Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

August 5, 2026

Info X Reporters

Jambatan Bailey ganti sementara jambatan rosak di Tanjung Lipat

KOTA KINABALU: Jambatan Bailey akan dibina dan dijangka siap antara dua hingga tiga minggu bagi menggantikan sementara jambatan sedia ada di Tanjung Lipat, di sini yang dikesan tidak selamat digunakan. Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, berkata kerja pemasangan jambatan Bailey itu kini sedang giat dilaksanakan di lokasi jambatan rosak di Kilometer 2.85 Jalan Tun Fuad Stephen, di sini. “Pemasangan jambatan sementara ini adalah langkah segera bagi memulihkan semula laluan dan memastikan pergerakan pengguna jalan raya lebih efektif, selesa dan selamat, sementara penyelesaian jangka panjang dilaksanakan. “Berdasarkan perkembangan semasa di tapak, proses pemasangan jambatan Bailey dijangka mengambil masa sekitar dua hingga tiga minggu untuk disiapkan, tertakluk kepada keadaan cuaca dan faktor teknikal di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu. Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai bersabar dan mematuhi arahan serta papan tanda keselamatan yang disediakan sepanjang tempoh pelaksanaan kerja. Beliau yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti, berkata kementeriannya bersama JKR Sabah akan memastikan kerja pembinaan jambatan sementara itu disiapkan secepat mungkin demi kepentingan dan keselamatan semua pengguna jalan raya. “Terima kasih atas kerjasama dan kesabaran semua pihak. Segala kesulitan amatlah dikesali,” katanya.- Info X

August 5, 2026

Info X Reporters

‘Berbilion ringgit diumum, tapi Sabah masih banyak sekolah daif’

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan mempertikaikan langkah diambil kerajaan dalam usaha mengatasi isu sekolah daif di Sabah berikutan jumlahnya yang masih tinggi meskipun berbilion ringgit peruntukan diumumkan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook, berkata angka peruntukan yang besar tidak membawa makna jika masih banyak masalah sekolah daif di negeri ini belum diselesaikan. “Saya mengalu-alukan kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan di Dewan Rakyat baru-baru ini bahawa RM4.6 bilion telah diluluskan bagi projek pembangunan semula sekolah daif di Sabah sepanjang tempoh 2023 hingga 2026. “Namun begitu, rakyat Sabah tidak boleh hanya diminta berpuas hati dengan angka peruntukan semata-mata. “Apa yang lebih penting ialah berapa banyak sekolah daif yang telah benar-benar diselesaikan dan berapa banyak murid Sabah yang kini menikmati persekitaran pembelajaran yang selamat serta kondusif,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu menjelaskan secara terperinci berapa yang sudah dibelanjakan daripada peruntukan RM4.6 bilion itu dan berapa projek yang sudah siap sepenuhnya, masih dalam pembinaan dan berada di peringkat prapembinaan. Katanya, projek yang diluluskan tidak boleh dianggap sebagai masalah yang telah selesai, malah KPM sendiri mengakui bahawa terdapat projek yang masih berada pada peringkat prabina dan pembinaan. “Hakikatnya, walaupun berbilion ringgit telah diumumkan sejak bertahun-tahun lalu, Sabah masih mempunyai jumlah sekolah daif yang tinggi berbanding negeri-negeri lain. “Pada 2025, Kerajaan Negeri Sabah sendiri memaklumkan masih terdapat 368 sekolah dengan 1,779 blok bangunan dalam kategori daif berskala kritikal. “Oleh itu, kenyataan bahawa Sabah menerima peruntukan tertinggi tidak semestinya menunjukkan kejayaan. Sabah menerima peruntukan tertinggi kerana Sabah mempunyai keperluan yang paling besar dan masalah yang paling serius dalam aspek infrastruktur pendidikan,” katanya. Selain isu bangunan daif, katanya banyak sekolah di Sabah masih berdepan dengan cabaran bekalan air bersih, elektrik tidak stabil, capaian internet yang lemah, kemudahan asrama yang uzur serta akses jalan yang sukar, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Semua isu terbabit, katanya memberi kesan langsung terhadap kualiti pendidikan yang diterima oleh anak-anak Sabah. “Saya juga berpandangan bahawa kadar pengisian guru sebanyak 97.45 peratus dan pencapaian Dasar 90:10 sebanyak 89.72 peratus perlu dilihat secara lebih mendalam. “Statistik keseluruhan tidak semestinya menggambarkan keadaan sebenar di lapangan. Masih terdapat sekolah yang menghadapi kekurangan guru bagi mata pelajaran kritikal seperti Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Pendidikan Khas, khususnya di kawasan pedalaman dan keperluan guru di SJKC. “Sebagai bekas pegawai kanan pendidikan dan kini ADUN Likas, saya percaya ukuran sebenar kejayaan bukanlah jumlah bilion ringgit yang diumumkan, tetapi berapa banyak sekolah daif yang berjaya dihapuskan, berapa banyak murid yang mendapat kemudahan yang setara dengan rakan mereka di Semenanjung dan berapa cepat projek yang telah diluluskan dapat disiapkan,” katanya. Tegasnya, rakyat Sabah tidak meminta layanan istimewa, sebaliknya hanya menuntut hak mereka untuk mendapat kemudahan pendidikan yang berkualiti, selamat dan setara seperti yang dinikmati semua rakyat Malaysia. – Info X

