June 3, 2026
Info X Reporters
Bandar Baharu Milinium bawa perubahan besar di Tongod
TONGOD: Tongod yang dikategorikan antara 10 daerah termiskin di Malaysia bakal melalui perubahan besar berikutan pembangunan Bandar Baharu Milinium, di sini, yang dijangka dimulakan tidak lama lagi. ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata satu kawasan seluas 1,000 ekar akan dimajukan untuk projek berimpak tinggi itu menerusi kerjasama sektor swasta dan kerajaan negeri. Katanya, cadangan projek itu sudah diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika merasmikan Pesta Kaamatan peringkat daerah Tongod pada minggu lalu. Hajiji dan Masiung sebelum itu diberi taklimat oleh delegasi syarikat Corak Nahkoda Sdn Bhd diketuai Pengarah Urusannya, Robin Lim mengenai cadangan pembangunan bandar baharu itu. Masiung berkata, syarikat berkenaan menyampaikan hasrat membangunkan projek mega yang terpenting di tengah Sabah itu di tapak tanah 1,000 ekar berdekatan Pekan Tongod. “Seluas 200 ekar daripada jumlah itu diperuntukkan untuk membangunkan pusat pentadbiran kerajaan negeri, Persekutuan dan agensi kerajaan yang disusun berkonsepkan mini Putrajaya. “Jabatan-jabatan kerajaan yang berselerak di daerah ini akan ditempatkan di pusat pentadbiran berkenaan yang dilengkapi dengan kemudahan digital dan teknologi maklumat,” katanya. Menurut Masiung, daerah Tongod sedang bersiap bersedia untuk fasa tranfomasi baharu berimpak tinggi yang bakal merubah wajah daerah ‘The Heart of Sabah’ itu. Cadangan bandar milinium itu, katanya melibatkan pembinaan beberapa deret bangunan kedai dua hingga empat tingkat, pusat beli-belah, stesen minyak, pasaraya dan hotel. Turut dibina termasuklah pusat perindustrian, perumahan kos sederhana dan mampu milik, hospital serta sekolah selain sebuah lapangan golf serta kemudahan rekreasi awam. Pengerusi Kumpulan SEDCO itu bagaimanapun, berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pengurusan Corak Nahkoda dan pihak berkepentingan bagi menambah baik cadangan berkenaan sebelum draf perjanjian ditandatangani. Mengulas lanjut, Masiung berkata, projek bercampur itu bakal mengubah status Tongod yang didakwa sebagai daerah termiskin di negara ini. Projek mega itu, katanya disasar untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan membuka ruang perniagaan kepada penduduk tempatan. “Apabila terlaksana sepenuhnya dalam tempoh lima tahun akan datang, ia dijangka akan menutup tirai status Tongod sebagai daerah termiskin,” katanya. – Info X
June 3, 2026
Info X Reporters
Empat hari hilang dalam gua, pencari sarang burung ditemui selamat
LAHAD DATU: Misteri kehilangan seorang pencari sarang burung walit yang gagal dikesan selama empat hari di kawasan Gua Tepadung, Segama, di sini, akhirnya terjawab apabila lelaki itu ditemui selamat di sebuah ladang, hari ini. Mangsa berusia 61 tahun itu ditemui oleh pekerja Ladang Boonrich ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari keempat, sekali gus melegakan ahli keluarga serta pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus menjejakinya sejak Ahad lalu. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penguasa Kanan Bomba Sumsoa Rashid berkata, operasi SAR hari keempat dimulakan kira-kira jam 10.20 pagi dengan tumpuan pencarian di kawasan luar gua. Menurutnya, pasukan penyelamat kemudian menerima maklumat bahawa mangsa ditemui dalam keadaan selamat oleh pekerja ladang di kawasan Boonrich. “Mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat dan pasukan bomba segera bergerak ke lokasi bagi mendapatkan pengesahan serta menjalankan tindakan lanjut. “Penemuan mangsa menamatkan pencarian yang dijalankan sejak beberapa hari lalu membabitkan pelbagai agensi penyelamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang pada 26 Mei lalu ketika menjalankan aktiviti mencari sarang burung walit di Gua Tepadung bersama dua rakannya. Menurut maklumat, kedua-dua rakannya keluar dari gua untuk mencari sumber air minuman dengan meninggalkan mangsa bersendirian di dalam gua berkenaan. Bagaimanapun, apabila mereka kembali semula ke dalam gua, mangsa didapati hilang sebelum usaha pencarian dilakukan secara sendiri namun gagal menemukannya. Keluarga mangsa yang menetap di Sandakan kemudian dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas mangsa tidak pulang ke rumah seperti kebiasaan. Operasi SAR yang diselaraskan polis turut membabitkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan, RELA serta penduduk setempat. – Info X
