September 18, 2026
Info X Reporters
Gempa bumi lemah dikesan berhampiran Sandakan
SANDAKAN: Gempa bumi lemah bermagnitud 3.7 dikesan di Borneo pada jam 10.30 malam tadi. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, gempa berkenaan berlaku pada koordinat 6.6 darjah utara dan 118.3 darjah timur dengan kedalaman 392 kilometer. Menurutnya, lokasi gempa terletak kira-kira 88 kilometer di utara Sandakan dan 354 kilometer di selatan Palawan, Filipina. Bagaimanapun, MetMalaysia mengesahkan kejadian itu tidak mendatangkan ancaman tsunami kepada Malaysia. – Info X
September 17, 2026
Info X Reporters
Landasan KKIA dibuka semula selepas pemeriksaan keselamatan
KOTA KINABALU: Landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dibuka semula pada jam 11 malam ini selepas kerja pembaikan dan pemeriksaan keselamatan selesai dilaksanakan. Malaysia Airports menerusi hantaran di Facebook malam ini memaklumkan, operasi landasan disambung semula selepas pemeriksaan keselamatan terakhir mengesahkan ia selamat digunakan. “Penumpang yang melakukan perjalanan dari dan ke lapangan terbang dinasihatkan supaya menyemak status serta perkembangan terkini penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing,” menurut hantaran itu. Terdahulu, landasan KKIA ditutup sementara bagi membolehkan kerja penting dilaksanakan, namun hujan berterusan menjejaskan kemajuan kerja berkenaan. Penutupan itu menyebabkan 20 penerbangan terjejas, manakala Malaysia Airports bekerjasama dengan syarikat penerbangan bagi menguruskan kesan operasi dan membantu penumpang terbabit. – Info X
September 17, 2026
Info X Reporters
Landasan KKIA masih ditutup, 20 penerbangan terjejas
KOTA KINABALU: Landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) masih ditutup sementara bagi membolehkan kerja penting diselesaikan dengan selamat. Malaysia Airports dalam kenyataan hari ini memaklumkan, hujan berterusan menjejaskan kemajuan kerja di landasan berkenaan. Menurutnya, penutupan sementara itu menyebabkan 20 penerbangan terjejas hari ini. “Kami sedang bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan bagi menguruskan kesan terhadap operasi dan membantu penumpang yang terjejas. “Keselamatan kekal menjadi keutamaan dan operasi penerbangan hanya akan disambung selepas landasan disahkan selamat digunakan,” menurut kenyataan itu. Tambahnya, penumpang dinasihatkan supaya menyemak status terkini penerbangan secara terus dengan syarikat penerbangan masing-masing. Sementara itu, Malaysia Airports turut memohon maaf atas kesulitan yang berlaku serta menghargai kesabaran dan pemahaman penumpang. Terdahulu, Notis Kepada Juruterbang (NOTAM) dikeluarkan berhubung penutupan sementara landasan KKIA bagi membolehkan kerja pembaikan, pemeriksaan keselamatan dan pembersihan dijalankan. – Info X
September 17, 2026
Info X Reporters
Pekerja binaan warga asing maut terjatuh dari tingkat 20
PENAMPANG: Seorang pekerja binaan warga asing berusia 20 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 20 sebuah bangunan yang dalam pembinaan di Jalan Bundusan, di sini, pagi tadi. Kejadian jam 10.40 pagi itu berlaku ketika mangsa lelaki sedang menjalankan kerja pembinaan di aras berkenaan sebelum terjatuh ke tingkat bawah. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi. Katanya, pemeriksaan di tempat kejadian dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang bersama Pasukan Forensik D10, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah. “Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian. “Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Sementara itu, Sammy menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta tidak menyebarkan gambar atau video kejadian bagi menghormati keluarga mangsa. “Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Mejar Patrick Duffy Francis Dicka di talian 013-8385335 atau IPD Penampang di talian 088-712222,” katanya. – Info X
September 17, 2026
Info X Reporters
Galeri Polis Sabah dibuka kepada awam, pamer ratusan koleksi bersejarah
KOTA KINABALU: Orang ramai kini berpeluang menelusuri sejarah kepolisan Sabah sejak era penjajahan hingga zaman moden menerusi pembukaan Galeri Polis Sabah, bermula hari ini. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, galeri itu menempatkan ratusan koleksi bersejarah termasuk kelengkapan, gambar dan aset logistik yang pernah digunakan pasukan polis. Katanya, antara bahan dipamerkan ialah mesin taip, alat komunikasi, senjata serta pelbagai peralatan berkaitan perkembangan kepolisan di negeri ini. “Jika dihitung satu persatu, terdapat ratusan koleksi membabitkan kelengkapan kepolisan, sejarah, gambar dan aset logistik yang digunakan sejak era penjajahan hingga zaman moden. “Galeri ini turut memaparkan gambaran beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku di Sabah, termasuk senjata yang digunakan dalam kejadian bersejarah,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Galeri Polis Sabah kepada orang awam, di sini, hari ini. Menurutnya, antara sejarah penting yang diketengahkan ialah peristiwa berdarah pencerobohan Lahad Datu pada 2013. “Setiap peristiwa penting sejak era penjajahan hingga sekarang dipaparkan supaya masyarakat dapat memahami sejarah dan pengorbanan pasukan polis di Sabah,” katanya. Galeri berkenaan dibuka setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 5 petang, namun pengunjung perlu menetapkan temu janji terlebih dahulu dengan pegawai bertanggungjawab. Jauteh berkata, ketetapan itu perlu kerana galeri berkenaan terletak dalam kawasan larangan dan setiap pengunjung perlu didokumentasikan mengikut prosedur keselamatan. “Lawatan secara individu atau berkumpulan dibenarkan, tetapi pengunjung perlu memaklumkan lebih awal bagi membolehkan urusan dokumentasi dan keselamatan dibuat,” katanya. Menurutnya, kadar bayaran lawatan belum ditetapkan dan pihak pengurusan akan menilai keperluan mengenakannya selepas beberapa siri lawatan dilaksanakan. – Info X
