June 29, 2026
Info X Reporters
Ops Tiris 4.0: Lelaki didenda RM10,000 berurus niaga diesel tanpa lesen sah
KOTA KINABALU: Seorang lelaki didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah berurus niaga dengan minyak diesel tanpa lesen yang sah ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada 25 Jun lalu. Tertuduh, Abdul Salam Ismail, 36, berdepan pertuduhan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122]. Abdul Salam mengaku bersalah di hadapan Hakim Hurman Hussain selepas pertuduhan itu dibacakan terhadapnya. Berdasarkan fakta kes, pada 19 April 2026, hasil maklumat risikan, sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menjalankan pemeriksaan di kawasan parkir Jalan Tugu, Kota Kinabalu. Hasil pemeriksaan menemukan 186 liter minyak diesel dalam sebuah tangki IBC berkapasiti 1,000 liter yang diletakkan di bahagian belakang sebuah kenderaan Toyota Hilux Rocco. Siasatan lanjut mendapati tertuduh tidak memiliki lesen yang sah bagi menjalankan urus niaga barang kawalan berjadual itu. Mahkamah turut memerintahkan hasil jualan barang kawalan iaitu minyak diesel berjumlah RM774.09 dijadikan hasil Kerajaan Malaysia. Selain itu, kesemua barang yang disita dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia, kecuali kenderaan yang diperintahkan untuk dikembalikan kepada pemilik berdaftar. Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] memperuntukkan hukuman denda terhadap individu sehingga RM1,000,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan PmPTK Malai Rosidi Malai Muhamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, Shahril Nizam Shahidin, dalam kenyataannya berkata operasi penguatkuasaan melalui Ops Tiris 4.0 Bersepadu akan terus ditingkatkan bagi membanteras penyelewengan barang kawalan dan memastikan subsidi kerajaan sampai kepada golongan yang benar-benar layak. “KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk menyalahguna barang kawalan sehingga menjejaskan kepentingan rakyat dan menyebabkan ketirisan hasil negara. “Selain hukuman denda dan penjara, tindakan lucut hak terhadap barang sitaan termasuk kenderaan boleh dikenakan oleh mahkamah sebagai langkah tegas bagi membendung aktiviti penyelewengan ini,” katanya. Katanya, orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan melalui saluran rasmi KPDN iaitu WhatsApp Aduan KPDN: 019-848 8000; Portal e-Aduan KPDN: http://eaduan.kpdn.gov.my; Call Centre: 1-800-886-800 atau Aplikasi Ez ADU KPDN. – Info X
June 29, 2026
Info X Reporters
Dr Joachim terima sokongan terajui PBS
TAMPARULI: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam menerima sokongan untuk dipilih sebagai presiden baharu parti itu pada pemilihan PBS kali ini yang dijangka diadakan pada September depan. Sokongan itu disuarakan Ketua Bahagian PBS Tamparuli yang baharu, Dr Bonaventure Boniface selepas selesai pemilihan sempena Mesyuarat Agung Tahunan PBS peringkat bahagian itu, di sini, pada Ahad. Beliau mengemukakan usul supaya tiada pertandingan bagi jawatan tertinggi parti pada Kongres PBS akan datang dan mencadangkan Dr Joachim sebagai Presiden PBS bagi sesi 2026–2029. “Ini demi memastikan kesinambungan kepimpinan yang stabil, memperkukuhkan perpaduan parti dan memperkasa kedudukan PBS dalam kerajaan negeri dan landskap politik Sabah,” katanya. Ketika ini, Dr Joachim yang juga Timbalan Presiden PBS memangku jawatan presiden parti itu sejak Jun 2024 selepas presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili membuat keputusan menyerahkan tugas presiden kepada timbalannya berikutan masalah kesihatan. Sementara itu, pada pemilihan PBS Tamparuli, Bonaventure memenangi jawatan Ketua Bahagian selepas menewaskan bekas Timbalan Ketua Bahagian, Madin Anak dalam pertandingan satu lawan satu. Dalam ucapannya, Bonaventure yang juga bekas calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi DUN Tamparuli pada PRN17, menyifatkan kemenangan beliau sebagai kemenangan seluruh keluarga besar PBS Tamparuli. Beliau