi dan aktiviti manusia diurus secara mampan. “Rizab Biosfera Banjaran Crocker melindungi ekosistem pergunungan dan hutan bagi memelihara tumbuhan serta haiwan yang unik, sambil menyokong tampang air. “Sementara itu, Rizab Biosfera Kinabatangan memberi tumpuan kepada ekosistem sungai dan tanah lembap iaitu habitat penting bagi hidupan liar serta mengekalkan keadaan air yang sihat. “Apabila hutan dilindungi dan diberi peluang untuk pulih serta tumbuh semula secara semulajadi, hutan terus menyimpan karbon untuk jangka masa panjang,” katanya. Beliau berkata rizab biosfera juga memainkan peranan penting dalam mengukuhkan ekonomi setempat dan pemuliharaan yang paling berkesan berlaku apabila komuniti mendapat manfaat daripada usaha melindungi alam semula jadi. “Di Banjaran Crocker dan Kinabatangan, penduduk setempat boleh meraih manfaat melalui pelancongan mampan, termasuk homestay dan perusahaan berasaskan komuniti. “Mata pencarian jangka panjang ini menggalakkan komuniti untuk terus melindungi hutan dan hidupan liar kerana alam sekitar menjadi sumber pendapatan yang stabil, bukan keuntungan jangka pendek. “Oleh itu, kita semua harus memastikan pengiktirafan kedua rizab biosfera ini dapat memberi manfaat dan limpahan ekonomi kepada semua lapisan masyarakat yang tinggal di kedua-dua kawasan rizab biosfera ini,” katanya. – Info X