November 9, 2026
Info X Reporters
Inteam suntik semangat penggiat nasyid di Sabah – KOPAN
KOTA KINABALU: Kehadiran kumpulan nasyid Inteam, di Sabah International Convention Centre (SICC) sempena program kesenian anjuran Persatuan Komposer Penulis Lirik Artis Nasyid Sabah (KOPAN), baru-baru ini, menyuntik inspirasi kepada penggiat seni nasyid Sabah untuk terus berkarya. Pengerusi KOPAN, Mohd Nazri Saidali, berkata suntikan inspirasi itu penting dalam usaha membawa industri muzik nasyid ke tahap yang lebih tinggi. “Kehadiran kumpulan nasyid terkenal Malaysia itu bukan sekadar memeriahkan acara, sebaliknya turut menjadi suntikan inspirasi kepada penggiat seni nasyid Sabah untuk terus berkarya dan membawa industri berkenaan ke tahap lebih tinggi,” katanya. Program yang berlangsung pada Sabtu lalu itu disemarakkan dengan gabungan aktiviti kesenian, pembangunan bakat kanak-kanak dan persembahan santai barisan artis nasyid tempatan dengan kemuncaknya persembahan Inteam yang popular dengan lagu ‘Kasih Kekasih’. Mohd Nazri berkata, pada sebelah pagi, Pertandingan Mewarna KOPAN menerima sambutan menggalakkan dengan hampir 80 kanak-kanak mengambil bahagian dalam tiga kategori umur, iaitu 5 hingga 6 tahun, 7 hingga 9 tahun dan 10 hingga 12 tahun. Penyertaan itu, katanya memperlihatkan minat dan potensi golongan muda dalam bidang seni visual, selain menyediakan ruang untuk mereka mengembangkan kreativiti dan keyakinan diri melalui aktiviti pertandingan. Turut berlangsung, katanya ialah Pertandingan Seni Khat yang disertai seramai 20 peserta dan dikendalikan dengan kerjasama Persatuan Seni Khat Sabah (PSKS), selaku rakan strategik KOPAN, bagi memperkenal dan memartabatkan seni khat sebagai warisan kesenian Islam yang wajar terus dipelihara. Selesai dua program pada sebelah pagi itu, katanya acara diteruskan dengan ‘Meet and Greet Artis Nasyid Sabah’ yang menampilkan persembahan santai daripada barisan artis dan kumpulan nasyid tempatan. “Antara yang terlibat ialah Safiq, Ammar, Kumpulan Karisma, Kumpulan Irfonis, Asyraf Naim, Adib Dihyah, Santiana Ramli, Fakhri Arif, Kumpulan Elhamz dan Kumpulan Mujaddid. “Persembahan yang berlangsung di kawasan booth dan vendor luar SICC itu memberikan peluang kepada pengunjung untuk mengenali lebih dekat artis nasyid Sabah, selain menikmati persembahan secara langsung dalam suasana santai dan mesra. “Keseluruhan acara dikendalikan oleh pasangan pengacara Adin Hans dan Atiep Ben yang berjaya menghidupkan suasana serta memastikan setiap pengisian berlangsung dengan penuh kemeriahan,” katanya. Sementara itu, kemuncak acara pada program itu ialah penampilan kumpulan Inteam yang dilihat sebagai sokongan kepada perkembangan industri nasyid Sabah. Katanya, wakil Inteam, Hazamin, mengambil kesempatan menyampaikan ucapan dan kata-kata semangat kepada penggiat seni nasyid, khususnya penasyid, penulis lirik dan komposer di Borneo. “Selamat berjaya kepada seluruh penasyid, penulis lirik komposer di Borneo, teruskan berkarya dan sebarkan kebaikan dalam karya-karya kita, Insya-Allah,” katanya. Hazamin turut menyampaikan doa agar KOPAN dan Munsyid Sabah terus konsisten dalam usaha memperkasa serta mengembangkan industri nasyid di Sabah. Mohd Nazri berkata ucapan Hazamin membawa mesej yang cukup besar kepada penggiat seni tempatan mengenai perjuangan dalam industri muzik yang bukan sekadar menghasilkan lagu, malah turut membawa tanggungjawab menyampaikan mesej positif dan kebaikan melalui setiap karya yang diterbitkan. Bagi Mohd Nazri yang juga Wakil Sabah dalam Munsyid Malaysia, kehadiran Inteam bersama Presiden Munsyid Malaysia adalah satu penghormatan besar dan suntikan semangat yang cukup bermakna kepada seluruh penggiat nasyid tempatan. Katanya, sokongan