Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

January 28, 2026

Info X Reporters

Pengetua maut selepas kenderaan terbabas di Kudat

KUDAT: Seorang pengetua sekolah menengah maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya dipercayai terbabas sebelum melanggar tiang elektrik di Kilometer 18, Jalan Kudat – Kota Kinabalu berhampiran simpang RTM Sikuati, di sini, petang tadi. Dalam kejadian jam 5.50 petang itu, Ahmad Mehdunah, 60, pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sikuati, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas didapati tidak sedarkan diri sebaik kenderaan terbabit terhenti di dalam parit di tepi jalan. Ketua Polis Daerah Kudat, Superintenden Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah Toyota Hilux single cab yang dipandu mangsa dari arah Kota Kinabalu menghala ke Kudat. Menurutnya, saksi kejadian memaklumkan kenderaan mangsa dilihat bergerak perlahan secara tiba-tiba sebelum terbabas ke bahagian kanan jalan. “Kenderaan berkenaan kemudian masuk ke dalam parit sebelum melanggar sebuah tiang elektrik di tepi jalan. “Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa tidak mengalami kecederaan fizikal luaran dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya. Mohd Haris berkata, mangsa yang juga Pengetua SMK Sikuati, kemudian dibawa ke Hospital Kudat oleh kenderaan polis untuk tindakan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. “Polis meminta saksi kejadian yang menyaksikan kemalangan berkenaan tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X

January 28, 2026

Info X Reporters

Polis Kudat ‘lumpuhkan’ geng pecah rumah, lima suspek dicekup

KUDAT: Polis berjaya menumpaskan kegiatan pecah rumah dan curi di daerah ini apabila lima lelaki ditahan dalam beberapa serbuan berasingan, sekali gus membongkar penglibatan kumpulan terbabit dalam sekurang-kurangnya 13 kes jenayah yang berlaku sekitar Kudat. Kejayaan berkenaan hasil operasi bersepadu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat dengan bantuan pasukan task force yang dilancarkan pada 1 Januari lalu, antara jam 4 hingga 5.30 petang. Operasi itu dijalankan di dua lokasi berasingan iaitu di hadapan bangunan KO-Nelayan serta di tepi Jalan Pantai Bak-Bak, di sini. Ketua Polis Daerah Kudat, Superintenden Mohd Haris Ibrahim berkata, dalam serbuan awal itu, dua lelaki ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pecah rumah dan curi di sekitar daerah Kudat. “Hasil risikan dan maklumat lanjut membawa kepada tangkapan susulan dua lagi lelaki pada 4 Januari lalu di Kampung Tanjung Kapor serta Jalan Pinangsoo, sebelum seorang lagi suspek terakhir diberkas keesokan harinya di sebuah stesen minyak di Jalan Tamalang. “Dengan tertangkapnya kelima-lima suspek ini, polis turut merampas pelbagai jenis barangan yang dipercayai hasil kegiatan curi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Mohd Haris berkata, hasil siasatan mendapati semua suspek mengaku terlibat dalam 13 kes pecah rumah dan curi di daerah ini, dengan enam kertas siasatan sudah mendapat arahan untuk pertuduhan. “Ujian saringan air kencing ke atas semua suspek mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis syabu (methamphetamine). “Kes disiasat mengikut Seksyen 457, Seksyen 379, Seksyen 380 dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan,” katanya. Dalam pada itu, beliau menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan jenayah dan akan terus mempergiatkan operasi serta rondaan bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin. “Orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat berkaitan jenayah di kawasan masing-masing kepada Polis Daerah Kudat supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya. – Info X

January 28, 2026

Info X Reporters

Bawa isu tafsiran MA63 berkaitan minyak dan gas ke mahkamah – Pemuda Gagasan Rakyat

