Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

June 24, 2026

Info X Reporters

Buli bukan hal remeh, Akta Antibuli 2026 wajar disokong

KOTA KINABALU: Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan Akta Antibuli 2026 yang mula berkuat kuasa pada 16 Jun lalu sebagai langkah memperkukuh perlindungan terhadap mangsa buli serta mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, harmoni dan berteraskan nilai kemanusiaan. Pengerusinya, Yazid Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata penguatkuasaan akta berkenaan membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menangani gejala buli yang semakin membimbangkan dan memberi kesan besar terhadap kesejahteraan fizikal, emosi serta mental mangsa. Beliau berkata, isu buli tidak lagi boleh dianggap sebagai perkara remeh kerana kesannya boleh berpanjangan sehingga menjejaskan keyakinan diri, prestasi akademik, hubungan sosial dan masa depan mangsa. “Buli dalam apa jua bentuk sama ada fizikal, lisan, psikologi, sosial mahupun siber adalah perbuatan yang tidak boleh diterima dalam masyarakat yang bertamadun. “Setiap individu berhak hidup, belajar dan bekerja dalam suasana yang selamat, dihormati serta bebas daripada sebarang bentuk gangguan, ancaman atau intimidasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. Beliau berkata, pelaksanaan Akta Antibuli 2026 bukan saja memberi perlindungan undang-undang yang lebih jelas kepada mangsa, malah berperanan sebagai mekanisme pencegahan bagi membendung budaya buli daripada terus menular dalam kalangan masyarakat. Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak termasuk sekolah, institusi pengajian tinggi, asrama, organisasi, ibu bapa, pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi berkaitan agar berganding bahu dalam usaha mendidik serta membentuk generasi yang menghormati hak orang lain. “Pendidikan mengenai nilai hormat-menghormati, empati, kasih sayang dan tanggungjawab sosial perlu diterapkan sejak usia muda bagi melahirkan masyarakat yang lebih beradab dan berintegriti. “Pencegahan adalah lebih baik daripada rawatan. Oleh itu, usaha membanteras buli memerlukan komitmen berterusan daripada semua lapisan masyarakat, bukan hanya bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang semata-mata,” katanya. Beliau turut menyambut baik penubuhan Tribunal Antibuli yang diperuntukkan di bawah akta berkenaan kerana ia dapat menyediakan saluran yang lebih teratur dan berkesan bagi memastikan aduan mangsa diberi perhatian sewajarnya serta keadilan dapat ditegakkan. Jelasnya, kewujudan tribunal itu akan meningkatkan keyakinan masyarakat untuk tampil melaporkan kes buli tanpa rasa takut atau bimbang terhadap sebarang bentuk tekanan. “Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor berharap pelaksanaan Akta Antibuli 2026 akan menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang lebih prihatin, berakhlak mulia, saling menghormati dan menolak sebarang bentuk keganasan serta penindasan. “Buli bukan budaya kita. Hentikan buli, suburkan nilai kemanusiaan, hormat-menghormati dan kasih sayang demi membina masa depan yang lebih aman, selamat dan sejahtera untuk semua,” katanya. – Info X

