Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

June 25, 2026

Info X Reporters

Ops Tapis: 6 lelaki ditahan, dadah cecair dan ganja dirampas

PENAMPANG: Aktiviti penyalahgunaan dan pemilikan dadah di pusat hiburan, kafe serta premis kediaman di daerah ini terbongkar apabila enam lelaki tempatan ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, malam tadi. Operasi dijalankan dengan kerjasama BSJND IPD Kota Kinabalu menerusi Op Tapis di beberapa lokasi sekitar daerah Penampang bermula malam 24 Jun hingga awal pagi hari ini. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, semua suspek berusia antara 27 hingga 40 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah kafe, kawasan sekitar pusat hiburan di Damas 118 Plaza, Kepayan Point serta sebuah unit kondominium di Nosoob, Penampang. Beliau berkata, hasil pemeriksaan dan siasatan membawa kepada rampasan cecair disyaki dadah jenis MDMA/Psilocybin berjumlah 20.5 mililiter bernilai RM360 serta ganja seberat 5.41 gram yang dianggarkan bernilai RM120. “Keseluruhan nilai rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM480. “Siasatan awal mendapati seorang daripada suspek dipercayai bertindak sebagai pembekal kepada beberapa individu lain yang ditahan dalam operasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, susulan maklumat yang diperoleh daripada tangkapan awal, polis berjaya menahan seorang lagi suspek bersama sejumlah kecil cecair disyaki dadah sebelum melakukan serbuan susulan ke sebuah kondominium yang membawa kepada penemuan ganja dan penahanan dua lagi suspek. Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati lima daripada enam suspek positif dadah jenis THC, manakala seorang lagi didapati negatif. “Siasatan turut mendapati beberapa suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah. “Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dibaca bersama Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 akta sama serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. Katanya, Polis Daerah Penampang akan terus memperhebat operasi membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah terutama di kawasan pusat hiburan, premis perniagaan, kafe dan lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan penagih serta pengedar dadah. Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pengedaran atau penyalahgunaan dadah supaya menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah dadah demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat. – Info X

June 25, 2026

Info X Reporters

91 warga asing ditahan JIM dalam operasi bersepadu

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan 91 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam operasi bersepadu yang dilaksanakan di empat daerah, semalam. Hasil operasi Ops Selera, Ops Belanja, Ops Serkap, Ops Sapu dan Ops Kutip berkenaan, seramai 373 individu diperiksa melibatkan pelbagai lokasi yang dikenalpasti sebagai lokasi tumpuan warga asing. Dalam kenyataan yang dikeluarkan JIM Sabah berkata, dalam operasi di Kota Kinabalu, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 151 individu sebelum menahan 46 warga asing. Katanya, semua ditahan selepas disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen, termasuk tidak memiliki dokumen sah serta melanggar syarat pas di bawah Akta Imigresen 1959/63. “Tangkapan melibatkan warga Filipina iaitu seramai 14 lelaki, 18 perempuan dan 11 kanak-kanak. Pasukan operasi turut menahan dua lelaki warganegara Indonesia seorang lelaki warganegara Pakistan. “Dalam daerah Kudat, operasi penguatkuasaan berjaya memeriksa 46 individu dan membawa kepada penahanan sembilan warga melibatkan seorang lelaki, empat wanita dan empat kanak-kanak,” katanya. Menurutnya, operasi diteruskan di daerah Tawau dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Tawau. Katanya, seramai 159 individu diperiksa dan 21 warga asing ditahan terdiri daripada 11 lelaki, 11 wanita dan seorang kanak-kanak warganegara Filipina dan Indonesia. “Operasi diteruskan di daerah Ranau dan berjaya memeriksa seramai 17 individu sebelum seramai 13 PATI warga Filipina dan Indonesia,” katanya. Sehubungan itu, JIM Sabah menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa. Katanya, ia juga usaha membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara sentiasa dipelihara. – Info X

June 25, 2026

Info X Reporters

Rangka manusia ditemukan dalam parit, polis mohon bantuan orang ramai

LAHAD DATU: Penduduk di kawasan turunan Bukit Taman Pertama 1, di sini, gempar apabila menemui rangka manusia di dalam sebuah parit, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 10.53 pagi itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu menerima panggilan melalui talian MERS999 daripada orang awam yang memaklumkan penemuan berkenaan. Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, sepasukan polis kemudian bergegas ke lokasi sebelum mengesahkan penemuan itu. “Rangka manusia berkenaan kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Lahad Datu untuk tindakan lanjut serta menjalani pemeriksaan bagi mengenal pasti identiti dan punca kematian. “Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, polis meminta mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berkaitan penemuan rangka berkenaan supaya tampil membantu siasatan. “Orang ramai boleh hadir ke IPD Lahad Datu atau mana-mana balai polis berhampiran, atau menghubungi Timbalan Ketua Polis Balai Lahad Datu, Sarjan Mejar Ronney Lajius di talian 010-4641071. “Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi di media sosial yang boleh menjejaskan siasatan serta menjaga sensitiviti keluarga mangsa,” katanya. – Info X

