Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

May 16, 2026

Info X Reporters

28 ahli sindiket scam diserah kepada Imigresen untuk diusir

TAWAU: Seramai 28 warga asing yang terbabit dalam sindiket penipuan ‘love scam’ dan pelaburan dalam talian diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan pengusiran selepas dijatuhi hukuman denda oleh Mahkamah Majistret Tawau, Khamis lalu. Semua suspek terdiri daripada 26 lelaki warga China, seorang wanita warga China dan seorang wanita warga Vietnam yang ditahan dalam operasi khas polis pada 6 Mei lalu sebelum didakwa di mahkamah pada 14 Mei 2026. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sindiket berkenaan menjalankan kegiatan penipuan atas talian dengan menyasarkan mangsa dari Korea melalui platform komunikasi digital. Katanya, sindiket itu memperdaya mangsa untuk menyerahkan wang menerusi pelbagai taktik penipuan yang dikendalikan dari pusat operasi mereka di daerah ini. “Semua suspek didakwa mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Mahkamah Majistret Tawau. “Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 setiap seorang dan sekiranya gagal membayar denda boleh dipenjara antara dua hingga empat bulan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, kesemua suspek sudah menjelaskan bayaran denda dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM140,000. Jasmin berkata, semua warga asing terbabit diserahkan kepada JIM semalam untuk tindakan lanjut termasuk proses pengusiran ke negara asal masing-masing. “Tindakan tegas akan terus diambil bagi membanteras kegiatan penipuan atas talian yang semakin aktif dan memberi ancaman kepada masyarakat termasuk membabitkan sindiket warga asing,” katanya. – Info X

May 16, 2026

Info X Reporters

Kedai berhampiran stesen minyak musnah terbakar

SEMPORNA: Sebuah kedai berhampiran stesen minyak di Batu ¼ Jalan Bubul, di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi Sabtu. Bagaimanapun, kejadian kira-kira jam 5 pagi itu tidak melibatkan sebarang mangsa. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Rastam Keladi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 pada jam 5.06 pagi. Katanya, sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera dari BBP Semporna bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira satu kilometer dari balai. “Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 5.08 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah kedai jenis kekal berukuran 30×50 kaki persegi. “Kebakaran mengakibatkan premis berkenaan terbakar 95 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, operasi pemadaman turut dibantu tujuh anggota dari BBP Atas Air Semporna menggunakan sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT). Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air daripada tangki jentera serta pili bomba berhampiran. “Api berjaya dikawal pada jam 6.04 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.19 pagi selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian. “Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya. – Info X

May 16, 2026

Info X Reporters

Pindaan jumlah bahagian Gagasan Rakyat langkah strategik perkukuh parti – Nizam

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) meminda perlembagaannya bagi melaksanakan penstrukturan parti daripada 74 bahagian sekarang kepada hanya 26 bahagian pada Persidangan Agung Khas parti itu, di sini, esok. Ketua Penerangannya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata beliau menyambut baik langkah untuk membawa pindaan berkaitan penstrukturan jumlah bahagian parti itu yang dijelaskan dalam agenda persidangan khas mengikut Fasal 16.1. Pindaan itu, katanya adalah satu langkah strategik dan berpandangan jauh bagi memastikan struktur parti lebih kemas, tersusun serta berkesan dalam menghadapi cabaran politik semasa. “Penstrukturan daripada 74 bahagian kepada 26 bahagian bukan sekadar perubahan angka. Ia adalah usaha memperkukuh gerak kerja parti supaya lebih fokus, lebih mudah diselaraskan dan lebih berupaya digerakkan secara menyeluruh di peringkat akar umbi. “Saya percaya, struktur yang lebih tersusun akan membantu mengurangkan pertindihan gerak kerja, mempercepat penyampaian arahan serta memastikan tenaga dan sumber parti dapat digunakan dengan lebih cekap. “Melihat keadaan politik hari ini yang semakin mencabar, parti memerlukan organisasi yang bukan saja besar dari segi sokongan tetapi juga kuat dari segi disiplin, penyelarasan dan keberkesanan jentera,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Beliau berkata, pindaan itu juga wajar dilihat sebagai langkah untuk memperkukuh perpaduan dalaman Gagasan Rakyat. Jelasnya, apabila gerak kerja disusun mengikut struktur yang lebih kemas, pemimpin dan jentera di setiap kawasan dapat bergerak sebagai satu pasukan, bukan secara terpisah-pisah. “Saya ingin menegaskan bahawa penstrukturan ini tidak harus dilihat sebagai pengurangan peranan mana-mana pihak. Sebaliknya, ia adalah penyusunan semula kekuatan agar Gagasan Rakyat terus menjadi parti tempatan Sabah yang lebih mantap, responsif dan dekat dengan rakyat. “Sebagai Ketua Penerangan, saya melihat kekuatan Gagasan Rakyat sebagai sangat penting kepada kestabilan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan kerajaan negeri. “Gagasan Rakyat yang tersusun dan kukuh akan turut memperkukuh GRS sebagai gabungan politik tempatan yang menjadi tunjang kepada kestabilan Sabah. “Saya juga percaya bahawa langkah ini mencerminkan keberanian dan kebijaksanaan kepimpinan YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor selaku Presiden Gagasan Rakyar dan Pengerusi GRS dalam melakukan penyesuaian yang perlu demi masa depan parti,” katanya. Beliau menegaskan, apa yang penting ialah semua pihak perlu melihat pindaan itu dengan jiwa besar. “Ia bukan soal mengecilkan ruang, tetapi soal menyusun semula kekuatan. Ia bukan soal mengurangkan peranan, tetapi soal memperkukuh gerak kerja. “Saya yakin penstrukturan ini akan menjadikan Gagasan Rakyat lebih bersedia, lebih tersusun dan lebih kukuh dalam meneruskan perjuangan membela rakyat serta mempertahankan kepentingan Sabah,” katanya. – Info X