June 24, 2026

Info X Reporters

Madius tuntut penjelasan isu persetujuan Sabah dalam pelaksanaan AKPS

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menuntut penjelasan jelas daripada Kerajaan Persekutuan berhubung sama ada persetujuan rasmi Kerajaan Sabah diperoleh sebelum pelaksanaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (AKPS) diperluaskan ke negeri itu. Beliau berkata, persoalan yang dibangkitkannya di Parlimen sebelum ini masih belum dijawab secara langsung walaupun penjelasan diberikan Menteri berkaitan menyentuh beberapa aspek proses rundingan dan libat urus dengan kerajaan negeri. Menurutnya, soalan yang dikemukakan adalah mudah dan hanya memerlukan jawapan sama ada “ya” atau “tidak” berhubung status persetujuan Sabah terhadap pelaksanaan akta berkenaan. “Dalam jawapan yang diberikan, Menteri menyatakan Kerajaan Sabah telah dirujuk, memberikan ulasan, terlibat dalam sesi libat urus serta bersetuju menyerahkan sembilan pintu masuk kepada AKPS. “Namun perkara pokok yang saya tanyakan tidak dijawab secara langsung, iaitu sama ada Kerajaan Persekutuan telah memperoleh persetujuan rasmi daripada Kerajaan Sabah sebelum pelaksanaan AKPS diperluaskan ke negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Madius berkata, proses dirujuk atau sesi libat urus tidak boleh dianggap sebagai persetujuan rasmi seperti yang diperlukan dalam perkara yang menyentuh hak serta autonomi Sabah. Katanya, mendapatkan pandangan kerajaan negeri juga tidak semestinya bermaksud kelulusan atau persetujuan telah diberikan. Beliau turut mempersoalkan sama ada Kerajaan Persekutuan telah memperoleh persetujuan rasmi sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya apabila sesuatu tindakan melibatkan hak-hak istimewa dan kedudukan Sabah yang dijamin ketika pembentukan Malaysia. Menurutnya, jawapan yang diberikan juga tidak menyentuh beberapa perkara penting termasuk Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan, persetujuan Yang di-Pertua Negeri Sabah, persetujuan rasmi Kerajaan Negeri Sabah atau keputusan Kabinet Negeri yang berkaitan. “Jika persetujuan itu telah diperoleh, mengapa sukar untuk menyatakan ‘ya’. Jika tidak diperoleh, mengapa tidak dijawab ‘tidak’. “Rakyat Sabah berhak mengetahui perkara sebenar kerana isu ini bukan soal politik kepartian, tetapi membabitkan penghormatan terhadap Perlembagaan Persekutuan, semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta hak dan autonomi Sabah,” katanya. Beliau berkata, sebagai Ahli Parlimen Tuaran, beliau akan terus menuntut penjelasan berhubung perkara itu dan memastikan hak perlembagaan Sabah terus dipertahankan. “Hak Sabah tidak boleh dipertahankan melalui andaian, tafsiran atau jawapan yang mengelak. Dalam perkara yang melibatkan hak perlembagaan negeri ini, rakyat Sabah berhak mendapat jawapan yang jelas, jujur dan terus kepada pokok persoalan. “Persoalan yang masih belum terjawab sehingga hari ini ialah sama ada persetujuan Kerajaan Sabah telah diperoleh atau tidak sebelum pelaksanaan AKPS diperluaskan ke Sabah,” katanya. – Info X

June 24, 2026

Info X Reporters

PIBG, sekolah perlu giatkan usaha kesedaran elak kejadian buli – Jamawi

TENOM: Semua pihak, khususnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta sekolah perlu mempergiatkan usaha kesedaran bagi membendung gejala buli dalam kalangan pelajar. Perkara itu ditekankan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar ketika mengulas insiden buli membabitkan murid sebuah asrama sekolah rendah di Tenom yang tular baru-baru ini. “Kita mengharapkan kerjasama semua pihak terutamanya PIBG dan sekolah agar mengambil langkah-langkah kesedaran elakkan buli di sekolah masing-masing agar perkara seperti ini tidak berulang. “Semoga ianya menjadi pengajaran penting untuk kita semua,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. Sementara itu, Jamawi yang juga ADUN Melalap menggesa orang ramai supaya tidak menularkan gambar dan video berkaitan insiden buli terbabit. Katanya, siasatan terhadap kes itu diserahkan kepada polis dan semua pihak perlu memberi kerjasama termasuk menghentikan penyebaran gambar dan video insiden berkenaan. “Kita serahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. “Kita harus hormati permintaan ahli keluarga mangsa dan pelajar untuk tidak viralkan gambar dan video tersebut,” katanya. Terdahulu, polis daerah Tenom mengesahkan menerima satu laporan berhubung kejadian seorang murid perempuan yang dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah asrama sekolah di Tenom sebagaimana yang tular di media sosial. Ketua Polis Daerah Tenom, Superintenden Azmir Abdul Razak berkata, susulan laporan yang diterima pada 23 Jun, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan, Seksyen 507B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Katanya, hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 11 Jun lalu di sebuah asrama sekolah di daerah itu. “Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dan telah dirujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya. Setakat ini tiga individu dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom bagi membantu siasatan, termasuk pelaku serta individu yang dipercayai terlibat dalam rakaman dan penyebaran video kejadian itu. “Beberapa barang kes turut dirampas bagi tujuan siasatan,” katanya. Azmir berkata, pihak polis memandang serius sebarang bentuk perbuatan buli, keganasan serta penyebaran kandungan yang boleh mengaibkan atau mengancam mangsa. “Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan semula video kejadian kerana tindakan itu boleh menjejaskan siasatan serta memberi kesan kepada kebajikan dan emosi mangsa yang masih di bawah umur. – Info X

