September 16, 2026
Info X Reporters
Hari Malaysia: Hajiji ajak rakyat Malaysia terus pelihara keamanan
KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengajak rakyat Malaysia untuk terus menjaga keamanan dan menjadikan Hari Malaysia sebagai titik tolak untuk bekerja lebih kuat agar kemajuan dan kemakmuran akan terus dikecapi bersama. Katanya, di Sabah, semangat perpaduan dan saling menghormati antara kaum terus diberikeutamaan sejajar amalan rakyatnya yang tidak menjadikan perbezaan tradisi dan budaya sebagai halangan untuk terus hidup aman dan harmoni. Beliau berkata, Hari Malaysia yang disambut setiap tahun pada 16 September diingati sebagai detik bersejarah pembentukan sebuah negara berdaulat yang menghimpunkan rakyat daripada pelbagai wilayah, bangsa, budaya dan agama. “Kepelbagaian inilah yang menjadi kekuatan Malaysia dan menyatukan kita sebagai sebuah keluarga. Marilah kita terus memupuk semangat muafakat, saling menghormati dan bekerjasama demi sebuah Malaysia yang aman, stabil dan sejahtera,” katanya pada sambutan Hari Malaysia ke-63 peringkat kebangsaan di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), di sini, malam ini. Hajiji meluahkan harapan agar Malaysia dan Sabah khususnya akan terus aman serta makmur, untuk membawa negara ke mercu kejayaan dalam segala bidang. “Marilah kita meraikan sambutan Hari Malaysia ini dengan penuh semangat patriotisme agar keharmonian rakyat pelbagai bangsa dan agama akan terus terpelihara dan berkekalan,” katanya. Sementara itu, pada sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Sabah di Kota Kinabalu, Hajiji menegaskan segala hak dan kepentingan Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan terus diperjuang dan direalisasikan melalui semangat kerjasama erat bersama Kerajaan Persekutuan. Teks ucapannya disampaikan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam. Majlis diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin. Hajiji berkata, Hari Malaysia memberi ruang kepada rakyat untuk menghayati kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia terutama dari segi MA63 dan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas penting membentuk hubungan antara Sabah dengan Persekutuan. Oleh itu, katanya Kerajaan Negeri akan terus konsisten mempertahankan kepentingan dan hak Sabah melalui saluran perlembagaan, rundingan dan kerjasama antara kerajaan. “Kita percaya bahawa hubungan Persekutuan yang kukuh lahir daripada sikap saling menghormati, keadilan dan kesediaan menunaikan tanggungjawab yang telah dipersetujui. “Memperjuangkan hak Sabah bukan bererti menjauhkan Sabah daripada Malaysia. Sebaliknya, ia adalah sebahagian daripada usaha memperkukuhkan asas Persekutuan supaya setiap rakan berasa dihormati, setiap tanggungjawab dilaksanakan dan setiap rakyat memperoleh manfaat daripada sebuah negara Malaysia yang stabil dan makmur,” katanya pada sambutan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), malam ini. Hajiji berkata, selepas 63 tahun pembentukan Malaysia, makna 16 September kekal besar bahawa negara dibina atas persetujuan, kepelbagaian dan tekad untuk bergerak bersama sebagai satu Persekutuan yang berdaulat. “Bagi kita di Sabah, tarikh 16 September ini amat bermakna kerana ia melahirkan ikatan persaudaraan yang kukuh dalam kepelbagaian kaum, budaya, dan kepercayaan. “Kekuatan Malaysia terletak pada keharmonian rakyatnya dan Sabah sendiri adalah contoh kekuatan yang lahir daripada kepelbagaian. “Kita mesti terus memelihara budaya muafakat ini. Perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi jurang yang memisahkan. Dalam era media sosial, kita juga perlu lebih bijaksana menilai maklumat, menolak fitnah dan sentimen yang memecah-belahkan, serta menggunakan teknologi untuk mendekatkan masyarakat dan membuka peluang baharu,” katanya. Dalam konteks itu, katanya generasi muda mempunyai tanggungjawab besar untuk membawa semangat Hari Malaysia ke masa hadapan. Hajiji berkata generasi muda perlu dibekalkan dengan ilmu, kemahiran, keyakinan dan ruang untuk mencipta dan pada masa sama, mereka harus mengenali sejarah, menghargai warisan dan memahami bahawa kemerdekaan serta pembentukan negara datang bersama tanggungjawab untuk menjaga keamanan, mengekalkan perpaduan dan kedaulatan. Ketua Menteri berkata tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 