September 17, 2026
Info X Reporters
Polis Sabah terima 13 laporan isu ucapan Ketua UMNO Sepang
KOTA KINABALU: Polis Sabah menerima 13 laporan berhubung ucapan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said yang didakwa menyentuh sensitiviti agama. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, semua laporan diterima sehingga tengah hari tadi daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pemimpin setempat. Katanya, laporan berkenaan dirujuk kepada laporan awal yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kelana Jaya bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh. “Semua laporan berkenaan sudah dirujuk kepada laporan awal di IPD Kelana Jaya dan tindakan siasatan sedang dijalankan pihak berkuasa,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Lawatan Awam ke Galeri Polis Negeri Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini. Sementara itu, Jauteh turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak mengikut emosi ketika isu berkenaan masih mendapat perhatian dan tular di media sosial. “Kita berharap masyarakat melihat perkara ini secara matang. Laporan yang dibuat sudah diambil tindakan oleh PDRM bagi memastikan siasatan dilaksanakan secara telus,” katanya. Isu berkenaan mendapat perhatian selepas rakaman ucapan Noorazli pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini tular di media sosial. Ucapannya yang didakwa membuat jenaka mengaitkan paderi dan biarawati Kristian mencetuskan pelbagai reaksi serta membawa kepada laporan polis dibuat di seluruh negara. – Info X
September 17, 2026
Info X Reporters
Penunggang motosikal maut bertembung lori
KUNAK: Seorang lelaki berusia 50 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 6, Jalan Kunak-Lahad Datu, di sini, hari ini. Kemalangan kira-kira jam 11 pagi itu berlaku ketika lori Mitsubishi Rigid dipandu lelaki berusia 20-an dalam perjalanan dari Lahad Datu menuju ke Kunak. Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Rejali Angong berkata, motosikal Modenas ditunggang mangsa dipercayai keluar secara tiba-tiba dari simpang di sebelah kanan laluan lori. “Disebabkan jarak terlalu dekat, pemandu lori tidak sempat mengelak sebelum bertembung dengan motosikal berkenaan. “Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Rejali berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan memastikan keadaan serta jarak selamat sebelum keluar dari simpang. “Pengguna jalan raya juga diminta bertimbang rasa ketika memandu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya. – Info X
September 17, 2026
Info X Reporters
Dua jambatan baharu bernilai RM23.3 juta siap di Kadamaian
KOTA BELUD: Dua projek jambatan konkrit bernilai keseluruhan RM23.3 juta di Kampung Kaung dan Melangkap dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, di sini, kini siap sepenuhnya. Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick, berkata, kemudahan itu memudahkan perhubungan, selain membantu merancakkan kegiatan ekonomi penduduk di kawasan itu. Beliau berkata, jambatan konkrit Kampung Kaung sepanjang 100 meter melibatkan peruntukan RM14.3 juta, termasuk pembinaan sebuah pembetung bagi laluan anak sungai, dimulakan pada Ogos 2024 dan siap sepenuhnya awal bulan ini. Beliau yang juga ADUN Kadamaian berkata, jambatan konkrit di Kampung Melangkap pula sepanjang 50 meter dengan kos kira-kira RM9 juta dimulakan pada Februari 2025 dan siap sepenuhnya pada Ogos lalu. “Kedua-dua jambatan ini akan membawa perubahan besar kepada kegiatan ekonomi dan kehidupan ribuan penduduk di Mukim Kaung dan Mukim Melangkap. “Sebagai wakil rakyat di kawasan ini, saya yakin kedua-dua projek ini akan menjadi pemangkin kepada kegiatan ekonomi dan meningkatkan kualiti kehidupan ribuan penduduk yang menggunakan kemudahan ini. “Saya akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi, termasuk JKR Sabah, Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah serta rakan-rakan dalam Kerajaan Negeri dan Persekutuan bagi menjayakan rancangan pembangunan Kadamaian seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020–2035,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau pelaksanaan kedua-dua projek berkenaan bersama pegawai JKR Sabah, Pejabat Daerah Kota Belud dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, pada Khamis. Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang menyediakan peruntukan bagi kedua-dua projek itu. “Terima kasih juga kepada agensi pelaksana, iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, serta syarikat pelaksana yang dilantik kerana memastikan kedua-dua projek ini dapat disiapkan sepenuhnya,” katanya. Dalam lawatan itu, Ewon turut meninjau Jalan SK Kaung sepanjang tiga kilometer dan Jalan Melangkap-Kebayau yang telah dimasukkan dalam senarai keutamaan untuk dilaksanakan tahun depan menerusi pembiayaan Kerajaan Negeri. Katanya, cadangan menaik taraf kedua-dua jalan itu dibuat susulan permintaan dan aduan penduduk, selain menjadi sebahagian daripada perancangan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian. “Ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk memastikan pembangunan infrastruktur berskala besar terus dilaksanakan secara berterusan di Kadamaian,” katanya. Ewon berkata, beberapa lagi projek jalan raya berskala besar kini sedang dilaksanakan di kawasan DUN Kadamaian, termasuk Jalan Sayap, Jalan Tengkurus, Jalan Podos, Jalan Kinasaraban serta Jalan Taginambur- Komburaon. – Info X