daripada kumpulan nasyid berpengalaman di peringkat nasional memberikan motivasi kepada penasyid muda Sabah untuk lebih yakin dalam berkarya, memperkukuh identiti muzik sendiri dan berusaha menembusi pasaran yang lebih luas. Beliau turut menegaskan pembangunan industri nasyid memerlukan kesatuan semua pihak, termasuk penyanyi, komposer, penulis lirik, penerbit muzik, persatuan dan rakan strategik. Dalam pada itu, katanya suasana program mencapai kemuncak kemeriahan apabila Inteam mendendangkan lagu popular mereka, ‘Kasih Kekasih’, yang cukup sinonim dengan peminat nasyid tanah air. Katanya, alunan lagu itu mencetuskan suasana penuh nostalgia apabila barisan artis nasyid Sabah yang berada di lokasi turut sama menyanyikan lagu berkenaan bersama Inteam. Lebih menarik, beliau berkata pengunjung yang hadir juga tidak melepaskan peluang untuk menyanyi bersama, menjadikan persembahan itu satu detik istimewa yang memperlihatkan kekuatan muzik nasyid dalam menyatukan peminat merentas generasi. “Saat itu bukan saja mencerminkan hubungan erat antara penggiat nasyid Sabah dan nasional, malah membuktikan karya nasyid yang berkualiti mampu terus hidup dalam ingatan masyarakat,” katanya. Mengulas penganjuran program di SICC itu, Mohd Nazri berkata ia adalah pendekatan KOPAN dalam memperluaskan peranan persatuan sebagai platform pembangunan bakat, penghasilan karya dan pengukuhan jaringan industri nasyid di Sabah. Usaha itu, katanya tidak hanya tertumpu kepada penganjuran persembahan, sebaliknya turut merangkumi pembangunan generasi muda, penglibatan komuniti, kerjasama antara persatuan serta usaha membuka ruang kepada artis tempatan untuk memperkenalkan bakat mereka. Jelasnya, KOPAN berhasrat untuk terus memperkukuh ekosistem nasyid Sabah dengan memberikan perhatian kepada pembangunan penasyid, komposer, penulis lirik dan penerbit muzik agar industri itu dapat berkembang secara lebih tersusun dan mampan. Katanya, kehadiran Inteam dan sokongan Munsyid Malaysia memberikan isyarat positif bahawa penggiat nasyid Sabah mempunyai ruang untuk terus membina hubungan, berkongsi pengalaman dan mengembangkan karya ke peringkat lebih luas. “Apa yang berlangsung di SICC bukan sekadar sebuah acara sehari, tetapi satu gambaran semangat dan kesungguhan penggiat nasyid Sabah untuk terus menghidupkan perjuangan seni yang membawa mesej kebaikan. “Bagi KOPAN, kebangkitan nasyid Sabah bukan hanya diukur melalui jumlah lagu yang dihasilkan atau pentas yang dijayakan, tetapi melalui kemampuan membina generasi, menyatukan penggiat seni dan memastikan setiap karya terus memberi manfaat kepada masyarakat. “Terus berkarya, terus menyebarkan kebaikan. Seruan nasyid dari Kinabalu,” katanya. – Info X
November 9, 2026
Info X Reporters
GIRING catat kutipan RM500,000 selepas seminggu ditayangkan
KOTA KINABALU: Filem thriller seram tempatan, GIRING, mencatat kutipan mencecah RM500,000 dalam tempoh seminggu sejak mula ditayangkan di pawagam pada 29 Oktober lalu. Pencapaian itu meletakkan filem arahan Pengarah Filem, Marlin Malalin itu sebagai antara karya anak Sabah yang menyumbang kepada perkembangan positif industri perfileman di negeri ini. Kutipan setengah juta ringgit itu juga bukan saja menjadi kejayaan awal produksi filem berkenaan, malah membuktikan karya anak tempatan Sabah mempunyai potensi untuk menarik perhatian penonton dan bersaing dalam pasaran perfileman negara. Menerusi poster penghargaan yang dikeluarkan pihak produksi, kutipan RM500,000 itu turut menjadi pencapaian awal dalam usaha mengejar sasaran seterusnya sebanyak RM1 juta. Filem terbitan 7A Borneo Sdn Bhd itu menampilkan gabungan pelakon tempatan dan nasional, antaranya Tati Eliana Tonny, Bell Ngasri, Adeline Tsen, Rodhi Madun, Duncan Christian