Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

July 18, 2026

Info X Reporters

Dua ditahan, CPO lebih RM400,000 dirampas

TAWAU: Cubaan menyimpan minyak sawit mentah (CPO) tanpa lesen tumpas apabila Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menyerbu sebuah premis di Kampung Nasib Kita, Balung, di sini, semalam. Dalam serbuan itu, dua individu ditahan bagi membantu siasatan selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti penyimpanan CPO tanpa lesen yang sah. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, operasi itu turut membawa kepada rampasan sebuah lori 38 tan yang membawa kira-kira 30,000 liter CPO. Katanya, pihaknya turut merampas beberapa tong dram yang mengandungi minyak sawit mentah dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan melebihi RM400,000. “Hasil pemeriksaan mendapati CPO berkenaan disyaki disimpan tanpa lesen sah yang dikeluarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). “Dua individu yang berada di premis berkenaan ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, kes disiasat mengikut Peraturan 5(1)(d), Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Perlesenan) 2005 di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582) kerana menyimpan minyak sawit tanpa lesen yang sah. Ahmad Amri berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperkukuhkan operasi penguatkuasaan bersama MPOB serta agensi berkaitan bagi membanteras sebarang aktiviti menyalahi undang-undang yang menjejaskan industri sawit negara. “PPM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti penyimpanan atau urus niaga minyak sawit tanpa mematuhi peraturan ditetapkan. “Kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa akan terus dipertingkatkan bagi memastikan industri sawit negara terus dilindungi daripada kegiatan yang menyalahi undang-undang,” katanya. – Info X

July 18, 2026

Info X Reporters

Polis giat buru suspek curi kabel di Papar

PAPAR: Polis sedang giat mengesan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian kabel yang dilaporkan berlaku di sekitar Jalan Takis Hospital, di sini, awal pagi tadi. Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 2.27 pagi daripada saksi awam. Katanya, saksi mendapat melihat sebuah kereta Perodua Bezza berwarna putih dalam keadaan mencurigakan sedang mengheret seutas kabel sepanjang kira-kira enam meter. “Dua orang saksi cuba memberhentikan kenderaan berkenaan, namun suspek bertindak memecut dan melarikan diri melalui beberapa jalan utama sebelum menghala ke kawasan Benoni. “Sepanjang kejadian, tiada kemalangan, kecederaan mahupun kerosakan terhadap harta benda awam dilaporkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, hasil tindakan pantas polis, kenderaan yang dipercayai digunakan suspek berjaya dikesan ditinggalkan di bahu Jalan Kampung Buang Sayang, di sini. “Siasatan awal mendapati pemilik berdaftar kenderaan itu telah menyerahkannya kepada seorang ejen kereta sewa sebelum ia disewakan kepada suspek. “Pihak polis sudah memperoleh imej suspek dan kini sedang memperhebatkan usaha memburu bagi membantu siasatan. “Siasatan turut mendapati kabel yang dibawa dipercayai milik sebuah syarikat utiliti atau syarikat telekomunikasi. Bagaimanapun, lokasi sebenar kejadian kecurian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” tegasnya. Sehubungan itu, Heryan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai identiti atau lokasi suspek diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar atau mana-mana balai polis berhampiran. “Polis turut menyeru kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat bagi membantu mengesan suspek dan memastikan individu yang terlibat dibawa ke muka pengadilan,” tegasnya. – Info X

