July 7, 2026
Info X Reporters
Hospital Likas lakar sejarah pisahkan bayi kembar Siam dari pedalaman Sabah
KOTA KINABALU: Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) atau Hospital Likas, di sini, melakar pencapaian bersejarah apabila berjaya melaksanakan pembedahan pemisahan kembar Siam, prosedur membabitkan kembar Siam yang julung kali dilaksanakan di Sabah. Menerusi satu kenyataan, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), berkata prosedur itu ialah Pembedahan Pemisahan Kembar Siam Pygopagus (Pygopagus Conjoined Twins) yang dilaksanakan di Dewan Bedah Utama HWKKS pada 2 Julai lalu. Katanya, kembar siam Pygopagus merujuk kepada percantuman di bahagian tulang punggung ‘sacrum, neural tube’, bahagian bawah saluran pencernaan dan alat kelamin. JKNS menyebut, pembedahan itu dilaksanakan terhadap pasangan kembar dari kawasan pedalaman Sabah, iaitu bayi perempuan pra-matang 32 minggu yang mana seorang daripadanya mengalami masalah jantung dan kegagalan buah pinggang. “Justeru, pembedahan pemisahan perlu dilakukan seawal umur 28 hari berbeza dengan pembedahan pemisahan yang biasanya dilakukan pada usia empat hingga enam bulan. “Pembedahan ini dijayakan dengan kolaborasi pelbagai disiplin kepakaran termasuk pakar dari Semenanjung yang terdiri daripada pasukan Neonatologi, Anestesiologi, Pembedahan Pediatrik, Pembedahan Otak & Saraf Tulang Belakang, Neurosurgeri, Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif, Radiologi serta pasukan jururawat dan staf sokongan klinikal yang lain. “Pasangan bayi kembar Siam ini telah berjaya dipisahkan dan kedua-duanya berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani pemantauan di unit rawatan rapi neonatal (NICU) HWKKS,” katanya. JKNS berkata, kejayaan pembedahan itu mencerminkan dedikasi dan komitmen warga kerja HWKKS dalam menyediakan rawatan terbaik kepada pesakit kanak-kanak yang mengalami ‘Complex congenital anomalies’. “Dengan adanya perluasan kepakaran khusus sebegini di negeri Sabah, kanak-kanak yang menghidap penyakit anomali kongenital kompleks dapat menerima akses rawatan dengan lebih cepat di samping mengurangkan beban emosi, kewangan dan logistik yang perlu ditanggung oleh keluarga,” katanya.- Info X
July 6, 2026
Info X Reporters
Lelaki bunuh isteri dipenjara 35 tahun, 15 sebatan
KOTA KINABALU: Seorang lelaki tanpa dokumen dihukum penjara 35 tahun dan 15 sebatan selepas mengaku bersalah membunuh isterinya, tiga tahun lalu. Tertuduh, Arip Muktar, 31, membuat pengakuan itu ketika prosiding di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, di hadapan Hakim Datuk Celestina Stuel Galid pada Isnin. Berdasarkan kertas pertuduhan, Arip didakwa membunuh Belnita Abdul Saleh di kuartes pekerja sebuah restoran di Jalan Pantai, di sini, antara jam 5 pagi hingga 8.30 pagi, 18 April 2023. Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 tahun hingga 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan. Hakim memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikhnya ditangkap iaitu pada 18 April 2023. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dana Arabi Wazani, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Al Hafidz Mohd Lokman. Pada 18 April 2023, tertuduh bersama mangsa ditemui terbaring di bilik kuarters restoran dalam keadaan berlumuran darah selepas diperiksa seorang pekerja sebelum dimaklumkan kepada polis. Di lokasi kejadian, mangsa disahkan sudah tidak bernyawa, manakala tertuduh masih bernyawa dengan kecederaan kelihatan di leher oleh pasukan perubatan. Sebelum penemuan itu, tertuduh dipercayai bergaduh dengan mangsa berdasarkan bunyi jeritan dari bilik mereka didengar pekerja lain yang tinggal di bilik bersebelahan. – Info X
July 6, 2026
Info X Reporters
95 taska dikesan beroperasi secara tidak sah
KOTA KINABALU: Sebanyak 95 taska tidak berdaftar dikesan beroperasi secara tidak sah di Sabah. Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata sebahagiannya masih dalam proses permohonan dan menunggu kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT). Berikutan itu, beliau menyeru ibu bapa agar mengutamakan taska berdaftar bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan anak-anak. Beliau turut menegaskan keperluan mendesak untuk menambah kapasiti penjagaan kanak-kanak di Sabah. “Risiko penderaan kanak-kanak perlu ditangani secara menyeluruh kerana ia boleh berlaku di mana-mana, termasuk di rumah, namun taska berdaftar menawarkan lapisan perlindungan yang lebih baik melalui pemantauan dan penguatkuasaan pihak berkuasa. “Penyelesaian perlu dicari untuk mengenal pasti punca berlakunya penderaan dan langkah pencegahan perlu terus diperkukuhkan. “Pada masa sama, ibu bapa perlu sedar bahawa menghantar anak ke taska tidak berdaftar mendedahkan mereka kepada risiko yang lebih besar kerana tiada pemantauan berkala dijalankan,” katanya. Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Sambutan Hari Taska Peringkat Negeri Sabah di 1Borneo Hypermall, di sini, pada Ahad. Turut hadir Presiden Persatuan Perkhidmatan Taska Sabah (PPTS), Ivy Benjamin Botingon. Julita berkata, penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) di taska berdaftar kini menjadi antara elemen penting dalam memastikan keselamatan kanak-kanak sentiasa terpelihara. Menurutnya, pemasangan CCTV menjadi syarat wajib bagi pendaftaran taska dan semua taska berdaftar perlu mematuhi keperluan itu. Pada masa sama, Julita berkata Sabah berdepan cabaran kekurangan kemudahan penjagaan awal kanak-kanak berikutan hanya sekitar 230 taska berdaftar beroperasi di seluruh negeri ketika ini. Beliau berkata berdasarkan unjuran penduduk, jumlah kanak-kanak berumur 0 hingga 4 tahun di Sabah dijangka mencecah 445,000 orang menjelang 2030, yang memerlukan kira-kira 110,000 tempat di taska bagi memenuhi permintaan. “Pelaburan dalam pembangunan awal kanak-kanak bukan sahaja penting untuk kesejahteraan keluarga, malah menjadi pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan dan masa depan Sabah,” katanya. – Info X
July 6, 2026
Info X Reporters
UPKO kemuka cadangan kajian semula persempadanan pilihan raya
KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan mengemukakan cadangan berhubung kajian semula persempadanan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. Presidennya, Datuk Ewon Benedick, berkata setakat ini pihaknya menerima beberapa cadangan supaya kajian semula persempadanan dilakukan, antaranya membabitkan kawasan Kota Belud, Penampang dan Sepanggar. “Di Kota Belud, resolusi UPKO adalah meminta supaya kerusi Parlimen Kota Belud dipecahkan kepada dua kerana kita sudah mempunyai empat kerusi DUN di situ. “Begitu juga di Parlimen Penampang, UPKO mencadangkan supaya kajian semula persempadanan pilihan raya dibuat bagi menambah satu lagi kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN. “Bagi kawasan Parlimen Tuaran, saya berharap UPKO Tuaran dapat mengemukakan cadangan sama ada kawasan itu mahu dikekalkan seperti sekarang atau perlu dikaji semula. Saya serahkan perkara ini kepada UPKO Tuaran,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Bahagian Tuaran di Dewan Tun Hamdan, Tamparuli, di sini, pada Ahad. Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, Kabinet Negeri sebelum ini telah membincangkan keperluan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya bagi Parlimen dan DUN di negeri ini. “Semua parti telah diminta mengemukakan cadangan kepada Ketua Menteri. Saya percaya parti-parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga sedang meneliti perkara ini di peringkat parti,” katanya. Beliau berkata, kajian semula persempadanan itu juga pernah dibincangkan sebelum ini, termasuk dalam Majlis Tindakan Khas Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), apabila Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri membentangkan kertas mengenainya. Bagi Sabah, kali terakhir bilangan kerusi Parlimen ditambah ialah menerusi kajian semula persempadanan 2002–2003 yang berkuat kuasa untuk PRU 2004. – Info X
July 6, 2026
Info X Reporters
Lelaki maut kemalangan, motosikal terbakar
PUTATAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbakar dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta di Jalan Putatan menghala ke Lokawi, awal pagi tadi. Mangsa berusia 47 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Musran Jabri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.04 pagi. Menurutnya, lima anggota bersama sebuah jentera kemudian digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai. “Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah motosikal terbakar 100 peratus selepas dipercayai dilanggar sebuah Perodua Viva. “Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu mula dari jentera sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Katanya, pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan menyeluruh di sekitar lokasi bagi memastikan tiada lagi risiko bahaya atau punca kebakaran yang boleh mengancam keselamatan. “Selepas keadaan disahkan selamat, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.48 pagi,” katanya. – Info X
July 5, 2026
Info X Reporters
Sindiket edar dadah guna kurier terbongkar