iaitu ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’, membawa satu mesej yang jelas iaitu aspirasi kerajaan untuk memastikan hasil kemajuan, pembangunan dan kemakmuran negara dapat dirasai secara adil, inklusif dan saksama oleh seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang atau tempat tinggal. “Dalam hal ini jelas bahawa kemajuan tidak memadai jika hanya kelihatan pada angka dan bangunan, sebaliknya kemajuan mesti dapat dirasai dalam kehidupan seharian rakyat. “Bagi Sabah, kesejahteraan juga bermaksud jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar terus dirapatkan, ketersambungan dipertingkat dan peluang ekonomi diperluas hingga ke akar umbi. “Namun kesejahteraan hanya dapat dikekalkan dalam suasana aman dan bersatu. Sebab itu perpaduan bukan sekadar slogan pada musim sambutan, perpaduan ialah prasyarat kepada kestabilan, pelaburan, pembangunan dan masa depan anak-anak kita. “Kita mahu Sabah terus maju dalam Malaysia yang sejahtera dan makmur. Kerajaan negeri akan terus memainkan peranan untuk menyediakan persekitaran yang kondusif kepada pembangunan, termasuklah memperkukuh infrastruktur, memperbaiki penyampaian perkhidmatan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya. – Info X
September 16, 2026
Info X Reporters
Jalan Silam terputus hampir dua jam akibat air sungai melimpah
LAHAD DATU: Ribuan pengguna laluan Lahad Datu – Tawau, di sini, terkandas apabila Jalan Silam tidak dapat dilalui hampir dua jam akibat limpahan air sungai susulan hujan lebat, petang tadi. Kejadian menyebabkan kenderaan dari kedua – dua arah terpaksa berhenti, manakala sebahagian pengguna jalan raya dilaporkan terkandas sehingga hampir jam 6 petang. Tinjauan di lokasi mendapati air beransur surut sebelum kenderaan dibenarkan melalui laluan berkenaan secara perlahan dan terkawal. Air sungai dipercayai melimpah ke atas jalan berikutan saluran aliran air yang kecil. Kontraktor projek Lebuhraya Pan Borneo kemudian mengambil tindakan menggali dan melebarkan saluran terbabit bagi melancarkan aliran air. Pada masa sama, dakwaan yang tular mengatakan jambatan di kawasan berkenaan putus adalah tidak benar kerana gangguan perjalanan berpunca daripada limpahan air sungai. Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan. Beliau berkata, anggota polis diarahkan ke lokasi bagi mengawal lalu lintas dan memantau keadaan di kawasan terbabit. “Setakat jam 6.30 petang, paras air sudah surut dan kenderaan mula dibenarkan melalui laluan berkenaan,” katanya. Dzulbaharin turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya meningkatkan kewaspadaan ketika melalui kawasan berkenaan, terutama ketika hujan, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – Info X
September 16, 2026
Info X Reporters
Lesap RM12,400 terpedaya projek generator tidak wujud
LABUAN: Seorang individu kerugian RM12,400 selepas terpedaya dengan tawaran projek pembekalan generator set yang tidak wujud daripada individu menyamar sebagai kakitangan Jabatan Bekalan Air Labuan. Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, mangsa menerima tawaran pembekalan berkenaan melalui panggilan telefon. Menurut kenyataan itu, suspek turut mengemukakan surat pesanan tempatan (LPO) dan memberikan maklumat sebuah syarikat bagi urusan pembelian generator berkenaan. “Mangsa kemudian membuat transaksi ke akaun bank yang diberikan suspek sebelum menyedari dirinya ditipu. “Penipuan itu terbongkar selepas mangsa mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Bekalan Air Labuan yang memaklumkan tiada tender atau projek pembekalan generator set berkenaan,” menurut kenyataan itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Orang ramai dinasihatkan supaya membuat pengesahan dengan pihak berkaitan sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan serta tidak mudah terpedaya dengan tawaran projek yang meragukan. – Info X
September 16, 2026
Info X Reporters
MedCommKK ungguli aksi persahabatan pickleball
