Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

March 31, 2026

Info X Reporters

Buaya tembaga 200kg ‘tumpas’ selepas operasi hampir 11 jam

TAWAU: Seekor buaya tembaga seberat kira-kira 200 kilogram berjaya ditangkap selepas operasi hampir 11 jam di kawasan kolam penternakan Asia Aquaculture, Jalan Wakuba, di sini, hari ini. Ketua Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tawau, Leftenan M (PA) Muhammad Anuar Wong Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.05 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi. Katanya, kehadiran reptilia ganas sepanjang 10 kaki 6 inci itu disedari pelajar praktikal yang menjalankan pemeriksaan di sekitar kolam penternakan udang. “Seramai dua pegawai dan lima anggota APM dikejarkan ke lokasi sebelum bekerjasama dengan tiga pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau diketuai Zulkurnain Hashim yang tiba kemudian. “Bagi memudahkan operasi, pihak pengurusan kolam mengambil tindakan mengeringkan air kolam yang mengambil masa beberapa jam, sekali gus menjadi antara faktor utama operasi berlarutan sehingga hampir 11 jam,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, faktor keselamatan awam menjadi keutamaan menyebabkan pihak Jabatan Hidupan Liar terpaksa melepaskan beberapa das tembakan selepas menilai risiko di lokasi. “Sebanyak tujuh das tembakan dilepaskan sebelum buaya berkenaan berjaya dikawal dan ditangkap. “Operasi turut berdepan cabaran apabila cangkuk penangkap buaya patah akibat kekuatan haiwan itu,” katanya. Beliau berkata, buaya tembaga berkenaan kemudian diserahkan sepenuhnya kepada Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan lanjut. “Operasi yang tamat kira-kira jam 7.30 malam itu berjalan lancar tanpa sebarang kecederaan dan semua anggota selamat kembali ke pangkalan,” katanya. – Info X

March 31, 2026

Info X Reporters

Dua lemas dihanyut arus deras di Papar

PAPAR: Niat seorang lelaki untuk menyelamatkan ahli keluarganya berakhir tragedi apabila dia dan adik iparnya dihanyutkan arus deras sebelum ditemukan lemas di sungai berhampiran sebuah penginapan di Mandalipau, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, seorang lelaki berusia 18 tahun dan adik iparnya berusia 15 tahun ditemui orang awam sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, siasatan awal mendapati terdapat lima wanita sedang mandi di sungai sebelum dihanyutkan arus deras. “Daripada jumlah itu, tiga berjaya diselamatkan, manakala dua lagi dipercayai lemas. “Seorang lelaki yang juga suami kepada salah seorang mangsa kemudian bertindak menyelamatkan isterinya yang ketika itu sedang tenggelam. “Bagaimanapun, selepas isterinya berjaya diselamatkan, lelaki terbabit dipercayai keletihan sebelum tenggelam dan lemas,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, mangsa lelaki kemudiannya berjaya dikeluarkan dari dalam air oleh penduduk kampung yang menyelam untuk mencarinya. “Seorang lagi mangsa perempuan yang tenggelam turut berjaya dibawa naik oleh orang kampung. “Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Papar untuk tindakan lanjut,” katanya. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.10 pagi sebelum sepasukan lapan anggota digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 31 kilometer dari balai. “Setibanya di lokasi, kedua-dua mangsa telah ditemui orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba. “Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. Operasi turut membabitkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan KKM. – Info X

