Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

June 25, 2026

Info X Reporters

Warga emas strok sempat diselamatkan sebelum rumah kedai terbakar

TAWAU: Seorang warga emas yang mengalami strok berjaya diselamatkan orang awam sebelum kebakaran memusnahkan sebuah rumah kedai sewa enam pintu bilik di Pasar Tanjung, berhadapan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Tawau, di sini, hari ini. Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 petang itu, mangsa berjaya dibawa keluar dari premis berkenaan sebelum ketibaan pasukan bomba. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.21 petang sebelum menggerakkan pasukan ke lokasi. Beliau berkata, jentera pertama tiba di lokasi pada jam 1.25 petang dan mendapati kebakaran membabitkan sebuah unit rumah kedai sewa enam pintu bilik di tingkat tiga. “Rumah kedai jenis kekal berkeluasan 30 x 50 kaki itu terbakar kira-kira 90 peratus. “Kebakaran turut merebak ke sebuah unit stor bersebelahan yang berkeluasan sama dan mengalami kerosakan sekitar 80 peratus,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 300 kaki dengan tiga pancutan air yang diperoleh daripada jentera tangki air serta pili bomba berhampiran. “Kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.45 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.15 petang selepas kerja pemeriksaan dan overhaul selesai dijalankan. “Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan mangsa warga emas yang diselamatkan orang awam berada dalam keadaan selamat,” katanya. Jemishin berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – Info X

June 25, 2026

Info X Reporters

60 anggota tamat Kursus Asas PGA Siri 1/2026

KOTA KINABALU: Seramai 60 pegawai rendah Pasukan Gerakan Am (PGA) dari seluruh batalion di bawah Briged Sabah berjaya menamatkan Kursus Asas Latihan PGA Siri 1/2026 selepas menjalani latihan intensif selama hampir tiga bulan. Majlis penutupan kursus itu diadakan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kota Kinabalu, hari ini, sebagai sebahagian usaha memperkukuh tahap kesiapsiagaan dan keupayaan operasi anggota PGA di negeri ini. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata kursus yang berlangsung selama dua bulan 20 hari itu memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta mengenai ilmu dan kemahiran asas yang diperlukan dalam melaksanakan tugas sebagai anggota PGA. Beliau berkata, latihan berkenaan memberi penekanan kepada teknik pertempuran di kawasan hutan dan bukan hutan, kemahiran mempertahankan diri, latihan ikhtiar hidup (survival) serta pelbagai kemahiran operasi lain yang relevan dengan keperluan semasa. “Semua kemahiran ini penting bagi memastikan anggota PGA sentiasa bersedia menghadapi sebarang cabaran ketika melaksanakan tugas di lapangan. “Latihan yang diberikan bukan sahaja meningkatkan keupayaan fizikal dan mental anggota, malah membentuk tahap disiplin serta keyakinan diri yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan kursus itu. Jauteh berkata, kursus berkenaan akan diteruskan secara berkala bagi memenuhi keperluan latihan anggota PGA di Sabah, khususnya selepas penambahan tiga batalion PGA di negeri ini. Menurutnya, kapasiti latihan bagi setiap siri hanya mampu menampung sekitar 60 peserta, justeru lebih banyak siri kursus perlu dilaksanakan bagi memastikan semua anggota menerima latihan yang secukupnya. “Penambahan tiga batalion PGA di Sabah memerlukan latihan dipertingkatkan supaya semua anggota mendapat pendedahan dan latihan yang sewajarnya sebelum menjalankan tugas. “Berdasarkan perancangan semasa, satu lagi siri kursus dijangka diadakan dalam masa terdekat,” katanya. Mengulas lanjut, beliau berkata anggota PGA perlu mempunyai tahap fleksibiliti yang tinggi bagi menyesuaikan diri dengan pelbagai bentuk penugasan memandangkan skop tugas mereka tidak terhad kepada kawasan hutan dan sempadan sahaja. “Anggota PGA adalah barisan hadapan pasukan keselamatan. Mereka perlu fleksibel dan mampu menyesuaikan diri dengan apa juga keadaan operasi. “Mereka juga perlu mempunyai keyakinan tinggi serta kekal tenang ketika berhadapan cabaran. Dalam apa juga situasi, mereka tidak boleh mudah goyah dan perlu sentiasa stabil ketika menjalankan tugas,” katanya. Sementara itu, mengulas mengenai kes buli membabitkan kanak-kanak yang tular di media sosial baru-baru ini, Jauteh berkata polis sudah membuka kertas siasatan dan mengambil keterangan daripada mangsa serta individu yang dipercayai terbabit. Beliau berkata, kes berkenaan akan ditangani mengikut peruntukan undang-undang sedia ada memandangkan suspek terdiri daripada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun. Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terus menyebarkan video atau gambar berkaitan insiden berkenaan kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada pihak yang terlibat. “Kita minta masyarakat memberi ruang kepada polis, Jabatan Pendidikan dan Jabatan Kesihatan menjalankan siasatan serta tindakan sewajarnya. “Penyebaran secara berleluasa, termasuk komen yang tidak sesuai di media sosial, hanya akan memberi kesan negatif kepada semua pihak yang terlibat,” katanya. – Info X

