May 13, 2026
Info X Reporters
Lelaki melecur kaki kiri dalam kebakaran rumah di Tanjung Batu Laut
TAWAU: Seorang lelaki melecur di kaki kiri selepas rumah didiaminya terbakar 80 peratus dalam kejadian di FGB, Tanjung Batu Laut, di sini, hari ini. Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa dikenali sebagai Muhammad Nazrin Ayan, 35, dilaporkan mengalami kecederaan melecur sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) bomba. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.05 petang. Katanya, seramai 16 anggota bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lapan kilometer dari balai. “Sebaik tiba pada jam 3.15 petang, pasukan mendapati sebuah rumah jenis kekal berukuran 30 kaki x 30 kaki terbakar 80 peratus. “Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 400 kaki dengan dua pancutan dan sumber air daripada jentera Water Tanker,” katanya ketika dihubungi hari ini. Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.30 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.05 petang selepas keadaan dipastikan selamat. – Info X
May 13, 2026
Info X Reporters
Premis antik simpan gigi disyaki harimau, beruang diserbu, rampasan lebih RM5.32 juta
KOTA KINABALU: Kegiatan menjual pelbagai bahagian hidupan liar dilindungi termasuk gigi disyaki harimau, beruang dan batu landak terbongkar selepas sebuah premis antik di Jalan Gaya, di sini, diserbu pihak berkuasa, hari ini. Dalam operasi kira-kira jam 9.45 pagi itu, seorang lelaki tempatan ditahan manakala pelbagai bahagian haiwan hidupan liar dilindungi bernilai lebih RM5.32 juta turut dirampas. Serbuan dijalankan sepasukan pegawai dari Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) JKDNKA Bukit Aman bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL). Komander WCB/PSK, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, hasil serbuan ke atas premis Antique Shop Sdn Bhd itu berjaya menahan seorang lelaki Cina tempatan berusia 52 tahun yang dipercayai pemilik premis. Katanya, pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai bahagian haiwan hidupan liar yang dilindungi termasuk 16 batang gigi disyaki spesies babi hutan, sembilan batang gigi disyaki harimau dan 10 batang gigi disyaki beruang. “Turut dirampas 13 biji batu landak serta 394 keping sarang burung walit dengan anggaran berat keseluruhan 2.243 kilogram. “Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM5.32 juta,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, hasil temu bual awal mendapati suspek mengaku membeli sarang burung walit dan batu landak daripada pembekal di kawasan Lintas tanpa lesen atau permit sah. “Bahagian haiwan hidupan liar yang dilindungi pula dipercayai diperoleh daripada penduduk kampung di Tawau pada harga murah sebelum dijual semula untuk pasaran tempatan sekitar Kota Kinabalu. “Kesemua barang itu tidak mempunyai sebarang lesen atau permit penyimpanan daripada pihak berkuasa,” katanya. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) dan Seksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 Sabah kerana memiliki serta menjual hidupan liar dilindungi tanpa permit sah. Katanya, suspek bersama rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan lanjut. – Info X
May 13, 2026
Info X Reporters
Tiga pembantu penguat kuasa ditahan disyaki terima rasuah RM10,000
KOTA KINABALU: Tiga pembantu penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM10,000. Rasuah itu dipercayai sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori milik sebuah syarikat perkakasan dan pengangkutan yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas. Semua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 4 petang dan 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah. Menurut sumber, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan berkenaan antara Januari 2023 hingga Oktober 2024. “Kesemua suspek disyaki menerima wang rasuah secara bulanan sebanyak RM500 menerusi transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi pihak ketiga. “Wang itu dipercayai sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori syarikat terbabit yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya. Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dibubungi mengesahkan penahanan berkenaan. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
May 13, 2026
Info X Reporters
Op Taring Sangkar bongkar simpanan ayam sabung tanpa lesen