August 5, 2026

Info X Reporters

Pengusaha pelancongan di Semporna berdepan kenaikan kos operasi, penurunan pelancong

KOTA KINABALU: Persatuan Pengusaha Syarikat Pelancongan Bumiputera Tempatan Semporna (PUSPABUMI) mahu kerajaan memberi perhatian serius terhadap masalah yang dihadapi pengusaha pelancongan di Semporna. Setiausahanya, Anyrishah Mohd Shah, berkata sokongan dan perhatian pihak kerajaan amat penting bagi menjamin kelangsungan industri pelancongan yang menjadi sumber ekonomi utama masyarakat setempat. Katanya, kerajaan juga diharapkan dapat membantu mempergiatkan kempen keselamatan dan promosi pelancongan bagi memberi keyakinan kepada pelancong untuk terus datang ke Semporna. Usaha itu katanya penting supaya setiap perbelanjaan yang dikeluarkan pelancong untuk sampai ke destinasi mereka di Semporna berbaloi dengan pengalaman dan jaminan keselamatan yang diberikan. “Kami berharap kerajaan dapat memberi perhatian serius terhadap pengusaha pelancongan, khususnya pengusaha bumiputera di Semporna yang sedang berdepan tekanan kos yang semakin meningkat. “Sokongan dan perhatian daripada pihak kerajaan amat penting bagi memastikan kelangsungan industri pelancongan yang menjadi sumber ekonomi utama masyarakat setempat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Beliau berkata, pengusaha pelancongan di Semporna ketika ini berdepan penurunan kehadiran pelancong dan peningkatan kos operasi, terutama kos bahan api. Katanya, penurunan pelancong berkemungkinan besar dipengaruhi beberapa faktor, termasuk peningkatan kos penerbangan yang dilihat meningkat hampir dua kali ganda berbanding sebelum ini. Jelasnya, peningkatan kos domestik pula memberi kesan terhadap keseluruhan rantaian industri pelancongan, termasuk kos operasi pengusaha. “Kebanyakan pengusaha pelancongan masih bergantung sepenuhnya kepada penggunaan diesel dan petrol bagi memastikan operasi seperti pengangkutan laut, bot serta perkhidmatan berkaitan dapat diteruskan. “Walaupun berdepan dengan peningkatan kos penerbangan dan kos operasi yang semakin ketara, pengusaha Bumiputera di Semporna tetap berusaha mengekalkan harga pakej pelancongan agar tidak membebankan pelancong, terutama dalam keadaan kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa yang semakin mencabar,” katanya. Beliau berkata, PUSPABUMI sebelum ini juga sudah mengemukakan dan menyuarakan isu berkaitan rayuan subsidi diesel kepada kerajaan kerana kebergantungan pengusaha pelancongan terhadap bahan api itu sangat memberi kesan kepada peningkatan kos operasi sedia ada. Jelasnya, PUSPABUMI kekal komited bersama kerajaan dalam usaha memperkukuhkan industri pelancongan Semporna demi manfaat semua pihak. ‘ Info X

