February 24, 2026
Info X Reporters
Polis beri amaran resort hidang hidupan liar dilindungi
SEMPORNA: Polis memandang serius isu penyediaan dan penjualan makanan eksotik di beberapa resort di daerah ini yang dipercayai membabitkan hidupan liar dilindungi termasuk tenggiling. Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, sebarang aktiviti pemburuan, pemilikan, penjualan atau penyediaan hidupan liar yang dilindungi tanpa kebenaran adalah satu kesalahan serius di bawah undang-undang. “Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang. Tindakan tegas akan diambil. “Kes berkenaan boleh disiasat mengikut Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 (Sabah No. 6 Tahun 1997),” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau menegaskan, spesies Pangolin (Manis javanica) atau tenggiling adalah hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual 1 enakmen berkenaan. “Tiadа sebarang lesen atau permit dikeluarkan kepada individu atau premis termasuk premis pelancongan untuk memiliki, menyimpan, menjual atau menyediakan spesies ini sebagai makanan,” katanya. Tan berkata, jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 25(1) enakmen sama, pelaku boleh didenda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM250,000 serta penjara minimum satu tahun hingga maksimum lima tahun mengikut Seksyen 25(3)(a). Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dalam aktiviti menyalahi undang-undang serta sentiasa menghormati usaha pemuliharaan hidupan liar demi kelestarian alam sekitar dan imej Semporna sebagai destinasi pelancongan terkenal. “Kerjasama masyarakat amat penting. Jika mempunyai maklumat berhubung aktiviti penjualan atau penyediaan makanan eksotik yang membabitkan spesies dilindungi, salurkan kepada polis atau agensi penguat kuasa berkaitan. Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan. “Polis akan terus menjalankan pemantauan dan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan undang-undang dipatuhi serta keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya. – Info X
February 24, 2026
Info X Reporters
SEDIA sudah siapkan pelan induk untuk pembangunan RMKe13 – KM
KOTA KINABALU: Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) sudah menyiapkan sembilan laporan Pelan Induk dan Kajian Kebolehlaksanaan untuk memandu perancangan dan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pelan induk itu disediakan bagi meneruskan program dan projek pembangunan wilayah yang tertinggal. Katanya, ia termasuk Kajian Pembangunan Ekonomi Kawasan Sempadan Sabah, Malaysia yang sudah mencadangkan empat projek pemangkin dan 27 projek cadangan. Beliau berkata, selebihnya adalah Kajian Pelan Induk Lembah Makanan di Pedalaman Sabah melibatkan lima daerah utama iaitu Keningau, Tambunan, Tenom, Tongod dan Nabawan melibatkan keluasan tanah 2.3 juta hektar. SEDIA, katanya menerima peruntukan berjumlah RM3.7 bilion daripada Kerajaan Persekutuan bermula sejak penubuhannya sehinggalah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe12). “Kerajaan Persekutuan, terutama Kementerian Ekonomi telah meluluskan peruntukan sejumlah RM646.3 juta kepada SEDIA sepanjang RMKe12. “Ini menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak RM3.7 billion sejak penubuhan SEDIA bermula pada RMKe9,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat SEDIA di Menara Kinabalu, hari ini. Sementara itu, Hajiji mengalu-alukan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam RMKe13 untuk meningkatkan keseimbangan kemajuan dan pembangunan wilayah yang ketinggalan. “Pembangunan Koridor dan hab pengeluaran khusus akan terus diteroka bagi memanfaatkan potensi ekonomi kawasan setempat,” katanya. Katanya, berdasarkan Laporan Pencapaian Outcome Projek Sabah Development Corridor (SDC) RMKe-9 hingga RMKe-11 yang menyajikan ringkasan hasil projek pembangunan utama yang dilaksanakan di bawah SDC, menunjukkan pencapaian SEDIA yang membanggakan. Antara pencapaian itu katanya dapat dilihat dalam sektor pertanian dan penternakan iaitu pembangunan Pusat Penternakan Bersepadu Keningau (KILC) bernilai RM64.1 juta yang menghasilkan purata pengeluaran susu harian 7,168 liter atau 2.5 juta liter setahun. Beliau menambah, projek itu menyumbang 29.6 peratus pengeluaran susu negeri Sabah pada 2022 dan mewujudkan 78 pekerjaan setakat 2024. Dalam sektor Perindustrian dan Logistik pula, Hajiji berkata Palm Oil Industrial Cluster (POIC Lahad Datu) bernilai RM932 juta yang dibangun bagi mempercepatkan