Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

July 19, 2026

Info X Reporters

Lelaki hilang ketika memukat, dikhuatiri dibaham buaya

KINABATANGAN: Seorang lelaki hilang dikhuatiri dibaham buaya ketika memukat ikan dalam kejadian di kawasan Estet Global, di Sukau, malam tadi. Dalam kejadian serangan terbaharu reptilia itu, mangsa, Nasran Matzen, 57, bersama dua rakannya dipercayai pergi ke sungai berhampiran kawasan ladang itu untuk memukat sebelum mangsa dikatakan tiba-tiba hilang dari pandangan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Suriyadi Darwis, berkataberdasarkan maklumat rakan mangsa, mereka menjalankan pencarian di kawasan terakhir mangsa dilihat sebaik mendapati mangsa hilang, namun hanya menemui cebisan organ badan dan seluar mangsa. Katanya, bomba menerima laporan mengenai kejadian itu daripada pihak polis pada 10.23 pagi tadi sebelum menghantar empat anggota ke lokasi kejadian. “Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan bersama agensi keselamatan lain dan penduduk kampung menggunakan kaedah pencarian di atas permukaan air. “Operasi mencari dilakukan dalam lingkungan satu kilometer, namun setakat ini mangsa belum ditemui,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Kejadian serangan buaya terbaharu itu berlaku selang sehari selepas seorang mangsa yang dilaporkan ditemui dengan kesan gigitan buaya pada perut dan leher, Rusli Mardin, 57, dalam kejadian di Kampung Batu Putih, di sini. Rusli dilaporkan hilang pada Jumaat lalu selepas dipercayai dibaham buaya ketika mencuci bot di Sungai Kinabatangan. Suriyadi berkata, operasi dihentikan padaa jam 2.50 petang tadi selepas perbincangan bersama pihak polis dan akan disambung semula esok. – Info X

July 19, 2026

Info X Reporters

Ayam import China dilabel dari Thailand dirampas di Pelabuhan Teluk Sepanggar

KOTA KINABALU: Pihak berkuasa menahan 12 kontena mengandungi 348 tan makanan sejuk beku, sebahagian besarnya ayam diragui status halal yang dianggar bernilai RM3.42 juta menerusi pemeriksaan di Pelabuhan Teluk Sepanggar, di sini. Kontena terbabit ditahan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah selepas dikesan mengandungi produk meragukan menerusi Ops Ribat Sepanggar 1/2026 pada 16 Julai lalu. Berikutan itu, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar ketika meninjau penahanan kontena terbabit hari ini, menyifatkan tindakan membawa masuk produk sejuk beku terbabit boleh menjejaskan keyakinan masyarakat, terutama umat Islam. Beliau turut menyatakan komitmen untuk memperkukuh kerjasama dengan semua agensi penguatkuasaan bagi membanteras penyeludupan makanan, khususnya produk yang diragui status halal, daripada memasuki pasaran negeri ini. “Saya memuji usaha AKPS, Jabatan JKDM dan pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang bertugas di pelabuhan ini kerana berjaya mengesan serta menghalang kontena-kontena ini daripada keluar ke pasaran terbuka. “Jika terlepas, ia boleh mengganggu keyakinan masyarakat, khususnya umat Islam, terhadap bekalan makanan halal yang berada di pasaran,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi rampasan di Pelabuhan Teluk Sepanggar, di sini, pada Ahad. Hadir sama Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Ruslan Muharam; Timbalan Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Jumain Abdul Ghani dan Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, Dr Connie Joyce Tann. Jamawi berkata, kontena terbabit dipercayai membawa ayam sejuk beku yang disyaki diimport dari China tetapi dilabelkan sebagai berasal dari Thailand, manakala kotak pembungkusan turut memaparkan logo halal yang menimbulkan keraguan terhadap status sebenar produk berkenaan. Katanya, maklumat yang diterima menunjukkan kira-kira 30 kontena dengan modus operandi serupa telah dirampas sejak awal tahun ini. “Hasil siasatan Jabatan Perkhidmatan Veterinar mendapati label yang digunakan pada kotak-kotak produk mengelirukan dari segi nama syarikat dan alamat. “Saya menyeru pihak yang terbabit dalam kegiatan seperti ini supaya menghentikannya serta mematuhi prosedur import yang sah. “Jabatan Perkhidmatan Veterinar sentiasa menyediakan ruang dan peluang kepada pengimport yang membawa masuk produk yang telah disahkan, dipantau dan mempunyai pensijilan halal yang diiktiraf,” katanya. Dalam operasi pemeriksaan yang dijalankan pada 16 Julai lalu di kawasan pemeriksaan Refer 3, Pelabuhan Sepanggar, AKPS bersama JKDM dengan disaksikan pihak berkuasa pelabuhan, DP World, memeriksa 12 kontena jenis reefer yang ditahan. Hasil pemeriksaan mendapati kesemua kontena diikrarkan secara tidak selaras dengan manifes K4 yang mencatatkan dagangan sebagai ‘vegetable’ atau ‘other food stuff’, sedangkan kandungannya terdiri daripada ayam sejuk beku dan daging babi sejuk beku. Jamawi berkata, anggaran berat keseluruhan rampasan ialah 348,000 kilogram dengan nilai sekitar RM3.42 juta. Beliau berkata, berdasarkan anggaran semasa, setiap kontena mengandungi kira-kira 29 tan produk dengan nilai antara RM300,000 hingga RM350,000. “Daripada 12 kontena itu, 11 mengandungi ayam manakala satu lagi dipercayai mengandungi daging babi. Namun, terdapat satu kontena yang belum dapat diperiksa sepenuhnya dan pihak kastam sedang berurusan dengan Jabatan Laut serta pihak pelabuhan bagi mendapatkan kebenaran untuk mengeluarkan dan melupuskannya. “Kita bimbang kandungan sebenar mungkin berbeza daripada yang dinyatakan. Sebab itu pemeriksaan dan siasatan perlu diteruskan,” katanya. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 128, Seksyen 133(1) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, dan sudah diserahkan kepada JKDM untuk tindakan lanjut. Jamawi berkata, beliau akan mengemukakan laporan berhubung rampasan itu kepada Kabinet negeri serta memohon mandat bagi menubuhkan jawatankuasa khas melibatkan kementeriannya, AKPS, JKDM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasaan berkaitan. “Jawatankuasa ini penting bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara bersepadu, termasuk proses pelupusan barang rampasan secara teratur. “Kita tidak akan mengalah dalam usaha membanteras penyeludupan ayam atau apa juga makanan yang tidak diisytiharkan dengan betul dan boleh menjejaskan keselamatan serta keyakinan pengguna terhadap bekalan makanan halal di Sabah,” katanya. – Info X