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyarankan agar Kerajaan Negeri menimbangkan untuk membawa isu tafsiran Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berkaitan minyak dan gas ke mahkamah. Saranan itu berikutan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang mengatakan MA63 tidak memperuntukkan sebarang perkara berkaitan pemilikan atau kawal selia sumber minyak dan gas. Perkara itu disebut dalam jawapan bertulis Azalina kepada soalan Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju di Dewan Rakyat pada 26 Januari. Ketua Penerangan Pemuda Gagasan Rakyat, Barhul Sahibu, berkata kenyataan itu menimbulkan persoalan besar dari sudut tafsiran perlembagaan dan semangat pembentukan Malaysia. Berikutan itu, beliau berkata pihaknya menyarankan agar tafsiran mengenai perkara itu dibawa ke mahkamah supaya ia dapat ditentukan secara sah, telus dan berlandaskan perlembagaan, bukan bergantung kepada tafsiran sepihak atau kenyataan politik semata-mata. “Isu ini bukan soal emosi atau retorik tetapi soal hak perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan keadilan kepada Sabah. “Kepastian undang-undang amat penting demi hubungan Persekutuan-Negeri yang sihat, stabil dan berasaskan prinsip rakan setara seperti yang dijanjikan dalam pembentukan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan. Beliau berkata, kenyataan Azalina itu menimbulkan persoalan sama ada ia adalah pendirian rasmi Kerajaan Persekutuan, iaitu bahawa sumber minyak dan gas sama sekali tidak termasuk dalam kerangka hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak di bawah MA63. “Jika benar, maka penjelasan iniwajar dinyatakan secara jelas dan konsisten, kerana selama ini MA63 sering dirujuk sebagai asas tuntutan hak negeri, termasuk dalam konteks sumber dan hasil. “Walaupun MA63 mungkin tidak menyebut secara literal tentang petroleum, ia tidak boleh ditafsir secara sempit. MA63 adalah dokumen asas pembentukan Malaysia yang memperuntukkan kedudukan, hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak sebagai rakan pembentuk Persekutuan,” katanya. Jelasnya, sebarang undang-undang Persekutuan yang digubal selepas 1963, termasuk Akta Pembangunan Petroleum 1974, tidak seharusnya menafikan atau menghakis semangat, hak dan autonomi yang dijamin ketika pembentukan Malaysia. Beliau berkata, jika Kerajaan Persekutuan berpegang bahawa isu minyak dan gas adalah sepenuhnya di luar ruang lingkup MA63 dan tertakluk mutlak kepada undang-undang Persekutuan, maka jalan terbaik dan paling berprinsip ialah membiarkan isu itu diputuskan secara muktamad oleh mahkamah. – Info X

January 28, 2026

Info X Reporters

30 premis perniagaan diperiksa KPDN, satu kompaun dikeluarkan

SEMPORNA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Cawangan Semporna bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Sabah telah melaksanakan operasi penguatkuasaan di 30 buah premis perniagaan sekitar daerah Semporna, termasuk premis pelancongan, hari ini. Operasi bersepadu itu dijalankan bagi memastikan semua premis mematuhi undang-undang dan peraturan sedia ada, terutamanya berkaitan penggunaan alat timbang dan sukat yang sah. Hasil pemeriksaan, satu premis telah dikenakan kompaun di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 (ATS 1972) kerana menggunakan alat timbang dan sukat yang tidak ditentusahkan oleh Inspektor Timbang dan Sukat. Ketua Cawangan KPDN Semporna, Tuan Satunlucy Bin Lamioh @ Lamidah berkata, operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan serta melindungi kepentingan pengguna. “Peniaga di kawasan Semporna dan Kunak diingatkan supaya sentiasa mematuhi perundangan bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan,” katanya. Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan salah laku peniaga melalui WhatsApp 019-279 4317 atau 019-848 8000, portal eAduan KPDN, talian Call Centre 1-800-886 800, emel [email protected], aplikasi Ez ADU KPDN, Pusat Arahan Penguatkuasaan di talian 03-8882 6088 atau 03-8882 6245, serta surat rasmi ke pejabat KPDN terdekat. – Info X

