Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

August 21, 2026

Info X Reporters

Lampoopalooza terus perluas komitmen komuniti di Sabah

KOTA KINABALU: Festival Lampoopalooza terus memperluas impaknya kepada masyarakat menerusi pelbagai inisiatif kemasyarakatan yang dilaksanakan sejak 2024, seiring usaha menjadikan acara itu bukan sekadar sambutan cahaya dan kreativiti. Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen Lembaga Pelancongan Sabah (STB) untuk memastikan Lampoopalooza memberi manfaat lebih luas dengan mewujudkan peluang menyokong komuniti serta menggalakkan keterangkuman menerusi kerjasama bermakna. Pada 2024, Lampoopalooza meluaskan inisiatif kemasyarakatannya ke kawasan luar bandar Sabah apabila menyumbangkan tangki air kepada lima kampung di Pitas iaitu Kampung Kandang, Kampung Gumpa, Kampung Mangkapon Lumikog, Kampung Jambu dan Kampung Kodong. Selain itu, panel solar turut disumbangkan kepada Kampung Timpayasa di Ulu Papar bagi menyediakan sumber tenaga boleh diperbaharui kepada penduduk.Inisiatif berkenaan diteruskan pada 2025 menerusi kerjasama dengan Persatuan Orang Pekak Sabah bagi memberi peluang kepada komuniti pekak menyertai festival berkenaan secara aktif. Kerjasama itu turut menzahirkan komitmen Lampoopalooza untuk memastikan festival berkenaan dapat dinikmati secara lebih mudah dan inklusif oleh pelbagai lapisan masyarakat. Pada tahun ini, kerjasama dengan Persatuan Orang Pekak Sabah diteruskan, manakala inisiatif kemasyarakatan turut diperluas ke Kudat. Pada 30 Julai lalu, pegawai STB menyerahkan hampir 200 tong air kepada wakil WWF-Malaysia di Kudat untuk diagihkan kepada komuniti setempat. Tong berkenaan kemudiannya diagihkan kepada wakil masyarakat dari Kampung Tajau Laut, Kampung Perpaduan, Kampung Berungus dan Kampung Tigabu bagi memastikan bantuan itu dapat dimanfaatkan untuk keperluan harian penduduk. Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata acara pelancongan perlu melangkaui matlamat menarik kedatangan pelawat dengan turut mewujudkan peluang kepada masyarakat setempat untuk mendapat manfaat dan mengambil bahagian. “Ketika kita terus membangunkan Sabah sebagai destinasi pelancongan pilihan, adalah penting aktiviti pelancongan turut mewujudkan nilai kepada komuniti yang menjadi sebahagian daripada destinasi berkenaan. “Inisiatif seperti ini menyediakan ruang kepada pemain industri pelancongan untuk bekerjasama dengan komuniti dan organisasi bagi memenuhi keperluan praktikal, selain meningkatkan kesedaran mengenai keterangkuman dan penyertaan masyarakat,” katanya. Beliau berkata, kementerian mengalu-alukan usaha yang menggalakkan kerjasama lebih erat antara industri pelancongan, organisasi kemasyarakatan dan komuniti setempat. Katanya, kerjasama sedemikian mampu menyumbang kepada pembentukan persekitaran pelancongan yang lebih inklusif dan mampan di Sabah. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, Julinus Jeffery Jimit, berkata Lampoopalooza bukan sekadar meraikan cahaya, kreativiti dan komuniti, sebaliknya turut memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan manfaat bermakna kepada masyarakat. “Sejak 2024, kami terus memasukkan inisiatif yang memberi manfaat bermakna kepada komuniti. “Daripada menyokong masyarakat luar bandar di Pitas dan Ulu Papar, bekerjasama dengan komuniti pekak, sehingga memperluas sokongan praktikal kepada masyarakat di Kudat, kami berharap Lampoopalooza terus menjadi wadah yang menyatukan masyarakat dan memberikan impak positif melangkaui festival itu sendiri,” katanya. Menerusi pelbagai inisiatif berkenaan, Lampoopalooza terus menghubungkan sambutan yang berlangsung di tengah-tengah Kota Kinabalu dengan komuniti di seluruh Sabah, sekali gus membuktikan acara pelancongan mampu menghasilkan impak sosial bermakna sambil menyatukan masyarakat melalui pengalaman bersama.- Info X