June 25, 2026

Info X Reporters

Op Tiris 4.0: Stor seleweng diesel bersubsidi diserbu, lelaki ditahan

PENAMPANG: Kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang dipercayai beroperasi di sebuah stor di Jalan Kobusak, di sini, terbongkar selepas diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, semalam. Dalam serbuan kira-kira jam 2.30 petang menerusi Op Tiris 4.0 itu, seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun ditahan bagi membantu siasatan. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, hasil pemeriksaan membawa kepada rampasan sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton, 2,775 liter minyak diesel bersubsidi serta beberapa unit tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC). Beliau berkata, pasukan operasi turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan penyelewengan bahan api. “Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM158,826.75. “Suspek kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga 24 Jun lalu, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 81 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM22.79 juta. Katanya, dalam tempoh sama, seramai 75 individu turut ditahan bagi membantu siasatan pelbagai kes berkaitan penyelewengan barang kawalan. “PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti penyeludupan atau penyelewengan barang kawalan. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan ini diseru menyalurkannya kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil demi melindungi kepentingan negara serta kesejahteraan masyarakat,” katanya. – Info X

June 25, 2026

Info X Reporters

19 disyaki ahli pertubuhan haram ditahan ketika sambutan ulang tahun kumpulan

KENINGAU: Seramai 19 lelaki yang disyaki terbabit sebagai ahli sebuah pertubuhan haram ditahan ketika menghadiri sambutan ulang tahun kumpulan itu dalam Op Cantas Bersepadu (Gangsterisme) di sebuah premis makanan di Jalan Masjid, Keningau malam tadi. Dalam operasi kira-kira jam 9 malam itu, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah bersama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) menyerbu premis berkenaan sebelum menahan semua suspek berusia antara 14 hingga 59 tahun. Difahamkan, semua ahli kumpulan berkenaan berkumpul di lokasi serbuan bagi memperingati sambutan ulang tahun Kumpulan Kappa Rho Kappa atau Knight’s Of The Right Kepper’s (KRKK) yang diadakan setiap 24 Jun setiap tahun. Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, berdasarkan siasatan awal, kumpulan berkenana diwartakan sebagai pertubuhan haram oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 16 Disember 2015. Katanya, semua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966, manakala beberapa individu lain turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah. “Pemeriksaan fizikal mendapati lima individu yang mempunyai tanda tatu di tangan yang menandakan sebagai ahli kumpulan KRK. “Selain itu, dua individu lagi didapati memiliki Kad Keahlian KRK dan hanya empat suspek memiliki keterangan diri jenis MyKad, MyPR, MyKAS dan Pasport,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, 15 individu lain didapati tidak memiliki dokumen keterangan diri semua suspek mengaku tujuan mereka berkumpul adalah untuk memperingati sambutan ulang tahun pertubuhan berkenaan. Katanya, pihak polis turut merampas 15 telefon bimbit bagi membantu siasatan lanjut. – Info X

June 24, 2026

Info X Reporters

Dua pekerja melecur selepas kompresor kilang meletup, terbakar

KENINGAU: Dua pekerja mengalami kecederaan melecur selepas sebuah kompresor mesin pemotong kayu meletup dan terbakar dalam kejadian di sebuah kilang di Kampung Kuala Biah, di sini, petang tadi. Kebakaran turut memusnahkan sebuah kenderaan Toyota Land Cruiser yang berada berhampiran lokasi kejadian. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.18 petang sebelum sepasukan 13 anggota dikerahkan ke lokasi. Beliau berkata, setibanya pasukan bomba, didapati kebakaran melibatkan sebuah kompresor mesin pemotong kayu di dalam kilang yang terbakar sepenuhnya. “Kebakaran turut merebak dan memusnahkan sebuah Toyota Land Cruiser yang terbakar 100 peratus. “Berdasarkan maklumat saksi, kebakaran dipercayai bermula di dalam kilang sebelum berlaku letupan yang menyebabkan dua pekerja mengalami kecederaan melecur,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, seorang mangsa warga tempatan mengalami kecederaan melecur di bahagian belakang badan, manakala seorang lagi pekerja warga asing dilaporkan melecur kira-kira 80 peratus pada anggota badan. Katanya, kedua-dua mangsa dihantar ke hospital oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan sebelum ketibaan pasukan bomba. “Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 91 meter dengan dua pancutan menggunakan sumber air daripada jentera tangki air. “Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke struktur bangunan kilang sebelum memadamkan api sepenuhnya,” katanya. Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.38 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.40 petang selepas pemeriksaan memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian. – Info X

