July 29, 2026
Info X Reporters
Hina mahkamah, Shafie Apdal dihukum penjara lima minggu
KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dijatuhi hukuman penjara lima minggu selepas didapati bersalah menghina mahkamah berkaitan inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir. Keputusan itu dibuat pada prosiding Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Amir Shah Amir Hassan, di sini, pada Rabu. Shafie diperintah menjalani hukuman itu bermula pada tarikh keputusan dibuat, iaitu 29 Julai 2026. Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan hukuman sehingga selesai proses rayuan yang dibuat Presiden Parti Warisan itu. Shafie sebelum ini didakwa menghina mahkamah selepas mengungkit inkues kematian Zara Qairina dalam ceramah politiknya menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) tahun lalu. Ia berkaitan ucapannya dalam satu majlis di Kinabatangan pada September tahun lalu yang mempertikai proses inkues dan mendakwa arwah Zara dibunuh. Kenyataan itu dianggap menganggu prosiding inkues bagi mencari punca kematian Zara Qairina yang dilaksanakan bermula pada September tahun lalu. – Info X
July 29, 2026
Info X Reporters
Tekong terjun laut, tinggal bot bersama 510 liter petrol
SANDAKAN: Seorang tekong dipercayai terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan pesisir pantai selepas botnya dipintas Maritim Malaysia dalam operasi penguatkuasaan di perairan Muara Sungai Mangkalinau Besar, di sini, semalam. Dalam kejadian itu, suspek turut meninggalkan bot bersama muatan sebelum melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan operasi. Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Suhairy Hussain, berkata bot berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan kira-kira 0.05 batu nautika timur Muara Sungai Mangkalinau Besar ketika rondaan menerusi Op Sejahtera, Op Cegah PATI (OCP) dan Op Tiris 4.0. Katanya, pasukan operasi kemudian menghampiri dan memintas bot berkenaan untuk pemeriksaan sebelum suspek bertindak terjun ke laut. “Sebaik pasukan operasi menghampiri bot tersebut, seorang lelaki yang dipercayai tekong bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri ke kawasan pesisir pantai bagi mengelakkan ditahan. “Suspek turut meninggalkan bot bersama muatan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Suhairy berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan menemukan 17 jerican yang disyaki mengandungi 510 liter petrol, selain sebuah enjin sangkut Yamaha berkuasa 40 kuasa kuda (HP). “Nilai keseluruhan rampasan membabitkan bot, petrol dan enjin sangkut dianggarkan RM12,500,” katanya. Menurutnya, pihak Maritim Malaysia kini giat mengesan suspek berdasarkan maklumat serta dokumen yang ditinggalkan bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki membawa barang kawalan tanpa permit atau kebenaran yang sah. “Bot berkenaan turut disyaki melakukan kesalahan mengikut Peraturan 12 Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana menyalahgunakan lesen dengan membawa barangan kargo,” katanya. Beliau berkata, semua barang rampasan dibawa ke Jeti Maritim Zon Sandakan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut. Dalam pada itu, Suhairy berkata tindakan suspek meninggalkan bot dan melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan operasi bukan sahaja membahayakan keselamatan diri, malah dipercayai antara taktik sindiket penyeludupan bagi mengelak tindakan penguatkuasaan. “Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyeludupan yang menjejaskan keselamatan negara serta mengakibatkan ketirisan barang kawalan. “Rondaan dan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras kegiatan jenayah maritim serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara terus terpelihara. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999,” katanya. – Info X
July 29, 2026
Info X Reporters
Timbalan Ketua Exco Wiramuda STAR tinggalkan parti
KOTA KINABALU: Seorang lagi pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengambil keputusan meletak jawatan dan meninggalkan parti itu berkuatkuasa serta merta. Timbalan Ketua Exco Wiramuda STAR yang juga Setiausaha STAR Bahagian Sri Tanjong, Muhammad Raiyan Fung Abdullah membuat keputusan itu pada 26 Julai lalu selepas membuat pertimbangan sewajarnya. Beliau mengumumkan peletakan jawatan yang dipegangnya dalam parti dan mengisytiharkan tidak lagi menjadi ahli parti itu. Katanya, keputusan itu dibuat selepas melalui pertimbangan sewajarnya atas sebab-sebab peribadi dan demi kepentingan masa hadapannya. “Saya membuat keputusan ini setelah melalui pertimbangan yang sewajarnya atas sebab-sebab peribadi dan demi kepentingan masa hadapan saya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. Beliau berkata, sepanjang penglibatannya bersama STAR, beliau amat menghargai segala peluang, kepercayaan dan