May 15, 2026
Info X Reporters
Sorok petrol dalam tong di muara sungai
KUDAT: Sebanyak 18 tong berisi petrol dipercayai cuba diseleweng ditemukan terapung di muara sungai Kampung Pagason, Pitas dalam Op Tiris 4.0 (Bersepadu), semalam. Rampasan membabitkan 3,600 liter petrol bernilai RM7,164 itu diserahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Kudat untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. Ketua Cawangan KPDN Kudat, Nazatul Shima Karim berkata, rampasan tanpa tuan (RTT) itu diserahkan Kompeni C Batalion 16 PGA Kudat selepas bahan api berkenaan ditemui di kawasan muara sungai terbabit. “Sebanyak 18 tong drum plastik dengan kapasiti anggaran 200 liter setiap satu dijumpai terapung di kawasan muara sungai Kampung Pagason. “Kegiatan itu dipercayai dilakukan di kawasan terpencil bagi mengelak dikesan pihak berkuasa selain menyembunyikan aktiviti penyelewengan barang kawalan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, KPDN Kudat turut merakamkan penghargaan kepada PGA atas kerjasama strategik serta tindakan proaktif dalam menjayakan Op Tiris 4.0 (Bersepadu). Katanya, KPDN akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi memastikan bekalan barang kawalan kekal terjamin dan sampai kepada golongan sasaran. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan diminta menyalurkan maklumat kepada pihak KPDN melalui saluran rasmi yang disediakan,” katanya. – Info X
May 15, 2026
Info X Reporters
Dua stor musnah dalam kebakaran di Kudat
KUDAT: Dua stor musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Taman Pakka 3, di sini, pagi tadi, manakala dua rumah berhampiran hanya mengalami kerosakan kecil. Dalam kejadian kira-kira jam 9.10 pagi itu, kebakaran turut memusnahkan sebuah Perodua Kancil yang berada berhampiran lokasi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Pegawai Penguasa Bomba Darickson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 sebelum sepasukan 14 anggota bersama beberapa jentera dikejarkan ke lokasi. Katanya, setibanya di lokasi kejadian, api didapati sedang marak membakar dua setor jenis tidak kekal berkeluasan 35×50 kaki sehingga musnah 100 peratus. “Dua rumah jenis separuh kekal berhampiran turut terkena bahang kebakaran namun hanya mengalami kerosakan sekitar 10 peratus. “Sebuah kereta jenis Perodua Kancil turut terbakar sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan empat pancutan menggunakan sumber air dari tangki jentera. Katanya, operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Air Kudat, polis dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB). “Tiada mangsa dilaporkan terbabit dan api berjaya dikawal pada jam 10.07 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.25 tengah hari,” katanya. – Info X
May 15, 2026
Info X Reporters
Mekanik maut jatuh bawah jambatan selepas kereta terbabas
KOTA MARUDU: Seorang mekanik maut selepas dipercayai terjatuh ke bawah jambatan apabila kereta dipandunya terbabas dalam kejadian di Jambatan Jalan Kampung Masin, Pitas, awal pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa Beriuse Masikah, 41, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala. Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai kemalangan berkenaan pada jam 1.50 pagi sebelum sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) dikejarkan ke lokasi. Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu Mitsubishi Mirage sedang dalam perjalanan dari arah Kampung Kanibongan menuju ke Kampung Narandang, Pitas. “Ketika melalui jalan lurus dan gelap di lokasi kejadian, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di atas jambatan kayu. “Mangsa dipercayai cuba keluar dari kenderaan namun terjatuh ke bawah jambatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pada jam 2.45 pagi oleh pegawai perubatan Hospital Pitas. “Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Pitas untuk proses bedah siasat,” katanya. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan. – Info X
May 15, 2026
Info X Reporters
Lelaki maut, lori terjunam ke gaung