June 24, 2026

Info X Reporters

Agong kurnia sumbangan RM500,000 kepada mangsa kebakaran Kudat dan Sandakan

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor merakamkan penghargaan bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar mengurniakan sumbangan untuk mangsa kebakaran di Kudat dan Sandakan. Sumbangan berjumlah RM500,000 itu disampaikan Pemegang Amanah Urusan Yayasan Sultan Ibrahim Johor, Tan Sri Avinderjit Singh kepada Ketua Menteri sambil disaksikan sendiri Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, di sini, pada Rabu. Hajiji menyifatkan sumbangan Yang di-Pertuan Agong itu sebagai tanda keprihatinan baginda terhadap rakyat Sabah yang terjejas akibat bencana berkenaan. “Kerajaan Negeri amat menghargai sumbangan dan sokongan yang diberikan, khususnya tragedi kebakaran di Kampung Gumpa, Kudat serta tragedi kebakaran besar di Kampung Bahagia, Sandakan,” katanya. Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri Sabah melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah akan terus memperkukuh usaha penyelarasan bantuan kebajikan, pengurusan pusat pemindahan sementara serta memastikan kebajikan dan kesejahteraan mangsa sentiasa terpelihara. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Datuk Awang Shahminan Sahari; Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Datuk Walter Kenson dan Pegawai Daerah Kudat, Charles William Dabbi. Pada 16 April lalu, lapan rumah terbakar membabitkan 67 mangsa di Kampung Gumpa, Kudat manakala pada 18 April, sebanyak 1,050 rumah dijilat api hingga menjejaskan 914 Ketua Isi Rumah (KIR) di Kampung Bahagia, Sandakan. – Info X

June 24, 2026

Info X Reporters

Team Futsal SUKMA Sabah sasar tiga terbaik pada temasya SUKMA 2026

KOTA KINABALU: Pasukan Futsal SUKMA Sabah menyasarkan kedudukan tiga terbaik pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor yang dijangka berlangsung Ogos depan. Ketua Jurulatih SUKMA Futsal Sabah, Azman Soaibah, berkata pasukannya kini berada di landasan tepat dalam mempersiapkan diri menghadapi perlawanan SUKMA dengan sasaran untuk melangkah sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir. Katanya, persiapan rapi mula diatur sejak April lalu, termasuk penyertaan dalam kejohanan pendedahan di Johor bagi menguji tahap kemampuan pemain. “Genap sebulan kita menjalani latihan fizikal dan taktikal bermula dari April hingga Jun. Selepas ini, tiada lagi waktu rehat, kita akan terus fokus di mana tahap kesediaan pasukan kini sudah mencapai 70 hingga 75 peratus,” katanya. Beliau berkata demikian kepada media selepas perlawanan persahabatan di antara pasukan SUKMA Futsal Sabah dan pasukan DMNA FC yang diketuai Ketua Pegawai Operasi Marmaz Group Holdings Sdn Bhd, Datuk Mohamad Nazir Ali, di sini. Azman berkata, sebagai sebahagian daripada fasa terakhir persiapan, skuad futsal SUKMA Sabah dijadual bakal menguji kekuatan menentang pasukan antarabangsa, Brunei Darussalam, pada Julai nanti. Mengulas mengenai senarai akhir pemain, beliau berkata proses senarai pendek sudah dilakukan pada 19 Jun lalu. Bagaimanapun, katanya pihak kejurulatihan masih dalam fasa menilai sama ada mahu membawa konfigurasi dua atau tiga penjaga gol bagi mengelakkan implikasi buruk sekiranya berlaku kecederaan pada saat akhir. “Saya mahu pastikan pasukan kita tahun ini tidak hanya bergantung kepada empat atau lima orang sahaja. Kita akan gunakan sepenuhnya semua pemain yang dibawa, di mana semua orang dalam skuad mempunyai kualiti dan peluang untuk bermain,” katanya. Sementara itu, katanya kehadiran pihak pengurusan Marmaz Group Holdings Sdn Bhd ke sesi itu membuktikan sokongan padu sektor korporat terhadap pembangunan sukan negeri. Ketua Pegawai Eksekutif Marmaz Group Holdings Sdn Bhd, Datuk Jimsbon Unding, yang turut hadir memberikan sokongan moral kepada pasukan Sabah, menyatakan harapan agar lebih banyak syarikat tempatan tampil ke hadapan. – Info X

