January 26, 2026
Info X Reporters
Pelihara integriti ilmu, jaga jati diri, pesan Tun Musa kepada pelajar Sabah di Mesir
KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin bertemu pelajar Sabah pada Majlis Mahabah di Kaherah, Mesir sempena lawatan rasmi empat hari ke negara itu. Tun Musa bersama delegasi yang tiba pada Sabtu lalu disambut Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Mohd Tarid Sufian dan pegawai dari Kedutaan Malaysia di sana. Selain bertemu kira-kira 350 pelajar dari Sabah yang belajar di negara itu, Tun Musa turut merasmikan Dewan Al-Imam Al-Tayeb di International Al-Azhar Al-Sharif Academy. Pada majlis berkenaan, Tun Musa menyatakan harapan agar lawatannya membuahkan hasil dan membawa manfaat bermakna kepada pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian di Mesir. Beliau juga berharap lawatan itu mengukuhkan lagi ikatan kerjasama di antara Sabah dan Mesir. Sementara itu, pada Majlis Mahabah bersama pelajar Sabah di Mesir dan Timur Tengah pada Ahad, Tun Musa antara lain berpesan kepada pelajar dari negeri ini supaya memelihara integriti ilmu dan menjaga jati diri. “Sebagai seorang yang telah melalui pahit getir kehidupan, pesanan saya kepada anak-anak sekalian, peliharalah Integriti Ilmu, jangan semata-mata mengejar segulung ijazah tetapi kejarlah keberkatan ilmu. “Jaga Jati Diri, biarlah lisanmu fasih berbahasa Arab atau Inggeris, namun pastikan jiwamu tetap sebagai jiwa anak Sabah yang sentiasa merendah diri, hormat kepada yang tua dan taat setia kepada agama dan tanah air. “Binalah jaringan kerjasama dan perpaduan, manfaatkan keberadaan anak-anak di sini untuk memupuk kerjasama erat dengan sesiapa saja kerana dunia hari ini adalah dunia tanpa sempadan. Berkolaborasilah dengan rakan-rakan untuk mencapai kejayaan dalam hidup,” katanya. Tun Musa turut berpesan kepada pelajar Sabah di negara itu supaya pulang ke negeri ini setelah selesai menimba ilmu untuk menabur jasa dan bakti. “Sabah merindui sumbangan bakti anak-anak sekalian. Marilah kita bersama membina sebuah negeri yang bukan sahaja makmur dari segi ekonominya tetapi mulia dan mantap akhlak rakyat sekaliannya,” katanya. Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri yang juga EXCO Agama negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar @ Yusof Khan Bahadar; Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih; Pengerusi MUIS, Datuk Seri Yahya Hussin dan Mufti Kerajaan Sabah, Sahibus Samahah Datuk Bongsu Aziz Jaafar. Turut hadir ialah TimbalanSetiausaha Kerajaan Negeri Sabah (Tugas-Tugas Khas), Datuk Hanafiah Mohd Kasim; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Jumain Abdul Ghani dan Pengarah Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah Dr Omar Raisul As-Salam Syah Sulaiman Omar. – Info X
January 26, 2026
Info X Reporters
PGA tumpaskan rokok seludup, 288 karton dirampas di Kunak
KUNAK: Cubaan menyeludup rokok tidak bercukai berjaya dipatahkan selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki dan merampas ratusan karton rokok dalam satu serbuan di Kampung Pangkalan Nelayan, di sini, semalam. Serbuan dijalankan oleh Platun Tiger, Batalion 22 PGA Kunak menerusi Operasi Rondaan Jarak Jauh (RJJ) kira-kira jam 12.30 tengah malam di sebuah rumah tidak bernombor di perkampungan atas air berkenaan. Menerusi kenyataan di Facebook rasmi Batalion 22 PGA Kunak, hari ini, operasi itu dilaksanakan hasil maklumat risikan serta pemantauan berterusan yang dijalankan pasukan keselamatan di kawasan terbabit. “Pemeriksaan lanjut di dalam rumah berkenaan menemukan sebanyak 288 karton rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai, disembunyikan di ruang dalam bilik pakaian. “Seorang suspek lelaki warganegara Malaysia ditahan di lokasi bersama barang rampasan, dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM105,360,” katanya. Katanya lagi, semua tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah untuk siasatan lanjut mengikut peruntukan Akta Kastam 1967. Operasi berkenaan, jelas kenyataan itu lagi, membuktikan keberkesanan risikan serta komitmen berterusan pasukan keselamatan dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan di kawasan tanggungjawab. Selain itu, rondaan dan risikan akan terus dipertingkatkan sepanjang pelaksanaan Operasi Rondaan Jarak Jauh bagi memastikan keselamatan serta mengekang sebarang aktiviti penyeludupan di kawasan berkenaan. – Info X