pengalaman yang diberikan oleh parti. Raiyan turut merakamkan penghargaan kepada Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, kepimpinan parti di semua peringkat serta seluruh ahli yang telah memberikan kerjasama dan sokongan sepanjang beliau memegang kedua-dua jawatan tersebut. “Saya amat menghargai segala peluang, kepercayaan serta pengalaman yang telah diberikan sepanjang penglibatan saya bersama parti. “Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan selaku presiden parti, kepimpinan parti di semua peringkat serta seluruh ahli yang telah memberikan kerjasama dan sokongan sepanjang saya memegang amanah dalam kedua-dua jawatan tersebut,” katanya. Beliau turut mendoakan agar STAR terus maju dan berjaya dalam memperjuangkan aspirasi rakyat serta mencapai segala matlamat yang telah ditetapkan. Sebelum ini, beberapa pemimpin STAR Bahagian Bingkor dan bahagian lain turut meninggalkan parti itu. – Info X
July 28, 2026
Info X Reporters
Kes orang hilang: Pelajar ditemui selamat, akui ikut rakan
KOTA KINABALU: Seorang pelajar perempuan yang dilaporkan hilang sejak semalam ditemui dalam keadaan selamat di hadapan rumah rakannya di Lorong Seri Pelangi, Inanam, di sini, petang tadi. Pelajar berkenaan, Gwynne Mia Erbin, ditemui kira-kira jam 3 petang dalam keadaan bersendirian, sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, hasil keterangan awal mendapati pelajar terbabit memaklumkan bahawa dia mengikut seorang rakannya sejak hari sebelumnya. “Pelajar itu kemudian dibawa oleh ibunya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi membuat laporan susulan dan tindakan lanjut. “Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kejadian ini sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada orang ramai yang telah memberikan kerjasama menyalurkan maklumat serta membantu menyebarkan hebahan orang hilang ini. Terdahulu, pelajar terbabit sebelum ini dilaporkan hilang sebelum polis melancarkan usaha mengesan keberadaannya. Petang tadi, ahli keluarga mengesahkan pelajar itu ditemui dalam keadaan selamat. Mereka turut menzahirkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada pihak polis serta pengguna media sosial yang bersama-sama membantu menyalurkan maklumat dan menyebarkan hebahan sehingga pelajar terbabit berjaya ditemui dengan selamat. – Info X
July 28, 2026
Info X Reporters
UMS, PETRONAS kaji potensi hidrokarbon di Lembangan Tawau
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama beberapa rakan strategiknya memulakan projek penyelidikan Penilaian Geologi dan Geofizik Prospektiviti Hidrokarbon dalam Batuan Sedimen Lembangan Tawau. Projek yang bermula pada 14 Julai lalu hingga 14 Januari 2029 itu dilaksanakan dengan kerjasama Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM), PETRONAS dan VIRIDIEN bagi memperkukuhkan pemahaman terhadap sistem petroleum dan prospektiviti hidrokarbon Sabah. Bagaimanapun, projek diketuai penyelidik UMS, Prof Baba Musta itu Projek itu lebih bertujuan untuk menyokong penerokaan masa depan dengan mengukuhkan asas teknikal bagi penilaian sumber dan bukan untuk mengesahkan kehadiran rizab minyak atau gas secara komersial. Menerusi satu kenyataan dikeluarkan Pusat Komunikasi Korporat UMS pada Selasa, Baba berkata kerjasama bagi projek itu akan menyatukan kepakaran pelbagai disiplin dalam geofizik, sedimentologi, stratigrafi, geokimia dan pemodelan bawah permukaan. Katanya, tiga objektif utama digariskan bagi projek itu, iaitu untuk membangunkan model struktur bawah permukaan bagi formasi yang berpotensi mengandungi hidrokarbon; menilai ciri-ciri geokimia formasi batuan sedimen terpilih dan menghasilkan peta geologi terperinci Pulau Sebatik. “Pulau Sebatik menduduki kedudukan geologi yang strategik di sepanjang sempadan Malaysia-Indonesia. Sektor Malaysia sebahagian besarnya didasari oleh Formasi Neogen Kalumpang, yang terdiri daripada batu pasir marin cetek dan jujukan syal. “Kehadiran antiklin, sesar songsang dan rembesan minyak semula jadi menunjukkan keadaan geologi yang memerlukan penilaian sistem petroleum selanjutnya, terutamanya kerana Lembangan Tawau masih kurang diterokai,” katanya. Kajian itu, katanya menggabungkan pemetaan geologi lapangan, tinjauan geofizik, analisis struktur, persampelan batuan, penyiasatan makmal dan data bawah permukaan luar pesisir yang tersedia untuk meningkatkan pemahaman mengenai kesinambungan geologi, taburan fasies, evolusi struktur, ciri-ciri takungan dan evolusi lembangan keseluruhan. Jelasnya, metodologi itu menggabungkan Pengimejan Kerintangan Elektrik (ERI) dengan sedimentologi, petrografi, biostratigrafi, mineralogi, geokimia organik dan unsur surih untuk menilai persekitaran pemendapan, kualiti takungan, potensi batuan sumber, kematangan terma dan evolusi geologi lembangan. “Hasil projek yang dijangkakan termasuk peta geologi terkini, model struktur bawah permukaan, pencirian batuan penakung dan set data geokimia organik. “Output ini akan meningkatkan pemahaman mengenai elemen sistem petroleum utama, termasuk batuan punca, takungan, batuan penutup, laluan migrasi dan perangkap, sambil mengurangkan ketidakpastian bawah permukaan. Kerjasama itu, katanya dijangka akan meningkatkan pangkalan data geosains Sabah, mengukuhkan perkongsian akademik-industri, membina keupayaan geosains tempatan dan menyediakan input saintifik yang berharga untuk menyokong penilaian sumber tenaga dan perancangan penerokaan Malaysia pada masa hadapan. – Info X