KOTA KINABALU: Pasukan Kelab Rekreasi Media dan Komunikasi Kota Kinabalu (MedCommKK) muncul pemenang keseluruhan selepas menewaskan pasukan Energy Commission of Sabah (ECoS) dalam Perlawanan Persahabatan Pickleball ECoS – Media di Borneo Pickleball, di sini, malam tadi. Pertemuan berlangsung meriah dan penuh semangat kesukanan menerusi tujuh perlawanan membabitkan tiga acara beregu lelaki, dua beregu wanita dan dua beregu campuran. MedCommKK mempamerkan aksi konsisten sepanjang perlawanan untuk menguasai keputusan keseluruhan, meskipun menerima tentangan sengit daripada barisan pemain ECoS. Pengerusi MedCommKK, Christopher Bernard Maskilone berkata, kemenangan itu hasil semangat berpasukan dan komitmen semua pemain yang memberikan persembahan terbaik sepanjang perlawanan. “Bagaimanapun, kemenangan bukan matlamat utama kerana perlawanan ini lebih kepada mengeratkan hubungan antara pengamal media dan warga ECoS menerusi aktiviti sukan. “Kami berterima kasih kepada ECoS atas inisiatif menganjurkan perlawanan persahabatan ini yang berlangsung meriah serta penuh semangat kesukanan,” katanya. “MedCommKK berharap program seumpama ini dapat diteruskan dengan penyertaan lebih banyak agensi pada masa akan datang, sekali gus menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan pengamal media,” katanya. Perlawanan itu turut menjadi medan memperluas perkembangan pickleball yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat di Sabah. – Info X
September 16, 2026
Info X Reporters
Rusdin kekal setia bersama KDM, teguh mendukung kepimpinan parti
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Rusdin Riman menzahirkan pendirian beliau terus utuh bersama Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan berdiri teguh di belakang kepimpinan Presidennya, Priscella Peter. Beliau menjelaskan, bahawa, sebarang ketetapan yang dirangkul oleh kepimpinan tertinggi KDM, termasuk hala tuju parti dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), akan sentiasa dihormati dan didukung luhur demi kemaslahatan parti serta rakyat. Mengulas lanjut, Rusdin menegaskan bahawa kenyataan beliau berhubung kedudukannya di dalam kerajaan ketika menghadiri sebuah program di Ranau baru-baru ini , tidak wajar disalahtafsirkan sebagai anjakan pendirian atau cubaan membelakangkan parti. Sebaliknya, beliau menerangkan bahawa butir bicara tersebut dicetuskan atas kapasiti dan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat yang komited untuk memastikan denyut nadi serta kepentingan masyarakat Paginatan terus dibela, terutamanya dalam memacu kelangsungan agenda pembangunan di kawasan berkenaan. “Kesetiaan saya tidak berbelah bahagi terhadap KDM dan Presiden parti, Priscella Peter. Kenyataan saya sebelum ini cerminan iltizam saya untuk memastikan kawasan DUN Paginatan terus terpelihara dan tidak terpinggir daripada arus pembangunan. “Saya menghormati dan menjunjung tinggi keputusan parti dan akan terus melangkah seiring dengan kepimpinan KDM,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini. Tegas Rusdin, memperjuangkan nasib rakyat merupakan amanah hakiki yang digalasnya selaku wakil rakyat, manakala hal ehwal berkaitan pendirian serta kompas politik diserahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan dan ketetapan bersama kepimpinan parti. Terdahulu, pada 14 Ogos lalu, KDM telah mengumumkan keputusan untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri di bawah teraju Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Ketika mengumumkan perkara tersebut, Priscella menyatakan bahawa ketetapan itu dimuktamadkan secara sebulat suara dengan meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan, selain merintis jalan untuk menawan semula ketelusan serta kepercayaan akar umbi. Tambah beliau, KDM memikul tanggungjawab untuk membina semula keyakinan rakyat sebagai persiapan rapi menjelang pilihan raya, dan bukannya sekadar mengorak langkah apabila penggal Parlimen atau Dewan Undangan Negeri menghampiri tempoh pembubaran. Bagi mendepani cabaran PRU16, KDM memilih untuk tidak bergerak secara bersendirian. Parti itu sebaliknya membuka pintu rundingan untuk menjalin kerjasama strategik dengan parti-parti tempatan bagi membentuk sebuah blok politik ampuh yang berteraskan hak serta kepentingan Sabah.Dalam pada itu, KDM turut dikaitkan dengan potensi jalinan kerjasama bersama Parti Warisan (Warisan) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), namun setakat ini belum ada sebarang pengumuman rasmi dimeterai berhubung perkara tersebut.-Info X
September 16, 2026
Info X Reporters
Curi wang kakak, wanita ditahan kurang 24 jam
