June 25, 2026
Info X Reporters
Suami tetak isteri akibat cemburu
KOTA MARUDU: Seorang wanita parah akibat ditetak suami yang dikatakan cemburu selepas dituduh berbual dengan jiran lelaki, dalam kejadian Kampung Mangkupa, di sini, pada Khamis. Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa yang berusia 40 tahun dilaporkan terselamat namun mengalami 14 kecederaan termasuk kesan tetakan di leher. Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Somiun Lomidin berkata, hasil siasatan awal, suspek warga Indonesia berusia 50 tahun sudah berkahwin dengan mangsa selama 19 tahun dan mempunyai enam orang anak. Katanya, sebelum kejadian, mangsa yang pergi ke halaman rumah ditegur oleh suspek dan mengarahkannya supaya tidak berbual dengan jiran-jiran lelaki. “Mangsa kemudiannya menafikan ada berbual dengan jiran lelaki sehingga berlaku pertengkaran mulut antara pasangan suami isteri terbabit. “Suspeknyang berang dikatakan bertindak mengambil parang di dapur sebelum memyerang mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, mangsa kemudiannya ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh anak saudara sebelum salah seorang jiran menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan. Katanya, hasil temubual dengan mangsa di Wad Kecemasan Hospital Kota Marudu, wanita terbabit mendakwa kejadian berpunca dari sikap cemburu suspek yang melihatnya bertegur dengan jiran–jiran lelaki. “Malah suspek dikatakan sering menuduh isterinya mempunyai hubungan sulit dengan jiran namun mangsa menafikannya. “Mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan akan dirujuk ke Hospital Queen Elizebeth (HQE) Kota Kinabalu untuk rawatan selanjutnya. “Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya. – Info X
June 25, 2026
Info X Reporters
Inkues Zara: Catatan luahan emosi disahkan tulisan tangan arwah
KOTA KINABALU: Dokumen mengandungi catatan luahan emosi Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang ditemui selepas kematiannya disahkan ditulis sendiri oleh arwah berdasarkan semakan dibuat pakar tulisan tangan. Pengesahan itu dibuat pemeriksa dokumen forensik dan pakar tulisan tangan lantikan keluarga ibu Zara,Dr Linthini Gannetion dalam keterangannya di Mahkamah Koroner, di sini, pada Khamis. Beliau menyatakan perkara itu ketika ditanya peguam Azhier Farhan Arisin di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada prosiding inkues kematian Zara Qairina. Azhier ialah peguam mewakili empat daripada lima kanak-kanak yang didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak dalam kes berkaitan kematian arwah Zara. Pertanyaan Azhier merujuk kepada Laporan Autopsi Psikologi yang disediakan Pakar Psikiatri Forensik Perunding, Dr Chua Sze Hung, yang mengenal pasti catatan bertarikh sekitar 17 Jun 2025 dalam jurnal yang ditanda W2. Katanya, catatan itu antara lain tertulis, ‘mental saya pun nda kuat la, lebih baik saya mati ja dalam dunia ini kalau begitu jalan kehidupan saya’. Azhier bertanya kepada Dr Linthini sama ada betul bahawa catatan itu adalah tulisan tangan Allahyarham Zara sebelum dijawab betul oleh saksi ke-74 itu. Dr Linthini turut berkata betul apabila Azhier menyatakan catatan itu adalah tulisan asal Zara memandangkan pakar berkenaan tidak membuat sebarang dakwaan mengenai unsur pengubahan atau gangguan terhadap W2. Sementara itu, pakar berkenaan menjelaskan bahawa dapatan ‘tiada kesimpulan’ selepas selesai pemeriksaan dokumen yang dijalankan bermaksud beliau tidak dapat membuat pengesahan yang selamat atau muktamad berdasarkan bahan yang tersedia. Beliau berkata, keadaan itu turut menunjukkan kepentingan mempunyai bahan perbandingan yang mencukupi dan sesuai dalam pemeriksaan tulisan tangan. Keterangan beliau menekankan kepentingan pemeriksaan tulisan tangan dan dokumen forensik dalam menilai dokumen yang dipertikaikan bagi membantu Koroner menentukan individu yang mungkin menulis sesuatu catatan. Pemeriksaan dokumen forensik pula, katanya membantu mahkamah memahami keadaan fizikal sesuatu dokumen, asal usul helaian, kemungkinan terdapat halaman yang hilang, pengubahan dokumen dan batasan yang wujud dalam pemeriksaan. Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asramanya pada awal pagi 16 Julai 2025, sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan otak traumatik teruk di Hospital Queen Elizabeth sehari selepas itu. Selepas kematiannya, timbul persoalan mengenai punca sebenar kematiannya, termasuk sama ada arwah terjun dari tingkat atas bangunan atau ada unsur lain yang memerlukan siasatan lanjut. Berikutan itu, inkues kematiannya diwujudkan dengan memanggil pelbagai saksi termasuk pelajar, guru, anggota polis, doktor dan pakar perubatan serta pakar lain yang berkaitan bermula pada September 2025. Inkues itu yang dijadual berlanjutan hingga Oktober depan bertujuan mencari punca kematian arwah berdasarkan keterangan semua saksi yang dipanggil Mahkamah Koroner. – Info X
June 25, 2026
Info X Reporters
Zainudin terima watikah pelantikan sebagai SKN baharu
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Khamis menyampaikan watikah pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) yang baharu kepada Datuk Zainudin Aman. Bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri itu secara rasmi mengambil alih tugas daripada Datuk Seri Safar Untong pada 29 Jun ini. Ketua Menteri menyatakan harapannya agar pelantikan Zainudin akan memastikan perkhidmatan awam negeri terus progresif dan berdaya saing dalam memacu transformasi pentadbiran negeri ke arah kemajuan serta kecemerlangan yang berterusan. “Ini juga akan memastikan dasar-dasar kerajaan dilaksanakan dengan berkesan demi kemakmuran rakyat dan negeri,” katanya. Safar, yang bersara pada 28 Jun ini dilantik sebagai Pengerusi Tanjung Aru Eco Development Sdn Bhd (TAED), sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik Kerajaan Negeri Sabah. Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran), Datuk Norlijah Danin akan menggantikan Zainudin sebagai Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah yang baharu. – Info X
June 25, 2026
Info X Reporters
Kanak-kanak hilang dihanyut arus ditemukan meninggal dunia
PAPAR: Kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus sungai di Kampung Mandalipau, di sini, sejak tiga hari lalu ditemukan meninggal dunia, petang tadi. Mangsa, Najmal Walki, 8, yang juga bukan warganegara, ditemukan orang awam dalam keadaan tersangkut pada paip pam air di Kampung Manggis kira-kira jam 5 petang. Penemuan itu kemudian dimaklumkan kepada Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerusi talian NG999 pada jam 5.02 petang. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Ronny Sikawan berkata, sepasukan bomba yang tiba di lokasi mengesahkan penemuan mangsa sebelum bertindak mengangkat mayat dari sungai menggunakan pengusung. Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. “Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ketiga bermula jam 10 pagi dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Papar Water Rafting. “Pasukan penyelamat menjalankan pencarian dari Sungai Papar, Sungai Kabang hingga Sungai Ovai dalam radius kira-kira tiga kilometer menggunakan teknik Water Surface Search dengan bot rafting,” katanya. Menurutnya, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.12 petang selepas mangsa berjaya ditemukan. Terdahulu, mangsa dipercayai tergelincir sebelum dihanyutkan arus ketika bermain di tepi Sungai Kampung Mandalipau pada pagi Selasa. Operasi SAR yang dilancarkan sejurus selepas kejadian membabitkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM bersama beberapa agensi penyelamat dan penduduk kampung, namun mangsa gagal ditemukan sehingga hari ketiga operasi. – Info X
June 25, 2026
Info X Reporters
Semak semula mekanisme subsidi diesel di Sabah
KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan menggesa semakan semula dibuat terhadap pelaksanaan mekanisme subsidi diesel bersasar di Sabah. ADUN Luyang, Samuel Wong dan ADUN Api-Api, Loi Kok Liang, sependapat bahawa pelaksanaan mekanisme yang diumumkan kerajaan tidak sesuai untuk Sabah. Mereka berkata, walaupun tujuan perkara itu adalah untuk menambah baik penyasaran subsidi dan mencegah ketirisan bahan api berkenaan, ia perlu mengambil kira realiti unik di Sabah. “Dasar itu mesti mengambil kira realiti unik di Sabah berbanding melaksanakan pendekatan satu saiz untuk semua yang dibuat berdasarkan keadaan di Semenanjung,” katanya dalam satu kenyataan. Sebelum ini, kerajaan Persekutuan menetapkan had kuota pembelian diesel sebanyak 200 liter sebulan pada harga RM2.10 seliter menerusi pelaksanaan subsidi bersasar di seluruh negara. Samuel berkata, beliau memahami objektif kerajaan untuk mencegah ketirisan subsidi, namun menegaskan pelaksanaannya tidak seharusnya menjejaskan rakyat Sabah. “Sebarang pembaharuan subsidi seharusnya menyasarkan penyalahgunaan, bukan mewujudkan kesukaran yang tidak sepatutnya terhadap keluarga yang mematuhi undang-undang,” katanya. Beliau berkata, kenyataan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bahawa kerajaan akan mengekalkan prinsip ‘satu kenderaan, satu kuota’ adalah wajar jika objektifnya untuk menjaga dana awam dan menghalang tuntutan berganda. Bagaimanapun, katanya pelaksanaan subsidi bersasar mesti melihat situasi sebenar kehidupan keluarga di Sabah. “Isunya bukan berkaitan meminta lebih banyak subsidi, sebaliknya adalah isu memastikan subsidi sampai kepada rakyat yang memerlukan pertolongan,” katanya. Katanya, berkongsi kenderaan keluarga adalah biasa di Sabah kerana ramai isi rumah tidak mampu memiliki banyak kenderaan. “Ada anak bekerja di Semenanjung yang membelikan kenderaan diesel untuk ibu bapa tua mereka di Sabah. “Ada kereta keluarga didaftar di bawah seorang adik-beradik tetapi dipandu setiap hari oleh yang lain, malah ada juga kenderaan kekal di bawah nama ibu bapa walaupun ia digunakan setiap hari oleh anak-anak. “Ini bukan cubaan untuk mengeksploitasi sistem subsidi, ia adalah kedudukan keluarga biasa yang menggambarkan realiti sebenar dihadapi ramai rakyat Sabah,” katanya. Sehubungan itu, Samuel mencadangkan agar mekanisme subsidi ditambah baik dengan mengambil kira pengguna kenderaan yang diberi kuasa, berbanding hanya kepada pemilik berdaftar. “Kuota subsidi dikekalkan kepada kenderaan tetapi sisten perlu menyediakan fleksibeliti yang secukupnya untuk pengguna kenderaan yang diberi kuasa bagi mengakses kuota sedia ada,” katanya. Sementara itu, Loi berkata perbincangan tidak seharusnya terhenti terhadap pelaksanaannya sahaja kerana ia turut berkaitan kesan ekonomi yang luas dijangka dirasai oleh setiap rakyat Sabah. Rakyat Sabah, katanya sudah dibebani kos hidup yang tinggi disebabkan cabaran struktural yang wujud sejak berdwkad lamanya. “Perniagaan di Sabah beroperasi dengan kos pengangkutan yang tinggi, laluan penghantaran yang panjang dan perbelanjaan pebgangkutan yang besar berbanding negeri lain. “Jika kos diesel naik atau sokongan subsidi menjadi tidak mencukupi, kos tambahan itu tidak akan hilang, sebaliknya akan dialihkan kepada pengguna melalui harga makanan, keperluan harian dan perkhidmatan asas yang tinggi,” katanya. – Info X
June 25, 2026
Info X Reporters
Kuota 200 liter diesel tidak sesuai dengan realiti Sabah
KOTA KINABALU: Penetapan had kuota subsidi diesel sebanyak 200 liter sebulan di bawah Program BUDI MADANI tidak sesuai dengan realiti penggunaan bahan api di Sabah. Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Rafie Robert, berkata kuota itu tidak mencukupi terutama bagi penduduk luar bandar dan pedalaman yang bergantung terhadap kenderaan diesel untuk urusan harian serta aktiviti ekonomi. Berikutan itu, beliau menegaskan pelaksanaan Program BUDI MADANI perlu mengambil kira keadaan geografi Sabah yang berbeza daripada kebanyakan negeri di Semenanjung, termasuk faktor jarak perjalanan yang jauh, kebergantungan terhadap kenderaan diesel serta cabaran infrastruktur di kawasan luar bandar dan pedalaman. “Bagi penduduk di kawasan seperti Keningau, Nabawan, Sook, Tenom dan daerah-daerah pedalaman lain, perjalanan beratus kilometer setiap minggu untuk bekerja, mendapatkan rawatan kesihatan, pendidikan, urusan kerajaan dan perniagaan adalah