Tubong, Ray Redzuan Awang, Lucilla Anggun dan Marlin Malalin sendiri. Mengangkat genre thriller seram dengan sentuhan sejarah dan budaya tempatan, GIRING tampil dengan slogan ‘bila berbunyi, kau akan mati’ yang mencetuskan elemen misteri dan debaran. Sementara itu, Marlin berkata, keistimewaan GIRING bukan sekadar terletak pada elemen seram, malah turut membawa mesej sejarah yang besar dengan mengambil latar era pembentukan Malaysia dan perjuangan masyarakat pribumi Sabah menentang pendudukan Jepun. Katanya, penceritaan filem itu turut mengetengahkan peranan tokoh-tokoh penting dalam sejarah pembentukan Malaysia, termasuk Tun Datu Mustapha Datu Harun, Donald Stephens dan Tunku Abdul Rahman. Beliau berkata, antara mesej utama yang ingin disampaikan menerusi filem itu ialah semangat kebangkitan masyarakat pribumi Sabah daripada pelbagai latar belakang bangsa dalam menghadapi cabaran sejarah. Garapan cerita itu katanya, memperlihatkan kekuatan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di Sabah. “Selain itu, GIRING turut membawa nilai integrasi nasional dengan mengangkat semangat kebersamaan, persefahaman dan keharmonian masyarakat sebagai asas penting dalam pembinaan sebuah negara. “Kekayaan budaya tempatan yang diketengahkan dalam filem ini juga menjadi antara kekuatan utama produksi, khususnya dalam memperkenalkan warisan, identiti dan keunikan masyarakat Sabah kepada penonton yang lebih luas,” katanya. Tepatnya, beliau berkata, karya berkenaan memperlihatkan potensi kekayaan sejarah dan warisan masyarakat Sabah untuk diketengahkan sebagai kandungan kreatif yang mempunyai nilai komersial serta kepentingan pendidikan sejarah. Katanya, kejayaan awal GIRING juga wajar dilihat sebagai dorongan kepada perkembangan ekosistem industri kreatif negeri, termasuk membuka lebih banyak ruang kepada bakat tempatan dalam bidang lakonan, pengarahan, penerbitan dan produksi filem. Dalam pada itu, beliau berkata pihak produksi berharap sokongan penonton, khususnya rakyat Sabah, dapat membantu filem berkenaan mencapai sasaran kutipan RM1 juta serta membuka peluang kepada lebih banyak karya tempatan menembusi pasaran lebih luas. Pencapaian itu, katanya membuktikan Sabah bukan saja kaya dengan keindahan alam dan kepelbagaian budaya, malah mempunyai sejarah, cerita, bakat serta kreativiti yang berpotensi diketengahkan ke peringkat nasional. “GIRING bukan sekadar sebuah filem seram, tetapi sebuah karya yang mengangkat sejarah, perpaduan dan identiti Borneo ke layar perak,” katanya. Ends
November 9, 2026
Info X Reporters
Khidmat Lexi berakhir sehari selepas misi terakhir cari orang hilang
KOTA KINABALU: Selepas hampir sedekad menabur bakti dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), anjing pengesan Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Lexi, akhirnya pergi buat selama-lamanya, sehari selepas menyertai misi terakhirnya. Lexi, anjing pengesan baka Labrador Retriever berusia 10 tahun itu ditemukan tidak bernyawa di kandangnya pada jam 6.15 pagi, Jumaat lalu. Lebih menyentuh hati, sehari sebelum kematiannya, Lexi masih menjalankan tanggungjawab sebagai anjing pengesan apabila menyertai operasi mencari orang hilang di Kampung Pulutan Membawang, Menggatal, pada 5 November lalu. Operasi berkenaan menjadi khidmat terakhir Lexi yang sudah berbakti bersama pasukan bomba sejak diperoleh dari United Kingdom pada 2017. Ketua Cawangan Unit Pengesan (K9) JBPM Sabah, Penguasa Bomba Calvin Joe Jeafery berkata, Lexi menyertai operasi SAR berkenaan bersama pengendalinya, Pegawai Bomba Kanan I Athur Anderson Walter. Katanya, selepas operasi selesai dan kembali ke balai, Lexi menjalani rutin penjagaan seperti biasa termasuk dimandikan serta diberikan makanan. “Lexi menghabiskan