SANDAKAN: Kegiatan menyimpan puluhan ayam sabung dipercayai baka import tanpa lesen sah terbongkar selepas dua premis di Batu 7, Jalan Airport di sini, diserbu dalam Op Taring Sangkar, semalam. Dalam operasi kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, dua lelaki ditahan manakala 87 ekor ayam disyaki ayam sabung bersama pelbagai peralatan dan ubat-ubatan berkaitan dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM529,245. Operasi bersepadu itu dijalankan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman bersama Jabatan Veterinar Sabah daerah Sandakan. Komander WCB/PSK, Datuk Mohd Zaki Azhar berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat berkaitan kegiatan penyimpanan ayam sabung dipercayai dibawa masuk dari luar negara tanpa permit sah. “Hasil serbuan di lokasi pertama berjaya menahan seorang lelaki pemegang kad sementara berusia 30 tahun yang dipercayai pemilik premis. “Pemeriksaan menemui 18 ekor ayam disyaki ayam sabung selain beberapa peralatan seperti glove taji, sangkar ayam, patung ayam palsu dan vitamin,” katanya dalam kenyataan. Menurutnya, serbuan di lokasi kedua pula membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang bertindak sebagai penjaga premis. Katanya, pemeriksaan lanjut menemukan 69 ekor ayam disyaki ayam sabung termasuk yang ditempatkan di dalam kandang dan kawasan luar premis. “Turut dirampas beberapa sangkar ayam, glove taji, picagari serta pelbagai jenis ubat dan vitamin dipercayai digunakan untuk penjagaan ayam sabung. “Hasil semakan mendapati kedua-dua premis tidak memiliki lesen sah berkaitan penyimpanan ayam sabung,” katanya. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan 2015 kerana dipercayai mengimport haiwan tanpa lesen yang dikeluarkan Jabatan Veterinar Sabah. “Tangkapan dan semua rampasan sudah diserahkan kepada Jabatan Veterinar Sabah daerah Sandakan untuk tindakan lanjut. “Operasi ini juga berjaya mengekang aktiviti penyeludupan dan kegiatan haram berkaitan ayam sabung di daerah ini,” katanya. – Info X
May 13, 2026
Info X Reporters
22 Murai Batu bernilai RM555,000 dirampas
PENAMPANG: Hobi memelihara burung spesies dilindungi membawa padah apabila seorang lelaki tempatan ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Bundusan Batu 5 Off Jalan Penampang Lama, di sini, semalam. Dalam operasi kira-kira jam 2.15 petang itu, sebanyak 22 ekor burung spesies Murai Batu yang masih hidup bersama 21 sangkar dan dua jebak burung dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM555,000. Serbuan dijalankan sepasukan anggota Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL). Komander WCB/PSK, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, serbuan dilakukan di sebuah unit premis di Hotel Sera Kila Industrial Center hasil risikan dijalankan pihaknya. “Hasil serbuan berjaya menahan seorang lelaki Cina tempatan berusia 55 tahun yang dipercayai pemilik burung berkenaan. “Pemeriksaan lanjut menemui 22 ekor burung spesies Murai Batu yang disimpan tanpa lesen atau permit sah daripada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, suspek ketika ditemubual mendakwa membeli burung berkenaan daripada kenalannya di sekitar Tawau dan Lawas. Katanya, suspek juga mengaku memelihara semua burung itu sekadar sebagai hobi. “Turut dirampas 21 unit sangkar burung dan dua unit jebak burung untuk siasatan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 kerana memiliki atau menjual hidupan liar dilindungi tanpa permit sah,” katanya. Menurutnya, jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan denda minimum RM30,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun. “Tangkapan dan rampasan sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X
May 13, 2026
Info X Reporters
‘Cigku Farhan pikul beras cerita palsu’ – Jabatan Pendidikan
KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah menafikan insiden seorang guru terpaksa memikul beras untuk dihantar ke asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Pinawantai, Ranau seperti tular di media sosial sebelum ini. Pengarahnya, Datuk Raisin Saidin, berkata realitinya sekolah terbabit bukan saja tidak mempunyai asrama, malah lokasinya terletak berhampiran jalan raya dan semua guru menggunakan kenderaan peribadi untuk ke sekolah. Katanya, selain di Ranau, sebuah lagi sekolah dengan nama yang sama di Kudat juga tidak mempunyai kemudahan asrama dan lokasinya terletak berhampiran jalan raya. Sehubungan itu, katanya tiada isu guru memikul beras untuk dihantar ke sekolah terbabit memandangkan situasi sebenar tidak sama seperti digambarkan dalam dakwaan yang tular di media sosial. “Jabatan Pendidikan Sabah amat berdukacita dengan satu viral dalam media sosial berkenaan dengan SK Pinawantai, Ranau. “Terdapat dua sekolah di Sabah yang memiliki nama yang sama iaitu SK Pinawantai, Kudat dan SK Pinawantai, Ranau. Kedua-dua sekolah itu tidak ada asrama dan terletak berhampiran dengan jalan raya dan semua guru menggunakan kenderaan peribadi untuk ke sekolah. “Sehubungan ini, tidak ada isu guru memikul beras untuk dihantar ke asrama