June 24, 2026

Info X Reporters

Rokok seludup RM24.2 juta dirampas di perairan Pulau Sipadan

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan rokok tidak bercukai bernilai RM24.2 juta dalam operasi di perairan selatan Pulau Sipadan, Semporna, semalam. Dalam operasi menerusi Op Sejahtera dan Op Tiris itu, sebanyak 3,014 peti rokok pelbagai jenama dirampas, manakala 20 kru dan nakhoda warga asing turut ditahan bagi membantu siasatan. Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Khairul Anuar Abd Majid @ Razali, berkata kejayaan itu hasil risikan berterusan yang dijalankan sejak beberapa bulan lalu berhubung aktiviti penyeludupan rokok di perairan berkenaan. Katanya, aset Maritim Malaysia, KM Kidurong mengesan sebuah kapal kargo dalam keadaan mencurigakan kira-kira tujuh batu nautika di selatan Pulau Sipadan sebelum pemeriksaan dilakukan. “Hasil pemantauan, anggota mendapati berlaku aktiviti pemindahan beberapa kotak berwarna coklat dari kapal kargo ke sebuah bot kumpit yang berada berhampiran. “Pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua vesel menemukan sejumlah besar rokok putih yang dipercayai tidak mempunyai kelulusan serta dokumentasi sah,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini. Beliau berkata, hasil pemeriksaan turut menemukan 2,956 peti rokok jenama Bossqu, 40 peti New Iris, 15 peti Berlin dan tiga peti New Far, menjadikan keseluruhan rampasan sebanyak 3,014 peti. “Nilai rampasan rokok termasuk cukai dianggarkan RM24.2 juta, manakala nilai keseluruhan rampasan termasuk dua kapal yang digunakan dianggarkan RM65.7 juta,” katanya. Menurutnya, siasatan awal mendapati rokok berkenaan dipercayai dibawa dari Vietnam sebelum dipindahkan menggunakan kapal kargo ke bot pengangkut untuk diedarkan secara haram di pasaran Malaysia, Indonesia dan Filipina. “Modus operandi sindiket adalah menggunakan kapal kargo sebagai pembawa utama sebelum memindahkan muatan kepada bot kumpit bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya. Beliau berkata, kesemua 20 individu yang ditahan berusia antara 26 hingga 62 tahun terdiri daripada pelbagai kewarganegaraan termasuk Malaysia, Indonesia, Filipina, India dan Myanmar. “Mereka ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan dokumen kapal yang sah, manakala bot kumpit yang digunakan juga tidak mempunyai sebarang pendaftaran,” katanya. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 kerana disyaki menyeludup rokok tidak bercukai, selain turut disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Imigresen 1959/63. “Kesemua kapal bersama barang kes telah diiring ke Jeti Maritim Malaysia Zon Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya. Beliau dalam pada itu menegaskan Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan operasi dan risikan bagi membanteras aktiviti penyeludupan rentas sempadan yang boleh menjejaskan hasil negara serta keselamatan perairan. “Orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di laut bagi membantu pihak berkuasa,” katanya. – Info X

June 24, 2026

Info X Reporters

PPM rampas rokok seludup hampir RM600,000

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok tidak bercukai dengan rampasan bernilai RM593,800 dalam satu operasi di Jalan Sin On Tiku, di sini, semalam. Dalam operasi kira-kira jam 9 malam itu, dua lelaki warga tempatan berusia 35 dan 40 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, kejayaan itu hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan oleh pihaknya. Katanya, sepasukan anggota PPM menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum menjalankan pemeriksaan lanjut. “Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah besar rokok tidak bercukai yang disembunyikan di dalam kenderaan berkenaan. “Siasatan awal mendapati rokok terbabit dipercayai diseludup dari negara jiran, Indonesia, untuk dipasarkan di sekitar daerah Tawau,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, antara rokok yang dirampas ialah pelbagai jenama termasuk Premium, Nice, L.A Menthol dan L.A Mango. “Keseluruhannya, sebanyak 365,200 batang rokok tidak bercukai berjaya dirampas dalam operasi berkenaan. “Anggaran nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan yang disita adalah RM593,800,” katanya. Ahmad Amri berkata, kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. Menurutnya, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempertingkatkan operasi penguatkuasaan dan risikan bagi membanteras kegiatan penyeludupan yang menjejaskan ekonomi negara. “PPM komited untuk terus memerangi aktiviti penyeludupan yang bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya. Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti penyeludupan di kawasan masing-masing. – Info X