August 21, 2026

Info X Reporters

Jangan tunggu tayar ‘lesap’

BEAUFORT: Biarpun hanya dua kes dilaporkan, kecurian tayar kenderaan tetap jenayah yang tidak boleh dipandang ringan kerana mendatangkan kerugian dan menyusahkan pemilik. Dua kejadian itu masing-masing dilaporkan berlaku di Kampung Bingkol dan tepi jalan Kampung Binunuk, di sini. Susulan kejadian berkenaan, polis mengingatkan orang ramai supaya tidak memberi ruang kepada pencuri dengan meletakkan kenderaan di lokasi sunyi atau gelap. Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, pihaknya memandang serius kejadian berkenaan dan meminta pemilik meningkatkan langkah keselamatan, khususnya pada waktu malam. “Pastikan kenderaan diletakkan di kawasan selamat dan mempunyai pencahayaan mencukupi bagi mengurangkan risiko menjadi sasaran pencuri,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau turut menyeru anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan penduduk meningkatkan rondaan serta pemantauan di kampung masing-masing. Menurutnya, keselamatan kawasan kejiranan adalah tanggungjawab bersama dan kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu polis mencegah jenayah. – Info X

August 21, 2026

Info X Reporters

Bengkel motosikal, kedai basikal terbakar

PENAMPANG: Sebuah bengkel motosikal dan kedai basikal dua tingkat terbakar di Jalan Penampang Baru, di sini, petang ini. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.28 petang. Katanya, sembilan anggota BBP Penampang bersama enam anggota BBP Putatan dikerahkan ke lokasi dengan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan lori tangki air. “Kebakaran membabitkan bangunan kekal dua tingkat yang menempatkan bengkel motosikal dan kedai basikal. “Api membakar bahagian tingkat satu bangunan berkenaan sebelum operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua pancutan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, sumber air diperoleh daripada lori tangki bomba dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.57 petang. “Tiada mangsa dilaporkan, manakala operasi pemadaman masih diteruskan dan maklumat lanjut akan dikemas kini. “Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya. Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I Calixtus Fedilis dengan kekuatan keseluruhan 15 anggota, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di lokasi. – Info X

August 21, 2026

Info X Reporters

Empat rumah teres terbakar

TUARAN: Empat rumah teres dua tingkat terbakar di Lorong 10, Taman D Sri Gayang, di sini, tengah hari tadi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba II Kurong Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.28 tengah hari. Katanya, seramai 12 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi. “Kebakaran membabitkan empat rumah teres dua tingkat jenis kekal dengan keluasan keseluruhan kira-kira 167 meter persegi. “Rumah pertama terbakar 90 peratus, rumah kedua 30 peratus, manakala rumah ketiga dan keempat masing-masing terbakar 10 peratus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua pancutan dengan sumber air daripada jentera dan pili bomba. “Kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.13 tengah hari dan tiada mangsa dilaporkan terbabit. “Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I Amran Lawadin tamat pada jam 2.11 petang selepas pemeriksaan dilakukan bagi memastikan tiada lagi bahaya di lokasi. “Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya. – Info X

