Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

June 23, 2026

Info X Reporters

Kanak-kanak 8 tahun dikhuatiri lemas selepas tergelincir ke sungai

PAPAR: Seorang kanak-kanak berusia 8 tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Jalan Manggis, Kampung Kaiduan, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Najmal Walki dikatakan sedang bermain di tepi sungai berkenaan sebelum tiba-tiba tergelincir ke dalam sungai. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rony Sikawan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 8.28 pagi. Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 30 kilometer dari BBP Papar. “Menurut maklumat awal daripada penduduk kampung di lokasi, mangsa dilihat hanyut di Sungai Kampung Mandalipau dan pasukan bomba terus membuat staging di Jambatan Kampung Mandalipau, kira-kira 3KM dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh. “Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turut digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi Mencari dan Menyelamat (SAR),” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, operasi pencarian dijalankan menggunakan kaedah pencarian atas air selain melakukan dua selaman oleh pasukan PPDA. Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut dibantu oleh pasukan Papar Water Rafting dan setakat jam 5.10 petang tadi, mangsa masih belum dijumpai. “Operasi SAR telah ditangguhkan pada jam 5.10 petang dan akan disambung semula esok dan sebarang maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X

June 23, 2026

Info X Reporters

PPM tumpaskan sindiket seleweng bahan api, rampas lebih setengah juta ringgit

KOTA KINABALU: Kegiatan penyelewengan barang kawalan bersubsidi membabitkan minyak diesel dan petrol berjaya dibongkar Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menerusi dua operasi berasingan di Semporna dan Kota Kinabalu yang membawa kepada rampasan bernilai lebih RM526,000. Dalam operasi dijalankan di bawah Op Taring Landai Khas itu, enam individu termasuk dua warga asing turut ditahan bagi membantu siasatan. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, operasi pertama dijalankan pada 21 Jun lalu di kawasan perumahan atas air Kampung Mesra, Semporna. Menurutnya, hasil pemeriksaan menemukan dua bot bersama 277 jerikin berisi minyak petrol yang dipercayai disimpan tanpa kebenaran sah. “Nilai keseluruhan rampasan dalam operasi di Semporna dianggarkan berjumlah RM132,651. “Rampasan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti penyelewengan barang kawalan untuk pasaran tertentu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, operasi kedua pula dilaksanakan pada 22 Jun di sebuah gudang di Taman Dai Ming Baru, di sini. Katanya, serbuan itu membawa kepada penemuan 17,250 liter minyak diesel bersubsidi yang disimpan di dalam lapan unit tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC) dan sebuah skid tank. “Turut dirampas beberapa kenderaan serta peralatan yang dipercayai digunakan untuk memindahkan minyak diesel. “Dalam serbuan sama, enam individu terdiri daripada empat warga tempatan dan dua warga asing berusia antara 25 hingga 57 tahun ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya. Menurutnya, jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi kedua-dua operasi itu dianggarkan mencecah RM526,533.50. Ahmad Amri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penyimpanan dan pemilikan barang kawalan tanpa kebenaran. “PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat operasi serta pemantauan bagi membanteras kegiatan penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan yang boleh menjejaskan kepentingan rakyat serta ekonomi negara,” katanya. – Info X