TAWAU: Seorang wanita ditahan kurang 24 jam selepas disyaki mencuri wang tunai milik kakaknya di sebuah rumah di Kampung Pangkalan Asli, Merotai Besar, di sini, semalam. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berada di rumah sebelum dimaklumkan ahli keluarga bahawa adik kandungnya mengambil wang daripada dompet di dalam bilik tidur. Katanya, perbuatan suspek disedari mangsa sebelum berlaku pergelutan antara mereka, namun wanita terbabit berjaya melarikan diri dari rumah berkenaan. “Suspek turut dipercayai sering mengambil barangan berharga di dalam rumah berkenaan. “Susulan laporan dibuat di Balai Polis Bombalai, sepasukan anggota berjaya mengesan dan menahan suspek di pekarangan balai polis itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Rosdi berkata, suspek warga tempatan berusia 41 tahun ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – Info X
September 16, 2026
Info X Reporters
Nampak maritim, kru terjun bot lari ke daratan
KOTA KINABALU: Tindakan sekumpulan kru memecut bot pancung ke kawasan cetek sebelum terjun dan melarikan diri ke daratan membongkar kegiatan menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan barat daya Pulau Mengalum, semalam. Kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu disedari bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang sedang menjalankan rondaan berkala di kawasan berkenaan. Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, kru terbabit bertindak melarikan diri sebaik menyedari bot mereka dihampiri untuk pemeriksaan. “Bot itu memecut laju ke kawasan cetek sebelum semua kru terjun dan melarikan diri ke daratan. “Pemeriksaan kemudian menemukan peralatan menyelam serta kira-kira 80 kilogram ikan yang dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, ujian awal terhadap hasil tangkapan berkenaan menunjukkan keputusan positif penggunaan bahan letupan. “Bot, peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan bernilai keseluruhan kira-kira RM45,000 disita sebelum dibawa ke Jeti Maritim Malaysia, Sepanggar untuk siasatan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 26(1)(c) Akta Perikanan 1985 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(b) akta sama, yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya. Mohd Khairulanuar berkata, penggunaan bahan letupan untuk menangkap ikan memberi kesan buruk terhadap ekosistem marin selain memusnahkan habitat dan sumber perikanan. “Orang awam diminta supaya menyalurkan maklumat segera sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di perairan negara. “Sebarang maklumat dan aduan boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah di talian 088-387 774 atau MERS 999 bagi kes kecemasan di laut,” katanya. – Info X
September 15, 2026
Info X Reporters
JBPM periksa sistem keselamatan kebakaran bangunan ikonik Menara Tun Mustapha
KOTA KINABALU: Sistem keselamatan kebakaran Menara Tun Mustapha diberi perhatian menerusi kerja pembaikan dan penaiktarafan bagi memastikan bangunan ikonik berkenaan selamat digunakan. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Mohd Pisar Aziz bersama pegawai kanan jabatan itu melakukan pemeriksaan dan tinjauan di bangunan berkenaan, hari ini. Beliau berkata, hasil pemeriksaan menunjukkan perkembangan sangat positif apabila kerja pembaikan dan penaiktarafan sistem keselamatan kebakaran dilaksanakan dengan baik serta mengikut perancangan. Katanya, pemeriksaan memberi tumpuan kepada aspek teknikal, keadaan sistem keselamatan kebakaran serta status dan kemajuan kerja yang sedang dilaksanakan. “Langkah penambahbaikan turut dinilai bagi memastikan sistem keselamatan kebakaran bangunan ini sentiasa berada pada tahap ditetapkan. “Kerjasama berterusan antara JBPM, pihak pengurusan bangunan, pemilik premis dan semua pihak berkepentingan amat penting supaya kerja pembaikan serta pematuhan keselamatan dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, aspek keselamatan kebakaran perlu sentiasa diberi keutamaan, terutama membabitkan bangunan yang mempunyai kepentingan kepada orang ramai demi melindungi nyawa dan harta benda. Terdahulu, rombongan menghadiri taklimat bersama pihak pengurusan di Menara Innoprise sebelum meneruskan pemeriksaan di Menara Tun Mustapha. Turut hadir, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Pengerusi Innoprise Corporation Sdn Bhd, Datuk Jasnih Daya. – Info X