pembangunan industri hiliran kelapa sawit telah menjana pelaburan bernilai RM4.1 billion dan sebanyak 3,099 peluang pekerjaan setakat 2024 dengan 42 syarikat beroperasi. Dalam sektor infrastruktur dan perhubungan pula katanya, antara hasil terpenting adalah pembinaan laluan Pejalan Kaki dan Berbasikal dari Tanjung Aru ke UMS (16.1 Kilometer) yang menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandar raya yang nyaman untuk dihuni. Turut dicapai, katanya pembinaan Jalan Dua Hala UiTM ke Pelabuhan Kontena Teluk Sepangar sepanjang tiga kilometer dengan terowong 600 meter sebagai laluan alternatif yang mengurangkan masa dan jarak perjalanan. “Hasil daripada projek ini telah meningkatkan jumlah pelaburan di KKIP sebanyak RM8.32 billion (2017-2024) dan 5,882 peluang pekerjaan,” katanya. Sementara itu, beliau berkata pembinaan Jalan Tongod-Pinangah sepanjang 48.5 km dengan kos RM76.8 juta telah menjimatkan masa perjalanan sehingga 75 peratus daripada empat jam kepada satu jam. Hajiji berkata SEDIA juga telah mewujudkan Hab Pendidikan Sandakan dengan nilai RM100 juta sebagai Kluster Pembangunan Model Insan melibatkan empat institusi iaitu Fakulti Pertanian Lestari UMS, Politeknik Sandakan, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sandakan dan Kolej Vokasional Sandakan 2. Katanya, SEDIA telah diberikan mandat untuk melaksanakan inisiatif Madani melibatkan 1,230 projek dalam RMKe12 bernilai RM102.3 juta antara lain Pembasmian Kemiskinan, People Centric, Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) dan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR). “Rekod pelaksanaan projek-projek yang berjaya oleh SEDIA sejak RMK9 hingga RMK12 ini membuktikan pihak berkuasa itu adalah agensi yang dapat mempercepatkan proses pelaksanaan dan membuat penilaian impak di Sabah, sebuah negeri yang strategik dan berpotensi,” katanya. Hajiji berkata pembinaan sebuah negara hanya akan menikmati keharmonian jika pembangunan wilayah yang ketinggalan dengan wilayah yang pantas membangun dapat diseimbangkan. “Jurang ini harus dirapatkan agar tidak berlaku wilayah yang ketinggalan. Jika perlu ‘catching up strategies’ atau jalan pintas dapat diaplikasikan sama ada melalui penstrukturan dasar dan tindakan. “Tumpuan tidak seharusnya terlalu menekan kepada Pulangan Pelaburan (ROI) yang segera tapi setiap sen yang dibelanjakan pasti kerajaan akan mendapat pulangan melalui kutipan cukai-cukai. “Semua pihak akan menikmati dan akhirnya menambah perbendaharaan negara selain mewujudkan impak sosial seperti pekerjaan dan perniagaan kecil-kecilan,” katanya. – Info X
February 24, 2026
Info X Reporters
Resort simpan tenggiling untuk hidangan eksotik diserbu
SEMPORNA: Tindakan sebuah resort pelancongan di daerah ini yang dipercayai menyimpan tenggiling untuk dijadikan hidangan eksotik kepada pelancong terbongkar selepas diserbu dalam Operasi Bersepadu Khazanah, semalam. Operasi itu dijalankan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Cawangan Risik/Task Force Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak hasil maklumat risikan. Pengarah JHL Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar berkata, pemeriksaan di premis berkenaan menemukan seekor tenggiling (Manis javanica) hidup, iaitu spesies hidupan liar Dilindungi Sepenuhnya. “Turut dirampas beberapa hidangan yang dipercayai melibatkan hidupan liar dilindungi. “Beberapa individu turut diambil tindakan bagi membantu siasatan lanjut mengikut Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, tenggiling disenaraikan sebagai spesies dilindungi sepenuhnya mengikut Jadual I enakmen berkenaan. “Tiada sebarang lesen atau permit dikeluarkan kepada mana-mana individu atau premis, termasuk premis pelancongan, untuk memiliki, menyimpan, menjual atau menyediakannya sebagai hidangan. “Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 serta penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi lima tahun,” katanya. Mohd Soffian berkata, pihaknya memandang serius sebarang aktiviti penyediaan hidupan liar dilindungi sebagai makanan eksotik kepada pelancong. “Ia bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menjejaskan reputasi Sabah sebagai destinasi pelancongan alam semula jadi yang bertanggungjawab. “Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan terhadap mana-mana premis pelancongan yang terbabit dalam jenayah hidupan liar,” tegasnya. – Info X
February 24, 2026
Info X Reporters
Empat kotak misteri di lobi kondominium rupanya syabu RM1.28 juta