March 31, 2026

Info X Reporters

SPM 2025: 605 pelajar di Sabah catat semua kombinasi A

RANAU: Seramai 605 pelajar di Sabah mencatat keputusan semua A pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025. Jumlah itu merangkumi pelajar yang mencatat semua kombinasi A, iaitu A+, A dan A-, meningkat 25 orang berbanding SPM 2024. Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Dr Raisin Saidin, berkata jumlah itu mewakili 1.63 peratus daripada 37,036 jumlah calon SPM Kementerian Pendidikan (KPM) 2025 di Sabah. Bagaimanapun, katanya hanya tiga pelajar mencatat keputusan semua A+ pada SPM 2025, berbanding enam pelajar pada SPM 2024. “Sukacita saya memaklumkan bahawa bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang iaitu semua gred A+ dalam semua mata pelajaran adalah seramai tiga orang pada SPM 2025 berbanding enam orang pada SPM 2024. “Bilangan calon yang memperolehkombinasi gred A+, A dan A- pula seramai 605 orang (1.63%) pada SPM 2025 berbanding dengan 580 orang (1.64%) pada SPM 2024.Angka ini menunjukkan peningkatan seramai 25 orang (0.01%),” katanya. Beliau berkata demikian pada pengumuman keputusan SPM 2025 bagi negeri Sabah di SMK Agama Mohamad Ali, di sini, pada Selasa. Sementara itu, katanya seramai 6,150 orang (16.61%) calon memperolehi sekurang-kurangnya kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran padaSPM 2025 berbanding 3,437 orang (9.74%) pada SPM 2024. Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan seramai 2,713 orang (6.87%). “Calon yang memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau gred E dalamsemua mata pelajaran adalah seramai 14,533 orang (39.24%) pada SPM 2025 berbanding 13,265 orang (37.64%) pada SPM 2024. “Angka ini menunjukkan peningkatan seramai 908 orang (1.60%),” katanya. Sementara itu, katanya indeks Gred Purata Negeri (GPN) bagi Sabah pada SPM 2025 lebih baik dengan nilai 4.85 mata, berbansing 5.00 mata pada SPM 2024. “Sukacita saya memaklumkan bahawa secara keseluruhannya, pencapaian calon SPM 2025 bagi negeri Sabah berdasarkan indeks GPN adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya. “Nilai GPN SPM 2025 bagi negeri Sabah ialah 4.85 mata berbandingdengan 5.00 mata pada SPM 2024, iaitu mengecil sebanyak 0.15 mata,” katanya. Secara keseluruhan, katanya seramai 34,737 orang (95.60%) calon sekolah KPM di Sabah layak dianugerahkan sijil pada SPM 2025 berbanding 32,501 orang (94.68%) pada SPM 2024. Angka itu, katanya menunjukkanpeningkatan seramai 2,236 orang (0.92%). – Info X

March 31, 2026

Info X Reporters

Suspek berang dengar adik ‘mengumpat’ sebelum menembaknya

TENOM: Suspek kes tembak adik dikatakan naik angin selepas mendengar mangsa dan isterinya bercakap buruk mengenainya sebelum menembak mangsa dengan bakakuk dari jendela rumahnya di Kampung Kangkawang, Jalan Kemabong, di sini, kelmarin. Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak berkata, suspek sejak sekian lama dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental, terutama selepas perceraian dengan isterinya dan salah seorang anak perempuannya turut dipelihara oleh mangsa. “Pada pagi kejadian, suspek tiba-tiba naik angin apabila menuduh mangsa bersama isterinya bercakap buruk mengenai dirinya di hadapan rumah mangsa yang boleh didengari dari rumahnya yang terletak bersebelahan. “Suspek kemudian bertindak agresif dengan menetak pokok buah naga milik mangsa menggunakan parang sebelum tidak berpuas hati lalu mengambil senjata api buatan sendiri jenis bakakuk miliknya. “Suspek dipercayai melepaskan tembakan dari tingkap rumahnya yang bersebelahan ke arah mangsa hingga menyebabkan adiknya itu maut di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Azmir berkata, siasatan forensik masih dijalankan di lokasi dan beberapa barangan kes termasuk senjata bakakuk, peluru serta kelongsong peluru sudah dirampas untuk dianalisis lanjut. “Sementara itu, pegawai penyiasat kes turut giat mengambil keterangan daripada semua saksi berkaitan bagi membantu siasatan. “Antara yang sudah dirakam percakapan termasuk isteri mangsa, anak suspek yang dipelihara oleh mangsa berikutan suspek mempunyai masalah kesihatan mental serta beberapa saksi dalam kalangan anggota polis,’ katanya. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, manakala siasatan lanjut masih diteruskan. Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa berusia 54 tahun disahkan meninggal dunia selepas dipercayai ditembak oleh suspek yang juga abang kandungnya. Suspek berusia 57 tahun dilaporkan menggunakan senjata buatan sendiri jenis bakakuk miliknya sebelum dia ditembak mati polis selepas enggan menyerah diri dan mengancam keselamatan anggota polis. – Info X