SANDAKAN: Taktik sindiket pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan kurier untuk menghantar bekalan ke Sabah terbongkar apabila Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah menahan empat individu dalam tiga serbuan berasingan di daerah ini dengan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM233,000. Operasi itu dilancarkan hasil kerjasama JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA). Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, serbuan pertama pada 29 Jun lalu berjaya menahan seorang wanita tempatan berusia 57 tahun selepas siasatan terhadap satu bungkusan Pos Laju yang disyaki mengandungi dadah. Katanya, pemeriksaan menemui 207.44 gram pelet dipercayai ganja sebelum serbuan susulan di sebuah rumah di Taman Rimba membawa kepada penemuan 60 liter cecair hitam dipercayai mengandungi ganja bersama pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses bahan berkenaan. “Nilai keseluruhan rampasan dalam kes itu dianggarkan RM16,595.20,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, operasi kedua pada 2 Julai lalu pula membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang dipercayai mengambil sebuah bungkusan mengandungi 615.4 gram ketamin yang disorok di dalam sebuah kotak pencetak. “Serbuan susulan di rumah suspek membawa kepada penahanan isterinya berusia 29 tahun serta rampasan tambahan membabitkan ketamin, serbuk jus berperisa disyaki dadah, pil ekstasi dan Eramin 5 bernilai RM137,584.33. “Polis turut menyita sebuah Ford Ranger, Honda Civic, barang kemas, wang tunai RM12,300 dan beberapa barangan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan itu,” katanya. Menurutnya, dalam operasi berasingan pada hari sama, seorang lelaki warga Filipina berusia 37 tahun turut ditahan selepas dipercayai bertindak sebagai penghantar atau runner bagi sindiket. Katanya, pemeriksaan menemui 394.50 gram ketamin yang disembunyikan di dalam sepasang kasut dengan anggaran nilai RM78,900. “Kesemua suspek didapati negatif dadah hasil ujian saringan awal dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau. “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Info X
July 5, 2026
Info X Reporters
Mayat lelaki tanpa identiti ditemui terapung di jeti ikan
KUDAT: Mayat seorang lelaki dewasa yang masih belum dikenal pasti identitinya ditemukan terapung di kawasan Jeti Ikan Angkasa Baru, di sini, pagi tadi. Ketua Polis Daerah Kudat berkata, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 10.50 pagi berhubung penemuan mayat berkenaan. Susulan itu katanya, sepasukan anggota dan pegawai dikerah bergegas ke lokasi bagi menjalankan siasatan. “Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati mayat seorang lelaki dewasa yang dianggarkan berusia 30-an ditemui terapung di permukaan laut berhampiran sebuah kapal nelayan yang berlabuh di hadapan jeti berkenaan. “Mayat berjaya dibawa keluar dari laut kira-kira jam 11 pagi dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Pasukan Polis Marin (PPM),” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang turut hadir membantu di lokasi. Katanya, mangsa berpakaian baju-T berlengan pendek berwarna hitam dan seluar pendek berwarna hitam. Haris berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kudat untuk proses bedah siasat dan tindakan lanjut bagi mengenal pasti identiti serta punca kematian. “Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan identiti mangsa atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kudat atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X
July 4, 2026
Info X Reporters
Empat pelajar dibelasah ketika jalan ke masjid di Tawau
TAWAU: Empat pelajar dibelasah sekumpulan pelajar sekolah ketika berjalan menuju ke Masjid Merotai Besar untuk menunaikan solat Jumaat dalam kejadian di Jalan Sri Delima, Merotai Besar, di sini, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, seorang daripada mangsa dipukul terlebih dahulu sebelum tiga rakannya turut menjadi sasaran kumpulan terbabit. Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.09 malam sebelum Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan siasatan. Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama tiga rakannya berjalan melalui jalan pintas menuju ke Masjid Merotai Besar apabila didatangi sekumpulan pelajar sekolah yang dikenali mangsa. “Suspek dikatakan bertanyakan mengenai keberadaan dua individu sebelum seorang daripada mereka bertindak memukul mangsa. “Beberapa pelajar lain kemudian turut menyerang mangsa secara beramai-ramai, manakala tiga rakan mangsa turut dipukul dalam kejadian sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, mangsa mengalami kesakitan pada bahagian muka, kepala, dada dan rusuk sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Tawau. Beliau berkata, polis sedang mengesan semua individu yang terbabit, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. “Polis memandang serius sebarang bentuk keganasan atau perbuatan samseng, khususnya yang membabitkan pelajar sekolah. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Chong Fung Mee di talian 013-8840113 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X