May 20, 2026
Info X Reporters
Projek kilang simen di Tongod dapat kelulusan EIA pada April – Masiung
TONGOD: Projek Borneo Cement Sabah Sdn Bhd (BCS) membabitkan pembinaan kilang klinker dan simen di Kampung Kawayoi, di sini, sudah mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA). Pengerusi Kumpulan SEDCO, Datuk Masiung Banah, berkata kelulusan EIA itu diperolehi pada 10 April lalu dengan beberapa syarat perlu dipatuhi. “Kami menerima surat daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Putrajaya berhubung kelulusan itu. Namun masih terdapat beberapa proses yang perlu dilalui. “Justeru, kerja pembinaan jalan raya, elektrik, tali air dan bangunan kilang akan dilaksanakan serentak bermula awal September depan,” katanya ditemui media selepas sambutan Kaamatan peringkat daerah Tongod, di sini, pada Rabu. Majlis itu dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor serentak dengan perasmian bangunan Mahkamah Anak Negeri Tongod. Masiung berkata, cadangan jalan raya dan elektrik telahpun mendapat kelulusan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR). Beliau yang juga Pengerusi BCS berkata, rangkaian jalan raya berturap akan dibina dari Kampung Matiku, Nabawan ke Kampung Inarad, Tongod hingga ke tapak kilang sejauh 26 kilometer. Sementara, itu BCS akan mendirikan menara pylon untuk bekalan elektrik 40mw sejauh 36 kilometer daripada PMU Nabawan ke tapak kilang di Kampung Kawayoi. ADUN Kuamut itu berkata, tenaga elektrik turut salurkan kepada perkampungan dan ladang-ladang berdekatan yang tiada bekalan elektrik. “Kita juga akan membina loji bekalan air sendiri dari sungai berdekatan selain saluran telekomunikasi ke kawasan kilang dan kuartes pekerja. “Semua pembinaan infrastruktur ini akan berjalan serentak bermula awal September tahun ini. Kerja-kerja tersebut dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2028,” katanya. Mengulas lanjut, Masiung berkata, sebaik sahaja beroperasi, kilang itu mampu mengeluarkan 1.78 juta tan metrik simen setahun dan memberi jaminan harga simen akan turun daripada harga biasa. Pada peringkat awal katanya, kilang simen yang menawarkan 1,000 pekerja tempatan itu akan membekalkan simen untuk keperluan domestik di Sabah dan Labuan. – Info X
May 20, 2026
Info X Reporters
Tongod tidak tercicir dari arus kemajuan
TONGOD: Kerajaan negeri terus memberi tumpuan terhadap pembangunan kawasan pedalaman menerusi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), termasuk memastikan daerah Tongod tidak tercicir daripada arus kemajuan negeri. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, sepanjang tahun lalu hingga pertengahan tahun ini, Tongod merekodkan lonjakan signifikan dalam pembangunan infrastruktur meliputi jaringan jalan raya, sektor ekonomi, pendidikan serta potensi pelancongan lestari. Katanya, kerajaan komited memperkasakan rangkaian jalan raya yang menghubungkan Tongod dengan daerah luar seperti Keningau, Telupid, Sandakan dan Tawau bagi meningkatkan mobiliti rakyat serta merancakkan pertumbuhan ekonomi hiliran di kawasan itu. “Tongod mempunyai kawasan tanah yang luas dan berpotensi untuk pembangunan pertanian moden. Kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai insentif bagi membantu transformasi pertanian sara diri kepada pertanian komersial yang mampu meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tongod Tahun 2026 di Dewan Terbuka Dataran Rakyat Tongod, pada Rabu. Hajiji berkata, kerajaan negeri turut memberi perhatian serius terhadap pembangunan modal insan khususnya dalam kalangan generasi muda di kawasan pedalaman menerusi pelaburan besar dalam bidang pendidikan dan latihan kemahiran. “Kita mahu anak-anak muda di Tongod merebut peluang melanjutkan pengajian termasuk dalam bidang kemahiran kerana mereka adalah pemimpin masa depan negeri ini,” katanya. Beliau berkata, Tongod juga memiliki khazanah alam yang amat bernilai termasuk Kawasan Konservasi Kanyon Imbak yang berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai hab eko-pelancongan lestari Sabah. Katanya, kedudukan Tongod yang berada di tengah-tengah geografi Sabah menjadikan daerah itu sebagai “The Heart of Sabah” atau jantung negeri yang menyatukan wilayah utara, selatan, timur dan barat Sabah. Menurutnya, pembangunan sektor pelancongan di Tongod juga perlu bergerak seiring dengan usaha memelihara keaslian budaya masyarakat tempatan termasuk memperkasakan produk kraf tangan, makanan tradisi dan inap desa yang diusahakan penduduk. “Keharmonian antara pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar adalah kunci kepada kemampanan ekonomi Tongod dalam jangka panjang,” katanya. Sementara itu, mengulas mengenai masalah air dihadapi penduduk Tongod, Hajiji berkata masalah itu akan diatasi menggunakan peruntukan yang disalurkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kepada kerajaan negeri bagi melaksanakan projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB). Katanya, kuasa melaksanakan projek itu sudah diturunkan kepada kerajaan negeri dan bagi tahun ini lebih RM4 bilion disalurkan oleh KKDW untuk tujuan itu. “Pada April lalu, kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah menyerahkan kuasa kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan projek Bekalan Air dengan peruntukan lebih RM4 bilion dan saya berharap daerah Tongod juga dapat manfaat. “Inilah yang kita selalu bincang dengan kerajaan Persekutuan, kalau kita berbincang secara berhemah dan hormat-menghormati, maka banyak urusan yang dulu dikendali oleh Persekutuan atau jabatannya di Sabah, tapi sejak lima tahun kerajaan GRS yang saya pimpin ini, sudah banyak kuasa diturunkan kepada negeri, antaranya ialah bekalan air luar bandar, termasuk di Tongod,” katanya. Hajiji menegaskan, semangat kerjasama negeri dan Persekutuan mesti diteruskan tanpa meminggirkan kepentingan Sabah, selain pada masa yang sama tetap menjaga kepentingan Malaysia sebagai negara. “Jangan kerana menuntut hak negeri, kita keruhkan hubungan dengan Persekutuan, sebaliknya kita kena bangunkan juga negara kita Malaysia. “Sabah adalah negeri yang sama-sama membentuk Malaysia, jadi apa yang kita buat mesti dilakukan bersama supaya Sabah boleh terus maju ke hadapan dengan kerjasama Persekutuan. “Ini perlu kita buat, jangan kita gaduh dengan Persekutuan, rugi kita kerana untuk bangunkan Sabah, kita perlukan pertolongan Persekutuan,” katanya. Katanya, walaupun pada masa depan peruntukan hasil Sabah meningkat, termasuk menerusi bayaran cukai bersih 40 peratus, Sabah masih memerlukan kerjasama Persekutuan untuk terus menjadi negeri yang maju di Malaysia. Mengenai sambutan Kaamatan, Hajiji menegaskan sambutan itu bukan sahaja melambangkan kesyukuran terhadap hasil tuaian, malah menjadi wadah penting memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum di Sabah selaras tema ‘Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian’. Dalam pada itu, ketika ditanya pemberita mengenai cadangan pembinaan pekan baharu Tongod, Ketua Menteri berkata projek itu akan dilaksanakan sebuah syarikat swasta di tapak tanah milik mereka sendiri. “Satu syarikat swasta akan membangunkan pekan baharu Tongod di tanah mereka sendiri, termasuk membina pejabat kerajaan. Jadi, kita mengalu-alukan kerjasama di antara syarikat swasta dan kerajaan. “Dengan sokongan wakil rakyat di sini, usaha ini dijangka dapat direalisasikan dalam tempoh yang terdekat ini,” katanya. Pada majlis itu, Ketua Menteri turut menyerahkan sebanyak 239 geran tanah NT, dengan keluasan 583.38 hektar (1,441.57 ekar) kepada rakyat Tongod. Daripada jumlah itu, sebanyak 199 geran melibatkan keluasan 500.09 hektar (1235.75 ekar) adalah NT biasa. Manakala geran deraf PANTAS melibatkan 7 mukim, sebanyak 40 geran dengan keluasan sebanyak 83.29 hektar (205.82 ekar). – Info X
May 20, 2026
Info X Reporters
Warga emas hilang ketika menjala ikan ditemukan meninggal dunia
