Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

March 30, 2026

Info X Reporters

Dua rumah, surau musnah dalam kebakaran

KENINGAU: Dua rumah dan sebuah surau musnah dalam kebakaran di Kampung Pagar-Pagar Sondoton, di sini, tengah malam tadi. Pemangku BBP Keningau, Evan Bobby berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.53 tengah malam sebelum sepasukan 10 anggota dikejarkan ke lokasi. “Sebaik tiba kira-kira jam 1 pagi, didapati kebakaran membabitkan tiga struktur jenis tidak kekal iaitu dua rumah dan sebuah surau yang terbakar 100 peratus. “Rumah pertama berkeluasan kira-kira 111 meter persegi, rumah kedua 84 meter persegi manakala surau sekitar 111 meter persegi,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 91 meter dengan dua pancutan air yang diperoleh daripada jentera, water tanker serta pili bomba berhampiran. Katanya, api berjaya dikawal daripada merebak pada jam 1.44 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira jam 3 pagi. “Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan. “Pasukan bomba turut memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran sebelum beredar dari lokasi,” katanya. Beliau berkata, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada pihak polis yang membantu melancarkan operasi di lokasi kejadian. “Siasatan lanjut mengenai punca kebakaran masih dijalankan,” katanya. – Info X

March 30, 2026

Info X Reporters

Minyak masak bersubsidi disorok dalam lori, PPM Lahad Datu tumpas cubaan seleweng

LAHAD DATU: Cubaan menyeludup minyak masak bersubsidi menggunakan lori berakhir apabila dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam serbuan di Kampung Atiam, di sini, petang semalam. Dalam operasi kira-kira jam 3.10 petang itu, sebuah lori jenis rigid jenama Isuzu ditahan bersama seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 61 tahun yang dipercayai menjadi pemandu kenderaan berkenaan. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Amri Abdul Rahman berkata, pemeriksaan ke atas lori yang ditutup dengan kain kanvas menemukan beberapa bungkusan plastik hitam mencurigakan. “Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan kotak minyak masak bersubsidi jenama ‘Cap Mawar’ yang disorok di dalam bungkusan berkenaan. “Setiap kotak mengandungi 17 paket dan keseluruhan rampasan adalah sebanyak 64 kotak bersamaan 1,088 paket minyak masak,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, pemandu lori berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membawa serta menyimpan bekalan berkenaan. “Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM42,790,” katanya. Amri berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi membanteras kegiatan penyelewengan barangan bersubsidi bagi memastikan bekalan sampai kepada golongan sasaran. “PPM komited menjalankan pemantauan dan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan demi kepentingan sendiri,” katanya. – Info X

March 29, 2026

Info X Reporters

Pengarang Urusan Info X antara pengamal media terima pingat sempena Hari Jadi TYT

KOTA KINABALU: Pengarang Urusan Info X, Willie Jude Junaidi antara pengamal media yang tersenarai sebagai penerima pingat dan darjah kebesaran Sabah sempena sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75, Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman, esok. Willie merupakan antara 117 penerima pingat Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK). Selain itu, Presiden Persatuan Wartawan Kota Kinabalu, Jimmy Goh menerima pingat Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk. Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Mariah Doksil juga antara yang menerima pingat Ahli Darjah Kinabalu (ADK) bersama Penolong Ketua Wartawan yang juga Wartawan Sukan The Borneo Post Lester Bingkasan. Turut menerima ADK adalah wartawan RTM Azlinah Nineng dan penyampai radio stesen Sabah fm Emran @ Azmi Rosle. Selain itu, wartawan senior Daily Express, Joan Mool menerima pingat Bintang Setia Kinabalu (BSK). – Info X

March 29, 2026

Info X Reporters

Tokoh korporat, Ketua Hakim Negara, KPN penerima darjah kebesaran tertinggi Sabah