makanan yang diberikan dan tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku selepas kembali daripada operasi berkenaan. “Bagaimanapun, ketika pemeriksaan rutin kandang pada pagi berikutnya, anggota bertugas mendapati Lexi tidak memberikan sebarang reaksi apabila dipanggil. “Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati Lexi sudah tidak bernyawa,” katanya. Calvin berkata, berdasarkan rekod kesihatan, Lexi mempunyai sejarah penyakit jantung tahap dua selain ketumbuhan pada bahagian gusi. Katanya, anjing pengesan itu turut berada dalam pemantauan veterinar dan menerima rawatan termasuk antibiotik, ubat gastrik serta ubat antiradang. “Bagaimanapun, punca sebenar kematian Lexi masih belum dapat dipastikan sementara menunggu laporan bedah siasat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah,” katanya. Sepanjang perkhidmatannya, Lexi dilatih dalam disiplin SAR Wilderness, khusus bagi membantu operasi pencarian mangsa hilang di kawasan hutan dan persekitaran mencabar. Pemergian Lexi menamatkan hampir sembilan tahun perkhidmatannya bersama Unit K9 JBPM Sabah, dengan operasi di Menggatal menjadi catatan terakhir dalam perjalanan tugasnya. Walaupun tidak lagi dapat menyertai operasi bersama pasukan penyelamat, khidmat Lexi sebagai anjing pengesan akan terus menjadi sebahagian daripada sejarah perkhidmatan Unit K9 JBPM Sabah. – Info X
November 9, 2026
Info X Reporters
Hujan lebat berterusan dari Kudat hingga Kinabatangan diramal hingga Rabu
KOTA KINABALU: Enam daerah di utara dan pantai timur Sabah diramal mengalami hujan lebat berterusan tahap waspada akibat luruan monsun hingga 11 November ini. Daerah terbabit ialah Kudat, Paitan, Telupid, Labuk dan Sugut, Sandakan dan Kinabatangan. Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) dalam satu kenyataan, berkata, amaran tahap waspada dikeluarkan berdasarkan analisis cuaca yang dilakukan jabatan itu. “Analisis terhadap model-model ramalan cuaca menunjukkan bahawa luruan monsun dijangka memasuki rantau negara sehingga 11 November 2026. “Keadaan ini berpotensi membawahujan lebat berterusan di pantai timur Semenanjung dan timur Sabah dalam tempoh tersebut,” katanya. Amaran dalam tempoh yang sama dikeluarkan di daerah Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Jeli, Kelantan, selain Hulu Terengganu di Terengganu dan Kuantan, Pekan, Rompin dan Jerantut di Pahang. Selain itu, amaran hujan tahap buruk dalam tempoh yang sama dikeluarkan di daerah lain di Kelantan dan Terengganu. – Info X
November 9, 2026
Info X Reporters
Lelaki maut selepas motosikal terbabas ke dalam parit berbatu
PENAMPANG: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit berbatu di Jalan Sapulut – Tambunan berhampiran Kampung Notorus, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa berusia 41 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kemalangan berkenaan. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai hilang kawalan ketika menunggang motosikal di laluan berkenaan. “Akibat kejadian itu, motosikal mangsa terbabas ke dalam parit berbatu sebelum mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan. “Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133 bagi membantu siasatan. Sammy turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada, mengawal kelajuan kenderaan dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kemalangan. – Info X
November 9, 2026
Info X Reporters
Belanjawan Negeri 2027: Peruntukan besar tangani masalah infrastruktur asas – Masidi