August 21, 2026

Info X Reporters

Kawal pintu sempadan, elak vape magic mushroom, zombi masuk Sabah – Masiung

KOTA KINABALU: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersama polis dan Jabatan Imigresen digesa memperketat kawalan pintu masuk ke negeri ini bagi menyekat kemasukan dadah dalam bentuk perisa rokok elektronik. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata sebelum ini perisa rokok elektronik atau vape dipanggil ‘magic mushroom’ dikenal pasti sebagai dadah sintetik baharu, disusuli ‘blackout atau zombi’. Katanya, walaupun belum ada laporan kes bahan berbahaya itu di negeri ini, namun pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan kastam perlu mengawasi semua pintu masuk ke Sabah. Beliau turut mengesa pihak berkuasa, terutama AADK memperketat kawalan fizikal dan logistik di semua pintu sempadan dari negara jiran. “Mengikut laporan AADK, varian baharu dadah dilabelkan ‘blackout’ itu 100 kali lebih kuat daripada morfin. Dadah sintetik itu juga dikenal pasti telah memasuki pasaran gelap di negara ini. “Cecair terlarang itu bukan saja boleh dijadikan perisa vape, tetapi turut dicampurkan dalam minuman atau makanan selain dititiskan pada batang rokok sebelum disedut,” katanya. Sembil memetik laporan AADK, Masiung berkata cecair ‘blackout atau zombi’ mengandungi dos berlebihan, di mana pengguna terlebih khayal dan pasif tidak sedarkan diri. Bahan khayal itu juga, katanya dicampurkan dengan ketamin dan sejenis racun ‘psikotopik’ berbahaya kepada fizikal manusia. “Pengguna akan hilang kewarasan dan hilang fikiran sekali gus menyerang saraf otak dan sistem fizikal. “Kemasukan bahan terlarang itu ke negara ini merangkumi pelbagai taktik termasuk pengangkutan laut dan udara,” katanya. Masiung tidak menolak kemungkinan bahan terlarang itu diproses oleh sindiket antarabangsa atau tempatan untuk pasaran gelap di negara ini. Beliau menegaskan, sindiket berkenaan mungkin menggunakan pelbagai modus operandi termasuk penghantaran pos laju dan aplikasi atas talian untuk mengaburi pihak berkuasa. – Info X

August 21, 2026

Info X Reporters

Sabah Electricity pastikan bekalan lancar sepanjang penutupan gas di SOGT Kimanis

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan bekalan elektrik kekal stabil sepanjang penutupan sumber gas dari Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis, bermula esok. Menerusi satu kenyataan, syarikat utiliti itu berkata penutupan sumber gas itu disebabkan kerja penyelenggaraan yang dilaksanakan PETRONAS di SOGT bermula esok hingga 28 Ogos ini. Katanya, dua loji janakuasa bebas (IPP) yang beroperasi di kawasan berkenaan terjejas berikutan penutupan bekalan gas itu, namun ia tetap beroperasi menggunakan bahan api alternatif daripada diesel. “Penutupan sementara bekalan gas di kawasan Kimanis itu dibuat bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan oleh PETRONAS. “Kedua-dua IPP yang terbabit akan terus beroperasi dengan beralih menggunakan bahan api alternatif diesel. “Semua pihak terbabit sudah membuat persediaan rapi dengan menyelaras operasi, mengoptimumkan sumber penjanaan dan meningkatkan pemantauan sistem sepanjang tempoh penyelenggaraan,” katanya. Katanya, pasukan operasi dan teknikal Sabah Electricity juga berada dalam keadaan siap siaga jika berlaku kejadian luar jangka kekangan kapasiti penjanaan. Sebarang kemungkinan catuan bekalan, katanya hanya dilakukan mengikut keperluan pada beberapa tempoh tertentu sahaja dengan impak seminima yang boleh. “Langkah ini adalah tindakan terakhir bagi mengelakkan ketidakstabilan sistem yang lebih besar serta memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan grid elektrik secara keseluruhan terus terpelihara. “Orang ramai juga digalakkan supaya menggunakan elektrik secara berhemah, khususnya pada waktu permintaan beban tinggi dan mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi Sabah Electricity,” katanya.- Info X