TAMBUNAN: Misteri kehilangan seorang lelaki warga emas yang keluar menjala ikan sejak petang kelmarin terjawab apabila mangsa ditemukan meninggal dunia di bawah jambatan gantung Sungai Nouduh, Kampung Nouduh, di sini, pagi tadi. Mangsa dikenali sebagai Markus @ Marchous Antigang, 74, ditemukan di bawah jambatan gantung Sungai Nouduh kira-kira jam 9.42 pagi oleh anaknya sendiri. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Darren John berkata, operasi hari kedua dijalankan di lokasi pada jam 8.04 pagi sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan bersama agensi penyelamat lain serta penduduk kampung. “Operasi pencarian dijalankan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air sejauh radius 4.7 kilometer. “Mangsa kemudian ditemukan di bawah jambatan gantung Sungai Nouduh dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Hospital Tambunan oleh pihak polis untuk pengesahan lanjut,” katanya. Katanya, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 10 pagi. Operasi membabitkan 12 anggota BBP Tambunan bersama beberapa agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Bomba Sukarela (PBS), bomba komuniti serta penduduk kampung. Terdahulu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tambunan pada jam 8 pagi semalam berhubung kehilangan mangsa. Mangsa dikatakan keluar dari rumah kira-kira jam 4 petang pada 18 Mei lalu untuk menjala ikan di sungai berhampiran namun tidak pulang ke rumah. – Info X
May 20, 2026
Info X Reporters
Kastam Sabah rampas dadah lebih RM3 juta dalam tiga serbuan
KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya menggagalkan cubaan pengedaran pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM3 juta menerusi tiga rampasan berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Tawau dan Gudang Pos Aviation Kota Kinabalu, awal bulan ini. Pengarah Kastam Negeri Sabah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, rampasan terbesar membabitkan 57.27 kilogram (kg) dadah disyaki methamphetamine bernilai RM2.86 juta menerusi Ops Tuai pada 11 Mei lalu. Katanya, kira-kira jam 1.35 petang, pegawai bertugas membuat pemeriksaan bagasi di LTA Tawau sebelum imej imbasan mengesan kandungan mencurigakan di dalam empat bagasi di Gudang Pos Aviation. “Pasukan daripada Cawangan Penguatkuasaan JKDM Tawau kemudian menjalankan pemeriksaan fizikal dan menemukan 142 beg plastik kedap udara berzip mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis methamphetamine. “Keseluruhan rampasan dianggarkan seberat 57.27 kilogram dengan nilai RM2,863,500,” katanya dalam sidang media, hari ini. Menurutnya, sindiket dipercayai menggunakan perkhidmatan penghantaran kurier dengan menyembunyikan dadah di dalam beg plastik sebelum dimasukkan ke dalam bagasi dan dihantar ke Tawau. Dalam kes kedua, Ahmad Taufik berkata, Cawangan Narkotik JKDM Sabah merampas satu bungkusan disyaki mengandungi 4,678 gram methamphetamine bernilai RM233,900 di Gudang Pos Aviation Kota Kinabalu pada 11 Mei lalu. Katanya, rampasan dilakukan kira-kira jam 1 tengah hari sebelum bungkusan terbabit dibawa ke Wisma Penguatkuasaan Sabah untuk siasatan lanjut. “Sindiket dipercayai memasukkan dadah ke dalam bungkusan berwarna putih sebelum disimpan di dalam kotak dan dihantar ke Semporna menggunakan perkhidmatan kurier,” katanya. Sementara itu, beliau berkata, satu lagi rampasan dilakukan pada 8 Mei lalu membabitkan 375 gram pil ekstasi bernilai RM56,250 di Gudang Pos Aviation Kota Kinabalu. Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bungkusan berkenaan dilabel sebagai set barangan elektronik bagi mengaburi pihak berkuasa. “Ketiga-tiga kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan,” katanya. Ahmad Taufik berkata, JKDM Sabah akan terus memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan bagi mengekang kegiatan penyeludupan dadah di negeri ini. Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan menerusi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran. – Info X