perkara biasa. “Dalam keadaan ini, had kuota 200 liter sebulan tidak mencukupi untuk menampung keperluan sebenar rakyat yang menggunakan kenderaan diesel sebagai pengangkutan utama,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. Beliau berkata, ramai penduduk Sabah menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan pikap yang lebih sesuai dengan keadaan jalan raya luar bandar, kawasan berbukit serta laluan yang mencabar, sekali gus menyebabkan penggunaan diesel lebih tinggi berbanding di kawasan bandar. Rafie berkata, sektor pelancongan luar bandar yang menjadi antara pemacu ekonomi negeri juga bergantung kepada penggunaan diesel bagi tujuan pengangkutan pelancong, logistik dan operasi harian. Katanya, pengusaha inap desa, produk pelancongan komuniti serta pengendali pelancongan di kawasan pedalaman memerlukan perjalanan yang kerap dan jauh untuk membawa pelancong ke destinasi eko-pelancongan, kebudayaan dan rekreasi yang menjadi tarikan utama Sabah. Selain itu, beliau berkata, petani, pekebun kecil, penternak dan usahawan luar bandar turut bergantung kepada diesel untuk mengangkut hasil pertanian, ternakan dan bekalan ke pusat pemasaran yang kebanyakannya terletak jauh dari kawasan pengeluaran. “Sebarang peningkatan kos diesel akhirnya akan memberi kesan langsung kepada kos operasi, harga barang dan kos sara hidup rakyat, terutama di kawasan pedalaman yang sememangnya berdepan kos pengangkutan yang lebih tinggi berbanding kawasan bandar. “Jika kos pengangkutan meningkat, kesannya bukan sahaja dirasai oleh pengusaha dan peniaga, malah pengguna juga akan menanggung kenaikan harga barangan dan perkhidmatan,” katanya. Beliau berkata, usaha kerajaan membanteras ketirisan dan penyeludupan subsidi wajar disokong demi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar layak, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira keunikan Sabah supaya rakyat tidak terbeban. Jelasnya, pendekatan yang menggunakan satu kadar kuota untuk seluruh negara tidak semestinya sesuai kerana corak penggunaan bahan api, tahap pembangunan infrastruktur dan jarak perjalanan di Sabah jauh berbeza berbanding kebanyakan negeri lain. “Sabah adalah negeri pengeluar minyak dan gas yang menyumbang kepada ekonomi negara. Justeru, adalah wajar kerajaan memberikan pertimbangan khas kepada Sabah dalam pelaksanaan subsidi bahan api agar rakyat negeri ini tidak terjejas dengan dasar yang tidak mengambil kira realiti setempat. “Kita menyokong matlamat kerajaan untuk mengurangkan ketirisan subsidi, namun pada masa sama dasar yang diperkenalkan mestilah adil, praktikal dan selaras dengan keperluan sebenar rakyat di Sabah,” katanya. Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan meneliti semula had kuota subsidi diesel 200 liter sebulan di bawah Program BUDI MADANI dan menimbangkan kuota tambahan khas bagi Sabah, terutama untuk penduduk luar bandar, pengguna jarak jauh, pengusaha pelancongan, petani dan sektor pertanian yang bergantung kepada diesel untuk kelangsungan aktiviti harian mereka. – Info X
June 25, 2026
Info X Reporters
Warga emas strok sempat diselamatkan sebelum rumah kedai terbakar
TAWAU: Seorang warga emas yang mengalami strok berjaya diselamatkan orang awam sebelum kebakaran memusnahkan sebuah rumah kedai sewa enam pintu bilik di Pasar Tanjung, berhadapan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Tawau, di sini, hari ini. Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 petang itu, mangsa berjaya dibawa keluar dari premis berkenaan sebelum ketibaan pasukan bomba. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.21 petang sebelum menggerakkan pasukan ke lokasi. Beliau berkata, jentera pertama tiba di lokasi pada jam 1.25 petang dan mendapati kebakaran membabitkan sebuah unit rumah kedai sewa enam pintu bilik di tingkat tiga. “Rumah kedai jenis kekal berkeluasan 30 x 50 kaki itu terbakar kira-kira 90 peratus. “Kebakaran turut merebak ke sebuah unit stor bersebelahan yang berkeluasan sama dan mengalami kerosakan sekitar 80 peratus,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 300 kaki dengan tiga pancutan air yang diperoleh daripada jentera tangki air serta pili bomba berhampiran. “Kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.45 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.15 petang selepas kerja pemeriksaan dan overhaul selesai dijalankan. “Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan mangsa warga emas yang diselamatkan orang awam berada dalam keadaan selamat,” katanya. Jemishin berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – Info X