July 28, 2026
Info X Reporters
Mayat bayi tidak cukup sifat ditemukan di Penampang
PENAMPANG: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung penemuan mayat seorang bayi yang dipercayai tidak cukup sifat di Kampung Goliga Kolopis, di sini. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 11.52 pagi sebelum sepasukan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang ke lokasi bagi menjalankan siasatan. “Hasil siasatan awal mendapati mayat bayi yang dipercayai tidak cukup sifat ditemukan di kawasan berhampiran rumah pengadu. “Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah serta Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut digerakkan ke lokasi bagi membantu siasatan dan pemeriksaan tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media. Beliau berkata, mayat bayi itu kemudian dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu bagi tujuan bedah siasat dan tindakan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan jalan membuang mayat secara sulit. “Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya. Menurutnya, polis kini giat mengesan individu yang bertanggungjawab selain menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian dan membawa pihak yang terbabit ke muka pengadilan. “Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Anis Abdullah di talian 013-6365734 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. “Dalam pada itu, polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial sehingga boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan,” katanya. – Info X
July 28, 2026
Info X Reporters
Kanak-kanak perempuan dilapor hilang ditemukan selamat
KOTA KINABALU: Kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang selepas tidak hadir ke sekolah pada Isnin ditemukan selamat di kawasan Inanam, semalam. Salah seorang ahli keluarga yang enggan dikenali membuat hantaran di media sosial memaklumkan kanak-kanak terbabit sudah ditemukan dan kini berada dalam jagaan polis bagi membantu siasatan lanjut berhubung kehilangannya sebelum dibawa balik. Individu itu juga menyatakan penghargaan dan berterima kasih dengan keprihatinan pihak polis serta pengguna media sosial yang sama-sama membantu menyalurkan maklumat sehingga pelajar ini ditemukan dengan selamat. Beliau bagaimanapun belum menjelaskan punca sebenar kejadian itu. Terdahulu, laman rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu mengeluarkan kenyataan berhubung kehilangan kanak-kanak pada 27 Julai selepas dihantar ke hadapan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Likas kira-kira jam 5.55 pagi untuk ke sekolah. Bagaimanapun, semakan mendapati kanak-kanak itu tidak hadir ke sekolah sebelum laporan orang hilang dibuat oleh ahli keluarganya. Kes kehilangan itu kemudian mendapat perhatian orang ramai selepas polis mengeluarkan hebahan bagi mengesan keberadaan mangsa. Polis turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat dan membantu usaha mengesan kanak-kanak berkenaan. – Info X
July 28, 2026
Info X Reporters
Bilik guru Sekolah Agama Bukit Lalang terbakar
SEMPORNA: Bilik guru dan pejabat pentadbiran Sekolah Agama Bukit Lalang, di sini, mengalami kerosakan selepas terbakar dalam kejadian hari ini. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Mohd Zainal Sinsian berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.20 petang. Katanya, seramai 10 anggota bersama sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira enam kilometer dari balai. “Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 2.31 petang dan mendapati kebakaran membabitkan sebuah bangunan sekolah jenis separuh kekal berkeluasan kira-kira 30 x 120 kaki. “Kebakaran membabitkan bilik guru dan pejabat pentadbiran dengan anggaran kemusnahan sekitar 20 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 2.38 petang menggunakan satu aliran hos reel dengan bekalan air daripada jentera bomba serta pili bomba berhampiran. Menurutnya, tindakan pantas anggota turut berjaya menyelamatkan enam buah kelas yang terletak dalam satu deretan bangunan sama. “Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini. Punca kebakaran masih dalam siasatan. “Selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.46 petang,” katanya. – Info X