July 18, 2026

Info X Reporters

Lelaki yang dilaporkan dibaham buaya ditemukan maut

KINABATANGAN: Seorang lelaki yang dilaporkan dibaham buaya ketika mencuci bot di Sungai Kampung Batu Putih, di sini, petang semalam, ditemukan meninggal dunia awal pagi tadi. Mangsa, Rusli Mardin, 57, ditemukan oleh orang awam kira-kira 500 meter dari lokasi dia dipercayai disambar reptilia berkenaan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Suriyadi Darwis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.31 petang semalam sebelum menggerakkan enam anggota ke lokasi. “Menurut saksi yang juga anak mangsa, mereka sedang mencuci bot sebelum mangsa tiba-tiba dibaham seekor buaya dan hilang dari pandangan. “Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di permukaan sungai menggunakan kaedah water surface searching, namun operasi ditangguhkan pada jam 8.45 malam berikutan keadaan gelap,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, operasi SAR disambung semula pagi tadi, namun pihaknya dimaklumkan orang awam menemui mangsa pada jam 4.45 pagi. “Mangsa ditemui kira-kira 500 meter ke hilir dari lokasi kejadian dengan anggota badan masih lengkap, namun terdapat kesan gigitan pada bahagian perut dan leher sebelah kanan. “Pasukan bomba membantu mengangkat mayat mangsa dari tebing sungai ke rumah mangsa sebelum disahkan meninggal dunia oleh polis dan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut. “Operasi yang turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan RELA ditamatkan sepenuhnya pada jam 8 pagi selepas semua tugas selesai,” katanya. – Info X

July 17, 2026

Info X Reporters

Anak lihat bapa dibaham buaya ketika cuci bot

KINABATANGAN: Seorang anak berdepan detik paling mengerikan apabila melihat bapanya dipercayai dibaham seekor buaya sebelum mangsa hilang dari pandangan ketika mereka mencuci bot di Kampung Batu Putih, di sini, petang tadi. Mangsa, Rusli Mardin, 57, sehingga kini masih belum ditemukan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Suriyadi Darnis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.31 petang sebelum menggerakkan enam anggota ke lokasi yang terletak kira-kira 30 kilometer dari balai. Katanya, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba dimaklumkan mangsa dipercayai dibaham seekor buaya ketika menjalankan aktiviti mencuci bot bersama anaknya. “Mengikut keterangan saksi yang juga anak mangsa, dia melihat bapanya dibaham seekor buaya sebelum mangsa hilang daripada pandangan. “Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan kaedah water surface searching di kawasan kejadian,” katanya dalam kenyataan, malam ini. Beliau berkata, operasi bagaimanapun terpaksa ditangguhkan pada jam 8.45 malam berikutan keadaan yang semakin gelap sehingga menyukarkan usaha pencarian. “Operasi SAR akan disambung semula pagi esok bagi mengesan mangsa,” katanya. Operasi turut dibantu empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lima anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). – Info X

July 17, 2026

Info X Reporters

Kes terbaharu pelajar jatuh di sebuah sekolah di Papar bukan akibat buli – Jabatan Pendidikan

KOTA KINABALU: Tiada unsur jenayah atau buli dalam satu kes pelajar terjatuh yang dilaporkan berlaku di sebuah sekolah di Papar, baru-baru ini. Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dalam kenyataannya pada Jumaat, berkata perkara itu berdasarkan siasatan awal pihak sekolah terhadap insiden itu. Berikutan itu, jabatan berkenaan mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian berkenaan. “Siasatan awal pihak sekolah mendapati tiada unsur jenayah atau buli dalam kejadian ini. “Orang ramai dinasihati agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih serta boleh mengganggu siasatan dan menjejaskan kesejahteraan mangsa, keluarga dan seluruh warga sekolah,” katanya. Katanya, JPNS mengambil perhatian serius terhadap insiden itu dan pihak sekolah sudah mengambil tindakan segera dengan memberikan bantuan awal, memaklumkan pihak keluarga dan pihak polis. Pihak sekolah juga, katanya mengawal kawasan kejadian bagi mengelakkan suasana panik, manakala mangsa sudah menerima pemeriksaan dan rawatan di hospital. Mengenai keadaan mangsa, JPNS berkata berdasarkan laporan perubatan, mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan kini berada dalam keadaan stabil. “Kebajikan, keselamatan serta kesejahteraan emosi mangsa terus diberi perhatian melalui pemantauan berterusan. “Sokongan psikososial dan emosi juga diberikan kepada mangsa dan warga sekolah yang terkesan,” katanya. JPNS katanya akan memberikan kerjasama penuh terhadap proses siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa. Kenyataan dikeluarkan JPNS itu sekali gus mengesahkan insiden pelajar jatuh itu benar berlaku setelah khabar angin mengenainya mula tersebar di media sosial. – Info X