June 24, 2026

Info X Reporters

Laporan polis dibuat selepas komen hina TYT Sabah tular

KOTA KINABALU: Tindakan seorang pengguna media sosial dipercayai memuat naik komen berunsur penghinaan dan kata-kata kesat terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah (TYT), Tun Musa Aman, mengundang kecaman ramai selepas kandungan itu tular di media sosial. Susulan itu, Pengerusi Wakil Pertubuhan Kebajikan Komuniti Kingfisher Sabah (PERKINGSA), Mohd Zul Feqar Mudry tampil membuat laporan polis di Balai Polis Alam Mesra, di sini, malam tadi bagi meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook terbabit. Dalam laporan berkenaan, Mohd Zul mendakwa melihat satu komen dimuat naik oleh akaun Facebook menggunakan nama “Rosnan Nan” dalam ruangan komen Facebook rasmi TYT Sabah kira-kira jam 9.13 malam, sebelum tangkap layar kandungan itu mula tersebar luas di media sosial. Menurutnya, komen terbabit mengandungi pelbagai perkataan kesat, makian serta penghinaan yang jelas ditujukan kepada TYT Sabah. Beliau berkata, kandungan berkenaan bukan sahaja melampaui batas kesopanan dan adab masyarakat, malah boleh menjejaskan maruah, reputasi serta kedudukan institusi Yang diPertua Negeri Sabah. “Dalam laporan polis itu, saya menyatakan komen berkenaan berpotensi menimbulkan kebencian dan penghinaan terhadap TYT Sabah selain mengganggu ketenteraman awam serta keharmonian masyarakat. “Ia juga boleh mencemarkan imej institusi Yang di-Pertua Negeri Sabah dan menggalakkan budaya komunikasi tidak beradab serta bersifat provokatif dalam media sosial,” katanya. Sehubungan itu, beliau memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pemilik sebenar akaun Facebook berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan. Mohd Zul turut menyertakan tangkap layar komen terbabit sebagai bahan rujukan dan bukti bagi membantu siasatan lanjut. Beliau berkata, laporan polis itu dibuat demi kepentingan awam selain memastikan media sosial tidak disalahgunakan untuk menyebarkan penghinaan, kebencian dan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat. Terdahulu, tangkap layar komen berkenaan tular di beberapa platform media sosial dan menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang menggesa tindakan tegas diambil terhadap individu terbabit bagi memastikan pengguna media sosial lebih bertanggungjawab terhadap kandungan yang dimuat naik. – Info X