June 3, 2026
Info X Reporters
Lelaki maut selepas kereta dipandu terbabas
LAHAD DATU: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya dipercayai terbabas sendiri ke bahu jalan dalam kejadian di hadapan Kompleks Sukan Lahad Datu, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 pagi itu, mangsa Ahmad Saufi Rajendra, 22, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penguasa Kanan Bomba Penguasa Bomba (PKPgB) SumSoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.50 pagi. Katanya, sepasukan 10 anggota bersama sebuah jentera dan Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai. “Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Bezza yang dipercayai terbabas sendiri ke bahu jalan. “Terdapat seorang mangsa lelaki yang berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan pengusung sebelum pemeriksaan dilakukan oleh petugas KKM,” katanya dalam kenyataan hari ini. Menurutnya, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan yang dialami. “Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. “Pasukan bomba kemudian memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.50 pagi,” katanya. – Info X
June 3, 2026
Info X Reporters
Penunggang motosikal maut rempuh pikap parkir di jambatan
BEAUFORT: Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum merempuh sebuah pikap yang diparkir di kaki lima Jambatan Sungai Mantabawan, Jalan Kuala Penyu-Bandau, malam Isnin lalu. Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa lelaki berusia 25 tahun dari Kampung Kerukan, Kuala Penyu, mengalami kecederaan serius di kepala dan tulang rusuk sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Penyu. Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah Kuala Penyu menuju ke Bandau sebelum dipercayai hilang kawalan ketika melalui satu selekoh di lokasi kejadian. Menurutnya, motosikal yang ditunggang mangsa kemudian terbabas sendiri dan bergesel dengan penghadang konkrit di sebelah kiri jalan sebelum terseret ke hadapan. “Akibat pelanggaran itu, motosikal mangsa terus bergerak dan merempuh bahagian belakang sebelah kanan sebuah pikap yang ketika itu diparkir di kaki lima sebelah kiri jambatan. “Pemilik pikap terbabit tidak berada di dalam kenderaan kerana sedang memancing di kawasan berhampiran dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Kuala Penyu dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut. “Bagaimanapun, kira-kira jam 11.50 malam, pihak hospital memaklumkan mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami dalam kemalangan berkenaan,” katanya. Sehubungan itu, Champin menasihatkan orang ramai khususnya pemancing supaya tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan atau kaki lima jambatan seperti di Jambatan Sungai Sitompok dan Jambatan Sungai Mantabawan bagi mengelakkan risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya, terutama pada waktu malam. “Pemilik kenderaan diminta menggunakan kawasan parkir yang lebih selamat dan tidak menghalang laluan atau membahayakan pengguna jalan raya lain. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Info X
June 3, 2026
Info X Reporters
‘Tanam 200 polibeg padi varieti baharu tanah kering boleh hasil 50 kg beras berkualiti’
KOTA KINABALU: Menanam padi kini boleh dibuat di keliling rumah menggunakan pasu atau polibeg dengan varieti baharu padi tanah kering TDR1 yang disasar mampu mengeluarkan hasil 350 gram sepokok. Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar, berkata varieti yang dilancarkan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman pada sambutan Kaamatan di KDCA Penampang, Ahad lalu itu sesuai ditanam menerusi konsep kebun dapur. “TDR1 sesuai di tanam di keliling rumah atau dalam pasu atau polibeg dalam konsep Kebun Dapur dan boleh memberikan hasil padi tiga tan sehektar atau lebih kurang 350 gram sepokok dalam pasu atau polibeg. “Menanam 200 polibeg atau pasu padi tanah kering keliling rumah boleh membekalkan lebih kurang 50 kilogram beras untuk keperluan seisi rumah dengan kualiti beras yang terbaik dan beraroma,” katanya dalam perkongsian di Facebook beliau. Sabah ketika ini masih berdepan kekekurangan beras tempatan berikutan tahap pengeluaran padi yang rendah dengan kadar sara diri hanya mencapai kira-kira 