June 25, 2026
Info X Reporters
60 anggota tamat Kursus Asas PGA Siri 1/2026
KOTA KINABALU: Seramai 60 pegawai rendah Pasukan Gerakan Am (PGA) dari seluruh batalion di bawah Briged Sabah berjaya menamatkan Kursus Asas Latihan PGA Siri 1/2026 selepas menjalani latihan intensif selama hampir tiga bulan. Majlis penutupan kursus itu diadakan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kota Kinabalu, hari ini, sebagai sebahagian usaha memperkukuh tahap kesiapsiagaan dan keupayaan operasi anggota PGA di negeri ini. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata kursus yang berlangsung selama dua bulan 20 hari itu memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta mengenai ilmu dan kemahiran asas yang diperlukan dalam melaksanakan tugas sebagai anggota PGA. Beliau berkata, latihan berkenaan memberi penekanan kepada teknik pertempuran di kawasan hutan dan bukan hutan, kemahiran mempertahankan diri, latihan ikhtiar hidup (survival) serta pelbagai kemahiran operasi lain yang relevan dengan keperluan semasa. “Semua kemahiran ini penting bagi memastikan anggota PGA sentiasa bersedia menghadapi sebarang cabaran ketika melaksanakan tugas di lapangan. “Latihan yang diberikan bukan sahaja meningkatkan keupayaan fizikal dan mental anggota, malah membentuk tahap disiplin serta keyakinan diri yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan kursus itu. Jauteh berkata, kursus berkenaan akan diteruskan secara berkala bagi memenuhi keperluan latihan anggota PGA di Sabah, khususnya selepas penambahan tiga batalion PGA di negeri ini. Menurutnya, kapasiti latihan bagi setiap siri hanya mampu menampung sekitar 60 peserta, justeru lebih banyak siri kursus perlu dilaksanakan bagi memastikan semua anggota menerima latihan yang secukupnya. “Penambahan tiga batalion PGA di Sabah memerlukan latihan dipertingkatkan supaya semua anggota mendapat pendedahan dan latihan yang sewajarnya sebelum menjalankan tugas. “Berdasarkan perancangan semasa, satu lagi siri kursus dijangka diadakan dalam masa terdekat,” katanya. Mengulas lanjut, beliau berkata anggota PGA perlu mempunyai tahap fleksibiliti yang tinggi bagi menyesuaikan diri dengan pelbagai bentuk penugasan memandangkan skop tugas mereka tidak terhad kepada kawasan hutan dan sempadan sahaja. “Anggota PGA adalah barisan hadapan pasukan keselamatan. Mereka perlu fleksibel dan mampu menyesuaikan diri dengan apa juga keadaan operasi. “Mereka juga perlu mempunyai keyakinan tinggi serta kekal tenang ketika berhadapan cabaran. Dalam apa juga situasi, mereka tidak boleh mudah goyah dan perlu sentiasa stabil ketika menjalankan tugas,” katanya. Sementara itu, mengulas mengenai kes buli membabitkan kanak-kanak yang tular di media sosial baru-baru ini, Jauteh berkata polis sudah membuka kertas siasatan dan mengambil keterangan daripada mangsa serta individu yang dipercayai terbabit. Beliau berkata, kes berkenaan akan ditangani mengikut peruntukan undang-undang sedia ada memandangkan suspek terdiri daripada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun. Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terus menyebarkan video atau gambar berkaitan insiden berkenaan kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada pihak yang terlibat. “Kita minta masyarakat memberi ruang kepada polis, Jabatan Pendidikan dan Jabatan Kesihatan menjalankan siasatan serta tindakan sewajarnya. “Penyebaran secara berleluasa, termasuk komen yang tidak sesuai di media sosial, hanya akan memberi kesan negatif kepada semua pihak yang terlibat,” katanya. – Info X