May 20, 2026
Info X Reporters
Polis Sabah tumpaskan kegiatan urus MyKad palsu
KOTA KINABALU: Polis Sabah berjaya menumpaskan kegiatan pengurusan permohonan kad pengenalan palsu susulan penahanan sembilan individu, baru-baru ini. Sepanjang operasi Op Pugo selama enam hari bermula 7 Mei lalu itu, sembilan yang berjaya ditahan termasuk empat wanita berusia lingkungan 36 hingga 61 tahun melibatkan lima warga Filipina dan Indonesia. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, operasi dilaksanakan susulan laporan polis yang dibuat seorang wanita berusia 30 tahun pada 13 Mac lalu. Katanya, mangsa mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM20,000 selepas semakan mendapati tiada sebarang rekod permohonan kad pengenalan atas nama mangsa di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). “Hasil siasatan, polis turut berjaya merampas pelbagai dokumen dan peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penipuan membabitkan permohonan MyKad. “Antara rampasan yang dibuat ialah 85 keping pelbagai dokumen permohonan kad pengenalan MyKad, 54 keping salinan kad pengenalan, 45 keping salinan dokumen pemohon MyKad, 24 keping gambar pemohon serta 10 set dokumen bertulis Program Khas Penempatan,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, hari ini. Selain itu, Jauteh berkata, polis turut merampas sembilan keping salinan sijil lahir, enam keping sijil lahir asal, tujuh keping salinan pasport pelbagai nama, tujuh telefon bimbit pelbagai jenama, lima keping kad pengenalan palsu serta tiga buah cop Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). “Turut disita dalam operasi tersebut ialah tiga buah kenderaan, sebuah set komputer, sebuah pencetak dan dua buah stampad yang dipercayai digunakan bagi memproses dokumen berkaitan,” tegasnya. Sehubungan itu, Jauteh berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebatan dan denda jika sabit kesalahan. “Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. “Siasatan turut melibatkan Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya. Sehubungan itu, Jauteh menegaskan, pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan pemalsuan dokumen pengenalan diri yang boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara. Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan berkenaan juga dinasihatkan supaya tampil membantu siasatan. – Info X
May 20, 2026
Info X Reporters
Polis Sabah tumpaskan dua sindiket dadah bernilai RM3.25 juta
KOTA KINABALU: Polis Sabah berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah membabitkan nilai lebih RM3.25 juta dalam beberapa siri serbuan dan tangkapan di empat daerah berasingan. Kejayaan hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam itu turut berjaya merampas lebih 63 kilogram (kg) syabu, 31 kg cecair THC, 4.49 gram ganja dan sekilogram serbuk ekstasi. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kes pertama melibatkan tangkapan terhadap seorang lelaki berusia 26 tahun pada 3 Mei lalu di Taman Heng Long, Jalan Seri Melor Tinagayan, Semporna. Katanya, hasil pemeriksaan berjaya menemukan 15 kotak mengandungi pelbagai jenis vape dan cecair disyaki mengandungi dadah jenis THC. “Rampasan melibatkan 10,000 kartrij pelbagai jenis vape dianggarkan seberat 20 kg bersama dua botol gelen berwarna biru mengandungi cecair disyaki THC seberat 11 kg. “Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan seberat 31 kilogram dengan nilai sekitar RM93,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah, hari ini. Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rani Alias dan Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil. Jauteh berkata, hasil siasatan lanjut, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah melakukan beberapa siri serbuan susulan di Kota Kinabalu dan Tawau. Katanya, tiga lagi individu terdiri daripada seorang wanita dan dua lelaki berusia lingkungan 38 hingga 52 tahun berjaya ditahan untuk siasatan lanjut. “Semua suspek dipercayai terlibat dalam urusan transaksi dan penghantaran kotak-kotak mengandungi vape serta cecair THC tersebut dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. Sementara itu Jauteh berkata, kes kedua pula melibatkan sindiket pengedaran syabu dan serbuk ekstasi menerusi beberapa siri serbuan serta tangkapan enam individu di Kota Kinabalu, Penampang dan Sipitang bermula 11 Mei lalu. Katanya, operasi pertama dijalankan kira-kira jam 7 malam di kawasan parkir Plaza 88 Kepayan apabila dua lelaki ditahan di dalam sebuah kereta Perodua Bezza. “Hasil pemeriksaan menemui dua bungkusan disyaki syabu seberat dua kilogram sebelum soal siasat lanjut membawa kepada penemuan 50 bungkusan lagi dadah disyaki syabu seberat 50.95 kilogram di sebuah bilik sewa di Plaza Grand Millennium, Penampang. “Serbuan ketiga dilaksanakan di sebuah bilik sewa di Asas Home New World, Penampang dan berjaya menemukan 10 kilogram lagi syabu serta dua paket serbuk ekstasi. “Polis kemudian menahan beberapa lagi individu termasuk seorang wanita yang dipercayai mempunyai hubungan dengan ketua sindiket yang masih diburu pihak berkuasa,” katanya. Menurutnya, polis turut menahan seorang lelaki dipercayai pembantu kepada ketua sindiket ketika cuba melarikan diri ke Lawas, Sarawak melalui Pos CIQ Sindumin. “Rampasan dalam kes ini melibatkan 63.18 kilogram keseluruhan dadah jenis syabu, serbuk ekstasi dan ketamin yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3.16 juta. “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan,” katanya. Sehubungan itu, Jauteh menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah. “Memiliki, mengedar atau melindungi kegiatan dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang. JSJN akan terus komited memerangi ancaman dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang. “Orang ramai juga disaran untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah menerusi talian hotline JSJN di 012-208 7222,” katanya. – Info X
May 20, 2026
Info X Reporters
Subsidi petrol bersasar wajar dilaksana segera demi kelestarian fiskal negara
KOTA KINABALU: Pelaksanaan subsidi petrol bersasar terutama membabitkan golongan berpendapatan tinggi perlu disegerakan bagi memastikan kedudukan fiskal negara kekal mampan dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa. Felo Penyelidik Pusat Pembangunan dan Perancangan Ekonomi, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah, Prof Dr Caroline Geetha B. Arokiadasan, berkata pendekatan subsidi menyeluruh yang diamalkan sebelum ini perlu disemak semula susulan peningkatan beban kewangan kerajaan serta tekanan ekonomi global. Katanya, subsidi diwujudkan bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat di samping meningkatkan kebajikan pengguna dan pengeluar, namun pelaksanaannya selama ini diberikan secara umum tanpa mengira kategori pendapatan seperti B40, M40 dan T20. Beliau berkata, keadaan ekonomi semasa menuntut kerajaan melaksanakan pendekatan perbelanjaan yang lebih berhemah dan menyalurkan bantuan secara lebih tepat kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan. “Fokus utama ketika ini bukan lagi sama ada subsidi perlu diberikan atau tidak, sebaliknya menentukan kumpulan yang benar-benar layak menerima bantuan tersebut. “Golongan T20 dikenal pasti menggunakan hampir 40 hingga 50 peratus daripada subsidi petrol negara, sekali gus memberi tekanan besar terhadap perbelanjaan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan. Menurut beliau, pelaksanaan sistem kuota atau tier pricing system mampu membantu kerajaan mengurangkan beban kewangan selain memperkukuh kedudukan fiskal negara ke arah yang lebih lestari. Pada masa sama, beliau mengakui pelaksanaan subsidi bersasar berdepan beberapa cabaran termasuk memastikan data pendapatan rakyat sentiasa tepat serta dikemas kini bagi mengelakkan golongan layak tercicir daripada menerima bantuan. Katanya, kerajaan