turut menyatakan penghargaan kepada bekas Ketua Bahagian PBS Tamparuli, Datuk Jahid Jahim, yang menerajui bahagian itu selama enam penggal. Katanya, jasa dan pengorbanan Jahid dalam membangun dan memperkukuhkan organisasi parti di Tamparuli adalah satu legasi yang amat besar dan perlu terus dihargai oleh seluruh ahli PBS bahagian itu. “Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Seri Jahid Jahim atas kepimpinan, jasa dan pengorbanan beliau selama enam penggal menerajui Bahagian Tamparuli. “Beliaulah yang telah meletakkan asas yang kukuh untuk kita terus melangkah ke hadapan,” katanya. Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Jahid dilantik sebagai Penasihat PBS Bahagian Tamparuli bagi terus memanfaatkan pengalaman, kebijaksanaan dan pandangan beliau dalam membimbing kepimpinan baharu demi kesinambungan perjuangan parti. Pemilihan PBS Tamparuli turut menyaksikan penyandang Ketua Pemuda PBS Tamparuli, Rizkam Wenddy Yabin, berjaya mempertahankan jawatannya selepas menewaskan pencabar tunggalnya, George Bagang, manakala Maclyn Gabu dipilih sebagai Ketua Wanita tanpa bertanding selepas memangku jawatan itu sebelum ini. Seramai 650 perwakilan dari seluruh Bahagian Tamparuli hadir menunaikan tanggungjawab memilih barisan kepimpinan baharu membabitkan jawatan Ketua Bahagian, Ketua Pergerakan Wanita dan Ketua Pergerakan Pemuda. – Info X
June 29, 2026
Info X Reporters
Sabah Electricity catu bekalan elektrik
KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) melaksanakan catuan bekalan elektrik secara berjadual di beberapa kawasan seluruh Sabah berikutan kekurangan kapasiti janaan dalam sistem grid negeri. Melalui satu kenyataan pada Isnin, syarikat utiliti itu berkata kekurangan janaan tenaga elektrik disebabkan gangguan platform gas luar pesisir milik Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) yang menjejaskan bekalan gas ke beberapa Penjana Kuasa Bebas (IPP). Keadaan itu, katanya menyebabkan pengurangan kapasiti penjanaan tenaga elektrik dalam sistem grid Sabah. “Langkah ini dilaksanakan sebagai usaha pengurusan sistem bagi memastikan kestabilan grid elektrik negeri terus terpelihara sementara usaha pemulihan kapasiti penjanaan sedang dilaksanakan. “Sabah Electricity memahami kesulitan yang akan dialami oleh pengguna akibat pelaksanaan catuan bekalan ini dan sedang berusaha sedaya upaya untuk meminimumkan tempoh gangguan,” katanya. Sabah Electricity berkata, maklumat terkini mengenai kawasan yang terlibat serta perkembangan semasa akandimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi Facebook Sabah Electricity Careline. Katanya, pengguna juga boleh menghubungi Sabah Electricity Careline di talian 15444. “Sabah Electricity memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan amat menghargai kesabaran serta kerjasama semua pengguna. “Pengguna dinasihatkan untuk sentiasa mengambil langkah yang sewajarnya sepanjang tempoh catuan bekalan dan mengikuti pengumuman rasmi yang dikeluarkan oleh syarikat,” katanya. – Info X
June 28, 2026
Info X Reporters
Suami maut, isteri cedera selepas Hilux terbabas masuk parit
KINABATANGAN: Seorang lelaki maut, manakala isterinya cedera selepas kereta yang dinaiki terbabas ke parit di tepi jalan Kampung Paris 2, dekat sini, tengah hari tadi. Mangsa, Salim Dudul, 56, yang memandu kereta pacuan empat roda meninggal dunia dalam kejadian jam 1 tengah hari itu. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Suriyadi Darwis, berkata bomba menerima panggilan pada jam 1.06 tengah hari dan menghantar lima anggota ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 50 kilometer (km) dari balai. Katanya, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dari kenderaan, bagaimanapun pemandu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi kejadian. “Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Lahad Datu menggunakan kenderaan keluarganya sendiri, manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. “Operasi ditamatkan pada jam 3.15 petang selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi,” katanya. – Info X
