June 30, 2026
Info X Reporters
KESUMA diminta gariskan perancangan tangani isu pengangguran di Sabah
KOTA KINABALU: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) diminta menggariskan perancangan ke arah mengurangkan kadar pengangguran di Sabah. Menyatakan perkara itu, Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, berkata dalam usaha itu kerajaan negeri melaksanakan pelbagai langkah bagi mendepani isu pengangguran. Katanya, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah sedang giat menjalankan program padanan kerja dan jelajah pendidikan perburuhan di seluruh negeri. “Ini kerana cabaran utama sekarang adalah jurang antara kemahiran pencari kerja (khususnya belia dan graduan) dengan kehendak industri digital serta industri bernilai tinggi yang sedang berkembang di Sabah,” katanya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) pada Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur pada Selasa. Matbali berkata berdasarkan laporan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang diterbitkan pada Mei/Jun 2026, pasaran buruh di Sabah menunjukkan trend pemulihan yang positif. Katanya, kadar pengangguran di Sabah bagi Suku Tahun Pertama 2026 turun kepada 5.5 peratus berbanding 6.0 peratus pada Suku Keempat 2025. “Meskipun kadar ini masih dikira tinggi jika dibandingkan dengan kadar purata nasional (sekitar 2.9 peratus), namun ia adalah penurunan yang agak ketara bagi negeri Sabah dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. “Misalnya pada tahun 2021 pasca pandemik, kadarnya berada di paras 8.2 peratus, kemudian turun kepada 7.6 peratus pada 2024. “Pada suku keempat 2025, ia mencatat enam peratus dan pada suku pertama tahun ini turun lagi kepada 5.5 peratus,” katanya. Dalam pada itu, beliau menyokong penuh RUU Sistem SIP kerana ia menjadi payung tempat berteduh bagi pekerja yang hilang pekerjaan. Katanya, SIP yang diperkenalkan melalui PERKESO membuktikan bahawa kerajaan tidak membiarkan pekerja yang kehilangan pekerjaan. Beliau percaya rang undang-undang itu dapat memperkukuh jaringan keselamatan sosial di negara ini. – Info X
June 30, 2026
Info X Reporters
Aplikasi Sabah Smart Parking alami gangguan, tiada kompaun parking dikeluarkan – DBKK Holdings
KOTA KINABALU: DBKK Holdings Sdn Bhd yang menguruskan parking Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) tampil memberi penjelasan berhubung kegagalan fungsi aplikasi Sabah Smart Parking (SSP) pada Selasa. Menerusi satu kenyataan dimuat naik di Facebook SSP, DBKK Holdings menjelaskan aplikasi bayaran letak kereta itu mengalami gangguan operasi sementara. “Sila ambil maklum bahawa aplikasi Sabah Smart Parking (SSP) pada masa ini mengalami gangguan operasi sementara. Sepanjang tempoh ini, beberapa fungsi utama aplikasi tidak dapat diakses atau mengalami gangguan log masuk. “Ia termasuk pembayaran caj letak kereta digital, semakan dan pembayaran kompaun, pembelian Pas Parkir Bulanan atau Tambah nilai kredit (Top-up), akses perkhidmatan modul iBERSIH dan lain-lain,” katanya. Berikutan gangguan itu, katanya tindakan penguatkuasaan pengeluaran kompaun tidak akan dilaksanakan sepanjang tempoh berkenaan. “Pihak kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi oleh pihak tuan/puan. Segala usaha sedang dijalankan bagi memastikan aplikasi dapat beroperasi semula dengan kadar segera,” katanya. Sebarang pertanyaan lanjut, katanya boleh menghubungi talian 088-270 181 / 270 182 atau HP: 012-7690181 (Pejabat Pengurusan Tempat Letak Kereta DBKK Holdings Tingkat 1, KK Plaza Shopping Complex, Kota Kinabalu). – Info X
June 30, 2026
Info X Reporters
Sabah Smart Parking digodam?