juga perlu mewujudkan mekanisme pengagihan subsidi yang telus, berintegriti dan mempunyai tahap akauntabiliti tinggi bagi memastikan pelaksanaannya lebih berkesan. Selain itu, beliau menekankan kepentingan memperkukuh sistem sokongan termasuk pengangkutan awam supaya rakyat mempunyai alternatif selain bergantung kepada penggunaan kenderaan persendirian. Mengulas kesan pelaksanaan dasar itu terhadap kos sara hidup, Geetha berkata reformasi ekonomi lazimnya akan mewujudkan kejutan awal kepada masyarakat sebelum keadaan kembali stabil. “Pada peringkat awal memang wujud ketidakseimbangan kerana rakyat perlu keluar daripada zon selesa, namun akhirnya masyarakat akan dapat menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut,” katanya. Beliau berkata, reformasi subsidi yang lebih tepat turut berupaya mengelakkan kerajaan daripada terus meningkatkan cukai atau menambah hutang negara bagi menampung perbelanjaan semasa. Katanya, peningkatan hutang kerajaan boleh memberi implikasi besar kepada generasi akan datang selain mengehadkan keupayaan negara menyalurkan peruntukan kepada sektor penting seperti pendidikan, kesihatan dan pembangunan infrastruktur. Dalam masa sama, beliau berkata pelaksanaan subsidi bersasar dijangka mengubah pola penggunaan rakyat ke arah lebih berhemah termasuk menggalakkan amalan berkongsi kenderaan, penggunaan pengangkutan awam serta mengurangkan perjalanan yang tidak perlu. “Reformasi subsidi merupakan langkah yang perlu dilaksanakan segera bagi memastikan kelestarian kewangan negara serta memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia pada masa hadapan,” katanya. – Info X
May 20, 2026
Info X Reporters
Gajah dengan belalai kelihatan kesan luka masih dicari – Jafry
KOTA KINABALU: Seekor gajah dikesan mengalami kecederaan belalai dipercayai berlaku di kawasan ladang FELDA Kalabakan Selatan di Kalabakan, baru-baru ini. Ia berdasarkan satu rakaman video tular di media sosial yang menunjukkan seekor gajah dengan keadaan belalainya kelihatan luka yang terbuka. Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Arifin dalam kenyataannya berhubung perkara itu, berkata aduan mengenai gajah berkenaan dilaporkan pada minggu lalu. Selepas menerima maklumat itu, katanya operasi mencari dan pemantauan lapangan dilaksanakan pada 13 dan 14 Mei lalu bagi mengesan gajah terbabit, namun tidak ditemui. “Disebabkan tidak dapat dijejaki, usaha menyelamat tidak dapat dilaksanakan dan tindakan seterusnya bergantung kepada maklumat baharu atau laporan tambahan dari lapangan,” katanya. Beliau berkata, maklum balas awal pasukan veterinar menyatakan kecederaan membabitkan belalai gajah adalah sangat kompleks. Katanya, sama ada prosedur pembinaan atau penyambungan semula belalai boleh dipertimbangkan, kebarangkalian kejayaan pemulihan fungsi normal anggota tubuh gajah itu akan berkurang. “Pakar veterinar juga menasihatkan usaha menyelamat perlu membabitkan banyak perkara berbanding rawatan segera luka. “Bergantung kepada keadaan gajah, ia mungkin memerlukan pembedahan bagi membuang tisu yang rosak atau membina semula otot belalai, diikuti penjagaan selepas pembedahan, rawatan harian, pengurusan makanan dan pemantauan berterusan sehingga dua minggu,” katanya. Jafry berkata, pemerhatian awal mencadangkan luka dialami gajah terbabit menunjukkan tanda pemulihan, namun pembukaan luka kelihatan tidak ideal. Ketika ini, katanya pemantauan rapat dijalankan petugas Jabatan Hidupan Liar (JHL), manakala keadaan luka dialami gajah terbabit tidak menunjukkan sebarang ancaman terhadap nyawanya. Sementara itu, katanya punca kecederaan dialami gajah terbabit masih dalam siasatan, termasuk disebabkan jerat dan kemungkinan objek tajam seperti pisau mengait tandan kelapa sawit yang tertinggal di ladang. “Kementerian saya akan terus bekerja rapat dengan JHL dan semua pihak berkepentingan untuk memantau kes ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya. – Info X