July 17, 2026

Info X Reporters

Polis Penampang nafi infografik ‘laporan tangkapan kes khianat’ tular

PENAMPANG: Polis Penampang menafikan sekeras-kerasnya kesahihan satu infografik bertajuk “Laporan Tangkapan Kes Khianat” yang tular di pelbagai platform media sosial sejak pagi tadi. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, infografik berkenaan adalah palsu, tidak sahih dan bukan dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). “Kandungan berkenaan menggunakan logo rasmi PDRM, format penyampaian serta memaparkan gambar dan maklumat individu tanpa kebenaran dengan tujuan mengelirukan orang ramai. “Perbuatan menghasilkan, memiliki, memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan palsu seperti itu adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan integriti PDRM, mengganggu ketenteraman awam serta mencemarkan nama baik individu yang terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kekeliruan, salah faham, kerosakan reputasi atau apa-apa implikasi yang timbul akibat penyebaran infografik palsu itu. Sehubungan itu, beliau memberi amaran bahawa mana-mana individu yang didapati terbabit dalam penerbitan atau penyebaran kandungan berkenaan boleh disiasat dan dikenakan tindakan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa. Katanya, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kerana menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi bagi penyebaran kandungan palsu atau jelik. “Jika penyebaran itu membabitkan gambar, identiti atau maklumat seorang kanak-kanak yang dilindungi undang-undang, tindakan juga boleh diambil mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611),” katanya. Sammy turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menjadi ejen penyebaran maklumat yang belum dipastikan kesahihannya. “Sebarang maklumat berkaitan siasatan atau tindakan polis hanya akan disalurkan melalui saluran komunikasi rasmi PDRM. “Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu yang menghasilkan atau menyebarkan infografik palsu ini diminta menyalurkannya kepada IPD Penampang bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X

July 17, 2026

Info X Reporters

“Saya tidak putus-putus doa, sebut nama Nurjilya… akhirnya Allah tunjukkan jasadnya”

KOTA KINABALU: “Saya tidak pernah berhenti berdoa. Setiap hari saya sebut nama anak saya, Nurjilya, minta kepada Allah supaya tunjukkan di mana dia berada. Akhirnya, Allah makbulkan doa saya… jasad anak saya ditemui.” Demikian luahan pilu Normaida Husin, 32, ibu kepada Nurjilya Abdullah, 10, yang dipercayai menjadi mangsa bunuh selepas dilaporkan hilang sebelum mayatnya ditemukan pada 15 Julai lalu. Normaida berkata, Nurjilya yang juga anak ketiga daripada lima beradik dikenali sebagai seorang anak yang baik, rajin mengaji, tidak pernah culas menunaikan solat serta penyayang terhadap adik-beradiknya. “Arwah budak baik, dengar cakap. Dia rajin mengaji, rajin solat dan selalu bermain dengan adik-adiknya. Saya memang sayang sangat sama dia,” katanya ketika dihubung, hari ini. Menurutnya, pada 13 Julai lalu, dia keluar bekerja seperti biasa sebagai pencuci di Wisma Merdeka sebelum pulang kira-kira jam 5 petang dan mendapati Nurjilya tiada di rumah. “Saya terus mencari di sekitar kampung bersama ahli keluarga sehingga lewat malam, tetapi masih tidak jumpa,” katanya. Katanya, pencarian diteruskan pada keesokan harinya sebelum dia membuat laporan polis pada 14 Julai kira-kira jam 6 petang. “Pada 15 Julai, polis mengeluarkan hebahan orang hilang pada waktu pagi sebelum usaha pencarian diteruskan dengan bantuan polis, ahli keluarga dan penduduk kampung. “Sepanjang tempoh itu, saya tidak putus-putus berdoa. Setiap kali berdoa, saya sebut nama Nurjilya dan minta kepada Allah supaya temukan anak saya. “Alhamdulillah, akhirnya Allah makbulkan doa saya. Kira-kira jam 10.30 malam, jasad Nurjilya ditemui,” katanya sambil menahan sebak. Normaida berkata, dia tidak mengenali rapat dua individu yang ditahan bagi membantu siasatan, namun mengetahui mereka tinggal di kawasan kampung yang sama. “Saya cuma mahu keadilan ditegakkan. Apa yang berlaku kepada anak saya amat menyedihkan dan saya berharap mereka yang bertanggungjawab menerima hukuman setimpal,” katanya. Terdahulu, misteri kehilangan Nurjilya sejak 13 Julai berakhir dengan tragedi apabila mayatnya ditemukan di kawasan cerun semak berhampiran sebuah rumah dalam pembinaan di Kampung Numbak, Sepanggar, kira-kira 10.30 malam, 15 Julai. Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan sudah mereput sehingga bahagian kepala dan muka tidak lagi dapat dicam. Bagaimanapun, pengecaman dibuat oleh ibunya berdasarkan pakaian yang dipakai Nurjilya ketika dilaporkan hilang. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman dilaporkan berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian dipercayai akibat kecederaan pada bahagian muka dan belakang kepala yang disyaki disebabkan hentakan menggunakan objek keras dan tumpul. Susulan siasatan, polis menahan dua lelaki berusia 39 dan 42 tahun bagi membantu siasatan. Motif kejadian masih disiasat dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – Info X

