Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

July 17, 2026

Info X Reporters

Pokok tumbang hempap rumah, 3 cedera di Sandakan

SANDAKAN: Tiga termasuk dua kanak-kanak cedera selepas rumah yang didiami dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Kampung Gum-Gum Kecil, di sini, malam tadi. Mangsa yang cedera masing-masing seorang wanita berusia 47 tahun dan dua kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dalam kejadian kira-kira jam 10 malam tadi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung, berkata bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 10.04 malam. Katanya, sepasukan enam anggota bergegas ke lokasi itu yang terletak 23 kilometer (km) dari balai dan mendapati bahagian dapur rumah berkenaan rosak dihempap pokok tumbang. “Pokok tumbang menyebabkan kerosakan kira-kira 40 peratus di bahagian dapur. Ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent. “Pasukan bomba bertindak memotong pokok tumbang menggunakan peralatan gergaji berantai dan mengalihkan ke tempat selamat,” katanya. Jimmy berkata, operasi ditamatkan pada jam 9.10 pagi hari ini selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi itu. – Info X

July 17, 2026

Info X Reporters

Dua suspek kes bunuh kanak-kanak direman 7 hari

KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini membenarkan permohonan reman terhadap dua lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh seorang kanak-kanak perempuan yang mayatnya ditemui di Kampung Numbak, dekat sini, semalam. Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali memberikan perintah tahanan reman selama tujuh hari, bermula hari ini hingga 24 Julai terhadap kedua-dua suspek tanpa dokumen pengenalan diri itu, masing-masing berumur 39 tahun dan 42 tahun. Permohonan reman dibuat pegawai penyiasat polis, Asisten Superintendan La Paula Abd Muis mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah. Ditemui selepas prosiding, La Paula berkata siasatan kes itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Kedua-dua suspek ditahan selepas mayat kanak-kanak berumur 10 tahun yang sebelum ini dilaporkan hilang sejak 13 Julai lalu, ditemui di Kampung Numbak, semalam. Menerusi satu kenyataan semalam, pemangku Ketua Polis Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman, berkata bedah siasat ke atas mayat mangsa mendapati kematiannya berpunca daripada kecederaan di bahagian muka dan belakang kepala, dipercayai dipukul dengan objek keras dan tumpul. – Info X

July 17, 2026

Info X Reporters

Remaja lelaki ditahan bantu siasatan kes rogol

TAWAU: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan seorang remaja perempuan selepas mangsa ditemui bersama suspek di sebuah penginapan murah di bandar ini, petang semalam. Suspek warga tempatan itu ditahan kira-kira jam 2.05 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau hasil risikan yang dijalankan susulan laporan polis dibuat abang mangsa. Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai keluar dari rumah pada Selasa lalu sebelum ditemui bersama suspek di sebuah penginapan murah di sekitar bandar Tawau. Beliau berkata, bertindak atas laporan diterima, polis menjalankan risikan sebelum berjaya mengesan lokasi mangsa dan menahan suspek bagi membantu siasatan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau turut menasihatkan ibu bapa atau penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan, pergaulan serta aktiviti harian anak-anak, selain mewujudkan komunikasi yang baik dalam keluarga bagi mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa atau terjebak dalam perlakuan yang menyalahi undang-undang. Katanya, orang ramai juga diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan identiti mangsa kerana tindakan sedemikian boleh mengganggu siasatan selain melanggar peruntukan undang-undang. – Info X

July 16, 2026

Info X Reporters

Kanak-kanak perempuan dipercayai dibunuh, dua lelaki ditahan

KOTA KINABALU: Misteri kehilangan seorang kanak-kanak perempuan sejak 13 Julai lalu berakhir dengan tragedi apabila mangsa dipercayai dibunuh sebelum mayatnya ditemukan di kawasan cerun semak berhampiran sebuah rumah dalam pembinaan di Kampung Numbak, Sepanggar, semalam. Lebih menyedihkan, mayat Nurjilya Abdullah, 10, ditemukan dalam keadaan sudah mereput sehingga bahagian kepala dan mukanya tidak lagi dapat dicam. Susulan penemuan itu, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menahan dua lelaki berusia 39 dan 42 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, sepasukan polis bersama Unit Forensik bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat mengenai penemuan mayat mangsa pada jam 10.38 malam. “Hasil pemeriksaan awal di lokasi oleh pasukan forensik mendapati mayat mangsa berada dalam keadaan telah mereput. Pengecaman identiti kemudiannya dibuat oleh ibu mangsa berdasarkan pakaian yang dipakai oleh mangsa ketika dilaporkan hilang. “Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Pakar Perubatan Forensik mendapati punca kematian dipercayai berpunca daripada kecederaan pada bahagian muka dan belakang kepala yang disyaki akibat hentakan menggunakan objek keras dan tumpul,” katanya dalam kenyataan media, malam ini. Menurutnya, bertindak atas maklumat dan siasatan yang dijalankan, pihak polis telah berjaya menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes ini. “Kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi membolehkan siasatan diteruskan. “Motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis sedang melengkapkan siasatan termasuk mendapatkan keterangan saksi-saksi serta bukti-bukti berkaitan,” katanya. Sementara itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan. “Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Polis (ASP) La Paula Abd Muis di talian 013-5149490 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. “Siasatan diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. Terdahulu, Nurjilya dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya di Kampung Numbak Bakau, Sepanggar pada 13 Julai lalu sebelum Polis Daerah Kota Kinabalu mengeluarkan hebahan orang hilang bagi mengesannya. Penemuan mayat mangsa akhirnya merungkai kehilangan kanak-kanak itu dan siasatan lanjut kini diteruskan bagi mengenal pasti motif pembunuhan. – Info X