August 21, 2026

Info X Reporters

Jambatan Bailey di Tanjung Lipat dibuka untuk kenderaan ringan

KOTA KINABALU: Jambatan sementara yang dibina berikutan kerosakan struktur jambatan sedia ada di KM2.85 Jalan Tun Fuad Stephen, Tanjung Lipat, di sini, dibuka bermula jam 12 tengah hari tadi (Jumaat). Berdasarkan notis dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, jambatan sementara jenis Bailey itu bagaimanapun tidak dibenarkan untuk kegunaan kenderaan berat dan tinggi, dengan had berat dua tan dan tinggi 2.5 meter. “Orang awam adalah dimaklumkan bahawa pemasangan jambatan sementara di KM2.850 Jalan Tun Fuad Stephen telah siap dan akan dibuka kepada lalu lintas bermula jam 12:00 tengahari pada 21 Ogos 2026 (Jumaat). “Kenderaan berat seperti treler, lori kontena, bas persiaran dan kenderaan yang melebihi berat 5 tan dan melebihi tinggi 2.5 meter adalah tidak dibenarkan melalui jambatan ini dan dikehendaki menggunakan jalan alternatif yang lain. “Pemasangan palang had ketinggian di lokasi akan dilakukan bagi tujuan kawalan had ketinggian yang dibenarkan melalui jambatan tersebut. Orang awam dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda amaran dan lalu lintas yang dipasang di lokasi tersebut,” kata notis berkenaan. Jambatan sedia ada di lokasi terbabit dikesan mengalami keretakan struktur sebelum ditutup untuk kegunaan lalu lintas sejak kira-kira tiga minggu lalu. Berikutan itu, JKR mengambil langkah segera membina jambatan Bailey bagi memulihkan semula laluan di lokasi terbabit sebelum dilaporkan boleh digunakan mulai tengah hari tadi.- Info X

August 21, 2026

Info X Reporters

AWCL: Misi ‘do or die’ lawan East Bengal FC – Bobby

KOTA KINABALU: Ketua Jurulatih Sabah FA, Bobby Gonzales menyifatkan pertemuan pasukan bimbingannya dengan East Bengal FC dari India, Ahad ini, sebagai misi ‘do or die’. Katanya, perlawanan akhir Kumpulan A aksi Peringkat Awal Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) 2026/2027 itu pasti sangat mencabar bagi anak buahnya. Beliau berkata, misi itu terpaksa dilalui dan lebih penting Sabah tidak boleh kalah atau sekadar seri pada perlawanan itu nanti untuk mara ke pusingan seterusnya dalam saingan AWCL musim ini. “Untuk ‘last game’ ini, bagi saya ia adalah misi ‘do or die’ kerana kita tidak boleh ‘draw’. Mahu atau tidak, kita mesti menang dalam perlawanan itu nanti kalau kita mahu layak ke peringkat seterusnya. “Sekarang kita terpaksa buat percaturan, buat perancangan untuk menghalang kemaraan pasukan East Bengal dari India ini,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perlawanan Rajshahi Stars FC dari Bangladesh menentang Sabah FC di Stadium Likas, di sini, malam tadi. Bobby mengakui prestasi baik East Bengal yang menang besar 12-0 ke atas Rovers FC dari Guam dalam perlawanan kedua mereka petang semalam, selain menewaskan Rajshahi Stars 4-0 pada Isnin lalu. “Kita juga tahu mereka ada pemain yang bagus, termasuk tiga pemain import. Jadi, kita kena kaji macam mana mahu cari kelemahan mereka pada perlawanan Ahad nanti,” katanya. Sabah turut menang besar 13-0 ketika menentang Rovers FC pada Isnin lalu, namun hanya menang tipis 2-1 ketika berdepan Rajshahi Stars, malam tadi, sekali gus memberi kelebihan kepada East Bengal untuk mendahului Kumpulan A. Sementara itu, mengulas persembahan anak buahnya ketika menentang Rajshahi Stars malam tadi, Bobby mengakui aksi pemain Sabah bermula agak perlahan apabila ditekan pasukan dari Bangladesh itu dari minit pertama perlawanan. Beliau turut mengakui kelebihan pemain Bangladesh yang begitu baik dalam bola sepak dan hanya nasib lebih menyebelahi Sabah FA untuk memenangi perlawanan malam tadi. “Saya pernah cakap dengan pemain bahawa Bangladesh bermain bola sangat baik, cuma kita bertuah hari ini kerana kita ada peluang dan berjaya menterjemahkannya kepada jaringan. “Tapi dari segi persembahan, bagi saya, masih di bawah. Tapi saya puji juga pemain-pemain kerana mereka bersemangat dan bermati-matian sampai minit terakhir untuk berjuang hingga menang dalam perlawanan ini,” katanya.- Info X