20 peratus daripada keperluan rakyat. Berikutan itu, Jamawi sebelum ini menekankan usaha kementeriannya untuk meningkatkan pengeluaran padi dan beras tempatan menerusi pelbagai usaha dengan sasaran untuk menggandakan tahap sara diri kepada 40 peratus menjelang 2030. Sementara itu,L, Jamawi turut menyatakan harapannya agar sebahagian daripada peruntukan khas interim RM1.5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu lalu dapat disalurkan bagi memperkukuh pembangunan industri padi di negeri ini. Katanya, langkah itu penting bagi meningkatkan tahap sara diri pengeluaran beras Sabah yang ketika ini hanya mampu memenuhi kira-kira 20 peratus daripada keperluan rakyat negeri ini. “Saya mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri mengenai tambahan peruntukan interim RM1.5 bilion tahun ini sementara menunggu pemuktamadan dan penentuan jumlah sebenar pemberian khas 40 peratus kepada Sabah. “Sehubungan itu, saya berharap sebahagian daripada peruntukan itu dapat digunakan untuk pembangunan industri padi di Sabah,” katanya. Katanya, usaha memperkukuh sektor padi perlu diberi perhatian serius agar warisan budaya yang berkait rapat dengan penanaman padi dapat terus dipelihara. Sehubungan itu, beliau berharap isu pembangunan industri padi akan terus diberi keutamaan dalam agenda pembangunan negeri selaras dengan usaha memperkukuh sektor pertanian dan menjamin bekalan makanan yang mampan untuk rakyat Sabah. Beliau berkata, peningkatan pengeluaran padi tempatan bukan saja penting bagi menjamin keselamatan makanan negeri, malah mampu mengurangkan kebergantungan Sabah terhadap bekalan beras dari luar. – Info X
June 3, 2026
Info X Reporters
Ford Ranger terbakar 80 peratus di Dumpil
PUTATAN: Sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger terbakar kira-kira 80 peratus dalam kejadian di Dumpil Point, di sini, malam tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, tiada mangsa dilaporkan terlibat dan pemilik kenderaan juga tidak berada di lokasi ketika kebakaran berlaku. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Penolong Penguasa Bomba Musran Jabri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11 malam. Katanya, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira empat kilometer dari balai. “Setibanya di lokasi pada jam 11.04 malam, pasukan bomba mendapati sebuah Ford Ranger sedang terbakar dengan anggaran kemusnahan kira-kira 80 peratus. “Tiada pemilik kenderaan atau saksi berada di lokasi ketika operasi dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu mula (hose reel) sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya. Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.24 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.55 malam. “Tiada mangsa dilaporkan terlibat. Selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian, pasukan bomba menyerahkan kes kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X
June 3, 2026
Info X Reporters
Dua rumah, tiga kenderaan musnah dalam kebakaran
TAMPARULI: Kebakaran yang berlaku di belakang Gereja St Philip, di sini, tengah malam tadi, memusnahkan dua rumah dan tiga kenderaan selain menyebabkan sebuah lagi rumah serta sebuah kenderaan mengalami kerosakan. Dalam kejadian itu, dua rumah jenis separuh kekal terbakar 100 peratus manakala sebuah lagi rumah mengalami kerosakan kira-kira 50 peratus. Sebuah Isuzu D Max turut rosak 20 peratus akibat bahang kebakaran. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba Kurong AK Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 12.45 tengah malam. Katanya, sepasukan lapan anggota BBP Tuaran bersama tujuh anggota dari BBP Lintas dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 13 kilometer dari balai. “Setibanya di lokasi pada jam 1.01 pagi, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan tiga rumah jenis separuh kekal dan beberapa kenderaan. “Rumah pertama dan kedua yang masing-masing berkeluasan kira-kira 60 meter persegi terbakar sepenuhnya, manakala rumah ketiga yang berkeluasan sekitar 93 meter persegi terbakar kira-kira 50 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, kebakaran turut memusnahkan sebuah Proton Satria, Perodua Viva dan Mercedes, manakala sebuah Isuzu D Max mengalami kerosakan sekitar 20 peratus. Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan empat pancutan menggunakan sumber air daripada jentera bomba dan pili bomba berhampiran. “Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 2.11 pagi sebelum operasi ditamatkan pada jam 3 pagi. “Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X