July 16, 2026

Info X Reporters

Kastam Sabah rampas sisik tenggiling bernilai RM1.3 juta

SANDAKAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas 100 kilogram (kg) sisik tenggiling bernilai RM1.3 juta yang dipercayai cuba dieksport ke luar negara. Rampasan dibuat menerusi pemeriksaan berkala di pintu masuk kargo udara di Lapangan Terbang Sandakan, kira-kira jam 2.30 petang, 6 Julai lalu. Pengarah Kastam Sabah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, siasatan awal mendapati sisik tenggiling itu dibawa ke daerah ini dari Kota Kinabalu menggunakan perkhidmatan bas ekspres sebelum dihantar ke kargo udara dipercayai untuk dieksport. Katanya, modus operandi sindiket adalah dengan memasukkan sisik tenggiling ke dalam plastik hitam dan dimuatkan dalam lima bekas kotak yang setiap satu seberat 20 kg. “Sindiket menggunakan taktik mengikrarkan dagangan dalam borang sebagai barangan lain untuk mengelirukan atau mengaburi pemeriksaan di pintu masuk kargo udara. “Taktik ini bertujuan mengelakkan pengesanan serta keperluan mendapatkan permit eksport bagi spesies terjadual. Belum ada tangkapan dibuat dan siasatan masih dijalankan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini. Ahmad Taufik berkata, sisik tenggiling adalah bahagian spesies terjadual yang perdagangan antarabangsanya dikawal dan memerlukan permit sah daripada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah. Katanya, rampasan berkenaan akan diserahkan kepada JHL dan kes disiasat di bawah Seksyen 10 Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686). “Ini adalah rampasan pertama berkaitan sisik tenggiling yang dibuat tahun ini. Kita akan terus melakukan operasi dari semasa ke semasa untuk menangani sebarang aktiviti yang membabitkan penyeludupan barang larangan,” katanya. Dalam perkembangan lain, Ahmad Taufik berkata, JKDM juga merampas 95,080 rokok seludup bernilai kira-kira RM67,000 termasuk cukai dalam dua kes berasingan di Kampung Bariawa, Batu 8 dan Batu 2 1/2 di sini. Katanya, tiada tangkapan dalam kedua-dua kes dengan rampasan masing-masing dibuat pada 15 dan 16 Jun lalu. “Sindiket menggunakan kawasan semak dan lokasi tersorok sebagai tempat menyembunyikan sementara rokok seludup untuk mengaburi pihak berkuasa sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya. Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu berkaitan pemilikan atau penyimpanan barang larangan. Ahmad Taufik turut meminta kerjasama orang ramai untuk memerangani jenayah penyeludupan membabitkan rokok, minuman keras, mercun, kenderaan dan dadah kerana ia bukan saja merugikan negara, malah mendatangkan ancaman keselamatan. – Info X

July 16, 2026

Info X Reporters

Sabah, Sarawak perlu ada kuota dalam MCMC

KOTA KINABALU: Kerajaan Pusat disaran menimbangkan keperluan untuk memberi kuota kepada wakil dari Sabah dan Sarawak dalam keanggotaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC). Menyuarakan saranan itu, Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, berkata ia penting sejajar realiti geografi di Sabah dan Sarawak yang jauh berbeza berbanding Semenanjung. “Keadaan ini hanya difahami oleh anak-anak kelahiran negeri kami, anak-anak tempatan yang mengerti tentang dimensi geografi yang luar biasa unik dan tersendiri ini,” katanya. Beliau berkata demikian ketika membahas Rang Undang-undang Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2026 ketika Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, pada Rabu. Sambil menyatakan pentingnya keseimbangan dan timbangtara dalam keanggotaan suruhanjaya itu, Matbali berkata keanggotaan Sabah dan Sarawak bukan sekadar memenuhi prinsip keterangkuman, tetapi juga memperkaya perspektif nasional. “Negara yang kuat ialah negara yang mendengar semua suara, bukan hanya suara yang paling hampir dengan pusat pentadbiran,” katanya. Matbali menyambut baik rang undang-undang itu dan menyifatkannya sebagai bertepatan dan wajar diberi sokongan. “Pindaan ini membawa mesej yang jelas bahawa kerajaan mahu memastikan MCMC terus relevan menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0, ekonomi digital dan perkembangan teknologi masa hadapan,” katanya. – Info X