KOTA KINABALU: Peruntukan besar akan terus ditumpukan terhadap usaha menangani masalah infrastruktur asas, khususnya bekalan air, elektrik dan jaringan jalan raya menerusi Belanjawan Negeri 2027. Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun, bagaimanapun berkata penyediaan Belanjawan Negeri 2027 perlu mengambil kira kedudukan hasil negeri bagi memastikan perancangan perbelanjaan selaras dengan kemampuan kewangan kerajaan. Beliau yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, pengurusan kewangan dan tata kelola yang baik amat penting bagi memastikan setiap peruntukan digunakan secara berhemah dan menepati keutamaan pembangunan negeri. Katanya, antara yang masih menjadi keutamaan di Sabah ialah penyediaan peruntukan untuk menangani masalah infrastruktur asas, khususnya bekalan air, elektrik dan jaringan jalan raya. “Dalam menyediakan Belanjawan 2027, kita perlu memastikan anggaran perbelanjaan bersesuaian dengan hasil negeri. Pengurusan kewangan yang baik amat penting supaya setiap peruntukan dapat dimanfaatkan mengikut keutamaan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Deepavali di Magellan Sutera Resort, di sini, pada Ahad. Masidi berkata, penyelesaian isu bekalan air memerlukan perancangan jangka panjang dan pelaksanaan secara berperingkat, dengan beberapa projek dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga tahun untuk disiapkan. “Masalah bekalan air bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dalam tempoh singkat. Kita perlu melihatnya dalam jangka masa panjang kerana pelaksanaan projek berkaitan mungkin mengambil masa antara dua hingga tiga tahun,” katanya. Dalam perkembangan lain, Masidi berkata baki peruntukan tambahan sebanyak RM900 juta daripada Kerajaan Persekutuan dijangka meningkatkan jumlah keseluruhan peruntukan yang berpotensi diterima Sabah kepada hampir RM8 bilion, tahun ini. Bagaimanapun, beliau berkata peruntukan tambahan berkenaan masih dalam proses memenuhi prasyarat serta syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan. Katanya, Kerajaan Negeri kini menunggu penyaluran peruntukan tersebut dan berharap ia dapat diterima menjelang penghujung tahun ini. “Peruntukan tambahan itu akan dimanfaatkan bagi membiayai pembangunan negeri demi meningkatkan kesejahteraan dan memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya. – Info X
November 8, 2026
Info X Reporters
EMGS sasar tarik lebih ramai pelajar Korea ikuti pengajian tinggi di Malaysia
Seoul: Education Malaysia Global Services (EMGS) terus mempergiat usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pendidikan tinggi antarabangsa menerusi penyertaan dalam Malaysia Fair in Seoul (MFIS) 2026. Pengerusi EMGS, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie berkata penyertaan berkenaan merupakan kesinambungan usaha agensi berkenaan memperluas promosi pendidikan tinggi Malaysia di pasaran Asia Timur selepas turut mengambil bahagian dalam Malaysia Fair di Tokyo. Beliau berkata Asia Timur merupakan antara pasaran penting bagi EMGS dalam usaha menarik lebih ramai pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian di Malaysia selaras sasaran negara untuk menerima 500,000 pelajar antarabangsa menjelang 2035. “Sasaran itu merupakan antara tujuh teras dalam Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia yang memberi penekanan kepada usaha memperkukuh pengantarabangsaan sektor pendidikan tinggi negara. “Melalui penyertaan ini, kita membawa pendidikan tinggi Malaysia ke luar negara untuk memperkenalkan peluang pengajian kepada lebih ramai pelajar antarabangsa, khususnya dari Korea Selatan. “Kita akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan termasuk perwakilan negara di luar negara dan Tourism Malaysia bagi mempromosikan pendidikan tinggi serta pelancongan pendidikan (Edu Tourism) Malaysia,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Malaysia Fair in Seoul (MFIS) 2026 yang berlangsung di Dongdaemun Design Plaza (DDP) pada Ahad. MFIS 2026 