June 25, 2026

Info X Reporters

Ops Tapis: 6 lelaki ditahan, dadah cecair dan ganja dirampas

PENAMPANG: Aktiviti penyalahgunaan dan pemilikan dadah di pusat hiburan, kafe serta premis kediaman di daerah ini terbongkar apabila enam lelaki tempatan ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, malam tadi. Operasi dijalankan dengan kerjasama BSJND IPD Kota Kinabalu menerusi Op Tapis di beberapa lokasi sekitar daerah Penampang bermula malam 24 Jun hingga awal pagi hari ini. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, semua suspek berusia antara 27 hingga 40 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah kafe, kawasan sekitar pusat hiburan di Damas 118 Plaza, Kepayan Point serta sebuah unit kondominium di Nosoob, Penampang. Beliau berkata, hasil pemeriksaan dan siasatan membawa kepada rampasan cecair disyaki dadah jenis MDMA/Psilocybin berjumlah 20.5 mililiter bernilai RM360 serta ganja seberat 5.41 gram yang dianggarkan bernilai RM120. “Keseluruhan nilai rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM480. “Siasatan awal mendapati seorang daripada suspek dipercayai bertindak sebagai pembekal kepada beberapa individu lain yang ditahan dalam operasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, susulan maklumat yang diperoleh daripada tangkapan awal, polis berjaya menahan seorang lagi suspek bersama sejumlah kecil cecair disyaki dadah sebelum melakukan serbuan susulan ke sebuah kondominium yang membawa kepada penemuan ganja dan penahanan dua lagi suspek. Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati lima daripada enam suspek positif dadah jenis THC, manakala seorang lagi didapati negatif. “Siasatan turut mendapati beberapa suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah. “Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dibaca bersama Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 akta sama serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. Katanya, Polis Daerah Penampang akan terus memperhebat operasi membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah terutama di kawasan pusat hiburan, premis perniagaan, kafe dan lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan penagih serta pengedar dadah. Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pengedaran atau penyalahgunaan dadah supaya menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah dadah demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat. – Info X

June 25, 2026

Info X Reporters

91 warga asing ditahan JIM dalam operasi bersepadu

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan 91 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam operasi bersepadu yang dilaksanakan di empat daerah, semalam. Hasil operasi Ops Selera, Ops Belanja, Ops Serkap, Ops Sapu dan Ops Kutip berkenaan, seramai 373 individu diperiksa melibatkan pelbagai lokasi yang dikenalpasti sebagai lokasi tumpuan warga asing. Dalam kenyataan yang dikeluarkan JIM Sabah berkata, dalam operasi di Kota Kinabalu, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 151 individu sebelum menahan 46 warga asing. Katanya, semua ditahan selepas disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen, termasuk tidak memiliki dokumen sah serta melanggar syarat pas di bawah Akta Imigresen 1959/63. “Tangkapan melibatkan warga Filipina iaitu seramai 14 lelaki, 18 perempuan dan 11 kanak-kanak. Pasukan operasi turut menahan dua lelaki warganegara Indonesia seorang lelaki warganegara Pakistan. “Dalam daerah Kudat, operasi penguatkuasaan berjaya memeriksa 46 individu dan membawa kepada penahanan sembilan warga melibatkan seorang lelaki, empat wanita dan empat kanak-kanak,” katanya. Menurutnya, operasi diteruskan di daerah Tawau dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Tawau. Katanya, seramai 159 individu diperiksa dan 21 warga asing ditahan terdiri daripada 11 lelaki, 11 wanita dan seorang kanak-kanak warganegara Filipina dan Indonesia. “Operasi diteruskan di daerah Ranau dan berjaya memeriksa seramai 17 individu sebelum seramai 13 PATI warga Filipina dan Indonesia,” katanya. Sehubungan itu, JIM Sabah menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa. Katanya, ia juga usaha membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara sentiasa dipelihara. – Info X

June 25, 2026

Info X Reporters

Rangka manusia ditemukan dalam parit, polis mohon bantuan orang ramai

LAHAD DATU: Penduduk di kawasan turunan Bukit Taman Pertama 1, di sini, gempar apabila menemui rangka manusia di dalam sebuah parit, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 10.53 pagi itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu menerima panggilan melalui talian MERS999 daripada orang awam yang memaklumkan penemuan berkenaan. Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, sepasukan polis kemudian bergegas ke lokasi sebelum mengesahkan penemuan itu. “Rangka manusia berkenaan kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Lahad Datu untuk tindakan lanjut serta menjalani pemeriksaan bagi mengenal pasti identiti dan punca kematian. “Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, polis meminta mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berkaitan penemuan rangka berkenaan supaya tampil membantu siasatan. “Orang ramai boleh hadir ke IPD Lahad Datu atau mana-mana balai polis berhampiran, atau menghubungi Timbalan Ketua Polis Balai Lahad Datu, Sarjan Mejar Ronney Lajius di talian 010-4641071. “Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi di media sosial yang boleh menjejaskan siasatan serta menjaga sensitiviti keluarga mangsa,” katanya. – Info X