July 17, 2026

Info X Reporters

Cubaan seludup petrol bersubsidi digagalkan, dua suspek terjun ke bakau

SANDAKAN: Cubaan menyeludup 360 liter minyak petrol bersubsidi berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas menahan sebuah bot dalam operasi di perairan Sungai Sabine, di sini, semalam. Bagaimanapun, dua lelaki yang dipercayai kru bot berjaya meloloskan diri apabila bertindak terjun ke kawasan bakau sebelum melarikan diri ke dalam hutan sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa. Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Suhairy Hussain berkata, kejayaan itu hasil rondaan dan pemantauan berterusan Bot Peronda Maritim Malaysia yang melaksanakan Op Sejahtera, Op Cegah PATI (OCP) dan Op Tiris 4.0. Katanya, bot berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan kira-kira 0.05 batu nautika di barat laut Sungai Sabine sebelum dipintas untuk pemeriksaan. “Ketika pasukan operasi menghampiri bot tersebut, dua lelaki yang dipercayai kru bot bertindak terjun ke kawasan bakau sebelum melarikan diri ke dalam hutan bagi mengelak ditahan. “Hasil pemeriksaan menemui 18 jerican disyaki mengandungi minyak petrol bersubsidi dengan anggaran keseluruhan 360 liter. Turut ditemukan dua enjin sangkut Yamaha masing-masing berkuasa 40 kuasa kuda dan 15 kuasa kuda,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, bot bersama muatan berkenaan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa permit atau kebenaran yang sah. Selain itu, katanya, bot berkenaan turut disyaki melanggar Peraturan 12 Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana menyalahgunakan lesen dengan membawa barangan kargo. “Semua barang rampasan bersama bot dianggarkan bernilai RM23,300 dan telah dibawa ke Jeti Maritim Zon Sandakan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya. Suhairy berkata, cubaan sindiket menjalankan kegiatan penyeludupan pada waktu siang membuktikan mereka sentiasa mencari peluang untuk mengaburi pihak berkuasa. Menurutnya, Maritim Malaysia akan terus mempertingkat rondaan dan operasi penguatkuasaan secara berterusan tanpa mengira masa bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara. “Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyeludupan yang menjejaskan keselamatan negara serta menyebabkan ketirisan barang kawalan bersubsidi. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera,” katanya. – Info X