July 16, 2026

Info X Reporters

Lima remaja ditahan, polis selesai siasat kes vandalisme pondok ibadat

PENAMPANG: Polis berjaya menyelesaikan kes vandalisme membabitkan sebuah pondok ibadat di Sinundu Miracle Hill, Kampung Duvanson, Putatan, dengan penahanan lima remaja lelaki, semalam. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, semua suspek berusia antara 13 hingga 16 tahun ditahan susulan siasatan yang dijalankan selepas pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu. Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian itu berpunca daripada perbuatan vandalisme semata-mata dan tidak mempunyai kaitan dengan unsur menghina atau menjatuhkan mana-mana agama seperti yang ditularkan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kerosakan harta benda dan Seksyen 295 Kanun Keseksaan. “Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Sammy berkata, polis memandang serius sebarang perbuatan khianat yang membabitkan rumah atau tempat ibadat kerana ia boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam. Beliau berkata, siasatan dijalankan secara telus, profesional serta mengikut peruntukan undang-undang bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab. Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan semula gambar serta video kejadian sehingga boleh mengganggu siasatan atau mencetuskan keresahan awam. “Polis turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat sehingga kes ini berjaya diselesaikan dalam tempoh singkat,” katanya. Terdahulu, polis membuka kertas siasatan selepas menerima laporan mengenai sebuah pondok doa di Sinundu Miracle Hill, Kampung Duvanson, Putatan, yang ditemui dalam keadaan berselerak. Pemeriksaan di lokasi mendapati beberapa barangan di dalam pondok doa berkenaan dipercayai dirosakkan oleh individu tidak dikenali sebelum siasatan membawa kepada penahanan lima remaja terbabit. – Info X

July 16, 2026

Info X Reporters

Pelajar terbabit kes gaduh berdepan tindakan tegas – Jabatan Pendidikan

KOTA KINABALU: Pelajar sekolah yang didapati bersalah kerana terbabit dalam kes pergaduhan, termasuk yang berlaku di kawasan luar sekolah bakal berdepan tindakan tegas. Amaran itu dijelaskan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) menerusi satu kenyataan berikutan insiden pergaduhan membabitkan pelajar dilaporkan berlaku di Tawau hang tular di media sosial. “JPNS tidak akan berkompromi dengan insiden salah laku sedemikian dan tindakan tegas akan diambil terhadap murid yang didapati bersalah selaras dengan peruntukan dan garis panduan yang sedang berkuat kuasa,” kata kenyataan itu pada Khamis. Dalam kenyataan itu, JPNS menegaskan walaupun kejadian berlaku di luar sekolah, sebarang bentuk salah laku yang melibatkan murid dan pelajar dipandang serius. Jelasnya, tingkah laku sedemikian bukan saja mencemarkan imej institusi pendidikan, malah boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan pelajar. JPNS berkata, susulan kejadian itu, pihak sekolah bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengambil tindakan segera dengan mengenal pasti pelajar yang terbabit dan menjalankan siasatan dalaman. “Insiden ini sedang dalam siasatan pihak polis dan JPNS memberi kerjasama penuh terhadap proses siasatan yang sedang berjalan,” katanya. Pada Rabu, lapan pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di Tawau direman dua hari di Mahkamah Majistret Tawau bagi membantu siasatan kes pergaduhan yang didakwa berpunca daripada penyebaran gambar dan video berunsur seksual yang disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI). Berdasarkan fakta kes, polis menerima maklumat mengenai satu rakaman video berdurasi 27 saat yang tular menerusi aplikasi WhatsApp memaparkan pergaduhan membabitkan beberapa pelajar dengan seorang lelaki awam di kawasan kedai Batu 5, Jalan Apas. Dalam kejadian itu, lelaki terbabit dipercayai menggunakan topi keledar sebagai senjata ketika pergaduhan berlaku. Susulan kejadian berkenaan, sepasukan polis menahan semua pelajar berusia 13 dan 14 tahun kira-kira jam 3 petang kelmarin bagi membantu siasatan. – Info X