March 31, 2026

Info X Reporters

Kerajaan negeri komited laksanakan pelbagai usaha pembangunan – KM

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor megulangi komitmen Kerajaan Negeri untuk melaksanakan pelbagai usaha pembangunan yang menyeluruh. Katanya, ia termasuk penekanan kepada pengukuhan ekonomi negeri, pembangunan infrastruktur dan peningkatan kemudahan kesihatan, pendidikan, keselamatan seeta pelbagai aspek lain demi kesejahteraan rakyat. “Dalam menjayakan agenda ini, anggota perkhidmatan awam hendaklah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, jujur dan berintegriti bagi memastikan setiap dasar serta inisiatif kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan berkesan,” katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Jamuan Negeri sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri di Dewan Bankuasi, Dewan Undangan Negeri (DUB) Sabah, pada malam Isnin. Katanya, dengan terbentuknya Kerajaan Negeri yang baharu bagi penggal kedua pada November lalu, agenda pembangunan yang holistik berteraskan Hala Tuju SMJ 2.0 iaitu lanjutan daripada Dasar Hala Tuju SMJ 1.0, akan menjadi panduan dan landasan dalam membawa negeri ini ke mercu kejayaan. “Kejayaan pelaksanaan Pelan Pembangunan SMJ 1.0 memberi kita keyakinan bahawa pendekatan pentadbiran kerajaan sejak lima tahun lalu berada pada landasan yang tepat. “Justeru, Pelan Pembangunan SMJ 2.0 adalah lanjutan yang menuntut perubahan berterusan dalam meningkatkan keupayaan diri, merangkumi perubahan cara berfikir dan bekerja serta mencipta nilai baharu untuk kemajuan dan pembangunan yang berterusan,” katanya. Beliau menyeru semua pihak agar memainkan berperanan masing-masing dalam menjunjung tinggi nilai profesionalisme, memelihara disiplin dan berpegang teguh kepada integriti dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. “Saya yakin pentadbiran yang berteraskan integriti dan tadbir urus yang baik mampu meningkatkan keyakinan pelabur, memperkukuh daya saing ekonomi negeri serta mewujudkan persekitaran yang kondusif ke arah pembangunan yang mampan,” katanya. Hajiji berkata segala usaha dan inisiatif murni kerajaan hendaklah dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab bagi memastikan Sabah terus bergerak maju dan mencapai pembangunan yang mampan selaras dengan aspirasi pembangunan negeri. Ketua Menteri turut berkata bahawa beliau dan seluruh anggota pentadbiran negeri amat menghargai kepimpinan, kebijaksanaan serta naungan TYT Yang di-Pertua Negeri yang menjadi lambang perpaduan, kestabilan dan keharmonian rakyat di negeri ini. – Info X

March 31, 2026

Info X Reporters

Kes tembak adik kandung: Polis teruskan siasatan, ambil keterangan saksi

TENOM: Siasatan kes seorang lelaki yang menembak adik kandungnya hingga maut sebelum dia sendiri ditembak mati polis di Kampung Kangkawang, Jalan Kemabong, di sini, kelmarin tertumpu kepada siasatan forensik serta pengambilan keterangan saksi. Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak berkata, siasatan forensik masih dijalankan di lokasi dan beberapa barangan kes termasuk senjata bakakuk, peluru serta kelongsong peluru sudah dirampas untuk dianalisis lanjut. “Sementara itu, pegawai penyiasat kes turut giat mengambil keterangan daripada semua saksi berkaitan bagi membantu siasatan. “Antara yang sudah dirakam percakapan termasuk isteri mangsa, anak suspek yang dipelihara oleh mangsa berikutan suspek mempunyai masalah kesihatan mental serta beberapa saksi dalam kalangan anggota polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, siasatan awal juga mendapati senjata api buatan sendiri jenis bakakuk itu dipercayai milik suspek. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, manakala siasatan lanjut masih diteruskan. “Polis turut menasihatkan orang ramai agar segera menyalurkan maklumat sekiranya mengesan individu yang memiliki senjata api buatan sendiri seperti bakakuk atau ginsok. “Langkah itu penting bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang pada masa hadapan,” katanya. Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa berusia 54 tahun disahkan meninggal dunia selepas dipercayai ditembak beberapa kali oleh suspek yang juga abang kandungnya. Suspek berusia 57 tahun dilaporkan menggunakan senjata buatan sendiri jenis bakakuk miliknya sebelum dia ditembak mati polis selepas enggan menyerah diri dan mengancam keselamatan anggota polis. Suspek juga dikatakan mempunyai masalah kesihatan mental. – Info X