July 19, 2026

Info X Reporters

Remaja 15 tahun lemas ketika mandi di sungai

PAPAR: Seorang remaja lelaki disahkan meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika menjalankan aktiviti mandi-manda di sungai berhampiran Kaiduan Luluba Eco-Tourism, di sini, hari ini. Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 15 tahun terbabit berjaya ditemui orang awam dan diberikan bantuan pernafasan CPR oleh pasukan bomba. Bagaimanapun, usaha menyelamatkan mangsa yang dikenali sebagai Syazani John gagal dan disahkan meninggal dunia sejurus selepas itu. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rony Sikawan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 12.30 tengah hari. Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian. “Setibanya di lokasi kejadian mendapati, mangsa berjaya ditemui orang awam sebelum ketibaan Pasukan Bomba. “Pasukan Bomba bertindak memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepada mangsa namun gagal menyelamatkan mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian sebelum mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. “Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.15 petang,” katanya. – Info X

July 19, 2026

Info X Reporters

11 motosikal disita, penunggang mabuk ditahan

TAWAU: Polis menyita 11 motosikal selain menahan seorang penunggang yang didapati memandu di bawah pengaruh alkohol menerusi Op Samseng Jalanan dan Op Mabuk di beberapa lokasi sekitar daerah ini, semalam. Operasi bermula jam 10 malam hingga 2 pagi itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di Jalan Apas, Jalan Chong Thien Vun dan Jalan Kabota. Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, operasi berkenaan dilaksanakan bagi membanteras kegiatan lumba haram, mengesan pemandu mabuk serta memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang lalu lintas. Katanya, sebanyak 24 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan membabitkan penunggang motosikal. “Antara kesalahan dikesan termasuk memandu tanpa lesen, mengubah suai ekzos dan struktur kenderaan, menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, memandu di bawah umur, tiada cermin pandang belakang, brek tidak berfungsi dengan baik serta lesen memandu tamat tempoh. “Sebanyak 11 motosikal turut disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, seramai 55 individu dan 52 kenderaan pelbagai jenis diperiksa sepanjang operasi berkenaan. Wilynton berkata, dalam Op Mabuk pula, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun ditahan selepas ujian saringan awal menggunakan Screening Device 2 Plus (SD2+) mengesan kandungan alkohol dalam badannya. Katanya, suspek kemudian dibawa ke pejabat BSPT IPD Tawau bagi menjalani ujian pengesahan menggunakan Evidential Breath Analyzer (EBA II). “Hasil ujian mendapati bacaan alkohol melebihi had yang dibenarkan. “Suspek ditahan mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala motosikal yang digunakannya turut disita bagi membantu siasatan,” katanya. Beliau berkata, operasi seumpama itu akan terus dipergiat dari semasa ke semasa di lokasi dan waktu berbeza bagi membanteras kegiatan samseng jalanan, lumba haram serta pemanduan di bawah pengaruh alkohol. Tegasnya, polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang sengaja melanggar undang-undang sehingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain. “Jangan jadikan jalan raya sebagai litar perlumbaan atau medan untuk menunjukkan kehebatan. “Keseronokan hanya seketika, tetapi akibatnya boleh membawa kehilangan nyawa, kecederaan serius selain tindakan undang-undang yang memberi kesan kepada masa depan,” katanya. Menurutnya, pengguna jalan raya juga tidak seharusnya beranggapan mereka akan terlepas daripada tindakan hanya kerana tidak ditahan ketika operasi dijalankan. Katanya, rakaman telefon bimbit, kamera papan pemuka dan kamera litar tertutup yang memaparkan aksi berbahaya boleh dijadikan bahan siasatan. “Setiap rakaman video, gambar atau maklumat yang diterima akan diteliti dan sekiranya terdapat bukti mencukupi, individu serta kenderaan terbabit boleh dikenal pasti sebelum tindakan diambil,” katanya. Beliau turut menyeru ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak terutama pada waktu malam bagi memastikan mereka tidak terbabit dalam aktiviti lumba haram atau pengubahsuaian kenderaan yang menyalahi undang-undang. – Info X