KOTA MARUDU: Seorang pemandu lori maut selepas lori muatan batu dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam gaung di Jalan Kampung Taliduson, Pitas, petang semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa Sudirman Shamsul, 58, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala. Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihak polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 4.40 petang sebelum sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) bergegas ke lokasi. Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu lori Nissan Rigid Dumper membawa muatan batu sedang dalam perjalanan dari tapak Kuari Lo Kui Foh menuju ke kawasan memproses batu di Kampung Salimpodon, Pitas. “Ketika melalui jalan menuruni bukit, lori dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan masuk ke dalam gaung di bahu kanan jalan. “Kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9.57 malam oleh pembantu pegawai perubatan Hospital Pitas. “Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Pitas untuk proses bedah siasat,” katanya. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan. – Info X
May 15, 2026
Info X Reporters
500 belia Sabah gegar HBN 2026, rekod kontinjen penyertaan tertinggi
SEREMBAN: Kontinjen belia Sabah sekali lagi mencipta rekod apabila menghantar seramai 500 peserta ke Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2026 di X Park Sendayan, di sini, sekali gus muncul kontinjen dengan penyertaan tertinggi pada acara berkenaan. Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan, berkata jumlah itu membuktikan komitmen berterusan belia Sabah dalam menyahut agenda pembangunan belia di peringkat kebangsaan. Beliau berkata, penyertaan besar yang direkodkan itu bukan perkara baharu kerana Sabah secara konsisten mencatat kehadiran tertinggi setiap kali sambutan HBN diadakan di negeri tuan rumah. “Saban tahun kontinjen belia Sabah mencatatkan penyertaan tertinggi di setiap sambutan HBN yang diadakan di negeri-negeri terpilih sebagai tuan rumah. “Ini membuktikan komitmen berterusan belia Sabah yang turut didokong kerajaan negeri dalam usaha membangunkan golongan belia di peringkat kebangsaan,” katanya dalam kenyataan media, pada Jumaat. Pada masa sama, beliau berharap kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat meningkatkan komitmen terhadap pembangunan belia di Sabah yang kini mempunyai populasi kira-kira 2.2 juta penduduk. Menurutnya, keperluan belia di Sabah perlu diberikan perhatian lebih menyeluruh khususnya dalam aspek pembangunan kapasiti dan peluang yang boleh memberi impak jangka panjang kepada negeri. “Harapan kita kepada kerajaan Persekutuan khususnya KBS agar komitmen pembangunan belia Sabah dapat dipertingkatkan terutama dalam aspek yang menyentuh keperluan belia di negeri ini. “Sokongan dalam bentuk geran pembangunan keusahawanan, kesukarelawanan, kepimpinan, sukan dan teknologi adalah antara keperluan utama belia Sabah yang juga mampu memberi impak positif kepada pembangunan negeri dalam jangka panjang,” katanya. Terdahulu, kontinjen Sabah diketuai Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Seri Dr Anil Sandhu ke sambutan HBN 2026 yang berlangsung di X Park Sendayan, di sini, pada Jumaat. Turut hadir pada sambutan berkenaan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari; Datuk Seri Dr Anil Sandhu serta Abqaree Fawwaz Abekan. – Info X
May 15, 2026
Info X Reporters
Warga Korea antara 28 PATI ditahan dalam operasi JIM Sabah
KOTA KINABALU: Seorang warga Korea antara 28 warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam beberapa operasi penguatkuasaan di Keningau, Kota Kinabalu dan Kudat. Operasi membabitkan Ops Sapu, Ops Belanja dan Ops Pintu itu dijalankan bagi mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta warga asing yang melanggar syarat imigresen negara. Di Kota Kinabalu, seramai 22 individu diperiksa dalam operasi berkenaan sebelum enam warga asing ditahan terdiri daripada warga Filipina, Indonesia, Pakistan dan Korea atas pelbagai kesalahan imigresen. Sementara itu di Keningau, Ops Sapu yang dijalankan memeriksa 92 individu sebelum menahan 16 warga asing kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan melanggar syarat pas. Tangkapan di daerah itu membabitkan lima warga Filipina terdiri seorang lelaki dewasa, dua wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan. Turut ditahan 11 warga Indonesia membabitkan lima lelaki dewasa, dua wanita dewasa, tiga kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan. Di Kudat pula, seramai 24 individu diperiksa dalam Ops Sapu dengan enam warga Filipina ditahan membabitkan dua lelaki dewasa, dua wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan. JIM Sabah berkata, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI selain memastikan undang-undang imigresen negara sentiasa dipatuhi. – Info X