June 25, 2026

Info X Reporters

Op Tiris 4.0: Stor seleweng diesel bersubsidi diserbu, lelaki ditahan

PENAMPANG: Kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang dipercayai beroperasi di sebuah stor di Jalan Kobusak, di sini, terbongkar selepas diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, semalam. Dalam serbuan kira-kira jam 2.30 petang menerusi Op Tiris 4.0 itu, seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun ditahan bagi membantu siasatan. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, hasil pemeriksaan membawa kepada rampasan sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton, 2,775 liter minyak diesel bersubsidi serta beberapa unit tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC). Beliau berkata, pasukan operasi turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan penyelewengan bahan api. “Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM158,826.75. “Suspek kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga 24 Jun lalu, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 81 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM22.79 juta. Katanya, dalam tempoh sama, seramai 75 individu turut ditahan bagi membantu siasatan pelbagai kes berkaitan penyelewengan barang kawalan. “PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti penyeludupan atau penyelewengan barang kawalan. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan ini diseru menyalurkannya kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil demi melindungi kepentingan negara serta kesejahteraan masyarakat,” katanya. – Info X

June 25, 2026

Info X Reporters

19 disyaki ahli pertubuhan haram ditahan ketika sambutan ulang tahun kumpulan

KENINGAU: Seramai 19 lelaki yang disyaki terbabit sebagai ahli sebuah pertubuhan haram ditahan ketika menghadiri sambutan ulang tahun kumpulan itu dalam Op Cantas Bersepadu (Gangsterisme) di sebuah premis makanan di Jalan Masjid, Keningau malam tadi. Dalam operasi kira-kira jam 9 malam itu, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah bersama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) menyerbu premis berkenaan sebelum menahan semua suspek berusia antara 14 hingga 59 tahun. Difahamkan, semua ahli kumpulan berkenaan berkumpul di lokasi serbuan bagi memperingati sambutan ulang tahun Kumpulan Kappa Rho Kappa atau Knight’s Of The Right Kepper’s (KRKK) yang diadakan setiap 24 Jun setiap tahun. Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, berdasarkan siasatan awal, kumpulan berkenana diwartakan sebagai pertubuhan haram oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 16 Disember 2015. Katanya, semua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966, manakala beberapa individu lain turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah. “Pemeriksaan fizikal mendapati lima individu yang mempunyai tanda tatu di tangan yang menandakan sebagai ahli kumpulan KRK. “Selain itu, dua individu lagi didapati memiliki Kad Keahlian KRK dan hanya empat suspek memiliki keterangan diri jenis MyKad, MyPR, MyKAS dan Pasport,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, 15 individu lain didapati tidak memiliki dokumen keterangan diri semua suspek mengaku tujuan mereka berkumpul adalah untuk memperingati sambutan ulang tahun pertubuhan berkenaan. Katanya, pihak polis turut merampas 15 telefon bimbit bagi membantu siasatan lanjut. – Info X

June 24, 2026

Info X Reporters

Dua pekerja melecur selepas kompresor kilang meletup, terbakar

KENINGAU: Dua pekerja mengalami kecederaan melecur selepas sebuah kompresor mesin pemotong kayu meletup dan terbakar dalam kejadian di sebuah kilang di Kampung Kuala Biah, di sini, petang tadi. Kebakaran turut memusnahkan sebuah kenderaan Toyota Land Cruiser yang berada berhampiran lokasi kejadian. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.18 petang sebelum sepasukan 13 anggota dikerahkan ke lokasi. Beliau berkata, setibanya pasukan bomba, didapati kebakaran melibatkan sebuah kompresor mesin pemotong kayu di dalam kilang yang terbakar sepenuhnya. “Kebakaran turut merebak dan memusnahkan sebuah Toyota Land Cruiser yang terbakar 100 peratus. “Berdasarkan maklumat saksi, kebakaran dipercayai bermula di dalam kilang sebelum berlaku letupan yang menyebabkan dua pekerja mengalami kecederaan melecur,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, seorang mangsa warga tempatan mengalami kecederaan melecur di bahagian belakang badan, manakala seorang lagi pekerja warga asing dilaporkan melecur kira-kira 80 peratus pada anggota badan. Katanya, kedua-dua mangsa dihantar ke hospital oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan sebelum ketibaan pasukan bomba. “Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 91 meter dengan dua pancutan menggunakan sumber air daripada jentera tangki air. “Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke struktur bangunan kilang sebelum memadamkan api sepenuhnya,” katanya. Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.38 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.40 petang selepas pemeriksaan memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian. – Info X