Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

May 22, 2026

Info X Reporters

Warga emas ditemukan meninggal dunia dalam bilik air rumah terbakar

PAPAR: Seorang wanita warga emas ditemukan meninggal dunia selepas rumah dua tingkat yang didiaminya di Kampung Seri Tanjung Pengalat Kecil, di sini, terbakar awal pagi tadi. Dalam kejadian jam 6.20 pagi itu, mangsa Rafiah Badar, 72, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan bilik mandi rumah berkenaan. Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Hamdani Harith berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian balai sebelum sepasukan tujuh anggota bersama jentera bomba dan EMRS digerakkan ke lokasi kejadian. Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira enam minit kemudian dan mendapati sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal sudah terbakar hampir 90 peratus. “Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan menggunakan sumber air daripada pili bomba berhampiran. “Ketika operasi dijalankan, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan bilik mandi pada jam 7.57 pagi sebelum berjaya dikeluarkan anggota bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat sesak nafas. “Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala operasi terkawal sepenuhnya pada jam 7.30 pagi,” katanya. Beliau berkata, turut membantu operasi ialah lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), tiga petugas KKM serta dua kakitangan Sabah Electricity. Katanya lagi, terdapat sedikit masalah litupan GIRN di lokasi kejadian dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – Info X

May 22, 2026

Info X Reporters

Penemuan mayat terapung di Pulau Gaya, lelaki tempatan didakwa membunuh

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan didakwa di Mahkamah kerana membunuh, susulan penemuan mayat seorang lelaki yang terapung di perairan Kampung Lobong, Pulau Gaya, awal bulan ini. Ali Bin Daham, 48, didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas berjaya diberkas polis pada 7 Mei lalu. Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil daripada tertuduh di hadapan Majistret Marilyn Kelvin kerana kes berkenaan adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, kejayaan penahanan suspek adalah hasil operasi bersepadu Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Kota Kinabalu bersama IPD Lahad Datu menerusi “Op Kejam / Op Kesan”. Katanya, suspek berjaya ditahan ketika menaiki sebuah bas di Terminal Bas Reno Fajar, Lahad Datu. “Kes ini membabitkan penemuan mayat lelaki tidak dikenali di perairan Kampung Lobong, Pulau Gaya pada 5 Mei lalu. “Hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai menikam mangsa beberapa kali menggunakan sebilah pisau sebelum mengikat kaki mangsa dan membuangnya ke laut berhampiran rumah suspek,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan berkaitan kehilangan barang milik keluarga suspek. Beliau berkata, polis turut merampas sebilah pisau yang ditemukan di dasar laut berhampiran lokasi kejadian dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan. “PDRM merakamkan penghargaan kepada semua pegawai dan anggota yang terbabit dalam operasi ini termasuk orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga kes berjaya diselesaikan dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya. Kes itu dikendalikan ASP Lapaula Abd Muis sebagai pegawai penyiasat. Tertiduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan. – Info X

May 22, 2026

Info X Reporters

Bot kayu sarat tong berisi petrol ditinggalkan di laut

SEMPORNA: Cubaan menyeludup 2,425 liter minyak petrol dipercayai ke negara jiran gagal selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna berjaya merampas bahan api itu dalam satu operasi di kawasan laut Terumbu Pasalat berhadapan Pulau Igang-Igang, di sini, semalam. Rampasan tanpa ‘tuan’ itu kemudian diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna untuk tindakan lanjut mengikut Ops Tiris 4.0 (Bersepadu). KPDN dalam kenyataan hari ini berkata, semua minyak petrol berkenaan disimpan di dalam 97 tong dan dipercayai cuba diseludup menggunakan sebuah bot kayu bersama enjin sangkut Yamaha 200 kuasa kuda. “Nilai rampasan barang kawalan dianggarkan RM9,869.75 manakala keseluruhan nilai rampasan termasuk barang bukan kawalan dianggarkan RM19,275. “Susulan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk tindakan lanjut,” katanya. Menurutnya, KPDN akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan bersubsidi khususnya di kawasan perairan Semporna. Katanya, pihak yang didapati melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 termasuk denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun bagi kesalahan pertama. – Info X