May 15, 2026
Info X Reporters
Upper Padas Power mula bangunkan Skim Bekalan Air Ulu Padas
KOTA KINABALU: Upper Padas Power Sdn Bhd (UPPSB) secara rasmi mengambil alih kawasan pembangunan Projek Skim Bekalan Air Ulu Padas (SBAUP) selepas penyerahan tapak dari Jabatan Air Negeri Sabah (JANS). Majlis penyerahan tapak yang berlangsung di Lok Kawi pada 12 Mei lalu itu disempurnakan Pengarah JANS, Chee Chun Chieh kepada Pengerusi UPPSB, Datuk Ir Ts Adzmir Abd Rahman. Dengan selesainya majlis itu, ia secara rasmi menandakan bermulanya secara kerja-kerja pembinaan projek strategik bekalan air berkenaan oleh UPPSB. Hadir menyaksikan majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah, Datuk Ridhwan Roger Linus dan Pengerusi Sabah Energy Corporation Sdn Bhd, Datuk Annuar Ayub. Penyerahan tapak berkenaan turut mencatat satu lagi pencapaian penting dalam usaha kerajaan negeri memperkukuh jaminan bekalan air jangka panjang menerusi pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ). Projek SBAUP dibangunkan bagi memenuhi peningkatan permintaan bekalan air terawat di koridor pantai barat Sabah yang meliputi Kota Kinabalu, Beaufort, Sipitang dan Kuala Penyu. Skim itu direka dengan kapasiti muktamad sehingga 950 juta liter sehari (MLD) dan mengguna pakai konsep reka bentuk ‘bolt-on’ bersama Projek Hidroelektrik Ulu Padas sedia ada bagi mengoptimumkan penggunaan sumber serta meminimumkan impak terhadap alam sekitar. Majlis berkenaan juga menandakan bermulanya tempoh pelaksanaan projek selama 42 bulan yang disifatkan sebagai langkah signifikan dalam menjamin masa depan bekalan air Sabah, selain membantu merapatkan jurang keperluan bekalan antara kawasan bandar dan luar bandar. Fasa pertama SBAUP dijadual siap menjelang penghujung 2029, membabitkan pembinaan loji rawatan air berkapasiti 350 MLD di Beaufort serta pemasangan lebih 200 kilometer saluran paip dari Sipitang ke Kota Kinabalu. Pelaksanaan fasa itu dijangka mampu meningkatkan kestabilan sistem bekalan air negeri, sekali gus mengurangkan gangguan bekalan air yang sering dihadapi pengguna di kawasan terlibat. UPPSB adalah anak syarikat milik penuh UPP Holdings Sdn Bhd, iaitu syarikat usaha sama strategik antara Gamuda Berhad, Sabah Energy Corporation Sdn Bhd dan Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn Bhd. – Info X
May 14, 2026
Info X Reporters
Cuba larikan 3,000 liter diesel, bot dipintas APMM
SEMPORNA: Cubaan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) melarikan kira-kira 3,000 liter minyak diesel disyaki diseleweng gagal apabila dipintas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Pulau Gaya, di sini, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 petang itu, bot ronda Banggi 09 yang menjalankan Op Khas Cegah PATI (OCP) Sektor Timur, Op Tiris 4.0 dan Op Sejahtera mengesan sebuah bot kargo berwarna biru dalam keadaan mencurigakan. Pengarah Maritim Zon Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, suspek dipercayai bertindak memecut laju sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa bagi mengelak diperiksa. “Bagaimanapun, hasil tindakan pantas dan kecekapan anggota operasi, bot terbabit berjaya dipintas pada kedudukan 7.5 batu nautika barat laut Pulau Gaya. “Hasil pemeriksaan lanjut menemukan sebuah tangki yang diubah suai dan diisi cecair disyaki minyak diesel dengan anggaran kapasiti kira-kira 3,000 liter,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, kejayaan itu hasil risikan serta pemantauan berterusan Maritim Malaysia di kawasan hotspot yang dikenal pasti aktif dengan kegiatan penyelewengan dan penyeludupan bahan bersubsidi. Katanya, seorang tekong bersama tiga awak-awak turut ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan muatan bahan api berkenaan. “Turut dirampas sebuah bot nelayan tempatan, enjin Mitsubishi 85HP, pam air jenama Asuka serta beberapa dokumen peribadi dan lesen bot. “Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan hampir RM58,000,” katanya. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63 sebelum semua suspek bersama bot ditunda ke Jeti Kem Azumi untuk tindakan lanjut. Katanya, APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan permit atau menjalankan aktiviti penyeludupan di perairan negara. – Info X