May 15, 2026

Info X Reporters

Bekas renjer hutan ditahan simpan koleksi bahagian hidupan liar dilindungi

TUARAN: Aktiviti seorang bekas renjer hutan mengumpul pelbagai bahagian haiwan liar dilindungi sejak puluhan tahun lalu terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa di sebuah rumah di Kampung Wokok Batangan, Batu 3 Jalan Timbok, di sini, hari ini. Dalam serbuan jam 7.15 pagi itu, lelaki tempatan berusia 60 tahun ditahan bersama pelbagai bahagian haiwan dilindungi bernilai lebih RM550,000. Serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman bersama Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah. Komander WCB/PSK, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, hasil serbuan berjaya menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai bahagian hasil haiwan hidupan liar yang dilindungi. “Antara yang dirampas ialah 55 pasang tanduk disyaki tanduk rusa, tiga batang disyaki sumbu badak, 330 keping sisik tenggiling, tulang serta gigi gajah, tengkorak beruang, tengkorak gajah dan beberapa bahagian haiwan lain. “Turut ditemui bangkai serta kulit ular sawa selain tanduk kijang, tanduk tambadau dan hempedu disyaki hempedu beruang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Katanya, siasatan awal mendapati suspek memperoleh bahagian haiwan itu dengan membeli daripada penduduk kampung di kawasan pedalaman Sabah selain mengumpul mana-mana bahagian haiwan yang ditemui untuk dijadikan koleksi peribadi. “Suspek dipercayai mula mengumpul bahagian haiwan liar itu ketika berkhidmat sebagai renjer hutan sejak 1986 sebelum bersara pilihan pada 2019 akibat masalah kesihatan,” katanya. Mohd Zaki berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM589,230 manakala nilai sebenar sitaan berjumlah RM550,100. Katanya, semua rampasan bersama suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) dan Seksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 Sabah kerana memiliki dan menyimpan hidupan liar dilindungi tanpa permit sah,” katanya. Menurutnya, operasi bersepadu itu berjaya mengekang kegiatan penyimpanan dan pemilikan bahagian hidupan liar dilindungi tanpa lesen di sekitar daerah berkenaan. – Info X

May 15, 2026

Info X Reporters

Lori bawa barang kawalan tanpa permit, lelaki ditahan PPM

BEAUFORT: Cubaan seorang lelaki membawa pelbagai barang kawalan tanpa permit sah terbongkar selepas lori dipandunya ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah di kawasan Kampung Klias, Jalan Bypass, di sini, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, lelaki warga tempatan berusia 52 tahun berkenaan ditahan selepas didapati gagal mengemukakan permit membeli, membawa dan menyimpan minyak petrol yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pemeriksaan dijalankan sepasukan anggota PPM terhadap lori terbabit yang berada dalam keadaan mencurigakan. “Hasil pemeriksaan mendapati lori itu membawa pelbagai barang kawalan disyaki disimpan dan dibawa tanpa kebenaran sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. “Antara barang yang ditemui ialah tong gas petroleum cecair (LPG), gula pasir jenama Prai, minyak masak jenama Rusa Terbang, minyak masak jenama Udang Emas serta minyak petrol,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, susulan itu pihak polis menahan lelaki terbabit bagi membantu siasatan lanjut.Katanya, semua barang kawalan berkenaan turut dirampas dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM9,218. “Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. Ahmad Amri berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperkukuhkan operasi pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan yang boleh menjejaskan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat. Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah dan penyeludupan diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha penguatkuasaan demi keselamatan negara. – Info X

May 15, 2026

Info X Reporters

54 warga asing ditahan dalam Ops Sapu di Sipitang, Semporna

SEMPORNA: Seramai 54 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam operasi penguatkuasaan Ops Sapu dan Ops Kutip yang dijalankan di Sipitang serta Semporna, semalam. Dalam operasi itu, kebanyakan warga asing yang ditahan dipercayai melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah dan melanggar syarat pas di bawah Akta Imigresen 1959/63. Di Sipitang, operasi yang dijalankan memeriksa seramai 68 individu sebelum menahan 50 warga asing membabitkan 14 lelaki dewasa warga Filipina, 12 wanita dewasa, 10 kanak-kanak lelaki dan 12 kanak-kanak perempuan. Turut ditahan dua lelaki dewasa warga Pakistan. Sementara itu di Semporna, Ops Sapu dan Ops Kutip yang dijalankan memeriksa enam individu dengan empat lelaki warga Pakistan turut ditahan atas kesalahan imigresen. JIM Sabah dalam kenyataan hari ini berkata, semua warga asing yang ditahan dibawa ke depot tahanan imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut. Menurutnya, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini. “JIM Sabah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang imigresen negara. “Operasi seperti ini akan diteruskan bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen sentiasa dipelihara,” katanya. – Info X