January 28, 2026

Info X Reporters

Mansuhkan JKKKP di Sabah – Ewon

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan digesa memansuhkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di Sabah sebagai langkah menghormati perundangan Sabah. Menyuarakan gesaan itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick, berkata perkara itu mengambil kira kewujudan Enakmen Pentadbiran JKKK yang dikuatkuasakan di Sabah. Ahli Parlimen Penampang itu berkata, undang-undang yang dikuatkuasakan kerajaan negeri perlu dihormati sebagai sebahagian daripada agenda reform nasional. “Penampang menyokong penuh agenda reform nasional seperti penyasaran semula subsidi-subsidi kerajaan, pindaan perlembagaan bagi menghadkan tempoh penggal maksimum Perdana Menteri, pengwujudan perundangan pendanaan parti politik, pemisahan tugas Peguam Negara dan Pendakwa Raya, semakan ke atas perundangan-perundangan lapuk dan inisiatif-inisiatif pendigitalan jentera penyampaian kerajaan. “Penampang berpendapat agenda reform ini harus mencakupi kepentingan Sabah dan Sarawak iaitu pelaksanaan penuh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). “Ini termasuklah menghormati perundangan negeri berkaitan pentadbiran di kampung. Sabah mempunyai Enakmen Pentadbiran JKKK, justeru Penampang menggesa Kerajaan Persekutuan memansuhkan JKKK Persekutuan di Sabah,” katanya. Ewon berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada sesi Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur pada Selasa. Katanya, campur tangan Kerajaan Persekutuan dalam urusan pentadbiran kampung, sedangkan Sabah telah mempunyai kerangka perundangan sendiri, menimbulkan rasa sangsi dan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat Sabah. Sehubungan itu, Ewon menegaskan perkara berkenaan memerlukan penjelasan serta maklum balas yang jelas daripada Kerajaan Persekutuan pada masa ini. “Rakyat Sabah telah menyampaikan mesej yang jelas dan menuntut agar perkara ini diberi perhatian sewajarnya,” katanya. Beliau turut menekankan bahawa hubungan erat di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sememangnya penting dan perlu dipelihara. Bagaimanapun, katanya ia mesti dilaksanakan dengan menghormati kedudukan Sabah sebagai rakan pembentuk Malaysia, selaras dengan MA63 dan syarat yang dipersetujui bersama. – Info X

January 28, 2026

Info X Reporters

James pernah diberi tugas selamatkan GLC hampir bankrap

KOTA KINABALU: Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib pada Rabu mendedahkan pernah dilantik sebagai pengerusi sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri yang hampir bankrap. Beliau berkata diarahkan untuk mengetuai GLC terbabit bagi melaksanakan pembaharuan agar tidak ditutup disebabkan masalah pengurusan yang dihadapi syarikat berkenaan. “Saya pernah diminta untuk menjadi pengerusi sebuah GLC yang hampir bankrap dan apabila saya masuk ke syarikat itu, memang banyak masalah yang berlaku. “Macam mana sebuah syarikat yang mempunyai lebih 500 ‘outlet’ tetapi hampir muflis. Apa yang berlaku saya dapati ada masalah dengan kakitangannya. “Jadi, kita lakukan rombakan, tukar kakitangan. Tindakan itu menimbulkan kemarahan tetapi saya tidak peduli kerana tujuan saya ke GLC itu adalah untuk melaksanakan pembaikan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Transformasi GLC Sabah 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Rabu. Konvensyen itu yang dianjurkan kementeriannya dengan kerjasama HRD Corp dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pegawai pengurusan yang mewakili 74 GLC Sabah. James mendakwa banyak GLC berdepan masalah berikutan kelemahan pengurusan yang menyebabkan syarikat mengalami kerugian. Katanya, perkara itu antara punca GLC negeri diarah menghantar laporan prestasi setiap tiga bulan sekali kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. Ketua Menteri sebelum ini, katanya meminta laporan dari setiap GLC untuk dipantau bagi memastikan ia mampu menjana keuntungan yang dapat disumbangkan semula kepada kerajaan negeri. Berikutan itu, katanya usaha memantapkan pengurusan GLC negeri diberi tumpuan dalam usaha menjana pendapatan dan keuntungan syarikat. “Jadi kita mahu GLC di Sabah ini dapat dimantapkan supaya kita banyak hasil yang dapat disumbangkan kepada kerajaan,” katanya. Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan, James berkata konvensyen julung kali yang dianjurkan bersama HRD Corp itu bertujuan untuk memantapkan GLC di Sabah. “Kolaborasi ini pertama kali dilaksanakan dan ia membabitkan kerjasama dengan sebuah agensi persekutuan untuk memberi kursus kepada GLC di Sabah. “Menerusi program ini, saya berharap ia dapat memberi satu pengalaman atau pengetahuan baharu akepada semua kakitangan GLC di Sabah ini. “Kalau boleh kita mahu konvensyen seperti ini diadakan dengan lebih kerap demi memantapkan lagi perkhidmatan kakitangan semua GLC di Sabah,” katanya. Ends