January 26, 2026
Info X Reporters
Sokongan padu rakyat penting dalam agenda pembangunan negeri – KM
KOTA KINABALU: Rakyat Sabah perlu terus memberi sokongan padu kepada kerajaan dan menjadi rakan kongsi bagi merealisasikan agenda pembangunan negeri. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sokongan itu penting bagi memastikan usaha kerajaan untuk membangunkan Sabah dapat dilaksanakan dengan lancar. “Aspirasi saya sebagai Ketua Menteri adalah untuk melakarkan laluan pembangunan bagi Sabah dan rakyat. “Justeru, sokongan berterusan adalah penting demi kesinambungan pembangunan rakyat dan negeri ini,” katanya pada majlis perasmian Festival Tarian Naga, Unicorn dan Singa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad. Ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun. Dalam ucapannya, Hajiji turut memuji Persatuan Komuniti Cina Sabah Bersekutu Kota Kinabalu (USCCAKK) kerana berjaya menganjurkan Festival Tarian Naga, Unicorn dan Singa Tahun Baharu Cina 2026 sempena sambutan Tahun Baharu Cina bulan depan. Beliau berkata USCCAKK secara konsisten menganjurkan acara itu sejak beberapa tahun lalu, menjadikannya satu sambutan kebudayaan tahunan yang dinanti-nantikan bukan saja masyarakat Cina, malah pelbagai lapisan masyarakat di Sabah. Katanya, acara itu juga berperanan sebagai platform untuk memupuk toleransi dan saling menerima dalam membina masa depan bersama. “Sebab itu, sambutan perayaan dan kebudayaan dalam kalangan masyarakat Sabah daripada pelbagai agama, etnik dan budaya adalah identiti unik di negeri ini. “Di Sabah sendiri, sambutan kebudayaan dan perayaan setiap kaum sudah menjadi upacara tahunan dan amalan. “Ia adalah asas untuk meningkatkan perpaduan dan keharmonian sedia ada dalam kalangan masyarakat berbilang kaum serta agama di negeri ini,” katanya. Berdasarkan Zodiak Cina, 2026 adalah Tahun Kuda Api dan dikaitkan dengan perubahan, inovasi serta keberanian dan menawarkan peluang besar. “Justeru, semangat dan tenaga dalam Tahun Kuda ini perlu kita ambil untuk bersama-sama dalam membawa lebih banyak pembangunan ekonomi, sosial dan kesejahteraan rakyat di negeri ini. “Kerajaan Negeri ingin berkongsi visi harapan ini dan akan terus maju ke hadapan serta meneruskan agenda pembangunan untuk memulihkan ekonomi, melaksanakan rancangan serta mencari peluang yang baik untuk negeri dan rakyat,” katanya. – Info X
January 25, 2026
Info X Reporters
Polis ‘sapu’ samseng jalanan, 28 saman dikeluarkan di Kota Belud
KOTA BELUD: Polis ‘sapu’ samseng jalanan dalam Operasi Bersepadu selama dua hari di daerah ini, dengan 28 saman dikeluarkan dan sebuah motosikal disita. Operasi berkenaan dijalankan selama dua hari bermula 24 Januari dan berakhir hari ini. Ia menumpukan beberapa lokasi tumpuan termasuk Jalan Pan Borneo berhampiran Kuala Abai dan Batu Gadung, susulan aduan orang awam berhubung aktiviti samseng jalanan serta gangguan ketenteraman awam di kawasan berkenaan. Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, operasi berkenaan membabitkan satu pegawai kanan dan 10 pegawai rendah polis. Menurutnya, operasi itu dilaksanakan dengan penglibatan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Balai Polis Kota Belud serta Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) “Sepanjang operasi dijalankan, seramai 43 individu dan 30 buah kenderaan diperiksa, dengan hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan lalu lintas dikesan. “Sebanyak 28 saman dikeluarkan atas kesalahan antaranya tidak memakai topi keledar, tiada lesen memandu, kenderaan tanpa nombor pendaftaran, penggunaan ekzos ubah suai serta kesalahan lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, sebuah motosikal turut disita untuk siasatan lanjut. Katanya, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengekang aktiviti samseng jalanan serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya. Dalam pada itu, beliau berkata polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya, selain tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna lain. – Info X