PENAMPANG: Empat kotak misteri yang ditinggalkan di lobi sebuah kondominium di daerah ini membongkar kegiatan pengedaran dadah selepas polis menemui syabu seberat 25.7 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM1.28 juta, semalam. Dalam operasi kira-kira jam 2 petang itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang melakukan pemeriksaan terhadap empat kotak mencurigakan di kawasan lobi bangunan berkenaan. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pemeriksaan lanjut menemukan 24 paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur disyaki methamphetamine. “Keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan seberat 25,744.37 gram dengan nilai kira-kira RM1,287,218.50. “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan serta menahan individu yang terlibat selain membongkar rangkaian pengedaran dadah berkenaan. Sammy turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada orang awam atas maklumat yang disalurkan sehingga membawa kepada kejayaan operasi itu. “Orang ramai digesa terus bekerjasama dengan pihak polis dalam menyalurkan maklumat bagi memastikan daerah Penampang kekal selamat dan bebas daripada ancaman dadah,” katanya. – Info X
February 24, 2026
Info X Reporters
SK Bawang terjejas teruk akibat banjir
PAITAN: Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang K9, Tangkarason, di sini, mengalami kerosakan teruk akibat banjir besar yang menenggelamkan bangunan sekolah terbabit, akhir minggu lalu. Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk James Ratib yang meninjau kerosakan dialami sekolah itu pada Isnin, berkata hampir 90 peratus kemudahan dan peralatan sekolah rosak. Keadaan itu, katanya menjejaskan kelangsungan sesi persekolahan di sekolah terbabit dan tindakan segera perlu diambil bagi mengatasinya. “Penilaian awal mendapati sekolah ini memerlukan dengan segera sebanyak 200 set meja dan kerusi murid, 30 set meja dan kerusi guru serta lima set meja dan kerusi untuk bahagian pentadbiran. “Kemudahan pengajaran dan pembelajaran bagi sembilan kelas turut terjejas dan memerlukan whiteboard serta Smart TV baharu. “Keseluruhan buku teks termasuk stor bekalan buku teks musnah, manakala 30 laptop dan lapan set komputer untuk kegunaan murid tidak lagi dapat digunakan,” katanya. James yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, berkata kerosakan turut membabitkan bilik pusat sumber, tandas dan bilik mesyuarat sekolah. Katanya, sebanyak 10 tangki simpanan air juga dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus banjir. “Situasi ini memerlukan tindakan segera dan penyelarasan yang pantas bagi memastikan proses pemulihan dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan akses pendidikan murid-murid. “Sehubungan itu, saya menyeru Jabatan Pendidikan Negeri Sabah agar menyalurkan bantuan dengan kadar segera bagi membolehkan kerja-kerja pemulihan dan penggantian aset dilaksanakan secepat mungkin. “Saya juga menggesa semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) supaya memaklumkan dengan segera kepada pihak kementerian sekiranya berlaku kejadian seumpama ini di kawasan masing-masing agar tindakan awal dapat diambil dan bantuan dapat disalurkan tanpa kelewatan. “Kelangsungan pendidikan anak-anak Sabah adalah tanggungjawab bersama dan mesti sentiasa menjadi keutamaan,” katanya. Kerosakan dialami SK Bawang menjejaskan seramai 195 murid dan 20 guru. Sementara itu, laporan Jabatan Pendidikan negeri menyatakan sebanyak 16 sekolah rendah di Paitan yang terletak di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Beluran terjejas akibat banjir. Jumlah itu membabitkan seramai 2,575 murid dan 252 guru. Di Pitas, sebanyak lima sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah dikenal pasti terjejas akibat banjir membabitkan seramai 2,029 murid dan pelajar serta 187 guru. Selain terjejas banjir, tiga sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah di Pitas tidak dapat beroperasi disebabkan terputus hubungan apabila laluan ditenggelami banjir. Keadaan itu menjejaskan seramai 1,068 murid dan pelajar serta 84 guru. Ends
February 24, 2026
Info X Reporters
‘Runner’ diberkas, 115 karton rokok tidak bercukai dirampas