June 23, 2026

Info X Reporters

CCTV, rondaan berkala pastikan pengguna LPB patuhi had laju, undang-undang

KOTA KINABALU: Kerajaan perlu memperkukuh penguatkuasaan di sepanjang jajaran Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah bagi menjamin keselamatan pengguna dan mengelak kemalangan jalan raya. Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, berkata ia boleh dilakukan melalui pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), rondaan berkala dan pendidikan keselamatan jalan raya yang berterusan. Perkara itu dibangkitkan ketika beliau membahas Rang Undang-Undang Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2026 pada Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur pada Selasa. Beliau berkata, apabila jajaran LPB siap sepenuhnya, jumlah kenderaan dijangka meningkat dengan ketara, sekali gus berkemungkinan mendorong sesetengah pemandu memandu laju melebihi had yang ditetapkan. Dalam pada itu, Matbali yang juga Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) mahu supaya pemeriksaan di pintu sempadan negara terus diperkukuh khususnya terhadap kenderaan luar yang memasuki negara ini. Katanya, Sipitang mempunyai kedudukan strategik yang menghubungkan Sabah dengan negara jiran dan wilayah bersempadan melalui pintu sempadan Sindumin di Sipitang serta Merapok di Lawas yang menjadi laluan penting dan semakin sibuk. “Kemasukan kenderaan dari luar negara seperti Brunei Darussalam dan pergerakan rentas sempadan dari Kalimantan, Indonesia, pada masa hadapan memerlukan penguatkuasaan yang lebih tersusun. “Semua pengguna jalan raya, tanpa mengira asal negara, mestilah mematuhi undang-undang Malaysia. Ini penting kerana soal keselamatan dan pematuhan undang-undang tidak boleh dikompromi,” katanya. Jelasnya, pemeriksaan dokumen, permit, insurans, lesen memandu dan pematuhan teknikal kenderaan di pintu masuk sempadan perlu diperkasa demi melindungi pengguna jalan raya tempatan. Mengenai rang undang-undang itu, beliau menyambut baik pindaan yang dibuat dan menyifatkannya sebagai amat relevan bagi negeri Sabah dan Sarawak. “Ini kerana kedua-dua negeri ini berdepan cabaran geografi, infrastruktur dan penguatkuasaan yang berbeza berbanding Semenanjung. “Apabila dilaksanakan kelak, pindaan ini diyakini dapat meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, mengurangkan kadar kemalangan dan memperkukuh penguatkuasaan di seluruh negeri,” katanya. Matbali berkata skop pindaan yang meliputi empat kategori iaitu digitalisasi, denda, peruntukan baharu dan penambahbaikan peruntukan menjurus ke arah kebaikan, sejajar dasar keselamatan jalan raya yang diamalkan di banyak negara. Beliau turut merujuk data yang menunjukkan trend peningkatan kemalangan maut dalam beberapa tahun mutakhir ini “Pada tahun 2022, terdapat 6,080 kes kemalangan maut, meningkat kepada 6,300 kes pada tahun berikutnya, kemudian 6,464 kes pada tahun 2024 dan terus melonjak kepada 6,537 kes tahun lepas “Pindaan ini penting dalam usaha mendisiplinkan pengguna dan pemandu. Jalan raya bukan gelanggang perlumbaan dan bukan tempat untuk menguji keberanian,” katanya. – Info X

June 23, 2026

Info X Reporters

Murid perempuan dibuli dalam asrama, tiga pelajar dipanggil bantu siasatan

TENOM: Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian seorang murid perempuan berusia 10 tahun yang dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah asrama sekolah di daerah ini selepas video kejadian itu tular di media sosial. Dalam kejadian dipercayai berlaku pada 11 Jun lalu di asrama puteri sebuah sekolah rendah di pedalaman Tenom, mangsa dilaporkan dipukul, ditendang dan ditarik rambut sehingga mengalami kecederaan pada muka serta kaki. Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abdul Razak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8 pagi, Selasa, sebelum membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 325 dan Seksyen 507B Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan antara mangsa dan seorang pelajar perempuan berusia 11 tahun yang merupakan rakan sekelas serta tinggal di bilik asrama yang sama. “Hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai terlanggar tali ampaian pakaian sehingga menyebabkan pakaian milik suspek terjatuh ke tanah. “Suspek kemudian bertindak memarahi mangsa sebelum menarik rambutnya dan membawanya masuk ke dalam bilik asrama sebelum memukul, menendang serta menarik rambut mangsa berulang kali,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, ketika kejadian, dua lagi pelajar perempuan dipercayai merakam perbuatan berkenaan menggunakan telefon bimbit milik suspek utama sebelum video itu dimuat naik ke status WhatsApp miliknya dua hari kemudian. Katanya, setakat ini tiga individu sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom bagi membantu siasatan, termasuk pelaku serta individu yang dipercayai terbabit dalam rakaman dan penyebaran video berkenaan. “Beberapa barang kes termasuk telefon bimbit yang digunakan turut dirampas bagi membantu siasatan. “Mangsa juga sudah dirujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala keterangan saksi serta pihak sekolah sedang dirakam,” katanya. Azmir berkata, polis memandang serius sebarang bentuk buli, keganasan serta penyebaran kandungan yang boleh mengaibkan atau mengancam mangsa terutama membabitkan kanak-kanak. Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. “Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan semula video kejadian kerana ia boleh menjejaskan siasatan serta memberi kesan kepada kebajikan dan emosi mangsa yang masih di bawah umur,” katanya. Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut. Terdahulu, satu video didakwa memaparkan perbuatan buli membabitkan murid di sebuah sekolah pedalaman tular di media sosial pada Selasa. Video berkenaan memaparkan seorang kanak-kanak perempuan dipukul hingga menangis sebelum dipaksa ke bilik air untuk mencuci muka dan dipercayai dirakam oleh rakan yang melakukan perbuatan itu. – Info X