August 4, 2026

Info X Reporters

RM662,088 barang seludup dirampas, dua lelaki ditahan

TAWAU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas barangan kawalan bersubsidi dan rokok tidak berkastam bernilai RM662,088.26 termasuk cukai dalam lima kes sepanjang Julai lalu. Pengarah Kastam Negeri Sabah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, dua lelaki berusia lingkungan 40-an turut ditahan selepas siasatan susulan kes rampasan di Tawau. Beliau berkata, dua kes di Tawau itu dikesan menerusi Operasi Joint Task Force (JTF) 2026 yang dilaksanakan bersama pihak Bea Cukai Indonesia, bermula 13 Julai hingga 14 Ogos ini. “Bagi kes pertama, hasil maklumat risikan pada 27 Julai kira-kira jam 6.30 petang, sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan Tawau menjalankan pemeriksaan di sebuah jeti tidak diwartakan. “Pemeriksaan terhadap enam pengangkut terdiri daripada dua van panel, dua lori berkunci, sebuah bot laju dan sebuah bot kayu 15 tan membawa kepada penemuan pelbagai barangan kawalan bersubsidi serta barangan runcit,” katanya pada sidang media di Bahagian Penguatkuasaan JKDM Tawau, di sini, hari ini. Menurutnya, pemeriksaan itu menemukan 1,100 kilogram (kg) beras super import, 1,105kg minyak masak paket, 690kg gula pasir dan 50 tong gas 14kg. “Turut dirampas pelbagai barangan runcit tempatan dan barangan yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran. “Nilai barang kes berjumlah RM347,484.13 dengan cukai RM4,114.69, menjadikan nilai keseluruhan termasuk cukai RM351,598.82,” katanya. Ahmad Taufik berkata, modus operandi digunakan adalah membawa keluar dan masuk barangan kawalan bersubsidi tanpa mengikut prosedur ditetapkan melalui laluan tidak diwartakan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan hasil siasatan lanjut membawa kepada penahanan dua lelaki berusia lingkungan 40-an yang disyaki terbabit,” katanya. Dalam kes kedua pada 29 Julai kira-kira jam 8.30 malam, pasukan penguat kuasa mengesan dua bot melakukan aktiviti pemindahan barangan antara bot di perairan laut Kampung Hidayat, Tawau. Katanya, ketika cuba dihampiri, sebuah bot melarikan diri ke arah Pulau Sebatik manakala sebuah lagi ditinggalkan. “Pemeriksaan terhadap bot yang ditinggalkan menemukan 9,600 batang rokok kretek jenama Neslite serta 40,000 batang rokok putih jenama Mezzo dan VX. “Nilai keseluruhan kes termasuk cukai ialah RM73,859.20, membabitkan nilai barang RM39,120 dan cukai RM34,739.20,” katanya. Menurutnya, modus operandi digunakan adalah membawa masuk barangan kastam dari negara jiran menggunakan bot laju sebelum dipindahkan ke bot kecil untuk didaratkan di kawasan perkampungan atas air sekitar Tawau. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.Sementara itu, bagi kes ketiga pada 10 Julai, JKDM Kudat merampas 116,320 batang rokok pelbagai jenama bernilai RM106,170.24 termasuk cukai di sebuah stor tidak bernombor di Kampung Ranau, Kota Marudu. Ahmad Taufik berkata, rokok tidak berkastam itu dipercayai disimpan di premis berkenaan sebagai tempat transit sebelum diedarkan ke pasaran tempatan. Dalam kes keempat pada 27 Julai pula, pasukan penguat kuasa Kota Kinabalu menerusi Operasi JTF 2026 merampas 80,000 batang rokok putih jenama New Brand American Blend bernilai RM85,360 di sebuah stor blok bangunan terbiar di tepi Jalan Keningau-Kimanis-Papar. “Premis terbiar itu dipercayai digunakan sebagai tempat transit untuk menyimpan rokok sebelum diedarkan,” katanya. Bagi kes kelima pada 23 Julai, pasukan penguat kuasa Sandakan menjalankan sekatan jalan raya di Simpang Beluran, Jalan Sandakan-Ranau. “Pemeriksaan menemukan 20,000 batang rokok jenama Premium International dan 30,000 batang New Brand bernilai RM45,100 termasuk cukai yang ditinggalkan di tepi jalan. “Rokok berkenaan dipercayai ditinggalkan selepas pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda menyedari kehadiran pemeriksaan kastam,” katanya. Ahmad Taufik berkata, kes ketiga hingga kelima disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara, denda atau kedua-duanya. Beliau berkata, Operasi JTF 2026 dilaksanakan dengan kerjasama pihak Bea Cukai Indonesia, dengan operasi kali ini dijalankan di kawasan Malaysia manakala pihak Indonesia melaksanakan operasi di kawasan mereka. Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai membantu JKDM membanteras kegiatan penyeludupan membabitkan rokok, minuman keras, mercun, kenderaan, dadah dan barangan lain. “Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi hasil, malah turut mendatangkan ancaman terhadap keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat. “Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan menerusi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya. – Info X