May 15, 2026

Info X Reporters

Briged Sabah tumpas sindiket seludup barang kawalan, 11 ditahan

KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan menerusi Operasi Bersepadu Intra/Inter Agensi (Op Tiris Briged Sabah PGA) yang dijalankan serentak di lapan daerah di negeri ini, pada 13 Mei lalu. Operasi bermula kira-kira jam 8 pagi hingga 6 petang itu dijalankan di Kota Kinabalu, Tawau, Keningau, Semporna, Sandakan, Beluran, Kunak dan Lahad Datu. Komander Briged Sabah PGA, Datuk Nor Omar Sappi berkata operasi bersepadu itu dilaksanakan bertindak atas maklumat bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta penyelewengan barang kawalan di seluruh negeri Sabah. “Operasi itu melibatkan kekuatan 101 anggota iaitu 76 pegawai dan anggota Briged Sabah PGA serta 25 pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). “Sebanyak 11 serbuan berjaya dilakukan sepanjang operasi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, hasil operasi turut membawa kepada penahanan 11 individu berumur antara 20 hingga 66 tahun membabitkan sembilan warga tempatan iaitu lapan lelaki dan seorang wanita serta dua lelaki warga asing. Katanya, semua tangkapan didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau. “Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM586,779.76 membabitkan pelbagai barang kawalan dan aset. “Rampasan meliputi 3,245 liter diesel bernilai RM6,978.75, 3,818 liter petrol bernilai RM15,348.36, 1,062 paket minyak masak bernilai RM2,655, 173 tong LPG bernilai RM43,250, 1,019 paket tepung bernilai RM3,566.50 dan 639 paket gula pasir bernilai RM1,821.15,” katanya. Beliau berkata, turut dirampas ialah empat unit kenderaan atau bot bernilai RM447,000 serta 38 unit pelbagai peralatan lain bernilai RM66,160. Sementara itu, beliau berkata antara kesalahan dikenal pasti ialah di bawah Peraturan 1974 Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Imigresen 1963. “Kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada agensi berkaitan untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya. Nor Omar berkata pihaknya kekal komited dan konsisten dalam membanteras aktiviti penyeludupan serta penyelewengan barang kawalan khususnya di negeri Sabah. Beliau turut menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti berkenaan supaya menyalurkannya kepada pihak berkuasa bagi membantu tindakan penguatkuasaan. – Info X

May 15, 2026

Info X Reporters

Sabah Electricity beri penjelasan isu kenaikan bil elektrik kepada UPPM

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) memberi penjelasan kepada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) berhubung isu kenaikan bil elektrik, di ibu pejabat unit itu di Menara Kinabalu, di sini, pada Jumaat. Penjelasan itu disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir Mohd Yaakob Jaafar kepada pegawai UPPM dan PPM yang hadir, termasuk pengarahnya, Datuk Awang Kadin Tang. Program libat urus itu dihadiri PPM dari beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Sepanggar, Kota Kinabalu, Penampang dan Papar. Awang Kadin berkata, program itu turut menjadi platform untuk bertukar pandangan, berkongsi maklumat semasa dan membincangkan isu serta cabaran di peringkat akar umbi supaya tindakan susulan dapat diambil secara lebih tersusun dan menyeluruh. “Selain itu, Sabah Electricity juga memberikan penjelasan berkenaan isu kenaikan bil yang sedang tular dan wang cagaran serta faktor kenaikan bil elektrik. “Sabah Electricity juga menjelaskan menambahbaik aplikasi mySE+, ini mencerminkan usaha berterusan syarikat itu dalam menyediakan platform digital yang lebih responsif, mudah digunakan dan memenuhi keperluan pengguna,” katanya. Pada sesi itu, Awang Kadin menekankan kepentingan kerjasama erat dan komitmen semua pegawai serta PPM dalam memastikan dasar dan inisiatif kerajaan negeri dapat diterjemahkan secara efektif kepada rakyat. Sesi soal jawab yang berlangsung pada akhir program turut memberi ruang kepada pemimpin komuniti untuk membincangkan isu-isu semasa yang sering dibangkitkan oleh masyarakat setempat. Awang Kadin menyeru semua pihak agar terus memperkukuh semangat kerja berpasukan dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan demi kesejahteraan masyarakat di kawasan masing-masing. Program itu diadakan bagi memperkukuh koordinasi dan penyelarasan sesi libat urus Sabah Electricity bersama UPPM Sabah, khususnya dalam memastikan pelaksanaan program pembangunan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berjalan lebih berkesan. – Info X