sekolah berkenaan. Guru Besar SK Pinawantai, Ranau telah membuat penafian tentang isu yang diviralkan dan menegaskan bahawa tidak ada guru bernama Farhan di sekolah berkenaan. “JPN Sabah turut menafikan kenyataan tidak benar yang tular di media sosial berkaitan perkara ini,” katanya. Berikutan itu, Raisin menyeru kepada netizen supaya lebih bertanggungjawab dalam membawa isu berkaitan pendidikan. Beliau menegaskan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan JPN Sabah sentiasa komited meningkatkan kualiti pendidikan di negeri ini. Sebelum ini, tular satu hantaran di media sosial yang mendakwa seorang guru muda bernama Farhan terpaksa memikul beras meredah hutan selama tiga jam untuk dihantar ke asrama SK Pinawantai selepas tidak sampai hati melihat murid sekolah itu hanya memakan ubi kayu setiap malam. – Info X
May 13, 2026
Info X Reporters
Dua rumah, tiga kenderaan musnah dalam kebakaran
KENINGAU: Dua rumah dan tiga kenderaan musnah dalam kebakaran di Taman Bersatu, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 5.29 pagi itu, sebuah rumah separuh kekal terbakar 90 peratus manakala sebuah lagi rumah jenis tidak kekal musnah sepenuhnya. Turut terbakar sebuah lori Isuzu tiga tan, Proton Wira dan sebuah motosikal yang semuanya dilaporkan hangus 100 peratus. Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, sepasukan anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian. Katanya, seramai 10 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) tiba di lokasi kira-kira jam 5.36 pagi. “Setibanya di lokasi, kebakaran membabitkan dua rumah dengan keluasan kira-kira 105 meter persegi setiap satu. “Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 91 meter dengan dua pancutan menggunakan sumber air daripada pili bomba berhampiran,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke tiga rumah berhampiran. “Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini. “Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.39 pagi selepas bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian,” katanya. – Info X
May 13, 2026
Info X Reporters
‘Kolam di kawasan ladang jadi perangkap maut gajah’
KOTA KINABALU: Operator ladang diarah memastikan struktur kolam yang dibina di kawasan mereka tidak menjadi ‘perangkap maut’ hidupan liar, khususnya gajah. Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Arifin, mengingatkan sebarang pembinaan kolam berhampiran habitat hidupan liar itu perlu dipastikan mempunyai tebing yang landai. Peringatan itu berikutan penemuan 11 ekor gajah termasuk satu anak gajah terperangkap dalam kolam di sebuah ladang kelapa sawit dekat Hutan Simpan Deramakot di Kinabatangan, baru-baru ini. “Insiden ini menjadi satu peringatan penting bahawa kolam, parit dan struktur berbahaya lain dekat koridor hidupan liar berterusan mendedahkan mereka kepada bahaya, khususnya gajah pigmi Borneo yang begitu ikonik dan dilindungi sepenuhnya. “Jabatan Hidupan Liar juga sudah mengarahkan operator ladang untuk memastikan bahawa struktur kolam yang sama tidak dibina tanpa langkah mitigasi yang betul. “Jika perlu membina kolam, sekurang-kurangnya satu bahagian tebing dibuat landai bagi membolehkan hidupan liar melepaskan diri dengan selamat jika ia jatuh ke dalam kolam,” katanya dalam satu kenyataan. Beliau berkata, ada kemungkinan juga gajah terbabit masuk secara sukarela ke kolam terbabit disebabkan cuaca panas, berikutan sifat mamalia itu yang memerlukan air untuk menyejukkan badan. Katanya, Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) akan bekerja rapat dengan operator ladang, komuniti tempatan dan rakan konservasi bagi mengukuhkan langkah perlindungan hidupan liar. Pendekatan itu juga, katanya bagi memperbaiki keupayaan tindak balas rapid dan memastikan aktiviti pembangunan berdekatan koridor ekologi dilaksanakan secara mapan dan bertanggungjawab. “Melindungi biodiversiti Sabah adalah tanggungjawab bersama. Kejayaan menyelamat gajah ini menunjukkan pentingnya laporan awal, kerjasama dan komitmen bersama dalam memastikan spesies terancam ini terus berkembang untuk generasi akan datang,” katanya. Sementara itu, Jafry menyatakan penghargaannya terhadap tindakan pantas dan profesional pihak JHLS, field rangers, pekerja ladang dan semua pihak yang terbabit dalam menangani kes gajah terperangkap dalam kolam, baru-baru ini. Katanya, berdasarkan maklumat JHLS, kejadian itu berlaku di kawasan ladang, namun tidak jelas sama ada gajah terbabit masuk sendiri ke dalam kolam atau terjatuh. Bagaimanapun, katanya pihak JHLS dan pengurusan ladang mengambil tindakan pantas dengan meratakan tebing kolam bagi membolehkan gajah terbabit melepaskan diri sekali gus dapat diselamatkan tanpa sebarang kecederaan atau kematian. – Info X