January 28, 2026

Info X Reporters

APMM rampas tujuh tan minyak sawit mentah di Sandakan

SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua lelaki dan merampas tujuh tan minyak sawit mentah disyaki tidak mempunyai permit di perairan Sandakan, di sini, tengah malam tadi. Kedua-dua lelaki membabitkan seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun dan seorang lagi lelaki warga asing berusia 42 tahun yang mengendalikan bot membawa muatan minyak sawit mentah itu ditahan pada jam 12.55 tengah malam. Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, bot itu ditahan oleh kapal peronda yang melaksanakan operasi kira-kira 0.8 batu nautika tenggara dari Kampung Gas, di sini. Katanya, bot berkenaan dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua lelaki gagal mengemukakan dokumen berkaitan pemilikan serta mengangkut minyak sawit. “Hasil pemeriksaan mendapati bot itu tidak mempunyai permit atau kebenaran sah daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). “Jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM75,000 dan dibawa ke jeti Zon Maritim untuk siasatan lanjut,” katanya. Muhamad Suhairy berkata, kes itu disiasat mengikut Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582). “Kes juga disiasat mengikut Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002, Peraturan-peraturan Pelabuhan Dermaga (Kapal Kecil Berlesen Sabah) 2008 kerana gagal mempamerkan lesen, nombor pendaftaran dan membawa muatan minyak sawit mentah tanpa kebenaran,” katanya. Muhamad Suhairy menegaskan pihaknya akan terus memperketat rondaan dan penguatkuasaan bagi menbanteras sebarang pelanggaran undang-undang di perairan negara. – Info X

January 28, 2026

Info X Reporters

Pengedar syabu dicekup, 51.13 gram dadah dirampas

SEMPORNA: Seorang lelaki warga asing disyaki pengedar dadah ditahan bersama 51.13 gram dadah jenis syabu dalam di Kampung Batu, di sini, malam tadi. Suspek berusia 32 tahun itu diberkas kira-kira jam 10 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna menerusi Operasi Tapis. Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Polis Tan Hiap Wah berkata, pihak menjalankan operasi selepas menerima maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah di kampung berkenaan Katanya, pasukan operasi mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menghampiri suspek yang dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah. “Suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan, namun berjaya diberkas. “Hasil pemeriksaan mendapati suspek memiliki dadah jenis syabu seberat 51.13 gram yang disimpan dalam satu bungkusan plastik hitam dan berada dalam genggaman tangannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Tan berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek terbabit merupakan warganegara asing dan hasil ujian saringan air kencing mendapati dia positif Amphetamine dan Methamphetamine. Beliau berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau. “Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan,” katanya. Dalam pada itu, Tan menegaskan polis akan terus mempergiat usaha membanteras jenayah narkotik di daerah ini demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat, khususnya generasi muda di Semporna. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah diminta tampil menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran,” katanya. – Info X