August 4, 2026

Info X Reporters

Sabah buru 40 pingat emas pada SUKMA Selangor

KOTA KINABALU: Kontinjen Sabah menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 40 pingat emas menerusi 36 jenis sukan yang disertai pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 di Selangor yang dijadual bermula 15 Ogos ini. Sasaran itu mengambil kira pencapaian kontinjen Sabah pada SUKMA Sarawak 2024 yang meraih 29 pingat emas, 36 pingat perak dan 55 pingat gangsa sebagai asas untuk meningkatkan prestasi pada temasya kali ini. Mengulas sasaran itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan keyakinan terhadap kemampuan atlet negeri ini untuk mencapai sasaran yang ditetapkan berdasarkan persediaan rapi yang dibuat sehingga kini. Katanya, sasaran itu bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan keyakinan kerajaan negeri terhadap persediaan atlet, kepakaran jurulatih, pengurusan pasukan dan sistem pembangunan sukan yang dilaksanakan secara berterusan. “Saya mahu setiap atlet percaya bahawa sasaran ini mampu dicapai. Kita mempunyai bakat, pengalaman dan semangat yang diperlukan. “Yang penting, kita turun bertanding dengan keberanian, fokus dan tekad untuk memberikan yang terbaik,” katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Sabah sempena SUKMA Ke-22 Selangor 2026 dan Para SUKMA Selangor 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Selasa. Bagi Para SUKMA Selangor 2026 pula, Sabah menyasarkan 66 pingat emas dan bertekad kembali muncul juara keseluruhan. Kontinjen SUKMA Sabah kali ini membabitkan seramai 943 anggota yang terdiri daripada 744 atlet, 148 jurulatih, 51 pengurus pasukan dan mengambil bahagian dalam 36 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan. Bagi Para SUKMA, Kontinjen Sabah menghantar seramai 271 orang, terdiri daripada 154 atlet, 80 jurulatih dan pegawai serta 37 anggota urus setia. Hajiji meletakkan harapan sekurang-kurangnya 80 peratus atlet Para SUKMA Sabah berjaya membawa pulang pingat pada temasya itu nanti. “Saya menyeru semua atlet supaya berjuang sepenuh tenaga dengan semangat kesukanan yang tinggi bagi mengharumkan nama Sabah sepanjang temasya berlangsung,” katanya. Beliau turut menekankan aspek disiplin sebagai kekuatan utama setiap atlet untuk berjaya hingga ke tahap tertinggi dan mengingatkan supaya setiap isu dalam kontinjen ditangani dengan segera, adil dan profesional bagi memastikan fokus pasukan tidak terganggu. Hajiji juga menasihatkan atlet Sabah supaya tidak mengambil sebarang makanan tambahan tanpa nasihat jurulatih, pegawai perubatan atau pakar bertauliah bagi mengelak penggunaan bahan terlarang yang boleh menjejaskan kelayakan bertanding, membatalkan keputusan pertandingan serta merosakkan kerjaya yang dibina. Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri akan meneruskan kadar insentif kemenangan yang dinaikkan pada SUKMA Sarawak 2024, termasuk insentif pingat emas yang dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000 sebagai tanda penghargaan kepada atlet negeri.- Info X