June 28, 2026
Info X Reporters
15 penyokong bertuah menang pakej ke Old Trafford pada himpunan terbesar peminat United di KK
KOTA KINABALU: Seramai 15 penyokong bertuah Manchester United membawa pulang pakej lawatan lengkap ke Stadium Old Trafford selepas memenangi cabutan bertuah pada Majlis Makan Malam Tahunan United Malaysia Kali Ke-8 yang berlangsung di Dewan Hakka, di sini, malam tadi. Majlis berkenaan turut mencipta sejarah apabila menghimpunkan kira-kira 1,200 penyokong Manchester United dari seluruh negara serta Brunei, sekali gus menjadi perhimpunan terbesar penyokong kelab gergasi England itu pernah dianjurkan di Malaysia. Tetamu hadir dari pelbagai negeri termasuk Sabah, Kuala Lumpur dan Kuching bagi memeriahkan majlis yang bertemakan ‘Sea of Red’ selepas semua tiket habis dijual lebih awal. Kemuncak acara ialah cabutan bertuah yang menyaksikan 15 ahli United Malaysia memenangi pakej lawatan ke Old Trafford atau lebih dikenali sebagai Theatre of Dreams. Setiap pemenang menerima pakej lengkap yang merangkumi tiket perlawanan Manchester United, penerbangan pergi balik serta penginapan, sekali gus merealisasikan impian mereka menyaksikan aksi pasukan kesayangan di gelanggang sendiri. Pengerusi Penganjur, Bryan Faurillo, berkata pemberian hadiah itu adalah penghargaan kepada ahli yang selama ini menunjukkan kesetiaan dan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kelab penyokong berkenaan. “Ini adalah semangat sebenar United Malaysia, iaitu menghargai kesetiaan, semangat dan perpaduan ahli-ahli kami. “Melihat kegembiraan pada wajah 15 pemenang apabila mengetahui mereka akan berkunjung ke Old Trafford adalah detik yang amat bermakna buat kami semua,” katanya. Sementara itu, Presiden United Malaysia, Batholomew Jingulam yang dipilih tanpa bertanding untuk menerajui persatuan itu bagi penggal keenam pada Mesyuarat Agung Dwitahunan (BGM) yang diadakan lebih awal pada hari sama, berkata hadiah berkenaan mencerminkan komitmen persatuan dalam menghargai sokongan ahli. “Kami membina majlis makan malam ini khusus untuk ahli kerana mereka adalah nadi kepada United Malaysia. Menghantar 15 ahli bertuah ke Old Trafford adalah cara kami mengucapkan terima kasih atas sokongan berterusan mereka. “United Malaysia bukan mengenai mana-mana individu, sebaliknya mengenai seluruh ahlinya. Sebab itu kami memilih untuk memberi peluang kepada 15 ahli merasai sendiri pengalaman berada di Theatre of Dreams,” katanya. – Info X
June 28, 2026
Info X Reporters
Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup 1,700 paket minyak masak bersubsidi
SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan menyeludup kira-kira 1,700 paket minyak masak bersubsidi dalam operasi di perairan Sandakan, awal pagi tadi. Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain, berkata rampasan dilakukan kira-kira jam 3 pagi hasil maklumat awam mengenai sebuah perahu yang berada dalam keadaan mencurigakan di Jeti Nelayan Kampung Combo, di sini. Beliau berkata, sepasukan anggota yang melaksanakan Op Sejahtera 1/2022, Op Cegah PATI (OCP) dan Op Tiris 4.0 digerakkan ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan. “Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, individu yang berada di atas perahu terbabit bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri ke kawasan bakau berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini. Muhamad Suhairy berkata, pemeriksaan terhadap perahu berwarna hijau dan kuning itu menemui 100 bungkusan plastik hitam yang mengandungi paket minyak masak bersubsidi. Beliau berkata, sebahagian bungkusan turut ditemui terapung di permukaan laut dan dipercayai dibuang suspek ketika cuba meloloskan diri. “Hasil pemeriksaan mendapati kira-kira 1,700 paket minyak masak bersubsidi dipercayai disimpan tanpa kebenaran yang sah,” katanya. Menurutnya, perahu bersama semua barang rampasan yang dianggarkan bernilai RM14,250 dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk siasatan lanjut. Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, manakala usaha mengesan suspek yang melarikan diri sedang giat dijalankan. Beliau turut meminta orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau jenayah maritim kepada Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan menerusi talian 089-229504 atau talian kecemasan 999 bagi membantu usaha penguatkuasaan di perairan negara. – Info X