July 19, 2026

Info X Reporters

Jesselton Berselawat 2026 angkat nilai kasih sayang dan perpaduan

KOTA KINABALU: Jesselton Berselawat 2026 yang berlangsung di Jeti DBKK, di sini, pada 18 Julai 2026 berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat bagi menyemarakkan budaya berselawat serta mengangkat nilai kasih sayang dan perpaduan. Inisiatif Sekretariat Borneo Berselawat (SBB) itu membawa tema ‘Menjunjung Adab & Keharmonian’ dengan slogan ‘Dari Borneo Untuk Rasulullah SAW’ bagi sama-sama berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Program dimulakan dengan perarakan selawat dari Todak Waterfront menuju ke Jeti DBKK sebelum diteruskan dengan pelbagai pengisian termasuk bacaan doa, persembahan qasidah, puisi etnik, persembahan silat, busking berunsur dakwah, tazkirah serta selawat dan doa penutup. Keseluruhan pengisian sepanjang program itu disusun bagi menampilkan dakwah yang dekat dengan masyarakat tanpa mengira latar belakang. Pengerusi Sekretariat Borneo Berselawat, Kefayatullah Malik Aman, berkata penganjuran Jesselton Berselawat bukan sekadar sebuah program keagamaan, malah satu gerakan dakwah yang membawa mesej ‘Muhammad For All’. Katanya, ungkapan itu memberi kefahaman bahawa Nabi Muhammad SAW diutus sebagai Rasulullah yang membawa rahmat untuk seluruh alam tanpa mengira bangsa, budaya mahupun agama. “Pendekatan ini diterjemahkan melalui penglibatan pelbagai komuniti, penggunaan seni budaya tempatan, puisi bahasa etnik, qasidah dan pengagihan bunga ros sebagai simbol kasih sayang. “Ini sekali gus memperlihatkan bahawa Islam adalah agama yang membawa kedamaian, adab dan keharmonian dalam masyarakat majmuk Sabah,” katanya. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), semua rakan strategik, penaja, sukarelawan serta ahli jawatankuasa pelaksana atas kepercayaan, kerjasama dan komitmen yang diberikan sehingga program itu dapat berlangsung dengan lancar. Sekretariat Borneo Berselawat berharap Jesselton Berselawat akan terus menjadi platform tahunan dalam memperkukuhkan ukhuwah, menyebarkan mesej Rahmatan Lil ‘Alamin serta menjadikan Sabah sebagai contoh penganjuran program dakwah yang meraikan kepelbagaian budaya dengan berteraskan kecintaan kepada Rasulullah SAW. – Info X