KOTA KINABALU: Tokoh korporat dalam industri minyak dan gas serta teknologi, Datuk Abdul Farish Abd Rashid mendahului senarai 1,026 penerima pingat dan darjah kebesaran Sabah sempena sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, esok. Pengarah Urusan FPSO Ventures Sdn Bhd (FVSB) itu adalah antara tiga individu menerima darjah kebesaran tertinggi Sabah, Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima. Dua lagi ialah Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh. Sementara itu, seramai 79 individu menerima darjah kebesaran kedua tertinggi Sabah, Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk. Antara penerimanya ialah Panglima Armada Timur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris dan Panglima 5 Divisyen Tentera Darat, Brig Jen Datuk Shamshor Jaafar. Penerima lain ialah Hakim Mahkamah Tinggi, Maslinda @ Linda Datuk Mohd Ainal; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Awang Juri Awang Tahir dan Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity), Saadiah Aziz. Turut menerima PGDK ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr William Gotulis; Ketua Konservator Hutan Sabah, Zulkifli Suara dan Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Haniza Abdul Wahab. Selain itu, Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Hassan Mahali; Pengarah Bahagian Kabinet dan Dasar Jabatan Ketua Menteri Sabah, Dayang Noorashikin Zulkefli dan Setiausaha Polis Malaysia, DCP Datuk Abdul Rahman Kassim. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Hazem Mubarak Musa; Ahli Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar; bekas ADUN Labuk, Abdul Rahman Kongkawang; Ketua Cabang PKR Beaufort, Dikin Musah; Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Azrul Ibrahim dan Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Sulaman, Ghazali Hajiji antara pemimpin politik yang turut menerima PGDK. Tidak ketinggalan ahli akademik, antaranya Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Rossita Shapawi dan Pensyarah Kanan Sains Sosial UMS, Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung. Penerima selebihnya ialah bekas pemain bola sepak Sabah, Henry Saimpon dan bekas Pengurus Besar Sabah FC, Md Joh Wid. Sementara itu seramai 117 orang menerima pingat Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK), 192 menerima Ahli Darjah Kinabalu (ADK), 260 menerima Bintang Setia Kinabalu (BSK), 249 menerima Bintang Kinabalu (BK), manakala seramai 113 menerima Sijil Perkhidmatan Terpuji dan seramai 13 orang menerima Jaksa Pendamai. Antara penerima Jaksa Pendamai adalah Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Dr Ahemad Sade; Peguam Datuk Ram Singh dan Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, Datuk Awang Kadin Tang. – Info X

March 29, 2026

Info X Reporters

Rebut pelanggan punca gaduh di Jesselton Point

KOTA KINABALU: Perselisihan antara pekerja dua syarikat pelancongan dipercayai menjadi punca pergaduhan di hadapan sebuah kios di kawasan Jesselton Point, di sini, semalam. Kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu menyebabkan suasana di lokasi berkenaan kecoh apabila beberapa individu bertindak agresif sehingga berlaku insiden membaling kerusi. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit. Menurutnya, siasatan awal mendapati pergaduhan itu berpunca daripada perebutan pelanggan antara pekerja dua syarikat pelancongan di kawasan berkenaan. “Pergaduhan itu telah menyebabkan berlaku kerosakan terhadap harta benda milik pihak lain di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat oleh pengusaha kios yang terjejas bagi tujuan keselamatan serta mengelakkan salah faham dalam kalangan orang awam. “Setakat ini, tiada laporan dibuat oleh individu yang terlibat secara langsung dalam pergaduhan tersebut, namun rakaman video kejadian telah tular di media sosial,” katanya. Menurutnya, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh. “Usaha mengesan serta mengenal pasti individu yang terlibat sedang giat dijalankan,” katanya. Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta sentiasa mematuhi undang-undang. Terdahulu, tular satu video berdurasi 51 saat di media sosial memaparkan beberapa individu dipercayai terlibat dalam pergaduhan di kawasan berkenaan. Rakaman itu menunjukkan sekumpulan lelaki bertindak agresif termasuk membaling kerusi di tepi jalan sehingga mengundang kecaman netizen di media sosial. – Info X

March 29, 2026

Info X Reporters

Lima ditahan kes ‘serang’ kenderaan

KOTA KINABALU: Tindakan sekumpulan individu bertindak agresif terhadap sebuah kenderaan berhampiran Jesselton Quay, di sini, membawa kepada penahanan lima lelaki tempatan bagi membantu siasatan. Kejadian yang tular di media sosial itu dipercayai berlaku kira-kira jam 1.45 petang, semalam selepas mangsa selesai menghadiri majlis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC). Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 2.35 petang hari sama. Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang juga seorang guru berusia 30 tahun berdepan dengan beberapa individu dipercayai pekerja sebuah premis kurier ketika menuju ke kenderaannya. “Berlaku provokasi lisan sebelum situasi menjadi tegang, menyebabkan mangsa bertindak mengundurkan kenderaannya dan secara tidak sengaja melanggar sebuah kenderaan lain. “Susulan itu, beberapa individu bertindak mengejar mangsa sebelum memecahkan cermin bahagian pemandu dan cermin belakang kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, mangsa turut mendakwa diugut supaya keluar dari kenderaan ketika kejadian berlaku. “Bertindak atas maklumat, pihak polis menjalankan operasi segera dan berjaya menahan lima lelaki tempatan malam tadi, bagi membantu siasatan. “Permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat bagi melengkapkan siasatan,” katanya. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. Beliau berkata, polis memandang serius kejadian itu dan memberi jaminan siasatan dijalankan secara telus serta adil. “Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan,” katanya. – Info X