May 22, 2026

Info X Reporters

Taktik jadikan rumah stor diesel akhirnya terbongkar

LABUAN: Kegiatan penyimpanan minyak diesel tanpa kebenaran di sebuah rumah di Kampung Tanjung Aru, di sini, terbongkar selepas diserbu dalam Ops Tiris 4.0 (Bersepadu), semalam. Serbuan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan dengan kerjasama Polis Daerah Labuan hasil risikan dijalankan Unit Risik KPDN WP Labuan. Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata, operasi turut mendapat bantuan anggota dari Balai Polis Lubuk Temiang. Katanya, pemeriksaan lanjut di lokasi menemukan tiga tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC) berkapasiti 1,000 liter yang mengandungi cecair disyaki minyak diesel. “Pasukan serbuan turut menemui tiga pam elektrik lengkap bersama hos, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan tangki tambahan kenderaan yang dipercayai digunakan untuk memindahkan barang kawalan itu. “Jumlah keseluruhan minyak diesel yang ditemui di lokasi dianggarkan sebanyak 2,870 liter,” katanya dalam kenyataan media. Menurutnya, ketika operasi dijalankan tiada individu ditemui di lokasi dan premis itu dipercayai hanya dijadikan tempat persinggahan serta penyimpanan sementara minyak diesel sebelum dipindahkan ke lokasi lain. Beliau berkata, semua barang kes termasuk minyak diesel disyaki barang kawalan itu disita untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. “Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah RM106,570.50. “Kes disiasat kerana disyaki memiliki dan menyimpan barang kawalan berjadual tanpa kebenaran sah,” katanya. Junaidah berkata, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama. Katanya, bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan mengikut peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Sementara itu, beliau berkata KPDN memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak supaya tidak terbabit dalam sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan termasuk penyimpanan, pemindahan dan penjualan tanpa kebenaran sah. “KPDN akan terus mempergiat operasi dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau sindiket yang cuba mengambil kesempatan terhadap barang kawalan bersubsidi sehingga menjejaskan kepentingan rakyat dan negara,” katanya. – Info X

May 21, 2026

Info X Reporters

Lelaki bertopi keledar dipukul depan kedai, polis buru suspek

RANAU: Seorang lelaki berusia 19 tahun dipukul dan diugut bunuh oleh seorang lelaki bersenjatakan buku lima dalam kejadian di sebuah kedai runcit di Kampung Matupang, di sini, pada Selasa lalu. Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa yang bekerja sebagai penimbang sawit dikatakan diserang secara tiba-tiba ketika membeli barangan dapur di kedai berkenaan. Ketua Polis Daerah Ranau, Mursalin Mahmud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 3.56 petang semalam. Katanya, siasatan awal mendapati mangsa terserempak dengan suspek sebelum lelaki terbabit tiba-tiba memarahinya tanpa sebab. “Suspek kemudian mengeluarkan buku lima berwarna keemasan dan mengugut mangsa dengan berkata, ‘kau mau ini, lama sudah saya tidak kasi mati orang, kau mau mati ka’. “Selepas itu, suspek menyimpan semula buku lima berkenaan sebelum bertindak menumbuk dan menendang mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, mangsa mengalami luka di bahagian bibir selain sakit di bahagian bahu kiri dan belakang badan akibat dipukul. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. “Polis kini sedang mengesan dan memburu suspek bagi membantu siasatan selain mendapatkan saksi bebas yang melihat kejadian. “Mangsa juga sudah diberikan borang Pol.59 untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut di Hospital Ranau,” katanya. Terdahulu, tular rakaman video berdurasi satu minit 34 saat memaparkan seorang lelaki memakai topi keledar dipukul di hadapan sebuah kedai dipercayai berlaku di Ranau. – Info X