June 23, 2026

Info X Reporters

Kemajuan Projek LPB dipantau rapi, jika lewat ada kos perlu ditanggung – Salleh

KOTA KINABALU: Setiap kelewatan terhadap Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) membawa kos kepada kerajaan, selain menangguhkan manfaat yang sepatutnya dinikmati rakyat. Ketua Merinyu Projek Kerajaan Negeri, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata atas sebab itu beliau menegaskan komitmennya untuk terus memantau secara rapi pelaksanaan projek berkenaan. Katanya, setakat ini beberapa pakej utama projek LPB Sabah menunjukkan kemajuan memberangsangkan dan berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran penting tahun ini. “Saya amat teruja dengan kemajuan yang dicapai setakat ini. Pakej Kerja (WP) 3, 4, 10 dan 29 berada di landasan yang tepat untuk memperoleh Sijil Siap Sebahagian (CPC) pada tahun ini,” katanya selepas lawatan tapak Projek LPB bersama pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR), kontraktor dan agensi berkaitan. Bekas Ketua Menteri itu berkata, satu pencapaian penting direkodkan di bawah WP4 apabila jajaran baharu empat lorong dua hala antara Jejambat Bongawan dan Jejambat Benoni dibuka kepada pengguna pada 15 Jun 2026. Katanya, laluan baharu itu dijangka meningkatkan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya. Sementara itu, katanya kontraktor pakej WP6 dan WP7 dijangka menyiapkan skop kerja asal masing-masing, memperoleh status CPC dan membuka laluan dari Jejambat Putatan ke Persimpangan Bertingkat Sepanggar menjelang Oktober depan. “Lima lagi pakej di bawah Fasa 1A dijadualkan siap antara 2027 hingga 2028. “Walaupun kemajuan yang dicapai adalah memberangsangkan, tidak sepatutnya ada ruang untuk kelewatan yang boleh dielakkan,” katanya. Beliau menegaskan kelewatan projek bukan sahaja meningkatkan kos pembinaan, malah melambatkan manfaat ekonomi dan sosial yang sepatutnya diterima oleh rakyat. “Setiap kelewatan ada kos. Ia meningkatkan perbelanjaan projek dan menangguhkan manfaat pembangunan yang sepatutnya dinikmati rakyat Sabah,” katanya. Sebagai Ketua Merinyu Projek Sabah, Salleh berkata beliau akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan mengikut jadual dan sebarang isu yang menjejaskan kemajuan dapat ditangani dengan segera. “Jadual sudah ditetapkan. Sasaran sudah diketahui. Rakyat Sabah mengharapkan hasil. Tanggungjawab kita adalah memastikan setiap pakej disiapkan mengikut jadual,” katanya. – Info X

June 23, 2026

Info X Reporters

6,850 liter petrol disyaki diseleweng dirampas di Semporna

SEMPORNA: Sebanyak 6,850 liter minyak petrol disyaki untuk tujuan penyelewengan dirampas dalam dua operasi berasingan di kawasan perkampungan atas air Kampung Mesra, di sini, hari ini. Rampasan itu diperoleh hasil pemeriksaan yang dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah sebelum diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna untuk tindakan lanjut. Dalam kes pertama, pihak berkuasa merampas 4,350 liter minyak disyaki petrol yang disimpan dalam 174 jerikin berkapasiti 25 liter setiap satu. Turut disita dua bot kayu berwarna kelabu, sebuah enjin sangkut 200 kuasa kuda (HP) dan dua enjin sangkut 85HP. Kes kedua pula membabitkan rampasan 2,500 liter minyak disyaki petrol yang disimpan dalam 100 jerikin berkapasiti 25 liter. Menurut kenyataan KPDN Sabah, kedua-dua rampasan itu dibuat tanpa sebarang tangkapan selepas tiada individu tampil mengaku memiliki barang berkenaan ketika operasi dijalankan. “Nilai rampasan barang kawalan dianggarkan sebanyak RM25,482 manakala keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dan enjin yang disita berjumlah kira-kira RM52,482. “Susulan itu, KPDN Cawangan Semporna membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu semalam. KPDN berkata, Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) akan terus dipergiatkan bagi mengekang aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi yang boleh menjejaskan bekalan kepada pengguna serta menyebabkan ketirisan subsidi kerajaan. Menurutnya, pihak yang didapati melanggar peruntukan Akta Kawalan Bekalan 1961 boleh dikenakan tindakan tegas. Bagi individu, sabitan kesalahan boleh membawa denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Sementara itu, syarikat yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan berikutnya. – Info X

June 23, 2026

Info X Reporters

Pengedar dadah warga asing ditahan

LAHAD DATU: Kegiatan seorang lelaki warga asing yang dipercayai aktif mengedar dadah di daerah ini terbongkar apabila ditahan dalam serbuan Op Tapis di Kampung Sharip Simunul, di sini, semalam. Dalam serbuan itu, polis turut merampas dadah disyaki syabu seberat 50.75 gram yang dianggarkan bernilai RM5,582.50. Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, suspek lelaki warga asing berusia 40 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dalam operasi yang dijalankan hasil risikan dan maklumat awam. Katanya, pemeriksaan terhadap suspek menemukan lapan paket plastik lutsinar yang mengandungi bahan disyaki syabu. “Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah seberat 50.75 gram dengan anggaran nilai pasaran RM5,582.50. “Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek juga mendapati dia positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Dzulbaharin berkata, suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan jika sabit kesalahan, serta Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana penyalahgunaan dadah. Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sumber bekalan dadah berkenaan serta mengesan rangkaian pengedaran yang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek. “Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah. “Kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah dadah amat dihargai bagi memastikan daerah ini bebas daripada ancaman dadah,” katanya. – Info X