March 31, 2026

Info X Reporters

Kebakaran pusat pelupusan sampah di Kayu Madang berjaya dikawal

KOTA KINABALU: Kebakaran longgokan tayar di Pusat Pelupusan Sampah Kayu Madang, Telipok, awal pagi tadi berjaya dikawal oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah tanpa membabitkan sebarang mangsa. Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 pagi itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah menerima panggilan kecemasan sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran tiba di lokasi pada jam 12.36 pagi, kira-kira 19 kilometer dari balai. Ketua Balai BBP Tuaran, TPgB II Kurong Ak Beki, berkata kebakaran membabitkan longgokan tayar dengan anggaran keluasan kira-kira tiga ekar di kawasan pusat pelupusan berkenaan berjaya dikawal pada jam 5.32 pagi. “Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati kebakaran sedang marak melibatkan longgokan tayar. Pasukan segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 400 kaki dengan empat pancutan. “Sumber air diperoleh daripada jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Water Tanker bomba bagi memastikan operasi pemadaman berjalan lancar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau berkata, bagi mengelakkan kebakaran daripada terus merebak, anggota bomba turut melaksanakan teknik ‘fire break’ di sekeliling kawasan longgokan tayar dengan bantuan dua jentera berat jenis excavator. Operasi itu membabitkan seramai 30 anggota daripada beberapa balai iaitu BBP Tuaran, BBP Kota Kinabalu dan BBP Lintas, selain dibantu Unit Komunikasi serta agensi lain iaitu Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK). Katanya, pelbagai aset digunakan dalam operasi berkenaan termasuk jentera FRT, Water Tanker, kenderaan utiliti serta unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS). “Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan terlibat dan operasi pemadaman masih diteruskan sehingga api dipadam sepenuhnya serta keadaan benar-benar selamat,” katanya. Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau lokasi kejadian dan maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa. – Info X

March 31, 2026

Info X Reporters

Abang tembak adik hingga mati, akhirnya maut ditembak polis

TENOM: Seorang lelaki menembak adik kandungnya hingga maut sebelum dia sendiri ditembak mati polis dalam kejadian di Kampung Kangkawang, Jalan Kemabong, di sini, kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa berusia 54 tahun, seorang pekebun, disahkan meninggal dunia selepas mengalami lapan kesan tembakan di bahagian belakang badan. Suspek berusia 57 tahun yang juga abang mangsa dilaporkan menggunakan senjata buatan sendiri jenis bakakuk dan dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental. Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 8.54 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota digerakkan ke lokasi. Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, penduduk kampung memaklumkan suspek berada di dalam rumah sambil memegang senjata api dan mengugut akan menembak sesiapa yang menghampiri kawasan itu. “Polis kemudian membuat kepungan dan mengarahkan suspek menyerah diri sebanyak tiga kali, namun dia enggan keluar. “Beberapa das gas pemedih mata dilepaskan ke dalam rumah bagi memaksa suspek keluar, namun dia masih tidak memberikan kerjasama,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Azmir berkata, situasi bertukar tegang apabila suspek berlari ke arah dapur sambil mengacukan senjata ke arah anggota polis yang berada berhampiran tingkap rumah. Katanya, bagi mempertahankan diri, seorang pegawai polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan yang mengenai lengan kanan, dada kiri dan rusuk kiri suspek. “Suspek kemudian rebah di bahagian dapur rumah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. “Pemeriksaan lanjut mendapati senjata bakakuk milik suspek masih mengandungi satu butir peluru hidup dalam chamber,” katanya. Beliau berkata, polis turut merampas beberapa barangan termasuk laras senjata api bakakuk, peluru, kelongsong peluru serta sebilah parang panjang di lokasi kejadian. “Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. “Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya. – Info X