January 25, 2026
Info X Reporters
Roger Yapp umum letak jawatan Ketua Pemuda MCA Sabah
KOTA KINABALU: Ketua Pemuda MCA Sabah, Roger Yapp mengumumkan peletakan jawatannya dan semua jawatan lain dalam parti itu, berkuatkuasa serta merta. Menerusi satu kenyataan pada Ahad, Roger berkata keputusan itu diambil bukan disebabkan kepentingan diri, emosi atau takut, sebaliknya beliau mahu menukar cara perjuangan. Katanya, beliau juga akan terus bersuara dan bekerja untuk rakyat Sabah dan berharap semua pihak memberikan sokongan serta semangat kepada anak muda Sabah. “Saya mengucapkan terima kasih pimpinan MCA, khasnya kepada Presiden, Datuk Seri Wee Ka Siong; Ketua Pemuda MCA, YB Ling Tiang Soon dan mantan SUA, Datin Paduka Chew Mei Fun yang pernah memberikan peluang dan kepercayaan kepada saya. “Dengan itu, saya secara rasminya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda MCA Sabah dan semua jawatan dalam parti dengan serta merta. “Keputusan ini dibuat bukan atas kepentingan diri saya, bukan sebab emosi, bukan sebab takut. Melepaskan jawatan bukan hentikan perjuangan, cuma saya mahu tukar cara. “Saya akan terus bekerja untuk rakyat dan masyarakat Sabah. Niat dan prinsip saya juga tidak pernah berubah, saya akan terus bersuara dan bekerja untuk rakyat Sabah. “Dengan itu saya mohon agar semua berikan sokongan dan semangat kepada anak-anak muda Sabah dan saya berharap kita maju bersama-sama,” katanya. Katanya, walaupun keputusan itu adalah sesuatu yang berat baginya, namun beliau sudah bertekad untuk meneruskan perjuangan dengan cara lain. Sementara itu, Roger mengucapkan tahniah kepada Mohd Kurniawan Naim Moktar berikutan kejayaannya memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu pada Sabtu. PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan berikutan kematian ayah Naim, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu selaku penyandang kedua-dua kerusi itu. Roger yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik Pengerusi BN Sabah di bawah arwah Bung Moktar, berkata Allahyarham pernah berpesan kepadanya untuk membantu Naim jika dia menjadi calon. “Itu sebab selama 14 hari berkempen, saya bersama dengan Naim di Kinabatangan, kami turun naik perahu, mendaki bukit, siang malam menziarahi rakyat dari kampung ke kampung. “Ada masanya saya merasa tekanan dan bimbang terhadap Naim, tapi pada masa yang sama saya rasa sangat berbangga dan bersyukur Naim berani mengambil langkah untuk mencabar kawasan Kinabatangan ini yang begitu luas,” katanya. Beliau berkata, sebelum ini arwah Bung Moktar sering mengajarnya supaya anak muda sentiasa bersyukur, merendah diri dan saling bantu-membantu. “Saya pegang pesan arwah (Bung Moktar) sampai hari ini,” katanya. Pada PRK Parlimen Kinabatangan itu, Naim menang dengan majoriti 14,214 undi dalam pertandingan tiga penjuru. Beliau memperolehi 19,852 undi berbanding pencabar terdekatnya, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) yang memperolehi 5,638 undi dan Goldam Hamid (Bebas) dengan 946 undi. – Info X
January 25, 2026
Info X Reporters
PM ucap tahniah kemenangan BN di Kinabatangan, Lamag
KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang berlangsung semalam. Menurut beliau, keputusan tersebut mencerminkan keyakinan berterusan rakyat terhadap usaha, khidmat serta komitmen yang telah ditunjukkan oleh BN, khususnya di peringkat akar umbi. Anwar berkata, kemenangan itu perlu ditanggapi dengan penuh rasa tanggungjawab kerana ia merupakan satu amanah rakyat yang menuntut kepimpinan berintegriti, penyampaian khidmat yang berkesan serta keupayaan menyantuni keperluan masyarakat secara inklusif dan berterusan. “Kerajaan MADANI akan terus menjunjung semangat muafakat dan kebersamaan bagi memastikan pembangunan di Sabah dapat terus diperkukuh, kesejahteraan rakyat dipelihara serta agenda MADANI dapat direalisasikan dengan tekad bersama,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini. Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Kinabatangan yang baharu, Mohd Kurniawan Naim Moktar dan Ahli Dewan Undangan Negeri Lamag, Mohd Ismail Ayob atas kemenangan tersebut. Dalam pada itu, Anwar turut mendoakan agar legasi khidmat dan kepimpinan allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin terus dipelihara dan diteruskan demi kepentingan rakyat setempat. – Info X
January 25, 2026
Info X Reporters
Tiga cedera kenderaan jatuh gaung di Lahad Datu
LAHAD DATU: Tiga lelaki cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira enam meter di Kilometer 13, Jalan SMK Segama, awal pagi tadi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.02 pagi. Katanya, sepasukan sembilan anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian sejauh kira-kira 13 kilometer. “Jentera tiba pada jam 1.12 pagi dan mendapati sebuah Toyota Vigo berada di dalam gaung dengan tiga mangsa tersepit di dalam kenderaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, pasukan bomba menggunakan peralatan khas kemalangan jalan raya (RTA) untuk mengeluarkan semua mangsa yang terperangkap. “Semua mangsa berjaya dikeluarkan dan dilaporkan mengalami kecederaan. Mangsa kemudian dibawa naik ke jalan raya menggunakan tali dan pengusung sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya. Beliau berkata, mangsa seterusnya dihantar ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut. “Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.17 pagi selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya. – Info X
January 25, 2026
Info X Reporters
Akses pendidikan untuk semua anak Sabah, tiada dibiar tercicir – KM
TAMPARULI: Kerajaan negeri komited untuk memastikan tiada anak Sabah, khususnya dari kumpulan B40 tercicir dalam mendapatkan akses kepada peluang pendidikan. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata di bawah pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 sebelum ini, pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk bantuan persekolahan dan biasiswa bagi menyokong proses pembelajaran serta merapatkan jurang pendidikan. “Inisiatif bantuan pendidikan ini akan diteruskan di bawah pelan pembangunan SMJ 2.0,” katanya pada majlis penyampaian cermin mata kepada murid sekolah oleh Sabah Electricity sempena program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat utiliti itu di SK Tamparuli, di sini, pada Ahad. Teks ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai. Sehubungan itu, Hajiji menegaskan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam membantu golongan yang memerlukan, khususnya kumpulan B40. “Sumbangan kepada masyarakat bukan sekadar satu pilihan tetapi adalah satu tanggungjawab selaras dengan mandat penubuhan GLC itu sendiri. “Saya mahu setiap GLC terus melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat yang berimpak tinggi, berfokus dan mampan, khususnya dalam memperkasa pendidikan, kebajikan serta pembangunan modal insan rakyat Sabah,” katanya. Selain itu, Hajiji berkata setiap inisiatif yang dilaksanakan akan dipantau secara telus dan sistematik, dengan laporan berkala dikemukakan kepada Kerajaan Negeri bagi memastikan keberkesanan dan akauntabiliti program. “Pendekatan holistik yang mengimbangi prestasi operasi, kelestarian kewangan dan tanggungjawab sosial adalah selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri di bawah Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya. Ketua Menteri turut menasihati penerima sumbangan CSR agar menjadikan bantuan itu sebagai motivasi untuk terus berusaha dan kekal fokus dalam pelajaran. – Info X