March 29, 2026

Info X Reporters

Sudah dua hari Christa tidak pulang

KOTA MARUDU: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di pekan Tandek, di sini, sejak Jumaat lalu. Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan remaja itu kira-kira jam 8.23 malam, semalam. Menurutnya, remaja dikenali sebagai Christa Natalia Majaron itu dilaporkan keluar dari rumah pada 27 Mac lalu kira-kira jam 7.25 malam tanpa memaklumkan kepada keluarganya. “Usaha mencari telah dijalankan oleh ahli keluarga, namun mangsa masih belum ditemui sehingga kini. “Remaja itu berbadan kurus, berkulit cerah, kening nipis serta berambut panjang hitam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu dengan menghubungi Sarjan Stephen Wan di talian 019-4695081 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Marudu di talian 088-662449. Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – Info X

March 29, 2026

Info X Reporters

Cuaca panas kitaran normal sistem monsun, intensiti dipengaruhi perubahan iklim – Pakar

KOTA KINABALU: Keadaan cuaca panas yang melanda negara ketika ini adalah sebahagian daripada kitaran sistem monsun, namun intensitinya boleh dipengaruhi faktor global seperti perubahan iklim dan fenomena atmosfera semasa. Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Gs Dr Lindah Roziani Jamru, berkata keadaan panas yang dirasai kini berlaku kerana Malaysia berada di penghujung Monsun Timur Laut dan bakal memasuki fasa peralihan monsun. Beliau berkata, dalam tempoh ini, litupan awan dan taburan hujan berkurangan, sekali gus menyebabkan peningkatan suhu di kebanyakan kawasan. “Secara asasnya, keadaan ini adalah normal dalam kitaran monsun Malaysia. Namun, tahap kepanasan yang dirasai boleh menjadi lebih ketara disebabkan faktor tambahan seperti perubahan iklim global dan fenomena atmosfera semasa,” katanya ketika ditemui media pada Jumaat. Jelasnya, fenomena global seperti El Niño memainkan peranan penting dalam mempengaruhi cuaca tempatan. “El Niño lazimnya menyebabkan keadaan lebih panas dan kering kerana taburan hujan berkurangan, sekali gus meningkatkan suhu di Malaysia,” katanya. Dalam pada itu, beliau berkata gelombang haba hanya berlaku jika suhu melebihi 37 darjah Celsius selama sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut. “Jika suhu sekitar 35 hingga 37 darjah Celsius, ia dianggap sebagai tahap berjaga-jaga, manakala suhu melebihi 40 darjah Celsius dikategorikan sebagai gelombang haba ekstrem,” katanya. Beliau yang juga Ketua Program Geografi FSSK UMS, berkata cuaca panas berpanjangan boleh memberi kesan serius terhadap sumber air, sektor pertanian dan kesihatan manusia. “Antara kesannya termasuk penyusutan paras empangan, gangguan kepada hasil pertanian akibat kekurangan air serta peningkatan risiko kesihatan seperti dehidrasi, strok haba dan penyakit berkaitan haba,” katanya. Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan tindakan bersama antara kerajaan dan masyarakat dalam menghadapi situasi cuaca panas ekstrem. Di peringkat kerajaan, katanya langkah seperti memperkukuh sistem amaran awal, meningkatkan kecekapan pengurusan sumber air dan memperhebat kempen kesedaran awam perlu diberi perhatian. “Dalam masa yang sama, masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan memastikan pengambilan air mencukupi, mengurangkan aktiviti luar terutama pada waktu tengah hari serta menggunakan air dan elektrik secara berhemah,” katanya. Tambah beliau, pendidikan geografi turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu cuaca dan iklim. “Ia membantu masyarakat memahami hubungan antara aktiviti manusia dan perubahan iklim, sekali gus mendorong tindakan yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya. – Info X