June 22, 2026

Info X Reporters

Tindakan tatatertib: Setiap pelajar diberi peluang yang adil – UMS

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) komited untuk memastikan setiap pelajar diberikan peluang yang adil dan sewajarnya selaras dengan prinsip keadilan, tadbir urus yang baik dan peraturan universiti yang berkuat kuasa. Menerusi satu kenyataan pada Isnin, UMS menyatakan pihaknya mengambil maklum pelbagai pandangan yang dikemukakan berhubung proses tindakan yang sedang dilaksanakan membabitkan dua pelajarnya. “Proses tersebut dimulakan berdasarkan maklumat dan laporan yang diterima daripada pihak berkuasa. “UMS ingin menegaskan bahawa proses yang sedang berjalan ini bertujuan memberi ruang kepada pihak-pihak yang berkaitan untuk mengemukakan penjelasan serta membolehkan universiti meneliti semua fakta dan maklumat yang relevan. “Universiti komited untuk memastikan setiap pelajar diberikan peluang yang adil dan sewajarnya selaras dengan prinsip keadilan, tadbir urus yang baik dan peraturan universiti yang berkuat kuasa,” katanya. Menerusi kenyataan itu, UMS menegaskan sebagai institusi pendidikan tinggi awam, ia sentiasa mendukung aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi dalam melahirkan mahasiswa yang berilmu, berfikiran kritis, berintegriti dan bertanggungjawab. Jelasnya, universiti juga percaya bahawa penglibatan mahasiswa dalam isu-isu masyarakat adalah sebahagian daripada proses pembelajaran dan pembangunan kepimpinan. “Pada masa yang sama, semua warga universiti mempunyai tanggungjawab untuk menghormati undang-undang, peraturan yang berkuat kuasa serta nilai-nilai yang mendasari keharmonian dan kesejahteraan masyarakat. “Sehubungan itu, UMS memohon kerjasama semua pihak untuk menghormati proses yang sedang berjalan dan memberi ruang kepada universiti melaksanakan tanggungjawabnya secara profesional, adil dan saksama,” katanya. Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim meminta UMS meneliti semula tindakan tatatertib terhadap dua pelajarnya, Fidaa’ Ahmad Fahmi dan Abdul Qayyum yang menerima notis prosiding tatatertib daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang UMS. Ia berikutan pembabitan mereka dalam protes berhubung perobohan rumah di Kampung Asaon, Kudat pada Mei lalu. Prosiding tatatertib terhadap kedua-dua mahasiswa itu dijadualkan berlangsung pada 9 Julai depan. Adam Adli turut menyatakan kesediaannya hadir ke UMS sekiranya prosiding berkenaan diteruskan bagi memastikan proses itu berjalan secara adil. – Info X