May 21, 2026

Info X Reporters

Pembaharuan sektor kesihatan diteliti untuk kukuhkan autonomi Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sedang memperhalusi beberapa pembaharuan sektor kesihatan negeri termasuk cadangan pindaan Ordinan Kesihatan Awam (PHO), penerimaan Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951 (Akta 371) dan penubuhan majlis penasihat kesihatan negeri bagi memperkukuh tadbir urus dan autonomi kesihatan Sabah. Perkara itu antara fokus utama Bengkel Kesihatan anjuran Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KWKKR) yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, badan profesional, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan sektor kesihatan, di sini pada hari Rabu. Menteri KWKKR, Datuk Julita Majungki berkata bengkel itu bagi mendapatkan pandangan menyeluruh daripada semua pihak sebelum sebarang cadangan dibawa ke Kabinet Negeri dan platform berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk tindakan lanjut. Beliau berkata, pendekatan ‘team government’ perlu menjadi asas dalam memperkukuh sistem kesihatan negeri ini tanpa menjejaskan peranan mana-mana agensi sedia ada. “Kita bukan mahu mengambil alih tugas sesiapa, tetapi mahu memastikan perkara yang masih perlu diperbaiki dapat dilaksanakan bersama sebagai satu pasukan. “Pandangan yang dikumpulkan hari ini akan diperhalusi sebelum dibawa ke peringkat pembuat dasar termasuk Kabinet Negeri dan jawatankuasa berkaitan,” katanya ketika merasmikan bengkel itu di The Magellan, Sutera Harbour di sini. Antara perkara yang dibincangkan termasuk status pindaan PHO, penerimaan Akta 371 di Sabah serta cadangan mewujudkan sebuah Majlis atau Jawatankuasa Khas Kesihatan Negeri Sabah. Julita berkata Sabah juga perlu melihat keperluan memperkukuh beberapa aspek perundangan kesihatan awam termasuk isu fluoridasi dan pengurusan pembentungan yang mempunyai implikasi langsung kepada kesejahteraan rakyat. Beliau turut memaklumkan beberapa cadangan berkaitan PHO dijangka dibawa untuk perbincangan lanjut bersama kementerian dan jawatankuasa teknikal MA63 dalam masa terdekat sebelum dimuktamadkan di peringkat lebih tinggi. “Kalau kita perlu pergi ke Kabinet, kita pergi ke Kabinet. Kalau perlu ke Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk meluluskan enakmen tertentu, kita akan lakukan demi kepentingan Sabah,” katanya. Bengkel sehari itu disertai Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Persatuan Farmaseutikal Sabah (SPS), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR), Pejabat Peguam Besar Negeri Sabah dan wakil sektor kesihatan lain. – Info X

May 21, 2026

Info X Reporters

Lelaki alami gangguan emosi berjaya dipujuk turun dari menara telekomunikasi

KOTA BELUD: Kecekapan pihak berkuasa mengawal keadaan berjaya menyelamatkan seorang lelaki daripada terjatuh selepas dikesan berada di tingkat dua sebuah menara telekomunikasi di Taman Nikmat, di sini, pagi tadi. Lelaki yang dipercayai kurang siuman dan mengalami gangguan emosi itu berjaya dipujuk untuk turun dari menara berkenaan tanpa sebarang kecederaan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 9.37 pagi. Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu. “Setibanya di lokasi, mangsa didapati masih berada di tingkat 2 sebuah menara telekomunikasi berkenaan dalam keadaan mengalami gangguan emosi serta kurang siuman. “Pasukan Bomba bersama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus menjalankan usaha memujuk mangsa bagi memastikan keadaan terkawal dan dapat diturunkan dengan selamat. “Sebagai langkah persediaan menghadapi sebarang tindakan luar jangka daripada mangsa, Pasukan Bomba turut memasang jaring keselamatan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, mangsa kemudiannya berjaya dibawa turun dari tingkat 2 menara telekomunikasi berkenaan dalam keadaan selamat. Katanya, lelaki terbabit seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan selepas memastikan tiada lagi bahaya yang wujud di lokasi operasi ditamatkan pada jam 12.50 tengah hari. – Info X

May 21, 2026

Info X Reporters

Dua wanita ditahan bersama dadah di Penampang

PENAMPANG: Dua wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di daerah ini, malam tadi. Dalam serbuan kira-kira jam 9.30 malam di hadapan sebuah premis di Penampang Baru, sepasukan polis dari JSJN IPK Sabah menahan seorang wanita berusia 21 tahun dalam keadaan mencurigakan. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, pemeriksaan ke atas suspek menemukan dua paket plastik berisi serbuk disyaki ekstasi seberat 73.67 gram, ketamin seberat 2.62 gram serta sebiji pil disyaki ekstasi. “Susulan tangkapan itu, polis kemudian menahan seorang lagi wanita berusia 25 tahun di sebuah premis hiburan di Penampang Baru. “Pemeriksaan lanjut di bilik sewa suspek kedua di Taman Penampang bagaimanapun tidak menemukan sebarang barang salah lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati bekalan dadah berkenaan dipercayai diperoleh daripada rangkaian pengedaran tempatan yang aktif menjalankan kegiatan di kawasan hiburan sekitar Penampang. Beliau berkata, kedua-dua suspek turut didapati positif dadah jenis ketamin dan benzodiazepine hasil ujian saringan awal air kencing. Katanya, polis turut merampas dua telefon bimbit jenis iPhone dan keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM1,800. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Info X