KOTA KINABALU: Beberapa pemilik kenderaan tidak dapat membayar parking menggunakan aplikasi Sabah Smart Parking ketika melakukan urusan bayaran di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini pada pagi Selasa. Lebih menghairankan, tertera mesej ‘janggal’ di aplikasi untuk membayar parking untuk kawasan letak kereta dikendalikan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) itu apabila ia dibuka. Antaranya mesej ‘hacked by manusia spiritual’ dan ‘hacked manusia spritual’ di ruangan yang biasanya untuk info pengguna aplikasi berkenaan. Situasi itu membimbangkan pengguna berikutan kemungkinan aplikasi yang dipercayai digodam itu boleh menjejaskan maklumat penting dalam telefon pintar mereka, terutama berkaitan perbankan dan maklumat peribadi lain. Mereka meminta DBKK atau penyedia aplikasi supaya memberi penjelasan berhubung situasi itu kerana ia membabitkan aspek keselamatan siber dan data pengguna. – Info X
June 29, 2026
Info X Reporters
Lebih 130,000 pengguna terbabit catuan elektrik – Sabah Electricity
KOTA KINABALU: Kira-kira 74,000 pengguna Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) terbabit dalam catuan bekalan elektrik bagi sesi pertama yang dilaksanakan bermula jam 1 tengah hari hingga 4 petang, pada Isnin. Menerusi satu kenyataan, Sabah Electricity memaklumkan kira-kira 62,000 pengguna lagi akan terbabit dalam catuan bekalan fasa kedua yang bermula jam 6.30 petang hingga 8 malam. Katanya, pelaksanaan catuan dibuat secara penggiliran pada waktu puncak antara dua hingga tiga jam bagi meminimumkan impak kepada pengguna. “Pengguna boleh menyemak senarai kawasan yang terlibat melalui Facebook Sabah Electricity Careline,” katanya. Sabah Electricity berkata, catuan bekalan elektrik dilaksanakan di beberapa kawasan susulan kekurangan kapasiti penjanaan disebabkan masalah penyaluran gas dari PETRONAS. Jelasnya, PETRONAS sudah memulihkan sepenuhnya bekalan gas luar pesisir, namun catuan bekalan elektrik masih dilaksanakan kerana salah satu daripada stesen janakuasa Penjana Kuasa Bebas (IPP) belum dapat beroperasi sepenuhnya. “Sabah Electricity sedang memantau keadaan sistem secara berterusan dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi Facebook Sabah Electricity Careline. “Pengguna juga boleh menghubungi Sabah Electricity Careline di talian 15444 untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut. “Sabah Electricity memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan amat menghargai kesabaran serta kerjasama semua pengguna sepanjang tempoh ini,” katanya. – Info X
June 29, 2026
Info X Reporters
Lobi HQE jadi ‘tempat tidur’, langkah tambah baik kemudahan hospital akan diambil – JKNS
KOTA KINABALU: Hospital Queen Elizabeth (HQE) akan memperkukuh pemantauan di kawasan lobi, laluan awam dan ruang menunggu pada waktu malam sebagai langkah penambahbaikan di hospital itu. Menerusi satu kenyataan dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) pada Isnin, HQE juga akan menyelaras semula maklumat berkaitan operasi kantin dan meningkatkan komunikasi kepada pesakit serta waris berhubung proses menunggu dan keutamaan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) HQE. “JKNS dan HQE komited untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang selamat, berhemah dan berterusan kepada semua pesakit, di samping menambah baik kemudahan serta pengalaman orang awam dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu. Kenyataan itu menyusul sebagai maklum balas terhadap satu hantaran di Facebook mengenai keadaan di hospital itu pada tengah malam dan awal pagi yang antara lain memaparkan ramai orang tidur di kerusi menunggu di kawasan lobi dan koridor HQE. Hantaran itu turut menyatakan situasi di ETD yang ramai pesakit menunggu giliran mendapatkan rawatan, manakala kantin dilaporkan tutup pada 12 tengah malam, selain masalah letak kereta. JKNS dalam kenyataannya, berkata pesakit di ETD dirawat berdasarkan tahap kecemasan melalui sistem triage, dan bukan semata-mata mengikut nombor giliran. “Kes yang lebih kritikal akan diberi keutamaan segera. Pada malam berkenaan, perkhidmatan ETD berjalan seperti biasa dengan kehadiran pesakit berterusan. “Bagi Zon Hijau (Green Zone), seramai 42 pesakit direkodkan antara jam 9:00 malam hingga 10:00 pagi, dengan dua orang pegawai perubatan bertugas di zon tersebut,” katanya. Berhubung gambar yang memaparkan orang awam berehat atau tidur di ruang lobi dan laluan hospital pada waktu malam, JKNS menjelaskan semakan mendapati mereka bukan pesakit yang sedang menunggu giliran rawatan atau temu janji di ETD. Katanya, kebanyakan mereka adalah waris, penjaga atau pengunjung yang datang dari luar daerah dan kawasan pedalaman serta mempunyai kekangan untuk mendapatkan penginapan sementara di luar hospital. “HQE mempunyai balai pelawat. Walaubagaimanapun ianya masih tidak mencukupi untuk waris yang ramai. “Pihak hospital memahami keadaan dan kesulitan yang dihadapi oleh waris pesakit, khususnya