June 22, 2026

Info X Reporters

Kadar pengangguran turun bukti ekonomi Sabah semakin baik – Azrul

KOTA KINABALU: Sabah berada di landasan yang betul dalam usaha meningkatkan ekonomi dan menambah peluang pekerjaan sebagai langkah utama untuk menurunkan kadar pengangguran yang sebelum ini pada tahap yang tinggi. Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim, berkata sehingga suku pertama tahun ini, kadar pengangguran di negeri ini menurun kepada 5.5 peratus berbanding 6.0 peratus pada suku keempat tahun lalu. Beliau berkata, angka yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan (DOSM) itu menunjukkan perbezaan yang ketara berbanding kadar pengangguran 8.2 peratus yang direkodkan ketika kemuncak COVID-19 sebelum ini, iaitu kadar pengangguran tertinggi pernah direkodkan di Sabah. Katanya, penurunan kadar pengangguran kepada 5.5 peratus berdasarkan Laporan Survei Tenaga Buruh Suku Tahun Pertama 2026 yang dikeluarkan DOSM disokong peningkatan bilangan penduduk bekerja kepada 1.78 juta orang berbanding 1.76 juta orang pada suku sebelumnya. Laporan itu, juga katanya menyatakan bilangan tenaga buruh turut bertambah kepada 1.89 juta orang dengan kadar penyertaan tenaga buruh kekal tinggi pada 70.3 peratus. “Pencapaian ini selari dengan prestasi sosioekonomi Sabah yang positif sebagaimana dilaporkan oleh DOSM. “Sentimen perniagaan yang memberangsangkan, prospek ekonomi yang terus menggalakkan serta kapasiti industri yang mencecah 78.7 peratus pada Suku Tahun Pertama 2026 menyumbang kepada pengukuhan pasaran buruh dan pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Azrul berkata, apa yang lebih signifikan, Sabah terus merekodkan penurunan kadar pengangguran secara konsisten walaupun pada peringkat nasional berlaku peningkatan kadar pengangguran pada beberapa tempoh tertentu, malah terdapat beberapa negeri lain yang mencatatkan kenaikan kadar pengangguran. Sebaliknya, beliau berkata walaupun dalam keadaan ekonomi global yang masih mencabar, Sabah berjaya mengekalkan momentum pemulihan pasaran buruh dengan mencatatkan penurunan berterusan, sekali gus membuktikan daya tahan ekonomi negeri serta keberkesanan dasar yang dilaksanakan. “Sejak mencatatkan kadar pengangguran tertinggi sebanyak 8.2 peratus ketika kemuncak pandemik COVID-19, Sabah telah berjaya menurunkannya kepada hanya 5.5 peratus pada Suku Tahun Pertama 2026. “Ini bermakna kadar pengangguran negeri telah berkurangan sebanyak 2.7 mata peratusan dalam tempoh beberapa tahun, satu pencapaian yang mencerminkan keberkesanan dasar dan inisiatif Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor dalam memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif dan berorientasikan penciptaan pekerjaan,” katanya. Antara faktor utama yang menyumbang kepada perkembangan positif itu, katanya ialah kejayaan kerajaan negeri menarik pelaburan domestik dan asing yang membuka peluang pekerjaan baharu dalam pelbagai sektor. Jelasnya, usaha kerajaan memperkasa sektor perkhidmatan awam negeri bagi meningkatkan kapasiti penyampaian dan menyediakan lebih banyak ruang pekerjaan kepada anak tempatan turut menyumbang kepada perubahan itu. Katanya, perkembangan positif itu juga disokong menerusi langkah kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif pekerjaan dan peningkatan pendapatan khusus kepada golongan miskin tegar dan miskin bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat menyertai pasaran buruh secara produktif. “Perkembangan memberangsangkan ini turut diterjemahkan melalui penurunan kadar pengangguran dalam kalangan siswazah daripada 9.4 peratus pada 2020 kepada 7.1 peratus pada 2024. “Penurunan ini membuktikan bahawa usaha kerajaan negeri untuk menyediakan lebih banyak pekerjaan berkualiti tinggi mula menampakkan hasil. “Semakin ramai graduan dan anak muda Sabah kini berpeluang memperoleh pekerjaan yang lebih kritikal, setanding dengan kelayakan mereka serta menawarkan gaji yang lebih bermaruah sebagaimana yang diharapkan oleh golongan berpendidikan tinggi,” katanya. Azrul berkata, kejayaan awal itu dijangka akan terus diperkukuhkan pada masa hadapan menerusi pembangunan taman-taman perindustrian baharu di Sabah, termasuk yang berteraskan ekonomi biru serta industri bernilai tinggi. Katanya, inisiatif itu dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan lebih baik dalam sektor maritim, logistik, pemprosesan makanan, tenaga, teknologi dan perkhidmatan profesional, sekali gus menyediakan ruang kerjaya yang lebih luas kepada graduan dan tenaga kerja tempatan. “Trend penurunan pengangguran yang konsisten ini membuktikan bahawa pertumbuhan ekonomi Sabah di bawah GRS bukan sekadar diterjemahkan dalam bentuk angka, tetapi turut membawa manfaat langsung kepada rakyat melalui peningkatan peluang pekerjaan, pengurangan kadar pengangguran dan peningkatan taraf hidup, khususnya dalam kalangan anak muda dan siswazah selaku aset penting kepada masa depan negeri,” katanya. – Info X

June 22, 2026

Info X Reporters

Wanita ditahan, air dan daun ketum dirampas

PENAMPANG: Aktiviti memproses air ketum yang dipercayai dilakukan secara senyap di sebuah rumah di Kampung Ulu Seberang, di sini, berakhir apabila seorang wanita diberkas bersama puluhan botol minuman terbabit dalam serbuan polis. Dalam operasi kira-kira jam 1 petang pada 19 Jun lalu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menyerbu rumah berkenaan hasil maklumat dan risikan yang dijalankan. Serbuan itu membawa kepada penahanan seorang wanita tempatan berusia 43 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan memproses dan menjual air ketum. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pemeriksaan lanjut menemui 30 botol plastik berisi cecair disyaki air ketum serta satu karung plastik mengandungi daun ketum. Menurutnya, polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses air ketum. “Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM975 dan semua barang kes dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut. “Suspek turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Katanya, polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang termasuk penyalahgunaan dan pengedaran air ketum. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah atau air ketum diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah ini,” katanya. – Info X