SEMPORNA: Seorang lelaki warga asing disyaki bertindak sebagai ‘runner’ diberkas bersama 115 karton rokok pelbagai jenis yang dipercayai tidak bercukai dalam serbuan di tepi Jalan Kampung Selamat, di sini, kelmarin. Serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Task Force Perisikan Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak hasil maklumat risikan dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna. Batalion 22 PGA Kunak dalam kenyataan menerusi laman rasmi Facebook malam tadi memaklumkan, pasukan menyerbu sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi berwarna hijau di lokasi berkenaan. “Hasil pemeriksaan menemukan rokok tidak bercukai yang disimpan di dalam bonet belakang serta di luar kenderaan terbabit. “Lelaki warga asing berusia 25 tahun yang berada di lokasi terus ditahan bagi membantu siasatan,” menurut kenyataan itu. Suspek mengaku menerima upah RM100 daripada individu dikenali sebagai ‘Jais’ untuk membawa barangan berkenaan selain menjual rokok tidak bercukai secara kecil-kecilan di sekitar Kampung Selamat. Turut dirampas sebuah Perodua Myvi yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM51,400 membabitkan rokok dan kenderaan. Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63, manakala suspek serta barang rampasan diserahkan kepada IPD Semporna untuk tindakan lanjut. Risikan masih diteruskan bagi mengesan rangkaian yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan rokok tidak bercukai itu. – Info X
February 23, 2026
Info X Reporters
UMNO Sabah sedang dinilai, ke mana hala tuju menjelang PRU16 – Suhaimi Nasir
KOTA KINABALU: UMNO Sabah yang menyambut ulang tahun ke-35 pada bulan ini sedang melalui fasa penilaian semula rakyat. Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir, berkata ia bukan sekadar ulang tahun organisasi tetapi titik penting menentukan hala tuju menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). Katanya, PRU16 akan menjadi medan ujian terhadap keupayaan parti politik menawarkan kestabilan yang konsisten, pelan ekonomi yang jelas dan kepimpinan yang mampu membuat keputusan sukar dalam keadaan mencabar. “Pengundi hari ini lebih kritikal, lebih bermaklumat dan menilai berdasarkan prestasi. “Keutamaan UMNO Sabah adalah memperkukuh kedudukan Sabah dalam agenda nasional, memastikan pembangunan infrastruktur dipercepatkan, pelaburan berkualiti ditarik masuk, peluang pekerjaan diperluas dan suara negeri ini lebih berpengaruh dalam proses pembuatan dasar Persekutuan. “Parti perlu bergerak sebagai satu pasukan dengan strategi yang tersusun, mesej yang konsisten dan tumpuan penuh kepada keperluan rakyat,” katanya. Beliau berkata, UMNO Sabah komited untuk memasuki fasa itu dengan persediaan rapi, pendekatan yang berfokus dan tekad untuk mengembalikan keyakinan rakyat melalui tindakan yang boleh diukur dan dilaksanakan. – Info X
February 23, 2026
Info X Reporters
Petisyen pilihan raya DUN Bengkoka ditolak, kedudukan Harun Durabi kekal
KOTA KINABALU: Datuk Harun Durabi kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengkoka selepas Mahkamah Pilihan Raya pada Isnin menolak petisyen yang difailkan atas keputusan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) bagi kerusi DUN N2 Bengkoka yang diadakan pada 29 November 2025. Petisyen itu yang difailkan bekas calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Samuil Mopun ditolak selepas Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Dean Wayne Daly membenarkan bantahan awal yang dikemukakan responden. Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati petisyen berkenaan gagal mematuhi keperluan mandatori di bawah Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954, termasuk Peraturan 3(1) dan 3(2), Peraturan 4(1), Peraturan 9 serta Peraturan 15, yang menjadi syarat asas bagi menggerakkan bidang kuasa Mahkamah Pilihan Raya. Sehubungan itu, petisyen berkenaan ditolak tanpa perlu melalui perbicaraan penuh dan mahkamah turut memerintahkan kos dibayar kepada semua responden. Dalam petisyen itu, Harun diwakili Mohd Reduan Aklee, Hassan Murtaza, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mortimer Maluda dan Wong Chik Kien. Responden kedua dan ketiga diwakili SFC Ahmad Hanir Hambaly @ Alwi dan Raja Shahril Anuar Raja Baniamin dari Pejabat Peguam Negara. Samuil selaku pempetisyen pula diwakili peguam Jaikol Situn dan Rijolin Molisin. Ia adalah kes petisyen pilihan raya yang pertama diputuskan Mahkamah Pilihan Raya bagi PRN17 Sabah. Pada pilihan raya itu, Harun yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi DUN Bengkoka dengan majoriti 77 undi setelah mendapat 2,485 undi menewaskan Samuil selaku pencabar terdekatnya yang mendapat 2,408 undi. Kerusi berkenaan menyaksikan pertandingan 11 penjuru. – Info X