June 28, 2026
Info X Reporters
Benih siakap, udang galah dilepas di Sungai Padas
TENOM: Sebanyak 1,000 benih ikan siakap dan 2,500 benih udang galah dilepaskan ke Sungai Padas berhampiran Jambatan Baharu Tenom pada satu program, di sini, pada Sabtu. Sumbangan benih ikan itu disalurkan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar sebagai sebahagian usaha memperkaya sumber perikanan sungai dan menyokong pembangunan kawasan rekreasi di daerah ini Pelepasan benih ikan dilakukan Pegawai Khas kepada Menteri, Mohd Nizam Ag Kassim bersama Pegawai Perikanan Daerah Tenom, Francis Tikoi dan kakitangan Jabatan Perikanan Daerah Tenom. Turut hadir ialah Pemaju Mukim, Junaidi Juan yang mewakili Pusat Perkhidmatan Masyarakat (PPM) Melalap dan wakil Team Nelayan Darat Tenom diketuai Fahmi. Mohd Nizam berkata, program pelepasan benih ikan dan udang itu adalah antara inisiatif Jabatan Perikanan Daerah Tenom selaras perancangan Jamawi selaku ADUN Melalap untuk membangunkan kawasan sekitar Jambatan Baharu Tenom sebagai Esplanade Tenom. “Bagi pihak Datuk Jamawi Jaafar, sebanyak 1,000 benih anak ikan siakap dan 2,500 benih anak udang galah telah disumbangkan untuk dilepaskan ke Sungai Padas. “Program ini adalah salah satu usaha Jabatan Perikanan Daerah Tenom yang seiring dengan perancangan beliau untuk menjadikan kawasan di Jambatan Baharu sebagai Esplanade Tenom yang dapat dimanfaatkan oleh masyarakat setempat,” katanya. Beliau berharap benih-benih yang dilepaskan itu dapat membesar dengan baik dan terus membiak bagi menambah populasi ikan serta udang galah di Sungai Padas. Katanya, usaha pemuliharaan dan penambahan sumber perikanan sungai itu bukan saja memberi manfaat kepada ekosistem, malah berpotensi menjadi tarikan rekreasi serta aktiviti perikanan darat pada masa hadapan. “Semoga benih-benih anak ikan siakap dan udang galah ini membesar serta membiak dengan lebih banyak di Sungai Padas Tenom demi manfaat bersama,” katanya. – Info X
June 28, 2026
Info X Reporters
Wiranita STAR Bingkor keluar parti
KENINGAU: Ketua Wiranita Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Bahagian Bingkor, Jennifer Epil mengumumkan peletakan jawatan dan penarikan diri daripada parti, berkuatkuasa serta-merta. Menerusi satu kenyataan pada Ahad, beliau yang juga Naib Exco Wiranita STAR, berkata keputusan itu turut disertai sebahagian Ahli Jawatankuasa Wiranita STAR Bahagian Bingkor. Katanya, mereka mencapai kata sepakat untuk menarik diri daripada parti selepas melalui pertimbangan yang teliti dan matang. “Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor, termasuk hala tuju perjuangan parti, aspirasi semasa serta ruang dan peranan wanita dalam landskap politik tempatan yang tidak lagi seiring dengan prinsip serta pendirian kami,” katanya. Dalam masa yang sama, Jennifer merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kepimpinan STAR atas segala kepercayaan, peluang dan pengalaman yang diberikan sepanjang pembabitannya dalam parti. Katanya, pengalaman itu membentuk dirinya dan rakan-rakan sebagai wanita yang lebih berani, bertanggungjawab dan peka terhadap kepentingan rakyat serta pembangunan Sabah. Beliau turut menegaskan pengunduran daripada parti tidak bermakna perjuangan untuk berkhidmat kepada masyarakat telah berakhir. “Saya dan rakan-rakan akan terus menyumbang kepada rakyat dalam kapasiti yang lebih sesuai, berkesan serta selaras dengan nilai dan prinsip perjuangan yang diyakini,” katanya. – Info X