August 4, 2026

Info X Reporters

‘Geng Andy’ tumpas, polis selesai 10 kes curi rim kenderaan

KOTA KINABALU, Polis berjaya menumpaskan sindiket curi rim kenderaan dikenali sebagai “Kumpulan Geng Andy” menerusi beberapa siri serbuan pada 30 dan 31 Julai lalu. Kumpulan berkenaan yang aktif melakukan jenayah di sekitar bandaraya ini dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 10 kes kecurian rim. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman, berkata bertindak atas maklumat risikan, polis berjaya menahan empat lelaki tempatan berusia lingkungan 30 hingga 38 tahun bagi membantu siasatan. Katanya, serbuan pertama dilakukan pada 30 Julai lalu di tepi Jalan Kampung Meruntum, Putatan dan berjaya menahan seorang suspek serta merampas sebuah kereta Perodua Myvi yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah. “Serbuan kedua dijalankan di sebuah unit di PPR Taman Sri Keramat, Kampung Ketiau, Putatan dan membawa kepada penahanan dua lagi suspek. “Polis turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri rim kenderaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, hari ini. Syed Lot berkata, serbuan diteruskan di sebuah premis logam di Kampung Buit Hill, Penampang dan berjaya menahan seorang lagi suspek yang dipercayai bertindak sebagai pembeli rim curi ditahan. “Dalam serbuan itu, polis merampas 21 unit rim pelbagai jenis kenderaan serta enam keping resit pembayaran yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah berkenaan. “Susulan kejayaan itu, serbuan keempat dilaksanakan di Taman Pantai Lok Kawi, Papar berjaya menemukan dua unit rim Perodua Myvi yang turut dipercayai hasil curi. “Semua suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan manakala nilai rampasan pula dianggarkan sebanyak RM20,000. “Hasil kejayaan operasi tersebut, polis berjaya menyelesaikan 10 kes kehilangan rim kenderaan yang dilaporkan di kawasan Tanjong Aru, Luyang, Inanam, Karambunai dan Menggatal,” katanya. Menurutnya, semakan rekod lampau turut mendapati semua suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah. Dalam perkembangan berasingan, polis turut berjaya menyelesaikan satu kes pecah rumah melibatkan kehilangan tiga jam tangan berjenama bernilai kira-kira RM40,000. Syed Lot berkata, kes melibatkan satu laporan polis yang diterima pada 22 Mei lalu selepas mangsa mendapati kediamannya di Bay 21 Penthouse, Likas dipecah dan kehilangan dua utas jam tangan Rolex dan sebuah jam tangan Tissot. “Bertindak atas risikan, polis menahan suspek pertama di Tuaran pada 16 Julai sebelum menahan dua lagi suspek dalam operasi susulan pada 23 Julai lalu. “Siasatan lanjut membawa kepada rampasan satu resit pembayaran, dua jam tangan jenama Rolex dan Tissot yang dianggarkan bernilai RM30,000,” katanya. Sehubungan itu, Syed Lot menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan langkah keselamatan terhadap kenderaan dan kediaman masing-masing, termasuk memasang sistem kamera litar tertutup (CCTV). Katanya, masyarakat juga digesa menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah dan memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara. – Info X

August 4, 2026

Info X Reporters

PPM gagalkan penyeludupan minyak masak subsidi

SANDAKAN: Cubaan menyeludup sejumlah besar minyak masak bersubsidi dipercayai untuk dibawa ke negara jiran dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dalam serbuan di tepi Sungai Siguntur, Sibugal Besar, di sini, petang semalam. Dalam operasi kira-kira jam 4.30 petang itu, tiga individu ditahan bagi membantu siasatan. Turut dirampas sebuah bot, sebuah lori Isuzu tiga tan serta minyak masak bersubsidi pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM160,469. Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Polis Ahmad Amri Abd Rahman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. Beliau berkata, pihaknya akan terus memperhebat risikan serta operasi penguatkuasaan bagi membanteras ketirisan dan penyeludupan barang kawalan bersubsidi, khususnya yang cuba dibawa keluar dari negara. “PPM Wilayah 4 Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti penyeludupan kerana ia bukan sahaja menjejaskan bekalan barangan bersubsidi untuk rakyat, malah memberi kerugian kepada negara. “Bagi tempoh Januari hingga 3 Ogos lalu, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 95 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 membabitkan 91 tangkapan dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan melebihi RM25 juta,” katanya. Sementara itu, beliau berkata PPM Wilayah 4 Sabah kekal komited memperkukuh kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain dalam memastikan setiap bentuk ketirisan dan penyeludupan barang kawalan dapat dibanteras secara menyeluruh demi melindungi kepentingan serta hasil negara. – Info X

August 4, 2026

Info X Reporters

650 liter diesel disyaki diseleweng dirampas

TAWAU: Sebanyak 650 liter minyak diesel yang disyaki diseleweng dirampas dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Ulu Brantian, di sini, hasil operasi dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau. Rampasan kira-kira jam 8.14 malam itu kemudian diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang. Selain diesel, turut dirampas ialah sebuah tangki IBC, sebuah pam air berkuasa dua kuasa kuda (2HP) serta hos minyak sepanjang kira-kira 27 meter yang dipercayai digunakan bagi aktiviti berkenaan. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sekitar RM20,000. Susulan itu, KPDN Tawau membuka kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti sama ada berlaku kesalahan membabitkan penyelewengan barang kawalan. KPDN menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau syarikat yang terbabit dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang. Mengikut peruntukan Akta Kawalan Bekalan 1961, individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan berikutnya. Bagi syarikat pula, hukuman denda boleh mencecah RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya jika disabitkan. KPDN turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan semua agensi penguat kuasa dalam membanteras penyelewengan barang kawalan demi memastikan bekalan bersubsidi tidak disalahgunakan. – Info X