July 19, 2026

Info X Reporters

Taktik seludup ganja dalam parcel tumpas, enam ditahan

KOTA KINABALU: Penahanan seorang lelaki bersama parcel mengandungi 329 gram ganja membawa kepada beberapa serbuan susulan sehingga enam individu termasuk dua wanita ditahan di sekitar bandar raya ini, kelmarin. Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah itu bermula selepas menerima maklumat daripada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berkaitan penghantaran parcel yang disyaki mengandungi dadah. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, bertindak atas maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota menjalankan pemantauan sebelum menahan seorang lelaki berusia 45 tahun di kawasan Likas, kira-kira jam 7.23 malam. Katanya, pemeriksaan terhadap parcel yang berada dalam pegangan suspek menemukan sebuah kotak mengandungi tiga paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki ganja mampat. “Keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan seberat 329 gram dengan nilai kira-kira RM3,290. “Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek didapati negatif dan polis turut merampas sebuah telefon bimbit untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Alhusin berkata, susulan tangkapan itu, pasukan JSJN IPK Sabah meneruskan operasi ke sebuah rumah di Inanam dan menahan dua lagi lelaki berusia 37 dan 46 tahun. Menurutnya, kedua-dua lelaki berkenaan disyaki mempunyai kaitan dengan siasatan yang sedang dijalankan dan ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif tetrahydrocannabinol (THC). “Operasi kemudian diteruskan ke kawasan tempat letak kenderaan di Alamesra yang membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berusia 23 tahun. “Susulan itu, polis menyerbu sebuah unit kediaman di University Utama Condominium (UUC) dan menahan dua wanita berusia 20-an bagi membantu siasatan,” katanya. Beliau berkata, beberapa barangan turut disita sepanjang operasi termasuk telefon bimbit, tablet, jam tangan serta barang kemas bagi membantu siasatan. Katanya, semua enam suspek kini ditahan di Lokap Berpusat Kontinjen Sabah untuk proses reman dan siasatan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya. – Info X

July 18, 2026

Info X Reporters

Polis tumpas kegiatan pecah rumah, curi motosikal di Lahad Datu

LAHAD DATU: Polis menahan enam lelaki termasuk tiga remaja menerusi beberapa siri tangkapan bagi membantu siasatan kes pecah rumah, curi dan curi motosikal di sekitar daerah ini. Semua suspek berusia antara 15 hingga 53 tahun ditahan dalam operasi berasingan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, antara 15 hingga 17 Julai lalu. Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Zulbaharin Ismail berkata, tangkapan pertama pada 15 Julai membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun dan seorang lelaki warga asing berusia 32 tahun. Katanya, kedua-dua suspek dipercayai terbabit dalam beberapa kes pecah rumah dan curi di sekitar Taman Aman, Taman Aman Jaya 3, Taman Gembira, Taman Harapan serta Kampung Sharip. “Susulan maklumat daripada tangkapan berkenaan, polis berjaya menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 26 tahun pada 17 Julai. “Suspek dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah dan curi di kawasan perumahan Palm Height, Lahad Datu,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, sebuah Perodua Axia yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan kegiatan jenayah turut dirampas ketika tangkapan dilakukan. Dalam operasi berasingan, Zulbaharin berkata, polis turut menahan dua remaja lelaki berusia 15 dan 16 tahun selepas mereka didapati memiliki sebuah motosikal yang diubah suai tanpa memberikan keterangan munasabah. Katanya, seorang lagi remaja lelaki berusia 17 tahun turut ditahan bersama sebuah motosikal Yamaha C100 yang dilaporkan hilang pada 16 Julai lalu. “Kesemua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan bagi kesalahan pecah rumah, Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan mencuri motosikal. “Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 22A(4) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Negeri Sabah berkaitan pemilikan motosikal tanpa memberikan keterangan munasabah,” katanya. Beliau berkata, kejayaan berkenaan hasil risikan, siasatan dan tindakan operasi berterusan BSJ IPD Lahad Datu dalam membanteras jenayah harta benda serta memastikan keselamatan masyarakat terus terpelihara. Katanya, polis tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan jenayah. “Orang ramai diseru terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah kepada polis bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya. – Info X

July 18, 2026

Info X Reporters

Warga emas ditahan disyaki rogol wanita OKU

TAWAU: Seorang warga emas ditahan polis selepas disyaki merogol seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang menghidap gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) dalam kejadian di daerah ini. Suspek warga tempatan berusia 66 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Ranggu, Batu 10, Jalan Apas. Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, penahanan dibuat susulan laporan polis yang diterima daripada seorang pengadu. Beliau berkata, pengadu membuat laporan selepas dimaklumkan anak angkatnya bahawa mangsa mengalami kesakitan pada tubuh badan. “Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan sebelum pemeriksaan doktor mendapati wanita itu dipercayai menjadi mangsa rogol. “Mangsa juga merupakan seorang individu OKU yang menghidap ADHD,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, bertindak atas maklumat dan hasil siasatan, polis berjaya menahan suspek bagi membantu siasatan. “Polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan, antaranya sehelai baju-T berkolar, seluar jeans, topi serta beberapa barangan lain. “Kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan,” katanya. Wilynton turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan, selain menghormati privasi mangsa serta keluarganya. – Info X