mereka yang datang dari jauh. “HQE akan terus memantau penggunaan ruang awam seperti lobi dan laluan utama bagi memastikan aspek keselamatan, kebersihan, keselesaan serta kelancaran pergerakan pesakit, waris dan petugas hospital sentiasa terpelihara,” katanya. Mengenai operasi kantin hospital, JKNS menjelaskan Kantin HQE beroperasi 24 jam setiap hari, kecuali penutupan sementara pada setiap Sabtu bermula jam 12 tengah malam hingga 5 pagi bagi tujuan kerja-kerja pembersihan secara berjadual. Bagi isu letak kereta, katanya kemudahan parkir di kawasan HQE boleh menjadi terhad pada masa tertentu, khususnya apabila jumlah pesakit, waris dan pengunjung adalah tinggi. “Pihak hospital akan terus memantau aliran trafik dan pengurusan parkir dengan kerjasama petugas keselamatan bagi mengurangkan kesesakan setakat kemampuan fasiliti sedia ada,” katanya. – Info X
June 29, 2026
Info X Reporters
Kanak-kanak maut dipercayai dibaham buaya
LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai dibaham buaya ketika berada di sungai di Jalan Dent Heaven, Kampung Tagupi, di sini, hari ini. Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa dipercayai disambar reptilia berkenaan sebelum ditarik ke dasar sungai. Mayat mangsa kemudian berjaya ditemukan semula oleh ahli keluarga dan orang awam kira-kira jam 2 petang. Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, siasatan lanjut mendapati terdapat saksi awam yang juga jiran mangsa melihat sendiri kejadian mangsa ditarik buaya ke dalam sungai. Pemeriksaan ke atas mayat mangsa mendapati terdapat kesan gigitan buaya pada bahagian belakang badan dan kaki mangsa. “Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 12.06 tengah hari sebelum menggerakkan sepasukan empat anggota bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 140 kilometer dari balai. Beliau berkata, bagaimanapun ketika pasukan bomba dalam perjalanan ke lokasi, mangsa sudah berjaya ditemukan oleh pihak polis bersama penduduk kampung sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan. – Info X
June 29, 2026
Info X Reporters
Lelaki hilang dipercayai dibaham buaya di Sungai Tagupi
LAHAD DATU: Seorang lelaki dikhuatiri dibaham buaya selepas dilaporkan hilang dalam kejadian di Sungai Tagupi Darat, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa yang belum dikenalpasti identitinya dilaporkan masih hilang dan usaha mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.06 tengah hari. Katanya, maklumat awal, pemanggil yang juga bapa mangsa memaklumkan anaknya dipercayai diserang dan dibaham buaya ketika berada di kawasan sungai berkenaan. “Susulan laporan yang diterima, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 140 kilometer. “Pasukan operasi sudah menjalankan siasatan di lokasi bagi mendapatkan maklumat lanjut serta menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, semalam. Menurutnya, operasi SAR sedang dijalankan dengan kerjasama agensi berkaitan bagi mengesan mangsa yang dilaporkan hilang. “Setakat ini, identiti mangsa dan maklumat lanjut mengenai kejadian masih dalam siasatan. “Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengelakkan aktiviti di kawasan sungai yang dikenal pasti sebagai habitat buaya, khususnya di kawasan berisiko tinggi. “Perkembangan lanjut mengenai operasi dan status mangsa akan dikemas kini dari semasa ke semasa oleh pihak berkuasa,” katanya. – Info X
June 29, 2026
Info X Reporters
Sabah berdepan cabaran kekurangan bekalan darah
KOTA KINABALU: Sabah kekurangan kira-kira 25,000 unit darah bagi menampung keperluan darah di semua hospital dan pusat rawatan seluruh negeri setiap tahun. Data itu dikongsikan Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim ketika menyempurnakan Kempen Derma Darah Peringkat Hospital Queen Elizabeth II, di sini, pada Isnin. Katanya, secara keseluruhan Sabah memerlukan lebih 100,000 unit darah setahun, namun hanya kira-kira 70,000 unit darah dapat disediakan. “Berdasarkan rekod semasa, Sabah masih berdepan cabaran kekurangan bekalan darah. Kita memerlukan lebih 100,000 unit darah setiap tahun bagi menampung keperluan hospital dan pusat rawatan di seluruh negeri. “Namun, jumlah simpanan dan kutipan yang ada ketika ini hanyalah sekitar 70,000 unit sahaja. Ini bermakna Sabah masih berdepan kekurangan hampir 25,000 unit darah setiap tahun,” katanya. Katanya, setiap titisan darah yang didermakan mampu memberi harapan baharu dan menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan, termasuk mangsa kemalangan, pesakit kanser, ibu bersalin dan pesakit yang menjalani rawatan berterusan. “Kita menyeru lebih ramai tampil menjadi penderma darah dan menjadikan amalan menderma darah sebagai sebahagian daripada budaya masyarakat penyayang dan prihatin. “Terima kasih kepada pihak Hospital Queen Elizabeth II, petugas kesihatan, pertubuhan bukan kerajaan, sukarelawan serta semua penderma yang terus komited membantu memastikan bekalan darah di negeri ini sentiasa mencukupi,” katanya. – Info X