June 2, 2026
Info X Reporters
RM1.5 bilion hanya permulaan, belum selesaikan hak 40 peratus Sabah – Jeffrey
KOTA KINABALU: Bayaran interim RM1.5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi tuntutan Hak 40 Peratus Hasil Bersih Sabah disifatkan sebagai satu permulaan, namun masih jauh daripada jumlah sebenar yang sepatutnya diterima negeri itu. Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan, berkata berdasarkan sumbangan hasil sebenar Sabah kepada Persekutuan, jumlah yang layak diterima negeri itu bagi tahun 2026 sahaja tidak kurang daripada RM5 bilion. Katanya, rakyat Sabah memahami perbezaan antara bayaran dan penyelesaian sebenar terhadap hak yang termaktub dalam Perlembagaan. “Setiap pengumuman tanpa pelaksanaan hanya menambah tempoh penantian yang sudah berlarutan lebih lima dekad sejak 1974,” katanya dalam kenyataan hari ini. Sabtu lalu, Anwar ketika merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri di Penampang mengumumkan bayaran interim RM1.5 bilion sebagai langkah ke arah penyelesaian tuntutan hak 40 peratus Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan. Mengulas lanjut, Jeffrey berkata jumlah bayaran yang diterima Sabah selama ini masih jauh daripada kadar sebenar yang sepatutnya dibayar mengikut formula 40 peratus. Menurutnya, Sabah hanya menerima RM26.7 juta sepanjang tempoh 1974 hingga 2021 yang disifatkannya sebagai “tahun-tahun yang hilang”, sebelum bayaran meningkat kepada RM125.6 juta pada 2022, RM300 juta masing-masing pada 2023 dan 2024 serta RM600 juta pada 2025. “Angka itu memang meningkat, tetapi masih tidak menghampiri jumlah sebenar 40 peratus yang menjadi hak Sabah,” katanya. Beliau turut membangkitkan isu rayuan yang difailkan Peguam Negara terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Oktober tahun lalu yang menetapkan tempoh 90 hari dan 180 hari untuk semakan serta pemuktamadan jumlah hak 40 peratus Sabah. Katanya, tindakan rayuan itu menimbulkan persoalan kerana Perdana Menteri dan Kabinet sebelum ini memutuskan untuk tidak mencabar keputusan mahkamah berkenaan. “Siapa yang memberi kuasa untuk rayuan itu dibuat? Jika Perdana Menteri tidak mengarahkannya, beliau perlu menyatakan perkara itu dengan jelas dan mengarahkan Peguam Negara menarik balik rayuan berkenaan. “Jika sebaliknya, maka pengumuman RM1.5 bilion itu tidak membawa makna yang sebenar,” katanya. Jeffrey berkata, rakyat Sabah mahu hak perlembagaan mereka dihormati melalui tindakan dan bukan sekadar kenyataan, selain tidak boleh menerima keadaan apabila pihak eksekutif dan Peguam Negara dilihat bergerak dalam arah berbeza mengenai isu hak asasi negeri itu. Beliau turut mendakwa status Sabah sebagai negeri termiskin dan paling bergantung kepada bantuan kewangan Persekutuan adalah akibat kekurangan pembiayaan yang berterusan selama lebih 50 tahun. Menurutnya, hasil daripada sumber seperti minyak, gas dan balak banyak disalurkan ke Putrajaya, manakala Sabah terus berdepan pelbagai kekurangan infrastruktur termasuk jalan raya, bekalan air dan elektrik. “Rakyat Sabah sudah muak dengan pemberian gula-gula sedangkan hak perlembagaan mereka terus ditangguhkan. “Pemimpin negeri yang terus mempertahankan keadaan ini atas alasan hubungan Persekutuan-negeri, serta mereka yang meraikan bayaran RM1.5 bilion seolah-olah keadilan sudah ditegakkan, perlu bertanggungjawab terhadap kehilangan yang dialami Sabah,” katanya. Sehubungan itu, STAR menggesa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mewujudkan mekanisme pengesanan hasil yang bebas dan telus bagi semua hasil yang diperoleh daripada Sabah, selaras dengan tempoh yang ditetapkan mahkamah. Parti itu juga menuntut supaya pembayaran penuh hak 40 peratus dilaksanakan bermula tahun ini dengan jumlah tidak kurang daripada RM5 bilion bagi 2026. Selain itu, Jeffrey berkata satu rangka kerja penyelesaian khusus bagi tunggakan hak Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2021 perlu ditentukan tanpa sebarang penangguhan lagi. “Jumlah RM26.7 juta yang dibayar sepanjang 48 tahun tanpa semakan mandatori seperti ditetapkan Perlembagaan sudah cukup menggambarkan keseluruhan isu ini,” katanya. – Info X