dirasmikan Duta Besar Malaysia ke Republik Korea, Datuk Mohd Zamruni Khalid. Turut hadir Presiden Persatuan Kebudayaan Korea, Samuel Chung. Dalam pada itu, Ahmad Shalimin menyatakan EMGS turut membawa beberapa universiti serta pusat Bahasa Inggeris, termasuk institusi pendidikan awam dan swasta bagi memberi pendedahan kepada pengunjung mengenai pilihan pengajian yang ditawarkan di Malaysia. Mengulas sambutan pengunjung, beliau berkata hari pertama penganjuran menunjukkan perkembangan positif dengan kehadiran ramai pengunjung yang berminat mendapatkan maklumat menerusi ekspo berkenaan. Ujarnga penyertaan EMGS bukan hanya tertumpu kepada jumlah pengunjung sepanjang dua hari penganjuran sebaliknya lebih kepada meningkatkan kesedaran masyarakat Korea Selatan mengenai Malaysia sebagai destinasi pendidikan tinggi. Beliau berkata, Malaysia kini turut berada dalam kelompok 14 negara utama dunia dalam sektor pendidikan tinggi. Dalam pada itu, beliau menjelaskan peranan EMGS bukan sekadar mempromosikan institusi pengajian tinggi (IPT) Malaysia malah turut mengurus pemprosesan kemasukan serta kebajikan pelajar antarabangsa bagi memastikan mereka mendapat pengalaman pembelajaran yang baik sepanjang berada di negara ini. Tambahnya, EMGS merupakan agensi pelaksana di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang bertanggungjawab melaksanakan agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara. “Harapan kita adalah untuk terus bekerjasama dengan semua agensi kerajaan dan sektor swasta dalam mengangkat martabat pendidikan tinggi Malaysia serta menjadikan negara ini hab pendidikan tinggi terbaik di Asia,” katanya. – Info X
November 8, 2026
Info X Reporters
Media rakan strategik AADK ubah persepsi masyarakat terhadap pemulihan dadah
KOTA KINABALU: Media memainkan peranan penting dalam mengubah stigma negatif masyarakat terhadap penagih dadah, sekali gus menggalakkan golongan terbabit tampil secara sukarela mendapatkan rawatan dan pemulihan. Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Zainudin Abdullah berkata, media bukan sekadar penyampai maklumat, sebaliknya rakan strategik dalam membentuk persepsi positif masyarakat terhadap usaha menangani penyalahgunaan dadah. Katanya, kuasa pena, lensa kamera dan papan kekunci pengamal media mampu menjadi antara medium paling berkesan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan rawatan dan pemulihan dadah. “Media bukan sekadar melaporkan berita tangkapan berkaitan dadah, tetapi turut berperanan mengubah stigma negatif terhadap penagih kepada pendekatan lebih berperikemanusiaan. “Kita mahu individu terbabit dalam penyalahgunaan dadah tampil secara sukarela mendapatkan rawatan dan pemulihan di premis disediakan AADK,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hi-Tea SKUAD Antidadah Negeri Sabah Bersama Media di Hotel Hilton, di sini, hari ini. Zainudin berkata, kerjasama media juga penting sebagai jambatan dalam menyampaikan khidmat nasihat, pendidikan dan mesej antidadah kepada masyarakat. Menurutnya, isu penyalahgunaan dadah semakin membimbangkan apabila majoriti individu terbabit terdiri daripada golongan usia produktif yang sepatutnya menjadi penyumbang kepada pembangunan negara. “Apa yang lebih membimbangkan, terdapat kanak-kanak seawal usia 10 tahun sudah terdedah kepada dadah dan bahan terlarang. “Usaha pencegahan tidak boleh menunggu sehingga mereka dewasa, sebaliknya perlu bermula lebih awal menerusi pendidikan, kesedaran serta penglibatan keluarga dan komuniti,” katanya. Beliau berharap kerjasama erat AADK bersama pengamal media dapat memperluaskan penyampaian mesej antidadah, selain menggalakkan masyarakat melihat rawatan dan pemulihan sebagai peluang untuk membina kehidupan baharu. – Info X